Followers

Friday 28 February 2020

Dean & Jean - Bab 6







Bab 6
“Yesssss!!!” Jerit Jean sambil melompat gembira mendengar berita yang disampai Dean sebentar tadi. Kalau memeluk Dean tidak salah, tentu tubuh tegap Dean sudah dibawa ke dalam pelukan agaknya. Gembira dia bukannya kerana dia ada bahagian untuk projek tersebut tetapi kerana usaha dan penat lelahnya terbayar. “So sekarang kita dah tak perlu balik lambat lagi kan?” Tanyanya.

Dean menggeleng. “Tak.” Balasnya sepatah.

“Best nya. Bolehlah aku tidur awal malam ni. Yes!” Jean bersuara ceria.

Dean tergelak kecil. Gelihati melihat reaksi gadis itu.

“Oh ya Dean, our holiday is on right?” soalnya apabila teringat apa yang pernah Dean janjikan sebelum itu.  Tidak sabar rasanya dia hendak menikmati keindahan pantai.

Dean buang senyum dan mengangguk. “Jadi. Nanti kita bincang dengan yang lain-lain.” Jawabnya juga dengan nada ceria. Sungguh, hilang rasa lelahnya sebaik perjanjian dengan Dato’ Sri Hani selesai ditandatangani satu jam tadi. Sebelum perjanjian ditandatangani, memang tidak tidur lena dia dibuatnya. Maklumlah, dalam dunia pernigaan yang penuh dengan permainan politik, macam-macam boleh berlaku. Sedangkan nasi yang hampir tersuap ke dalam mulut pun boleh jatuh inikan pula kontrak yang belum pasti lagi.

“Great!” Jean angguk bersetuju dan duduk semula.

Melihat Jean yang sudah duduk ditempatnya, Dean berdeham. Teringatkan hadiah yang dia belikan untuk Jean dua minggu lepas, spontan itu beg sandangnya yang diletakkan di atas meja Azie dicapai. Baru sahaja kotak berwarna putih yang disimpan di dalam beg itu ingin diambil, hati rasa ragu-ragu dam Jean dikerling sekilas. Haih! Kalau Jean tanya hadiah itu untuk apa, jawapan apa yang perlu dia beri? Mengenali Jean, dia tahu gadis itu bukannya jenis senang berpuas hati dengan jawapan yang ala kadar. Beri hadiah harijadi pun bermacam-macam soalan yang Jean tanya. So, patutkah dia beri hadiah itu kepada Jean sekarang? Tapi, sampai bila hadiah tersebut perlu dibawa ke hulu ke hilir begitu? Hati berbisik resah.

Beri saja Dean. Kalau Jean tolak pun sekurang-kurangnya kau dah bagi. Hati berbisik lagi. Dengan helaan nafas panjang, kotak putih itu segera dicapai lalu dikeluarkan dari dalam beg. “Untuk kau,” ucapnya selamba dan kotak tersebut diletakkan di atas meja Jean.

Jean tercengang. Bulat matanya memandang Dean sebelum pandangannya beralih ke arah kotak putih yang tertulis Pandora di atas meja. “Apa ni?” Dia buat-buat tanya padahal diluar kotak sudah jelas ditulis PANDORA. Dengan riak bersahaja, kotak tersebut dicapai dan diperhati.

“Entah. Aku jumpa dekat bawah tadi. Rasanya ada orang buang. Dari dibiar macam tu lebih baik aku ambil dan bagi kau,” jawab Dean semakin selamba dan terus buka langkah menuju ke biliknya. Berdiri di hadapan Jean lama-lama nanti semakin banyak pula soalan dari mulut bertih jagung Jean.

Jean mencemik. Dean dikerling. Kalau nak menipu pun agak-agaklah. Tak ada orang yang akan buang barang berharga macam ini. Tidak terus duduk ditempatnya, Jean bingkas bangun dan terus berjalan menuju ke bilik Dean.

“Thank you,”  ucapnya sambil menggoyang-goyang kotak di tangan. Dengan sengih lebar di bibir, kotak itu terus dibuka. Sebaik terpandangkan seutas gelang dengan tiga biji charm berbentuk hati, Dean dipandang semula. Terkebil-kebil matanya memandang lelaki itu.

Dean berdeham. “Kenapa?” soalnya cuak.  

“Kau yang pilih ke ni?”

“Tak. Ada sorang ah soh yang tolong pilihkan,” tipu Dean. Nafasnya dihela dan pandangan dikalihkan ke arah lain. Tiba-tiba pula dadanya berdebar dan dia jadi malu untuk membalas renungan dari sepasang mata cantik Jean.

Senyum di bibir Jean melebar. Kalau itu yang dijawab sudah pastilah maksudnya adalah sebaliknya. 

