Followers

Tuesday, 3 March 2020

Dia Bukan Bidadari - Bab 7








Bab 7
“Reez, kau buat apa sekarang? Dah mula kerja?” Mata tertala ke arah Fareez yang sedang leka mengunyah kentang goreng di mulut. Rasanya sudah hampir dua bulan mereka tidak bertemu lebih-lebih lagi sejak Fareez buat keputusan untuk menetap terus dengan neneknya dikampung. Tiba-tiba muncul di KL ni pun entah apa sebabnya. Kalau disebabkan kerja memang tidak mungkinlah sebab setahunya sahabatnya itu sudah bertahun menjadi penganggur terhormat.
“Tak buat apa-apa. Buat bodoh aje.” jawab Fareez selamba. Tawa kecil dilepaskan. Air sirap limau di atas meja dicapai dan dihirup.
“Ciss!” Borhan mendengus. Kotak rokok di atas meja dicapai dan dibalingkan ke arah Fareez yang sedang tergelak di hadapannya.
“Main kasar nampak?” Bedil Fareez apabila kotak rokok tersebut terkena dahinya. Perlahan-lahan dahinya digosok.
Borhan tersengih. “Sorry..” ucapnya sebelum pandangan dibuangkan ke arah Syed Azrai yang sedang termenung di sebelahnya.
“Ha, kau dah kenapa Ray? Dari tadi aku tengok semacam aje muka tu.” Tegur Borhan sambil tangan Syed Azrai disenggol.
Syed Azrai tersentak. “Apahal?” kalut dia bertanya. Borhan dan Fareez dipandang silih berganti.
Fareez tergelak. Gelihati melihat riak kalut sahabatnya itu.
“Kau tu kenapa? Sejak kau duduk sampailah sekarang, asyik termenung aje. Apa yang kau nampak dalam air tu sampai tak berkelip mata kau mandang ke situ?” Gelas Syed Azrai dicapai dan dibelek-belek.
“Kau nampak apa Bob?” sengaja Fareez mengusik. Bibir sudah mula lebar dengan senyuman.
“Aku nampak awek tak pakai baju dalam air ni tengah berenang. Patut beria-ia kawan kita tenung air tu. Ada free show rupanya.” Borhan terus ketawa.
Fareez ikut ketawa. Mengekek-ngekek. Gelihati mendegar kata-kata Borhan tadi. Bengong punya kawan.
Syed Azrai mendengus. Gelas di tangan Borhan dicapai dan diletakkan semula ke atas meja. Hampir tertumpah air fresh orange tersebut dibuatnya. “Lawak sangatlah tu?” marahnya. Borhan dijeling.
“Opssttt...ada orang marah.” Borhan terus tutup mulut. Dengan Syed Azrai jangan salah bergurau. Naya dia nanti.
“Kau kenapa?” Fareez terus bertanya. Dengan suara yang sudah berubah rentak. Serius tetapi dengan nada yang terkawal. Pandangannya dilabuhkan ke wajah sahabatnya itu dan tubuhnya disandarkan ke dinding kerusi.
Syed Azrai melepaskan keluhan kecil. Kotak rokok di atas meja dicapai dan sebatang rokok dikeluarkan. Sebaik rokok tersebut terletak elok dibalik dua bibirnya, pemetik api dipetik dan ditalakan ke arah hujung rokok.
Fareez dan Borhan hanya memerhati sahaja apa yang dilakukan oleh Syed Azrai ketika itu. Kalau sudah begitulah riak sahabatnya, mereka pasti ada sesuatu yang telah berlaku.
Asap rokok dihembus dan duduknya dibetulkan. “Ada sorang perempuan ni...” kata-katanya terhenti.
“Aku dah agak dah mesti ada kaitan dengan perempuan..” cepat sahaja Borhan memintas. Kalau sudah namanya kaki perempuan, masalah yang datang pun semuanya sebab perempuan.
Syed Azrai mendengus. Borhan dijeling lagi. Lebih tajam dari tadi.
“Kau ni Bob, cuba dengar dulu apa yang Ray nak cerita.” Marah Fareez bersama gelengan.
Borhan tersengih dan tangannya diangkat. Akur dengan kesilapan diri.
“Kenapa dengan perempuan tu?” melihat Syed Azrai yang seperti sudah tidak berminat hendak bercerita, Fareez bertanya. Dia pun hendak menyibuk juga.
“Entah...aku tak faham betul dengan dia.” Nafas dihela. Rokok yang hampir separuh dihisap itu terus dilenyekkan ke dalam astray.
“Maksud kau dengan tak faham tu apa?” berkerut dahi Fareez memandang sahabatnya itu.
“Okey, aku nak tanya kau berdua. Pernah tak selama ni ada perempuan yang tak suka keluar dengan aku?” Fareez dan Borhan dipandang.
