Followers

Wednesday, 1 June 2016

Misi Curi Hati Dia - Bab 10

SEBAIK sahaja pintu biliknya ditutup, Fathia terus berjalan menuju ke lif kemudian butang turun ditekan. Apabila pintu lif terbuka, dia terus sahaja memasuki perut lif dan butang G ditekan pula. Sampai saja ke tingkat yang di tuju, pintu lif itu terbuka semula. Fathia terus saja keluar. Baru saja beberapa langkah Fathia berjalan tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil. Fathia berpaling. Langkahnya terus terhenti dan dia terkedu di situ.
“Azri” perlahan Fathia bersuara. Sudah tak berkelip matanya memandang lelaki itu. Bagaimana Azri tahu dia di situ?
“Sampai hati awak tak call malah tak jawab panggilan saya Tia,” tutur Azri perlahan. Matanya tajam memandang Fathia yang sedang terpaku di hadapannya.
Fathia terdiam. Nafasnya ditarik berat.
“Sorry Azri saya betul-betul sibuk,” perlahan Fathia membalas. Melihat kelat riak di wajah lelaki itu, air liur yang ditelan juga terasa payau sahaja. Memang dia bersalah. Sejak semalam lagi lelaki itu menelefonnya namun tiada satu pun panggilannya berjawab. Bukan dia tidak sudi tetapi memang dia tiada niat langsung untuk bertemu Azri lagi.
“Nasib baik saya jumpa Elly malam tadi kalau tidak saya pun tak tahu yang awak sudah berada di KL dan berada di sini sekarang Tia,” luah Azri lagi.
“Azri saya dah beritahu awak sebelum ini kan kedatangan saya ke sini kerana urusan keluarga,” lembut Fathia bersuara.
“Tia takkan lah sekejap pun awak tak boleh luangkan masa untuk berjumpa dengan saya? Awak sendiri kata kan kita ni kawan atau awak memang dah tak nak jumpa saya lagi,” sinis Azri melepaskan isi hati yang terbuku sedari malam tadi.
Fathia mengeluh perlahan. Terasa pula dengan kata-kata lelaki itu tadi. Bersalahkah dia? Soalnya berkali-kali dalam hati.
“Sorry Azri saya bukan tak nak jumpa awak tapi masa saya di sini agak terhad,” lembut Fathia menafikan walau memang itulah hakikat yang sebenarnya.
Azri terdiam dan masih berdiri kaku di hadapan perempuan itu.
“Jom temankan saya breakfast. Sambil makan kita boleh berbual lagi,” pujuk Fathia lembut. Senyuman manis dihulurkan kepada lelaki di hadapannya itu.
Azri masih membatu di situ. Dia benar-benar terasa dengan apa yang Fathia lakukan. Dia menangguhkan urusan kerja semata-mata untuk bertemu perempuan itu tapi Fathia pula seolah-olah cuba menjauhkan diri darinya. Azri mengeluh perlahan. Dari pukul tujuh pagi tadi dia sudah menunggu Fathia di situ. Seperti orang bodoh saja rasanya. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia perlu berkelakuan begitu. Azri.Azri.kau memang bodoh! Kutuknya pada diri sendiri.
“Azri” panggil Fathia perlahan. Melihat kelat air muka lelaki itu semakin kuat rasa bersalah menghentam hatinya.
“Please Azri janganlah macam tu. Saya minta maaf okey,” semakin lembut Fathia memujuk.
Azri menarik nafas perlahan dan akhirnya dia mengangguk. Sesungguhnya dia kalah dengan senyuman dan bisikan lembut itu. Azri kau ni memang tak boleh harap. Pantang dengar perempuan merayu sikit dah cair. Cubalah jual mahal sikit! Bisik hatinya lagi mengutuk kelemahan diri.
Fathia tersenyum. “Jom,” ajaknya lagi.
“Hari ini saya belanja awak makan. Awak boleh makan apa saja yang ada di sini. Nak makan semua pun boleh,” usik Fathia sambil tersenyum. Sengaja hendak memancing mood lelaki itu.
“Awak ingat saya tong sampah ke nak suruh saya makan semua yang ada kat sini,” bebel Azri geram sambil menguntum senyum segaris.
