Followers

Friday, 28 February 2020

Dean & Jean - Bab 4





Bab 4
Rumah banglo dua tingkat itu dipandang dengan senyum yang terukir di bibir. Seingatnya sudah hampir dua bulan dia tidak ke situ kerana sibuk dengan kerja. Kalau bukan kerana jemputan Encik Jamilul tentu dia tidak ke situ hari itu.  

“Apa khabar uncle?” Sapa Dean sebaik batang tubuh Encik Jamilul menyapa pandangannya. Tangan terus dihulurkan untuk bersalaman.

Senyum Encik Jamilul melebar. “Alhamdulillah, sihat,” balasnya. Huluran salam Dean disambut mesra. “Mari Dean, mari masuk dulu,” ajaknya pula sambil menepuk lembut bahu anak muda itu.

Dean akur dan kepalanya diangguk. Langkah Encik Jamilul diekori.

“Sekarang ni busy ke? Uncle tengok Jean selalu sangat balik lewat sejak kebelakangan ni.” Encik Jamilul menyambung bicara.

Sekali lagi Dean mengangguk. “Kami tengah sibuk dengan proposal untuk satu syarikat kecantikan sekarang ni uncle, sebab itulah banyak kerja sikit. Dean minta maaf kalau buat uncle dan auntie risau sebab tiap-tiap malam Jean balik lambat,” Kesalnya. Sudah tentulah Encik Jamilul risau apabila anak gadisnya terpaksa balik lewat hampir setiap malam. Keseorangan pula tu.

Encik Jamilul tersenyum. “Don’t mention it. Uncle faham. Lagipun itu dah kerja dia. Yang penting, Dean ada sekali jadi tak ada apa yang perlu uncle risaukan,” jawabnya penuh makna.

Mendengar jawapan Encik Jamilul, Dean senyum sahaja. Betullah seperti apa yang Mirzan cakapkan 
semalam, kalau tiba-tiba dia melamar Jean, orang tua Jean pasti tiada halangan.

“Haaa…duduk dulu. Auntie ada dekat dapur tu tengah siapkan breakfast. Nanti kita breakfast sama-sama.”

“Menyusahkan auntie aje.” Dean berbahasa dan terus duduk.

“Bukannya selalu.” Encik Jamilul ikut duduk. “Orang tua kamu apa khabar?”

“Alhamdulillah, ma dengan ba sihat uncle,” jawab Dean lalu membuang pandang ke arah ruang dapur seolah mencari seseorang. Sejak dia sampai tadi, dia tidak nampak langsung kelibat Jean di mana-mana. Tapi tak mungkin Jean di dapur membantu mamanya. Maklumlah, Jean bukannya suka buat kerja dapur.

Melihat reaksi Dean, Encik Jamilul tersenyum. Tahu benar dia apa yang lelaki muda itu cari. “Jean belum bangun lagi,” beritahunya dengan senyum yang masih bersisa.

Dean berdeham dan tersipu malu. Macam manalah Encik Jamilul boleh membaca reaksinya? Nampak sangatkah apa yang dia sedang cari? Arghhhhh! Malu dia. “Ermmm…Penat agaknya tu,” jawabnya cuba meredakan rasa malu yang masih bersisa.

Baru sahaja Encik Jamilul ingin membalas kata-kata Dean, terdengar lembut suara isterinya menegur. Encik Jamilul menoleh. Dean turut mengalihkan pandangan ke arah yang sama.

“Apa khabar auntie?” sapa Dean lalu bingkas bangun. Tangannya dihulurkan dan tangan wanita separuh umur itu disalami kemudian dikucup.

“Alhamdulillah, auntie baik-baik aje. Dean dah lama ke sampai?” Puan Kamalia membalas ramah. Kalau dengan Dean bukan hanya suaminya sahaja yang berkenan, dia juga sama. Bukan setakat penampilan anak muda itu sahaja yang menarik pandangannya tetapi sikapnya juga sangat menyenangkan. Paling penting bagi dia sikap hormatkan orang tua yang Dean tunjukkan.

