Bab 10
SURAYA menyeka air mata yang mengalir di pipinya perlahan. Pedih hatinya
mendengar berita yang disampaikan oleh Ilham tadi. Ya Allah, kenapalah
tiba-tiba perkara seperti itu boleh berlaku? Sangkanya, Ilham ingin bertemu
untuk membincangkan tentang perkahwinan mereka. Namun, berita seperti itu yang
terpaksa didengarinya. Patutlah berbincang di dalam kereta saja.
Kekecewaan
benar-benar menyelubunginya ketika ini. Terasa bagaikan batu berat telah
terhempas di pundaknya kala mendengar penjelasan Ilham. Kejam! Penantiannya
selama ini dibalas sedemikian.
“Su, janganlah
macam ni. Bukan Su aje yang sedih... abang pun sedih, Su. Tapi abang buat semua
ni untuk keluarga abang. Demi Izwan dan mak. Abang harap sangat Su faham,” pujuk
Ilham lembut. Sakit hatinya melihat insan tersayang bersedih begitu.
“Tapi kenapa mesti
kahwin? Tak ada jalan lain ke nak selesaikan masalah tu? Pinjam je duit dengan
perempuan tu ke?” bidas Suraya yang
masih dalam esakan dengan sedikit keras. Air matanya diseka lagi.
Ilham menghela
nafas berat. Rambutnya diraup kasar.
“Abang pun tak
tahu Su, tapi itu permintaan perempuan tu. Perkahwinan ni pun tak lama cuma
untuk tiga bulan saja,” jujur Ilham menerangkan.
“Kalau abang
kahwin dengan perempuan tu, Su macam mana?” Sayu Suraya bersuara. Tidak tegar
rasanya membiarkan orang yang tersayang bernikah dengan perempuan lain.
“Sebab itulah
abang jumpa Su hari ni. Abang nak berbincang dengan Su tentang hal ni,” ucap
Ilham tenang. Tunang di hadapannya itu dipandang dengan satu harapan yang
menggunung. Bukan dia sengaja melakukan semua ini. Dia pun tak minta semua ini
berlaku, tapi dia tak punya pilihan.
Suraya mendongak.
Pandangan Ilham dibalas sayu.
“Abang terpaksa
batalkan pertunangan kita sebelum abang dan perempuan tu bernikah. Abang tak
nak nanti keluarga Su tuduh abang macam-macam. Dah nikah dengan orang lain tapi
masih tak mahu melepaskan Su,” Ilham menjelaskan dengan panjang lebar bersama
satu keluhan berat di hujung suaranya.
Ya, benar-benar
berat untuk melepaskan gadis yang sangat memahaminya selama ini. Namun, dia
terpaksa melakukan semua itu demi keluarganya. Kalau orang kata dia bodoh,
katalah. Hidup keluarganya, bukan orang itu yang menanggung.
“Abang!” Lantang
Suraya bersuara. Tanpa sedar air mata mengalir lagi. Bukan main laju membasahi pipi. Terasa hampir gugur
jantungnya sebaik mendengar kata-kata Ilham tadi.
“Su, abang buat ni
untuk kebaikan kita bersama. Kalau Su sanggup tunggu abang, lepas urusan abang
dan perempuan tu selesai, abang janji akan sambung ikatan kita semula,” pujuk
Ilham lembut cuba untuk menenangkan perasaan Suraya yang sudah teresak-esak di
hadapannya itu.
“Apa yang Su nak
cakap dengan mak nanti? Mak mesti tak akan biarkan kita bersama semula lepas
tu.” Dalam esakan yang masih kedengaran Suraya masih tetap tidak setuju dengan
permintaan Ilham. Hatinya benar-benar pilu dengan keputusan itu. Tergamak Ilham
membalas penantiannya dengan pengakhiran sebegini. Biarpun perpisahan mereka hanya sementara, tapi cukup
mustahil bagi keluarganya untuk menerima Ilham kembali. Mustahil! Jerit hatinya
yang masih lagi dihambat kepiluan dengan keputusan Ilham.
Atau Ilham memang
nak sangat kahwin dengan perempuan tu? Sudah terpikat, sudah jatuh cinta?
