Followers

Wednesday, 1 June 2016

Tanya Dia Tentang Cinta - Bab 6 - Buat Keputusan







NAFAS ditarik berat dan dilepaskan. Tubuh yang masih bersandar di kerusi diselesakan letaknya. Kepalanya direbahkan di kepala kerusi dan matanya dipejamkan.  Perbualan dengan papa dan mamanya beberapa hari lepas terngiang-ngiang di telinga.

Puteri Chempaka Emelyn. Nama yang indah seindah pemiliknya. Apa yang paling dia suka tentang gadis itu ialah senyumannya sehingga terlihat dua lesung pipit di pipinya. Lirikan matanya yang menggoda sehingga membuatnya gila bayang dulu. Tapi, itu semua cerita empat tahun dahulu. Sekarang, masih adakah rasa itu? Tak mungkin, semuanya sudah ditanamkan jauh di sudut hatinya. Kalau semuanya telah dibuang, kenapa sakit itu masih kuat terasa? Kenapa bayangan Puteri Chempaka Emelyn semakin kerap menghantui? Argh! jeritnya perlahan. Aku mesti lakukan sesuatu. Leraikan semua kekusutan ini dan kuburkan semuanya! Nekadnya. Telefon di atas meja dicapai dan satu pesanan ringkas ditaip. Selesai, SMS tersebut terus dihantar kepada penerimanya.

Aku nak jumpa kau pukul 5.00 petang di The Loaf , Sogo.

MESEJ YANG satu itu direnung lama. Hampir terburai isi perutnya sebaik menerima mesej daripada lelaki yang seorang itu. Degup jantung tak usah disebut. Bukan main laju lagi  berdegup. Hati pula berdebar kuat dan rasa hendak luruh dari letaknya. Entah dari manalah Ziyad mendapat nombor
telefonnya.

“Kenapa tiba-tiba?” gumamnya. Kasar pula bahasa yang digunakan. Main aku kau aje. Dalam hati bukan main terasa lagi dengan kata-kata yang dilemparkan lelaki itu. Semasa dia kenal Ziyad dulu, tidak pernah langsung lelaki itu berbicara kasar dengannya. Tutur katanya lembut sahaja. Adakah kerana apa yang berlaku, Ziyad terus berubah laku? Kepalanya ditundukkan memandang meja. Gawat ni! bisiknya lagi. Adif… hanya nama itu yang terucap dari bibirnya. Tidak menunggu, nombor telefon Adif terus didail.

“Dia nak jumpa aku, Dif. Macam mana ni?” Baru saja panggilannya bersahut, kata-kata itu terus
dilemparkan. Laju meluncur. Tiada koma dan titik langsung.

“Kalau ya pun, bagi-bagilah salam dulu cik kak.”

Terdengar keras suara Adif membebel di telinganya. Puteri mendengus.

“Assalamualaikum,” ucap Puteri perlahan dan dengan muka cemberut. Bukan salah Adif menegur, tapi salahnya juga. Kecoh tak bertempat.

“Waalaikumussalam. Ha, apa cer?”

“Dia nak jumpa aku.”

“Dia tu siapa?”

“Ziyadlah, siapa lagi.”

Senyap. Tidak kedengaran terus suara daripada lelaki itu. Hanya hembusan nafas kecilnya sahaja yang menerpa pendengaran Puteri.

“Dif, kau janganlah senyap aje. Say something please,” rayu Puteri lagi apabila Adif hanya membisu sahaja di talian.

Adif berdeham.

“Adif...”

“Kau pergilah jumpa dia. Aku rasa dia pun nak selesaikan masalah kau orang berdua tu. Kalau tidak, tak ada maknanya dia nak ajak kau jumpa.” Tenang Adif bersuara.

“Maksud kau?”

“Mungkin dia nak berbincang dengan kau tentang cadangan parent kau orang untuk satukan kau dengan dia.”

Puteri terdiam. Otaknya ligat berfikir. Mungkin ada betulnya kata-kata Adif tadi. Mungkin tujuan Ziyad bertemunya adalah untuk membincangkan masalah tersebut. 

“Okey, kalau betul nanti aku nak cakap apa?” Lurus Puteri bertanya. Tiba-tiba dia jadi kalut.

Adif tergelak. “Nasib baik kau ni bukan depan aku, kalau tidak harus aku dah ketuk kepala kau,” bebel Adif.

