Bab
1
“Nama dia Syed Azrai Mikael Bin Tan Sri
Syed Jalal.”
Suara Jenny kedengaran di telinganya
sedang mata leka memandang sesusuk tubuh tegap yang sedang berdiri tidak jauh
dari tempat duduknya. Giler handsome!
“Umur dia, 30 tahun, Pengarah syarikat
hartanah terbesar di Malaysia.”
Suara Jenny kedengaran lagi. Setelah
lama terdiam.
“Dah kahwin?” Muka dipalingkan ke
sebelah. Jenny yang sedang memerhati ‘suspek’ di hadapan mereka dipandang. Entah
kenapa, tiba-tiba dia jadi teruja hendak tahu lebih lanjut tentang ‘suspek’
yang disebutkan.
Jenny turut menoleh memandang sahabatnya.
“Siapa?” soalnya polos. Tubuh ditegakkan.
“Lelaki itulah.” Muncung ditalakan ke
arah ‘suspek’ itu kembali.
“Single and available.” Yakin Jenny
membalas.
“Are you sure lelaki yang hebat macam tu
masih belum berpunya?” kening dijungkitkan memandang Jenny semula. Macam tidak
percaya sahaja dengan kata-kata Jenny tadi. “Playboy Jannah. Girls are always around
him.” Tingkah Jenny bersama cemikan.
“Hurmmm...kaki perempuan.” Sinisnya
pula. Gelas di atas meja dicapai dan air fresh orange dihirup perlahan. Dari
ekor mata lelaki yang diperkatakan oleh Jenny tadi dikerling. Berkulit sawo
matang, tinggi, tegap, berkarisma, kacak dan yang penting...BERDUIT! Gelaknya
dalam hati.
“Ya lorr....orang banyak duit maaa...
sepuluh keturunan pun belum tentu habis. Entah-entah tidur pun atas duit.”
Jenny buang tawa. Gelihati dengan kata-kata sendiri tetapi siapa tahu kan?
Orang yang tak berduit banyak macam dia memanglah tak akan merasa ada duit
berkepok-kepok macam orang kaya. Gaji pun setakat dua ribu lima ratus sahaja
sebulan. Hanya cukup-cukup makan sahaja bak kata orang. Nasib baik tinggal
dengan nenek yang banyak rumah sewa. Sesekali terdesak boleh juga dia minta
neneknya membantu.
Nur Jannah turut tergelak. Jenny ingat
orang kaya jakun sangat ke tengok duit banyak-banyak? Entah-entah mereka tak
hairan pun. Kalau orang macam mereka mungkinlah. Silap haribulan dilonggokkan
duit sepuluh ribu depan mata pun boleh pengsan tak bangun-bangun.
“Kau tahu tak Jannah..” Jenny bersuara
kembali. Tubuhnya disandarkan ke kerusi pula.
Kening dijungkit. Tangan dipelukkan ke
tubuh. “Tahu apa?”
“Syed Azrai tu dulu ada skandal dengan
pelakon suam-suam kuku yang baru kahwin tu. Ala, yang sibuk digosipkan
budak-buda dekat office tu.” Jenny cuba mengingatkan. “Kalau kau nak tahu, diusungnya
perempuan tu ke sana ke mari sampai bercuti ke luar Negara pun bersama-sama,
akhirnya perempuan tu kena dump. Bodoh kan? Nak rasa kesian pun aku tak sampai
hati. Itulah, kejarkan RM sangat.” Jenny menyambung ceritanya dengan gaya
meluat di wajahnya.
Nur Jannah menggeleng. Amoi sorang ni
tak padan, sampai ke gossip artis pun dia tahu. Ingat suka tengok wayang melayu aje rupanya kisah artis-artis melayu
pun dia ambil port juga. “Gossip aje
kot.” Telahnya.
“No, its true Jannah. Kawan kepada kawan aku kenal perempuan tu.
Hancur dah perempuan tu dikerjakan. Dah jemu dia tinggalkan. Nasib baik ada
lelaki lain yang nak ke dia.” Beria Jenny bercerita.
