Followers

Friday 28 February 2020

Dean & Jean - Bab 10










Bab 10
Dean buang pandang ke sekeliling kemudian telefon bimbit di tangan dikerling pula. Kereta Jean masih belum kelihatan dan mesej gadis itu juga tiada. Spontan itu jam dipergelangan tangan dikerling. Waktu sudah hampir menginjak ke pukul lapan malam tetapi bayang-bayang Jean masih juga belum kelihatan. Tidak terus menunggu, nombor telefon Jean didail. Senyap. Sekali lagi nombor Jean didail. Lama dia menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut juga.
“Waalaikumsalam.” Salam Jean disambut dan tubuh disandarkan ke tiang di luar pintu balai ketibaan.
“Aku dah nak sampai. Sorry, jalan jammed teruk.” Belum sempat dia bertanya, Jean sudah memberikan jawapannya.
“Kau tunggu dekat luar kan? Dalam lima minit lagi aku sampai.”
Klik!
Jean menamatkan perbualan mereka tanpa sempat dia berkata apa-apa. Hurmmm…Jean, bila berada di dalam keadaan kalut memang begitulah dia. Bibir terus mengukir senyum. Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam poket seluar dan langkah diayun ke hadapan sedikit supaya senang Jean memberhentikan keretanya. Belum sampai lima minit dia menunggu, Honda HRV berwarna merah Jean sudah berhenti betul-betul di hadapannya. Nasib baik ketika itu tidak ramai orang yang berada di situ jadi senanglah Jean melihatnya dan memberhentikan keretanya.
“Sorry Dean, ada excident tadi sebab tu lambat. Gila betul dekat dua jam sangkut dalam jammed. Naik lenguh kaki aku asyik tekan break aje.” Bebel Jean bercerita tentang apa yang berlaku.
“It’s okay, aku faham. Aku ingat kenapa tadi sebab lewat sangat kau sampai. Kalau setakat jammed aku tak kisah sangat tapi aku risau kereta kau rosak dekat mana-mana masa on the way ambil aku.”
Jean buang sengih. “Kau nak risau buat apa? Kereta aku kan kau yang selalu hantar servis bila dah sampai masa.” Dia mengingatkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan lapangan terbang.
“Memanglah tapi malang tak berbau. Selalu servis pun kalau tiba-tiba nak rosak kita tak boleh kata apa juga kan?” Kening dijungkit.
“Iyalah…iyalah Encik Dean. Message received loud and clear. So, sekarang, kita nak pergi makan dekat mana? Aku dah lapar.” Rungut Jean. Apa tidaknya kali terakhir dia makan adalah pagi tadi. Lunch hour pun dia tak sempat keluar sebab menyediakan dokumen untuk perbincangan dengan wakil Nutra Beauty.
“Singgah kedai mamak yang biasa kita lepak tu ajelah. Kau boleh makan nasi tumpang yang ma aku buat dekat situ.”
Sengih Jean melebar. “Ma kau baik eh. Minta buat, sungguh-sungguh dia buatkan.” Puji Jean.
“Buatkan untuk bakal menantu sebab itulah ma aku beria.” Gumamnya perlahan.
“Kau cakap apa?” Jean memandang Dean di sebelah dengan kerutan di dahi.  
“Tak ada apalah. Pandang depan masa tengah drive. Kau tu bukannya pro sangat.” Dalih Dean.
Jean mencemik. Pandangannya terus dibuangkan ke hadapan. Sepanjang perjalanan dari Sepang sehinggalah ke kedai mamak favourite mereka yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, tak banyak perkara yang mereka bualkan. Dean lebih suka berdiam dan mendengar sahaja Jean menyanyi mengikut CD yang dipasangnya ketika itu. Suara Jean tidaklah sedap mana tapi dia suka saja mendengarnya. Jean, apa sajalah yang dibuatnya dia tak suka. Jean membebel pun dia suka dengar inikan pula menyanyi.
Sampai sahaja di hadapan kedai yang dituju, Jean terus memberhentikan keretanya. Mereka terus keluar dan berjalan beriringan masuk ke dalam restoran tersebut.
Sebaik duduk, Dean terus angkat tangan memanggil pelayan. Tidak lama menunggu seorang lelaki india muslim datang menghampiri mereka.
“Jean, kau nak air apa?” Jean yang sedang membetulkan duduk dipandang. Jean, walaupun dengan rambut yang diikat ala kadar begitu, tetap nampak cantik. Bukan cantik tapi perkataan yang sesuai menggambarkan Jean ketika itu adalah comel dan cute. Biasalah bila dah seharian bekerja memang begitulah penampilan Jean. Peliknya, Jean langsung tak kisah orang melihatnya dalam keadaan itu. Sesetengah perempuan seusia Jean tentu kisah kalau keluar tanpa make up atau berpenampilan tidak kemas tetapi bukan Jean. Mungkin sebab itulah dia jatuh hati pada Jean. Jean nampak jujur pada diri sendiri begitu juga bila berdepan dengan orang lain.
