Followers

Tuesday 3 March 2020

Dia Bukan Bidadari - Bab 10





Bab 10
Zahin direnung. Tajam. Cawan latte di atas meja dicapai semula dan dihirup sehingga habis. Hati sudah mula membahang geram.
“I nak balik.” Tekannya keras. Rasanya sudah beberapa kali dia mengulang kata-kata yang sama tetapi riak Zahin tetap begitu. Bersahaja malah langsung tidak mengendahkan kata-katanya.
Zahin tersenyum. Seakan tidak terkesan dengan kata-kata Nur Jannah sedari tadi.
“You dengar tak I cakap I nak balik!” Nur Jannah mengulang kata-katanya semula. Kalau mereka hanya berada ditempat-tempat biasa sudah lama dia pergi sahaja dari situ tetapi dia berada di Bukit Tinggi sekarang! Sejak tadi dia sudah mula menyesal kerana mengikut Zahin petang tadi. Sangkanya mereka hanya akan minum di café-café biasa tetapi dia dibawa ke situ tanpa kerelaannya.  Tak guna punya jantan! Jeritnya dalam hati.
Zahin palingkan wajah dan pelayan yang duduk tidak jauh dari situ dipandang. Tangan terus diangkat dan digoyang-goyangkan.
“Bill please.” Ucapnya sebaik pelayan tersebut menghampiri meja mereka. Pelayan itu akur dan pergi ke kaunter bayaran sebelum kembali ke meja mereka semula.
“Bill sir.” Buku kecil di tangan diletakkan ke atas meja.
Sebaik melihat jumlah bill yang tertera di dalam resit yang diberikan, Zahin terus mengeluarkan note lima puluh ringgit sebanyak tiga keping dan diletakkan ke dalam buku kecil di atas meja. “You can take the balance.” Dia terus berdiri. Nur Jannah dihampiri dan tangan gadis itu diraih.
“Lepaslah.” Jerit Nur Jannah perlahan. Tangannya cuba ditarik tetapi semakin kuat pula tangannya dicengkam.
“Jom.” Ajak Zahin agak keras. Tangan Nur Jannah ditarik.
Dalam keadaan rela terpaksa, Nur Jannah terus  bangun dan langkah lelaki itu diekori.
“Zahin, kita nak ke mana ni?” Soal Nur Jannah agak cuak apabila Zahin terus berjalan masuk hotel Colmar Tropicale di pusat peranginan tersebut.
“Kita akan menginap di sini.” Selamba Zahin bersuara.
“No!” jerit Nur Jannah sedikit keras dan tangannya ditarik agak kasar. Kali ini dia benar-benar takut. Dengan siapa dia harus meminta tolong kalau terjadi sesuatu sedangkan dia tidak kenal sesiapa pun di situ.
“I don’t care you suka atau tidak. We’ll stay here for tonight!” suara Zahin sudah mula berubah rentak. Tegas dan dalam. Tangan Nur Jannah dicengkam semakin kuat.
“Sakitlah Zahin!”
Zahin palingkan wajah dan Nur Jannah ditarik semakin rapat ke arahnya. “Kalau you tak nak sakit, behave!” bisiknya dalam nada mengugut.
Nur Jannah terus terdiam. Sungguh dia takut dan hati sudah mula berdetak semakin cemas memikirkan nasib dirinya. Ya Allah, lindungilah aku. Doanya tidak henti-henti sedari tadi. Di saat itu juga wajah abah dan mak datang silih berganti di kepalanya. Ketika itu juga timbul rasa menyesal dengan sikapnya yang terlalu mengejar kemewahan tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima.
Melihat Nur Jannah yang sudah mula mendengar kata, Zahin terus berjalan ke kaunter.  Selesai urusan mendaftar masuk dan menerima kunci, dia terus menarik tangan Nur Jannah untuk beredar.
“Zahin, I tak ada baju lain nak pakai.” Nur Jannah memberi alasan. Suara sudah mula bergetar menahan rasa. Debaran di dada semakin menggila. Otak pula ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri dari situ.
“You tak perlukan baju lain sayang. Sebab...aktiviti kita malam ni tak perlukan semua tu.” Zahin mula berbisik nakal. Matanya dikenyitkan. Tubuh Nur Jannah semakin ditarik rapat ke arahnya sebelum pinggang gadis itu dirangkul.
Berderau darah Nur Jannah apabila diperlakukan begitu. Tetapi kata-kata Zahin tadi lebih menakutkan. Ya Allah, lindungilah aku dari lelaki berperangai syaitan ini. Doanya lagi tanpa henti. Pandangannya dibuangkan ke sekeliling. Apa yang perlu dia buat sekarang? Menjerit meminta tolong? Dalam masyarakat yang tidak pernah kisah tentang orang lain sekarang, adakah manusia yang akan menolongnya? Allah... nama yang maha agung itu diseru lagi. Berkali-kali.
“Zahin, please...I nak balik. I tak nak stay dekat sini.” Nur Jannah sudah mula merayu. Mengharap semoga tiba-tiba Zahin lembut hati.
“You jangan ingat I akan lepaskan you dengan mudah Jannah. Kalau I tak dapat, I pun tak akan beri orang lain merasa.” Bisik Zahin perlahan tetapi tajam  bunyinya.
“Zahin, I tak cintakan you lah.” Jerit Nur Jannah hampir menangis. Zahin memang lelaki durjana.
“Untuk dapatkan tubuh you, I tak perlukan cinta sayang.” Kata-kata Zahin semakin tidak beralas. Rangkulannya dipinggang Nur Jannah dilepaskan dan jemari gadis itu digenggam pula. “Come, I dah tak sabar nak merasa kehalusan kulit you yang putih ni.” Lengan Nur Jannah yang tidak beralas itu diusap-usap.
Hampir putus nafas Nur Jannah apabila diperlakukan begitu. Sungguh dia jijik!
“Please Zahin... this is wrong...I tak nak.” Mata sudah mula berkaca. Abah....nama abah diseru berkali-kali di dalam hati.
“Samada you nak atau tak, itu tak penting. What important, I’ll enjoy the night. Lagipun I dah spent banyak untuk you Jannah jadi I inginkan balasan.” Mata dikenyitkan dan langkah diayun semakin laju menuju ke pintu lif.
“I akan pulangkan semua pemberian you. Handphone, barang kemas dan duit. Semuanya I akan pulangkan.” Terketar-ketar Nur Jannah membalas. Semakin menghampiri pintu lif, detak jantungnya menjadi semakin laju.
Zahin lepaskan tawa. “I tak perlukan semua tu sayang. I cuma perlukan diri you.” Bisiknya rapat ke telinga gadis itu. Dan di saat itu juga satu kucupan singgah dipipi gebu gadis itu.
Air mata mula menitis. Geli! Jijik! Ya, itulah yang dia rasa ketika itu. Tangannya yang dicengkam kemas oleh Zahin sedaya mungkin cuba dilepaskan tetapi nampaknya Zahin bukan bodoh untuk melepaskannya begitu sahaja. Semakin dia cuba melepaskan diri, semakin kuat Zahin menggenggami jemarinya. Ya Allah, beginikah perjalanan hidupnya? Maruahnya akan hancur di tangan lelaki yang bukan bergelar suami? Tubuhnya akan diratah rakus oleh lelaki bernafsu binatang ini? Abah...tolong kakak abah!