Kedua-duanya menggeleng.
“Ada tak perempuan yang tak nak beri nombor telefon mereka setiap kali aku minta?”
Fareez dan Borhan menggeleng lagi.
“Dan pernah tak ada perempuan yang sengaja mengelak dari aku?”
Jawapannya tetap sama. Fareez dan Borhan menggeleng lagi.
“Itu yang aku hairan. Perempuan yang sorang ni peliklah. Masa aku nak hantar dia balik, dia tolak. Aku minta nombor telefon dia, dia tak beri. Aku beri nombor telefon aku tapi masalahnya sampai sekarang dia tak call aku lagi.” ceritanya. Bersungguh-sungguh.
“Dia sengaja nak jual mahallah tu.” Telah Borhan.  “Perempuan tu cantik tak?” tanyanya pula.
“Kau ni Bob, kalau tak cantik kawan kita tak adalah jadi macam ni.” giat Fareez dengan sengih nakal.
Borhan mengangguk mengiakan. Betul sangat tu. Desisnya.
“Relax lah... nanti-nanti dia call lah tu. Dia sibuk agaknya.” Borhan cuba memujuk.
“Dah berhari-hari dah Bob.” Keluh Syed Azrai pula.
“Kalau dah suka sangat cubalah cari dia. Takkan kau tak tahu office dia dekat mana?” Fareez memberi cadangan. Tak mungkin Syed Azrai bertemu perempuan itu di tepi jalan.
Syed Azrai terdiam. Cuba mengingati sesuatu. Lama dia begitu sebelum akhirnya dia tersenyum. Kenapa dia tidak pernah terfikir untuk bertanya pekerja ibu saudaranya tentang Nur Jannah. Hendak bertanya sendiri dengan Puan Sofi, memang tidaklah. Kena leter dia nanti.
“Tiba-tiba kau senyum tu dah kenapa?” Dahi Borhan terus berkerut seribu. Pelik betul orang kalau dah angau ni. Fikirnya.
“Nanti aku cari dia. Thanks Reez untuk idea bernas kau tu.” Syed Azrai terus bangun. Dalam kepala sudah mula memikirkan sesuatu.
“Kau nak kemana pulak tu?” Fareez terus menyoal. Tadi Syed Azrai juga yang beria-ia mengajak mereka ke situ sekarang dia hendak pergi begitu sahaja?
“Nak ke butik auntie aku. Ada hal sikit.” Balasnya dan tidak menunggu dia terus pergi dari situ.
Borhan dan Fareez hanya memerhati bersama gelengan. Berat!


“Macam mana dengan photoshoot kelmarin?” Zulaika terus duduk. Mug di tangannya diletakkan ke atas meja. Sahabat yang sedang leka menonton drama korea kegemarannya itu dipandang.
“Okey.” Sepatah Nur Jannah membalas.
“Lawa tak baju yang kau pakai tu?’ Zulaika bertanya lagi. Dia pula yang terlebih teruja. Kalau tidak kerana dia terpaksa bekerja di luar daerah tentu dia akan ikut Nur Jannah sekali. Dapat jugalah dia melihat ‘artis’ di bawah jagaannya itu beraksi. Haha..
“Tentulah cantik. Pakaian orang-orang kaya.” Nur Jannah masih beriak bersahaja. Mata masih tidak berkalih memandang skrin televisyen.
“Ada selfie tak?” Zulaika masih beriak teruja.
Malas-malas Nur Jannah menggeleng. Mata masih tancap memandang skrin tv leper 20 inci di hadapan.
Melihat Nur Jannah yang seakan tidak berminat hendak melayannya Zulaika terus mendiamkan diri. Sahabatnya itu kalau sedang menonton siri korea kegemarannya itu usahlah diganggu. Memang tidak akan dilayannya. Dia pula bukan jenis manusia yang suka menonton cerita-cerita begitu. Mug di atas meja dicapai semula dan air milo yang sudah mula dedar itu dihirup. Sebaik meletakkan mug tersebut ke atas meja semula, barang tubuhnya terus disandarkan ke sofa. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, telefon bimbit di dalam baju tidurnya diambil. Baik dia layan game candy crush dari duduk bodoh begitu. Fikirnya. Sedang jari jemari leka menekan-nekan skrin, tiba-tiba Zulaika teringatkan sesuatu. Nur Jannah dipandang semula.
“Nur, lupa aku nak tanya kau. Siapa lelaki yang hantar kau balik kelmarin?” tanyanya.
Laju Nur Jannah palingkan kepala. “Mana kau tahu?” soalnya. Iyalah, macam mana Zulaika tahu sedangkan dia sendiri balik lewat malam semalam.
