FATHIA mengalihkan pandangannya ke arah taman di hadapan. Nafasnya dihela berat. Melihat Emil yang sedang leka bermain papan gelongsor di taman itu, bibirnya terus mengukirkan senyuman. Untungnya jadi Emil, tak perlu nak fikir apa-apapun.
“Macam mana Tia dengan cadangan abang tadi?” soal Khairul lagi. Sudah dua kali dia bertanya tapi tiada jawapan pasti yang diterima.
Fathia berpaling memandang Khairul semula.
“Tia tak nak abang. Perkara yang dah lepas tu boleh tak kita lupakan saja. Anggapkan antara kita tak ada jodoh,” lembut Fathia menolak.
Khairul mengeluh perlahan. Pandangannya dijatuhkan ke arah rumput di hadapannya. Setelah beberapa ketika dia berpaling memandang Fathia semula.
“Tia, abang masih sayangkan Tia lagi. Sampai sekarang abang menyesal sangat dengan apa yang abang dah buat dulu. Tolong Tia, bagi abang peluang sekali saja lagi,” rayu Khairul untuk yang entah ke berapa puluh kali.
Fathia menarik nafas sekali lagi. Bukan dia tak sayang. Tiga tahun mereka menyulam kasih sudah pasti perasaan sayang masih bersisa. Namun apa yang berlaku enam tahun lalu begitu melukakan. Khairul membuat keputusan tanpa mendengar dahulu penjelasannya. Dia dibuang dan terbuang.
“Abang, walaupun perasaan sayang Tia pada abang masih bersisa tapi untuk Tia penuhi permintaan abang, Tia tak sanggup,” akui Fathia jujur.
Khairul terus mencapai jemari Fathia tapi segera ditarik oleh Fathia.
“Abang tolong jangan macam ni,” lembut Fathia bersuara. Sesungguhnya dia tidak selesa diperlakukan begitu oleh Khairul. Keadaan mereka sudah tak sama dan dia tidak mahu Khairul lupa tentang semua itu.
“Abang minta maaf Tia tapi abang dah tak sanggup lagi berdepan dengan keadaan sekarang. Abang betul-betul terseksa. Cuba Tia beritahu abang, apa lagi yang patut abang buat supaya Tia sanggup kembali semula pada abang? Abang akan lakukan apa saja Tia..apa saja.” rintih Khairul lagi.
“Abang, macam mana kita nak kembali macam dulu? Keadaan dah tak sama. Abang dah jatuhkan hukuman pada Tia dan ia dah tak boleh ditarik lagi. Habis tu, abang nak Tia buat apa?” keras Fathia bersuara. Sudah lupakah Khairul apa yang diucapnya dulu? Sudah lupakah dia, luka yang diberikan kepadanya? Sudah lupakah dia?
“Setuju dengan cadangan abang lepas tu semuanya akan kembali seperti sediakala. Kembali seperti dulu Tia,” pantas Khairul membalas.
Fathia menggeleng. Pandangannya dilarikan ke hadapan semula. Nafasnya dihela berat.
“Tak abang. Untuk mengikut cadangan abang, Tia tak sanggup. Tia bukan barang untuk abang tolak dan ambil sesuka hati. Tia ada perasaan,” mana mungkin dia bersetuju dengan cadangan gila lelaki itu. Tak mungkin dia mempertaruhkan perasaannya demi cinta lelaki itu.
“Sudahlah abang, kita lupakan semuanya. Tia nak hidup dengan tenang dan aman sekarang. Tolong jangan ganggu Tia dengan semua ini lagi. Tia minta pada abang..tolong lupakan,” sambung Fathia lagi seakan-akan merayu.
Mendengar rayuan Fathia, Khairul mengeluh perlahan. Rambutnya diraup kasar. Sudah puas dia memujuk dan merayu namun jawapan Fathia tetap sama. Dia sudah mati akal. Apa lagi yang dia ada? Pujukan bagaimana lagi yang perlu dia lakukan? Tidak cukup tuluskah permintaannya itu? Tidak terkesankah Tia dengan rayuannya?
“Tia, tolong lakukan ini demi Emil. Abang tahu Tia sayangkan Emil,”
Fathia tertunduk lama. Tiba-tiba air matanya menitis. Kenapa kasih sayangnya terhadap Emil perlu menjadi pertaruhan? Khairul lebih tahu bagaimana sayangnya dia pada si kecil itu. Lama Fathia terdiam sebelum dia mendongak memandang Khairul semula. Air mata yang menitis pantas di seka perlahan.
“Abang, Tia sayangkan Emil, dan Tia sanggup lakukan apa saja untuk dia. Tapi permintaan abang keterlaluan. Tia tak sanggup nak gadaikan diri sendiri semata-mata untuk merebut kasih sayang dia. Tia tak nak dipandang rendah oleh Emil nanti. Abang kena ingat, Tia tak pernah diterima dalam keluarga abang jadi Tia tak rasa apa yang Tia lakukan nanti akan mengembalikan apa yang telah Tia hilang selama ini,” luah Fathia sayu.