“Teh o panas.” Nafasnya dihela dan ikatan rambutnya dikemaskan.
Melihat apa yang dilakukan Jean, Dean tersenyum. Jean macam tahu-tahu sahaja apa yang ada di dalam fikirannya. “Saya nak teh tarik kurang manis dan mee goreng mamak. Jangan buat pedas sangat.” Pesannya.
Selesai menuliskan pesanan, pelayan itu terus beredar.
“Nasi tumpang yang kau pesan tu. Makan habiskan. Kalau simpan aku takut basi pulak.” Tupperware yang baru dikeluarkan dari dalam beg diletakkan di hadapan Jean dan dia bingkas bangun. Bekas sudu dan garpu dari meja sebelah diambil dan diletakkan di atas meja. “Sekejap aku minta pinggan dulu.”
Jean hanya senyum sahaja dan mengangguk. Tupperware di atas meja dibuka dan serta merta itu aroma nasi tumpang menyucuk hidung. Ya Allah, sedapnya. Bisiknya sambil memejamkan mata.
“Haiii…sampai macam tu sekali syoknya dapat nasi tumpang?” Dean ketawa. Pinggan yang dibawanya diletakkan di hadapan Jean.
“Seriuslah Dean, nasi tumpang yang mak kau buat ni sedap gila.” Pujinya dan satu bungkus nasi tumpang dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam pinggan. Daun pisang yang membaluti nasi tumpang itu terus dibuka dan sekali lagi matanya dipejamkan. “Kalau hari-hari makan sedap macam ni, gemuklah aku.” Gelaknya. Sudu dan garfu dicapai tetapi baru sahaja nasi tersebut ingin disuapkan ke mulut, Dean menegur. Spontan itu kepalanya diangkat dan keningnya dijungkitkan.
“Baca doa dulu.” Lembut Dean mengingatkan.
Jean tersengih lalu kepalanya digaru. Akur, kedua-dua tangannya diangkat dan doa makan dibaca. “Amin.” Ucapnya dan tangan diraupkan ke muka. “Dah boleh makan kan?” selorohnya.
Dean tergelak kecil dan kepalanya diangguk. Tubuh terus disandarkan ke kerusi dan tangan dipelukkan ke tubuh. Mata pula sejak tadi tidak berganjak memerhati Jean yang begitu asyik menikmati nasi tumpang di hadapannya.
“Eh! Kau tak nak ke? Sedap ni.” Ucap Jean beria.
Kepala digeleng. “Aku dah makan masa dekat rumah ma tadi. Itu semua ma aku bungkuskan untuk kau.”
“Baiklah ma kau.”
Tidak membalas pujian Jean, Dean hanya senyum sahaja. Jean pula terus menyambung suapannya. Teringatkan sesuatu, kepalanya diangkat memandang Dean semula.
“Aku lupa nak beritahu kau tentang meeting hari ni.” Jean bersuara dengan mulut yang masih penuh dengan makanan.
“Makan dulu Jean. Yang tu nanti kita boleh bincang.” Tegur Dean.
“Oh! Okay.” Jean buang sengih dan menyambung makannya.
Dean masih terus memerhati sehinggalah makanan yang dipesannya dihantar. Mee goreng mamak yang baru dihidangkan terus dinikmati.
“Okey, kau nak cakap apa tadi?” Tisu dicapai dan mulutnya yang terasa berminyak dikesat. Pinggan yang sudah licin isinya ditolakkan ke tengah sedikit. Gelas teh tarik yang sudah sejuk dicapai lalu dihirup.
Jean yang juga baru sudah makan tegakkan tubuh. Daun pisang yang diletakkan ke atas meja dikumpulkan dan diletakkan ke dalam pinggan. Fuh! Jean, sekali hadap empat bungkus nasi tumpang yang kau bedal. Dalam Tupperware ada baki dua bungkus yang masih belum terusik. Cukuplah tu simpankan untuk mama dan papa merasa. Setakat dua aje? Hurmmm…okeylah tu dari tak simpankan langsung kan?  Gelaknya dalam hati.
“Blurkkkkkk!” Sedawa Jean tiba-tiba berbunyi memecah sunyi antara mereka.
Dean tergelak sambil gelengkan kepala. “Buatlah macam tu depan mak mertua kalau nak kena kutuk.” Pesannya dengan tawa yang masih bersisa. Tak senonoh betul tapi yang tak senonoh itulah yang menceriakan hari-harinya. Lagipun Jean berkelakuan kurang sopan begitu hanya di hadapannya sahaja. Kalau bersama orang lain, Jean memang sangat serius orangnya.
“Terlepas. Bukannya aku sengaja.” Balasnya selamba. Boleh pulak dia selamba sendawa ditempat terbuka begitu. Haih! Buruk betul perangai kau kan Jean? Marahnya kepada diri sendiri.