“Sesedap jari kau aje nak ketuk kepala aku!” marah Puteri geram. Adif ingat kepala dia tu apa?
Adif tergelak lagi. Faham sangat, mesti Puteri tengah marah sekarang.

“Buatlah muka macam cencurut kena lenyek tu,” usik Adif selamba.

“Mana ada!” Keras Puteri menafikan.

“Macam aku tak kenal kau,” bidas Adif pula.

“Yalah, yalah… kau tu kalau aku semuanya tak betul. Semuanya tak kena. Yang buruk semuanya aku,” rajuk Puteri pula. Sungguh tak puas hati.

Adif tersengih. Merajuk lagi. Susah dengan anak manja seorang ni. Silap cakap sikit mesti merajuk. Puas pulak nak kena pujuk. Kalau senang nak dipujuk, tak apalah jugak.

“Kau merajuk eh? Aku cakap macam tu pun nak merajuk?”

“Tak kuasa nak merajuk dengan kau. ”

Adif tergelak lagi. “Okeylah tu kalau tak merajuk. Aku baru aje nak pujuk.”

“Malaslah cakap dengan kau lagi. Bukannya nak tolong aku. Mengutuk aku lagi ada.” Puteri kalih tempat. Dia terus berdiri dan berjalan ke arah rak fail tidak jauh dari mejanya. Tubuhnya disandarkan di sisi kabinet tersebut. 

“Puteri...” panggil Adif lembut. Puteri terdiam. Nafasnya dihela.

Adif tersenyum. Dia tahu sangat kalau nak buat gadis yang satu itu terdiam, panggil sajalah dengan nama itu, automatik Puteri akan terdiam mengalah.“Okey, sorry pasal tadi, tapi kali ni aku serius. Kau pergi jumpa dia dan bincang elok-elok. Kalau kau tak suka dengan cadangan keluarga kau tu, terus terang dengan dia. Kalau kau memang suka dia, kau cakap ajelah kau terima lamaran tu,” pujuk Adif dengan suara yang sudah berubah lembut dari tadi.

“Masa bila pulak aku suka dia?” soal Puteri sedikit meninggi. Memandai aje Adif ni.

“Chem, aku kenal kau dah hampir tiga tahun. Sepanjang tempoh tu, macam-macam cerita aku dengar dari mulut kau. Sama ada kau sedar atau tidak, sepanjang tempoh tu nama yang kau tak berhenti sebut dari bibir kau ialah nama mamat tu tau. Doktor Mohd Ziyad Uzair. Aku tahu kau betul-betul sukakan dia, cuma kau tutup hati kau untuk nampak dia dekat situ.”

Puteri terdiam lagi. Mendengar kata-kata Adif, hatinya berdegup lagi. Tak mungkin dia sukakan Ziyad.

“Cuba kau tenangkan diri. Tanya hati kau, siapa yang ada di situ. Siapa yang paling kau ingat sekali sekarang. Wajah siapa yang muncul,” ucap Adif lagi lebih tenang dari tadi.

Puteri masih begitu. Terdiam kaku sambil bersandar pada dinding rak. Tangannya terus dibawa ke dada. Matanya terus dipejamkan. Nafasnya dihela untuk menenangkan fikirannya. Kenapa hatinya terasa berdebar?

“Kau tenangkan diri. Tarik nafas dan lepaskan perlahan. Kosongkan minda dan cuba kau lihat wajah siapa yang muncul,” bisik Adif lagi.

Setelah beberapa saat begitu, Puteri tersentak. Matanya terus dibuka. Hati yang bergetar tadi semakin sesak dirasakan.

“Adif...” seru Puteri perlahan.

“Jangan kau kata kau nampak muka aku pulak,” seloroh Adif dengan gelak halus di bibir.

Puteri mendengus. “Tak ada maknanya nak nampak muka kau. Okeylah, malas nak cakap dengan kau. Assalamualaikum.”

Belum sempat Adif membalas salamnya, panggilan terus dimatikan. Tubuhnya yang sedang bersandar pada dinding rak terus melorot jatuh ke lantai. Kakinya diangkat sehingga lutut rapat bertemu dada. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas lutut. Nafasnya dihela lagi.

Betul ke seperti apa yang Adif katakan tadi? soalnya berkali-kali dalam hati. Kalau tidak, kenapa wajah Ziyad yang muncul? Kenapa mesti dia? Tangannya diletakkan ke dada semula. Masih bernada yang sama. Berdegup dan bergetar setiap kali nama atau wajah itu menyapa ingatannya. Atau sebab
aku asyik fikirkan dia sejak kebelakangan ini, maka sebab itulah wajah itu yang muncul? Doctor Mohd Ziyad Uzair, what you have done to me? Argh, serabut! jeritnya dalam hati.