“Kau
ni kan, cerita kawan dari kawan kau tu belum tentu betul. Kadang-kadang
isunya kecil aje tapi sengaja diperbesarkan sebab nak nampak gempak. Aku kalau
tak nampak dengan mata kepala aku sendiri, aku tak percaya. Fact, orang-orang
berduit ni memang agak ‘nakal’ sikit tapi kalau kena caranya tentu jadi lain
kan?” balasnya bersungguh-sungguh juga. Entah kenapa dia pula yang beria-ia
mempertahankan anak-anak orang kaya. Seolah-olah mereka itu semuanya orang
baik-baik sahaja di matanya.
“Kau jangan main-main Jannah. Orang
berduit ni cara mereka kejam. Masa dia nak dekat kau memang dia akan ikut cakap
kau. Lebih-lebih lagi dengan orang cantik macam kau. Mereka akan beri apa sahaja
yang kau nak tapi bila dia dah dapat, hai hai bye bye lah jawabnya.” Nasihat
Jenny pula.
“Dah tahu orang kaya macam tu buat apa kau cerita dengan
aku tentang lelaki tu?”
“Sebab kau yang nak tahu.” Cemikan Jenny
menjadi semakin dalam.
Nur Jannah tersenyum. “Untuk mencapai
cita-cita, kita kena berusaha Jen. Dapat atau tidak, itu belakang kira yang
penting, kita dah buat yang terbaik.” Kening dijungkitkan lagi dan bibir
menguntum senyum lebar. Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke
pangkal lengan. Sudah alang-alang ada yang menepati ‘sasaran’ masakan dia akan
melepaskan!
“Apa plan kau?” dahi Jenny sudah
berkerut seribu. Sangkanya Nur Jannah hanya main-main tetapi tidak sangka pula sahabat
baiknya itu serius.
Baju dijungkitkan dan muka dicemikkan.
“Entah.” Balasnya.
“Lupakan ajelah. Aku kenalkan kau dengan
calon lain yang sesuai. Dia ni macam jahat sangatlah.” Jenny sudah mula tidak
senang duduk. Dia sebenarnya risau kalau Nur Jannah betul-betul mengotakan apa
yang ingin dilakukannya. Bimbang andai Nur Jannah akan senasib dengan ‘mangsa’ Syed Azrai Mikael yang baru
diceritakan tadi.
“Tak salah mencuba kan?” senyum di bibir
Nur Jannah terukir lagi. Lelaki yang bernama Syed Azrai Mikael itu sudah
menepati apa yang dia inginkan. Bukan setakat berharta tetapi juga ada rupa.
Kalau banyak duit tapi muka macam pecah rumah pun tak guna. Yang nak tengok
setiap hari mata dia juga.
“Are you serious Jannah?” bersungguh
Jenny menyoal. Seolah tidak percaya.
Kepala dianggukkan. Yakin.
Laju Jenny gelengkan kepala. “Jadi
apa-apa aku tak nak terlibat okey. Jangan kau salahkan aku pulak nanti.”
Bebelnya.
“Nothing will happen Jen. Kalau
tiba-tiba keadaan menjadi tak terkawal, I’m off!” selamba Jannah lagi.
“Kau memang degil kan? Berani mati pun
ya.” Marah Jenny melepaskan geram.
Tawa Nur Jannah kedengaran lagi. “Dalam
hidup kena berani Jen. Kalau kau takut, kau tak akan ke mana-mana. Duduklah
ditakuk tu juga.” Tegasnya.
Malas hendak berbalah lagi, Jenny terus
mendiamkan diri. Selama setahun mengenali gadis yang bernama Nur Jannah Zahra
itu, dia sudah cukup memahami bagaimana sikap gadis itu. Dalam lembut ada
tegasnya dan dalam senyum ada dinginnya. Nampak gedik menggoda tetapi bukan
senang untuk mendekatinya.
“Nur...bangunlah. Apa ni magrib-magrib
membuta!” Bebel Zulaikha agak keras. Kaki sahabatnya yang sudah terjuntai di
bawah sofa diangkat dan diletakkan semula ke atas sofa. Perlahan-lahan kepala
digeleng. Bila sudah begitu keadaannya, harus sembahyang asar pun sudah
melayang entah kemana. Apa tidaknya, elok aje membuta dengan pakaian kerja yang
dipakainya sejak pagi tadi.