Perasaan Suraya sudah berbolak balik.
Ilham mengeluh
lagi. Dia sendiri buntu. Kata-kata Suraya ada benarnya. Mana mungkin Mak cik
Seri akan membenarkan mereka berkahwin setelah apa yang berlaku. Tapi mana
mungkin dia melepaskan gadis sebaik Suraya kerana hanya Suraya sajalah
satu-satunya gadis yang dicintai sepenuh hati.
“Su, abang
sayangkan Su. Terlalu sayang hinggakan abang tak sanggup nak lalui semua ini
sebab abang takut abang akan terus kehilangan Su. Tapi... Abang tak ada
pilihan, Su. Izwan adik abang, di bawah tanggungjawab abang. Abang dah janji
dengan arwah abah untuk jaga keluarga, tapi abang gagal. Kalau abang mampu
untuk bayar ganti rugi tu, abang tak akan pilih jalan ni. Abang tak akan kahwin
dengan orang lain selain Su,” luah Ilham perlahan dengan penuh kesal.
Tangis Suraya
pecah lagi. Kata-kata Ilham tadi benar-benar
mengusik hati kecilnya kerana dia sendiri pun cintakan Ilham dengan
sepenuh hati.
“Abang minta maaf.
Abang betul-betul minta maaf.” Ilham sebak.
Keadaan menjadi
sepi seketika hanya esakan Suraya saja yang kedengaran. Ilham pula semakin
buntu dengan keadaan tersebut.
“Su... janganlah
macam ni,” pujuk Ilham lembut apabila tunang kesayangan masih lagi begitu.
Suraya yang hanya
menunduk sedari tadi terus mendongakkan kepalanya. Air matanya diseka lagi.
Wajah Ilham dipandang sayu. Perlahan-lahan nafasnya ditarik dan dihela.
“Kenapa tak abang
rahsiakan perkahwinan abang dengan perempuan tu? Pertunangan kita, kita
teruskan dan rahsiakan perkahwinan abang tu daripada orang kampung terutama mak
Su.” Suraya mencadangkan pula. Yalah, Ilham kata cuma tiga bulan saja
perkahwinan itu.
“Su...”
“Abang tahu kan, kita nak bertunang dulu pun susah. Kalau
dah putus, lagilah susah nak sambung semula!” Suraya membentak apabila dilihat
Ilham seakan-akan tidak setuju dengan usulnya.
“Kalau mak Su
tahu?”
“Itu baru kita
fikir kemudian. Kenapa abang fikir benda yang belum berlaku tu? Cuba fikirkan
kalau mak Su tak tahu sampailah abang bercerai dan lepas tu kita selamat
berkahwin. Kita dah kahwin, mak Su bukan boleh buat apa lagi pun.” Suara Suraya
semakin tinggi.
“Bukan macam tu,
Su. Kita tak boleh tipu keluarga kita.
Kita berkahwin perlu dengan restu ibu bapa kita.”
“Abang tak sayang
Su! Entah-entah abang memang nak sangat kahwin dengan perempuan tu!” Suraya
bosan pula sampai menjerit. Ilham dilihat seperti bukan lelaki yang tegas
menegakkan cinta mereka. Ilham jujur tetapi Ilham terlalu lurus pula.
“Su, tenang Su.
Tenang. Dengar dulu apa yang abang nak cakap ni.” Melihat Suraya tertekan,
Ilham semakin resah pula.
“Kalau kita putus,
putus terus tak payah nak sambung-sambung lagi. Su relakan abang kahwin dengan
perempuan tu demi nak selamatkan Izwan. Tapi, Su cuma minta abang rahsiakan je
dulu daripada pengetahuan orang lain perkahwinan tu sebab abang juga kata abang
akan bercerai selepas tiga bulan kecuali abang memang nak kekalkan perempuan tu
sebagai isteri abang.”
“Su...” Ilham
menyentuh bahu Suraya yang sudah memalingkan mukanya ke luar sebelah kirinya.