KAKINYA DIAYUN perlahan. Sebaik memarkirkan keretanya di pasar raya Sogo tersebut, hatinya sudah mula ribut semula. Rasa takut untuk berdepan dengan Ziyad melebihi segalanya. Mampukah dia berdepan dan berbicara dengan Ziyad seolah-olah antara mereka tidak pernah berlaku apa-apa? Tak, sungguh dia tak mampu!

“Assalamualaikum,” sapa Puteri lembut. Nampak sahaja susuk lelaki itu tadi, ribut di hatinya semakin menjadi-jadi. Apabila sudah berdepan begitu, lagilah huru-hara dia rasa. Untuk meredakan perasaannya, pandangannya dibuangkan ke sekeliling. Tiba-tiba dia terpandangkan seseorang tidak jauh dari situ dan sedang tersenyum ke arahnya. Puteri kaget. Adif. Tetapi, kenapa Adif ada di situ? soalnya dalam hati.

Ziyad mendongak dan berdeham. Salam Puteri dibalas perlahan. Antara mahu dengan tidak sahaja salam itu dibalas.

Puteri menunduk memandang Ziyad semula. Melihat riak beku lelaki itu, nafasnya dihela lagi.

“Duduklah,” pelawa Ziyad. Datar sahaja nada suaranya. Akur, Puteri terus mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Duduknya dibetulkan. Beg tangannya diletakkan kemas di pangkuan sebelum dia mendongak memandang Ziyad semula.

“Awak nak jumpa saya kenapa?” Tidak bertangguh, Puteri menyoal. Lelaki di hadapannya itu dipandang tidak beriak. Tenang saja lagaknya walaupun dalam hati bukan main bergelora lagi.
Ziyad berdeham lagi. Siapa kata hatinya tidak berdetak apabila berdepan dengan Puteri begitu. Siapa kata dia tidak terpesona melihat wajah cantik dan ayu di hadapannya itu. Tetapi, kerana luka yang ditinggalkan Puteri, dia tidak betah lagi mempunyai perasaan begitu kepada gadis itu. Cukuplah
dengan apa yang berlaku dulu. Seksanya hanya dia yang tahu dan tak mungkin dia membiarkan dirinya dipermainkan untuk kali kedua!

“Kau tentu tahu kan tentang perancangan keluarga kita.” Ziyad memulakan bicara. Walaupun perlahan nada suaranya, tetapi keras saja bunyinya.

Puteri terdiam. Terkedu sebenarnya mendengar bicara lelaki itu. Di mana Ziyad yang dikenali dahulu? Lelaki yang begitu lembut tutur bicaranya, yang begitu penyayang dan murah dengan senyumannya. Ziyad yang berada di hadapannya ini begitu jauh berbeza. Riaknya beku. Tuturnya pula kaku.

Perlahan-lahan Puteri melepaskan keluhan dalam hati. Mana mungkin hendak disamakan Ziyad sekarang dan Ziyad empat tahun dahulu. Semuanya kerana kau, Chem. Kerana apa yang telah kau buat! marahnya kepada diri sendiri.

“Kau tahu ke tak?” soal Ziyad lagi agak kasar apabila Puteri hanya terdiam kaku di tempat duduknya. Puteri direnung semakin tajam.

Perlahan-lahan Puteri mengangguk, sedang dalam hati bukan main terasa lagi dengan layanan lelaki itu. Tidak bolehkah Ziyad bercakap elok-elok? Ingat dia tidak ada perasaan? Argh! Untuk apa lagi membicarakan tentang perasaan sedangkan perasaan Ziyad pernah kau cincang lumatkan tanpa belas?

“So, macam mana?” Melihat Puteri yang masih tidak bersuara, Ziyad bertanya lagi.

Puteri menundukkan kepalanya seketika sebelum mendongak memandang Ziyad semula.
“Saya tak tahu. Saya belum beri keputusan lagi,” balas Puteri perlahan.

“Aku tak nak perkahwinan ni,” putus Ziyad bersungguh-sungguh. Memang dia tidak perlu masa yang lama tentang hal itu. Jawapannya tetap sama. Dia tidak mungkin akan memperisteri Puteri Chempaka Emelyn. Tidak sekali-kali! 

