Followers

Wednesday, 8 June 2016

Kerana Satu Janji - Bab 3








Bab 3








DARI dalam kelas 5 Anggerik, kedengaran nyaring loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan untuk hari itu sudahpun tamat. Ilham terus menutup buku di tangannya dan diletakkan di atas meja.
“Okey kelas, latihan yang saya berikan tadi sila hantar hari Khamis. Khalil, sebelum waktu kelas saya bermula tolong kutip latihan tersebut dan serahkan kepada saya,” arah Ilham tegas.
Khalil selaku ketua kelas 5 Anggerik hanya mengangguk sahaja mendengar arahan guru di hadapannya itu.
“Kita jumpa lagi hari Khamis. Assalamualaikum,” sambung Ilham lagi dan terus keluar dari kelas tersebut. Sambil membimbit buku teks Bahasa Melayu di tangan, kakinya diayunkan teratur menuju ke bilik guru.
“Ham, kau terus balik ke lepas ni?”
Ilham yang baru saja hendak melabuhkan duduknya terus berpaling. “Kenapa?” soalnya acuh tak acuh. Wajah Shahir, sahabatnya itu dipandang tak beriak. Buku di tangannya diletakkan ke atas meja.
“Turun Kuantan jom, aku nak cari bahan untuk ujian minggu depan,” ajak Shahir sambil berjalan menghampiri Ilham yang sedang sibuk mengemas barang-barangnya.
 “Sorrylah Shah, hari ni tak boleh. Aku kena hantar Su balik,” balas Ilham sambil tunjuk sengih.
Shahir mencemik. “Tak habis-habis melayan buah hati. Kahwin ajelah Ham, nak tunggu apa lagi?” kutuk Shahir selamba.
Ilham tergelak kecil. “Memang nak kahwin tapi tunggulah duit aku cukup dulu,”
“Kau tu bukannya tak ada duit pun. Kalau nak kawin esok pun boleh,” bidas Shahir dengan sebaris cemikan di wajah.
“Kau ingat zaman sekarang ni cukup ke kalau ada duit untuk kahwin aje. Lepas kahwin nanti macam mana? Aku pun kena ada rumah sendiri, tak kan nak menumpang rumah mak aku selama-lamanya.”
 “Iyalah, aku tahu. Lagipun bukannya lama lagi nak tunggu. Korang bertunang pun untuk tempoh setahun aje kan?” 
Ilham tersenyum kemudian mengangguk mengiakan pertanyaan rakan sejawatnya itu.
“Okeylah, aku pergi dulu nanti lama pulak Su tunggu aku.” Malas hendak berborak panjang lebar, Ilham terus meminta diri. Tanpa membalas, Shahir hanya mengangguk sahaja sambil ekor matanya tancap mengekori langkah sahabatnya itu sehingga hilang daripada pandangan.