“So, apa yang kau nak beritahu aku tadi?” Sekali lagi Dean bertanya.
“Bila dah kenyang tiba-tiba aku lupa pulak apa nak beritahu kau tadi.” Balasnya bersahaja. Gelas di atas meja dicapai dan terus dihirup sehingga licin isinya.
“Hurmmm…kalau aku tahu tak payah bagi makan dulu tadi.”
Jean tergelak. Gelas yang masih di tangannya diletakkan ke atas meja semula. “Pasal meeting dengan wakil Nutra Beauty petang tadi.”
Dean mengangguk. “Okey.”
“Nutra Beauty beri kita tempoh dua minggu untuk siapkan iklan tu.”
“Dua minggu?” Dean terdiam dan dagunya digosok-gosok. Dalam masa dua minggu manalah sempat walaupun setakat untuk iklan tak sampai sepuluh minit. “Kenapa cepat sangat?” soalnya setelah lama membisu.
“Iklan tu mereka nak keluarkan sebulan lebih awak dari produk. Marketing strategi katanya.” “Tapi Mirzan kata nak keluarkan iklan serentak dengan produk?”
Jean angkat bahu. “Tukar strategi kut.” Balasnya acuh tak acuh.
“Nanti bagi aku nombor telefon wakil dari Nutra Beauty. Aku nak discuss schedule untuk shooting.”
Mendengar permintaan Dean, senyum Jean melebar.
“Kenapa?” Dean kerutkan dahi. Pelik melihat senyum yang Jean pamerkan.
“Kau mesti teruja bekerja dengan dia.” Jean jungkit kening.
“Kenapa?” ulang Dean sekali lagi dengan kerutan yang makin dalam.
“Wakil dari Nutra Beauty untuk projek ni perempuan. Cantik pulak tu. Nama dia Nurlida.” Beritahu Jean sambil tersenyum mengusik.
Dean mencemik. Dia ingatkan apalah tadi. Jean ingat dia hairan bekerja dengan perempuan cantik? Apa yang penting bagi dia, Jean ada di sisinya sudah cukup. Dia tak perlukan perempuan lain dalam hidup dia. Takkan itu pun Jean tak perasan lagi?
Melihat reaksi Dean, Jean terus mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg. Nombor Nurlida dicari dan terus dihantar kepada Dean. “Aku dah share nombor telefon awek tu dekat kau. Nanti free call lah dia.” Kening dijungkit nakal. “By the way Dean, yang aku tahu dia tu single lagi.” sambungnya sambil tersengih lebar.
Berdecup mulut Dean digiat begitu. Malas hendak melayan senget Jean, tangannya terus diangkat dan pelayan dipanggil.
“Kira.” Suruhnya apabila pelayan sampai dimeja mereka.
“Aih! Takkan marah kot? Aku cuma nak kenalkan perempuan yang cantik pada kau bukannya aku buat apa pun.” Jean kerutkan dahi. Tadi elok aje mood Dean. Tiba-tiba aje tarik muka. Rasanya dia tak adalah cakap yang bukan-bukan.
“Jom. Lewat dah ni.” Ajak Dean sebaik selesai membuat bayaran. Dengan muka yang masih cemberut, dia terus berdiri.
Terpinga-pinga melihat reaksi Dean, Jean ikut berdiri. Tupperware di atas meja dicapai dan dia terus berlari mendapatkan Dean yang sudah beberapa langkah jauh ke hadapan.
“Kunci.” Dean hulurkan tangan.
“Nak buat apa?”
“Biar aku hantar kau.”
Jean mendengus. “Lecehlah kalau kau hantar. Nanti esok pagi lepas subuh kau dah sampai. Tak apalah biar aku hantar kau. Aku boleh aje balik sorang-sorang. Lagipun belum pukul sepuluh lagi.” Tolaknya. Kalau Dean yang menjemput dia pergi kerja, pukul tujuh setengah pagi Dean dah tercongok depan pintu pagar rumah dia.
“Biar aku hantar kau. Esok aku ambil pukul lapan pagi.” Dean mula berkompromi.
Jean terdiam memikir. 
“Jean…” Panggil Dean lembut sedikit dari tadi.
Bersama helaan nafas, akhirnya Jean akur. Kunci keretanya terus dihulurkan kepada Dean. “Jangan ambil awal sangat.” Dia mengingatkan.
Dean buang senyum. “Iya…” ucapnya berjanji lalu penggera kereta ditekan.
“Esok ikut aku jumpa wakil Nutra Beauty tu.” Tegas Dean seolah memberi arahan.
“Kenapa pulak?” Berkerut dahi Jean mendengar arahan Dean. Tugas dia kan dibahagian design dan finishing?
“Kau kan pembantu aku so untuk projek ni aku nak kau ikut aku.” Dean tersengih dan keningnya dijungkit. Sibuk sangat nak kenalkan dia dengan perempuan lain kan? Tak pasal-pasal kena terlibat sekali. Gelak Dean dalam hati.
Jean mendengus dan menunjukkan riak tidak puas hatinya. Dengan muka cemberut, tali pinggang dipasang dan tangan terus dipelukkan ke tubuh.
Dean hanya buat tidak tahu sahaja dan terus memandu kereta Jean beredar dari situ.