“Su rela dengan
keputusan abang dan Su akan tetap menunggu. Itupun jika pertunangan kita ni
diteruskan.” tutur Suraya sayu setelah perasaannya sedikit tenang. Akhirnya dia
bertegas dalam mengalah. Demi kasih sayangnya terhadap lelaki di hadapannya itu dia rela berkorban.
“Su nak balik.”
Ilham masih
memandang sisi wajah Suraya yang sudah tegak ke hadapan seolah-olah tiada
apa-apa yang berlaku. Ilham hidupkan juga enjin keretanya. Di awal perjalanan,
Ilham memikir kata-kata Suraya dan keputusannya sebelum ini.
“Abang ikut plan
Su. Kita rahsiakan dan lepas abang berpisah dengan perempuan tu, kita nikah.”
“Sebab Su
sayangkan abang. Terlalu sayangkan abang,” ujarnya dengan bersungguh.
Ilham mengangguk
berkali-kali. “Abang tak akan sia-siakan pengorbanan Su,” balas Ilham perlahan.
Dia mengerti
bahawa gadis itu benar-benar kecewa. Namun, dia bukan sengaja memilih jalan
itu. Dia tersepit! Benar-benar kusut dengan dugaan yang dilaluinya, namun, dia
tiada pilihan lain selain menerima tawaran perempuan bandar itu.
Walaupun begitu,
Ilham melepaskan nafas kelegaan. Wajahnya diraup perlahan. Terima kasih Su...
Terima kasih kerana masih berikan abang peluang dan memahami masalah abang,
bisik hati Ilham sebak.
SILING di dalam
biliknya direnung lama. Perbualan dengan Suraya petang tadi masih
terngiang-ngiang di telinga. Teringatkan sayu wajah tunangnya itu, Ilham
mengeluh perlahan. Dia tahu Suraya kecewa dengan apa yang berlaku walaupun
keputusan bersama telah diambil.
Penat berbaring, Ilham bingkas
bangun dan duduk di kaki katil. Kedua-dua tangannya diletakkan di kepala.
Betulkah apa yang dibuatnya sekarang? Betulkah keputusannya itu? Mengahwini Hannah dan meneruskan
pertunangannya? Soalnya berkali-kali di dalam hati.
Sedang dia leka
bersoal jawab dengan hati, telefon bimbitnya berbunyi, menandakan ada SMS
masuk. Ilham berpaling. Telefon bimbitnya dicapai. SMS tadi dibuka.
Perlahan-lahan Ilham mengeluh sebaik membaca mesej tersebut.
I need to see you tomorrow. We
have to discuss about our marriage. I’ll wait for you at The Loaf KLCC around 2
pm. Don’t be late or the deal is off!
Mesej yang panjang lebar daripada
perempuan bandar itu benar-benar mengganggu benaknya.
Telefon bimbitnya dicampakkan ke
atas katil. Rambutnya diraup kasar. Hatinya semakin berantakan. Entah apalah
lagi yang ingin dibincangkan oleh perempuan itu agaknya. Desisnya jengkel.
“KENAPA?” soal
Elyna sambil jemarinya teguh di sudu sambil mengacau lamonade di atas
meja. Muka sahabat yang sedang mencuka itu dipandang sekilas.
“Mamat tulah!”
balas Hannah sedikit keras. Telefon bimbit di tangannya dicampakkan ke dalam tote
begnya kemudian pandangannya dibuangkan ke luar kelab The Beach tersebut.
“Kenapa dengan
mamat tu?”
Hannah mendengus.
“Aku hantar SMS bukannya reti nak balas balik. Ingat aku suka sangat nak kacau
dia malam-malam macam ni!” Hannah geram.
“Dah tidur kut,”
pujuk Elyna. Dia senyum melihat wajah Hannah yang macam budak-budak tidak dapat
coklat.
“Baru pukul 11.30 lah babe,” dengusnya
lagi. Marah benar dia dengan lelaki itu.
“Orang duduk kat
kampung memang tidur awal. Bukan macam kita ni tiap-tiap malam jadi burung
hantu,” kutuk Elyna pula. Air minuman perahan lemon yang dikacau tadi
dicapai dan dihirup perlahan.
