Followers

Tuesday 3 March 2020

Dia Bukan Bidadari - Bab 1






Bab 1
“Nama dia Syed Azrai Mikael Bin Tan Sri Syed Jalal.”
Suara Jenny kedengaran di telinganya sedang mata leka memandang sesusuk tubuh tegap yang sedang berdiri tidak jauh dari tempat duduknya. Giler handsome!
“Umur dia, 30 tahun, Pengarah syarikat hartanah terbesar di Malaysia.”
Suara Jenny kedengaran lagi. Setelah lama terdiam.
“Dah kahwin?” Muka dipalingkan ke sebelah. Jenny yang sedang memerhati ‘suspek’ di hadapan mereka dipandang. Entah kenapa, tiba-tiba dia jadi teruja hendak tahu lebih lanjut tentang ‘suspek’ yang disebutkan.
Jenny turut menoleh memandang sahabatnya. “Siapa?” soalnya polos. Tubuh ditegakkan.
“Lelaki itulah.” Muncung ditalakan ke arah ‘suspek’ itu kembali.
“Single and available.” Yakin Jenny membalas.
“Are you sure lelaki yang hebat macam tu masih belum berpunya?” kening dijungkitkan memandang Jenny semula. Macam tidak percaya sahaja dengan kata-kata Jenny tadi. “Playboy Jannah. Girls are always around him.” Tingkah Jenny bersama cemikan.
“Hurmmm...kaki perempuan.” Sinisnya pula. Gelas di atas meja dicapai dan air fresh orange dihirup perlahan. Dari ekor mata lelaki yang diperkatakan oleh Jenny tadi dikerling. Berkulit sawo matang, tinggi, tegap, berkarisma, kacak dan yang penting...BERDUIT! Gelaknya dalam hati.
“Ya lorr....orang banyak duit maaa... sepuluh keturunan pun belum tentu habis. Entah-entah tidur pun atas duit.” Jenny buang tawa. Gelihati dengan kata-kata sendiri tetapi siapa tahu kan? Orang yang tak berduit banyak macam dia memanglah tak akan merasa ada duit berkepok-kepok macam orang kaya. Gaji pun setakat dua ribu lima ratus sahaja sebulan. Hanya cukup-cukup makan sahaja bak kata orang. Nasib baik tinggal dengan nenek yang banyak rumah sewa. Sesekali terdesak boleh juga dia minta neneknya membantu.
Nur Jannah turut tergelak. Jenny ingat orang kaya jakun sangat ke tengok duit banyak-banyak? Entah-entah mereka tak hairan pun. Kalau orang macam mereka mungkinlah. Silap haribulan dilonggokkan duit sepuluh ribu depan mata pun boleh pengsan tak bangun-bangun.
“Kau tahu tak Jannah..” Jenny bersuara kembali. Tubuhnya disandarkan ke kerusi pula.
Kening dijungkit. Tangan dipelukkan ke tubuh. “Tahu apa?”
“Syed Azrai tu dulu ada skandal dengan pelakon suam-suam kuku yang baru kahwin tu. Ala, yang sibuk digosipkan budak-buda dekat office tu.” Jenny cuba mengingatkan. “Kalau kau nak tahu, diusungnya perempuan tu ke sana ke mari sampai bercuti ke luar Negara pun bersama-sama, akhirnya perempuan tu kena dump. Bodoh kan? Nak rasa kesian pun aku tak sampai hati. Itulah, kejarkan RM sangat.” Jenny menyambung ceritanya dengan gaya meluat di wajahnya.
Nur Jannah menggeleng. Amoi sorang ni tak padan, sampai ke gossip artis pun dia tahu. Ingat suka tengok wayang  melayu aje rupanya kisah artis-artis melayu pun dia ambil port juga.  “Gossip aje kot.” Telahnya.
“No, its true Jannah.  Kawan kepada kawan aku kenal perempuan tu. Hancur dah perempuan tu dikerjakan. Dah jemu dia tinggalkan. Nasib baik ada lelaki lain yang nak ke dia.” Beria Jenny bercerita.
