Bab
8
"Bakpo ma tengok dari takdi lagi
Dean gelisoh jah, ado hok tok keno ko?” Hajah Zaiton menegur lalu anak
lelakinya itu dihampiri.
"Takdop gapo lah ma, masaloh kerjo
sikit," balas Dean dengan senyum nipis di bibir. Pandangannya dibuangkan
ke arah ruang tamu yang riuh dengan suara anak-anak saudaranya yang sedang
galak bermain. Kak long dengan kedua-dua orang adik perempuannya sedang sibuk
menyediakan gubahan hantaran untuk majlis pertunangan esok.
"Balik kampung jare jare pun dok
mikir hal kerjo lagi ko?"
Dean sengih sahaja ditegur begitu.
"Haih…Budok-budok ni male-male buto
dok berungga lagi,” Hajah Zaiton membebel tetapi hanya didengari oleh Dean
sahaja. Cucu-cucunya yang sedang berlari ke sana ke mari di ruang tamu rumah
dipandang bersama gelengan.
"Budok-budok ma, biar jo lah,
bukenyo jupo sokmo pun walaupun sepupu." Dean buang senyum. Memanglah
rimas dengar suara jerit pekik begitu tetapi suasana seperti itu bukannya
selalu mereka rasai. Kalau hari raya kadang-kadang tak semua ada sekali.
Lebih-lebih lagi kakak sulong dan adiknya yang ketiga kerana mengikut giliran
ke rumah keluarga suami masing-masing.
Hajah Zaiton tersenyum dan mengangguk.
Orang tua seperti dia sudah tentulah rimas dengan suasana yang riuh begitu.
Bingit rasanya. Maklumlah kebiasaannya rumah itu sunyi sahaja. Bila sesekali
anak cucu balik, riuh rendah jadinya.
“Oh ya ma, nanti kei maso Dean nok
kelik, boleh tok ma tolong buat nasik tupe mace hari tu, saeng Dean suko do oh
makei," beritahu Dean sambil tersenyum.
"Boleh, tapi saeng Dean tu tino ko
jate, ma tengok senyum semace jo tu," usik Hajah Zaiton dengan senyum
lebar.
Serba salah hendak menjawab pertanyaan
ibunya itu, Dean tersengih dan kepalanya digaru.
"Hurmm, tengok gitu gak, mesti tino
kei?" Hajah Zaiton terus mengusik.
Dean langsung tidak menjawab tapi terus
tersengih ditempatnya.
"Pahtu, bilo nok bowok jumpo ma
nyo?"
"Dean saeng jo lah nga dio ma,"
jawabnya malu-malu.
“Hurmmm…Sapa bilo Dean nok saeng jah,
anok daro ore tu, kalau ma pun ma tok berehi ore bowok anok dara ma gi maghi
gini. Mace ore takdo agama, tok molek sangat ore kelih. Kalau kene gak, kito
sudoh selaluh, royat jo nok, bilo-bilo maso ma ngan ba leh gi miney,"
Dean berdeham. Kena setepek dia tapi
masalahnya Jean tu yang liat sangat. Hurmmm…Jean yang liat atau kau tu yang tak
reti nak berterus terang Dean? Kau tak cakap perasaan kau pada dia manalah dia
tahu. Marahnya kepada diri sendiri.
"Biar dululah ma, Dean nok kelih
dio dulu, saeng-saeng dulu, nok cari hok molek loni ni susoh ma,"
Dalihnya.
"Sapa bilo Dean, umur Dean lah ko
tuo doh, adik beradik semuo nikoh belako doh" Hajah Zaiton membebel pula.
"Tunggu dulu ma, Dean dok caghi
duit lagi loni, biar kukuh dulu kerjo, bukei senei nok tanggung anok ore ma,"
"Ado jah alase dio tu,” Cemik Hajah
Zaiton dan terus bangun dari duduknya. “Oh ma lupo, esok Dean gi umoh Aji Hamdi
deh, ambik khemoh hok nok guna pete esok, ma royat doh ko dio.”
“Baiklah ma.” Kepala diangguk.
"Abe ngoh gi rumoh Aji Hamdi boleh
lah jumpo kak Najwa, dengar kato, dio kelik pete takdi," tiba-tiba Haida,
adik bongsu Dean menyampuk.
"Bakpo pulok abe ngoh nok jupo dio?
Toksei ehh!"
"Olohhh, mano tau nanti ma boleh bese
ngan Aji Hamdi pulok," usik Haida lagi.
"Mulut tu kecek molek sikit,"
marah Dean.
Haida sengih sahaja dan terus buka
langkah menuju ke dapur. Hajah Zaiton hanya menggeleng sahaja melihat keletah
anak-anaknya dan terus beredar.