“Cantik dan aku suka,” pujinya. Gelang tersebut terus dikeluarkan dari kotaknya lalu kotak tersebut diletakkan di atas meja Dean. Dia terus berjalan menghampiri tempat duduk Dean.

Melihat Jean yang semakin menghampiri, degupan di dada Dean semakin kencang. Cuba menenangkan diri sendiri, tubuhnya terus disandarkan ke kerusi dan nafasnya dihela.

“Tolong aku pakaikan gelang ni,” suruh Jen dan gelang itu diberikan kepada Dean. Sebelah tangan lagi dihulurkan.

“Huh?” Dean tercengang. Kerusinya dipusingkan sehingga dia duduk betul-betul menghadap Jean dan gadis itu dipandang tidak percaya.

Jean mengangguk. “Sebab kau yang belikan jadi aku nak kau yang pakaikan untuk aku,” ucapnya lalu keningnya dijungkitkan.

Dean telan liur sedang mata langsung tidak berkalih memandang wajah yang sedang tersenyum manis di hadapannya itu. Melihat wajah bersungguh Jean, Dean terus berdiri. Sambil berdeham, gelang yang dihulurkan Jean dicapai lalu dipakaikan ke pergelangan tangan kiri Jean. “Dah,” ucapnya sepatah dan dia duduk semula. Kerusinya dipusingkan dan dadanya yang terasa berdebar diusap.

“Thank you,” Jean bersuara ceria. Pergelangan tangannya yang sudah tersarung gelang pemberian Dean itu diperhati dengan penuh minat kemudian dia menoleh memandang Dean semula. 

“Sebenarnya hadiah ni untuk apa ya Dean?” tanyanya.

Sekali lagi Dean berdeham. Lehernya digosok. Dia sendiri pun tidak tahu hadiah itu untuk apa tapi apa yang pasti ketika dia melihat gelang tersebut, dia benar-benar ingin Jean memakainya. Sehinggakan dia dapat membayangkan betapa cantiknya Jean apabila memakai gelang itu.

Jean buka langkah dan berdiri di hadapan meja Dean semula. Gelang dipergelangan tangannya disentuh. “Hari jadi aku dah lepas. Tapi hadiah harijadi kau dah bagi.” Dean dikerling. “Atau ini hadiah untuk valentine’s day? Tapi valentine’s day pun dah lepas.” Usiknya.

Dean terbatuk kecil. Jean memanglah sengaja menguji perasaannya. “Kalau betul untuk valentine, macam mana?” duganya.

Jean senyum. “Tak baik sambut valentine but anyway, thank you for the gift. I really love it.” Ucapnya sedikit manja dan matanya dikenyitkan. Kemudian dia terus berlalu keluar.

Dean hela nafas panjang. Jean yang sedang berlenggok keluar dari biliknya dipandang sambil dadanya diusap. Arghhhh! Jean…kenapalah suka sangat menduga hati lelakinya?

“Amboi! Jean, ralit sangat kau tengok tangan kau tu, kenapa?” Giat Zul lalu meja kerja Jean dihampiri. “Patutlah beria tengok tangan rupanya pakai gelang baru.” Selorohnya pula.

Terdengar apa yang Zul katakan, Azie yang baru melangkah masuk ke pejabat, terkocoh-kocoh menghampiri Jean. Komputer ribanya terus diletakkan di atas meja Jean dan tangan rakan sekerjanya itu terus diraih.

“Oitttt! Apahal ni?” Terkejut Jean diserang secara tiba-tiba begitu.

“Gelang mahal weiii!” Azie buang pandang ke arah Zul di sebelahnya. Tangan Jean diangkat dan digerak-gerakkan. “Haruslah boyfriend yang bagi.” Giatnya pula. “Amboiii, kau Jean, ada boyfriend senyap-senyap aje eh.”

Zul tergelak kecil dan kepalanya digeleng. “Jean bukan macam kau, Azie. Baru ada boyfriend dah riuh satu office.” Ejeknya.

Azie mencemik. Tangan Jean yang masih dipegangnya dilepaskan. “Kalau aku tak beritahu nanti kau dengan Iwan mengurat aku pulak.” Balasnya selamba.

“Uishhhh! Confident nya menjawab. Kalau kau tu macam Jean, iyalah jugak.” Ejeknya lagi.

“Mulut kauuuuuu…Aku tahulah Jean cantik tapi tolong sedar diri ya sebab Jean pun tak akan terpikat punya dengan orang macam kau atau Iwan.” Azie membalas pula.

“Pedihnya ayat kau, Azie. Bisa berbisa hingga menusuk dalam hati.” Zul sentuh dadanya sambil menyeringai.  

Dean yang sedari tadi hanya melihat dan mendengar riuh mulut Zul dan Azie berbalas kata, bingkas bangun. Meja Jean dihampiri dan dia berdeham.