“Kau  ni kan, cerita kawan dari kawan kau tu belum tentu betul. Kadang-kadang isunya kecil aje tapi sengaja diperbesarkan sebab nak nampak gempak. Aku kalau tak nampak dengan mata kepala aku sendiri, aku tak percaya. Fact, orang-orang berduit ni memang agak ‘nakal’ sikit tapi kalau kena caranya tentu jadi lain kan?” balasnya bersungguh-sungguh juga. Entah kenapa dia pula yang beria-ia mempertahankan anak-anak orang kaya. Seolah-olah mereka itu semuanya orang baik-baik sahaja di matanya.
“Kau jangan main-main Jannah. Orang berduit ni cara mereka kejam. Masa dia nak dekat kau memang dia akan ikut cakap kau. Lebih-lebih lagi dengan orang cantik macam kau. Mereka akan beri apa sahaja yang kau nak tapi bila dia dah dapat, hai hai bye bye lah jawabnya.” Nasihat Jenny pula.
“Dah tahu orang kaya macam tu buat apa kau  cerita dengan  aku tentang lelaki tu?”
“Sebab kau yang nak tahu.” Cemikan Jenny menjadi semakin dalam.
Nur Jannah tersenyum. “Untuk mencapai cita-cita, kita kena berusaha Jen. Dapat atau tidak, itu belakang kira yang penting, kita dah buat yang terbaik.” Kening dijungkitkan lagi dan bibir menguntum senyum lebar. Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Sudah alang-alang ada yang menepati ‘sasaran’ masakan dia akan melepaskan!
“Apa plan kau?” dahi Jenny sudah berkerut seribu. Sangkanya Nur Jannah hanya main-main tetapi tidak sangka pula sahabat baiknya itu serius.
Baju dijungkitkan dan muka dicemikkan. “Entah.” Balasnya.
“Lupakan ajelah. Aku kenalkan kau dengan calon lain yang sesuai. Dia ni macam jahat sangatlah.” Jenny sudah mula tidak senang duduk. Dia sebenarnya risau kalau Nur Jannah betul-betul mengotakan apa yang ingin dilakukannya. Bimbang andai Nur Jannah akan senasib dengan   ‘mangsa’ Syed Azrai Mikael yang baru diceritakan tadi.
“Tak salah mencuba kan?” senyum di bibir Nur Jannah terukir lagi. Lelaki yang bernama Syed Azrai Mikael itu sudah menepati apa yang dia inginkan. Bukan setakat berharta tetapi juga ada rupa. Kalau banyak duit tapi muka macam pecah rumah pun tak guna. Yang nak tengok setiap hari mata dia juga.
“Are you serious Jannah?” bersungguh Jenny menyoal. Seolah tidak percaya.
Kepala dianggukkan. Yakin.
Laju Jenny gelengkan kepala. “Jadi apa-apa aku tak nak terlibat okey. Jangan kau salahkan aku pulak nanti.” Bebelnya.
“Nothing will happen Jen. Kalau tiba-tiba keadaan menjadi tak terkawal, I’m off!” selamba Jannah lagi.
“Kau memang degil kan? Berani mati pun ya.” Marah Jenny melepaskan geram.
Tawa Nur Jannah kedengaran lagi. “Dalam hidup kena berani Jen. Kalau kau takut, kau tak akan ke mana-mana. Duduklah ditakuk tu juga.” Tegasnya.
Malas hendak berbalah lagi, Jenny terus mendiamkan diri. Selama setahun mengenali gadis yang bernama Nur Jannah Zahra itu, dia sudah cukup memahami bagaimana sikap gadis itu. Dalam lembut ada tegasnya dan dalam senyum ada dinginnya. Nampak gedik menggoda tetapi bukan senang untuk mendekatinya.


“Nur...bangunlah. Apa ni magrib-magrib membuta!” Bebel Zulaikha agak keras. Kaki sahabatnya yang sudah terjuntai di bawah sofa diangkat dan diletakkan semula ke atas sofa. Perlahan-lahan kepala digeleng. Bila sudah begitu keadaannya, harus sembahyang asar pun sudah melayang entah kemana. Apa tidaknya, elok aje membuta dengan pakaian kerja yang dipakainya sejak pagi tadi.
