Followers

Friday 28 February 2020

Dean & Jean - Bab 1





Bab 1

KUALA LUMPUR: Lebih 1/3 perkahwinan yang berakhir dengan penceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan, kata Hannah Yeoh.
Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu membuat pendedahan berdasarkan kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Tempoh 5 tahun pertama perkawinan adalah yang paling mencabar, merujuk kepada kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 yang dijalankan oleh LPPKN pada 2014.
“Antara punca-punca utama penceraian pada perkahwinan pertama oleh lelaki adalah tiada persefahaman sejumlah 56.2%, isteri curang (11.8%) dan campur tangan mentua atau ipar (10%).
“Manakala bagi wanita pula, 38% peratus menyatakan punca utama perceraian adalah kerana tiada persefahaman, diikuti dengan suami curang (20.5%) dan suami tidak bertanggungjawab (15.2%).
“Statistik cerai lepas kahwin bawah 5 tahun pasangan Islam di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja berjumlah 2,932 kes bermula 2013 hingga 2017. Jumlah kes perceraian negeri-negeri lain masih dikumpulkan,” katanya di Dewan Rakyat.
Hannah berkata demikian menjawab pertayaan lisan, Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes perceraian direkodkan pasangan di bawah usia perkahwinan 5 tahun mengikut negeri dan punca utama yang dikenalpasti mendorong kepada perceraian.
Hannah turut memetik laporan FMT mengenai statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, mengatakan banyak kes perceraian remeh melibatkan pasangan muda.
“Antaranya, isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai, isteri suka basuh baju malam-malam. Ini saya pun basuh baju malam-malam. Tapi ini salah satu punca yang difailkan. Isteri suka makan dalam kereta.
“Berbeza fahaman politik, gaji suami lebih rendah, pasangan tidur berdengkur, pasangan gemar membeli-belah. Saya baca sebab-sebab ini kerana saya nak tunjukkan bahawa banyak faktor remeh dijadikan sebab untuk bercerai,” katanya disambut gelak ketawa wakil rakyat lain.
Sementara itu, Timbalan Speaker Nga Kor Ming memcelah hujah Hannah sambil berseloroh meminta timbalan menteri itu tidak membasuh baju pada waktu malam.
“(Timbalan) menteri jangan basuh baju malam-malam, hantar dobi,” kata Nga.
Hannah kemudian secara berseloroh berkata beliau terpaksa melakukan aktiviti itu pada malam hari kerana sidang Parlimen tamat menjelang malam.
“Apa nak buat, sidang parlimen selalu habis malam,” katanya.
Johor paling tinggi kes cerai bukan Islam
Hannah berkata, kes penceraian melibatkan bukan Islam berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjumlah 14,440 kes bagi tempoh 2013 hingga 2017.
“Dalam tempoh berkenaan Johor paling tinggi 2,860 kes diikuti Wilayah Persekutuan (2,771 kes) dan Selangor (1,858 kes).
Beliau menambah, bagi mengatasi peningkatan kes penceraian, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memantapkan institusi perkahwinan dan keluarga.
Katanya, LPPKN melaksanakan program pra perkahwinan bagi memberikan asas kukuh membina keluarga bahagia, terutama bagi pasangan yang baru berkahwin.

“Hurmmm…dunia!” Dengusan dilepaskan dan akhbar di tangan terus dicampakkan ke atas meja.

Dean yang sedang leka dengan telefon bimbitnya tersentak. Kepala didongakkan. Gadis itu dipandang dengan dahi berkerut. “Apa hal?” Pelik dia tiba-tiba mood Jean berubah. Tadi elok sahaja bergelak ketawa. Tak sampai sepuluh minit dah macam orang terkena penyakit kemurungan.

“Berita dalam paper ni ha! Buat aku makin takut je nak kahwin.”

Kerutan di dahi Dean semakin berlapis-lapis. Tak faham dia. “Berita apa?” Tanyanya. Tubuh yang sedang bersandar dikerusi ditegakkan. Surat khabar yang terdampar di atas meja dikerling. Hendak diambil dan baca, malaslah dia. Lebih baik dia dengar sahaja Jean bercerita. Dia kan suka mendengar Jean menceceh. Heh!

“Statistik perceraian di Malaysia.”

Tawa kecil Dean meletus. Hurmmm…pasal itu rupanya. Tak habis-habis dengan isu yang sama. Tapi, buat apalah Jean ambil serius sangat dengan perkara-perkara sebegitu. Lumrah kehidupan bukannya semuanya indah dan mudah. Desisnya.

