Followers

Wednesday, 8 June 2016

Kerana Satu Janji - Bab 6









Bab 6








“KAU tak kerja lagi ke hari ni?” Elyna pandang Hannah dengan dahi berkerut. Sahabatnya yang masih berbaju tidur itu dipandang dari atas ke bawah. Ini hari ketiga Hannah melepak di kondonya.
Hannah menggeleng. Rambutnya yang agak serabai itu dikemaskan dan dibuat sanggul siput.
“Bising lagilah papa kau tu. Sudahlah kau tu kaki ponteng,” bebel Elyna selamba. Dia terus berjalan menuju ke dapur untuk mencari apa-apa yang boleh dibuat sarapan sebelum dia ke pejabat.
“Lantak dialah nak bising ke nak apa. Nak pecat terus pun aku tak kisah!”
“Amboi... Mulut tu.... Lepas tu kau nak buat apa? Nak tanam anggur yang selamanya tak berbuah ek?” bebel Elyna lagi. Air milo yang baru dibuat diletakkan di atas meja kemudian dituangkan ke dalam cawan.
“Elyn, aku yakin kalau aku berhenti dari syarikat tu pun aku masih mampu untuk survive. Kerja apa pun aku tak kisah asal boleh makan dan ada tempat tinggal. Pergi jauh dari KL ni pun aku sanggup,” ucap Hannah bersungguh. Tangannya dipelukkan ke tubuh.
Elyna yang baru saja ingin menuju ke dapur semula terus berpaling memandang sahabatnya dengan renungan yang tajam.
“Kau ni macam dah ada rancangan lain aje. Lain macam sangat bunyi ayat kau tadi,” soalnya cuak. Elyna faham benar dengan perangai berangin sahabatnya itu. Jika dia ingin melakukan sesuatu, dia pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh biar pun terpaksa melalui pelbagai halangan.
Hannah hanya membatukan diri. Dia langsung melabuhkan punggungnya ke kerusi. Dengan selamba, air milo yang dihidangkan oleh Elyna dihirup perlahan sambil membuang pandang ke meja.
“Hannah...” sapa Elyna perlahan apabila melihat Hannah semakin jauh berkhayal.
Hannah berpaling. Kepalanya diangkatkan.
“Kau nak buat apa sebenarnya ni? Kau jangan nak buat yang bukan-bukan,” sambung Elyna lagi dengan nada amaran. Mengingatkan Hannah.
Hannah tergelak. “Aku tak ada rancangan lagi. Kalau payah-payah sangat aku ikut aje idea senget kau tu,”  balasnya semakin selamba.
“Kau biar betul!” Hampir tersedak Elyna dengan jawapan yang diberikan Hannah. Sungguh dia tidak menyangka Hannah turut melayan idea gila yang diberikannya semalam.
Hannah mengangguk mengiakan. “So, tolonglah fikir-fikirkan calon untuk aku. Cari yang biasa-biasa dah lah. Kalau cari yang luar biasa susah pulak aku nanti,” balasnya sambil tergelak sendiri.
 “Aku cakap main-main ajelah malam tadi tu. Kau ambil serius ni kenapa?” Elyna kalut. Memang haru kalau Hannah mengambil serius kata-katanya malam semalam. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Nah, sekarang memang buruk pun, sebab Hannah mahu juga merealisasikan ideanya. Kalau datang perangai luar biasa Hannah, buntu juga dia hendak berhadapan dengan amukan Datin Umairah.
“Kau main-main, tapi aku serius sekarang ni. Aku nak buat cerita-cerita drama yang kau tengok tu jadi realiti,” balas Hannah dengan senyum tersungging di bibir. Dia dah fikir masak-masak. Malam tadi pun dia dah macam burung hantu memikirkan baik buruk idea senget Elyna. Kalau itu saja jalan yang dia ada, dia akan lakukan walau bagaimanapun caranya.
“Hannah...”
Hannah terus angkat tangan menahan Elyna daripada terus bersuara. “Kau tak payah nak halang aku lagi. Aku dah nekad ni,” jelasnya dengan tegas. Dan dia akan pastikan drama lakonan yang dicadangkan Elyna menjadi kenyataan untuk dirinya agar dapat meloloskan diri daripada perancangan yang telah dibuat Datin Umairah dan Datuk Mazlan.
