Followers

Friday 28 February 2020

Dean & Jean - Bab 2







Bab 2

“Lia, dari tadi abang tengok awak asyik tenung jam aje, kenapa?” Encik Jamilul kerutkan dahi. Buku di tangannya ditutup dan isterinya yang kelihatan resah dan gelisah itu dipandang. Dia sendiri pun ikut resah melihat reaksi isterinya sejak tadi sehingga terganggu pembacaannya.

“Jean…” Puan Kamalia melepaskan keluhan. Sekali lagi jam didinding dikerling.

“Ha! Kenapa dengan Jean?” Sebaik nama Jean disebut, dahi Encik Jamilul turut berkerut.

“Dah dekat pukul sebelas malam dah ni tapi anak dara abang tu masih belum balik lagi. Selalunya dia tak pernah lewat macam ni,” ucapnya resah.

“Mungkin dia kerja lebih masa agaknya tu. Lia bukan tak tahu Jean tu kan jenis yang kuat kerja. Kalau tak pun tentu dia keluar dengan kawan-kawan dia,” Encik Jamilul cuba menenangkan.

“Biasanya kalau dia kerja lebih masa atau hendak ke mana-mana, dia akan telefon Lia beritahu. Ni senyap aje. Call tidak, mesej pun tidak.” Puan Kamalia mengeluh perlahan.

“Kalau dah risau sangat kenapa tak call aje dia. Jadi tak payahlah Lia tertanya-tanya macam tu.”

“Hurmmm…Lia tak naklah ganggu dia, bang. Takut pulak kalau-kalau dia tengah drive.” Puan Kamalia terus berdiri dan kepala dijengahkan ke luar melalui tingkap di ruang tamu. Walau pun dia tahu dia tidak akan dapat melihat apa-apa dari dalam tetap juga pandangannya dibuangkan ke situ.

“Lia pandang apa tu? Kalau dia balik tentu ada bunyi kereta dia. Apa kata Lia call aje dia.” Suruh Encik Jamilul lagi. Melihat keadaan isterinya itu dia juga turut merasa tempiasnya. Hati yang sedari tadinya tenang tiba-tiba ikut resah gelisah. Mulalah kepala memikir yang bukan-bukan.

Akur, akhirnya puan Kamalia mengangguk. Langkah terus dibuka menuju ke arah meja console yang diletakkan di kaki tangga. Baru sahaja gagang telefon ingin dicapai, terdengar kuat bunyi kereta Jean memasuki garaj rumah dua tingkat tersebut. Spontan itu nafasnya dihela lega. “Dah sampai pun,” ucapnya perlahan lalu pandangan dibuangkan ke pintu.

“Hurmm…Lia aje yang risau sangat.” Encik Jamilul buang sengih.

“Tentulah risau bang. Jean tu anak dara kalau anak teruna Lia tak kisahlah sangat.”
Baru sahaja Encik Jamilul ingin membalas kata-kata isterinya, dia terdengar daun pintu dikuak. Kepalanya dipalingkan memandang ke arah pintu. Puan Kamalia turut memandang ke arah yang sama.

Jean yang baru melangkah masuk tercengang dan terpinga-pinga apabila melihat reaksi kedua-dua orang tuanya. “What?” Soalnya dengan dahi berkerut seribu. Kedua-duanya dipandang silih berganti.

“Kenapa balik lewat? Jean buat mama risau.” Puan Kamalia terus bersuara dan mula buka langkah menuju ke ruang tamu semula.

Jean buang sengih. “Ada kerja yang nak kena siapkan ma. Urgent,” jawabnya lalu daun pintu ditutup dan dikunci.

“Boleh tak kalau balik lewat call mama dulu? Janganlah buat mama risau,” bebel puan Kamalia tetapi dengan nada suara yang terkawal. Itu bukan pertama kali dia memesan tetapi sudah acap kali dan Jean pula bukannya pernah mendengar kata.

Sengih Jean melebar dan buka langkah menuju ke ruang tamu. Begitulah mama, walau sedang marah suaranya sangat dijaga. Tak pernah lagi dia mendengar mama terjerit-jerit atau memaki hamun tidak tentu hala ketika marah. Mungkin sebab itulah agaknya papa terlalu sayangkan mama. Bukan macam dia yang sukar diduga anginnya. Macam yang Dean pernah kata, mood dia ada dua musim. Kadang sejuk dan kadang ribut. Tapi dia berani moody dengan Dean aje sebab hanya Dean yang pandai mengawal emosi dia.

Sebaik mamanya dihampiri, beg tangan dan beg komputer ribanya diletakkan di atas meja kemudian dia terus duduk. “Sorry ma, busy sangat sampai tak sedar dah lewat. And sorry sebab tak call dan buat mama risau,” sengihnya dan tubuh puan Kamalia dipeluk sayang.

Puan Kamalia hela nafas. Jean kalau hendak memujuk begitulah dia sampai dia tidak jadi hendak membebel lagi. “Kerja sampai lewat malam dekat office tu tak takut ke?” Jean yang sudah kembali bersandar disofa dipandang.

“Nak takut apanya ma, bukannya Jean sorang aje yang balik lewat. Dean dengan dua orang staff pun ada jugak,”  

Ha! Papa dah agak dah, mesti Dean ada sekali. Kalau Dean ada tak payahlah awak nak risau Lia.” Encik Jamilul terus mencelah.

Mendengar kata-kata papanya, laju kepalanya dipalingkan memandang lelaki separuh umur itu. “Papa ni asal dengar nama Dean aje bukan main suka lagi. Dean ada rasuah papa apa-apa ke sampai macam tu sekali papa percayakan dia?” Encik Jamilul dikerling.