“Baru lagi auntie.” Dean berbasi basa. Wajah lembut wanita separuh umur itu diamati. Wajah Jean memang saling tidak tumpah seperti ibunya. Nampak lembut, manis dan keibuan. Tinggi Jean pula diwarisi dari papanya. Ya, Encik Jamilul memang tinggi orangnya. Mungkin mencapai sehingga 185cm. Tinggi Jean sahaja pun sudah mencecah 177cm hanya rendah tiga cm sahaja dari dia. Kalau Jean memakai kasut tumit tinggi tiga inci, ketinggian mereka sudah hampir sama. Seperti kata rakan-rakan mereka, Jean cukup pakej. Bukan setakat cantik rupa tetapi bentuk badan Jean juga cantik persis model. Nasib baiklah Jean tidak memilih untuk jadi model kalau tidak makan hati dia. Apa tidaknya, dia tidak suka kecantikan Jean dipuja-puja oleh lelaki lain. Kalau boleh kecantikan Jean biar dia sahaja yang menikmatinya.  

“Hurmmm…Dean duduk dulu ya. Biar auntie naik atas kejut Jean. Lepas tu nanti kita boleh breakfast sama-sama.”

Dean mengangguk sahaja. Puan Kamalia pula terus buka langkah naik ke atas. Tidak lama kemudian Puan Kamalia turun semula.

“Kita breakfast dululah ya bang, Dean. Rasanya tuan puteri kita tu lama lagi nak bangun. Puas panggil tapi tak menyahut pun.”

Encik Jamilul angguk sahaja dan terus berdiri. “Marilah Dean. Kalau tunggu Jean, kebulur kita nanti,” ucapnya berseloroh.

Dean ketawa kecil dan ikut berdiri.

“Mari Dean,” ajak puan Kamalia pula.

Dean, walaupun dia sudah kerap ke situ tetapi perasaan malunya masih menebal lagi. Mungkin kerana rasa hormat yang tinggi kepada kedua-dua orang tua Jean. Maklumlah, orang tua Jean bukan orang sembarangan. Kedua-duanya merupakan pensyarah yang bergelar professor di salah sebuah universiti awam di Malaysia.

“Sila Dean,” pelawa encik Jamilul lembut. Kerusinya ditarik dan dia terus duduk.

Dean angguk sahaja dan terus duduk.

“Makan Dean jangan malu-malu. Auntie masak simple aje pagi ni.” Puan Kamalia mempelawa pula.

“Ya, auntie. Ini pun dah lebih dari cukup ni,” jawab Dean sopan. Hidangan di atas meja diperhati. Bermacam-macam hidangan ada. Ada nasi lemak, sambal sotong, spaghetti, sandwich telur, karipap pusing dan kek. Berselera dia melihatnya. Haih! Makanan sebanyak itu dikatanya simple? Simple bagi dia biasanya setakat nasi lemak telur rebus sahaja atau roti coklat gardenia yang berharga sembilan puluh sen yang biasa dia makan kalau malas hendak masak atau makan di luar. Tapi inilah yang dinamakan rezeki. Dimasak pula oleh bakal ibu mentua. Eh!

“Morning pa, ma,” sapa Jean malas-malas. Kerusi terus ditarik. “Morning Dean.” Dean dipandang pula dengan wajah selamba.

Encik Jamilul, Puan Kamalia dan Dean menoleh ke arah yang sama. Melihat keadaan Jean yang sedikit tidak terurus dan masih memakai baju tidur tidak berlengan di tubuh, Encik Jamilul dan Puan 
Kamalia berpandangan sambil geleng kepala.

“Bangun pun,” tegur Encik Jamilul.

“Tak mandi ke?” Puan Kamalia menegur pula dan mula mengeluarkan bunga hendak membebel.