“Tia, mama tak akan menghalang hubungan kita lagi. Abang yakin kali ini mama akan terima Tia. Mama sayangkan Emil dan abang pasti mama akan setuju dengan perkahwinan kita,” pujuk Khairul lagi.
Fathia terdiam. Sudah puas dia menepis dan menolak tetapi lelaki itu tetap juga merayu. Bukan sekali malah sudah berkali-kali cadangan yang sama diutarakan kepadanya. Dia sudah tidak tahu bagaimana lagi untuk menolak.
“Abang, beri Tia masa untuk fikirkan perkara ini. Beri Tia ruang untuk memikirkan cadangan abang semasak-masaknya. Tia tak nak tersilap langkah,” akhirnya Fathia mengalah. Kalau dengan itu saja caranya dia dapat membuat Khairul berhenti merayu maka itulah jawapan yang sepatutnya dia berikan.
Khairul mengangguk perlahan. Sudah terukir segaris senyum dibibirnya dengan jawapan Fathia tadi. Sekurang-kurangnya masih ada harapan untuknya. “Abang akan beri Tia masa untuk fikirkan. Bila Tia dah bersedia, abang akan uruskan semuanya. Abang akan pastikan Tia tak akan terluka lagi kali ini. Itu janji abang Tia,”
Fathia mengangguk perlahan. “Tia akan fikirkan tapi Tia minta abang jangan terlalu mendesak. Bila Tia sudah bersedia, Tia sendiri yang akan beritahu abang,”
“Abang faham Tia. Abang akan tunggu jawapan Tia tapi abang harap Tia tak akan biarkan abang menunggu terlalu lama,”
Sekali lagi Fathia mengangguk walau di dalam kepala bukan main sarat lagi memikirkan permintaan lelaki itu.
Azri_SiRempit
15 minutes ago via mobile
Memilih.
Salah ke memilih? Kalau tersalah pilih macam mana? Orang tua ada pesan , kalau nak cari bini biarlah yang baik budi bahasanya.Paling penting pandai masak dan sejuk mata memandang.
Azri senang aje. Tak pandai masak. Kedai banyak. Tak cantik salon kecantikan melambak tapi kalau budi bahasa tak ada.hurm.Kirim salam ajelah!
Riza Ahmad : Amboi incik Azri sanggup ke hari2 makan kat kedai? Hehe
Azri_SiRempit : Tak mampu makan kat restoran, kedai mamak banyak Riza Ahmad. Tak ada duit nak makan sedap, roti canai baru seringgit sekeping. Air suam baru 20 sen segelas, yang penting perut kenyang. J
Riza Ahmad : Roti canai aje? Itu membiakkan kolesterol tu. Hari2 makan roti canai haru jadinya.Dari S jadi XXL baru tau. kui3
Tia_the freak : Betul tu Riza Ahmad, kalau bini dia gemuk nanti Azri_SiRempit buat alasan tu nak cari lain. Atau you sanggup nak hantar wife you ke London weight Azri? Hehehe
Azri_SiRempit : Kalau gemuk I suruh dia diet.Kalau tak kurus juga ramai lagi calon menanti.kih3
Riza Ahmad : Amboi menggatai tak ingat incik Azri. Nak kena ketuk?
Tia_the freak : Ketuk aje tak cukup Riza.Langgar aje kalau ada depan mata tapi sebelum tu kita lempang dia laju2 dulu. hahaha
Azri_SiRempit : You tak kesian kat I ke Tia_the freak? Kalau tak ada I sunyi you nanti.
Tia_the freak : Setakat you aje yang tak ada tak luak friendlist I lah Azri. ;p
Azri_SiRempit : Kejam jugak you ni Tia.
Tia_the freak : Hahahaaa. you baru tahu ke? :P
AZRI tersenyum lebar. Tia.Tia.pandai saja menjawab. Tiba-tiba rasa rindu pula dengan pemilik nama itu. Sudah hampir seminggu dia tidak menghubungi Tia semenjak pertemuan mereka tempoh hari.
Pandangannya terus di halakan ke arah telefon bimbit di atas meja. iPhone 5 itu direnung lama. Nak telefon ke? Soalnya dalam hati berkali-kali. Jam di tangan dikerling. Pukul 9 malam. Mesti Tia belum tidur lagi kalau tidak, tak mungkin dia boleh berbalas komen. Nak telefon ke tidak Azri? Soalnya lagi. Tak salahkan kalau aku telefon pun. Bukan bil itu dia yang bayar. Jawabnya pada diri sendiri. Sepantas kilat iPhone 5 di atas meja disambar. Nombor telefon Tia terus di dail.
“Assalamualaikum cik Tia,” sapanya sopan sebaik panggilannya berjawab.
“Waalaikumussalam Encik Azri”
Terdengar lembut Fathia membalas. Dihujung-hujung suaranya terdengar tawa halus perempuan itu ditelinganya. Azri tersenyum.
“Seronok gelakkan saya?” soal Azri mengusik.
“Tak adalah seronok tapi best jugaklah. Lagipun bukannya selalu,” balas Fathia selamba.
Azri tergelak. Kedengaran Fathia juga turut tergelak ditalian.