Pandangan dibuangkan ke arah jam di dinding kemudian kepalanya digelengkan. Waktu sudah menginjak hampir ke pukul Sembilan malam tetapi batang hidung Nur Jannah masih belum kelihatan lagi. Kerja sampai lewat malam? Tak mungkin kerana Nur Jannah biasanya akan menghubunginya sekiranya terpaksa pulang lewat.
Telefon bimbit yang terletak elok di atas meja dikerling. Tidak menunggu, laju sahaja telefon bimbitnya dicapai. Nombor Nur Jannah didail. Senyap. Didail lagi. Masih juga senyap. Jantung terus berdegup. Skrin telefon bimbit dipandang. Lama.
“Janganlah ada apa-apa berlaku pada kau Nur.” Desis hatinya.
Jari meluncur di skrin telefon dan nama Jenny dicari. Sebaik nama Jenny ditemui, nombor gadis cina itu terus didail.
“Jenny..” sebaik panggilannya bersambut laju sahaja nama gadis itu diseru.
“Ya Ika, apahal?”
“Jannah ada dengan kau tak?” soalnya tak bertangguh. Dari duduk dia terus berdiri semula.
“Tak adalah Ika. Pukul lima petang tadi dia dah balik. Kenapa?” suara Jenny juga sudah mula berubah rentak.
“Dia belum balik lagilah Jen. Aku call dia tak dapat.” Zulaika semakin bingung. Hati sudah mula rasa tidak tenteram. Di saat itu juga wajah pak cik Ahmad terbayang-bayang diingatan. Dia masih ingat lagi pesanan pak cik Ahmad semasa dia dan Jannah ingin bekerja di Kuala Lumpur.
“Di Kuala Lumpur nanti kamu tiada siapa-siapa. Saudara mara pun tak ada jadi jagalah diri kamu sesama sendiri. Ambil berat antara satu sama lain. Bila salah seorang susah, yang seorang lagi kena bantu. Dan Ika, pak cik minta kamu tolong tengok-tengokkan anak pak cik ni.”
“Ika..” suara Jenny sudah mula cemas.
Mendengar suara Jenny ketika itu, berderau darahnya. Dia pasti mesti ada sesuatu yang berlaku.
“Kenapa Jen. Kau jangan takutkan aku.” Suara Zulaika juga sudah mula terketar-ketar.
“Zahin..” sepatah lagi Jenny membalas.
“Siapa Zahin tu?” Zulaika seakan sudah tidak sabar mendengar bicara gadis cina itu. Sebiji-sebiji disebutnya.
“Lelaki tu ada cari Jannah di office petang tadi. Dia ugut Jannah.”
Sekali lagi darah Zulaika terasa menyerbu naik ke kepala.
“Ya Allah, Nur.” Desahnya. “Dah tu apa jadi?” soalnya semakin cemas.
“Aku tak tahu Ika tapi aku rasa Jannah pergi jumpa lelaki tu.”
“Apasal kau suka cari pasal Nur?” bebel Zulaika agak keras.
“Dah tu apa kita nak buat ni Ika?”
Zulaika hela nafas. Dia sendiri pun bingung tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Nak report polis ke Ika?”Jenny memberi cadangan.
“Belum 24 jam lagilah Jen.”
“Habis tu?”
Suasana terus sepi. Zulaika diam. Jenny juga turut diam.
“Okey macam ni. Kita tunggu dulu sampai pukul 12 malam. Kalau masih belum ada khabar berita kita buat report polis.” Cadang Zulaika setelah lama mendiamkan diri.
“Kalau kau dah kata macam tu okeylah. Tapi apa-apa hal kau call aku. Kalau perlu nanti aku pergi rumah kau.” Jenny bersetuju.
“Alright.”
Talian terus dimatikan. Jam di dinding dikerling lagi. Sekilas kemudian pandangan dibuangkan ke pintu. Mengharap agar tiba-tiba Nur Jannah muncul di situ. Walau lama matanya tertancap di muka pintu yang tertutup itu namun wajah Nur Jannah masih juga tidak kelihatan. Perlahan-lahan nafasnya dihela. Rambut yang tidak diikat itu diraup kasar.
“Nur...dekat mana kau sekarang?” luahnya resah.


“Allah...” pak cik Ahmad tersentak. Dia bingkas bangun. Wajahnya diraup dan bibir beristigfar panjang. Berkali-kali.
“Kenapa bang?” Mak cik Latipah turut bangun. Wajah suami yang kelihatan agak kusut itu dipandang dengan kerutan di dahi.
“Kakak...” ucap pak cik Ahmad sepatah.
“Kenapa dengan kakak?”
“Entahlah Pah. Abang mimpikan kakak. Rasa macam terdengar-dengar suara dia panggil abang.” pak cik Ahmad terus bangun. Dada yang terasa berdebar-debar  itu diusap.
“Mimpi aje tu bang. Tak ada apa-apalah.” Pujuk mak cik Latipah lembut.
Dengan riak yang masih seperti tadi, pak cik Ahmad mengangguk. Jam di dinding yang kelihatan agak usang dikerling. Waktu ketika itu hampir menginjak ke pukul sebelas malam. Tentu anak gadisnya sedang tidur ketika itu. Fikirnya.
“Abang nak Pah telefon kakak?” mak cik Latipah turut bangun. Suaminya dihampiri.
Pak cik Ahmad menggeleng. “Tak payahlah ganggu kakak. Dia mesti dah tidur.” Langkah terus diatur untuk keluar.
“Abang nak kemana tu?”
“Nak ke dapur Pah, abang rasa haus pula.” Dadanya diusap lagi. Suara Nur Jannah seakan-akan terdengar-dengar lagi. Ya Allah, lindungikah anak aku walau dimana dia berada. Doanya dalam hati.



