Bab
7
“Kau nak cari apa sebenarnya ni Jean?”
Bebel Moon dengan muka berkerut-kerut. Penat dia mengekor langkah Jean sedari
tadi. Habis satu bangunan pusat membeli belah One Utama itu mereka jelajahi.
Peliknya Jean tidak rasa penat ke? Lututnya seperti hendak tercabut berjalan
tanpa henti sejak tadi.
Jean jungkit bahu. Dia sendiripun tidak
tahu apa yang dia hendak cari di situ. Sedari tadi ke sana ke mari tetapi tiada
satu apa pun yang menarik minatnya. Pandangan dibuangkan ke sekeliling tetapi
semuanya kelihatan hambar. Bosan! Dengusnya.
“Kau tak tahu kau nak cari apa tapi
habis satu bangunan One Utama ni kau bawak aku jalan. Kaki aku dah lenguhlah
weiii!” Marah Moon pula.
“Alaaa, kau ni. Jalan sikit pun dah
lenguh. Cubalah exercise sikit. Kata nak kurus.” Balasnya bersahaja dan mula
buka langkah semula.
“Nak kurus? Weiiii! Berat badan aku
masih normal lagi tau. Lima puluh lima kilogram dengan ketinggian aku, satu
kaki lima inci tu masih okey sangat lagi. Kalau aku nak kurus pun bukannya
dengan menapak sekeliling shopping complex macam ni. Penat sia. Aigooooo!”
Bebelnya.
Jean mencemik dan semakin melajukan
langkahnya.
“Heiii! Heiii!” Moon menggeleng tapi
tetap mengekor. “Kau nak kemana pulak ni?” Lengan Jean diraih dan ditarik
supaya berhenti.
“Nak cari starbuck. Kau nak minum tak?”
“Weiiii! Starkbuck kat tingkat
bawahlah.” Balas Moon bersama dengusan keras.
“Yang kau kalut sangat ni kenapa? Lif
kan ada.” Jean masih beriak bersahaja. Langsung tidak terkesan dengan amarah
sahabatnya itu. Tidak terus menunggu di situ, langkah dibuka kembali. Baru
beberapa langkah dia berjalan tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat
telefon bimbit di dalam beg tangannya dicapai. Malas dia hendak melayan bebelan
Moon. Sebaik terpandangkan nama Dean di skrin, bibir terus menguntum senyum.
Sepantas kilat itu, panggilan tersebut disambut.
“Waalaikumsalam.” Jawabnya membalas
salam yang dihulurkan dan langkahnya dianjakkan ke tepi berdekatan penghadang
besi kerana tidak mahu menganggu laluan orang lain.
“Dekat mana tu? Bisingnya.”
“One Utama.” Langkah terus diayun.
“Shopping?”
“Tak. Cuci mata.” Balasnya sambil
tersengih.
“Cuci mata cari apa? Boyfriend?”
“Kalau jumpa apa salahnya.” Guraunya
sambil ketawa kecil.
“Yang depan mata ada, yang jauh juga
yang kau cari.”
Mendengar kata-kata Dean, ketawa Jean
semakin galak. “Kau dekat mana?” Tanyanya malas hendak memanjangkan usikan
Dean.
“Pasar Siti Khatijah.”
“Cari awek Kelantan?” Usik Jean pula.
“Aku tunggu mak aku beli barang dekat
dalam tu ha!” Dengus Dean.
Jean tergelak lagi. “Oh!” Dia terus
melangkah. Moon pula hanya mengekor sahaja di sebelahnya dengan wajah cemberut.
“Kau nak kirim apa-apa tak nanti aku
belikan.” Dean menyambung bicaranya.
“Nasi tumpang. Nak yang sedap macam mak
kau buat dulu tu.”
“Itu aje?”
“Itu aje yang aku terfikir sekarang. Kau
balik bila?”
“Dah rindukan aku ke?”
Baru sahaja Jean ingin membalas usikan
Dean tiba-tiba dia terasa tubuhnya dilanggar seseorang dan telefon bimbitnya
terus terlepas dari tangan.
“My phone!” Jeritnya apabila melihat
telefon bimbitnya melayang-layang jatuh dari tingkat dua ke tingkat bawah. “My
phone!” Jeritnya lagi. Hampir menitis air mata dia melihat telefon bimbit yang
baru dibeli tidak sampai tiga bulan itu terhempas ke lantai.
“I’m sorry miss. I tak sengaja.”
Mendengar teguran seseorang Jean
berpaling. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu direnung geram. “Lain
kali tak boleh ke jalan elok sikit? I dah jalan tepi pun you masih langgar
lagi.” marahnya dan terus berlari meninggalkan lelaki itu untuk ke tingkat
bawah. Moon mengekor sambil menjeling lelaki yang melanggar sahabatnya itu
dengan satu jelingan tajam.
