BULAT mata Puteri memandang Encik Syed Rahman di hadapannya. Terkejut mendengar cadangan orang tuanya itu. Pandangannya dipalingkan ke arah Puan Syarifah Zainora di sebelah papanya yang sedang tersenyum dengan kening terangkat.
“Macam mana?” soal Encik Syed Rahman lagi.
Puteri masih diam. Tidak tahu jawapan yang bagaimana harus diberikan.
“Uncle Akbar baru melamar dan papa serahkan kepada Puteri untuk buat keputusan. Tapi, papa harap anak papa buat keputusan yang bijak. Anak Uncle Akbar, Ziyad tu baik orangnya dan sebagai orang tua, papa memang berkenan untuk jadikan dia menantu. Lagipun, papa yakin Ziyad mampu jaga dan
bimbing Puteri dunia akhirat. Pada papa, ikatan ni secara tak langsung dapat merapatkan kembali hubungan kekeluargaan yang pernah terjalin dulu.” Tenang Encik Syed Rahman meluahkan tentang hasrat hatinya apabila puterinya itu hanya diam membatu.
Puteri berdeham. Macam manalah dia hendak berkahwin dengan Ziyad kalau hubungan mereka macam gunung berapi sekarang? Macam mana mereka hendak sebumbung kalau muka dia pun Ziyad tak sudi hendak pandang? Takkan seorang ke hulu dan seorang ke hilir? Aduh! Pening pula hendak memikirkan tentang lamaran orang tua Ziyad dan harapan orang tuanya itu.
“Chem bukan tak nak, pa. Tapi biarlah kami berkahwin dengan pilihan sendiri. Lagipun, Ziyad belum tentu suka Chem,” tolak Puteri lembut.
“Sayang, perasaan tu boleh dipupuk lepas kahwin. Lagipun, bercinta lepas kahwin lagi seronok dan adventure,” pujuk Puan Syarifah Zainora pula sambil tersengih-sengih.
Puteri mengeluh perlahan. Bercinta selepas kahwin? Masalahnya apa yang berlaku antaranya dengan Ziyad bukan perkara kecil. Maruah Ziyad pernah dipijak-pijak suatu masa dahulu. Tak mungkin Ziyad boleh melupakan perkara itu begitu saja dan tak mungkin Ziyad boleh menerimanya dengan
begitu mudah.
“Ma, biarlah kami berkahwin dengan pilihan masing-masing. Mama dengan papa tak percayakan Chem ke sampai nak aturkan perkahwinan untuk Chem? Lagipun, Chem belum bersedia nak kahwin.”
Encik Syed Rahman melepaskan keluhan. Anak gadisnya itu dipandang lama. “Papa bukan mengaturkan, tapi ini cadangan dan harapan seorang bapa. Untuk melihat anak gadisnya hidup bahagia bersama lelaki yang dia yakin mampu menjaga permata hatinya. Okey, sekarang papa nak tanya, Puteri dah ada pilihan sendiri ke?” soal Encik Syed Rahman apabila anak gadisnya itu masih duduk mematung di hadapannya.
Puteri terdiam. Ini yang susah. Ingatkan kata-katanya tadi boleh papa anggapkan sebagai penolakan, tapi itu pula yang papa tanya. Pilihan? Manalah ada lelaki yang rapat dengannya sekarang kecuali mamat jiwang karat yang seorang itu. Tapi, rasanya Adif pun tak rela nak ambil dia sebagai isteri. Adif selalu kata dia ni menghabiskan beras aje! Adif memang jenis mulut puaka. Kalau nak mengata atau mengutuk, memang ikut sedap mulut dia aje, tapi lelaki itulah yang paling dia sayang. Ya, terlalu sayang. Sebagai sahabat baik dunia dan akhirat. Dengan Adif dia tak perlu berpura-pura menjadi wanita Melayu terakhir atau ‘control ayu’. Dia hanya perlu jadi dirinya sendiri sahaja. Jadi Puteri Chempaka Emelyn yang sebenar.
“Mama tahu anak mama masih single dan available lagi, kan?” usik Puan Syarifah Zainora lembut. Anak gadis yang masih termangu di hadapannya itu dipandang dengan senyuman lebar di bibir.