Dean hanya memerhati sahaja langkah
hajah Zaiton sehingga hilang dari pandangan. Kemudian pandangannya dibuangkan
ke arah anak-anak saudaranya yang sedang galak bermain. Leka memerhati, tubuh
disandarkan ke dinding kerusi. Teringatkan Jean, nafasnya dihela lalu telefon bimbit
di dalam kocek baju melayunya dicapai dan jemari dileretkan ke skrin. Kosong.
Tiada satu pun miscalled atau mesej dari Jean. Arghhh! Kepada siapa dia hendak
bertanya? Telefon rumah Jean? Malulah dia nanti nampak macam dia pula yang
beria-ia.
Call Jean semula? Hati berbisik lagi.
Manalah tahu kali ini talian Jean boleh ditembusi. Kepala diangguk lalu tubuh
ditegakkan semula. Baru sahaja nombor Jean ingin didail tiba-tiba telefon
bimbitnya berbunyi dan nombor Jean yang tertera diskrin. Serta merta itu, helaan
nafas lega dilepaskan. Bersama senyum yang mula melebar panggilan Jean terus
disambut.
“Assalamualaikum…” sapanya.
“Waalaikumsalam.”
Terdengar suara manja Jean ditalian
hilang rasa gundah di hatinya sejak petang tadi. Mungkin sebab itulah Jean dianggap
pain killer bila dia serabut dan bermasalah. Tidak mahu adik-adiknya menganggu
perbualan tersebut, Dean bingkas bangun dan terus keluar dari rumah menuju ke
kerusi kayu di hadapan rumah. “Kenapa baru sekarang call? Tahu tak macam mana
aku risau fikirkan tentang kau sejak petang tadi?” bebelnya dan terus duduk.
Jean tergelak kecil. “Sorry, balik dari
One Utama tadi aku terus tidur. Bangun, solat magrib lepas tu dinner. Dan
sekarang baru aku free nak call kau.”
Terangnya panjang lebar.
“Kan tak elok tidur lepas asar nanti
cepat lupa. Aku dah banyak kali pesan.”
“Aku penat sangat hari ni.”
“Hurmm…iyalah. So, apa yang jadi petang
tadi? Kau bergaduh dengan siapa?”
Jean mendengus. “Ada sorang mamat tu
boleh pulak terlanggar aku sampai phone aku jatuh ke bawah. Pecah berderai kau
tahu tak?” marahnya.
“Habis tu sekarang call aku pakai phone
mana? Beli phone baru?”
“Memang taklah aku nak beli baru. Aku
suruh mamat tu ganti dan dia belikan aku Iphone XS.” Ceritanya beria.
“Untunglah!” Dean mengusik.
“Tapikan aku rasa tak syok jugak sebab
phone ni mahal kut compared yang aku punya tu.”
“Okeylah tu, rezeki. Siapa yang nak bagi
kan?”
“Hurmmm…iyalah. Kau tengah buat apa tadi
masa aku telefon kau?”
“Tengah borak dengan mak aku.” Dean
sandarkan tubuhnya ke kerusi dan pandangan dibuangkan ke langit yang semakin
gelap ketika itu.
“Eh! Aku kacau kau dengan mak kau ke?”
“Masa tu mak aku tengah tanya tentang
kau.”
“Tanya pasal aku? Kenapa? Mesti kau ada
cerita yang bukan-bukan pasal aku kan? Haih! Kau ni.”
“Kau ni suka salah sangka. Manalah aku
pernah cerita buruk tentang kau?”
“Habis tu kenapa mak kau tanya tentang
aku pulak?”
“Iyalah, mak aku tanya bila nak bawa
bakal menantu dia ni balik.” Dean cuba bergurau walau sebenarnya dia
benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya itu.
“Hurmmm…Jangan nak buat lawaklah.” Suara
Jean sudah mula berubah.
Dean buat-buat ketawa. “Tapi mak aku
betul-betul nak jumpa kau, Jean sebab aku selalu cerita pasal kau.” Jujurnya
beritahu.
“Haish! Seganlah. Nanti mak kau beria-ia
ingat aku ni girlfriend kau.”
“Kalau betul pun apa salahnya.”
“Dahlah. Malas aku cakap dengan kau
lagi. Kata-kata kau malam ni lain macam sangat.”
Kecewa dengan penerimaan Jean, Dean hela
nafas. “Okeylah…okeylah. Aku gurau pun tak boleh. Sensitif sangat malam ni
kenapa?”
“Kau tu entah apa-apa agaknya.”
“Iyalah, lain kali aku tak cakap macam
tu lagi.”
Jean terdiam dan suasana menjadi hening
seketika. Tiba-tiba dia mati kata-kata.
“Dah tidur ke?” Dean pelukkan sebelah
tangannya ke tubuh dan langit yang mula ditaburi bintang direnung. Kalaulah
ketika itu mereka berdua memandang pada langit yang sama alangkah indahnya. Hati
berbisik sendiri.