Elyna menggeleng kesal. Kepalanya ditundukkan ke meja. Memang mulut dia jenis tak berlapik. Tak fasal-fasal Hannah mengikut cadangannya. Dia tahu Hannah terdesak sebab tu dia tak fikir panjang tapi takkan dia perlu biarkan? Aduhlah... Hannah ni... Sekarang ni bukan kau saja yang serabut tapi dengan aku sekali ikut pening! Bebel Elyna dalam hati.
“Hannah, ini tentang masa depan kau. Cuba kau fikir balik keputusan kau tu. Aku tak nak kau silap langkah. Okey, kalau lelaki tu setuju nak kahwin tapi macam mana kalau sampai masa untuk bercerai dia tak nak ceraikan kau? Atau, macam mana kalau dia tuntut hak dia sebagai seorang suami? Walaupun kahwin konon ala-ala kontrak tapi ikatan tu sah di sisi Allah. Kau kena ingat tu.” Setelah lama terdiam, akhirnya Elyna bersuara. Panjang lebar dia  bersyarah mengingatkan sahabatnya itu.
“Kau kan ada. Inilah untungnya aku berkawan dengan peguam berkaliber. Buat agreement siap-siap. Masukkan semua clause yang penting. Biar setebal novel yang kau baca tu pun... yang penting kebajikan aku terbela. Jangan kau lebihkan mamat tu sudahlah,” balas Hannah selamba, seolah tidak terkesan langsung dengan kata-kata Elyna tadi.
“Ianya bukan semudah itu, Hannah. Perjanjian tu sekadar ikatan di mulut dan di atas kertas, tapi ikatan kau dengan dia tu ikatan di hadapan Allah. Dalam hukum kita ni mana ada kahwin kontrak. Salah tahu!” sambung Elyna lagi. Dia benar-benar menyesal dengan gurauannya semalam tentang perkahwinan kontrak. Nampaknya Hannah benar-benar bersungguh untuk meneruskan idea itu.
“Lantaklah Elyn, yang penting aku tak kahwin dengan Azryl. Muktamad!” Kali ini semakin keras Hannah bersuara. Seboleh-bolehnya dia berusaha untuk menggagalkan perkahwinannya dengan lelaki buaya darat itu.
Elyna hanya mampu menggeleng kepalanya perlahan. Apabila Hannah dah buat keputusan, tak payahlah nak kata apa lagi. Sia-sia saja. 
“Eh dah lah, aku nak pergi dulu. Tak kerja pula aku kalau terus layan kau ni. Aku ada appointment dengan cikgu tu untuk kes adik dia.” Buru-buru Elyna bersuara sebaik terpandangkan jam yang sudah menginjak ke pukul 9.00 pagi. Melayan celoteh Hannah sampai terlupa temujanjinya pagi itu.
Tidak mengendahkan kata-kata sahabatnya itu, Hannah hanya mengangguk sahaja.
Elyna terus bangun dari duduknya dan berlenggang menuju ke sofa. Beg tangannya dicapai. “Kau nak keluar tak lepas ni?” Soalnya sebaik berpaling memandang Hannah semula.
Hannah yang sedang menghirup air di tangan mengangguk lagi. Cawan diletakkan di atas meja semula.
“Kunci nanti kau bawak eh. Dah settle urusan aku dengan cikgu tu aku call,” pesan Elyna pula dan terus berjalan menuju ke pintu. 
“Tak apa, nanti aku singgah ofis kau. Lagipun handphone aku dah jahanam dimakan dinding,” ucapnya perlahan mengenangkan nasib malang telefon bimbitnya yang telah menjadi mangsa amarahnya semalam.
Mencerlung mata Elyna memandang sahabatnya itu. “Lagi sekali?” Suara Elyna sudah naik senada.
Hannah tergelak kecil kemudian mengangguk. Langsung tidak rasa bersalah dengan apa yang berlaku. 
Elyna menggeleng. “Nasib baik kau tu orang berduit. Nak beli handphone hari-hari pun bukan masalah bagi kau, tapi cuba-cubalah control sikit marah kau tu,” bebel Elyna lagi.
“Eh, kau nak cepat tadi kan? Baik kau pergi sekarang.” Pantas Hannah bersuara, malas hendak mendengar Elyna membebel lebih panjang lebar lagi. Letih kalau asyik kena leter aje.
Faham dengan maksud kata-kata sahabatnya itu, Elyna hanya menggeleng sahaja. Tombol pintu dipusing dan pintu dikuak.  “Babe, kalau kau lapar kau carilah makan sendiri eh. Aku tak sempat nak masak apa-apa,” pesannya lagi dan terus melangkah keluar.
Hannah mencemik. “Wei! Tahulah aku nanti. Aku bukan budak kecik lagi,” bidasnya geram.