“Nur..”kejutnya lagi. Bahu Nur Jannah
digerakkan sedikit kuat.
“Hurmmm...” suara halus sudah mula
kedengaran. Tubuh ditelentangkan.
“Bangunlah. Magrib dah nak sampai
penghujung ni.” Zulaikha membebel lagi apabila Nur Jannah langsung tidak
membuka matanya. Masih keras di atas sofa dengan mata yang turut terpejam.
“Bangunlah Nur. Tak elok
melewat-lewatkan waktu solat.” Bebelan Zulaika kedengaran lagi. Lebih keras
dari tadi.
“Aku letihlah.” Dengan suara yang
tenggelam timbul Nur Jannah membalas. Tangan diangkat dan diletakkan ke dahi
pula.
“Weiiii...bangunlah!” semakin lantang
Zulaikha bersuara. Sengaja sebenarnya kalau tidak memang sampai ke pagi
sahabatnya itu akan terus tidur di situ. Bab solat Nur Jannah memang agak liat
sedikit. Kadang-kadang memang akan lompang sana sini kalau tidak diingatkan.
Kalau mereka di rumah bolehlah dia mengingatkan tetapi kalau diluar? Entahlah!
Nur Jannah bukan tidak tahu berdosa hukumnya meninggalkan solat tetapi entah
syaitan mana yang duduk bertenggek di badan sahabatnya itu pun dia tidak tahu.
Nur Jannah mendengus. Dengan malas,
matanya dibuka dan dia terus bangun. “Kau ni, tak boleh tengok aku nak
berehat.” Bebelnya.
“Nak berehat bukan tak boleh Nur tapi
sudahkan dulu yang wajib. Kalau macam ni, macam mana doa-doa kau nak makbul?
Sembahyang pun liat. Selain berusaha kita kena juga minta pada Allah.
Permudahkan dan luaskan rezeki. Ha, itu baru betul. Bila lambat doa tu
termakbul kau salahkan Dia padahal bila susah aje kau cari dan sujud pada Dia.”
Panjang lebar Zulaikha membebel.
Nur Jannah mencebik. Macam mak nenek!
Marahnya dalam hati.
“Ha, pergilah solat. Minta pada Allah
supaya cepat sikit kau dipertemukan dengan ‘anak dulang emas’ yang kau
cari-cari selama ni.” sindir Zulaikha pula. Bukan niatnya hendak menyakitkan
hati Nur Jannah tetapi dia sudah naik rimas dengan perangai Nur Jannah sejak
akhir-akhir ini. Keluar dengan lelaki-lelaki yang digelarnya ‘anak dulang emas’
hampir setiap minggu tetapi sehingga kini tidak ada satu pun yang betul-betul
melekat. Dia bukannya cemburu tetapi dia takut kalau-kalau sahabatnya itu
terkena nanti. Perangai lelaki, bukannya dia tidak tahu lebih-lebih lagi kalau
berdepan dengan perempuan cantik macam Nur Jannah.
Tidak sanggup mendengar bebelan demi
bebelan, dia terus bangun. Makin lama dia di situ, makin panas hatinya nanti.
Sebelum mereka berbalah kata atau bergaduh, lebih baik dia angkat kaki.
Zulaika, walaupun agak bising mulutnya tetapi baik hati. Perkenalan mereka juga
bukan baru sehari dua tetapi sudah mencecah berbelas tahun lamanya. Sebagaimana
Zulaika masak dengan perangainya begitu jugalah dia sudah faham dengan kerenah
Zulaika. Sahabatnya itu juga sentiasa ada ketika dia memerlukan. Lebih-lebih
lagi apabila ianya berkaitan dengan duit. Zulaika tidak pernah lokek memberi.
“Jangan tak solat pulak.” Pesan Zulaika
lagi. Lebih keras dari tadi. Dengan Nur Jannah memang kena berkeras sikit.
Kalau tidak harus dia sambung tidur di dalam bilik pula.
“Iya, tahulah aku.” balasnya sambil laju
menghayun langkah menuju kebiliknya.