Hannah menjeling
Elyna sekilas. Sakit hati. Kalau dia mengutuk ‘cikgu kesayangan’ sahabatnya itu
pasti ada saja jawapannya. Kuat membela betul.
“Eh! Tak kan aku
cakap macam tu pun nak sentap kut?” ucap Elyna sambil tergelak kecil. Cepat
sangat sahabatnya itu merajuk sekarang. Tak boleh silap kata pasti terus saja
tarik muka.
“Tak... Aku
suka...suka sangat!” balas Hannah sinis siap dengan muka tak puas hati.
Elyna tersengih.
“Ha, kau nak jumpa dia kenapa?”
“Bincang fasal hal
kahwin tulah.”
“Nak bincang apa
lagi? Bukan dah habis bincang ke dua hari lepas?” Dahi Elyna berkerut, dia
semakin blur dengan Hannah.
“Itu bincang fasal
lain. Sekarang ni nak kena bincang bila kami boleh nikah. Nak kena buat arrangement
sebab nak nikah di sempadan kan,” terang Hannah panjang lebar.
Elyna terus
membetulkan duduknya. “Nikah kat sempadan? Kenapa?” Keningnya terjongket.
Kenapa tiba-tiba timbul isu nikah sempadan pulak ni?
Hannah mengeluh
perlahan. Susah betul nak cakap dengan minah sorang ni. Takkan tak faham kut!
Bebelnya dalam hati.
“Elyn, kalau nikah
kat sini aku kena beritahu ayah. So, kalau ayah tahu, maknanya mama pun
akan tahu. Aku tak nak ambil risiko,” terang Hannah mengenai perancangannya
itu.
“Biarlah mama kau
tahu, sebab lepas tu pun kau akan beritahu jugak kan?” Elyna menyoal lagi. Dia
semakin bingung melihat sahabatnya itu.
Hannah
menggelengkan kepalanya perlahan. Slow betul!
“Kau ni macam tak
kenal mama aku. Kalau dia tahu dia akan lakukan apa saja supaya rancangan aku
gagal,” keluh Hannah mengenangkan sikap Datin Umairah yang tiada belas ehsan.
Kalau boleh semua kehendaknya wajib dituruti tanpa sebarang bantahan.
Akhirnya Elyna
mengangguk. Mengakui memang ada benarnya pun kata-kata sahabatnya itu. “Betul
juga tu ek,” ucapnya perlahan. Teringatkan sesuatu dia mendongak memandang
Hannah semula.
“Eh babe,
mama kau dah pulangkan pasport ke?”
Hannah menggeleng.
“Dah tu macam mana
nak pergi sempadan?” Elyna bertanya lagi memohon kepastian Hannah. Mana mungkin
sahabatnya itu boleh memasuki sempadan tanpa pasport. Mungkinkah sahabatnya itu
akan melakukan kerja gila sekali lagi?
“Aku dah suruh
seseorang buatkan pasport sementara untuk aku ke sana,” balasnya selamba.
Elyna memandang
Hannah dengan dahi berkerut. “Kau biar betul? Dengan kongsi gelap mana pulak
kau deal ni? Kau jangan main-main Hannah, silap haribulan nyawa
melayang.”
Hannah tergelak.
“Aku minta tolong Albert lah,” jawabnya ringkas.
Elyna menggeleng.
“Bahayalah kau ni.” Elyna semakin gusar melihat sahabatnya yang semakin
terdesak itu. Lepas satu, satu hal lain yang dibuatnya. Lepas ni apa lagi lah
yang minah ni nak buat agaknya?
“Aku akan lakukan
apa saja Elyn, lagipun untuk ke Thailand aje pun,” jelasnya lagi dengan
selamba.
“Kau memang suka
ambil mudah semua perkara. Salah tu tahu tak!”
Hannah hanya buat
muka beku saja dengan teguran sahabatnya itu. Lantaklah salah ataupun tidak
yang pasti rancangannya berjaya. Kalau kena tangkap dan masuk penjara, Elyna
ada. Tak cukup duit mama mesti akan jamin punya. Tak mungkin mama akan
membiarkannya meringkuk kat dalam tu.
No comments:
Post a Comment