“Belum.”
“Dah tu senyap aje kenapa?”
“Aku
tak tahu nak cakap apa.”
Dean tergelak kecil dan nafasnya dihela.
“Kalau kau nak tidur, pergilah tidur.” Suruhnya.
“Ermmm…taklah. Aku dah banyak tidur
petang tadi jadi malam ni mesti aku jadi burung hantu. Kalau kau ada tentu aku
ajak kau melepak kedai mamak malam ni.” Degusnya.
Sekali lagi tawa kecil Dean meletus. Rindunya
dia dengan Jean. Rindu dengan jelingan manja Jean. Rindu dengan mulut Jean yang
kuat membebel. Rindu dengan tawa Jean yang mencuit hati malah dia rindu
segala-galanya tentang Jean. Arghhhh! Baru sehari kau tinggalkan dia, Dean!
Bebelnya kepada diri sendiri.
Baru sahaja Dean ingin membalas
kata-kata Jean, terdengar kuat suara hajah Zaiton melaung namanya. Dean
tegakkan tubuh dan berpaling. “Kejap Jean.” Ucapnya dan terus menyahut
panggilan tersebut. “Ya, ma.”
"Maghilah masuk minum, ma buat air
panas doh tu,”
“Okey ma. Kejap lagi Dean masuk.”
Balasnya dan duduknya dibetulkan kembali.
“Nanti aku call kau balik Jean. Mak aku
panggil ajak minum tu.”
“Okey. Jangan lupa nasi tumpang aku
tau.” Jean mengingatkan.
Dean ketawa lagi. “Iya, aku dah suruh
mak aku buatkan untuk bakal menantu dia ni.” Selorohnya.
Berdecup mulut Jean mendengar gurauan
tersebut tetapi dia langsung tidak membalas semula.
“Goodnight and miss you.
Assalamualaikum.”
Tanpa menunggu balasan dari Jean, talian
terus dimatikan. Sengaja dia membiarkan Jean terpinga-pinga di sana. Kalau dibiarkan Jean membalas tentu kena
bebel lagi dia.
Jean merenung telefon bimbitnya tidak
berkelip. Benarkah apa yang diucapkan oleh Dean tadi atau dia tersilap dengar? Pelik
betul dia dengan Dean sejak kebelakangan itu. Suka sangat menyebut perkara yang
entah apa-apa. Rasanya Dean tak maksudkan apa yang dia cakap kan? Hati tertanya
sendiri. Kepala digeleng. Tak, Dean tentu sedang bergurau dengannya. Mengenali
Dean dia tahu benar lelaki itu memang suka mengusiknya. Malas hendak memikir
lagi, telefon bimbitnya terus dicampak ke atas meja sisi dan tubuhnya
direbahkan ke tilam. Sambil merenung siling, kata-kata Dean tadi
terngiang-ngiang lagi dan dia tersengih.
Ish, Jean! Dean sengaja nak usik kaulah!
Bebelnya kepada diri sendiri dan matanya terus dipejamkan.
"Kecek ngan sapo ralit molek?"
Hajah Zaiton buang senyum. Kalau bercakap pun jauh-jauh begitu sudah tentulah
anak terunanya itu sedang bercakap dengan perempuan.
Dean tersenyum. “Jean.” Balasnya tidak
berselindung.
“Jean? Jean mano pulok?” soal Hajah
Zaiton penuh minat.
"Jean hok suko nasik tupe ma tu
lah." Dean tersengih.
Senyum hajah Zaiton melebar. Tadi bukan
main menafi tapi sekarang jujur pula. Jadi fahamlah dia apa maksudnya. "Pahtu,
bilo nok kenal ko Ma nyo? Kalau kene gak, leh bekwoh sekali ngan acu nanti,”
Cadangnya.
Dean tergelak. Amboi, cepat betul ma
buat perancangan. Kalau adiknya hendak bersanding sekali dengan dia, mahu makan
tahun lamanya. Faham sajalah Jean itu macam mana. “Nanti dulu lah ma, sapa tiko Dean royat ko ma,”
Hajah Zaiton tersenyum dan kepalanya
diangguk. “Iyolah.” Jawabnya sepatah. Soal kahwin, biarlah Dean yang tentukan
sendiri. Bagi dia, walau siapa pun pilihan anak-anak, dia akan sedia
menerimanya. Yang hendak hidup bersama itu anak-anak bukannya dia atau
suaminya. “Maghi minum.” Air kopi tarik yang sudah dituangkan ke dalam cawan
terus dihulurkan.
Dengan senyum yang masih terukir, Dean
mengangguk dan huluran haja Zaiton disambut.
No comments:
Post a Comment