“Kau masak apa malam ni?” laju soalan
itu terluncur keluar sebaik muncul di muka pintu dapur. Zulaika yang sedang
leka mengacau sesuatu di atas dapur ketika itu dipandang. Usai membersihkan
diri dan bersolat tadi, dia terus sahaja keluar dari bilik. Terbau sesuatu dari
arah dapur kaki laju sahaja diayun ke situ.
Zulaika palingkan wajah memandang ke
pintu. “Kenapa?” sengaja dia bertanya. Tangan yang sedang mengacau sesuatu di
dalam periuk juga terhenti.
“Aku laparlah.” Rengeknya. Kerusi
plastik ditarik dan dia terus duduk.
“Eh! Kau bukan diet ke? Setahu aku
malam-malam kau tak makan kan? Takut gemuklah katakan.” Usik Zulaika bersama cebikan.
Nur Jannah mendengus. Kuat. “Aku tak
makan apa pun sejak petang tadi tau. Tengahari tadi pun sempat makan sandwich
aje. Lately ni banyak kerjalah.” Luahnya bersama keluhan.
Mendengar jawapan Nur Jannah, terasa
simpati pula hatinya. “Aku tak sempat masak apa-apa pun hari ni. Aku cuma
sempat masak ni aje.” Mulut dimuncungkan ke arah periuk di atas dapur.
“Apa tu?” bersungguh-sungguh Nur Jannah
bertanya. Pandangan turut dibuangkan ke arah periuk di atas dapur.
“Maggi asam laksa.” Sengih Zulaika
menjadi semakin lebar. Dia tahu mesti Nur Jannah tidak suka kerana memang
menjadi kepantangan sahabatnya itu untuk makan maggi. Tidak bagus untuk
kesihatan katanya. Tapi kalau dalam keadaan darurat macam ni, rasanya telan
maggi lagi baik kot dari kebulur. Bisiknya.
Nur Jannah mendengus. Zulaika dijeling. “Kau
ni macam tak ada benda lain nak makan.” Bebelnya dan terus bangun. Terus hilang
rasa lapar. Makan maggi? Memang tidaklah!
“Eh! Kau nak ke tak ni?” kuat Zulaika
bertanya apabila Nur Jannah sudah mula mengayun langkah menuju keluar.
“Thanks but no thanks. Jap lagi aku buat
air milo aje.” Balasnya acuh tak acuh.
“Nur...aku ada benda nak cakap dengan
kau.”
Langkah terus terhenti. Tubuh
dipalingkan menghadap Zulaika semula. “Apa?” tanyanya.
“Puan Sofi minta aku tanyakan pada kau
kalau-kalau kau berminat nak jadi model untuk menggayakan baju-baju rekaan terbaru
dia.” Api dapur dimatikan dan tubuhnya
dipalingkan menghadap Nur Jannah yang sudah berdiri di muka pintu.
“Puan Sofi mana?” kening Nur Jannah sudah
terjungkit tinggi. Puas dia cuba mengingati orang yang bernama Puan Sofi yang
disebut Zulaika tadi namun tiada satu wajah pun terlintas di kepalanya.
“Alaaa, klien aku yang kita jumpa dekat
One Utama minggu lepas.”
Nur Jannah terdiam. Lama.
“Yang bini nombor dua dato tu ke?”
“Ha, yang itulah.”
Nur Jannah terdiam lagi.
“Berapa dia nak bayar?” Tanyanya. Kata
orang rezeki jangan ditolak.
“Itu aku tak tahu. Kau tanya dia
sendiri. Dia suruh aku tanyakan kau dulu sebab dia nak cari model baru dan
fresh.”
“Hurmm.. nantilah aku fikirkan. Aku
bukannya reti nak bergaya depan kamera. Kaku!” balasnya. Langkah diayun lagi.
“Ikut suka hati kau tapi tentu dia bayar
lumayan. Puan Sofi tu kaya dan tak berkira. Boleh juga kau jadi glamer nanti.”
Jerit Zulaika dari ruang dapur.
Jadi glamer? Oh! Please...bukan itu yang
dia cari! Dia cuma inginkan SUAMI KAYA. Titik!
“Iyalah...iyalah. Nanti aku fikir.”
Balas Nur Jannah juga dengan jeritan.
No comments:
Post a Comment