Puteri memandang Ziyad tajam. Tiba-tiba hatinya terasa panas pula. Cara Ziyad bercakap macamlah dia hendak sangat berkahwin dengan lelaki itu.

“Apa yang buat awak fikir saya pun akan setuju dengan perkahwinan ni?” Sinis Puteri membalas. Ziyad direnung semakin tajam. Tolonglah jangan nak poyo sangat!

Ziyad tersenyum sinis. “Memanglah aku tahu kau takkan sudi nak kahwin dengan aku, kalau tidak empat tahun lepas lagi kita dah kahwin,” sindir Ziyad keras sengaja membangkitkan hal tersebut.

Puteri terpempan. Terkedu dengan tembakan sinis dan tajam Ziyad tadi. Di saat itu jugalah bermacam-macam perasaan datang mengasak dalam hati. Tapi, hanya satu perasaan yang sangat kuat dirasakan iaitu MENYESAL!

“Ziyad, saya tahu saya salah. Saya benar-benar menyesal dan saya minta maaf,” ucap Puteri kesal. Akhirnya kata-kata itu terluah juga setelah bertahun disimpan. Maafkanlah aku Ziyad, rintihnya dalam hati.

Tiba-tiba tawa Ziyad meletus. Perlahan dan sinis saja kedengarannya. “Menyesal? Orang macam kau tahu erti menyesal?” tingkah Ziyad keras. Mudahnya Puteri mengucapkan kata-kata maaf setelah apa yang berlaku.

“Ziyad, perkara tu dah lama berlaku. Dah empat tahun. Tak boleh ke awak lupakan,” pinta Puteri seakan-akan merayu.

“Senangnya kau cakap. Kau tak tahu apa yang aku rasa. Apa yang aku lalui,” bentak Ziyad pula. Geram dengan kata-kata Puteri tadi. Lupakan? Tidak semudah itu Puteri Chempaka Emelyn. Apa yang berlaku akan tetap aku ingat sampai mati!

“Ziyad...”

“Dah, aku tak nak cakap pasal hal tu lagi. Aku datang sini sebab nak suruh kau beritahu keluarga kau, kau tak setuju dengan perkahwinan ni,” pintas Ziyad mematikan bicara gadis di hadapannya itu. Dia pun sudah tidak sanggup hendak memanjangkan cerita luka lalu. Kelukaan itu terlalu dalam untuk pulih dengan hanya satu perkataan maaf!

Puteri menarik nafas berat. Nampaknya bukan mudah untuk dia menerima maaf seorang Mohd Ziyad Uzair. “Saya dah tolak, tapi papa dan mama tetap berkeras. Saya tak tahu nak tolak macam mana lagi. Jadi, sekarang saya serahkan pada awak. Kalau awak tak nak saya jadi isteri awak, awak beritahu famili awak dan perkahwinan ni takkan berlaku,” ucap Puteri tenang.

Ziyad terdiam. Keluhan berat dilepaskan. “Kalau senang untuk aku tolak, tentu aku tak jumpa kau di sini!”

“Sekarang, terpulang pada awak, Ziyad. Walaupun saya belum beri kata putus, tapi papa dan mama sudah memutuskan. Sama ada saya kata ya atau tidak, jawapannya tetap sama,” sambung Puteri lagi.

“Kalau dah tak ada apa-apa lagi, saya minta diri.” Puteri terus bangun. Salam dihulurkan sebelum dia terus pergi dari situ. Untuk apa berbincang kalau emosi Ziyad begitu. Sia-sia!

Belum sempat Ziyad membalas apa-apa, Puteri terus melangkah pergi. Ziyad hanya mampu memandang sahaja sehingga gadis itu hilang daripada pandangan. Sekali lagi keluhan berat dilepaskan. Kata-kata Puteri tadi terngiang-ngiang di telinga. Ya Allah, macam mana dia hendak menolak kalau kedua-dua orang tuanya juga begitu menginginkan perkahwinan ini. Bercerita tentang apa yang sebenarnya? Tak mungkin.


“MACAM MANA?” Soal Adif perlahan. Langkah Puteri diekori. Sebaik Puteri keluar dari restoran The Loaf itu tadi, dia pun turut keluar. Sedari tadi dia hanya mengekor sahaja sehingga mereka berada di tempat letak kereta. Sengaja dia malas bertanya. Melihat riak mendung gadis itu, hatinya bukan main risau lagi. Entah apa yang dibincangkan mereka tadiagaknya sehingga tegang sekali wajah Puteri ketika itu. Puteri berpaling. Adif direnung tajam.

