Followers

Friday 28 February 2020

Dean & Jean - Bab 10










Bab 10
Dean buang pandang ke sekeliling kemudian telefon bimbit di tangan dikerling pula. Kereta Jean masih belum kelihatan dan mesej gadis itu juga tiada. Spontan itu jam dipergelangan tangan dikerling. Waktu sudah hampir menginjak ke pukul lapan malam tetapi bayang-bayang Jean masih juga belum kelihatan. Tidak terus menunggu, nombor telefon Jean didail. Senyap. Sekali lagi nombor Jean didail. Lama dia menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut juga.
“Waalaikumsalam.” Salam Jean disambut dan tubuh disandarkan ke tiang di luar pintu balai ketibaan.
“Aku dah nak sampai. Sorry, jalan jammed teruk.” Belum sempat dia bertanya, Jean sudah memberikan jawapannya.
“Kau tunggu dekat luar kan? Dalam lima minit lagi aku sampai.”
Klik!
Jean menamatkan perbualan mereka tanpa sempat dia berkata apa-apa. Hurmmm…Jean, bila berada di dalam keadaan kalut memang begitulah dia. Bibir terus mengukir senyum. Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam poket seluar dan langkah diayun ke hadapan sedikit supaya senang Jean memberhentikan keretanya. Belum sampai lima minit dia menunggu, Honda HRV berwarna merah Jean sudah berhenti betul-betul di hadapannya. Nasib baik ketika itu tidak ramai orang yang berada di situ jadi senanglah Jean melihatnya dan memberhentikan keretanya.
“Sorry Dean, ada excident tadi sebab tu lambat. Gila betul dekat dua jam sangkut dalam jammed. Naik lenguh kaki aku asyik tekan break aje.” Bebel Jean bercerita tentang apa yang berlaku.
“It’s okay, aku faham. Aku ingat kenapa tadi sebab lewat sangat kau sampai. Kalau setakat jammed aku tak kisah sangat tapi aku risau kereta kau rosak dekat mana-mana masa on the way ambil aku.”
Jean buang sengih. “Kau nak risau buat apa? Kereta aku kan kau yang selalu hantar servis bila dah sampai masa.” Dia mengingatkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan lapangan terbang.
“Memanglah tapi malang tak berbau. Selalu servis pun kalau tiba-tiba nak rosak kita tak boleh kata apa juga kan?” Kening dijungkit.
“Iyalah…iyalah Encik Dean. Message received loud and clear. So, sekarang, kita nak pergi makan dekat mana? Aku dah lapar.” Rungut Jean. Apa tidaknya kali terakhir dia makan adalah pagi tadi. Lunch hour pun dia tak sempat keluar sebab menyediakan dokumen untuk perbincangan dengan wakil Nutra Beauty.
“Singgah kedai mamak yang biasa kita lepak tu ajelah. Kau boleh makan nasi tumpang yang ma aku buat dekat situ.”
Sengih Jean melebar. “Ma kau baik eh. Minta buat, sungguh-sungguh dia buatkan.” Puji Jean.
“Buatkan untuk bakal menantu sebab itulah ma aku beria.” Gumamnya perlahan.
“Kau cakap apa?” Jean memandang Dean di sebelah dengan kerutan di dahi.  
“Tak ada apalah. Pandang depan masa tengah drive. Kau tu bukannya pro sangat.” Dalih Dean.
Jean mencemik. Pandangannya terus dibuangkan ke hadapan. Sepanjang perjalanan dari Sepang sehinggalah ke kedai mamak favourite mereka yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, tak banyak perkara yang mereka bualkan. Dean lebih suka berdiam dan mendengar sahaja Jean menyanyi mengikut CD yang dipasangnya ketika itu. Suara Jean tidaklah sedap mana tapi dia suka saja mendengarnya. Jean, apa sajalah yang dibuatnya dia tak suka. Jean membebel pun dia suka dengar inikan pula menyanyi.
Sampai sahaja di hadapan kedai yang dituju, Jean terus memberhentikan keretanya. Mereka terus keluar dan berjalan beriringan masuk ke dalam restoran tersebut.
Sebaik duduk, Dean terus angkat tangan memanggil pelayan. Tidak lama menunggu seorang lelaki india muslim datang menghampiri mereka.
“Jean, kau nak air apa?” Jean yang sedang membetulkan duduk dipandang. Jean, walaupun dengan rambut yang diikat ala kadar begitu, tetap nampak cantik. Bukan cantik tapi perkataan yang sesuai menggambarkan Jean ketika itu adalah comel dan cute. Biasalah bila dah seharian bekerja memang begitulah penampilan Jean. Peliknya, Jean langsung tak kisah orang melihatnya dalam keadaan itu. Sesetengah perempuan seusia Jean tentu kisah kalau keluar tanpa make up atau berpenampilan tidak kemas tetapi bukan Jean. Mungkin sebab itulah dia jatuh hati pada Jean. Jean nampak jujur pada diri sendiri begitu juga bila berdepan dengan orang lain.