Dia Bukan Bidadari - Bab 9





Bab 9
Telefon bimbit di tangan dipandang tak beriak. Kening berkerut semakin tajam. Kenapa tiba-tiba emak suruh dia jangan balik? Pelik. Semasa dia berbual dengan abah beberapa hari lepas, tidak pula abah beritahu tentang majlis perkahwinan sesiapa. Selalunya pantang ada kenduri di kampung pasti abah akan beria-ia bercerita. Alasan abah biar dia tahu apa yang berlaku di kampung walaupun dia duduk jauh di Bandar. Tetapi sebenarnya dia tahu abah sengaja hendak memanjangkan cerita supaya dapat berbual lama dengannya.
“Kau kenapa? Berkerut-kerut muka tu aku tengok.” Tegur Jenny yang baru muncul dari pantry. Mug yang dibawanya diletakkan di atas meja Nur Jannah. Tubuh disandarkan di tepi dinding ruang kerja sahabatnya itu.
“Kita tak jadi balik kampunglah minggu ni.” Balas Nur Jannah dengan suara yang perlahan. Pandangan masih dibuangkan ke arah telefon di atas meja.
“Laaaa...kenapa?”  suara Jenny sudah berubah kecewa. Dia bukan main teruja lagi dapat mengikut Nur Jannah pulang ke kampungnya tiba-tiba terpaksa dibatalkan pula.
“Entahlah, mak aku baru telefon dia kata hujung minggu ni mereka pergi kenduri hantar pengantin.” Terang Nur Jannah walaupun ada rasa sangsi di hatinya dengan cerita emaknya  tadi.
“Hurmm.. habis tu bila kita boleh balik kampung kau?”
Nur Jannah jungkit bahu. “Minggu depan pun tak sempat balik sebab kita sibuk dengan audit kan?” soalnya.
Jenny mengangguk mengiakan. Nafasnya dihela. Punah harapan nak makan udang galah segar di kampung sahabatnya itu.
Nur Jannah turut melepaskan keluhan. Baru sahaja rasa bersemangat bekerja minggu itu kerana tidak sabar  untuk balik ke kampung tiba-tiba musnah harapannya.
“It’s okay Jannah. Kita plan lain kali pula ya.” Pujuk Jenny lembut. Walaupun dia kecewa tetapi dia tahu Nur Jannah tentu lebih kecewa lagi. Apa tidaknya, sejak beberapa minggu lepas tak lekang kata-kata rindukan orang  tuanya bermain-main di bibir sahabatnya itu.
Nur Jannah mengangguk. Perlahan.
“So, apa plan kau hujung minggu ni?”
“Entah. Duduk rumah aje kut.” Balasnya dengan suara yang sudah berubah rentak. Habis hilang semua rasa yang ada dalam hati dengan panggilan tadi.
“Tak dating ke?” Jenny jungkitkan kening. Sengaja hendak mengusik.
Muka dicemikkan dan kepala digeleng.
“Tak kan tak keluar dengan Tengku Rayqarl kut?” sengih Jenny menjadi semakin lebar. Terbayangkan duda beranak dua itu geli pula hatinya. Apa tidaknya, terhegeh-hegeh mengurat Nur Jannah walau berkali-kali Nur Jannah menolaknya.
Nur Jannah buat muka menyampah. “Gelilah dengan lelaki macam tu. Gatal!” kutuknya sambil mengeliatkan tubuhnya dan buat muka geli. “Lagipun aku ingat kaya sangat tapi cikai juga. Harap aje nama ‘tengku’ dekat pangkal nama tapi nan hado aje pun.” Kutuknya selamba. Dalam ramai-ramai lelaki yang ‘berduit’ yang dikenalinya, tengku Rayqarl lah yang paling sengkek rasanya. Ajak makan dekat tempat high class sikit mesti banyak alasan. Pakai kereta mewah tapi rupa-rupanya sekadar mengaburi mata yang memandang.
Melihat reaksi Nur Jannah, Jenny ketawa lepas.
“Aku dah beritahu kau dia tu gatal tapi kau tetap juga nak cuba kenal.” Ucapnya dengan tawa yang masih bersisa.
“Tak mahulah cerita pasal dia lagi. Loya tekak aku. Kau just imagined Jen, ada satu hari keluar dengan dia, aku yang kena bayar. Alasan dia tertinggal wallet. Menipu sangat kan? Sudahlah aku pun bukan jenis berduit juga, nak kena belanja dia? Hurm... sayonaralah!” Nur Jannah cemikkan muka. Bukan setakat kurang ‘berduit’ tetapi pengotor. Yuck!  Apa yang dia tak suka, lelaki itu tangannya boleh tahan liarnya. Cuit sana sini ikut sesuka hati sahaja. Walaupun dia mengimpikan lelaki kaya sebagai pendamping tetapi dia pun choosy jugak. Yang tak berkenaan silalah KE TEPI! Dan yang nyata lelaki bernama Tengku Rayqarl Tengku Haris itu sudah terkeluar dari senarai lelaki-lelaki pilihan dalam buku calon jodohnya.
Jenny gelengkan kepala. Rasanya kalau termasuk Tengku Rayqarl sudah ramai lelaki-lelaki yang Nur Jannah ‘reject’. Apa yang Nur Jannah cari agaknya. Kata mahu yang kaya, dan lelaki-lelaki tersebut bukan sembarangan orang kesemuanya kecuali Tengku Rayqarl.
“Manusia ni tak sempurna Jannah. Tuhan beri dia kekayaan tetapi tuhan kurangkan yang lainnya. Ada tu duit berkepok tapi muka ya tuhan....macam samseng jalanan. So, you have to admit that. Setiap kelebihan ada kekurangan.” Jenny mula bersyarah.
Dengusan Nur Jannah kedengaran lagi. Bukan dia tidak tahu semua itu malah dia faham sangat. Kalau tidak masakan perempuan cantik macam dia terpaksa hidup susah sejak lahir lagi.
“Aku bukan nak yang sempurna sangat Jen tapi cukuplah kalau perangai tu senonoh sikit. Ini tidak, ya rabbi...takut aku.” Bebel Nur Jannah bersama gelengan.
“Tahu juga kau takut ya?” kutuk Jenny selamba.
Nur Jannah terus berdiri. “Friend, walaupun aku ada cita-cita yang tak berapa baik tapi aku tak akan hancurkan diri aku dengan cita-cita yang gila tu.” Ucapnya mempertahankan diri. Jenny ingat dia perempuan murah? Senang-senang boleh diperlakukan apa sahaja kerana ingin hidup mewah? Sorry...itu bukan dia!
“Iya, aku tahu kau macam mana cuma aku takut kau tergelincir dari landasan aje. Lelaki ni kalau dia nak sangat dia sanggup lakukan apa saja. Lebih-lebih lagi kalau jenis orang yang berduit. Aku cuma mengingatkan aje sebab kau kawan aku.” Tidak jemu Jenny menasihati.
“Aku tahu dan jangan risau. Setakat ni aku tahulah macam mana nak jaga diri sendiri.” Balas Nur Jannah acuh tak acuh. Bosan kerana tidak henti-henti dinasihati.
Jenny menggeleng. Dia tahu Nur Jannah tidak suka dinasihati begitu tetapi itu adalah tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Nur Jannah juga yang selalu menyebut, sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mengingatkan dan tidak jemu memberi nasihat jika diperlukan. Baru sahaja Jenny ingin bersuara terdengar nama Nur Jannah dipanggil. Kedua-duanya menoleh. Nurul, penyambut tetamu yang sedang berdiri di muka pintu dipandang.