“Kau macam tak faham. Dekat sini kan ramai reporter tak bergaji.” Tawa Zulaika sudah mula kedengaran.
“Hurm... mak cik mana satu pulak yang bertanya kali ni?” Nur Jannah sudah mula pamer riak tidak senang. Sejak mereka tinggal di kawasan tersebut, ramai betul mak cik-mak cik yang terlalu ambil berat. Atau dalam erti kata lain, menyibuk jaga tepi kain orang.
“Mak cik Nab.”
“Aku dah agak dah sebab semalam aku nampak dia beria-ia menjengah dari tingkap. Macam tak ada kerja lain sibuk ambil tahu hal orang. Anak dara dia yang magrib-magrib duduk tersadai dekat tangga blok sebelah dengan jantan tu dia tak kisah pulak!” marah Nur Jannah geram. Tiba-tiba jadi panas hati. Terus hilang mood hendak terus menonton siri korea kegemarannya itu.
“Mulut orang Nur sebab itulah kita kena jaga tingkah laku kita jangan sampai orang bercakap tentang kita. Kadang-kadang perkara yang kita tak buat pun orang boleh bercerita ini pula yang berlaku depan mata.” Zulaika cuba menenangkan sekali menasihati.
“Kalau ikutkan hati aku, dah lama aku pindah dari sini. Tapi itulah, susah sangat nak cari rumah lain. Kalau ada pun mahal nak mampus.” Nur Jannah melepaskan amarah.
“Sabar...kalau ini aje yang kita mampu.” Pujuk Zulaika lembut.
“Dah lama sabar ni Ika. Sejak mula pindah sini macam-macam cerita aku dengar. Belum lagi kisah aku nak mengurat laki makcik-makcik tu. Hellooooo, ingat aku ni desperate sangat? Sakit hati aku.” marah Nur Jannah lagi.
Zulaika tergelak. Kisah itu memang kelakar. Ada ke patut, sahabatnya itu dituduh cuba mengurat suami salah seorang tetangga di situ. Mereka ingat taste Nur Jannah setakat lelaki-lelaki sengkek begitu? Memang silap banyaklah!
“Okey, lupakan kisah tu semua. Yang aku nak tahu, siapa lelaki yang  hantar kau kelmarin? Dengarnya macam orang kaya aje. Bawak kereta mewah.” malas hendak menaikkan lagi darah sahabatnya itu, cepat sahaja Zulaika mengubah topik perbualan mereka.
“Syed Azrai.” Balas Nur Jannah selamba.
“Siapa dia tu?”
“Syed Azrai Mikael bin Tan Sri Jalal, anak pemilik syarikat hartanah terbesar di Malaysia. Single and available.” Nur Jannah pamer sengih. Keningnya dijungkitkan.
Buntang mata Zulaika mendengar jawapan sahabatnya itu. Mana pula Nur Jannah jumpa stok lelaki hebat macam tu?
“Macam mana kau kenal dia?”
“Dia anak saudara puan Sofi.” Jawab Nur Jannah bersahaja.
“Ermmmm...untunglahhhh orang tu..” Zulaika pamer senyum. Nampaknya senarai calon lelaki idaman sahabatnya itu sudah bertambah satu lagi.
Nur Jannah lepaskan tawa. “Baru kenal babe.”
“So, apalagi? Masuklah jarum.” Giat Zulaika dengan sengih lebar. “Aku doakan semoga cita-cita kau tercapai.” Sambungnya lagi. Jujur dari hati. Kalau Nur Jannah bahagia dia pun turut gembira.
Tawa Nur Jannah semakin menjadi-jadi. “Amin!” balasnya dan tangan diraupkan ke muka.
“Eh! Kau jadi balik kampung minggu ni?” teringatkan rancangan Nur Jannah untuk balik ke kampung halaman mereka di Endau Rompin hujung minggu itu, Zulaika menyoal lagi.
“Insya-Allah. Kau nak balik sekali tak?”
“Aku tak janji tapi kalau tak kena outstation lagi, aku ikut.”
“Aku dah rindu dengan abah. Rasanya dah dua bulan tak balik kampung. Kebetulan dapat duit yang puan Sofi beri kelmarin, boleh jugalah aku hulur dekat mak dan abah aku sikit-sikit.” Ucapnya tulus. Entah kenapa sejak kebelakangan ini hati asyik teringat sahaja dengan abah. Seharian itu pula, hati bagai digamit menyuruh dia segera pulang.
“Alhamdulilah, lagipun kalau bukan kita yang bantu mereka, siapa lagi.” Zulaika membalas pula.
Nur Jannah mengangguk mengiakan. Betullah, kalau bukan dia yang membantu abah, emak dan adik di kampung, siapa lagi yang boleh diharapkan? Abah bukannya ada sesiapa lagi selain dia. Adik lelakinya pula sedang belajar di UITM sekarang. Walaupun adik tiri, sayangnya kepada Syarul bagai adik kandung.