Dean & Jean - Bab 9







Bab 9
Oh my my my oh my my my
I’ve waited all my life
ne jeonbuleul hamkkehago sip-eo
Oh my my my oh my my my
Looking for something right
ije jogeum-eun na algess-eo
I want something stronger
Than a moment, than a moment, love
I have waited longer
For a boy with
For a boy with luv
Sambil bernyanyi dan menari, langkah terus diayun menuruni mata tangga. Sampai sahaja di mata tangga terakhir, kaki terus diayun menuju ke ruang tamu. Beg tangan dan beg komputer riba diletakkan ke atas sofa kemudian langkah dibuka menuju ke meja makan. Baru sahaja dia ingin duduk, dia terdengar suara mamanya menegur. Jean menoleh dan dahi dikerutkan.
“Happy nya hari ni. Pagi-pagi dah menyanyi.” Usik puan Kamalia bersama senyuman.
Jean tersengih diusik tetapi kerutan di dahi tetap ada. “Mama cuti ke hari ni?” Soalnya dan dia terus duduk.
“Pagi ni mama ada urusan dekat bank sekejap. Kebetulan pulak kelas mama slot petang hari ni.” Puan Kamalia ikut duduk.
“Hari ni Jean balik lewat ya.” Teko dicapai dan air milo dituangkan ke dalam cawan. Sandwich telur dicapai pula dan terus disuapkan ke mulut.
“Kerja lebih masa lagi?”
Kepala digeleng. “Jean nak ambil Dean dekat airport.” Beritahunya.
“Dean pergi mana?” Berkerut dahi puan Kamalia mendengar bicara anak gadisnya itu.
“Balik Kelantan. Adik bongsu dia bertunang.” Selamba Jean dan terus menyumbat sandwich ke mulut.
“Habis tu Dean bila nak bertunang?” Sengaja puan Kamalia bertanya. Hendak juga dia dengar apa jawapan yang akan Jean berikan.
Jean tergelak. “Dean? Bertunang?”
Puan Kamalia mengangguk sambil jungkit kening. Pelik sangatkah soalannya tadi? Kalau dia tanya bila Jean nak bertunang itu memanglah pelik.
“Hurmmmm...nak bertunang apanya ma kalau girlfriend pun tak ada.” Minat dekat perempuan tapi perempuan itu pula yang jual mahal. Kesian betul kau, Dean. Rupa ada, businessman lagi tapi tetap juga kena reject! Ejeknya.
“Iya ke orang handsome macam Dean tu tak ada girlfriend lagi?” Duga puan Kamalia lagi.
“Betul ma. Dia tu mana ada girlfriend lagi.” Balas Jean beria.
“Entah-entah Jean aje yang tak tahu kot.”
“Ya Allah, ma. Jean hari-hari dengan Dean. Jean tahulah.” Beria Jean membalas. Dia cakap yang benar pun mamanya tak percaya. Getusnya dan cawan milo panasnya dicapai lalu dihirup.
Bibir Puan Kamalia terus terukir senyum. Lega hati dia mendengar jawapan anak gadisnya itu. Maknanya harapan dia dan suaminya masih terbuka luas. Hanya menunggu masa sahaja untuk direalisasikan.
“Kenapa Dean tak balik naik teksi je? Kenapa Jean nak kena ambil dia pulak?”
“Ermmm…mengada dia tu. Sibuk suruh Jean ambil jugak.” Bebelnya bersama cemikan.
“Dia rindukan Jean lah tu.” Puan Kamalia mengusik.
“Memang tak lah. Hurmmm…Mama nak keluar pukul berapa ni?” Tisu di atas meja dicapai dan bibirnya dikesat.
“Pukul sembilan lebih nanti baru mama keluar.”
Jean angguk dan bingkas bangun. “Kalau macam tu Jean pergi dulu ya. Pukul sepuluh nanti ada first meeting dengan client.” Ucapnya dan kerusi ditolak ke dalam meja. Baju blouse lengan panjang berwarna ungu yang dipakainya dikemaskan.
“Oh ya, mama nak beritahu ni.”
Jean jungkit kening. Apa pula yang mama hendak beritahu agaknya. Nervous pulak dia.
“Bulan depan papa ajak kita balik Jakarta.”
Hurmmm…ingatkan apa tadi. “Balik Jakarta? Bukan ke kita baru balik dua bulan lepas?”
“Jean lupa ya bulan depan kan birthday nek bonda,” Puan Kamalia mengingatkan. “Uncle Toby call papa semalam dan beritahu keluarga dekat sana dah sepakat untuk sambut birthday yang ke 75 nek bonda secara besar-besaran. Jadi kita kenalah balik.” Sambungnya.
“Ohhhhh!” Panjang Jean membalas sambil terangguk-angguk.
“Ambil cuti lima hari ya. Kita pergi 12 haribulan.”
“Lamanya.” Bukan dia tidak suka balik ke sana tapi kerjanya di sini bagaimana? Sudahlah shooting untuk projek baru akan bermula hujung bulan ni. Haih!
“Kalau Jean tak boleh nak lama-lama, Jean baliklah sekejap. Asal ada masa majlis nek bonda. Nanti merajuk pulak nenek Jean tu.”
Jean mengangguk dan tersenyum. “Macam tu boleh.” Balasnya. “Okeylah ma, Jean gerak dululah. Nanti lambat pulak sampai. Sudahlah jammed masa-masa macam ni.” Ucapnya dan puan Kamalia dihampiri.
“Iyalah. Hati-hati drive.” Pesan puan Kamalia lembut.
Sekali lagi Jean mengangguk. Sebaik satu kucupan dihadiahkan di pipi mamanya, dia terus beredar.
Puan Kamalia hanya memerhati sahaja sehingga langkah anak gadisnya itu hilang dari pandangan. Teringatkan perbualannya dengan Jean sebentar tadi, tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Hurmmm…Dean…bisiknya sambil bibir mengukir senyum.