Elyna tersengih. Pintu ditutup dan dia terus beredar. Kalau mood Hannah sedang tunggang langgang begitu baik usah dilayan, kalau tidak harus macam-macam perkataan keluar dari mulutnya.

“JADI macam mana Cik Elyna?” Wajah peguam muda itu ditatap tepat dengan penuh mengharap oleh Ilham.
Elyna melepaskan keluhan berat. Fail di tangannya ditutup kembali. “Saya dah berbincang dengan peguam dari syarikat tu. Menurut peguam mereka, kalau kita nak kes ni ditarik balik kita diminta membayar tuntutan mereka. Sekiranya kita gagal, maka perbicaraan akan diteruskan,” jelasnya memperincikan situasi terkini kes mereka.
Ilham terdiam. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Lelah. Memang dia sudah lelah memikir tentang hal tersebut. “Berapa tuntutan yang syarikat tu minta?” soalnya setelah lama membisu.
Elyna berdeham. “You’ll be surprised, Encik Ilham,” balasnya lagi.
It’s okay. Please tell me.” Ilham terus diburu perasaan ingin tahu apabila melihatkan reaksi peguam di hadapannya itu.
Elyna  membetulkan duduknya. Nafasnya dihela berat. “Hampir RM100 ribu termasuk semua kos yang terlibat,” ucapnya perlahan dengan merenung tepat ke wajah anak guamannya itu.
Ilham tercengang. “What? Almost 100 thousand?” Suaranya jadi lantang. Memang dia terkejut mendengar jumlah tuntutan yang dimaklumkan oleh Elyna tadi. Gila! Takkan sebanyak itu! Mana aku nak cari duit sebanyak itu? Jauh di sudut hatinya dia menjerit sendiri.
Elyna mengangguk.
“Tak masuk akal!” bidasnya keras.
“Yup betul tapi mereka defendan. They have the right,” Elyna mengangguk dan mengiakan.
Ilham terdiam lagi. Semakin buntu dan sesak fikirannya. Jangankan 100 ribu, separuh daripada itu pun dia tak ada melainkan dia cagarkan tanah pusaka peninggalan arwah abahnya, sepertimana cadangan yang telah diusulkan oleh emaknya kelmarin.
“Jadi apa lagi jalan yang kita ada Cik Elyna?” Suara Ilham sudah bernada lemah.
“Teruskan perbicaraan, cari saksi dan bukti. But it will take some time,” jelas Elyna lagi dengan tenang, dengan harapan boleh mengembalikan semangat Ilham yang kelihatan hampir rebah dengan kes itu.
Sekali lagi Ilham mengeluh. Mana nak cari semua itu. Rambutnya diraup kasar. Sungguh dia bingung dan mati akal!
Kenapa semua ini yang harus dilaluinya? Kenapa Izwan terlibat dengan semua ini? Mana dia hendak cari semua tu dalam masa terdekat? Bagaimana pula dengan Suraya? Sanggupkah gadis itu menunggu lagi seandainya kes Izwan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan? Kenapalah aku perlu lalui semua ni? Bilalah semua ni nak berakhir agaknya? Gumamnya sendirian di hati.
Selesai berbincang dan mendapat maklumat terkini, Ilham melangkah keluar dari bilik itu bersama perasaan yang sarat dengan kesedihan. Harapannya untuk membebaskan Izwan daripada tuduhan semakin menipis seandainya dia tidak dapat menuruti segala penerangan peguamnya itu.
Wajah mendung Ilham disedari oleh Hannah yang menanti di sofa menunggu di luar bilik Elyna. Tidak betah di rumah, Sejam selepas Elyna ke pejabat, dia juga bergegas keluar dari kondo sahabatnya.
“Siapa tadi tu? Masalah semacam je aku tengok.” Sudah satu jam dia menunggu di situ sampaikan nak terlelap di ruang menunggu. Ikutkan hati nak tinggalkan saja kunci rumah Elyna pada penyambut tetamu, tapi memikirkan dia pun tak tahu nak ke mana selepas itu, dia terus menunggu.
Hannah terus duduk sambil matanya tajam memerhati Elyna yang sedang leka membelek fail di tangan.
Elyna mendongak. “Kau tak kenal atau buat-buat tak kenal?” Sinis dia menyoal.
Hannah jongket kening. Kepalanya digelengkan perlahan. Tanda dia tidak mengerti akan maksud sahabatnya itu.