“So?” Soal Adif lagi apabila Puteri masih diam membisu.

“Aku nak kahwin dengan dia!” Balas Puteri bersungguh.

Adif tercengang. Terkejut mendengar keputusan Puteri tadi. Kelmarin bukan main bersungguh-sungguh lagi menolak. Baru berjumpa Ziyad tidak sampai 15 minit terus bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki itu. Biar betul minah ni, bisiknya dalam hati.

“Kenapa tercengang?”

“Terkejut aku dengan keputusan kau. Kenapa tiba-tiba?”

Puteri terdiam. Nafasnya dihela. Kepalanya ditundukkan, memandang lantai sebelum pandangannya
didongakkan ke arah Adif semula. “Aku dah sedar yang aku sebenarnya memang sukakan dia, Dif. Selama empat tahun puas aku menafikan, tapi sebenarnya aku sendiri terluka dengan apa yang aku buat. Hati aku sakit sebab kecewakan dia. Jiwa aku turut menderita dengan apa yang aku lakukan. Aku nak tebus balik. Aku akan dapatkan cinta Ziyad semula,” ucap Puteri nekad.

Adif tersenyum. “Akhirnya kau sedar jugak. Aku yakin kau akan dapat apa yang kau inginkan, sebab aku rasa Ziyad pun masih cintakan kau. Tapi jalan kau bukan mudah, Chem. Sebab lelaki yang bakal menjadi suami kau tu pernah terluka dan dilukakan oleh perempuan yang dia cinta. Tapi jangan mudah mengalah, sebab ini adalah jalan yang kau pilih.”

Puteri mengeluh perlahan. Kepalanya dianggukkan mengerti. “Aku tahu dan aku akan lakukan apa saja untuk meraih cinta dia semula. Apa saja, Dif.”

Adif mengangguk perlahan. “Aku doakan kau berjaya. Ada masalah, aku sentiasa ada untuk bantu kau.” Puteri tersenyum hambar. 

“Terima kasih kerana kau selalu ada untuk aku,” tutur Puteri perlahan.

Terharu mendengar kata-kata Adif tadi. Hampir menitik air mata yang mula bergenang di tubir matanya itu. “Aku tak sangka kau ada di sini, di waktu-waktu aku sangat memerlukan kau,” luah Puteri semakin sebak.

Adif tersenyum. “Kau tak payahlah nak sedih-sedih depan aku. Bukan ke aku ni penasihat tak bergaji kau,” seloroh Adif cuba menenangkan hati sahabat di hadapannya itu. Dia sendiri pun tidak menyangka yang dia akan ke situ. Sejak Puteri menghubunginya pagi tadi, hatinya sendiri pun tidak tenang memikirkan gadis itu.

Puteri tergelak kecil. “Beruntung aku ada kawan macam kau Dif. Sangat-sangat beruntung,” luahnya tulus. “Sebab tu kau kena hargai aku. Bukan senang nak jumpa lelaki yang baik macam aku ni, dear.” 

Adif pamer sengih. Keningnya dijongketkan.

Puteri mencemik. Matanya yang sudah berair itu digosok dengan jari. “Tak habis-habis dengan perasan kau tu. Dah, aku nak balik. Aku nak rehatkan kepala aku yang berserabut ni.” Alarm kereta ditekan. Pintu keretanya dibuka.

“Aik, bukan dah okey ke?” 

Tidak menjawab, Puteri terus masuk ke dalam perut kereta. Pintu kereta ditutup dan enjin dihidupkan. Adif dipandang semula.

“Thanks for today,” ucap Puteri. Selagi semua urusan tidak selesai, macam mana aku nak okey, Dif, gumamnya perlahan.

Mengerti yang Puteri malas untuk berbicara tentang hal tersebut, Adif mengangguk. Cermin tingkap yang dibuka separuh dipegang dengan kedua-dua tangannya. Tubuhnya ditundukkan sedikit memandang gadis itu.

“Take care dear. Masa drive jangan banyak fikir, bahaya,” pesan Adif pula.

Puteri mengangguk. “I will. Don’t worry.” Adif menegakkan tubuh semula. Pegangan tangannya
dilepaskan dan tangannya dibawa ke poket seluar.

“Bye, Dif. Assalamualaikum.”

Perlahan Adif anggukkan kepala sambil bibir membalas salam gadis itu. Melihat anggukan lelaki itu, Puteri terus beredar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...