Puteri mencebik. Pandai aje mama teka. Yalah, dia pun mana ada keluar dengan mana-mana lelaki selain Adif dan mama memang tahu sangat tentang itu. Aduh! Jawapan apa lagi yang dia nak beri? Petik nama Adif? Ya ampun, sungguh dia tidak berani. Kalau Adif tahu, mahu sampai sepuluh keturunan dia akan mengungkit perkara yang sama. Kalau betul jadi kahwin, tentu belum sampai sebulan dia dah masuk hospital mental kes penderaan emosi sebab kena bebel dengan Adif tak henti-henti. Mamat sorang tu bukannya boleh kira. Tiba-tiba Puteri tergelak dalam hati. Ya Allah, sampai macam itu sekali dianggapkan Adif. Entah-entah, Adif itulah satu-satunya lelaki yang paling charming dan romantik yang masih hidup di bumi Allah ini yang dah semakin pupus dengan lelaki begitu. Nama pun mat bunga. Ahaks!
“Ha, tiba-tiba tersengih pulak tu kenapa?” sergah Puan Syarifah Zainora perlahan. Bahu anak gadisnya itu ditepuk.
Tersentak, Puteri kalihkan wajah memandang mamanya. Keningnya dijongketkan.
“Mama tanya, Puteri tersengih tu kenapa? Suka dengan pilihan kami?” Laju Puteri menggeleng.
“Bukanlah, ma.”
“Habis tu?”
“Tak ada apa-apa.”
“Cadangan kami macam mana?” Encik Syed Rahman pula mencelah.
Sekali lagi Puteri berdeham. “Biar Chem fikir dulu pa. Pasal kahwin ni kena kaji dalam-dalam dulu sebelum buat keputusan,” balasnya lambat-lambat. Hendak terus bersetuju pun dia takut. Lelaki yang dicadangkan papanya adalah Ziyad, bukan orang lain. Hurm... kalau orang lain pun belum tentu dia nak!
“Hurm... fikir baik-baik. Kami bukan nak memaksa,” sambung Encik Syed Rahman lagi.
“Betul. Fikir baik-baik, tapi janganlah sampai Puteri cari lelaki yang entah siapa-siapa jadi suami pulak nanti, sebab tak sukakan pilihan kami,” pesan Puan Syarifah Zainora pula.
Puteri tergelak. “Apalah mama ni. Takkan Chem nak main rembat aje mana-mana lelaki jadi suami. Tak rela!” balasnya dengan tawa yang masih bersisa.
“Mama cakap aje. Tengok drama-drama dekat TV tu, banyak sangat cerita-cerita macam tu. Jangan Puteri ikut cara-cara macam tu sudah.”
Tawa Puteri meletus lagi. Ada pulak mamanya hendak samakan hidupnya dengan drama-drama dalam TV tu semua. “Itu tak mungkin terjadi. Kalau Chem terdesak sangat pun, mesti Chem suruh Adif aje meminang.”
Puan Syarifah Zainora mendengus. Bahu anak gadisnya ditepuk agak kuat.
“Maa!” jerit Puteri perlahan. Bahunya diusap-usap. Mamanya itu dikerling sekilas.
“Suka buat mama dengan papa susah hati,” bebel Puan Syarifah Zainora.
“Adif okey apa,” bela Puteri pula.
“Kalau betul-betul sukakan Adif, mama tak kisah, tapi jangan nak ajar Adif buat perkara yang tak elok macam tu. Ingat Adif tak ada perasaan?” marah Puan Syarifah Zainora.
Puteri mencemik. Mama ni sayang sangat dengan Adif. Tengok tu, bukan main lagi membela Adif. Benci! gumamnya sendiri.
PUTERI MENGELUH perlahan. Sambil mundar-mandir di dalam bilik, otaknya ligat mencerna kata-kata papa dan mamanya tadi. Berkahwin dengan Ziyad? Hurm... entah! Jadi apalah nanti kalau sungguh mereka bersatu? Yang peliknya, sudah zaman milenium begini pun masih ada lagi kisah kahwin pilihan keluarga. Argh! Berat betul! Eh, tapi ini bukan kahwin paksa, sebab papa masih lagi kasi can padanya untuk berfikir baik-baik.
Penat bermundar-mandir, dia terus duduk di birai katil. Telefon bimbit di atas meja solek dikerling.
“Adif!” Tiba-tiba nama itu terucap di bibir. Puteri terus bangun. IPhone 5 tersebut dicapai dan nombor Adif didail. Tidak berjawab. Didail lagi. Masih tak berjawab. Dengusan keras dilepaskan.