"Kakak jadi balik hujung minggu ni Pah?" Pakcik Ahmad kerling isteri yang sedang leka melipat kain sambil menonton televisyen di sebelah.
Makcik Latipah menoleh. "Balik rasanya bang sebab dia tak ada telefon beritahu tak jadi nak balik."
"Awak telefon kakak, cakap dengan kakak tak payah balik dulu." Perlahan pakcik Ahmad bersuara.
"Kenapa pulak bang? Kata rindu sangat dengan dia."  Berkerut dahi makcik Latipah memandang suami. Semasa Nur Jannah menghubungi mereka  minggu lepas bukan main gembira lagi suaminya itu tetapi kenapa tiba-tiba jadi begitu pula?
"Abang tak nak kakak tengok keadaan abang macam ni. Abang tak mahu dia susah hati." Kaki yang berbalut kain hospital itu dipandang. Sesekali sekeliling betis yang luka akibat terkena ekzos motosikalnya itu diusap-usap untuk meredakan rasa sakit.
"Biarlah dia tahu bang. Pah tak nak dia salahkan Pah kalau kita tak beritahu apa yang berlaku."
Pakcik Ahmad menggeleng. "Tak payah. Awak bukan tak tahu perangai kakak. Kalau dia tahu abang macam ni tentu dia tak mahu balik kl semula. Dia baru nak mulakan hidup Pah dan abang tak mahu dia rosakkan masa depan dia. Lagipun luka sikit aje ni." Suara pakcik Ahmad sudah mula berubah sedikit keras.
"Sikit apanya bang, luka besar tu. Sampai nak bergerak pun susah." Bidas Makcik Latipah pula. Kepalanya digelengkan. Degil! Desis hatinya.
"Siapa kata tak boleh bergerak?" tingkah Pakcik Ahmad dengan suara yang sedikit tinggi. Dia terus berdiri tetapi belum sempat kakinya tegak berdiri dia sudah terduduk semula sambil mengaduh kesakitan.
Makcik Latipah bingkas bangun. Suaminya dihampiri. "Macam ini pun abang cakap sakit sikit?" Bebelnya dan kepala digeleng.
Pakcik Ahmad terdiam. Muka masih menyeringai menahan sakit.
"Awak telefon aje kakak. Jangan bagi dia balik!" Tegasnya lagi. Langsung tidak mengendahkan kata-kata isteri.
"Tapi bang..."
"Tak ada tapi-tapi. Esok awak telefon dia dan cakap dengan dia tak payah balik."  pakcik Ahmad mengulang kata-katanya tadi. Masih berdegil.
Makcik Latipah menggeleng. "Pah nak bagi alasan apa?"
Pakcik Ahmad terdiam.
"Awak cakap aje kita nak pergi kenduri hantar pengantin hujung minggu ni." Ucapnya pula.
Nafas dihela. "Iyalah kalau Abang dah kata macam tu tapi nanti jangan nak mengadu dengan Pah yang abang rindukan dia." Makcik Latipah akur tetapi mulut tetap melepaskan rasa tidak puas hatinya.
Pakcik Ahmad terdiam. Teringatkan anak gadis yang satu itu mata tiba-tiba bergenang. Rindunya kepada permata hatinya itu tak terbendung. Selama dua bulan itu hanya suara Nur Jannah sahaja yang menjadi pengubat rindunya.
"Abang rindu sangat dengan dia Pah." Luah pakcik Ahmad sayu. Tubir mata terus digosok bimbang isterinya perasan ada air jernih bertakung di situ.
"Dah rindu kenapa tak biarkan dia balik aje?" Mengerti perasaan suaminya itu, suara makcik Latipah juga terus berubah rentak. Lembut sahaja nadanya.
"Abang tak nak dia susah hati tengok keadaan abang macam ni." Kakinya dipandang lagi. Sesekali tangannya dibawa ke situ dan diusap-suap. “Kalau boleh abang tak nak dia tahu kesusahan kita, sakit pening kita sebab abang tak mahu dia bimbangkan kita.” Luahnya lagi semakin sayu.
Mengerti akan apa yang difikirkan suami, mak cik Latipah mengangguk. "Iyalah kalau macam tu. Nanti abang dah baik sikit, Pah telefon kakak dan suruh dia balik." Pujuknya  lembut. Bahu suaminya diusap perlahan.
Tidak mampu membalas kata-kata isterinya, pakcik Ahmad mengangguk sahaja. Sekali lagi matanya digosok untuk mengelak air mata dari jatuh. Begitulah dia, hati cepat sangat tersentuh apabila menyebut tentang Nur Jannah. Satu-satunya permata hati yang dia miliki.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...