Jean tersengih dan geleng kepala. Dengan wajah selamba teko air milo panas dicapai dan dituangkan ke dalam cawan kemudian terus dihirup.

“Ya Allah, anak dara sorang ni. Cubalah ada rasa malu sikit dengan Dean ni ha!” Meletus juga bebelan puan Kamalia pagi itu walau pun dalam nada yang terkawal. Malu dia melihat perangai Jean begitu. Jean ingat Dean itu abang dia? Haih!

“Alaaa…ma, dengan Dean buat apa nak malu. Dia pun tak hairan tengok Jean macam ni. Kan Dean?” Selamba Jean lagi. Sandwich telur di atas meja terus dicapai dan digigit.

Dean berdeham dan hanya senyum sahaja sambil tersipu-sipu. Jean fikir dia tak kisah? Kalau dia bukan lelaki tulen mungkin dia tak kisah melihat Jean berkeadaan begitu tetapi Jean sedar tak Jean sedang buat hati lelakinya penasaran sekarang? Ironinya, hati lelaki mana yang tidak akan berkocak hebat melihat seorang perempuan memakai baju tidur berwarna putih paras lutut dan tidak berlengan begitu? Walaupun bukan baju tidur yang jarang tetapi Jean tetap nampak seksi di matanya. Ditambah pula dengan keadaan rambut panjangnya yang sedikit tidak terurus seperti tidak bersikat itu. Arghhhh! Janganlah cuba menduga hati lelaki dia, Jean!

Sekali lagi puan Kamalia menggeleng. Jean yang sedang selamba menikmati sarapan paginya 
dijeling. Dia pula yang malu melihat tingkah laku anak sendiri. Encik Jamilul pula hanya mampu hela nafas. Dean dikerling. Melihat reaksi Dean yang seperti tidak senang duduk itu, hatinya tercuit dan perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum.

“Makan Dean. Usah kamu kisahkan anak dara uncle yang selekeh tu.” Encik Jamilul terus bersuara.

“Papa!” Jerit Jean tak puas hati. Selekeh papa kutuk dia?

Gelihati melihat reaksi Jean, Dean tergelak dan terus menyumbat nasi lemak ke dalam mulut.

“Tak betul ke papa cakap tu? Ermmm…nanti kalau kamu nak cari isteri, kamu cari yang elok sikit, Dean. Jangan pilih yang macam anak uncle ni. Kalau belum pukul sepuluh pagi tak bangun lagi. Kalau kamu kahwin dengan Jean, kebulur kamu nanti.” Encik Jamilul menyambung bicara sengaja sebenarnya hendak memancing reaksi anak muda itu.

Mendengar usikan Encik Jamilul, Dean tersedak dan terbatuk kecil. Nasib baik tidak tersembur nasi lemak yang baru masuk ke dalam mulut. Dean….Dean…Encik Jamilul baru cakap kalau kahwin dengan Jean pun kau dah tersedak macam itu. Kalau Encik Jamilul suruh kau kahwin betul-betul dengan Jean entah macam manalah kau agaknya. Bebelnya mengutuk diri sendiri.

“Pedas sangat ke sambal nasi lemak tu Dean?” Dengan riak cemas Puan Kamalia terus berdiri. Air masak yang sudah dituangkan ke dalam gelas disuakan ke arah Dean.

Masih terbatuk kecil, Dean menggeleng dan huluran Puan Kamalia disambut. “Errr…Sambalnya sedap auntie. Tak pedas pun,” jawabnya sedikit kalut. Air masak di tangan terus dihirup. Jean yang sedang galak ketawa memandangnya dijeling. Arghhh! Nasib baik depan orang tua Jean, kalau tidak memang sudah ditarik telinga Jean seperti selalu untuk melepaskan geram.

Encik Jamilul senyum sahaja melihat keadaan itu kemudian pandangannya turut dikalihkan ke arah anak gadisnya yang begitu asyik mentertawakan Dean.