“Jean!”
“Jean!”
Tubuh yang sedang bersandar di tepi
kereta terus ditegakkan. Telefon bimbitnya direnung dan dada mula berdebar. Apa
yang berlaku tiba-tiba sahaja perbualannya dengan Jean terputus begitu sahaja.
Nombor telefon Jean didail semula.
Senyap.
Didail lagi dan masih juga senyap.
“Jean…” Bisiknya dan rambutnya diraup.
Teringatkan Moon, cepat-cepat nombor sahabat baik Jean didail. Dia sangat yakin
Moon pasti ada bersama Jean ketika itu. Tidak lama menunggu panggilan berjawab.
“Moon, kau dengan Jean ke?” Soalnya
sehingga terlupa hendak memberi salam.
“Haah, aku dengan Jean ni.”
“Dia kenapa? Aku call dia tak
dapat-dapat ni.” Dean semakin resah.
“Telefon dia jatuh dari tingkat dua ke
ground floor. Dah hancur.”
“Bagi aku cakap dengan dia sekejap.”
“Jean tengah bertekak dengan mamat yang
langgar dia. Nanti dah settle aku suruh dia call kau balik. Aku nak backup dia
ni. Bye.”
Tutttt! Tutttt!
Dean mendengus. Moon pun satu, cepat
sangat letak telefon. Masalahnya, Jean bertekak dengan mamat mana? Dan apa yang
berlaku sampai mereka bertekak di pusat membeli belah? Haih!
“I’m sorry. I tahu I salah. I akan ganti
balik phone tu.” Ucap lelaki itu untuk yang entah ke berapa puluh kali.
“You nak ganti? Ini Iphone X tahu tak?
Bukan seratus dua harganya!” Marahnya sambil menunjukkan telefon bimbitnya yang
sudah hancur skrinnya.
“I akan ganti.” Ucap lelaki itu
bersungguh.
“Okay fine! You nak ganti sangat kan? I
nak you ganti sekarang juga.” Tegasnya. Jangan main-main dengan Jean dan jangan
sesekali buat dia marah. Ha! Itulah akibatnya.
Lelaki itu akur. “Okay…okay. Kita cari
kedai phone sekarang.” Ajaknya bersungguh.
Jean mengangguk lalu tangan Moon ditarik
supaya mengikutnya. Apa yang buat dia geram sangat sebab dia tengah berborak
dengan Dean kut tadi. Mesti Dean tengah risau sekarang. Eeeeiiii…geram betul!
Sampai sahaja di sebuah kedai menjual
telefon bimbit, lelaki itu terus masuk. Jean dan Moon
mengekor.
“I nak Iphone yang paling latest.” Ucap
lelaki itu kepada salah seorang jurujual di situ.
“No, I nak Iphone yang sama macam I
punya.” Celah Jean dan Iphone di tangannya ditunjukkan.
Jurujual tersebut mengalihkan pandangan
ke arah tangan Jean. “Sorry miss, Iphone X kami dah tak ada stok.” Beritahunya.
“Kalau tak ada dekat sini, kita cari
tempat lain.” Tegasnya.
Lelaki itu menggeleng. “It’s okay, I’ll
buy you the latest one.”
“But the price…”
“Anggapkan ianya sebagai compensation
sebab I dah rosakkan hanphone you.”
“But…”
“Please, I betul-betul rasa bersalah
sekarang and dengan cara ini saja I boleh tebus rasa bersalah I.” Lelaki itu
tetap bertegas.
Jean terdiam dan Moon dipandang. Moon
pula dengan riak sedikit sombong, terus mengangguk.
“Ambik je.” Bisiknya
mengapikan.
Dengan helaan nafas dan rasa serba
salah, akhirnya Jean akur. “Fine.” Ucapnya sepatah.
Lelaki itu tersenyum dan terus membuat
urusan jual beli. Selesai semuanya, dia berpaling memandang Jean semula.
“Ini, I ganti balik handphone you yang
rosak tadi. I harap masalah kita hari ni dah selesai dan I betul-betul minta
maaf.” Ucap lelaki itu dan beg kertas berisi Iphone XS yang baru dibelinya tadi
dihulurkan kepada Jean.
“Thank you tapi lain kali tolonglah
berhati-hati. Tak pasal-pasal melayang dekat empat ribu sebab nak bayar ganti
rugi.” Pesan Jean mengingatkan. Huluran lelaki itu disambut. Hurmmm…kata orang rezeki
jangan ditolak. Lagipun apa yang berlaku salah lelaki itu juga. Desisnya cuba
menyedapkan hati sendiri. Maklumlah, dia bukannya suka menerima pemberian dari
orang sembarangan. Hanya pemberian Dean sahaja yang dia terima walau dengan banyak
soal.
“Yeah, I’ll be extra carefull next
time.”
