Followers

Wednesday, 8 June 2016

Kerana Satu Janji - Bab 2









Bab 2








“HANNAH tak balik malam tadi?” Sinis Datuk Mazlan bersuara. Roti di dalam pinggan dicapai lalu disuakan ke mulut.
Datin Umairah menggeleng. Suami di sebelahnya itu dipandang sekilas.
“Awak dah bincang dengan dia tentang hal yang saya beritahu tu?” soal Datuk Mazlan lagi tanpa memandang isteri di sebelahnya.
Datin Umairah mengangguk pula.
“Dah tu macam mana? Hannah setuju?”
Datin Umairah tidak berkutik, hanya mampu terdiam. Tidak tahu jawapan yang bagaimana harus dia berikan.
“Awak pujuk Hannah baik-baik. Saya malu kalau perancangan ni tak menjadi,” ucap Datuk Mazlan datar. Wajah isterinya dipandang tak beriak.
Datin Umairah melepaskan nafas perlahan. Bukan dia tak suka dengan perancangan yang dibuat suaminya, tetapi yang empunya diri memang tak setuju. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa tapi suaminya terlalu mendesak.
“Abang, tak boleh ke kita biarkan Hannah buat pilihan hidupnya sendiri?” Perlahan Datin Umairah bersuara.
Datuk Mazlan berdeham. Roti yang dipegangnya diletakkan semula ke dalam pinggan. “Irah, abang buat semua ni untuk kebaikan Hannah. Untuk masa depan dia juga. Apa kurangnya Azryl? Bukan anak orang miskin, ada kerjaya, ada rupa... Segala-galanya ada. Awak tak nak Hannah hidup bahagia?” Suara Datuk Mazlan sudah naik senada. Isterinya direnung tajam tidak berkedip.
“Tapi bang...” Datin Umairah berusaha untuk menyebelahi Hannah. 
“Jangan awak ingat saya nak musnahkan hidup Hannah. Memang dia bukan anak saya, tapi saya dah anggap dia macam anak saya,” bidas Datuk Mazlan memotong kata-kata isterinya tadi.
“Bukan itu maksud Irah bang, tapi Hannah tak suka dengan anak Tan Sri Hadi tu.” Satu keluhan berat dilepaskan Datin Umairah.
Datuk Mazlan menggeleng perlahan. “Irah, saya nak tanya awak, selama ni pernah ke Hannah tu suka dengan apa yang kita aturkan untuk dia? Kita hantar dia ke sekolah berasrama, dia kata kita sengaja nak buang dia. Kita hantar dia  ke luar negara,  dia kata saya sengaja nak jauhkan awak daripada dia.”
Datin Umairah terdiam. Memang betul apa yang diperkatakan oleh suaminya itu. Sejak dia mengambil Hannah daripada jagaan bekas suaminya, Hannah kerap memberontak. Apa yang dilakukan mereka pasti ada saja yang tak kena.
“Awak tengok, dia tak balik ada dia call dan beritahu kita ke mana dia pergi? Dia nak ke mana-mana ada dia beritahu awak?” bebel Datuk Mazlan lagi, melepaskan perasaannya.
Datin Umairah terdiam lagi. Soalan demi soalan yang terlontar dari bibir suaminya itu tidak mampu untuk dijawab.
“Irah, Hannah tu dah 26 tahun. Umur macam tu dah elok sangat bersuami. Azryl tu pula memang betul-betul sukakan dia. Apa lagi yang kita nak tunggu? Lagipun tan sri tu kan partner saya, apa yang awak  nak risaukan?”
“Tak apalah bang, nanti Irah pujuk Hannah baik-baik.” Akhirnya Datin Umairah mengalah. Dia sendiri pun serba salah. Dia tahu niat suaminya itu baik tapi anak perempuannya yang degil. Kalau dengan cara baik tak mampu untuk pujuk Hannah, nampaknya dia terpaksa berkeras. Itu saja jalan yang dia ada.
Datuk Mazlan mengangguk perlahan. Cawan air kopi di atas meja dicapai dan dihirup. Jam di tangannya dikerling sebaik cawan tersebut diletakkan semula.
“Saya nak pergi pejabat dulu. Anak awak tu rasanya mesti ponteng lagi hari ni,” sinis Datuk Mazlan bersuara dan terus bangun dari duduknya.
“Nanti Irah call dia,” balas Datin Umairah perlahan.
“Baguslah tu, hari ni ada meeting dengan pembekal dari Indonesia. Sepatutnya dia yang kena handle urusan tu,” pesan Datuk Mazlan berbaur sindiran tentang tugasan yang perlu dilakukan Hannah pada hari ini.
“Yalah, Irah call dia nanti,” balas Datin Umairah berjanji.  Lagi pula dia pun malas hendak memanjangkan cerita. Setiap hari pasti ada saja cerita tentang Hannah yang diberitahu oleh suaminya. Naik sebal dia mendengarnya.
Tidak membalas, Datuk Mazlan terus beredar dari situ.
Datin Umairah menjadi serba salah dengan keadaan sekarang. Dirinya benar-benar tersepit antara permintaan suaminya dengan perasaan puteri kesayangannya. Dia memahami akan niat baik dan hasrat suaminya itu, tetapi apakan dayanya.
Baginya, biarlah Hannah yang menentukan masa depannya sendiri. Dia tidak mahu Hannah kecewa dengan rumah tangganya nanti. Namun, Datin Umairah tidak berdaya untuk berkeras pula dengan suaminya. Jadi, terpaksalah dia berusaha memujuk anak gadisnya itu, biarpun dia sudah mengetahui jawapan nekad daripada Hannah. Kelmarin pun dia sudah bertekak dengan Hannah. Kali ini, dia akan bertekak lagilah kalau cara lembut dipandang sebelah mata oleh anaknya itu.
Ya, dia tetap akan membuatkan Hannah bersetuju dengan rancangan Datuk Mazlan untuk melangsungkan perkahwinan dengan Azryl.

