Followers

Tuesday 3 March 2020

Dia Bukan Bidadari - Bab 5





Bab 5
“Jannah dah betul-betul sihat ni?” Puan Sofi bertanya ramah. Wajah gadis yang masih kelihatan lesu itu dipandang.

Nur Jannah tersenyum. Kepala dianggukkan perlahan. “Alhamdulilah, dah okey sikit puan.” Balasnya sopan.

“Betul okey ni? Kalau masih rasa tak sihat, kita buat photoshoot hari lain.” Cadang Puan Sofi pula.

“Betul. Saya dah okey.” Balas Nur Jannah bersungguh. Rasanya sudah beberapa kali dia menunda tarikh photoshoot tersebut jadi tidak sampai hati pula dia hendak menangguhkan lagi. Nasib baiklah puan Sofi tidak keberatan hendak melakukan photoshoot tersebut pada hari minggu. Jadi tidak perlulah dia bercuti semata-mata untuk kerja ‘bidan terjun’ tersebut.

Puan Sofi mengangguk dan terus bangun. “Mari ikut I ke bilik persalinan.” Ajaknya.

Nur Jannah menurut dan dia terus bangun.

“Hi auntie.”

Langkah Puan Sofi terhenti. Kepala ditolehkan ke muka pintu. Terpandangkan Syed Azrai yang sedang berjalan ke arahnya, tubuhnya terus dipalingkan.  “Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba datang butik auntie kenapa? Weekend pulak tu.” kening dikerutkan dan tangan dipelukkan ke tubuh. Syed Azrai yang sudah berdiri di hadapannya itu dipandang tajam.

Syed Azrai tersenyum. “Saja.” Balasnya selamba.

“Hurmm..hari ni tak berdating ke?” bedil Puan Sofi pula.

Tawa Syed Azrai terburai. “Mana ada girlfriend.”  

“Tak ada girlfriend? Yang asyik menempel tu siapa?” tanyanya pula. Teringatkan kekasih anak saudaranya yang bernama Nabila, sesak rasa nafasnya. Bukan kerana tidak cantik tetapi terlebih mengada. Eiii...geli kadang-kadang dia melihatnya.

“Itu kawan ajelah.” Balasnya. Sesekali matanya menoleh pandang ke arah gadis di sebelah ibu saudaranya. Hurm...cantik! Bisiknya.

“Hurmmm...iyalah kawan. Okeylah, auntie ada banyak kerja ni. Kalau nak ajak auntie minum, you  kena tunggu auntie dalam setengah jam.” 

“No problem.”

“Tunggu dalam office, okey.” Suruhnya pula.

Tidak membantah, Syed Azrai mengangguk. “Yes ma’am.” Tangan diangkat ke kepala sebelum dia terus beredar.

“Jom Jannah.” Dia berpaling memandang Nur Jannah semula. “Sorry, tadi tu anak saudara I. Yang paling rapat dan yang paling nakal juga.” Ceritanya dengan senyum di bibir.

Nur Jannah turut tersenyum. Oh! Barulah dia tahu, anak saudara rupanya. Ingatkan kekasih gelap Puan Sofi. Haish! Jahat betul apa yang difikirkan sebelum ini. Maklumlah orang kayakan suka simpan kekasih gelap. Tebaknya sengaja memandai.

“Ini baju-baju yang akan you gayakan. Ada lima pasang semuanya. Sekejap lagi my make up artist akan datang solekkan dan dandan rambut you. Lepas tu you boleh salin baju di bilik tu dan kita akan ambil gambar dekat studio di bilik sebelah ni.” terang Puan Sofi panjang lebar. Deretan gaun-gaun malam rekaannya disentuh satu persatu.

Nur Jannah mengangguk. Gaun-gaun malam yang ditunjukkan puan Sofi tadi dipandang tak berkelip. Hurm...cantik-cantik dan nampak mewah semuanya. Nasib baik tidaklah seseksi mana hanya terbelah di bahagian bawahnya sahaja. Bahagian dada? Hurmmm... tidaklah menjolok mata sangat. 

“So, you tunggu dalam bilik ni dulu kejap lagi Deen akan masuk.”

“Deen? Lelaki?” laju Nur Jannah bertanya. Muka sudah berubah riak. Make-up artist tu lelaki? Ya Allah, tak pernah lagi mana-mana lelaki menyentuh kulit wajahnya selama ini. Dia nakal dengan lelaki tetapi tak pernah lagi lelaki-lelaki yang didekati berani menyentuh wajahnya. Kecuali Gibran. Mamat tak reti bahasa itu!