“Entah abang ni, pantang dengar nama Dean.” Puan Kamalia mengiakan pula.

Encik Jamilul tergelak kecil. Anak dan isterinya dipandang pula. “Haish! Orang baik macam tu siapa yang tak suka Lia. Kalau ikut abang ni, nak aje abang pinang si Dean tu untuk dijadikan men…”

“Haaaa! Papa jangan macam-macam ya. Benda lain boleh tapi kalau bab tu…no…no…no…” Laju Jean mencelah mematikan bicara papanya. Dia memang sudah tahu benar apa yang papa ingin perkatakan.

“Kenapa? Pilihan papa tak bagus ke?”

Jean geleng kepala. “Bukan tak bagus tapi Dean tentu dah ada pilihan dia sendiri. Lagipun Jean dengan Dean kan kawan baik ajelah. Lagipun Jean tak naklah sebab apa yang ada dalam kepala papa tu, kami rasa tak selesa,” jawabnya panjang lebar.

“Hurmmm…kawan baik tapi hari-hari ke hulu ke hilir dengan Dean.” Puan Kamalia mencemik sambil jungkitkan kening memandang suami.

Encik Jamilul tersenyum dan mengangguk mengiakan usikan isterinya itu.

“Dah kerja satu office, tentulah hari-hari jumpa dia.” Jean membela diri sambil tersengih.

“Ermmm…iyalah,” sekali lagi puan Kamalia mencemik.  

“Jean naik atas dululah ma, pa. Penatlah,” bimbang isu tersebut semakin berpanjangan, cepat-cepat Jean minta diri dan bingkas bangun. Beg tangan dan beg komputer ribanya dicapai.

“Pergilah. Jangan lupa mandi dulu, lepas tu solat baru tidur.” Encik Jamilul mengingatkan. Jane bukannya boleh kira, kadang-kadang bila balik lewat terus saja membuta.

Jean mengangguk sahaja dan mula buka langkah.

“Oh ya, Jean dah makan belum? Kalau belum makan, biar mama siapkan.”

“Dah ma. Makan dengan Dean tadi.”

Mendengar jawapan Jean, Puan Kamalia dan Encik Jamilul berpandangan lagi bersama senyuman.  

Jean terus beredar dan langkah diayun laju mendaki mata-mata tangga. Sebaik masuk ke dalam biliknya, beg tangan dan beg komputer ribanya dicampakkan ke atas katil lalu tubuh direbahkan ke atas tilam. Ya Allah, penatnya. Keluhnya. Baru sekarang dia terasa. Sambil menyelesakan baringannya, nafas panjang dihela dan perlahan-lahan matanya dipejamkan. Terus terlupa dia pesan papanya tadi. Baru sahaja dia hendak terlelap, tiba-tiba terdengar nyaring telefon bimbitnya berbunyi. Jean mendengus keras. Tubuh diiringkan sambil tangan meraba-raba mencari telefon bimbit di dalam beg tangan. Telefon bimbit dicapai dan tanpa melihat pemanggilnya, panggilan tersebut terus dijawab.

“Assalamualaikum.”

Terdengar sahaja suara Dean ditalian, sekali lagi Jean mendengus.  Apa lagilah yang Dean mahu agaknya. Sudahlah diheret dia bekerja sampai lewat malam semata-mata hendak menyiapkan proposal iklan produk kecantikan yang perlu Dean bawa ketika mesyuarat bersama klien esok. Bila sampai di rumah pun Dean masih menganggu lagi. Haih!

“Waalaikumsalam…” Jawabnya malas-malas dan dengan mata yang masih terpejam.

“Dah lama sampai?”

“Dah dekat dua puluh minit.”

“Dah dua puluh minit? Habis tu kenapa tak telefon aku beritahu kau dah sampai?”

Teringatkan pesanan Dean sebelum dia balik tadi, matanya dibuka dan rambutnya yang tidak gatal digaru. Macam manalah dia boleh lupa? Aduh! “Sorry lah, aku terlupa,” ucapnya serba salah.

Hurmmm…apa sajalah yang kau ingat,” bebel Dean tetapi lembut sahaja nada suaranya.

“Aku ingat nak tidur aje. Haih! Aku penatlah,” dia membebel pula.

“Dah mandi belum tu?” soal Dean lagi.

Jean buang sengih. Hujung rambut panjangnya dipintal. “Belum.”

“Elok sangatlah tu anak dara nak tidur tak mandi,”  

“Alaaa…sibuk betullah kau ni. Yang tak mandi tu aku bukannya kau,”

“Dah tak payah banyak cakap Jean. Pergi mandi,”

“Iyalah…iyalah. Aku nak pergi mandilah ni,” dengan muka cemberut dan dengusan kecil, Jean bingkas bangun. Dean memanglah potong stim. Dia baru sahaja hendak lena sudah dikacaunya. Grrrr!

Dean tergelak kecil. “Okeylah, aku nak tanya tu aje. Pergi mandi, solat dulu lepas tu baru tidur.”

“Ishhh…kau ni macam papa akulah. Okeylah, bye. Goodnight.”  

Ketawa Dean bersambung dan semakin galak dari tadi. Fahamlah dia Jean sudah tidak mahu 
berbicara dengannya lagi. “Okey, jumpa kau esok. Goodnight dan assalamualaikum.”

Sebaik membalas salam Dean, talian dimatikan dan telefon bimbitnya terus dicampakkan ke atas katil.

“Kalau kau tak kacau aku tentu aku dah mimpi indah sekarang. Haish!” Bebelnya dan terus berjalan menuju ke bilik air dengan muka yang masam mencuka.  



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...