“KAU tak baik cakap macam tu kat dia Mira. Kesian dia,” tingkah Irina geram. Wajah Mira di hadapannya dipandang tak beriak.
Mira ni memang perasan bagus betullah. Tahulah dia tu cantik tapi janganlah berlagak sangat, bebel Irina di dalam hati.
“Betullah apa yang aku cakap. Kalau setakat budak macam dia tu Rina, sekali aku petik jari, sepuluh mari, tahu tak,” balas Mira selamba sambil mengeluarkan baju dari dalam almari.
Irina sudah menggeleng mendengar kata-kata sombong yang lahir dari bibir sepupunya itu. Perlahan-lahan nafasnya dilepaskan.
“Tak baik betullah kau ni. Dia tu okey apa,” kata Irina lagi.
“Dah tu kau nak aku buat apa dengan dia? Nak aku peluk cium dia ke?” soal Mira sinis dan terus berpaling memandang Irina.
“Takkan berkawan pun tak boleh?” balas Irina.
Dia pun tak faham apa masalah Mira. Zairil Idham cuma menghulurkan salam persahabatan, yang Mira angin satu badan tu kenapa? Padanya Zairil Idham tu okey saja dan tak salah rasanya kalau berkawan. Ada kebaikan juga kalau berkawan dengan lelaki tu, maklumlah dia tu kan ketua pengawas. Kalau perlukan pertolongan, kan senang, getusnya di dalam hati.
“Pleaselah Rina, kau ingat aku ni siapa nak berkawan dengan dia. Tak setaraf okey!” bentak Mira seolah-olah tidak berpuas hati dengan soalan Irina.
“Mira, dekat sini kita semuanya sama. Dah lupa apa pesan daddy kau?”
“Kau ni tak habis-habis nak membela budak tu kenapa? Ke kau yang dah tersuka sangat pada dia?” tingkah Tengku Mira Kamilla keras sambil menjeling Irina di hadapannya itu.
Irina menggeleng lagi. Susah betul nak cakap dengan sepupunya yang seorang ni. Kata-kata dia saja yang betul. Pandangan orang lain langsung tak nak terima.
“Kau cakap apa ni Mira? Pada aku tak salah kalau setakat berkawan, jadi tak adalah orang ingat kita ni sombong sangat. Dah setengah tahun kita dekat sini, balik-balik aku tengok muka kau, kau tengok muka aku. Kau tak boring ke?” soal Irina dengan suara yang sedikit meninggi. Kali ini dia pula yang naik angin dengan perangai sepupunya itu.
Mira mendengus keras. Baju di tangannya dilemparkan ke atas katil untuk menunjukkan protes. Wajah Irina direnung dengan pandangan tajam.
“Kalau kau nak berkawan dengan dia atau sesiapa saja, kau pergilah tapi aku tak sukalah nak berkawan dengan orang yang tak setaraf ni. Lagipun kita dekat sini cuma untuk tahun ni aje. Aku dah cakap dengan daddy, tahun depan kita akan pindah balik KL. Aku benci duduk sini! Aku tak suka, tahu tak!” jerit Mira keras dan terus keluar dari situ. Pintu bilik dihempas sekuat hati.
Melihat tindakan sepupunya itu, Irina sudah diam tak berkutik. Perlahan-lahan nafasnya dihela sambil kepalanya digeleng.
Nantikan kemunculan karya kedua saya IZINKAN KU MILIKI HATIMU yang akan berada di pasaran Disember 2012...InsyaAllah.....Mari kita layankan teaser di atas...
No comments:
Post a Comment