“Hannah, kau ni memang jenis manusia lupa daratan kan? Sudahlah masa dia selamatkan kau dulu langsung kau tak ucap terima kasih pun!” Keras Elyna bersuara. Fail di tangannya terus ditutup. Mulalah rasa macam nak brainwash orang aje ni.
Hannah tercengang. “What’s up ni babe? Aku tak fahamlah.” Dia terkejut dengan reaksi Elyna yang tiba-tiba kelihatan berang dengannya.
Elyna bangun dari duduknya dan terus menghampiri sahabatnya itu. Bahu Hannah ditepuk agak kuat. “Meh aku nak bagi kau faham. Lelaki tadi tu namanya Mohd Ilham Hazri Bin Abdul Manaf and he’s a teacher,” balas Elyna menjelaskan perihal Ilham kepada sahabatnya itu dengan suara yang turut senada.
Hannah mencemik. “So what?” Soalnya seakan mengejek.
“Dia itulah lelaki yang selamatkan kau masa kau hampir nak mati masa kat Janda Baik hari tu!” balas Elyna keras. Kepala sahabatnya itu diketuk perlahan.
Hannah terjerit kecil. Sahabatnya itu dijeling dengan ekor mata. “Kejam sangatlah kalau hal mati disebut-sebut,” bebelnya geram.
It’s true Hannah, kau sendiri kata yang kau  hampir mati masa tu,” balas Elyna mengingatkan kembali peristiwa di Janda Baik tempoh hari. Dua kali dia bercerita tentang Ilham, kalau lepas ni Hannah tak ingat lagi, memang Melayu selalu lupalah ni. Hannah lah orangnya.
“Okey, fine. Aku tahu aku salah tapi tak payahlah nak bela dia sangat kut,” bebel Hannah dengan perasaan jengkel. 
“Mana ada aku bela dia tapi aku nak kau sedar. Tak habis-habis dengan sombong kau tu,” sindir Elyna sinis. Bila dah geram dia sendiri pun tak sedar apa yang diucapkan.
“Elyn!”
Serious babe, kau ni kadang-kadang sama aje macam mama kau. Kerek nak mampus!” kutuk Elyna lagi lebih selamba dari tadi.
Hannah mendengus keras. Panas hati tiba-tiba.
Sorry Hannah, tapi  itulah kenyataannya. Aku masih geram lagi dengan kau sebab tak reti nak menghargai jasa orang. Salah ke nak ucap terima kasih?” Elyna masih lagi berang dengan perangai Hannah. Berpendidikan tinggi, tapi tidak tahu berterima kasih.
Hannah terdiam.
“Memang nyawa kau bukan dia yang pegang tapi dia penyelamat kau tahu tak,” asak Elyna terus-terusan bagi menyedarkan sahabatnya itu.
“Sudahlah tak payah cakap lagi fasal tu. Lain kali kalau aku jumpa dia lagi, aku akan buat apa yang kau suruh tu.” Akhirnya Hannah mengalah. Dia pun dah kecut perut melihat Elyna ketika itu. Nampaknya sahabatnya itu bersungguh-sungguh memarahinya.
Elyna menggeleng. “Kau jangan ucap terima kasih tu sebab aku yang suruh. Ucapkan dengan hati yang ikhlas.”
Hannah terus bangun dari duduknya. “Kau ni semuanya tak betul. Okeylah aku nak blah dulu. Ini kunci rumah kau.” Kunci rumah terus diletakkan di atas meja. Malas dia hendak mendengar Elyna bersyarah macam mak tiri di hadapannya begitu.
“Hei, kau nak ke mana tu?” tanya Elyna sebaik sahabatnya itu sudah berada di muka pintu.
“Entah. Pergilah mana-mana yang kaki aku ni nak pergi,” balasnya selamba.
Elyna menggeleng. “Jom aku teman kau jalan-jalan ikut ‘kaki’  kau tu,” gurau Elyna cuba menarik kembali perhatian Hannah.
“Tak payahlah, kau pun sibuk. Nanti tak settle kes adik cikgu tu kau salahkan aku pulak,” ucap Hannah berjauh hati.  Mahu tak terasa dengan kata-kata sahabatnya tadi.
“Merajuk dengan aku, konon!” kutuk Elyna selamba.
Hannah mencemik. Tombol pintu dipulas dan pintu dikuak. Baru sahaja kakinya ingin melangkah keluar, Elyna menjerit lagi.
“Tunggulah mak cik, aku nak ikut kau!”
            Tidak menjawab, Hannah terus melangkah keluar dan diikuti oleh Elyna yang buru-buru mendapatkannya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...