“Manalah kau ni Dif. Aku tengah susah ni,” bebel Puteri dalam hati. Dia terus berjalan ke balkoni biliknya. Pintu gelangsar kaca ditolak dan dia terus bersandar di sebalik dinding biliknya. Matanya dihalakan ke arah kolam renang yang menghadap biliknya di tingkat dua itu. Mendengar keriuhan anak-anak abang long dan kak ngah yang sedang bermandi-manda di situ, Puteri tersenyum. Seronok sangat. Kalau bukan kerana kepala yang tengah berserabut sekarang, harus dengan dia pun ikut berendam sekali. Entah-entah dia yang melebih-lebih daripada budak-budak itu semua. Gelaknya
sendiri.
Sedang mata leka melayan kerenah anak-anak saudara, telefon bimbitnya berbunyi. Tangannya terus diangkat. Skrin telefon bimbit dikerling. Adif. Tak bertangguh, panggilan Adif terus dijawab.
“Membuta erk?” marahnya.
Adif tergelak. “Biasalah, hari cuti, kan.”
“Wei, mamat, sekarang dah pukul 11.00 pagilah. Tak reti-reti nak bangun?” bebel Puteri keras.
“Uish, kau ni angin semacam aje pagi ni apa hal? Aku dah bangunlah ni, sebab tu telefon kau. Kalau tidak, tak kuasa. Tidur lebih baik,” balas Adif dengan gelak yang masih bersisa.
“Mesti Subuh pun hanyut tu,” sindir Puteri sinis.
“Aku tidur lepas subuhlah, dear dan alhamdulillah, amal aku untuk pagi ni masih tak luak. Sempat lagilah aku berdoa dan minta ampun dengan Allah. Siap doakan untuk kau sekali,” balas Adif selamba.
Puteri terdiam. Terasa!
“Wei, kau telefon aku ni apa hal? Saja-saja nak kejutkan aku dan check aku sembahyang ke tak eh?” soal Adif malas-malas.
Puteri mendengus. “Tak ada maknanyalah. Wei, Dif, aku nak jumpa kau petang ni. Ada hal penting ni nak minta pandangan kau.”
“Apa hal lagilah kau ni. Ada aje yang tak kena. Pukul berapa nak jumpa?” bebel Adif sedikit keras.
Begitulah Puteri Chempaka Emelyn. Ada masalah, cari dia. Ada hal, cari dia. Nak shopping pun kadang-kadang dia jadi mangsa. Dia ni dah jadi penasihat tak bergaji untuk gadis itu. Memanglah dia pakar kaunseling, tapi Puteri bukannya ada masalah jiwa. Kadang-kadang sebab marahkan seseorang, dia yang jadi mangsa kena dengar Puteri membebel berkajang-kajang. Nak tercabut telinganya setiap kali mulut comel itu dah mula bersuara. Nak tak nak terpaksalah direlakan saja. Nasib kawan baik. Nak jadi bini? Sungguh dia tak rela!
“ZIYAD BUKAN tak nak, pa. Tapi hal nikah kahwin ni biarlah Ziyad pilih sendiri. Lagipun, Ziyad baru aje kenal anak Uncle Syed tu, takkan nak terus suruh kahwin dengan dia,” tolak Ziyad bersungguh. Ada ke patut papa dan mamanya suruh dia berkahwin dengan Emelyn. Memang tidaklah. Luka lama masih belum sembuh lagi, macam mana nak duduk sebumbung? Lagipun, dia memang benci dengan gadis itu. Apa yang Emelyn buat memang tidak boleh dimaafkan dan dilupakan. Dalam diam hati dan perasaannya diperkotak-katikkan tanpa belas!
“Iyad, apa kurangnya dengan Puteri? Puteri tu cantik, lemah lembut dan mama rasa sepadan sangat dengan Iyad.
Mama dan papa dah berkenan dengan Puteri,” pujuk Datin Fatimah lembut.
Ziyad mengeluh dalam hati. Cantik itu memanglah cantik, malah semakin cantik dari dulu, tetapi bukan itu yang menjadi persoalannya. Hatinya memang sudah mati. Lebih-lebih lagi untuk seorang perempuan yang bernama Puteri Chempaka Emelyn. Kenapalah mama dan papa memandai pergi melamar tanpa berbincang dengannya dulu.
“Bukan masalah cantik atau tidak, ma, tapi Iyad belum sedia lagi nak kahwin. Biarlah urusan kahwin dan perasaan tu datang sendiri, tak payah dipaksa,” tolak Ziyad lembut mempertahankan pendiriannya.