HANNAH berjalan menghampiri Suzy yang sedang leka menaip sesuatu di mejanya. Sebaik tiba di hadapan gadis itu, meja Suzy diketuk beberapa kali. Suzy tersentak kemudian mendongak.
“Oh! Cik Hannah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soalnya sedikit kalut. Mahu tak kalut, anak tiri bos yang satu ini jenis berangin orangnya. Biarpun anak tiri tetapi berlagaknya melebihi anak kandung sahaja. Silap sikit mahu kena maki tak berhenti. Siapa yang berani hendak cakap banyak dengan pengurus besar a.k.a Cik Singa di hadapannya ini.
“Datuk ada?” Hannah acuh tak acuh tapi tegas saja bunyinya.
Suzy menganggukkan kepalanya perlahan. Nak cakap banyak pun tak berani, lebih-lebih lagi apabila melihat air muka Cik Singa yang bukan main serius pagi itu.
“Cik Hannah nak jumpa datuk ke?”
“Kalau aku tak nak jumpa dia buat apa aku tercongok kat sini!” balas  Hannah sedikit keras dan terus berlenggang menuju ke bilik Datuk Mazlan.
Suzy hanya memandang dengan mata terkebil-kebil. Liur ditelan payau. Kepala yang tidak gatal digarunya perlahan. Dia ada silap cakap ke tadi sampai Cik Singa menyergahnya begitu? Hailaa…mesti hormon P sudah mari tu. Mahu putus nyawa kalau setiap hari diperlakukan begitu. Nasib...nasib... bisiknya perlahan.
Morning,” tegur Hannah perlahan sebaik pintu bilik Datuk Mazlan dikuak.
Datuk Mazlan mendongak kemudian jam di pergelangan tangannya dijeling sekilas. Melihat apa yang dilakukan oleh Datuk  Mazlan, Hannah mencemik.  Kejap lagi mesti bernanah telinganya mendengar bebelan daripada ayah tirinya itu.
“Baru sampai?”
See... I knew it! Bebel Hannah di dalam hati. Suara ayah tirinya yang sinis jelas sangat tetapi Hannah mengangguk juga dengan perlahan.
“Pukul berapa sekarang?”
Dengan riak selamba, Hannah melihat jam yang melingkar kemas di pergelangan tangannya. “Ten,” balasnya sepatah. “Baru pukul 10 pagi,” tambahnya dengan muka selamba.
Datuk Mazlan tersenyum. Sinis dia bertanya, sinis juga Hannah menjawab. Duduknya dibetulkan. Hannah memang berani. Berani melawan. Bukan dengan kata-kata sahaja tapi perlakuannya juga. Kadang-kadang  mati kutu dia dengan perlakuan anak tirinya itu. Apa lagi yang kurang dia berikan? Wang ringgit? Pelajaran? Kemewahan? Semua cukup. Segalanya dilengkapkan dengan sempurna.
“Semalam kenapa tak balik?”
“Saja...”
Datuk Mazlan terdiam. Nafasnya dihela berat. Memang berbicara dengan Hannah memerlukan kesabaran yang tinggi. Kalau orang lain mesti sudah dimakinya sesuka hati. Dengan Hannah dia tidak boleh bertindak begitu. Hannah aset berharga yang perlu dia jaga.
“Duduk, papa nak bincangkan sesuatu,” arah Datuk Mazlan tegas.
Hannah akur. Kerusi di hadapan Datuk Mazlan ditarik dan dia terus duduk.
“Papa nak tanya, Hannah tahu tak siapa pelabur terbesar kita untuk urus niaga pembekalan bahan mentah kain-kain  kita?” soal Datuk Mazlan cuba menduga hati Hannah.
Hannah terdiam. Rasanya dia sudah dapat menangkap maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh lelaki korporat di hadapannya ini.
“Tahu tak?”
Hannah mengangguk. Malas betul mahu buka bibirnya.
“Siapa?”
“Tan Sri Hadi,” jawab Hannah perlahan dan acuh tak acuh.
“Kenal tak siapa Azryl?” Sengaja Datuk Mazlan menyebut nama anak lelaki Tan Sri Hadi.
Hannah mendengus perlahan.  Bingo! Ten marks for you, Hannah.  Jeritnya di dalam hati.