“Kalau dah tak ada persefahaman dan perceraian adalah jalan yang terbaik, buat apa nak terus hidup bersama lagi?” balasnya bersahaja. 

Wajah yang masih berkerut-kerut bingung itu terus dipandang. Jean, entah apa agaknya yang difikirkan dalam kepalanya. Kebimbangan gadis itu untuk menempuh alam rumahtangga kadang-kadang merunsingkan dia. Tak pasal-pasal dia turut terbabit sebab terpaksa memikirkan tentang perkara yang sama. Sedangkan cara pemikiran dia mudah sahaja. Kalau dia betul-betul suka akan dia pikat habis-habisan sampailah dapat. Bila dah dapat tentulah dia akan ikat kuat-kuat. Susah-susah nak dapat masakan hendak disia-siakan. Itu prinsip dialah. Orang lain punya cara pemikiran dan bentuk tindakan, dia tak ambil kisah dan peduli. Sebab itulah dia malas hendak ambil pusing kisah-kisah begitu. Buat serabut kepala dia sahaja.

“Kahwin sebab cinta tapi bila bercerai kata tak sefahaman. I cannot brain betullah.” Jean membebel lagi dan tangan dipelukkan ke tubuh.

“Jean, tak ada orang yang berkahwin untuk bercerai. Kahwin atas dasar cinta tak semestinya akan kekal bahagia sampai tua. Hidup kita ni kan banyak dugaan dan pancarobanya. Tak semua orang bernasib baik dan hidup bahagia hingga hujung nyawa,” ucap Dean meluahkan pandangannya.

“Tapi kenapa tak cuba pertahankan? Perasaan cinta yang ada tak cukup untuk memperbaiki keadaan?” Bidas Jean sedikit keras. Haih! Dia memang tak boleh terima kalau tak sefahaman dijadikan alasannya. Bertahun-tahun menyulam cinta masakan masih tiada sefahaman?

“Kadang-kadang bila ada masalah dalam rumahtangga, perasaan cinta boleh hilang ditelan masa dan yang tinggal hanyalah rasa benci. But it depends on apa puncanya. Aku yakin mereka yang dalam fasa bercerai atau telah bercerai sudah mencuba sedaya upaya mereka untuk mempertahankan rumahtangga mereka tapi dah takdir, jodoh mereka hanya sampai setakat itu sahaja. Nak buat macam mana. Lagipun kita bukannya boleh melawan takdir. Segala-galanya dah tertulis Jean,” luah Dean panjang lebar. Terasa sedikit haus, air teh o ais laici di atas meja dicapai dan dihirup. Sebiji buah laici diceduk dengan sudu dan disuapkan ke mulut.

Jean terdiam sambil memerhati setiap perlakuan Dean di hadapannya. Reaksi Dean nampak bersahaja seolah tidak terkesan langsung dengan isu yang sedang mereka bicarakan ketika itu. Lelaki extrovert seperti Dean memanglah tidak kisah dengan masalah-masalah begitu. Entah-entah Dean juga tergolong diantara lelaki-lelaki yang tak setia. Fikirnya.

Melihat Jean yang hanya diam membisu, gelas air teh o ais laici diletakkan semula ke atas meja dan dia menyambung bicara. “Lagipun Jean, bercerai bukan bermakna berakhirnya sebuah kehidupan. Kadang-kadang ianya menjadi satu titik permulaan untuk seseorang menggapai bahagia. Lagipun dalam hadis juga jelas disebut, perbuatan halal yang dibenci oleh Allah adalah talak. So, kenapa tak boleh memilih untuk bercerai kalau itu jalan terakhir yang boleh dipilih?” Kening dijungkit.

“Iyalah aku tahu. But still, I don’t understand, kenapa perlu kahwin kalau end up dengan perceraian?” keluhnya.

“Mereka dah mencuba Jean tetapi tak berjaya. Perkahwinan sama juga seperti peperiksaan. Kau rajin berusaha kau berjaya tapi kalau kau tak serius dan hanya bersikap ala kadar, kau akan kecundang.”  

“Tapi perkahwinan bukan untuk dicuba. Perkahwinan itu komitmen. Bagi aku, bila kau dah jabat tangan tok kadi bermakna kau sanggup memikul komitmen tersebut. Bukan ambil mudah sahaja. Lagipun, setiap masalah ada jalan penyelesaian. Kenapa tak cuba selesaikan? Kenapa tak cari ruang untuk berdamai? Bila suka bersama bila tak suka berpisah. Senangnya lahai hidup,” bidas Jean tidak bersetuju dengan pendapat Dean.