“Cik Jannah, ada orang  nak jumpa.” Nurul menyambung kata-katanya.
“Siapa?” soal Nur Jannah dengan kening berkerut seribu. Rasanya sejak dia bekerja di situ setahun yang lalu, tak pernah lagi ada orang yang mencarinya di pejabat. Kalau ada pun cuma Zulaika tetapi kalau Ika, dia main terjah masuk ikut suka hati dia sahaja. 
Nurul jungkit bahu.
Kerutan di dahi Nur Jannah menjadi semakin dalam. Siapa? Fikirnya. Tidak menunggu dia terus melangkah keluar. Pandangannya dibuangkan ke arah ruang penyambut tetamu yang agak luas itu.
“Hai.”
Terdengar teguran seseorang, langkah Nur Jannah terus mati. Tubuh terus dipalingkan ke arah suara yang menegurnya.
“Surprised huh?”
Serta merta itu air muka Nur Jannah berubah. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu dipandang tak berkelip.
“Terkejut nampak I dekat sini?” Lelaki itu bersuara lagi.
Nur Jannah mendengus. Tangan dipelukkan ke tubuh. Lelaki itu dijeling tajam.
“Mana you tahu I kerja sini?” tanyanya agak keras.
Lelaki itu tersengih. “Hendak seribu daya, dear.” Ucapnya selamba.
“So, buat apa cari I dekat sini?” soalnya dengan suara yang sudah naik seoktaf.
“I call you, you tak angkat. So, what do you expect me to do?” Lelaki itu bersuara sinis. Keningnya dijungkitkan tinggi. Bukan sekali dua dia mencari tetapi sudah berkali-kali.
“Looks encik Zahin, kalau I tak jawab call you itu maknanya, I memang tak berminat nak bercakap dengan you. Takkan itu pun you tak faham?” balas Nur Jannah juga bernada sinis.
Lelaki yang dipanggil Zahin itu lepaskan tawa. Langkah diayun dan Nur Jannah dihampiri semakin dekat.
“You tak nak cakap dengan I tapi I belum jemu nak jumpa you.” Ucap Zahin separa berbisik. Seakan menggoda.
Nur Jannah mencemik. Meluat pula dia rasa. Sepantas kilat tubuhnya dijarakkan agak jauh sedikit dari lelaki itu. Loya tekak dia mendengar kata-kata lelaki itu.
“Encik Zahin, I rasa baik you pergi dulu sebab sekarang waktu office hour. Tak elok rasanya kalau bos I nampak you dekat sini.” Nur Jannah cuba berlembut. Bimbang juga dia kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini di situ. Kalau tiba-tiba bosnya muncul lagi haru nanti.
“Fine, I boleh pergi tapi keluar dengan I malam ni.” pancing Zahin dengan senyuman. Bila sudah bertemu masakan dia membiarkan. No, tidak sekali-kali.
“Sorry, I tak free.” Tolak Nur Jannah dengan suara yang sudah naik senada. Sorry dia hendak keluar dengan lelaki gatal seperti Zahin lagi. Sama sahaja spesis seperti Tengku Rayqarl. Tangan macam sotong. Liar berjalan ke sana sini. Lagipun dia memang tak berkenan pun dengan lelaki itu. Hendak dijadikan suami? Oh please! Tidaklah. Biarpun duit berkepuk-kepuk dalam tangan.   
“Kalau you tak free malam ni, kita keluar petang ni. I akan tunggu di sini sampai you balik.” Selamba Zahin lagi. Tidak mengendahkan riak bengang gadis di hadapannya itu, dia terus duduk.
“Encik Zahin, please.” Nur Jannah sudah mula tidak senang hati. Pandangannya dibuangkan ke arah Nurul yang leka memerhati mereka sedari tadi. Dia juga tahu pasti Jenny juga sedang memasang telinga di sebalik pintu. Habis! Mesti lepas ini macam-macam cerita akan keluar. Popularlah dia menjadi gossip rakan sekerja.
“Keluar dengan I malam ni.” tidak berganjak dengan keputusannya, Zahin masih pamer reaksi bersahaja.
“Okey, kita jumpa lepas I balik kerja.” Akhirnya Nur Jannah mengalah. Lelaki itu dijeling semakin tajam. Geram melihat reaksi selamba lelaki itu.
Zahin tersenyum. Puas. Sejak beberapa minggu itu dia sudah puas menahan hati dengan sikap gadis itu. Berpuluh-puluh panggilannya langsung tidak diendahkan. Kalau Nur Jannah fikir dia jenis lelaki yang cepat putus asa, Nur Jannah memang silap. Selagi dia belum dapat, selagi itu dia tidak akan biarkan lebih-lebih lagi kalau gadis itu adalah gadis yang dia inginkan. Lagipun apa guna dia berhabis untuk gadis itu kalau akhirnya dia ditinggalkan tanpa apa-apa imbuhan?
“I tunggu you dekat bawah nanti. Don’t fool me around Jannah.” Ucapnya seakan mengugut. Nur Jannah direnung tajam.
“Okay.” Tekan Nur Jannah agak keras. Entah kenapa tiba-tiba hatinya rasa semacam pula. Riak lelaki itu kelihatannya sangat menakutkan.
“I told you kan?” Lantang Jenny bersuara. Sebaik Zahin pergi, dia terus menerkam ke arah Nur Jannah. Melihat dan mendengar perbualan sahabatnya dengan Zahin tadi, dia sendiri pun sudah rasa tidak senang hati. Seram kut dengan lelaki yang perangainya mendesak begitu.
“What?” soal Nur Jannah tenang. Seboleh mungkin dia cuba beriak selamba walau dalam hatinya bukan main huru hara lagi.
“That man!” Jari ditunjukkan ke arah pintu seolah-olah Zahin masih di situ. Perlahan-klahan kepalanya digelengkan. Nur Jannah sudah buta atau sudah dibutakan? Oh my god! Jeritnya dalam hati.
“Kenapa dengan dia?” Nur Jannah alihkan pandangan ke arah Jenny dan keningnya dijungkitkan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Dia...”
Tangan dipelukkan ke tubuh dan kepala dianggukkan menanti kata-kata Jenny seterusnya.
“Dia...dia...nampak menakutkanlah Jannah!” luahnya beria-ia.
“So maknanya dari tadi kau tengok aku dengan dialah ya?”
Jenny terdiam. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.
“Kan aku dah kata, jangan risau. Lelaki macam tu kalau aku boleh elak, aku akan elakkan dari terus berjumpa.” Nur Jannah cuba meyakinkan walaupun hatinya sendiri tidak berapa yakin.
“The problem is he’s the one who looking for you. And yes...in here!”
Nur Jannah melepaskan keluhan. Memang betullah amoi sorang ni. Bikin hati dia jadi semakin kacau aje. “Sudahlah, aku banyak kerja lagi nak buat.” Tidak mengendahkan  kata-kata Jenny tadi, dia terus masuk ke dalam semula. Walaupun nampak macam tenang tetapi dalam kepala sibuk memikir bagaimana hendak mengelak dari lelaki yang bernama Zahin!