“Teh o panas.” Nafasnya dihela dan ikatan rambutnya dikemaskan.
Melihat apa yang dilakukan Jean, Dean tersenyum. Jean macam tahu-tahu sahaja apa yang ada di dalam fikirannya. “Saya nak teh tarik kurang manis dan mee goreng mamak. Jangan buat pedas sangat.” Pesannya.
Selesai menuliskan pesanan, pelayan itu terus beredar.
“Nasi tumpang yang kau pesan tu. Makan habiskan. Kalau simpan aku takut basi pulak.” Tupperware yang baru dikeluarkan dari dalam beg diletakkan di hadapan Jean dan dia bingkas bangun. Bekas sudu dan garpu dari meja sebelah diambil dan diletakkan di atas meja. “Sekejap aku minta pinggan dulu.”
Jean hanya senyum sahaja dan mengangguk. Tupperware di atas meja dibuka dan serta merta itu aroma nasi tumpang menyucuk hidung. Ya Allah, sedapnya. Bisiknya sambil memejamkan mata.
“Haiii…sampai macam tu sekali syoknya dapat nasi tumpang?” Dean ketawa. Pinggan yang dibawanya diletakkan di hadapan Jean.
“Seriuslah Dean, nasi tumpang yang mak kau buat ni sedap gila.” Pujinya dan satu bungkus nasi tumpang dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam pinggan. Daun pisang yang membaluti nasi tumpang itu terus dibuka dan sekali lagi matanya dipejamkan. “Kalau hari-hari makan sedap macam ni, gemuklah aku.” Gelaknya. Sudu dan garfu dicapai tetapi baru sahaja nasi tersebut ingin disuapkan ke mulut, Dean menegur. Spontan itu kepalanya diangkat dan keningnya dijungkitkan.
“Baca doa dulu.” Lembut Dean mengingatkan.
Jean tersengih lalu kepalanya digaru. Akur, kedua-dua tangannya diangkat dan doa makan dibaca. “Amin.” Ucapnya dan tangan diraupkan ke muka. “Dah boleh makan kan?” selorohnya.
Dean tergelak kecil dan kepalanya diangguk. Tubuh terus disandarkan ke kerusi dan tangan dipelukkan ke tubuh. Mata pula sejak tadi tidak berganjak memerhati Jean yang begitu asyik menikmati nasi tumpang di hadapannya.
“Eh! Kau tak nak ke? Sedap ni.” Ucap Jean beria.
Kepala digeleng. “Aku dah makan masa dekat rumah ma tadi. Itu semua ma aku bungkuskan untuk kau.”
“Baiklah ma kau.”
Tidak membalas pujian Jean, Dean hanya senyum sahaja. Jean pula terus menyambung suapannya. Teringatkan sesuatu, kepalanya diangkat memandang Dean semula.
“Aku lupa nak beritahu kau tentang meeting hari ni.” Jean bersuara dengan mulut yang masih penuh dengan makanan.
“Makan dulu Jean. Yang tu nanti kita boleh bincang.” Tegur Dean.
“Oh! Okay.” Jean buang sengih dan menyambung makannya.
Dean masih terus memerhati sehinggalah makanan yang dipesannya dihantar. Mee goreng mamak yang baru dihidangkan terus dinikmati.
“Okey, kau nak cakap apa tadi?” Tisu dicapai dan mulutnya yang terasa berminyak dikesat. Pinggan yang sudah licin isinya ditolakkan ke tengah sedikit. Gelas teh tarik yang sudah sejuk dicapai lalu dihirup.
Jean yang juga baru sudah makan tegakkan tubuh. Daun pisang yang diletakkan ke atas meja dikumpulkan dan diletakkan ke dalam pinggan. Fuh! Jean, sekali hadap empat bungkus nasi tumpang yang kau bedal. Dalam Tupperware ada baki dua bungkus yang masih belum terusik. Cukuplah tu simpankan untuk mama dan papa merasa. Setakat dua aje? Hurmmm…okeylah tu dari tak simpankan langsung kan?  Gelaknya dalam hati.
“Blurkkkkkk!” Sedawa Jean tiba-tiba berbunyi memecah sunyi antara mereka.
Dean tergelak sambil gelengkan kepala. “Buatlah macam tu depan mak mertua kalau nak kena kutuk.” Pesannya dengan tawa yang masih bersisa. Tak senonoh betul tapi yang tak senonoh itulah yang menceriakan hari-harinya. Lagipun Jean berkelakuan kurang sopan begitu hanya di hadapannya sahaja. Kalau bersama orang lain, Jean memang sangat serius orangnya.
“Terlepas. Bukannya aku sengaja.” Balasnya selamba. Boleh pulak dia selamba sendawa ditempat terbuka begitu. Haih! Buruk betul perangai kau kan Jean? Marahnya kepada diri sendiri.
“So, apa yang kau nak beritahu aku tadi?” Sekali lagi Dean bertanya.
“Bila dah kenyang tiba-tiba aku lupa pulak apa nak beritahu kau tadi.” Balasnya bersahaja. Gelas di atas meja dicapai dan terus dihirup sehingga licin isinya.