“Sebab itulah mereka yang hendak berkahwin perlu ada ilmu. Ilmu rumahtangga, ilmu parenting dan paling penting, ilmu agama. Dengan ilmu-ilmu itulah diaorang kena bentuk keluarga mereka. Kebanyakan pasangan sekarang berkahwin hanya kerana nafsu bukan kerana tuntutan agama. Berkahwin untuk seronok bukan untuk mencari keberkatan,”

Jean mendengus. “Maknanya yang gagal tu tak ada semua yang kau sebutkan tu? Hurmmm….sedihnya,” luahnya.

Dean buang senyum. Jean…Jean. “Don’t think too much my dear Jean. Cuba pandang perceraian itu sebagai sesuatu yang baik,” pujuknya lembut. Tak mahu dia melihat wajah Jean yang serabut begitu. Orang lain punya kisah Jean pula yang melebih-lebih. Takkan Jean tak tahu nasib setiap orang itukan berbeza.

Dahi Jean berkerut lagi. Pandang sebagai sesuatu yang baik?  Heartless betullah Dean ni. Bukankah perceraian itu memberi kesan yang mendalam kepada setiap orang. Mentally and physically? Lebih-lebih lagi kepada mereka yang ada zuriat? Bebelnya dalam hati.

“Maksud aku, pandang perceraian itu dari sudut positif. Anggap ianya sebagai satu proses untuk seseorang itu menjadi lebih baik dan bijak dalam membuat pilihan. Kalau dengan A gagal, dia boleh pilih B. Kalau dengan B pun gagal, she or he can choose C. As simple as that and as long as the end results is happiness, ok apa,” mengerti dengan riak yang dipamerkan Jean, Dean menyambung bicaranya menerangkan apa yang dimaksudkan.

Senangnya Dean berkata-kata. Belum terkena batang hidung bolehlah cakap lebat tapi bila terkena nanti entah-entah meroyan sorang-sorang. Ejeknya. Terfikirkan sesuatu, Jean bersuara semula. 
“Dean…” panggil Jean setelah lama terdiam.

Dean mendongak. “Hurmmm…” Kening dijungkit dan pandangan Jean dibalas. Buah laici di dalam gelas diceduk lagi lalu disumbatkan ke dalam mulut.  

“Ermmmm…Kenapa eh sampai sekarang kau masih tak ada girlfriend? Kau takut nak kahwin ke?” Wajah di hadapannya itu direnung. Kebiasaannya lelaki yang sebaya Dean selalu ke hulu ke hilir dengan girlfriend atau ada yang sudah berjalan dengan anak sendiri tapi peliknya Dean, masih menyendiri. Dan hari-hari keluar dengan dia!

Ketawa Dean meletus lagi dan tubuh disandarkan semula ke kerusi. Menafikan soalan Jean kepala digeleng. “Aku takut kahwin? Nope! Kalau boleh sekarang juga aku nak kahwin dan ada keluarga. Maklumlah umur aku pun dah hampir menjengah tiga siri. Tapi sayangnya orang yang aku suka tak nakkan aku,” jawabnya bersahaja.

Membuntang mata Jean kerana terkejut mendengar jawapan Dean. Kenapa dia tak tahu Dean pernah ada crush dalam hidup dia. Pandai betul Dean simpan rahsia. Kata tiada rahsia antara mereka tapi perkara penting macam itu Dean simpan sendiri saja. Ceh! Poyo aje statement Dean!

“Serius?” soalnya beria. Tubuhnya ditegakkan sedang mata tajam merenung lelaki di hadapannya itu.

Dean mengangguk.

“Kenapa aku tak tahu?” asaknya.

“Kalau kau tahu tentu aku lagi malu.”

“Eh! Malu pulak. Tapi mana tahu aku boleh tolong kau?” Kening dijungkitkan. Dean ingat dia tak pandai nak match making kan orang?

Dean buang senyum segaris.

“Ermmm…kenapa awek tu tolak kau? Awek tu ada boyfriend lain?” soal Jean beria.

Dean menggeleng pula.

“Habis tu?” Jean kerutkan dahi. Pelik dia, lelaki macam Dean pun kena reject? Apa yang kurangnya Dean? Tinggi lampai, kacak, baik, berpenampilan menarik, berpendidikan dan mempunyai bisnes sendiri. Ha! Apa lagi yang perempuan itu pandang? Tak cukup lagi pakej yang ada?