“Nur..”kejutnya lagi. Bahu Nur Jannah digerakkan sedikit kuat.
“Hurmmm...” suara halus sudah mula kedengaran. Tubuh ditelentangkan.
“Bangunlah. Magrib dah nak sampai penghujung ni.” Zulaikha membebel lagi apabila Nur Jannah langsung tidak membuka matanya. Masih keras di atas sofa dengan mata yang turut terpejam.
“Bangunlah Nur. Tak elok melewat-lewatkan waktu solat.” Bebelan Zulaika kedengaran lagi. Lebih keras dari tadi.
“Aku letihlah.” Dengan suara yang tenggelam timbul Nur Jannah membalas. Tangan diangkat dan diletakkan ke dahi pula.
“Weiiii...bangunlah!” semakin lantang Zulaikha bersuara. Sengaja sebenarnya kalau tidak memang sampai ke pagi sahabatnya itu akan terus tidur di situ. Bab solat Nur Jannah memang agak liat sedikit. Kadang-kadang memang akan lompang sana sini kalau tidak diingatkan. Kalau mereka di rumah bolehlah dia mengingatkan tetapi kalau diluar? Entahlah! Nur Jannah bukan tidak tahu berdosa hukumnya meninggalkan solat tetapi entah syaitan mana yang duduk bertenggek di badan sahabatnya itu pun dia tidak tahu.
Nur Jannah mendengus. Dengan malas, matanya dibuka dan dia terus bangun. “Kau ni, tak boleh tengok aku nak berehat.” Bebelnya.
“Nak berehat bukan tak boleh Nur tapi sudahkan dulu yang wajib. Kalau macam ni, macam mana doa-doa kau nak makbul? Sembahyang pun liat. Selain berusaha kita kena juga minta pada Allah. Permudahkan dan luaskan rezeki. Ha, itu baru betul. Bila lambat doa tu termakbul kau salahkan Dia padahal bila susah aje kau cari dan sujud pada Dia.” Panjang lebar Zulaikha membebel.
Nur Jannah mencebik. Macam mak nenek! Marahnya dalam hati.
“Ha, pergilah solat. Minta pada Allah supaya cepat sikit kau dipertemukan dengan ‘anak dulang emas’ yang kau cari-cari selama ni.” sindir Zulaikha pula. Bukan niatnya hendak menyakitkan hati Nur Jannah tetapi dia sudah naik rimas dengan perangai Nur Jannah sejak akhir-akhir ini. Keluar dengan lelaki-lelaki yang digelarnya ‘anak dulang emas’ hampir setiap minggu tetapi sehingga kini tidak ada satu pun yang betul-betul melekat. Dia bukannya cemburu tetapi dia takut kalau-kalau sahabatnya itu terkena nanti. Perangai lelaki, bukannya dia tidak tahu lebih-lebih lagi kalau berdepan dengan perempuan cantik macam Nur Jannah.
Tidak sanggup mendengar bebelan demi bebelan, dia terus bangun. Makin lama dia di situ, makin panas hatinya nanti. Sebelum mereka berbalah kata atau bergaduh, lebih baik dia angkat kaki. Zulaika, walaupun agak bising mulutnya tetapi baik hati. Perkenalan mereka juga bukan baru sehari dua tetapi sudah mencecah berbelas tahun lamanya. Sebagaimana Zulaika masak dengan perangainya begitu jugalah dia sudah faham dengan kerenah Zulaika. Sahabatnya itu juga sentiasa ada ketika dia memerlukan. Lebih-lebih lagi apabila ianya berkaitan dengan duit. Zulaika tidak pernah lokek memberi.
“Jangan tak solat pulak.” Pesan Zulaika lagi. Lebih keras dari tadi. Dengan Nur Jannah memang kena berkeras sikit. Kalau tidak harus dia sambung tidur di dalam bilik pula.
“Iya, tahulah aku.” balasnya sambil laju menghayun langkah menuju kebiliknya.