“Nok kelik hari ni jugok ko Dean?" Hajah Zaiton menjengah bilik anak lelaki bujangnya itu dari muka pintu. Dean yang sedang mengemas beg bajunya dihampiri.
"Ho ma, esok ado meeting nok keno gi,” balasnya dan beg bajunya terus dizip. Dia bingkas bangun.
“Kapal tebe pukol berapo?”
“Pete, pukol limo lebeh ma,”
Hajah Zaiton mengangguk. "Ho molek lah, sempat lah ma buat nasi tupe ko Jean,”
Mendengar ibunya menyebut nama Jean, Dean tersengih. Arghhh! Kenapa sedap sangat bunyinya.
“Sengeh lebar molek dengar ma sebut namo gewe," usik hajah Zaiton dan terus duduk di birai katil.
Sengih Dean melebar dan dia ikut duduk.
“Ma nok tanyo ni.."…”
Dean angguk. “Gapo ma?”
“Gewe Dean tu cino ko?” Soalnya melepaskan apa yang terbuku di hatinya sejak dua hari yang lalu.
Terlepas tawa Dean mendengar soalan ibunya itu. Perlahan-lahan kepalanya digeleng.
“Dok lah ma, namo dio Jeanelle Fitri,”
Hajah Zaiton kerutkan dahi. Pelik agaknya mendengar nama itu.
“Mama dio ore Indonesia, tapi papa dio ore Johor. Mama ngan papa Jean, mengaja di Universiti." Terang Dean. Faham benar dia dengan riak yang dipamerkan oleh ibunya itu.
“Ohhhh! Gitu..” Hajah Zaiton anggukkan kepala. Patutlah lain benar namanya. Nampaknya bakal menantu dia anak orang beradalah. Besannya juga bukan sembarangan orang. Tapi bolehkah mereka terima anak terunanya yang meniaga biasa-biasa sahaja ini? Malas hendak memeningkan kepala memikir, dia terus berdiri.
Hurmm, takpo lah, ma nok gi masok dulu, takut tak sempat Dean nok wak kelik nasik tupe ko Jean,” senyumnya sambil menekankan nama Jean dihujung bicaranya.
Dean tersengih malu-malu. Bukan main lagi ibunya mengusik.
“Nanti ma buat kuih sekali, leh kirim ko ore tuo Jean sekali,” sambungnya.
"Amboi ma, sapa ore tuo Jean ma nok bui rasuah,” gelak Dean gelihati.
“Bakpo yo, bakal tok bese kei?" Hajah Zaiton buang tawa dan terus keluar dari bilik anak lelakinya itu.
Dean ikut tergelak dan nafasnya dihela sebaik tawanya reda. Walaupun dia rasa lega kerana ibunya tiada tentangan tetapi jauh di sudut hati dia tetap risau memikirkan penerimaan Jean. Sudikah Jean menerima dia seadanya? Menerima dia lebih dari seorang sahabat dan abang? Memikirkan itu, keluhan berat dilepaskan dan wajahnya diraup lalu ditundukkan merenung lantai. Mungkin orang akan kata dia lambat bertindak tetapi meladeni Jean bukan semudah yang orang lain fikirkan.


Jean bingkas bangun dan Nurlida dihampiri. “Thanks cik Nurlida. Hope kita boleh bekerjasama dengan baik.” Ucapnya lalu tangannya dihulurkan untuk bersalaman.
Wanita yang bernama Nurlida itu tersenyum dan mengangguk. “Insya-Allah. I harap pun kerjasama ini berjalan dengan baik dan disiapkan seperti tarikh yang kita tetapkan.” Balasnya lembut.
“Sure. Once encik Dean masuk office, I akan minta dia call you.” Jean berjanji.
Nurlida angguk sahaja dan terus minta diri untuk beredar. Sebaik wanita itu pergi Jean tergesa-gesa mengemas semua dokumen di atas meja.
“Kelam kabut sangat tu nak kemana?” Tegur Azie. Jean dipandang bersama kerutan.
“Aku nak pergi airport.” Jam dipergelangan tangannya dikerling. Arghhhh! Dah pukul lima lebih. Kalau wakil dari Nutra Beauty datang mengikut temujanji yang mereka tetapkan tentu dia tidak kalut tetapi tiba-tiba mereka menganjakkan waktunya ke pukul dua petang. Nasib jugalah perbincangan tersebut selesai tepat-tepat pukul lima jadi sempatlah dia berkejar ke airport ambil Dean pula.
“Nak ambil bos eh?”
Jean mengangguk. “Arghhhh! Waktu-waktu macam ni mesti jalan nak ke airport jammed teruk.” Desirnya.
“Biasalah. Dah habis waktu office hour.” Azie mengiakan.
“Okeylah, aku blah dulu. Nanti lambat bising pulak mamat tu.” Jean terus bergegas keluar. Azie pula hanya memerhati sahaja sambil jungkit bahu. Bos dia pun satu, macam tak boleh balik naik teksi. Nak susahkan Jean juga kenapa? Bebelnya dalam hati.
Keluar dari bangunan pejabat lima tingkat itu, Jean terus meluru ke keretanya. Sebaik pengera ditekan, tubuh diloloskan ke dalam perut kereta lalu enjin kereta dihidupkan. Sekali lalu jam di dalam keretanya dikerling. Kalau ikut jadual penerbangan Dean, pukul enam lebih nanti sampailah Dean di KLIA 2 tapi sekarang dia masih di Damansara lagi. Terfikirkan sesuatu, telefon bimbitnya dicapai dan applikasi whatsapp dibuka. Nama Dean dicari dan dia mula menaip sesuatu.
           