Dia Bukan Bidadari - Bab 8








Bab 8
Aku mahu makan malam di hotel
Sepatuku hanyalah dari Chanel
Mahu lebih bagus darimu.
Tumpukan perhatianmu kepadaku

Lihatlah baju menyarung tubuhku
Prada, Gucci, Louis Vuitton dan Miu Miu
Ku perlukan semua itu.

Material yang menggembirakan aku
Material oh lihatlah diriku
Material pasti semua cemburu
Material

Mahu berkahwin dengan orang kaya
Yang boleh belikan aku apa saja
Mahu lebih bergaya darimu
Wang ringgit dan dollar itu bukan isu

Bibir terus mengalunkan lagu Material nyanyian Yuna dengan perasaan teruja. Sesuai sangat lagu tersebut untuknya. Beg kertas yang dibawanya terus diletakkan ke atas meja.

Mahu berkahwin dengan orang kaya
Yang boleh belikan aku apa saja
Mahu lebih bergaya darimu
Wang ringgit dan dollar itu bukan isu

Rangkap tersebut diulang lagi. Berkali-kali. Kemudian dia tersenyum. Lebar. Melankolik sangat lirik lagu itu dengan dirinya.
“Amboi... seronok nampak.” Tegur Zulaika dengan tangan bercekak di pinggang. Beg-beg kertas yang elok terletak di atas meja dikerling. Rezeki orang cantik. Setiap kali berjumpa ‘boyfriend’ nya pasti ada sahaja barang yang akan di bawa pulang. Itulah Nur Jannah.
“Of course.” Balasnya dengan sengih lebar. Mahu tak seronok bila dapat apa yang diinginkan. Walaupun ianya hanyalah sekadar untuk kepuasan.
“Siapa pula yang bagi kali ni?” Zulaika terus duduk. Beg kertas berwarna hitam yang tertulis Gucci diluarnya itu dicapai. Isi di dalamnya dijengah.
“Zafrul.” Nur Jannah membalas selamba. Rambut dicekak dengan sepit dan tubuhnya disandarkan ke sofa.
“Untunglah...” seloroh Zulaika dengan cemikan.
Sengih Nur Jannah menjadi semakin lebar. “Mana-mana yang kau nak kau ambillah. Kalau kau nak beg tangan tu pun kau buatlah hak milik kekal. Beg tangan aku pun dah banyak. Heels pun masih ada yang tak pakai.” Pelawanya. Memang selalunya begitulah. Bukan semua dia kaut untuk dirinya tetapi akan diberikan kepada Zulaika juga. Lagipun sudah beria-ia Zafrul mahu belanja masakan dia menolaknya.
“Betul ke? Barang mahal ni.” Bulat mata Zulaika memandang sahabatnya. Beg tangan Gucci yang sedang dipegangnya ketika itu ditunjukkan kepada Nur Jannah. Kemudian, beg kertas yang tertulis Pandora dikerling pula.
“Ambil ajelah.” Kepala terus disandarkan ke kepala sofa. Letih. Apa tidaknya, balik kerja terus bertemu Zafrul. Mulanya hanya untuk minum petang bersama tetapi melarat-larat sampai ke pusat membeli belah pula.  
“Nur, Pandora tu kau tak nak ke?” Zulaika pamer sengih. Hendak minta terang-terangan malu pula. Tetapi sudah lama sangat dia mengidam hendak memakai gelang tangan jenama tersebut tetapi untuk orang yang gajinya tidak seberapa seperti dia, manalah mampu untuk memiliki gelang semahal itu.
“Iya, ambil ajelah. Kau ni macam tak biasa. Kalau aku suruh kau pilih tu ambil ajelah. Yang mana aku nak tentu aku dah ketepikan.” Bebel Nur Jannah bersama jelingan. Sudahlah dia penat, Zulaika banyak cakap pula. Tarik balik pelawaannya tadi baru tahu.
Zulaika terjerit. Teruja. “Thank you Nur. Kau lah sahabat aku dunia akhirat.” Ucapnya dan beg kertas Pandora di atas meja terus dicapai. Kotak di dalam beg tersebut diambil dan terus dibuka. “Ya Allah, Nur. Cantiknya gelang ni.” Gelang tersebut diacu-acukan di pergelangan tangannya.
Nur Jannah menggeleng dan tersenyum. “Jakun.” Kutuknya dan terus bangun. “Sudahlah, aku nak mandi dan tidur. Penat.”
“Jangan lupa solat.” Sempat lagi Zulaika memesan walaupun mata masih tidak berkalih memandang Pandora di tangan.
Dengusan dilepaskan. Memang manusia kuat membebel. Gumamnya. “Tahulah aku.” langkah terus diayun untuk masuk ke biliknya.
“Nur...aku lupa nak beritahu.”Zulaika palingkan wajah ke arah Nur Jannah yang sudah berdiri di muka pintu biliknya. “Puan Sofi suruh kau call dia. Dia call kau tak dapat.” Beritahunya.
“Hurmm.. handphone aku habis baterilah. Esok-esoklah aku call dia.” Sambutnya malas-malas. Tombol pintu dicapai dan dipulas sebelum pintu bilik dikuak.
“Weiii... dia nak cakap pasal photoshoot lah.” Jerit Zulaika lagi.
“Okey..okey, esok aku call dia.” Pintu terus ditutup.
Zulaika menggeleng dan bahunya dijungkitkan. Lantak kau lah Nur. Bisiknya. Pandangan dibuangkan ke arah gelang Pandora di tangannya semula. Teruja gila akhirnya dapat juga dia memiliki gelang semahal itu walaupun hanya dari ehsan orang. Peduli apa yang penting gelang itu adalah miliknya sekarang! Yahooo! Hatinya menjerit suka.


“Dah fikirkan cadangan pak ngah?” Dato’ Huzir sandarkan tubuhnya ke sofa. Tangan diletakkan pada pemegang disisi kerusi dan ditongkatkan ke pipi. Fareez yang sedang duduk termangu di hadapannya itu dipandang. Pelik, apalah yang susah sangat agaknya. Permintaannya pun bukanlah keterlaluan sangat.
Fareez angkat kepala. Pandangan Dato’ Huzir dibalas dengan riak serba salah. Bukan dia tidak sudi menerima cadangan bapa saudaranya itu tetapi permintaan Dato Huzir agak berat untuk ditunaikan.
“Bukan Reez tak sudi pak ngah tapi Reez memang belum bersedia lagi. Kedua-dua tawaran pak ngah tu berat untuk Reez terima.” Lembut dia membalas. Tidak mahu dikata kacang lupakan kulit setelah apa yang telah keluarga itu berikan kepadanya selama ini.
“Apa yang beratnya Reez? Untuk masa depan kamu juga.” Suara Dato’ Huzir sudah mula berubah rentak. Rasa tercabar pula apabila Fareez seakan menolak permintaannya.
“Beri Reez fikir lagi cadangan pak ngah tu ya. Lagipun hidup Reez pun masih terumbang ambing lagi.”
Dato’ Huzir mendengus. Isteri disebelahnya dikerling.
“Dah tahu terumbang ambing, ikut sajalah cadangan pak ngah tu. Lepas tu tentu hidup kamu lebih terjamin.” Datin Fuziah menyampuk pula. Tidak senang hati dengan jawapan Fareez tadi.
“Mak ngah, Reez kalau boleh nak berjaya atas hasil usaha Reez sendiri. Reez tak nak menumpang dari apa yang pak ngah ada.” Fareez masih lagi berlembut. Berbicara dengan keluarga ternama itu bukan boleh tersilap sikit nanti habis diungkit segala kebaikan yang pernah diterimanya dulu walau apa yang diterima adalah haknya.
“Naik jenuh Reez, mak ngah dengar kata-kata kamu tu tapi sampai sekarang mak ngah tak nampak apa-apa hasil pun. Yang kamu tahu, itulah duduk menganggur dekat kampung menumpang tok.” Bedil Datin Fuziah pula. “Kamu tak malu pula menumpang kesenangan tok kamu tu?” sindirnya pula.
Fareez terus tertunduk. Berkecil hati dengan sindiran Datin Fuziah tadi.
“Sampai bila kamu nak macam ni Reez?” Dato’ Huzir menambah perisa pula. “Hidup tak tentu haluan. Umur kamu bukan muda lagi jadi sebab itulah pak ngah beri cadangan macam tu untuk kamu pertimbangkan.” Sambungnya lagi.
Fareez hela nafas. Nampaknya, segala jawapannya pasti akan jadi sia-sia. Bila kedua-duanya sudah beremosi begitu, apapun alasan yang diberinya sudah tiada berguna lagi. “Macam ginilah pak ngah, beri Reez masa fikirkan lagi cadangan pak ngah tu. Biar Reez fikir masak-masak sebelum Reez buat keputusan.” Balasnya dengan nada suara yang masih seperti tadi. Sopan dan berlembut. Hendak membentak dan marah-marah pun hanya akan mengeruhkan lagi keadaan sahaja. Lagipun tok sudah berpesan, kalau hendak menolak biarlah dengan cara yang baik. Walau macam manapun mereka tetap sekeluarga.
Dato’ Huzir dan Datin Fuziah berpandangan sesama sendiri. Kecewa dengan jawapan Fareez tadi. Bukan baru seminggu dua dia memberikan cadangan tersebut tetapi sudah hampir dua bulan lamanya dan Fareez masih meminta untuk diberi masa? Jika diikutkan hati Dato’ Huzir mahu sahaja dia menggunakan kuasa veto yang ada padanya untuk memaksa Fareez tetapi dia masih ada pertimbangan dan budi bicara yang waras.
“Kalau itu yang kamu mahu,baiklah. Pak ngah pun tak boleh memaksa cuma pak ngah harap kamu fikirlah baik-baik demi keluarga kita. Pak ngah pun dah tak ada sesiapa melainkan kamu.” Pujuk Dato’ Huzir pula.
Mengerti, Fareez anggukkan kepalanya perlahan walau ada rasa sebal di dalam hatinya.
“Hurmmm... ada perbincangan apa malam ni?”
Sedang rancak berbual tiba-tiba terdengar satu suara menegur. Ketiga-tiganya angkat kepala dan memandang ke pintu sliding yang menjadi penghadang di antara ruang tamu kedua dan kolam renang tempat mereka sedang duduk ketika itu. 
“Hurm... baru tahu nak balik?” sergah Dato’ Huzir dengan nada suara yang agak meninggi. Anak gadisnya itu dipandang dari atas ke bawah dengan mata mencerlung. Kemudian kepala digeleng perlahan.
“Ala pa, relax lah, belum pukul dua belas malam lagi.” Nadia membalas dengan cemikan.
“Kalau macam tu kenapa tak balik pukul satu pagi aje?” bedil Dato’ Huzir lagi. Tidak tahu bagaimana hendak dinasihati anak gadisnya itu. Makin dileteri semakin menjadi-jadi perangai liarnya. Pandangannya dibuangkan ke arah Fareez yang sudah menekur memandang meja. Dia tahu tentu Fareez pun tidak sanggup melihat sepupu sendiri yang cara berpakaiannya mengalahkan pelacur jalanan. Tengok sahajalah rambutnya, sudah putih diwarnakan. Dia sendiripun tidak mahu rambut hitamnya bertukar putih kerana uban tetapi lain pula yang dilakukan oleh anak gadisnya itu. Masya-Allah.
Nadia tarik muka seakan mengejek. “Okeylah, Nad nak masuk bilik. Nak tidur. Good night.” Tidak mengendahkan bebelan orang tuanya, Nadia terus berlenggang pergi.
Dato’ Huzir menggeleng. Sakit hati tuanya melihat kelakuan anak gadisnya begitu. Datin Fuziah hanya mampu memandang dengan perasaan sebal di hati. Entah apa silapnya dalam mendidik sehingga anak-anaknya semua tidak mendengar kata.
“Kamu tengoklah tu Reez sebab itulah pak ngah minta pertolongan kamu.” Luah Dato’ Huzir agak sayu.
“Pak ngah, kalau Reez ikut cadangan pak ngah pun Reez tak mampu nak buat apa-apa.”
“Ada. Banyak benda yang  kamu boleh buat.”
Fareez terus terdiam. Langsung tiada daya hendak menjawab lagi.