“Bos.” Sapa Zul dan Azie serentak.

“Apa yang riuh sangat tadi tu?” Sengaja dia buat-buat tanya padahal dia dengar dengan jelas butir bicara kedua-duanya. Jean yang sedang tersengih ditempatnya dikerling. Sukalah tu agaknya orang asyik puji dia cantik.

Azie tersengih macam kerang busuk dan menoleh pandang ke arah Zul. “Saja gurau-gurau aje bos.” Balasnya.

“Hurmmm…Iwan mana?”

“Iwan jumpa photographer bos. Petang sikit dia masuk.” Beritahu Zul.

Dean mengangguk. “Okey, since dia tak ada jadi aku tanya korang ajelah.” Dia memulakan bicara.

Zul dan Azie berpandangan dengan dahi berkerut. “Tanya apa bos?” sekali lagi mereka bersuara serentak.

Dean tersenyum. Gelihat melihat riak kedua-duanya. “Aku nak beritahu yang kontrak kita dengan Nutra Beauty dah selamat ditandatangani dan pengambaran untuk iklan tu akan dimulakan awal bulan depan.”

“Yes!!” Jerit Zul dan Azie serentak.

“Tahniah bos. Tak sia-sia kita bersengkang mata siapkan proposal tu.” Zul menyambung bicara.

Dean mengangguk sambil tersenyum. “Ya, terima kasih pada korang juga yang sama-sama bersusah payah dengan aku sepanjang dua minggu ni. Jadi sebagai reward, aku cadang nak bawak korang pergi bercuti sebelum kita start shooting. So, aku nak tanyalah, mana tempat yang korang nak pergi.” Jean dikerling.

Zul dan Azie saling berpandangan dan tersenyum lebar.

“Sabah bos!” Azie memberi cadangan.

“Camping bos.” Cadang Zul pula.

Sekali lagi Jean dikerling dan tangan dipelukkan ke tubuh. “Ermmm…pilih antara dua tempat ni aje.” 
Keningnya digaru. “Melaka atau Port Dickson.”

Zul dan Azie mencemik. Tadi minta mereka beri cadangan tapi rupa-rupanya Dean sudah ada pilihan sendiri.

“Okey…okey, aku tahu korang biasa pergi tempat-tempat tu tapi buat masa ni kita pergilah situ dulu. Tapi aku janji lepas urusan dengan Nutra Beauty selesai, kita akan buat trip ke tempat lain pulak.” Ucapnya berjanji.

“Kita pergi jalan-jalan cari makan dekat Melakalah bos.”

Walaupun dia suka dengan cadangan Zul tapi dia tetap kena tanya Jean dulu. Manalah tahu Jean ada cadangan lain pula. Lagipun Jean kan nak bercuti di tepi pantai. “What do you think Jean?” Jean yang masih leka merenung gelang di tangannya dipandang.

Senyap.

“Jean…” panggil Dean lagi sedikit kuat dari tadi.

Tersentak, Jean mendongak. “Huh?” soalnya sambil terpinga-pinga. Dean, Zul dan Azie dipandang silih berganti.

“Adoi! Jean. Tahulah gelang tu boyfriend kau yang beri tapi janganlah over sangat sukanya tu.” Azie menggeleng.

“Ish! Kau ni!” Marahnya lalu bingkas bangun. Geram, bahu Azie ditepuk kuat. Berani betul Azie bergurau begitu depan Dean. Kalaulah Azie tahu Dean yang beri gelang itu tentu tak berani Azie hendak mengusiknya.

Dean hanya ketawa sahaja melihat reaksi Jean tetapi dalam hatinya suka mendengar gurauan Azie. Gelaran boyfriend yang Azie berikan itu membuatkan hatinya kembang setaman. 

“Zul beri cadangan kita jalan-jalan cari makan di Melaka. So, kau okey tak dengan cadangan tu?” tanyanya lagi.

Kepala digeleng. “Aku nak bercuti dekat tepi pantai.” Tegasnya.

Dean pandang Zul dan Azie semula seolah meminta jawapan mereka.

“Kalau macam tu apa kata kita singgah Melaka untuk cari makan lepas tu kita gerak ke Port Dickson dan camping dekat tepi pantai.” Cadang Zul lagi. 

“Kita makan asam pedas dekat Melaka bos.” Celah Azie pula.

Dean menoleh memandang Jean semula dan keningnya dijungkitkan.

“Aku setuju.” Jawabnya sambil tersengih.

“Okay, since semua dah sepakat, awal bulan depan kita pergi.”

Jean terdiam dan calendar di atas mejanya diperhati. Awal bulan maknanya lagi dua minggu. Lewatnya. “Kenapa kita tak pergi hujung minggu ni aje?” Tanyanya.