Semakin lebar senyum Fathia melihat senyuman di bibir lelaki itu. “Nah! Akhirnya awak senyum juga,” usik Fathia nakal.
“Dengan awak bukannya boleh merajuk lama-lama sebab awak memang pandai memanipulasikan keadaan,” kutuk Azri selamba.
Fathia tergelak lepas.
“Okeylah tu. Maknanya lambat lagilah awak nak tua kalau bersama saya sebab setiap kali awak nak marah mesti awak akan tersenyum,” usik Fathia lagi.
Azri mencemik. “Ialah Cik Tia,” balas Azri malas hendak memanjangkan cerita. Dia terus mengekor di sebelah Fathia untuk mengambil makanan.
Pinggan yang tersusun di atas rak diambil dan dihulurkan kepada Fathia. Kemudian diambil lagi satu untuknya.
“Nak nasi lemak ke nasi minyak?” soal Azri sambil memandang Fathia sekilas.
“Saya nak nasi minyak,” balas Fathia sambil tersenyum.
Azri mengangguk kemudian dicedokkan nasi minyak untuk perempuan di sebelahnya itu.
“Cukup Azri saya tak nak banyak-banyak,” tutur Fathia sambil terjerit kecil. Tangannya diangkatkan meminta Azri berhenti menyendukkan nasi ke dalam pinggannya.
Azri tersengih. Di dalam hatinya sudah mula memikirkan sesuatu yang nakal.
“Makan banyak-banyak Tia, nanti awak nak jalan jauh,” ucap Azri selamba sambil mencedokkan lagi nasi minyak tersebut.
“Azri cukup!” jerit Fathia perlahan sambil pinggannya di alihkan jauh sedikit.
Azri tergelak. Senduk nasi diletakkan semula ke tempatnya. Dia bukannya serius pun tapi sengaja hendak mengusik.
“Awak nak ni?” soal Azri lagi sambil menunjukkan rendang ayam pula.
Fathia mengangguk. “Nak tapi sikit aje,” balas Fathia mengingatkan.
Azri mengangguk dan terus mencedokkan rendang ayam tersebut dan diletakkan ke dalam pinggan perempuan itu.
“Yang ni nak tak?” Baked potato ditunjukkan pula.
Fathia tersengih. Malu pula rasanya kerana semua makanannya diambilkan oleh lelaki itu tetapi dia memang tak sangka Azri seorang yang sangat gentleman. Caring pun ya jugak. Sudahlah Tia, tiba-tiba kau memuji Azri kenapa? Dah jatuh hati? Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.
“Nak ke tak nak ni?” soal Azri sekali lagi. Bibir tersenyum macam nak tapi kepala menggeleng macam tak nak.
“Nak satu,”
Azri terus mengambil seketul baked potato dan diletakkan ke pinggan Fathia.
“Azri awak nak ni tak?” soal Fathia pula sambil menunjukkan ke arah ayam goreng tepung di hadapannya. Sedari tadi Azri sahaja bertanya kali ini biar dialah pula yang bermanis mulut.
“Boleh juga. Letak dalam pinggan awak dulu nanti saya ambil,”
Fathia mengangguk.
Selesai mengambil makanan mereka terus mengambil tempat di satu sudut restoran hotel tersebut.
“Awak nak air apa biar saya ambilkan,” soal Azri sebaik meletakkan pinggannya ke atas meja.
Fathia terdiam. Memikir hendak minum apa.
“Tia,” panggil Azri perlahan apabila Fathia hanya diam membisu sahaja di tempat duduknya.
“Fresh orange lah,”
“Ingatkan nak air apa tadi sampai berkerut dahi tu memikir. Saya dah risau awak minta air yang bukan-bukan. Jenuh saya nak mencari nanti,” giat Azri sambil tergelak kecil.
Fathia turut tergelak. Malu pula rasanya kerana Azri memerhati saja setiap tindak-tanduknya.
Tidak menunggu Azri terus berlalu dari situ menuju ke tempat air diletakkan. Tidak lama kemudian dia kembali semula ke meja mereka tadi.
“Air awak,” Azri menghulurkan gelas di tangannya. Hulurannya disambut. Kerusinya di tarik dan dia terus duduk.
Thank you.”