Bahu dijungkit. “Mungkin aku tak memenuhi kriteria lelaki idaman dia agaknya,” balasnya perlahan.

Jean tercengang. Dean dipandang dari atas ke bawah. Sampai tersenget-senget tubuh dia untuk melihat sendiri penampilan Dean hari itu. Perfect! Ya, penampilan Dean sangat sempurna. “Dia buta ke? Lelaki perfect macam kau pun dia sanggup reject? Eiiii…Tak faham aku,” kepala digeleng.

Tiba-tiba senyum di bibir Dean terukir. “Am I that good?” tanyanya dengan hati yang kembang setaman. Kalau orang lain yang memuji tentu dia tidak begitu kisah tetapi sekarang yang memuji itu, Jean. Arghhh! Bukan senang seorang yang bernama Jaenelle Fitri hendak memuji sesiapa.

“Eh! Tentulah.” Jean mengangguk beria.

Dean berdeham. “Kalau betul aku bagus kenapa kau tak jatuh hati pada aku?” soalnya dengan kening terjungkit.

Jean terdiam dan bibirnya digigit seolah memikirkan sesuatu. Dean pula hanya memerhati sahaja reaksi Jean sedang hati tidak sabar untuk mendengar jawapan dari bibir comel itu.

“Ermmm…mungkin sebab pada aku, kau berbeza kot. Pada aku, kau macam…haaa…a good brother and a perfect best friend,” jawabnya bersungguh.

“Just a good brother and a perfect best friend?” soal Dean sambil tersenyum tawar.

Jean mengangguk mengiakan.

Dean hela nafas. Kecewa dia mendengar jawapan jujur itu. Baru sahaja dia ingin bersuara semula telefon bimbitnya berbunyi. Tubuh digerakkan ke hadapan sedikit lalu telefon bimbit di atas meja diperhati. Sebaik terpandangkan nama yang tertera di skrin, sepantas kilat itu panggilan tersebut disambut.

“Waalaikumsalam,” jawabnya sopan sambil mengerling Jean di hadapan. “Hurmmm…Dean ada dengan Jean sekarang. Kami baru nak lunch,” ucapnya membalas pertanyaan pemanggil di talian.

Terdengar namanya disebut, Jean jungkitkan kening. Tetapi melihat dari cara perbualan Dean, rasanya dia sudah dapat meneka siapa gerangan pemanggil tersebut.

“Sure uncle, no problem. Hujung minggu ni Dean datang rumah uncle,” jawabnya dan terus menyambung perbualan. Setelah berbicara beberapa ketika, talian dimatikan dan telefon bimbit diletakkan semula ke atas meja.

“Papa aku?” Jean pelukkan tangan ke tubuh.

Kepala diangguk.

Jean mencemik. Hurmmm…Sudah dia agak. Kalau begitu cara percakapan Dean sudah tentulah dengan papa dia. Peliknya, macam manalah hubungan Dean dengan papa boleh serapat itu. Selalu pergi memancing bersama. Boleh berborak dan bergelak tawa berjam-jam lamanya. Boleh sama-sama menonton perlawanan bola sepak sampai ke pagi dan sorak beria. Hurmmm…ada macam-macam perkara lagilah yang papa dan Dean buat bersama-sama sehingga dia kadang-kadang cemburu melihat kemesraan mereka.

“Papa nak apa?” Tanyanya cuba mengorek rahsia.

Dean simpan senyum. Faham benar dia anak manja Encik Jamilul sedang cemburu sekarang. Tengok reaksi Jean sahaja dia sudah dapat meneka.  “Uncle ajak aku breakfast sama-sama weekend ni,” jawabnya selamba.

Ajak breakfast bersama? Amboiiii! Sweet nya! Ejeknya dalam hati. “Hurmmm…breakfast dekat mana?” Jean cuba beriak biasa walau hati geram sahaja mendengar jawapan selamba Dean. Air di atas meja dicapai dan dihirup untuk meredakan rasa sakit hati. Hurmmm…nampak sangat papa memang lebih sayangkan Dean!  

“Dekat rumah kau. Uncle kata dia nak masak untuk aku,”

Terus tersembur air teh o ais yang baru masuk ke dalam mulut. “What?!” Jerit Jean seakan tidak percaya. Papa nak masak? Biasanya papa hanya masak pada hari-hari istimewa sahaja. So, apa yang istimewanya hari ahad nanti sampai papa sanggup masakkan untuk Dean?  Arghhhh! Geramnya dia.

Melihat reaksi Jean, Dean tidak dapat menahan gelihati dan terus ketawa terbahak-bahak.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...