“Kau masak apa malam ni?” laju soalan itu terluncur keluar sebaik muncul di muka pintu dapur. Zulaika yang sedang leka mengacau sesuatu di atas dapur ketika itu dipandang. Usai membersihkan diri dan bersolat tadi, dia terus sahaja keluar dari bilik. Terbau sesuatu dari arah dapur kaki laju sahaja diayun ke situ.
Zulaika palingkan wajah memandang ke pintu. “Kenapa?” sengaja dia bertanya. Tangan yang sedang mengacau sesuatu di dalam periuk juga terhenti.
“Aku laparlah.” Rengeknya. Kerusi plastik ditarik dan dia terus duduk.
“Eh! Kau bukan diet ke? Setahu aku malam-malam kau tak makan kan? Takut gemuklah katakan.” Usik Zulaika bersama cebikan.
Nur Jannah mendengus. Kuat. “Aku tak makan apa pun sejak petang tadi tau. Tengahari tadi pun sempat makan sandwich aje. Lately ni banyak kerjalah.” Luahnya bersama keluhan.
Mendengar jawapan Nur Jannah, terasa simpati pula hatinya. “Aku tak sempat masak apa-apa pun hari ni. Aku cuma sempat masak ni aje.” Mulut dimuncungkan ke arah periuk di atas dapur.
“Apa tu?” bersungguh-sungguh Nur Jannah bertanya. Pandangan turut dibuangkan ke arah periuk di atas dapur.
“Maggi asam laksa.” Sengih Zulaika menjadi semakin lebar. Dia tahu mesti Nur Jannah tidak suka kerana memang menjadi kepantangan sahabatnya itu untuk makan maggi. Tidak bagus untuk kesihatan katanya. Tapi kalau dalam keadaan darurat macam ni, rasanya telan maggi lagi baik kot dari kebulur. Bisiknya.
Nur Jannah mendengus. Zulaika dijeling. “Kau ni macam tak ada benda lain nak makan.” Bebelnya dan terus bangun. Terus hilang rasa lapar. Makan maggi? Memang tidaklah!
“Eh! Kau nak ke tak ni?” kuat Zulaika bertanya apabila Nur Jannah sudah mula mengayun langkah menuju keluar.
“Thanks but no thanks. Jap lagi aku buat air milo aje.” Balasnya acuh tak acuh.
“Nur...aku ada benda nak cakap dengan kau.”
Langkah terus terhenti. Tubuh dipalingkan menghadap Zulaika semula. “Apa?” tanyanya.
“Puan Sofi minta aku tanyakan pada kau kalau-kalau kau berminat nak jadi model untuk menggayakan baju-baju rekaan terbaru dia.”  Api dapur dimatikan dan tubuhnya dipalingkan menghadap Nur Jannah yang sudah berdiri di muka pintu.
“Puan Sofi mana?” kening Nur Jannah sudah terjungkit tinggi. Puas dia cuba mengingati orang yang bernama Puan Sofi yang disebut Zulaika tadi namun tiada satu wajah pun terlintas di kepalanya.
“Alaaa, klien aku yang kita jumpa dekat One Utama minggu lepas.”
Nur Jannah terdiam. Lama.
“Yang bini nombor dua dato tu ke?”
“Ha, yang itulah.”
Nur Jannah terdiam lagi.
“Berapa dia nak bayar?” Tanyanya. Kata orang rezeki jangan ditolak.
“Itu aku tak tahu. Kau tanya dia sendiri. Dia suruh aku tanyakan kau dulu sebab dia nak cari model baru dan fresh.”
“Hurmm.. nantilah aku fikirkan. Aku bukannya reti nak bergaya depan kamera. Kaku!” balasnya. Langkah diayun lagi.
“Ikut suka hati kau tapi tentu dia bayar lumayan. Puan Sofi tu kaya dan tak berkira. Boleh juga kau jadi glamer nanti.” Jerit Zulaika dari ruang dapur.
Jadi glamer? Oh! Please...bukan itu yang dia cari! Dia cuma inginkan SUAMI KAYA. Titik!
“Iyalah...iyalah. Nanti aku fikir.” Balas Nur Jannah juga dengan jeritan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...