Azri hanya tersenyum saja. Sudu dan garpu di dalam pinggan diambil kemudian hidangannya terus dinikmati. “Bila awak nak balik JB?”
Fathia mendongak. “Petang ni saya baliklah,”
“So, lepas ni awak nak buat apa?” soal Azri perlahan sambil menolak pinggannya ke tengah sedikit.
Fathia terdiam. Wajah Azri di pandang tak beriak. Rasanya dia perlu berterus terang dengan Azri tentang kedatangannya ke situ. Lagi pula dia tak mahu lelaki itu tersalah faham atau menganggap hubungan mereka lebih dari kawan. Dia tak mahu mencambahkan rasa dalam hati lelaki itu. Walaupun dia akui dia senang berkawan dengan Azri tetapi dia takut perasaan yang ada itu akan bercambah ke arah lain.
“Saya nak jumpa anak saya sebelum saya balik ke JB,” perlahan Fathia bersuara. Berhati-hati kata-kata itu diluahkan.
Azri tercengang. Wajah Fathia dipandang tak berkelip. Keadaan menjadi sepi seketika.
“Anak?” soal Azri memohon kepastian. Bukan setakat terkejut tetapi degupan jantungnya juga terasa hendak terhenti sebaik mendengar kata-kata Fathia tadi. Gurauan apakah yang perempuan di sebelahnya itu cuba lakukan tapi serius memang tak kelakar pun.
Fathia mengangguk.
“Ya Azri saya datang ke sini kerana nak jumpa anak saya. Semalam hari jadi dia,” jujur Fathia mengaku.
Azri terdiam lama kemudian satu keluhan dilepaskan. Kenapa tiba-tiba dia rasa kecewa? Kenapa tiba-tiba dia rasa seperti patah hati? Kenapa tiba-tiba dia rasa seperti hendak menapak pergi dari situ? Tia awak memang buat saya sakit jiwa tiba-tiba!
“Saya tak tahu pun awak dah kahwin Tia,” perlahan dan lemah Azri bersuara.
“Panjang ceritanya Azri tapi cukuplah awak tahu saya mempunyai seoarang anak lelaki yang berumur 6 tahun,”
Azri terdiam lagi. Anak lelaki berumur 6 tahun? Soalnya dalam hati. Antara percaya dengan tidak. Tapi riak pada wajah Fathia menunjukkan yang dia bukannya bergurau. Argh…entah kenapa dadanya berdegup lagi. Semakin lama semakin laju dan serasa seperti hendak pecah sahaja. Sepantas kilat air masak di atas meja dicapai dan diteguk bagi meredakan perasaannya ketika itu.
Baru saja Azri ingin bertanya lagi, telefon bimbit Fathia berbunyi. Fathia terus menyambut panggilan tersebut. “Waalaikumussalam,”
“Abang bawak Emil jumpa Tia sebelum Tia balik ya. Tia tengah tunggu Elly sekarang. Elly sampai aje Tia terus gerak jumpa abang,” Fathia terdiam lagi. Dia hanya mendengar saja apa yang diperkatakan oleh Khairul ditalian. Tiba-tiba Fathia mengeluh perlahan.
“Bukan ke malam tadi abang kata flight Emil petang? Tia nak jumpa dia sekejap aje sebelum Tia balik. Abang tunggu Tia boleh tak?”
Mendengar kata-kata Khairul, Fathia terus berpaling memandang Azri. “Azri awak free tak sekarang? Saya nak minta tolong sikit,”
Tidak menjawab Azri hanya mengangguk sahaja.
“Tolong hantarkan saya ke Bukit Kiara sekejap, boleh tak?” pinta Fathia mengharap.
Sekali lagi Azri mengangguk. Melihat anggukan Azri, Fathia menyambung perbualannya semula.
“Abang tunggu dekat sana, Tia datang sekarang,” sebaik menuturkan kata-katanya itu, talian terus dimatikan.
“Jom Azri kalau lambat saya takut saya tak sempat jumpa Emil,” tak bertangguh Fathia terus bangun dari duduknya.
Azri menurut. Dia sendiri sudah tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya namun persoalan itu tidak terluah. Pelik juga melihat sikap Fathia yang tiba-tiba berubah riak. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...