“Hujung minggu ni tak boleh sebab aku balik kampung.”

“Balik kampung?” Jean kerutkan dahi. Dean tak pernah beritahu dia pun Dean hendak bercuti balik ke kampungnya.

Dean mengangguk. “Adik bongsu aku bertunang.” Beritahunya.

“Oh!” Balas Jean sepatah dan tubuh disandarkan ke kerusi semula.

“Adik bos nak bertunang tapi bos bila lagi?” Azie mengusik. Nasib baiklah Dean jenis bos yang sporting. Setakat gurau begitu biasanya tak jadi hal langsung kepada lelaki itu.

Dean tersenyum dan Jean dikerling. “Kena tanya soalan tu pada Jean. Kalau dia setuju bila-bila masa kami boleh bertunang.” Selambanya.

Jean tercengang. “Aku? Kenapa libatkan aku?” soalnya terpinga-pinga.

Sengaja malas hendak menjawab soalan Jean, Dean buang tawa dan terus beredar masuk ke dalam biliknya semula.

“Aku ingat bos serius tapi main-main rupanya.” Azie mencemik. Dia bukan main terkejut lagi mendengar jawapan Dean tadi tapi bila Dean ketawa tahulah dia Dean bukannya serius. Hampeh betul!  

“Tapi kan, aku rasa bos dengan Jean sesuai aje. Lagipun kau dah kenal lama dengan bos kan Jean?” Zul kalihkan pandangan ke arah Jean.

“Korang jangan merepek eh. Aku dengan dia tu cuma kawan baik aje.” Jean buat sibuk. Dokumen di atas mejanya dibuka. Malas dia hendak melayan Zul dengan Azie membawang. Nanti meleret-leret entah kemana-mana.

Azie menggeleng. “Orang macam bos tu kau cuma anggap kawan aje Jean? Rugilah kau. Jangan nanti bila bos suka dekat orang lain, kau ternganga ya.” Dia mengingatkan.

Tersentap mendengar kata-kata Azie, lekas-lekas pandangan dibuangkan ke arah bilik Dean. Lelaki itu yang sedang bercakap di telefon bimbitnya dipandang. Ya juga kan, apa agaknya perasaan dia bila suatu hari nanti Dean kenalkan kepada dia gadis pujaannya? Tentu dia sedih sebab seorang lelaki yang dianggap abang dan juga kawan paling baik sudah ada pilihan hati. Sudah tentu-tentulah Dean akan lebihkan kekasih hatinya dari dia.

“Apa yang kau tengok tu? Baru perasan yang bos kita tu handsome?” Azie buang tawa. Gelihati dia melihat cara Jean memandang Dean.

Jean mencemik. “Mana ada. Aku cuma fikir macam mana agaknya nanti bakal isteri Dean. Lelaki macam dia tu aku rasa cerewet sikit pasal perempuan. Tentu dia nak perempuan yang bertudung, pandai masak, pandai buat kerja rumah dan yang ayu-ayu gitu.” Balasnya sedang mata masih tidak berkalih memandang Dean.

“Kau lebih kenal bos dan aku rasa ciri-ciri tu memang menjadi pilihan bos.” Azie mengiakan dan 
Dean dipandang sekilas sebelum dia memandang Jean semula. “Hurmmm…kalau ikut ciri-ciri yang kau sebutkan tadi, kau memang langsung terkeluar dari senarai. Iyalah, kau bukannya reti memasak. Buat kerja rumah pun aku rasa memang kau failed. Bertudung tu memang jauh sekalilah.” Ejeknya.

Jean mencemik dan Zul ketawa kecil.

“Tapi hati orang kita tak tahu Azie. Mana tahu calon pilihan bos berlawanan dari ciri-ciri yang Jean sebutkan tu, siapa tahu?” Celahnya dan keningnya dijungkitkan. Sebagai lelaki dia seolah dapat meneka perasaan Dean terhadap Jean. Lihat sahajalah bagaimana layanan Dean terhadap Jean. Layanannya bukan biasa-biasa.

Azie mengangguk mengiakan. “Betul jugak cakap kau tu kan? Tapi memang mustahillah bos akan syok kat Jean.”

“Dah! Dah! Korang berdua tak payahlah nak sibuk-sibuk pasal jodoh Dean. Yang pasti kalau dia nak kahwin, akulah orang pertama yang akan tahu.” Ucapnya membangga diri sambil kening dijungkitkan.

Menyampah mendengar bicara Jean, Zul dan Azie mencemik dan terus berjalan menuju ke meja masing-masing.

Jean hanya memerhati sahaja sambil tergelak kecil. Dokumen yang dibukanya tadi diselak dan sesekali gelang yang diberikan Dean dikerling bersama senyuman.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...