Puan Sofi tergelak. Mengerti dengan riak yang dipamerkan oleh Nur Jannah. “Perempuan tetapi macam lelaki.” Jelasnya.

Nur Jannah mengangguk. Nafas dihela lega. Tak kisahlah perwatakannya, asalkan orangnya perempuan. Bisiknya.

“Okay, you get ready. I nak ke studio di sebelah.” Puan Sofi bersuara lagi.

Nur Jannah mengangguk mengerti. Sebaik puan Sofi keluar dari situ, ruang yang agak luas itu dipandang dengan penuh minat. Bermacam-macam jenis baju ada diletakkan di situ. Mungkin inilah yang digelarkan wardrobe. Fikirnya. Gaun-gaun yang akan diperagakan sebentar lagi disentuh satu persatu. Mewah. Ya sangat-sangat mewah. Sampai mati pun tak mungkin dia dapat memakai pakaian-pakaian seperti itu melainkan berkahwin dengan anak orang kaya. Bisiknya kepada diri sendiri. Bibir terus menguntum senyum. Kahwin dengan anak orang kaya... ya, itulah cita-citanya semata-mata ingin hidup mewah. Tapi anak-anak orang kaya yang ditemuinya setakat ini semuanya tak boleh diharap! Desisnya dan wajah terus berubah riak.

“Nur Jannah?”

Teguran seseorang mengejutkan lamunannya. Dia terus berpaling. Terpandangkan seseorang di muka pintu, dahinya dikerutkan. Sesusuk tubuh yang sedang berdiri di muka pintu itu dipandang. Penampilannya, macam lelaki. Inikah Deen yang dimaksudkan Puan Sofi tadi? Soalnya sendiri.

“I’m Deen.” Sapa perempuan yang bernama Deen itu ramah. Pintu terus ditutup dan langkah di atur menghampiri Nur Jannah. “You are, Nur Jannah right?” tanyanya lagi.

Nur Jannah mengangguk. “Ya, saya.”

“Cantik. Patutlah Puan Sofi beria-ia nak baju-baju tu you yang gayakan.” Tuturnya.

Dahi Nur Jannah semakin berkerut. Dalam.

“Sepatutnya photoshoot ni kena siap sebulan yang lepas tapi puan Sofi tunda ke tarikh hari ni sebab dia kata you belum beri jawapan lagi.” Cerita Deen pula. Langkah terus diatur menuju ke meja solek.

Nur Jannah terkedu. Ditunda? Dan kerananya? Mana mungkin. Apa yang istimewa sangat tentang dirinya? Soalnya kepada diri sendiri.

“Kenapa tak teruskan aje dengan model lain?” tanyanya.

Deen jungkit bahu. “Puan Sofi kata dia tetap nak you yang menggayakan koleksi rekaan terbarunya. New and fresh, sesuai untuk rekaannya kali ini. ” Terang Deen lagi.
Bibir terus tak mampu berkata-kata. Hanya wajah Deen sahaja yang dipandang dengan mata terkebil-kebil.

“Okey, kita lupakan tentang tu. Mari, I solekkan you. You’ll be the prettiest girl in the world today.” Deen bersuara teruja. “Come and sit here.” Sambung Deen lagi sambil tangannya ditunjukkan ke arah kerusi di hadapannya.

Nur Jannah akur. Langkah diayun perlahan. Berdebar sebenarnya. Dia manalah pernah beraksi depan kamera. Mampukah dia? Bisiknya risau. Relax Jannah. Kau nak duit kan? Bayaran yang akan kau terima untuk sesi photography ni bukan murah dan cukup menampung perbelanjaan kau untuk berbulan-bulan. Hatinya berbisik lagi.

"Duduklah.” Suruh Deen pula.

Nur Jannah menurut.

“Takut?” Senyum Deen menjadi semakin lebar. Wajah Nur Jannah yang hampir lesi tak berdarah itu dipandang. Tangan pula sudah mula mengeluarkan sesuatu dari beg solek yang dibawanya.

“Berdebar sebab tak biasa.” Suara Nur Jannah sudah kedengaran bergetar. Dada semakin berdebar kencang.

“Relax okay. It’s just a simple photoshoot.” Wajah Nur Jannah sudah mula dioles dengan pembersih muka.

“Take a deep breath...” Deen cuba menenangkan.