“LAMA tunggu?” Perlahan Ilham menyoal sebaik Suraya menutup kembali pintu kereta.  Wajah tunangnya itu dipandang lama. Rindu!
Suraya tersenyum kemudian menggeleng. “Masa abang call tadi Su baru aje selesai berbincang dengan pengetua. Nasib baik abang lewat sikit, kalau tidak abang yang kena tunggu lama,” balas Suraya lembut.
Ilham tersengih. Duduknya dibetulkan. Dalam hati bukan main berbunga-bunga lagi. Apa tidaknya, dapat bertemu dengan pujaan hati. Kalau bukan kerana hendak menyelesaikan hal Izwan, mahu saja disuruh ibunya mempercepatkan urusan perkahwinan mereka. Sudah tak sanggup hendak berjauhan rasanya.
“Nak pergi mana-mana tak?” tanya Ilham sebaik kereta mula meluncur keluar dari kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bahagia itu.
Suraya terdiam. Lama sebelum dia berpaling memandang tunangannya itu semula. “Su tak ada plan apa-apa. Abang ada nak ke mana-mana ke?”
“Kita pergi makan dulu, lepas tu baru abang hantar balik,” ajak Ilham pula.
Tidak menolak, Suraya hanya mengangguk sahaja dan mengikut rentak pemanduan Ilham. Bukannya selalu dapat keluar berdua-duaan begitu. Walaupun mereka tinggal sekampung, tetapi jarang sangat mereka bertemu. Bukannya rumah berdekatan, sebaliknya seorang di hujung kanan dan seorang pula di hujung kiri.
Walaupun mereka sama-sama tenaga pengajar, tapi  Ilham mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh. Jadi peluang untuk mereka selalu bertemu juga sangat-sangat terhad. Lagipun tak manis untuk selalu bertemu biarpun mereka telah diikatkan tali pertunangan. Nanti apa pula kata orang-orang kampung. 
“Macam mana dengan kes Izwan tu?” soal Suraya lembut sebaik selesai membuat pesanan di sebuah restoran.
Ilham menarik nafas berat. Pandangannya dibuangkan jauh ke luar. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.
“Dah jumpa lawyer?”
Ilham mengangguk pula. “Insya-Allah, lusa abang turun KL nak jumpa lawyer untuk bincangkan kes Izwan,” balasnya perlahan.
“Mesti mahal kan?” keluh Suraya pula. Kasihan pula melihat riak resah di wajah tunangnya itu. Menjadi anak sulung memang bukan senang lebih-lebih lagi semua tanggungjawab dipikulkan ke bahunya.
Lawyer tu kenalan arwah abah abang, so hal pembayaran tu boleh dibincangkan nanti,” jelas Ilham tidak mahu tunangannya itu resah tentang masalah kewangan untuk membayar kos guaman.
Suraya mengangguk. “Harap-harap semuanya selesai dengan baik. Su kesian dengan mak, sana sini orang sibuk bercerita tentang Izwan,” luah Suraya penuh simpati pada bakal mentuanya.
Ilham melepaskan keluhan berat. Memang dia sedar tentang itu, malahan dia juga turut menerima tempiasnya. Naik kebas telinga mendengar tohmahan orang kampung tentang adik lelakinya itu, tapi apa mampunya? Selagi boleh bertahan, berdiam diri adalah jalan yang terbaik.
“Mak Su tak ada cakap apa-apa ke?” Ilham ambil bahagian bertanya pula. Ingin juga dia tahu pandangan bakal mentuanya. Wajah tunangannya itu dipandang lama. Dia bukannya tidak kenal bakal mak mentuanya itu, mulut pun boleh tahan cabulnya. Nasib baiklah Suraya itu baik dan lemah lembut orangnya, kalau tidak dia pun tak teringin mempunyai ibu mentua seperti Mak cik Seri.
Suraya terdiam seketika. Serba salah dia ingin menjawab pertanyaan Ilham tadi.
Melihat riak serba salah wajah tunangannya itu, Ilham tahu pasti bakal ibu mentuanya itu juga tidak senang dengan apa yang berlaku.
“Tak apalah, Su tak cakap pun abang dah faham. Percayalah pada abang, Izwan tak buat semua tu. Abang yakin semua itu fitnah dan abang akan lakukan apa saja untuk bersihkan nama dia dan nama kami sekeluarga,” tutur Ilham yakin.
Suraya mengangguk. “Su percayakan abang. Walau apa pun yang berlaku, Su akan sentiasa di belakang abang dan menyokong apa saja yang akan abang lakukan,” ucapnya lembut.
Ilham tersenyum sambil melepaskan nafas kelegaan. Macam manalah hatinya tidak jatuh berkali-kali dengan gadis di hadapannya ini. Bukan setakat memiliki raut wajah yang cantik, tetapi sikap dan pertuturannya jauh lebih cantik daripada itu.
“Terima kasih, Su. Kalau bukan disebabkan hal ni dah tentu abang akan suruh mak jumpa keluarga Su untuk mempercepatkan perkahwinan kita. Tapi, keluarga abang memerlukan bantuan abang sekarang. Duit yang abang simpan untuk perkahwinan kita terpaksa abang gunakan untuk menyelesaikan hal Izwan. Abang minta maaf,” luah Ilham kesal.
“Tak apa, Su faham. Abang dahulukanlah apa yang penting. Walau apapun yang berlaku Su akan tetap tunggu abang. Abang jangan risau okey,” pujuk Suraya lembut menenangkan hati Ilham. Dia tersenyum nipis.
Ilham menganggukkan kepalanya perlahan. “Terima kasih kerana faham dengan keadaan abang sekarang,” balas Ilham dengan tenang dan berpuas hati.
Suraya hanya tersenyum sahaja. Dia memang sudah membulatkan tekad, biarlah walau apa yang berlaku, cinta Ilham adalah cinta yang dia inginkan dan akan tetap dipertahankan.
Dia tidak akan sekali-kali menyerah kerana masalah yang sedang dihadapi tunangannya itu. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula dalam tempoh pertunangan. Pasti ada rintangannya sebelum menghadapi alam rumahtangga, getusnya sendirian. Biarlah ibunya sudah beriak tidak senang, tapi dia akan tetap menunggu dan setia. 