Turun sahaja dari mata tangga terakhir, Jean terus melangkah menuju ke sayap kiri rumah. Sebaik berdiri di pintu gelongsor kaca, mata liar memandang ke sekeliling. Terpandangkan Dean dan papanya yang sedang sibuk dengan kerja mereka, dia terus keluar dan kedua-duanya dihampiri.

“Kenapa papa tak upah orang lain aje yang buat kolam ni?” Jean terus duduk di kerusi kayu yang terletak berhampiran dengan kolam ikan yang sedang Dean dan papanya usahakan itu. Dia sendiri tidak tahu apa lagi yang tidak kena dengan kolam ikan tersebut padahal kolan ikan itu baru dua bulan dibina.

Encik Jamilul angkat kepala dan dahinya yang berpeluh dikesat. Anak gadisnya yang sudah cantik bersiap itu dipandang. “Papa nak tambah sikit aje dekat sini. Kalau buat sendiri baru puas hati. 

Kebetulan pulak Dean free dan boleh tolong papa. Upah orang nanti takut rosak pulak kolam yang sediada ni,” balasnya kemudian menala pandang ke arah Dean yang sedang leka memandang anak gadisnya. “Cantik ke Dean?” soalnya sengaja mengusik.

Tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Encik Jamilul, Dean kerutkan dahi.

“Uncle tanya, anak uncle tu cantik sangat ke sampai tak berkelip kamu pandang?” Encik Jamilul tersengih dan mengerling pandang ke arah Jean pula.

Dengan riak malu-malu, Dean angguk perlahan dan kepalanya yang tidak gatal digaru. Boleh pulak soalan itu yang Encik Jamilul tanyakan. Kalau tak cantik masakan dia sanggup melekat macam gam dalam hidup Jean bertahun-tahun lamanya. Cuma untuk melembutkan hati batu Jean saja yang dia belum tahu caranya. Hendak bertindak melulu bimbang tersalah langkah dan lain pula jadinya nanti. Maklumlah Jean spesis yang berbeza sedikit dari perempuan lain. Ayat-ayat manis memang tak lut dengan dia.  

Jean yang bangga melihat anggukan Dean, tersengih lebar. “Anak papa, mestilah cantik kan?” ucapnya membangga diri.

Encik Jamilul mencemik. “Kalau cantik setara mana pun tapi tak pandai masak, tak pandai buat kerja rumah tak guna juga. Betul tak Dean?” Perlinya dan terus menyambung kerjanya semula.

“Papa!” Jean terus tarik muka. Papa selalu merendah-rendahkan dia di hadapan Dean. Mentang-mentanglah Dean tak pernah pandang dia lebih dari seorang kawan jadi suka-suka hati papa saja mengutuk dia. Melihat Dean yang sedang tersengih-sengih, lagilah panas hati dia. Suka sangatlah tu agaknya dengar dia dikutuk begitu. Grrrr aje!

“Betullah apa yang papa cakap tu. Orang perempuan ni Jean, kena tahu buat semua tu barulah suami sayang. Ha, tengok macam mama, berpelajaran tinggi, berketrampilan, salah seorang professor yang sangat dihormati oleh semua pelajar tetapi tetap seorang suri rumahtangga yang terbaik. Hormatkan papa, cekap menguruskan rumahtangga dan yang paling penting, pandai masak.” Beria-ia Encik Jamilul memuji isterinya. “Begitulah ciri-ciri seorang isteri yang lelaki hendak cari. Tak gitu Dean?”

Tersepit dalam keadaan itu, Dean terus tersengih. Hendak mengangguk nanti bimbang Jean semakin kecil hati. Hendak menggeleng tetapi setiap kata-kata Encik Jamilul itu memang ada betulnya.

Jean terdiam dan kepalanya ditundukkan merenung kaki sendiri sambil buat muka. Kena setepek dia dengan papa pagi itu. Di hadapan Dean pulak tu! Arghhhh! Buat malu dia aje.