Dia Bukan Bidadari - Bab 7








Bab 7
“Reez, kau buat apa sekarang? Dah mula kerja?” Mata tertala ke arah Fareez yang sedang leka mengunyah kentang goreng di mulut. Rasanya sudah hampir dua bulan mereka tidak bertemu lebih-lebih lagi sejak Fareez buat keputusan untuk menetap terus dengan neneknya dikampung. Tiba-tiba muncul di KL ni pun entah apa sebabnya. Kalau disebabkan kerja memang tidak mungkinlah sebab setahunya sahabatnya itu sudah bertahun menjadi penganggur terhormat.
“Tak buat apa-apa. Buat bodoh aje.” jawab Fareez selamba. Tawa kecil dilepaskan. Air sirap limau di atas meja dicapai dan dihirup.
“Ciss!” Borhan mendengus. Kotak rokok di atas meja dicapai dan dibalingkan ke arah Fareez yang sedang tergelak di hadapannya.
“Main kasar nampak?” Bedil Fareez apabila kotak rokok tersebut terkena dahinya. Perlahan-lahan dahinya digosok.
Borhan tersengih. “Sorry..” ucapnya sebelum pandangan dibuangkan ke arah Syed Azrai yang sedang termenung di sebelahnya.
“Ha, kau dah kenapa Ray? Dari tadi aku tengok semacam aje muka tu.” Tegur Borhan sambil tangan Syed Azrai disenggol.
Syed Azrai tersentak. “Apahal?” kalut dia bertanya. Borhan dan Fareez dipandang silih berganti.
Fareez tergelak. Gelihati melihat riak kalut sahabatnya itu.
“Kau tu kenapa? Sejak kau duduk sampailah sekarang, asyik termenung aje. Apa yang kau nampak dalam air tu sampai tak berkelip mata kau mandang ke situ?” Gelas Syed Azrai dicapai dan dibelek-belek.
“Kau nampak apa Bob?” sengaja Fareez mengusik. Bibir sudah mula lebar dengan senyuman.
“Aku nampak awek tak pakai baju dalam air ni tengah berenang. Patut beria-ia kawan kita tenung air tu. Ada free show rupanya.” Borhan terus ketawa.
Fareez ikut ketawa. Mengekek-ngekek. Gelihati mendegar kata-kata Borhan tadi. Bengong punya kawan.
Syed Azrai mendengus. Gelas di tangan Borhan dicapai dan diletakkan semula ke atas meja. Hampir tertumpah air fresh orange tersebut dibuatnya. “Lawak sangatlah tu?” marahnya. Borhan dijeling.
“Opssttt...ada orang marah.” Borhan terus tutup mulut. Dengan Syed Azrai jangan salah bergurau. Naya dia nanti.
“Kau kenapa?” Fareez terus bertanya. Dengan suara yang sudah berubah rentak. Serius tetapi dengan nada yang terkawal. Pandangannya dilabuhkan ke wajah sahabatnya itu dan tubuhnya disandarkan ke dinding kerusi.
Syed Azrai melepaskan keluhan kecil. Kotak rokok di atas meja dicapai dan sebatang rokok dikeluarkan. Sebaik rokok tersebut terletak elok dibalik dua bibirnya, pemetik api dipetik dan ditalakan ke arah hujung rokok.
Fareez dan Borhan hanya memerhati sahaja apa yang dilakukan oleh Syed Azrai ketika itu. Kalau sudah begitulah riak sahabatnya, mereka pasti ada sesuatu yang telah berlaku.
Asap rokok dihembus dan duduknya dibetulkan. “Ada sorang perempuan ni...” kata-katanya terhenti.
“Aku dah agak dah mesti ada kaitan dengan perempuan..” cepat sahaja Borhan memintas. Kalau sudah namanya kaki perempuan, masalah yang datang pun semuanya sebab perempuan.
Syed Azrai mendengus. Borhan dijeling lagi. Lebih tajam dari tadi.
“Kau ni Bob, cuba dengar dulu apa yang Ray nak cerita.” Marah Fareez bersama gelengan.
Borhan tersengih dan tangannya diangkat. Akur dengan kesilapan diri.
“Kenapa dengan perempuan tu?” melihat Syed Azrai yang seperti sudah tidak berminat hendak bercerita, Fareez bertanya. Dia pun hendak menyibuk juga.
“Entah...aku tak faham betul dengan dia.” Nafas dihela. Rokok yang hampir separuh dihisap itu terus dilenyekkan ke dalam astray.
“Maksud kau dengan tak faham tu apa?” berkerut dahi Fareez memandang sahabatnya itu.
“Okey, aku nak tanya kau berdua. Pernah tak selama ni ada perempuan yang tak suka keluar dengan aku?” Fareez dan Borhan dipandang.
Kedua-duanya menggeleng.
“Ada tak perempuan yang tak nak beri nombor telefon mereka setiap kali aku minta?”
Fareez dan Borhan menggeleng lagi.
“Dan pernah tak ada perempuan yang sengaja mengelak dari aku?”
Jawapannya tetap sama. Fareez dan Borhan menggeleng lagi.
“Itu yang aku hairan. Perempuan yang sorang ni peliklah. Masa aku nak hantar dia balik, dia tolak. Aku minta nombor telefon dia, dia tak beri. Aku beri nombor telefon aku tapi masalahnya sampai sekarang dia tak call aku lagi.” ceritanya. Bersungguh-sungguh.
“Dia sengaja nak jual mahallah tu.” Telah Borhan.  “Perempuan tu cantik tak?” tanyanya pula.
“Kau ni Bob, kalau tak cantik kawan kita tak adalah jadi macam ni.” giat Fareez dengan sengih nakal.
Borhan mengangguk mengiakan. Betul sangat tu. Desisnya.
“Relax lah... nanti-nanti dia call lah tu. Dia sibuk agaknya.” Borhan cuba memujuk.
“Dah berhari-hari dah Bob.” Keluh Syed Azrai pula.
“Kalau dah suka sangat cubalah cari dia. Takkan kau tak tahu office dia dekat mana?” Fareez memberi cadangan. Tak mungkin Syed Azrai bertemu perempuan itu di tepi jalan.
Syed Azrai terdiam. Cuba mengingati sesuatu. Lama dia begitu sebelum akhirnya dia tersenyum. Kenapa dia tidak pernah terfikir untuk bertanya pekerja ibu saudaranya tentang Nur Jannah. Hendak bertanya sendiri dengan Puan Sofi, memang tidaklah. Kena leter dia nanti.
“Tiba-tiba kau senyum tu dah kenapa?” Dahi Borhan terus berkerut seribu. Pelik betul orang kalau dah angau ni. Fikirnya.
“Nanti aku cari dia. Thanks Reez untuk idea bernas kau tu.” Syed Azrai terus bangun. Dalam kepala sudah mula memikirkan sesuatu.
“Kau nak kemana pulak tu?” Fareez terus menyoal. Tadi Syed Azrai juga yang beria-ia mengajak mereka ke situ sekarang dia hendak pergi begitu sahaja?
“Nak ke butik auntie aku. Ada hal sikit.” Balasnya dan tidak menunggu dia terus pergi dari situ.
Borhan dan Fareez hanya memerhati bersama gelengan. Berat!