 Aku lambat sikit. Sampai aku calling2.- Jean

Send! Bersama helaan nafas keretanya terus dipandu keluar dari kawasan tersebut. Seperti yang dia jangka perjalanan menuju ke KLIA memang memakan masa. Apa tidaknya, mana-mana jalan yang dilalui pasti bertembung dengan kesesakan. Belum lagi ditambah dengan sesak disebabkan kemalangan. Memang sakit jiwa dia dibuatnya. Jam di dalam keretanya dikerling sekali lagi. Sudah hampir ke pukul tujuh malam. Hurmmm…nasib kaulah Dean terpaksa tunggu lama. Desisnya.

Dean & Jean - Bab 8





Bab 8
"Bakpo ma tengok dari takdi lagi Dean gelisoh jah, ado hok tok keno ko?” Hajah Zaiton menegur lalu anak lelakinya itu dihampiri.

"Takdop gapo lah ma, masaloh kerjo sikit," balas Dean dengan senyum nipis di bibir. Pandangannya dibuangkan ke arah ruang tamu yang riuh dengan suara anak-anak saudaranya yang sedang galak bermain. Kak long dengan kedua-dua orang adik perempuannya sedang sibuk menyediakan gubahan hantaran untuk majlis pertunangan esok.

"Balik kampung jare jare pun dok mikir hal kerjo lagi ko?"

Dean sengih sahaja ditegur begitu.

"Haih…Budok-budok ni male-male buto dok berungga lagi,” Hajah Zaiton membebel tetapi hanya didengari oleh Dean sahaja. Cucu-cucunya yang sedang berlari ke sana ke mari di ruang tamu rumah dipandang bersama gelengan.

"Budok-budok ma, biar jo lah, bukenyo jupo sokmo pun walaupun sepupu." Dean buang senyum. Memanglah rimas dengar suara jerit pekik begitu tetapi suasana seperti itu bukannya selalu mereka rasai. Kalau hari raya kadang-kadang tak semua ada sekali. Lebih-lebih lagi kakak sulong dan adiknya yang ketiga kerana mengikut giliran ke rumah keluarga suami masing-masing.

Hajah Zaiton tersenyum dan mengangguk. Orang tua seperti dia sudah tentulah rimas dengan suasana yang riuh begitu. Bingit rasanya. Maklumlah kebiasaannya rumah itu sunyi sahaja. Bila sesekali anak cucu balik, riuh rendah jadinya.

“Oh ya ma, nanti kei maso Dean nok kelik, boleh tok ma tolong buat nasik tupe mace hari tu, saeng Dean suko do oh makei," beritahu Dean sambil tersenyum.

"Boleh, tapi saeng Dean tu tino ko jate, ma tengok senyum semace jo tu," usik Hajah Zaiton dengan senyum lebar.

Serba salah hendak menjawab pertanyaan ibunya itu, Dean tersengih dan kepalanya digaru.

"Hurmm, tengok gitu gak, mesti tino kei?"  Hajah Zaiton terus mengusik.

Dean langsung tidak menjawab tapi terus tersengih ditempatnya.

"Pahtu, bilo nok bowok jumpo ma nyo?"

"Dean saeng jo lah nga dio ma," jawabnya malu-malu.

“Hurmmm…Sapa bilo Dean nok saeng jah, anok daro ore tu, kalau ma pun ma tok berehi ore bowok anok dara ma gi maghi gini. Mace ore takdo agama, tok molek sangat ore kelih. Kalau kene gak, kito sudoh selaluh, royat jo nok, bilo-bilo maso ma ngan ba leh gi miney,"

Dean berdeham. Kena setepek dia tapi masalahnya Jean tu yang liat sangat. Hurmmm…Jean yang liat atau kau tu yang tak reti nak berterus terang Dean? Kau tak cakap perasaan kau pada dia manalah dia tahu. Marahnya kepada diri sendiri.

"Biar dululah ma, Dean nok kelih dio dulu, saeng-saeng dulu, nok cari hok molek loni ni susoh ma," Dalihnya.

"Sapa bilo Dean, umur Dean lah ko tuo doh, adik beradik semuo nikoh belako doh" Hajah Zaiton membebel pula.