“So, thanks again for the phone.” Jean
berbahasa dan mula buka langkah untuk pergi dari situ.
“Miss…” Panggil lelaki itu dan ikut buka
langkah. Jean berpaling dan keningnya dijungkitkan.
“May I know your name?”
Jean terdiam dan lelaki itu dipandang
tidak berkelip.
“If you tak keberatan nak beritahu I.”
“Jean…” Balas Jean sepatah. Moon di
sebelahnya sudah tarik muka menyampah dan tidak puas hati. Entah kenapa dia
tidak berapa suka dengan lelaki itu walaupun kacak orangnya.
Lelaki itu tersenyum dan tangannya
dihulurkan. “I, Hazif.” Ucapnya.
Jean hanya memandang sahaja lelaki yang
bernama Hazif itu tanpa perasaan dan huluran lelaki itu dibiarkan tidak
bersambut. Memang dia nampak moden tapi dia tidak akan menyambut salam dari
lelaki yang bukan mahram. Sorry! Desisnya.
Mengerti akan penolakan itu, Hazif terus
menjatuhkan tangannya. “Nice meeting you.” Ucapnya lagi dengan senyum lebar di
bibir.
Jean senyum segaris dan terus meminta
diri beredar dari situ.
“Aku tak sukalah dengan mamat tu.” Moon
bersuara setelah diam membisu sejak tadi. Sambil berjalan, lelaki yang masih
berdiri memerhati ke arah mereka dikerling.
“Kau tak payahlah nak susah payah
sukakan dia. Lagipun bukannya kau akan jumpa dia lagi.” Selamba Jean membalas.
“Tapi mamat tu boleh tahan juga handsome
kan?” Moon tersenyum gatal. Lelaki bernama Hazif itu dikerling lagi.
Jean lepaskan tawa dan menoleh
sahabatnya itu sekilas. “Dah tahu handsome kenapa tadi tak minta nombor
telefon?” keningnya dijungkitkan bersama senyuman. Moon, pantang betul nampak
lelaki kacak. Bukan main menggedik lagi. Begitulah juga reaksi Moon ketika kali
pertama jumpa Dean. Tak henti-henti puji Dean kacak. Sampai naik kebas telinga
dia dengar ayat yang sama setiap hari. Tapi dia tak pernah beritahu Dean yang
Moon selalu memujinya. Tak nak dia tengok Dean tayang muka bangga bila kena
puji. Menyampah!
“Haish! Takkanlah aku nak minta nombor
telefon. Buat malu aje.”
“Reti malu? Aku ingat kau tak reti
malu.” Gelaknya.
Dikutuk begitu, Moon mencemik dan tarik
muka. Teringatkan sesuatu, dia bersuara semula. “Alamak Jean, lupa nak beritahu
kau, tadi Dean ada call aku tanya pasal kau. Nanti kau telefonlah dia balik.
Dengar suara dia macam risau aje.” Beritahunya.
“Mamat tu memang gitu. Entah apa yang
dia risau sangat agaknya.” Dengusnya.
“Kau ni orang risau pun salah.” Marah
Moon.
Jean mencemik.
“Tapi kan Jean, dia dekat mana sekarang
eh?”
“Balik Kelantan. Adik bongsu dia
bertunang.”
Moon mengangguk. Hurmmm…patutlah beria
Jean ajak dia keluar dan ukur One Utama hari itu. Bosanlah tu sebab Dean tak
ada. Kalau Dean ada tentu Dean yang jadi mangsa. Dia sebenarnya pelik juga
dengan Jean dan Dean. Kata kawan baik tapi nampak macam couple. Peliknya, rajin
pulak Dean melayan. Dia kalau Jean ajak pergi makan memang no hal tapi kalau
diajak ke shopping complex memanglah dia surrender. Jean kalau berjalan tak
reti berhenti selagi kakinya tidak penat. Betullah seperti emak dia pernah
kata, orang kalau ada tahi lalat di kaki memang kuat berjalan. Contohnya ada
depan mata dia. Si Jean lah siapa lagi. Haih!
“Jangan lupa tu nanti call dia.” Dia
mengingatkan.
“Haih! Tahulah aku.” Acuh tak acuh Jean
membalas dan semakin melajukan langkahnya.
“Eh! Tadi kata nak pergi minum dekat
starbuck?” Melihat Jean yang sudah berjalan menuju ke arah lif, Moon
terpinga-pinga.
“Tak ada mood dah nak minum. Kita terus
baliklah.”
Moon mendengus. “Jean aku hauslah!”
jeritnya dan kepala digeleng geram.
Tidak mengendahkan Moon, Jean hanya
meneruskan langkahnya.
Moon ketap gigi melepaskan geram dan
takut kena tinggal, cepat-cepat kakinya diayun.
No comments:
Post a Comment