Datuk Akbar mengeluh perlahan. Kecewa dengan penerimaan anak lelakinya itu. Dia bukan main bersungguh lagi mahu menjalinkan ikatan yang lebih daripada sahabat, tetapi ini pula jawapan daripada Ziyad. Sangkanya anak lelakinya itu tidak akan membantah, tapi nampaknya harapan hanya tinggal harapan sajalah.
“Iyad, papa buat ni bukan hendak menyusahkan Iyad. Papa buat ni sebab papa rasa dah sampai masanya anak papa ni berumah tangga. Sampai bila hendak membujang? Umur Iyad pun dah nak masuk 35 tahun. Tengok adik-beradik Iyad yang lain, semua dah ada keluarga sendiri. Sampai bila papa dan mama nak tengok dan biarkan saja,” luah Datuk Akbar perlahan.
Ziyad terdiam. Bila papa sudah bersuara macam orang terkilan begitu, memanglah dia kalah, tapi dia tetap tidak sudi berkahwin dengan Puteri Chempaka Emelyn. Muktamad!
“Pa, Iyad senang dengan hidup Iyad sekarang. Iyad masih belum terfikir lagi nak kahwin buat masa ni. Pada Iyad, kerjaya lebih penting,” balas Ziyad.
“Memanglah kerjaya tu penting Iyad, tapi kalau sibuk kumpul harta, tapi hidup sendirian, untuk apa semua tu? Lagipun, harta tak boleh bawak mati,” celah Datin Fatimah pula.
“Macam inilah, papa bagi masa Iyad fikir baik-baik cadangan papa ni. Demi ikatan dua keluarga, Iyad fikirkanlah. Pilihan kami bukannya gadis sembarangan dan kami rasa Puteri sangat-sangat layak untuk anak papa,” pujuk Datuk Akbar tanpa jemu. Semoga terbuka pintu hati Ziyad untuk menerima cadangan mereka suami isteri. Jauh di sudut hati, dia risau juga andai Ziyad benar-benar menolak kerana dia yang bersungguh-sungguh dengan ikatan tersebut.
Ziyad mengeluh perlahan. Mukanya diraup kasar. Susah. Itu yang dia rasa.
“Yalah, pa. Biar Iyad fikirkan dulu macam mana.” Akhirnya Ziyad mengalah. Sudah puas ditepis, tapi kata-kata yang sama saja papanya putar belitkan, jadi bagaimana lagi dia hendak membantah?
“Kalau tak pun, apa kata anak mama jumpa Puteri. Berkenalan untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Mana tahu dari situ terbuka hati Iyad untuk terima Puteri sebagai isteri,” cadang Datin Fatimah tiba-tiba.
“Betul kata mama tu. Papa setuju.” Datuk Akbar mengiakan pula.
Ziyad melepaskan keluhan perlahan. Hendak bersemuka dengan Emelyn? Mana mungkin. Berjumpa tempoh hari pun dia tidak sudi memandang, apatah lagi sekarang. Lebih-lebih lagi apabila luka lama kembali berdarah. Puas dia berdoa semoga mereka tidak dipertemukan lagi, tetapi kuasa Allah siapa dia yang mampu menghalang. Dan sungguh dia tidak sangka, keluarga mereka rupanya sudah lama mengenaliantara satu sama lain.
“Ermm... hal yang tu nanti-nantilah ma. Buat masa ni Iyad sibuk dan tak ada masa,” dalih Ziyad lagi cuba memberi alasan.
Datin Fatimah berpaling memandang suami di sebelah. Kenapa payah sangat untuk anak lelakinya itu menerima cadangan mereka? Puteri tak cukup cantik? Nak yang cantik macam mana lagi? Nak yang cantik macam model-model jelita tu buat apa. Buat sakit jiwa saja nanti. Baginya sudah sesuai
sangatlah Puteri Chempaka Emelyn dengan Mohd Ziyad Uzair. Memang macam pinang dibelah dua.
MENDENGAR CERITA Puteri, tawa Adif terus pecah. Serius kelakar. Patutlah beria-ia sangat ajak berjumpa. Ada kes rupanya.
“Jangan gelakkan aku boleh tak? Sakit telinga aku dengar!” marah Puteri melepaskan geram. Menjengkelkan betul mendengar gelak sahabatnya itu. Sampai berair mata pula tu.