“Tia, sampai hati awak nak langgar dan lempang saya,” tutur Azri seakan-akan berjauh hati.
“Memang orang macam awak patut dibuat begitu Azri. Kalau ikutkan langgar dan lempang saja tak cukup. Patut biarkan awak kena seksa dulu biar serik sikit,” kutuk Fathia nakal.
“Awak memang tak kesiankan saya,”
Fathia tergelak lagi. “Buat apa saya nak kesiankan awak?”
“Ialah siapalah saya ni pada awak kan Tia,”
“Awak terasa ke Azri?” soal Fathia masih lagi dengan nada mengusik.
“Tak. Tak kuasa saya nak terasa dengan awak Tia,”
“Ha.macam itulah. Lagipun saya bergurau sajalah Azri”
“Ialah, saya tahu. Tia, bila saya boleh jumpa awak lagi ya?”
Fathia terdiam seketika. “Kenapa?”
“Saja aje saya nak jumpa awak,” lembut Azri bersuara.
“Jangan kata awak rindukan saya pulak Azri” tutur Fathia dengan suara yang agak keras sedikit namun masih bernada usikan.
“Tak boleh ke nak rindukan awak?”
“Bukan saya orang yang sepatutnya awak rindukan,”
Azri tergelak kecil. “Kalau bukan awak, siapa?” soal Azri menduga.
“Entah, manalah saya tahu. Hati awak hanya awak yang tahu Azri”
“Awak ni Tia, memandai aje tapi seriously saya rindukan awak,” perlahan Azri bersuara. Malu sebenarnya hendak mengaku tapi disebabkan sikap selamba Fathia, dibuangkan saja rasa malu itu.
“Sudah-sudahlah jual minyak kat saya Azri. Tak laku minyak awak tu,” giat Fathia lagi sambil tergelak.
“Ialah Tia, saya sedar siapa diri saya ni. Setakat melukut di tepian gantang,” tutur Azri seakan-akan berjauh hati.
Terdengar semakin galak Fathia tergelak. “Aduh Azri awak buat saya sakit perut tau sebab asyik tergelak aje. Okeylah saya ada kerja ni, lain kali kita berborak lagi,”
“Tia, awak tak jawab pertanyaan saya tadi,”
“Pertanyaan apa?”
“Bila saya boleh jumpa awak lagi?”
“Entahlah Azri mungkin satu hati nanti tapi bila harinya tu saya tak tahu,” balas Fathia sambil tergelak kecil.
“Awak tak turun KL lagi ke?”
“Insya-Allah, hari Sabtu minggu depan. Saya ada urusan keluarga di sana,” jujur Fathia menjawab.
“Kita jumpa,”
“Saya tak boleh janji Azri”
“Please Tia,” lembut Azri bersuara seakan-akan merayu.
“Nanti saya call awak,”
“Okey Tia, saya tunggu awak call. Kalau awak tak call, saya yang akan call awak,”
“I’ll try, but I can’t promise you anything.”
“Saya tetap tunggu Tia,” perlahan tapi tegas Azri bersuara.
“Azri tolong jangan macam ni. Awak buat saya takut nak terus berkawan dengan awak,” teragak-agak Fathia membalas.
Azri tergelak. “Kenapa? Awak takut terpikat dengan saya ke?” soal Azri cuba menduga.
“Azri awak jangan perasan boleh tak? Tak kuasa tau!” keras Fathia membidas.
Sekali lagi tawa Azri pecah. “Saya bergurau ajelah Tia. Okeylah saya tak nak ganggu awak tapi jangan lupa telefon saya sebaik awak sampai KL nanti,”
“Insya-Allah Azri”
“Assalamualaikum Tia,” tutur Azri cuba menamatkan perbualan mereka. Namun baru saja dia ingin mematikan taliannya, dia terdengar Fathia memanggil namanya. “Yup,”
“Thanks.”
“Untuk apa?”
“Kerana menceriakan hari saya dan meringankan bebanan di kepala saya,”
“Tia, awak ada problem ke?”
Fathia tergelak kecil.
“Biasalah bebanan tugas Azri” perlahan Fathia menafikan.
“You have to take care, Tia. Don’t work too hard okay,” lembut Azri memujuk.
“Thanks again, Azri”
“Don’t mention,”
Talian dimatikan. Fathia termanggu dan telefon bimbitnya dipandang tak berkelip. Perlahan-lahan satu keluhan berat dilepaskan. Perbualannya dengan Azri tadi terngiang-ngiang ditelinga. Kalau boleh dia tidak mahu terlalu rapat dengan lelaki itu dan kalau boleh biarlah pertemuan tempoh hari menjadi pertemuan pertama dan terakhir mereka. Namun lain pula yang difikirkan oleh lelaki itu. Memang dia akui dia senang berkawan dengan Azri tapi baginya biarlah ia setakat di ruang laman muka buku sahaja. Itu sudah cukup baginya.
Itulah Tia, kau sendiri yang membuka peluang dan ruang kepada lelaki itu untuk mendekati kau. Marahnya pada diri sendiri. Nak menjauhkan diri, tapi bagaimana?
No comments:
Post a Comment