“Papa tanya, Hannah kenal tak?” Datuk Mazlan terus menyoal dengan tegas apabila melihat tiada jawapan daripada anak tirinya itu.
Sekali lagi Hannah mengangguk perlahan. Mahunya dia tak kenal jantan kaberet yang bernama Azryl. Lelaki kaya yang berlagak kacak dan ayat paling tepat untuknya, poyos!
“Mama ada beritahu Hannah tak tentang perancangan papa dan Uncle Hadi?” Malas hendak menunggu jawapan hasil perbincangan isteri dan anak tirinya itu, Datuk Mazlan terus membuka mulut.  Jawapan Hannah sangat penting untuk masa depan syarikatnya. Bukan kerana masalah kewangan tapi untuk mengukuhkan lagi empayar perniagaannya bersama Tan Sri Hadi.
Hannah mengangguk lagi.
So apa keputusan Hannah?”
Hannah menunduk dan terdiam kaku di hadapan Datuk Mazlan. Tidak berkutik dan tiada jawapan yang hendak diberikannya kepada lelaki itu.
Datuk Mazlan menarik nafas perlahan. Wajah anak gadis di hadapannya itu direnung dalam.
“Hannah, papa buat semua ni untuk kebaikan Hannah,” ucapnya lembut. Cuba memujuk.
Hannah tersenyum sinis di dalam hati. Kebaikan aku ke untuk kebaikan kau. Kebaikan untuk kau tambah harta kekayaan kau kan? Kutuknya di dalam hati.
“Azryl ada segala-galanya. Papa yakin Hannah akan hidup bahagia dengan dia,” ujar Datuk Mazlan dengan megah dan bangga terhadap anak lelaki Tan Sri Hadi.
Hannah mendongak dan tersenyum sinis. “Mana papa tahu Hannah akan bahagia dengan Azryl?”
Datuk Mazlan mengeluh perlahan. Dia terus bangun dari duduknya dan berjalan menghala ke tingkap kaca di belakang tempat duduknya. Pandangannya dibuangkan jauh ke hadapan.
“Papa bukan tuhan yang boleh menentukan bahagia atau deritanya hidup Hannah tapi papa boleh berusaha memberi kebahagiaan pada Hannah. Papa tahu, Hannah tak pernah nak terima papa selama ni. Tapi papa nak Hannah tahu, papa dah anggap Hannah macam anak papa, sama macam Hairi dan Haizy.” Kemudian, Datuk Mazlan berpaling ke arah Hannah sambil memegang penyandar kerusinya.
“Papa harap Hannah akan fikirkan cadangan papa demi menjaga hubungan baik dua keluarga,” pujuk Datuk Mazlan lembut.
Hannah terdiam. Lama. Kemudian nafasnya dihela berat. Bohong kalau dia tak tersentuh dengan kata-kata Datuk Mazlan tadi. Tapi, entah kenapa hatinya begitu beku untuk menerima semuanya dengan rela.
Memang dia tidak pernah menerima kehadiran Datuk Mazlan dalam hidupnya. Baginya, Datuk Mazlan adalah punca mama dan ayahnya bercerai. Kerana mengejar hidup senang dengan lelaki itulah, mama memilih untuk meninggalkan ayah.  Apa yang berlaku dulu tak akan mampu dia buang jauh dari kotak ingatannya. Malah, kenangan pahit itu sentiasa menghantui hidupnya selama ini.
“Hannah...” panggil Datuk Mazlan perlahan.
Hannah tersentak. Kepalanya didongakkan. Datuk Mazlan dipandang tak beriak.
“Hurm... biar Hannah fikir dulu,” jawabnya malas-malas. Sebaik menuturkan kata-kata itu, Hannah terus bangun dari duduknya dan meluru keluar. Terfikirkan peristiwa silam, hatinya menjadi sebak tiba-tiba. 
Sebelum dia menangis lebih baiklah dia pergi dari situ. Dia tidak mahu nampak lemah dan cengeng di hadapan lelaki itu. Kalau selama ini dia boleh jadi sekeras kerikil kenapa tiba-tiba dia perlu berlembut? No way, this marriage will never happen. Never! Jeritnya di dalam hati.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...