Nur Jannah mengangguk dan perlahan-lahan nafasnya dihela dan dilepaskan.


Tubuh direbahkan lesu ke atas kerusi di hadapan  meja solek. Wajah yang masih elok dengan solekan itu dipandang. Wajah itu nampak berbeza. Seperti bukan dia. Benarlah seperti kata Deen tadi, dia akan jadi gadis yang paling cantik di dunia. Bibir menguntum senyum. Apa sangatlah dengan kecantikannya jika dibandingkan dengan gadis-gadis lain di dunia ini. Kecantikan yang ada itupun kecantikan palsu kerana solekan. Bukan kecantikan yang sebenar. Telahnya. 

Jam tangan yang diletakkan di atas meja solek tadi diambil dan dikerling. Waktu ketika itu sudah hampir ke pukul enam petang. Sepantas kilat dia bergegas bangun. Kalau dia tidak keluar sekarang, tentu agak susah untuk dia mendapatkan teksi nanti. Kalau terlalu lewat, dia pun takut juga. Zaman sekarang macam-macam boleh berlaku. Di saat itu jugalah pesanan-pesanan abah terngiang-ngiang di telinga.

“Duduk tempat orang jaga diri baik-baik kakak. Nak berkawan pun carilah kawan yang baik-baik.”
Allah, tiba-tiba terasa rindu sangat dengan abah. Rasanya sudah hampir dua bulan dia tidak menjengah mak dan abah di kampung. Entah apa khabar abah agaknya. Sejak dia tidak sihat tempoh hari memang dia tidak pernah menghubungi orang tuanya di kampung. Bukan dia lupa tapi dia tidak mahu abah susah hati dengan keadaannya.

“Dapat duit hasil dari photoshoot ni, Nur akan balik abah.” Bisiknya seakan berjanji. Dan tanpa berlengah lagi, gelang perhiasan yang melilit pergelangan tangannya terus di buka dan diletakkan ke dalam bekasnya, Rantai yang terletak kemas di leher terus dicapai. Baru sahaja dia ingin meloloskan rantai tersebut dari kepala, terdengar pintu dibuka. Kepala terus ditolehkan memandang pintu. Terpandangkan Syed Azrai di muka pintu, Nur Jannah tergamam.

Syed Azrai turut tergamam. Pandangannya terus dibuangkan ke sekeliling. “Sorry, I ingat auntie I ada di sini.” Ucapnya teragak-agak. Tombol pintu yang masih dipegang terus dilepaskan.

Dengan riak kaku seperti tadi, Nur Jannah terus mematikan diri. Hanya matanya sahaja yang tidak berkalih memandang lelaki itu.

Tidak selesa diperhatikan begitu, Syed Azrai berdeham. “Ermm...since my auntie tak ada dekat sini,  I keluar dulu and you can continue your work.” Ucapnya.

Tidak membalas kata-kata lelaki itu, Nur Jannah berpaling memandang cermin semula. Rantai yang sedang dipegangnya terus diangkat ke atas dan entah macam mana, rantai tersebut tersangkut pada rambutnya. Ah sudah! Bisiknya. Rantai tersebut cuba ditarik tetapi tetap juga tidak berjaya. Macam mana ni? gumamnya pula. Nak minta tolong siapa? Deen pula sudah lama balik. Rambutnya disentuh untuk  mencari punca dimana rantai tersebut tersangkut.

“Biar I tolong.”

Terdengar dekat suara Syed Azrai di telinganya, Nur Jannah tergamam. Sepantas kilat tubuhnya dipusingkan ke belakang. Terpandangkan Syed Azrai yang sedang berdiri hanya beberapa langkah di hadapannya kini, degupan jantungnya sudah mula berubah rentak.

“Rantai tu tersangkut dekat klip rambut you. Mari I bantu kalau tidak mesti you tak boleh keluarkan rantai tu.” Syed Azrai bersuara menawarkan diri untuk membantu. Sedari tadi dia hanya melihat sahaja gadis itu terkial-kial mahu melepaskan rantai tersebut di sebalik muka pintu.

“Tak apa, biar I buat sendiri.” Tolak Nur Jannah lembut. Hati sudah mula berdebar. Tiba-tiba dia rasa takut pula berada di situ.  Berdua dengan lelaki itu. Walaupun hati nakalnya sudah mula mengajarkan perkara yang bukan-bukan tetapi entah kenapa dia tidak sanggup untuk melakukannya. Ingat Jannah, perempuan yang jual mahal itukan lagi tinggi nilainya. Bisiknya mengingatkan diri sendiri.