"Tunggu dulu ma, Dean dok caghi duit lagi loni, biar kukuh dulu kerjo, bukei senei nok tanggung anok ore ma,"

"Ado jah alase dio tu,” Cemik Hajah Zaiton dan terus bangun dari duduknya. “Oh ma lupo, esok Dean gi umoh Aji Hamdi deh, ambik khemoh hok nok guna pete esok, ma royat doh ko dio.”

“Baiklah ma.” Kepala diangguk.

"Abe ngoh gi rumoh Aji Hamdi boleh lah jumpo kak Najwa, dengar kato, dio kelik pete takdi," tiba-tiba Haida, adik bongsu Dean menyampuk.

"Bakpo pulok abe ngoh nok jupo dio? Toksei ehh!"

"Olohhh, mano tau nanti ma boleh bese ngan Aji Hamdi pulok," usik Haida lagi.

"Mulut tu kecek molek sikit," marah Dean.

Haida sengih sahaja dan terus buka langkah menuju ke dapur. Hajah Zaiton hanya menggeleng sahaja melihat keletah anak-anaknya dan terus beredar.

Dean hanya memerhati sahaja langkah hajah Zaiton sehingga hilang dari pandangan. Kemudian pandangannya dibuangkan ke arah anak-anak saudaranya yang sedang galak bermain. Leka memerhati, tubuh disandarkan ke dinding kerusi. Teringatkan Jean, nafasnya dihela lalu telefon bimbit di dalam kocek baju melayunya dicapai dan jemari dileretkan ke skrin. Kosong. Tiada satu pun miscalled atau mesej dari Jean. Arghhh! Kepada siapa dia hendak bertanya? Telefon rumah Jean? Malulah dia nanti nampak macam dia pula yang beria-ia.

Call Jean semula? Hati berbisik lagi. Manalah tahu kali ini talian Jean boleh ditembusi. Kepala diangguk lalu tubuh ditegakkan semula. Baru sahaja nombor Jean ingin didail tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dan nombor Jean yang tertera diskrin. Serta merta itu, helaan nafas lega dilepaskan. Bersama senyum yang mula melebar panggilan Jean terus disambut.

“Assalamualaikum…” sapanya.

“Waalaikumsalam.”

Terdengar suara manja Jean ditalian hilang rasa gundah di hatinya sejak petang tadi. Mungkin sebab itulah Jean dianggap pain killer bila dia serabut dan bermasalah. Tidak mahu adik-adiknya menganggu perbualan tersebut, Dean bingkas bangun dan terus keluar dari rumah menuju ke kerusi kayu di hadapan rumah. “Kenapa baru sekarang call? Tahu tak macam mana aku risau fikirkan tentang kau sejak petang tadi?” bebelnya dan terus duduk.

Jean tergelak kecil. “Sorry, balik dari One Utama tadi aku terus tidur. Bangun, solat magrib lepas tu dinner. Dan sekarang baru aku free nak call kau.”  Terangnya panjang lebar.

“Kan tak elok tidur lepas asar nanti cepat lupa. Aku dah banyak kali pesan.”

“Aku penat sangat hari ni.”

“Hurmm…iyalah. So, apa yang jadi petang tadi? Kau bergaduh dengan siapa?”

Jean mendengus. “Ada sorang mamat tu boleh pulak terlanggar aku sampai phone aku jatuh ke bawah. Pecah berderai kau tahu tak?” marahnya.

“Habis tu sekarang call aku pakai phone mana? Beli phone baru?”

“Memang taklah aku nak beli baru. Aku suruh mamat tu ganti dan dia belikan aku Iphone XS.” Ceritanya beria.

“Untunglah!” Dean mengusik.

“Tapikan aku rasa tak syok jugak sebab phone ni mahal kut compared yang aku punya tu.”

“Okeylah tu, rezeki. Siapa yang nak bagi kan?”

“Hurmmm…iyalah. Kau tengah buat apa tadi masa aku telefon kau?”

“Tengah borak dengan mak aku.” Dean sandarkan tubuhnya ke kerusi dan pandangan dibuangkan ke langit yang semakin gelap ketika itu.

“Eh! Aku kacau kau dengan mak kau ke?”

“Masa tu mak aku tengah tanya tentang kau.”

“Tanya pasal aku? Kenapa? Mesti kau ada cerita yang bukan-bukan pasal aku kan? Haih! Kau ni.”

“Kau ni suka salah sangka. Manalah aku pernah cerita buruk tentang kau?”

“Habis tu kenapa mak kau tanya tentang aku pulak?”

“Iyalah, mak aku tanya bila nak bawa bakal menantu dia ni balik.” Dean cuba bergurau walau sebenarnya dia benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya itu.

“Hurmmm…Jangan nak buat lawaklah.” Suara Jean sudah mula berubah.

Dean buat-buat ketawa. “Tapi mak aku betul-betul nak jumpa kau, Jean sebab aku selalu cerita pasal kau.” Jujurnya beritahu.

“Haish! Seganlah. Nanti mak kau beria-ia ingat aku ni girlfriend kau.”

“Kalau betul pun apa salahnya.”

“Dahlah. Malas aku cakap dengan kau lagi. Kata-kata kau malam ni lain macam sangat.”