“Macam mana dengan photoshoot kelmarin?” Zulaika terus duduk. Mug di tangannya diletakkan ke atas meja. Sahabat yang sedang leka menonton drama korea kegemarannya itu dipandang.
“Okey.” Sepatah Nur Jannah membalas.
“Lawa tak baju yang kau pakai tu?’ Zulaika bertanya lagi. Dia pula yang terlebih teruja. Kalau tidak kerana dia terpaksa bekerja di luar daerah tentu dia akan ikut Nur Jannah sekali. Dapat jugalah dia melihat ‘artis’ di bawah jagaannya itu beraksi. Haha..
“Tentulah cantik. Pakaian orang-orang kaya.” Nur Jannah masih beriak bersahaja. Mata masih tidak berkalih memandang skrin televisyen.
“Ada selfie tak?” Zulaika masih beriak teruja.
Malas-malas Nur Jannah menggeleng. Mata masih tancap memandang skrin tv leper 20 inci di hadapan.
Melihat Nur Jannah yang seakan tidak berminat hendak melayannya Zulaika terus mendiamkan diri. Sahabatnya itu kalau sedang menonton siri korea kegemarannya itu usahlah diganggu. Memang tidak akan dilayannya. Dia pula bukan jenis manusia yang suka menonton cerita-cerita begitu. Mug di atas meja dicapai semula dan air milo yang sudah mula dedar itu dihirup. Sebaik meletakkan mug tersebut ke atas meja semula, barang tubuhnya terus disandarkan ke sofa. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, telefon bimbit di dalam baju tidurnya diambil. Baik dia layan game candy crush dari duduk bodoh begitu. Fikirnya. Sedang jari jemari leka menekan-nekan skrin, tiba-tiba Zulaika teringatkan sesuatu. Nur Jannah dipandang semula.
“Nur, lupa aku nak tanya kau. Siapa lelaki yang hantar kau balik kelmarin?” tanyanya.
Laju Nur Jannah palingkan kepala. “Mana kau tahu?” soalnya. Iyalah, macam mana Zulaika tahu sedangkan dia sendiri balik lewat malam semalam.
“Kau macam tak faham. Dekat sini kan ramai reporter tak bergaji.” Tawa Zulaika sudah mula kedengaran.
“Hurm... mak cik mana satu pulak yang bertanya kali ni?” Nur Jannah sudah mula pamer riak tidak senang. Sejak mereka tinggal di kawasan tersebut, ramai betul mak cik-mak cik yang terlalu ambil berat. Atau dalam erti kata lain, menyibuk jaga tepi kain orang.
“Mak cik Nab.”
“Aku dah agak dah sebab semalam aku nampak dia beria-ia menjengah dari tingkap. Macam tak ada kerja lain sibuk ambil tahu hal orang. Anak dara dia yang magrib-magrib duduk tersadai dekat tangga blok sebelah dengan jantan tu dia tak kisah pulak!” marah Nur Jannah geram. Tiba-tiba jadi panas hati. Terus hilang mood hendak terus menonton siri korea kegemarannya itu.
“Mulut orang Nur sebab itulah kita kena jaga tingkah laku kita jangan sampai orang bercakap tentang kita. Kadang-kadang perkara yang kita tak buat pun orang boleh bercerita ini pula yang berlaku depan mata.” Zulaika cuba menenangkan sekali menasihati.
“Kalau ikutkan hati aku, dah lama aku pindah dari sini. Tapi itulah, susah sangat nak cari rumah lain. Kalau ada pun mahal nak mampus.” Nur Jannah melepaskan amarah.
“Sabar...kalau ini aje yang kita mampu.” Pujuk Zulaika lembut.
“Dah lama sabar ni Ika. Sejak mula pindah sini macam-macam cerita aku dengar. Belum lagi kisah aku nak mengurat laki makcik-makcik tu. Hellooooo, ingat aku ni desperate sangat? Sakit hati aku.” marah Nur Jannah lagi.
Zulaika tergelak. Kisah itu memang kelakar. Ada ke patut, sahabatnya itu dituduh cuba mengurat suami salah seorang tetangga di situ. Mereka ingat taste Nur Jannah setakat lelaki-lelaki sengkek begitu? Memang silap banyaklah!
“Okey, lupakan kisah tu semua. Yang aku nak tahu, siapa lelaki yang  hantar kau kelmarin? Dengarnya macam orang kaya aje. Bawak kereta mewah.” malas hendak menaikkan lagi darah sahabatnya itu, cepat sahaja Zulaika mengubah topik perbualan mereka.
“Syed Azrai.” Balas Nur Jannah selamba.
“Siapa dia tu?”
“Syed Azrai Mikael bin Tan Sri Jalal, anak pemilik syarikat hartanah terbesar di Malaysia. Single and available.” Nur Jannah pamer sengih. Keningnya dijungkitkan.
Buntang mata Zulaika mendengar jawapan sahabatnya itu. Mana pula Nur Jannah jumpa stok lelaki hebat macam tu?
“Macam mana kau kenal dia?”
“Dia anak saudara puan Sofi.” Jawab Nur Jannah bersahaja.
“Ermmmm...untunglahhhh orang tu..” Zulaika pamer senyum. Nampaknya senarai calon lelaki idaman sahabatnya itu sudah bertambah satu lagi.
Nur Jannah lepaskan tawa. “Baru kenal babe.”
“So, apalagi? Masuklah jarum.” Giat Zulaika dengan sengih lebar. “Aku doakan semoga cita-cita kau tercapai.” Sambungnya lagi. Jujur dari hati. Kalau Nur Jannah bahagia dia pun turut gembira.
Tawa Nur Jannah semakin menjadi-jadi. “Amin!” balasnya dan tangan diraupkan ke muka.
“Eh! Kau jadi balik kampung minggu ni?” teringatkan rancangan Nur Jannah untuk balik ke kampung halaman mereka di Endau Rompin hujung minggu itu, Zulaika menyoal lagi.
“Insya-Allah. Kau nak balik sekali tak?”
“Aku tak janji tapi kalau tak kena outstation lagi, aku ikut.”
“Aku dah rindu dengan abah. Rasanya dah dua bulan tak balik kampung. Kebetulan dapat duit yang puan Sofi beri kelmarin, boleh jugalah aku hulur dekat mak dan abah aku sikit-sikit.” Ucapnya tulus. Entah kenapa sejak kebelakangan ini hati asyik teringat sahaja dengan abah. Seharian itu pula, hati bagai digamit menyuruh dia segera pulang.
“Alhamdulilah, lagipun kalau bukan kita yang bantu mereka, siapa lagi.” Zulaika membalas pula.
Nur Jannah mengangguk mengiakan. Betullah, kalau bukan dia yang membantu abah, emak dan adik di kampung, siapa lagi yang boleh diharapkan? Abah bukannya ada sesiapa lagi selain dia. Adik lelakinya pula sedang belajar di UITM sekarang. Walaupun adik tiri, sayangnya kepada Syarul bagai adik kandung.