“Okey.” Riak Syed Azrai masih seperti tadi. Bersahaja. Tangannya diangkat mengalah.

Nur Jannah meneruskan apa yang terhenti tadi. Rambutnya diraba-raba semula. Sebaik tangannya menyentuh tempat rantai tersebut tersangkut, klip yang terletak kemas itu cuba dibuka. Gagal. Dicuba lagi dan masih juga gagal.

“I dah cakap, you tak akan dapat leraikan rantai yang tersangkut tu. Mari I tolong.” Syed Azrai bersuara lagi. Tidak menunggu jawapan dari Nur Jannah, laju sahaja tangannya meleraikan rantai yang tersangkut pada klip rambut di kepala gadis itu. Perlahan dan berhati-hati. Selesai, rantai tersebut diserahkan kepada Nur Jannah semula.

Dengan wajah yang sudah seperti udang dibakar, huluran Syed Azrai disambut. Dengan riak tersipu-sipu. “Thanks.” Ucapnya sepatah dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Kenapa tiba-tiba dia rasa malu dan berdebar?  Tenang Jannah...jangan tunjukkan sangat apa yang kau rasa sekarang! desis hatinya.

Melihat air muka Nur Jannah ketika itu, Syed Azrai simpan senyum. Dia pasti, gadis di hadapannya itu malu diperlakukan begitu tadi.

“I rasa lebih baik I keluar dulu so you boleh teruskan kerja you.” Ucapnya. Langkah terus di atur untuk keluar. Sebaik sampai di muka pintu, dia berpaling semula. “What is your name?” soalnya dengan kening terjungkit.

“Huh?”

“Don’t say that your name is huh?” Senyum di bibir Syed Azrai mula terukir. Manis.

Nur Jannah terdiam. Kening dikerutkan. Syed Azrai berlawak? Mana mungkin.

“Just joking.” Tawa Syed Azrai mula kedengaran. Garau tetapi sedap sahaja bunyinya.

“Nama you?” sekali lagi Syed Azrai menyoal.

“Jannah...Nur Jannah  Zahra.” Balasnya jujur.

“Hurm.. nice name. Sama macam tuan punya nama juga.” Senyum terukir lagi. Lebih lebar dari tadi.

“So, what should I call you? Nur? Jannah? Or Zahra?”

“Jannah.” Sepatah lagi Nur Jannah membalas. Entah kenapa lidahnya terasa kelu untuk berbicara dengan lelaki itu. Lelaki yang punya pesona yang sangat luar biasa. Wajah kacaknya, alunan suaranya, bahasa tubuhnya, malah tawanya juga kedengaran indah sahaja. Ya Allah, Jannah...apa yang bermain dalam kepala kau sekarang? Tak mungkin seorang Nur Jannah Zahra tiba-tiba jatuh cinta pandang pertama dengan ‘suspek’ yang cuba didekatinya? Kena ingat Jannah, dia ‘playboy’. Tindakan mesti selaras dengan akal dan bukan perasaan. Pesannya mengingatkan diri sendiri. Syed Azrai dipandang lagi. Lelaki yang kacak dan berduit. Tidak hairanlah kalau lelaki itu menjadi kegilaan gadis-gadis sepertinya. Sedangkan hatinya juga sudah mula berentak tak sekata.

“Jannah...lovely.” sebut Syed Azrai dengan nada suara yang seakan menggoda.

Nur Jannah hela nafas. Kalau terus-terusan lelaki itu berada di situ, tidak tahulah apa yang berlaku kepada dirinya. Harus tergoda barangkali.

“Maaf Encik,”

“Azrai...just call me Ray.”

“Ermmm.. saya nak tukar baju. Boleh tak encik Ray keluar dulu?” suruhnya. Tegas sahaja nada suaranya.

Syed Azrai lepaskan tawa kecil. Perlahan-lahan kepalanya diangguk. “Sure.” Ucapnya. “So, see you again... Jannah.” mata dikenyitkan sebelum pintu ditutup rapat.

Terasa lemah lutut Nur Jannah diperlakukan begitu. Muka terasa berbahang lagi. Dadanya diusap. Ya Allah, benarlah seperti kata Jenny, lelaki ini bukan jenis sebarangan kaki perempuan. Hanya dengan bicara dan tindakan spontannya sahaja, hampir gugur jantung dibuatnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...