“LEWAT balik hari ni Ham.” Teguran Mak cik Lela menghentikan langkah Ilham ketika itu. Ilham berpaling kemudian tersenyum memandang ke arah ibunya.
“Keluar dengan Su tadi, mak. Dia minta Ham hantarkan dia balik. Kebetulan dah lewat Ham ajak dia makan tengah hari sekali,” balas Ilham sopan dan dengan senyum lebar terukir di bibir.
Mak cik Lela tersenyum. Faham sangat dengan maksud senyuman yang bergayut di bibir anak lelakinya itu. “Su tak bawa kereta ke hari ni?” soalnya sengaja mengusik.
Ilham menggeleng. “Kereta dia rosak.”
Mak cik Lela mengangguk faham. Ingatkan memang mereka sengaja berjanji. Maklumlah orang sedang mabuk bercinta.
“Dah sembahyang belum tu?” soal Mak cik Lela tiba-tiba.
Ilham menggeleng lagi.
“Dah pergi masuk dan solat dulu. Mak ada benda nak bincang ni.”
Tidak bertanya banyak, Ilham mengangguk dan terus berlalu menuju ke biliknya.
Usai mengerjakan solat, Ilham terus keluar dari bilik dan menghampiri ibunya yang sedang leka membaca kitab di ruang tamu. “Mak nak bincang apa tadi?” Mak cik Lela di hadapannya itu dipandang tak beriak.
Mendengar teguran anak lelakinya itu, Mak cik Lela terus mendongak. Duduknya dibetulkan. Kitab di tangannya terus diletakkan di atas meja.
“Macam  ni, mak ingat mak nak pajakkan tanah arwah abah Ham untuk selesaikan urusan Wan nanti. Ham rasa macam mana?” Sudah puas dia memikirkan banyak cara untuk menyelesaikan hal Izwan dan hanya itu saja jalan yang dia nampak sekarang.
Ilham melepaskan keluhan perlahan. Tubuhnya disandarkan ke sofa kayu yang didudukinya itu. Kepalanya didongakkan memandang ke siling. Lama dia begitu sebelum dia memandang Mak cik Lela semula.
“Sayang mak kalau nak dipajak tanah tu. Itulah satu-satunya harta peninggalan arwah  abah,” tutur Ilham lembut. Tak sanggup rasanya membiarkan tanah sekangkang kera di belakang rumahnya ini dijual atau dipajakkan kerana tanah yang juga kebun buah-buahan itu banyak meninggalkan kenangan ketika arwah abahnya masih hidup dulu. Dan di situlah tempat dia selalu menghabiskan masa setiap kali merindui arwah.
“Mak dah mati akal dah Ham. Tak kan kita nak biarkan aje Wan macam tu. Mak kesian sangat dengan Zura. Sudahlah tengah tunggu masa aje nak bersalin, suami pulak masih dalam lokap lagi,” luah Mak cik Lela lagi dengan perasaan yang sarat di dalam hati.
“Ham faham mak, tapi biar Ham jumpa peguam dulu dan berbincang dengan peguam apa yang patut kita buat. Kalau peluang untuk Wan menang cerah, kita tak perlu sampai nak pajakkan tanah tu. Lagipun berapa sangatlah dapatnya kalau nak dipajak, mak,” pujuk Ilham cuba menenangkan hati wanita separuh umur itu.
 Dia tahu ibunya itu tidak senang duduk memikirkan keadaan Izwan ketika itu. Bukan hanya ibunya saja yang risau, dia lagilah risau. Dia sudah berjanji dengan arwah abah untuk menjaga adik-adiknya dengan baik tapi ini pula yang berlaku.
Perlahan-lahan Ilham melepaskan keluhan berat. Maafkan Ham, abah. Ham janji nasib Izwan akan terbela. Ham tak akan biarkan Izwan diapa-apakan. Itu janji Ham. Bisiknya di dalam hati.
Mendengar kesungguhan anak sulungnya itu mempertahankan tanah pusaka milik arwah suaminya, Mak cik Lela akur.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...