"Kakak jadi balik hujung minggu ni Pah?" Pakcik Ahmad kerling isteri yang sedang leka melipat kain sambil menonton televisyen di sebelah.
Makcik Latipah menoleh. "Balik rasanya bang sebab dia tak ada telefon beritahu tak jadi nak balik."
"Awak telefon kakak, cakap dengan kakak tak payah balik dulu." Perlahan pakcik Ahmad bersuara.
"Kenapa pulak bang? Kata rindu sangat dengan dia."  Berkerut dahi makcik Latipah memandang suami. Semasa Nur Jannah menghubungi mereka  minggu lepas bukan main gembira lagi suaminya itu tetapi kenapa tiba-tiba jadi begitu pula?
"Abang tak nak kakak tengok keadaan abang macam ni. Abang tak mahu dia susah hati." Kaki yang berbalut kain hospital itu dipandang. Sesekali sekeliling betis yang luka akibat terkena ekzos motosikalnya itu diusap-usap untuk meredakan rasa sakit.
"Biarlah dia tahu bang. Pah tak nak dia salahkan Pah kalau kita tak beritahu apa yang berlaku."
Pakcik Ahmad menggeleng. "Tak payah. Awak bukan tak tahu perangai kakak. Kalau dia tahu abang macam ni tentu dia tak mahu balik kl semula. Dia baru nak mulakan hidup Pah dan abang tak mahu dia rosakkan masa depan dia. Lagipun luka sikit aje ni." Suara pakcik Ahmad sudah mula berubah sedikit keras.
"Sikit apanya bang, luka besar tu. Sampai nak bergerak pun susah." Bidas Makcik Latipah pula. Kepalanya digelengkan. Degil! Desis hatinya.
"Siapa kata tak boleh bergerak?" tingkah Pakcik Ahmad dengan suara yang sedikit tinggi. Dia terus berdiri tetapi belum sempat kakinya tegak berdiri dia sudah terduduk semula sambil mengaduh kesakitan.
Makcik Latipah bingkas bangun. Suaminya dihampiri. "Macam ini pun abang cakap sakit sikit?" Bebelnya dan kepala digeleng.
Pakcik Ahmad terdiam. Muka masih menyeringai menahan sakit.
"Awak telefon aje kakak. Jangan bagi dia balik!" Tegasnya lagi. Langsung tidak mengendahkan kata-kata isteri.
"Tapi bang..."
"Tak ada tapi-tapi. Esok awak telefon dia dan cakap dengan dia tak payah balik."  pakcik Ahmad mengulang kata-katanya tadi. Masih berdegil.
Makcik Latipah menggeleng. "Pah nak bagi alasan apa?"
Pakcik Ahmad terdiam.
"Awak cakap aje kita nak pergi kenduri hantar pengantin hujung minggu ni." Ucapnya pula.
Nafas dihela. "Iyalah kalau Abang dah kata macam tu tapi nanti jangan nak mengadu dengan Pah yang abang rindukan dia." Makcik Latipah akur tetapi mulut tetap melepaskan rasa tidak puas hatinya.
Pakcik Ahmad terdiam. Teringatkan anak gadis yang satu itu mata tiba-tiba bergenang. Rindunya kepada permata hatinya itu tak terbendung. Selama dua bulan itu hanya suara Nur Jannah sahaja yang menjadi pengubat rindunya.
"Abang rindu sangat dengan dia Pah." Luah pakcik Ahmad sayu. Tubir mata terus digosok bimbang isterinya perasan ada air jernih bertakung di situ.
"Dah rindu kenapa tak biarkan dia balik aje?" Mengerti perasaan suaminya itu, suara makcik Latipah juga terus berubah rentak. Lembut sahaja nadanya.
"Abang tak nak dia susah hati tengok keadaan abang macam ni." Kakinya dipandang lagi. Sesekali tangannya dibawa ke situ dan diusap-suap. “Kalau boleh abang tak nak dia tahu kesusahan kita, sakit pening kita sebab abang tak mahu dia bimbangkan kita.” Luahnya lagi semakin sayu.
Mengerti akan apa yang difikirkan suami, mak cik Latipah mengangguk. "Iyalah kalau macam tu. Nanti abang dah baik sikit, Pah telefon kakak dan suruh dia balik." Pujuknya  lembut. Bahu suaminya diusap perlahan.
Tidak mampu membalas kata-kata isterinya, pakcik Ahmad mengangguk sahaja. Sekali lagi matanya digosok untuk mengelak air mata dari jatuh. Begitulah dia, hati cepat sangat tersentuh apabila menyebut tentang Nur Jannah. Satu-satunya permata hati yang dia miliki.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...