Gelihati melihat Jean yang sudah menekur ditempatnya, Dean terlepas tawa tanpa sengaja. Spontan itu Jean angkat kepala dan memandang Dean dengan satu jelingan tajam.

Tidak terkesan langsung dengan jelingan manja Jean malah sengaja hendak mengusik gadis itu, 
keningnya dijungkitkan mengejek. Dia, kalau di hadapan orang tua Jean memang tak berani hendak mengusik Jean lebih-lebih. Takut Encik Jamilul fikir lain pula.  

Geram dengan usikan bisu Dean, Jean bingkas bangun dan mencemik sambil membulatkan matanya untuk membalas usikan tersebut. Baru sahaja langkah ingin dibuka, terdengar suara Encik Jamilul memanggilnya. Dengan muka yang cemberut, dia berpaling semula.

“Haih! Anak papa merajuk ke?” Giat encik Jamilul sambil buang sengih. Dia memang suka mengusik anak manjanya itu. Jean, walaupun sudah dua puluh enam tahun tetapi baginya Jean masih seperti anak kecil lagi. Sementelah pula Jean memang sangat rapat dan manja dengan dia berbanding isterinya.

“Mana ada.” Jean pelukkan tangan ke tubuh dengan riak yang masih seperti tadi.

“Kalau tak merajuk, tolong buatkan papa dengan Dean air.”

“Ermmm…papa nak air apa?” Tanyanya walau masih buat muka lagi.

“Buatkan papa kopi o panas.”

Jean angguk sahaja dan mula buka langkah. Baru selangkah dia berjalan, sekali lagi namanya dipanggil. Langkahnya terhenti dan dia berpaling memandang Encik Jamilul semula.

“Papa aje? Dean, Jean tak tanya ke nak minum apa?” Encik Jamilul jungkit kening lalu kalihkan pandangan ke arah Dean di sebelahnya.

Masih bengang dengan Dean, Jean mendengus kecil dan lelaki itu dijeling. “Kau nak minum apa?” soalnya sedikit keras.

“Jean…tak boleh ke tanya elok-elok?” tegur Encik Jamilul bersama gelengan.

Muncung Jean semakin panjang.

Gelihati melihat reaksi Jean, Gelak Dean berbunyi lagi. Hurmmm…marah benar gayanya.

“Hurmmm…Encik Dean nak minum air apa?” soal Jean selembut yang mungkin dan dengan senyum yang dibuat-buat.

Sengaja hendak menambahkan lagi amarah gadis itu, tiba-tiba Dean terfikirkan sesuatu. “Aku nak air yang paling sedap,” jawabnya bersahaja.

“Demand!” Jean mengejek. 

“Jeannnnn…” Meleret panjang suara Encik Jamilul memanggil sambil menggeleng.

“Ermmm…Kalau menyusahkan kau tak apalah.” Dean buat-buat merajuk dan meneruskan kerjanya.

Jean mendengus. “Iyalah, air yang paling sedap tu air apa? Fresh orange? Apple juice? Milo? Latte? Ke kau nak frappucino starbuck?” Soalnya sambil buat muka menyampah. Nasib baiklah depan papa kalau tidak... Haih! Hatinya membebel geram.

Kepala digeleng. “Semua tu aku tak nak.”

“Habis tu kau nak air apa?” Jean mula hilang sabar.

“Air kosong,” jawabnya selamba sambil tersengih.

Berdecup mulut Jean sebaik mendengar jawapan Dean. Air kosong aje? Ceh! Buang masa dia saja bermanis mulut dengan Dean. Tidak menunggu di situ, dia terus beredar. Encik Jamilul pula sudah mengekek-ngekek ketawa kerana gelihati melihat reaksi anak gadisnya. Haih! Jean…Jean…bisiknya sambil sambung ketawa.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...