Kecewa dengan penerimaan Jean, Dean hela nafas. “Okeylah…okeylah. Aku gurau pun tak boleh. Sensitif sangat malam ni kenapa?”

“Kau tu entah apa-apa agaknya.”

“Iyalah, lain kali aku tak cakap macam tu lagi.”

Jean terdiam dan suasana menjadi hening seketika. Tiba-tiba dia mati kata-kata.

“Dah tidur ke?” Dean pelukkan sebelah tangannya ke tubuh dan langit yang mula ditaburi bintang direnung. Kalaulah ketika itu mereka berdua memandang pada langit yang sama alangkah indahnya. Hati berbisik sendiri.

“Belum.”

“Dah tu senyap aje kenapa?”

“Aku tak tahu nak cakap apa.”

Dean tergelak kecil dan nafasnya dihela. “Kalau kau nak tidur, pergilah tidur.” Suruhnya.

“Ermmm…taklah. Aku dah banyak tidur petang tadi jadi malam ni mesti aku jadi burung hantu. Kalau kau ada tentu aku ajak kau melepak kedai mamak malam ni.” Degusnya.

Sekali lagi tawa kecil Dean meletus. Rindunya dia dengan Jean. Rindu dengan jelingan manja Jean. Rindu dengan mulut Jean yang kuat membebel. Rindu dengan tawa Jean yang mencuit hati malah dia rindu segala-galanya tentang Jean. Arghhhh! Baru sehari kau tinggalkan dia, Dean! Bebelnya kepada diri sendiri.

Baru sahaja Dean ingin membalas kata-kata Jean, terdengar kuat suara hajah Zaiton melaung namanya. Dean tegakkan tubuh dan berpaling. “Kejap Jean.” Ucapnya dan terus menyahut panggilan tersebut. “Ya, ma.”

"Maghilah masuk minum, ma buat air panas doh tu,”

“Okey ma. Kejap lagi Dean masuk.” Balasnya dan duduknya dibetulkan kembali.

Nanti aku call kau balik Jean. Mak aku panggil ajak minum tu.”

“Okey. Jangan lupa nasi tumpang aku tau.” Jean mengingatkan.

Dean ketawa lagi. “Iya, aku dah suruh mak aku buatkan untuk bakal menantu dia ni.” Selorohnya.

Berdecup mulut Jean mendengar gurauan tersebut tetapi dia langsung tidak membalas semula.

“Goodnight and miss you. Assalamualaikum.”

Tanpa menunggu balasan dari Jean, talian terus dimatikan. Sengaja dia membiarkan Jean terpinga-pinga di sana.  Kalau dibiarkan Jean membalas tentu kena bebel lagi dia.

Jean merenung telefon bimbitnya tidak berkelip. Benarkah apa yang diucapkan oleh Dean tadi atau dia tersilap dengar? Pelik betul dia dengan Dean sejak kebelakangan itu. Suka sangat menyebut perkara yang entah apa-apa. Rasanya Dean tak maksudkan apa yang dia cakap kan? Hati tertanya sendiri. Kepala digeleng. Tak, Dean tentu sedang bergurau dengannya. Mengenali Dean dia tahu benar lelaki itu memang suka mengusiknya. Malas hendak memikir lagi, telefon bimbitnya terus dicampak ke atas meja sisi dan tubuhnya direbahkan ke tilam. Sambil merenung siling, kata-kata Dean tadi terngiang-ngiang lagi dan dia tersengih.

Ish, Jean! Dean sengaja nak usik kaulah! Bebelnya kepada diri sendiri dan matanya terus dipejamkan.

"Kecek ngan sapo ralit molek?" Hajah Zaiton buang senyum. Kalau bercakap pun jauh-jauh begitu sudah tentulah anak terunanya itu sedang bercakap dengan perempuan.

Dean tersenyum. “Jean.” Balasnya tidak berselindung.

“Jean? Jean mano pulok?” soal Hajah Zaiton penuh minat.

"Jean hok suko nasik tupe ma tu lah." Dean tersengih.

Senyum hajah Zaiton melebar. Tadi bukan main menafi tapi sekarang jujur pula. Jadi fahamlah dia apa maksudnya. "Pahtu, bilo nok kenal ko Ma nyo? Kalau kene gak, leh bekwoh sekali ngan acu nanti,” Cadangnya.

Dean tergelak. Amboi, cepat betul ma buat perancangan. Kalau adiknya hendak bersanding sekali dengan dia, mahu makan tahun lamanya. Faham sajalah Jean itu macam mana.  “Nanti dulu lah ma, sapa tiko Dean royat ko ma,”

Hajah Zaiton tersenyum dan kepalanya diangguk. “Iyolah.” Jawabnya sepatah. Soal kahwin, biarlah Dean yang tentukan sendiri. Bagi dia, walau siapa pun pilihan anak-anak, dia akan sedia menerimanya. Yang hendak hidup bersama itu anak-anak bukannya dia atau suaminya. “Maghi minum.” Air kopi tarik yang sudah dituangkan ke dalam cawan terus dihulurkan.

Dengan senyum yang masih terukir, Dean mengangguk dan huluran haja Zaiton disambut.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...