“Dah tu nak suruh aku buat apa? Nangis? Kalau kau tu cinta hati aku, memang patutlah aku menangis. Entah-entah siap guling-guling lagi sebab frust menonggeng,” balas Adif dengan tawa yang masih bersisa.
Puteri mendengus. Makin sakit hati rupanya apabila bertemu lelaki itu. Ingatkan dapatlah mendengar pandangan Adif tentang cadangan orang tuanya itu, tetapi hampeh! Langsung tak boleh diharap.
“Kau ni kan tak prihatin betul. Kata sayangkan aku,” bebel Puteri keras.
Adif gelak lagi. Duduknya dibetulkan. “Memanglah aku sayangkan kau, dear. Tapi aku rasa mama dan papa kau lagi sayangkan kau. Terima ajelah cadangan diaorang tu. Bukan suruh terjun lombong pun. Suruh kahwin aje,” pujuk Adif selamba.
“Dif, kalau lelaki tu orang lain, mungkinlah aku pertimbangkan. Tapi lelaki tu Ziyad. Ziyad kau tahu tak!” jerit Puteri perlahan. Adif direnung tajam.
Adif melepaskan keluhan. Pandangan Puteri dibalas dan kepalanya digelengkan perlahan.
“Itulah kau, dulu nak buat apa-apa tak fikir. Bila dah jadi macam ni, tahu pulak menggelabah,” kutuk Adif selamba.
Puteri mengeluh perlahan. Kepalanya digelengkan.
“Dif, aku tahu aku bersalah dengan dia. Memang aku menyesal sangat-sangat dengan apa yang aku dah buat dulu. Kalau kau boleh baca hati aku ni, tentu kau tahu macam mana tebalnya rasa bersalah aku pada dia. Dah berapa kali aku mengadu dengan kau? Dah berapa kali aku cerita kat kau?” luah Puteri bersungguh. Penyesalan itu memang tidak pernah berhenti mengganggu hidupnya. Sangkanya dia tidak akan bertemu Ziyad lagi, tetapi rupanya kuasa Allah itu besar. Mungkin Allah sengaja menemukan mereka supaya dia berpeluang memohon kemaafan daripada lelaki itu. Tapi, mampukah dia?
“Dear, aku tahu kau menyesal. Dah banyak kali kau luahkan. Bila dah jadi macam ni, kenapa tak gunakan peluang tu untuk meraih kemaafan daripada dia? Aku dah pernah cakap kan ,tapi kau tu takut sangat, malu sangat.”
Puteri menggeleng. “Aku tak rasa dia akan memaafkan aku. Apa yang aku buat dulu keterlaluan dan melampau, Dif.”
“Dear... kau tak cuba lagi, mana kau tahu? Cubalah dulu dan sekarang Allah dah tunjukkan jalannya.” Lembut Adif memujuk. Kasihan pula dia melihatkan keadaan Puteri yang begitu.
“Dengan perkahwinan?” Bulat mata Puteri memandang sahabatnya itu. Hilang akal apa Adif ni.
Adif mengangguk. “Mungkin dan tak salah, kan?”
Puteri mengeluh perlahan. “Kenapalah kau ni tak sukakan aku? Kalau tidak, aku cakap aje dengan mama dan papa, aku nak kahwin dengan kau,” luah Puteri bersama keluhan walaupun dia tidak
memaksudkannya. Luahan dalam tak sedar.
Bulat mata Adif memandang Puteri di hadapan. “Kau biar betul, Chem. Jangan kau kata kau sukakan aku,” ucap Adif sambil tersengih.
Puteri mencemik. “Tak ada maknanya aku sukakan kau. Fact, aku sayangkan kau, tapi sebagai sahabat yang paling baik. Dunia akhirat.”
Adif tersenyum. “And the fact is... aku pun sayangkan kau. No doubt, sebab tu aku tak sanggup nak kahwin dengan kau. Sebab aku sayang hubungan baik ni dan tak nak hubungan ni berubah,” luah Adif pula.
“Aku tahu,” pendek Puteri membalas. Dia pun tidak mahu hubungan itu berubah. Dia pun mahu hubungan itu terus begitu. Dia mahu Adif sentiasa ada bila dia memerlukan. Dia mahu Adif menjadi peneman bila dia keresahan. Begitu juga sebaliknya. Itu saja yang dia mahu daripada lelaki itu dan tidak pernah ingin lebih daripada itu.
No comments:
Post a Comment