“Hurmmm…kalau aku tahu tak payah bagi makan dulu tadi.”
Jean tergelak. Gelas yang masih di tangannya diletakkan ke atas meja semula. “Pasal meeting dengan wakil Nutra Beauty petang tadi.”
Dean mengangguk. “Okey.”
“Nutra Beauty beri kita tempoh dua minggu untuk siapkan iklan tu.”
“Dua minggu?” Dean terdiam dan dagunya digosok-gosok. Dalam masa dua minggu manalah sempat walaupun setakat untuk iklan tak sampai sepuluh minit. “Kenapa cepat sangat?” soalnya setelah lama membisu.
“Iklan tu mereka nak keluarkan sebulan lebih awak dari produk. Marketing strategi katanya.” “Tapi Mirzan kata nak keluarkan iklan serentak dengan produk?”
Jean angkat bahu. “Tukar strategi kut.” Balasnya acuh tak acuh.
“Nanti bagi aku nombor telefon wakil dari Nutra Beauty. Aku nak discuss schedule untuk shooting.”
Mendengar permintaan Dean, senyum Jean melebar.
“Kenapa?” Dean kerutkan dahi. Pelik melihat senyum yang Jean pamerkan.
“Kau mesti teruja bekerja dengan dia.” Jean jungkit kening.
“Kenapa?” ulang Dean sekali lagi dengan kerutan yang makin dalam.
“Wakil dari Nutra Beauty untuk projek ni perempuan. Cantik pulak tu. Nama dia Nurlida.” Beritahu Jean sambil tersenyum mengusik.
Dean mencemik. Dia ingatkan apalah tadi. Jean ingat dia hairan bekerja dengan perempuan cantik? Apa yang penting bagi dia, Jean ada di sisinya sudah cukup. Dia tak perlukan perempuan lain dalam hidup dia. Takkan itu pun Jean tak perasan lagi?
Melihat reaksi Dean, Jean terus mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg. Nombor Nurlida dicari dan terus dihantar kepada Dean. “Aku dah share nombor telefon awek tu dekat kau. Nanti free call lah dia.” Kening dijungkit nakal. “By the way Dean, yang aku tahu dia tu single lagi.” sambungnya sambil tersengih lebar.
Berdecup mulut Dean digiat begitu. Malas hendak melayan senget Jean, tangannya terus diangkat dan pelayan dipanggil.
“Kira.” Suruhnya apabila pelayan sampai dimeja mereka.
“Aih! Takkan marah kot? Aku cuma nak kenalkan perempuan yang cantik pada kau bukannya aku buat apa pun.” Jean kerutkan dahi. Tadi elok aje mood Dean. Tiba-tiba aje tarik muka. Rasanya dia tak adalah cakap yang bukan-bukan.
“Jom. Lewat dah ni.” Ajak Dean sebaik selesai membuat bayaran. Dengan muka yang masih cemberut, dia terus berdiri.
Terpinga-pinga melihat reaksi Dean, Jean ikut berdiri. Tupperware di atas meja dicapai dan dia terus berlari mendapatkan Dean yang sudah beberapa langkah jauh ke hadapan.
“Kunci.” Dean hulurkan tangan.
“Nak buat apa?”
“Biar aku hantar kau.”
Jean mendengus. “Lecehlah kalau kau hantar. Nanti esok pagi lepas subuh kau dah sampai. Tak apalah biar aku hantar kau. Aku boleh aje balik sorang-sorang. Lagipun belum pukul sepuluh lagi.” Tolaknya. Kalau Dean yang menjemput dia pergi kerja, pukul tujuh setengah pagi Dean dah tercongok depan pintu pagar rumah dia.
“Biar aku hantar kau. Esok aku ambil pukul lapan pagi.” Dean mula berkompromi.
Jean terdiam memikir. 
“Jean…” Panggil Dean lembut sedikit dari tadi.
Bersama helaan nafas, akhirnya Jean akur. Kunci keretanya terus dihulurkan kepada Dean. “Jangan ambil awal sangat.” Dia mengingatkan.
Dean buang senyum. “Iya…” ucapnya berjanji lalu penggera kereta ditekan.
“Esok ikut aku jumpa wakil Nutra Beauty tu.” Tegas Dean seolah memberi arahan.
“Kenapa pulak?” Berkerut dahi Jean mendengar arahan Dean. Tugas dia kan dibahagian design dan finishing?
“Kau kan pembantu aku so untuk projek ni aku nak kau ikut aku.” Dean tersengih dan keningnya dijungkit. Sibuk sangat nak kenalkan dia dengan perempuan lain kan? Tak pasal-pasal kena terlibat sekali. Gelak Dean dalam hati.
Jean mendengus dan menunjukkan riak tidak puas hatinya. Dengan muka cemberut, tali pinggang dipasang dan tangan terus dipelukkan ke tubuh.
Dean hanya buat tidak tahu sahaja dan terus memandu kereta Jean beredar dari situ.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...