Bab 1
Jika aku bukan
jalanmu
Ku berhenti
mengharapkanmu
Jika aku memang
tercipta untukmu
Ku kan memilikimu
“MAMA tak kira, Hannah kena kahwin juga dengan Azryl!” Keras suara Datin Umairah
memecah gegendang telinganya, membuatkan dia tersentak. Hannah mendengus.
Kepalanya digeleng-gelengkan laju, kemudian dahinya ditepuk perlahan.
Sejak semalam dia
cuba membuang jauh arahan berbaur diktator daripada Datin Umairah, tetapi entah
kenapa kata-kata mamanya semakin kukuh bertapak di minda. Seolah-olah tak mampu
untuk diusir pergi daripada terus membelenggunya. Sekali lagi dengusan keras
dilepaskan. Serabut!
“Tak inginlah aku
kahwin dengan kau, Azryl.” Hannah melepaskan perasaan yang terbuku sejak
semalam. Dia tekad walau apapun yang berlaku, arahan Datin Umairah tetap tidak
akan dipatuhi. Kalau selama ini dia boleh buat bodoh dengan segala macam
arahan, apatah lagi dengan arahan yang satu itu. Perkahwinan itu tak mungkin
akan dilangsungkan sama sekali. Tak mungkin. Muktamad! Bisiknya perlahan tapi
keras yang membekam di hati.
Sebaik kata-kata
itu bebas dari hati, Hannah bingkas bangun dari duduknya. Perlahan-lahan bibirnya
menguntum senyum kerana berpuas hati dengan keputusan sendiri. Dia terus
berjalan menyusuri tebing sungai kawasan Janda Baik tersebut. Sangat
berhati-hati kerana hari baru lepas hujan. Air sungai pula sangat deras.
Suasana hingar bingar di sekelilingnya dipandang sepi. Malas hendak ambil tahu
tentang manusia lain kerana dirinya
sendiri sedang dilanda ribut taufan yang maha hebat ketika itu.
Mamanya hanya tahu
memaksa tanpa memikirkan perasaan dan masa depannya walau sejenak. Permintaan
mamanya untuk dia mengahwini lelaki itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal
baginya. Dia lebih rela bergelar andartu daripada menjadi isteri kepada lelaki
itu. Mama macam tidak kenal siapa Azryl.
“Kenapalah susah
sangat mama nak faham perasaan aku? Aku ni macam bukan puteri kesayangan dia.”
Hannah terus berperang dengan perasaannya sendiri.
“Hannah! Kau nak
ke mana?” Terdengar laungan seseorang, Hannah terus berpaling. Elyna yang
sedang melambai tangan ke arahnya dipandang tak beriak.
“Kau nak ke mana?”
laung Elyna lagi.
Baru saja Hannah
ingin menjawab pertanyaan sahabatnya
itu, tiba-tiba pijakan kakinya tidak seimbang. Hannah tergamam tanpa suara
kecuali matanya yang membesar cemas.
Gedebus! Hannah terus terjatuh dan terhumban ke dalam air sungai yang sedang
mengalir deras.
Elyna yang melihat
kejadian yang berlaku kepada sahabatnya itu hanya menganga dan terpaku. Tidak
mampu dia berbuat apa-apa walaupun untuk menjerit dalam masa yang amat singkat
itu.
“Hannah!” Elyna
bingkas bangun dan berlari menghampiri tempat kejadian.
“Tolong! Tolong!”
Apabila melihat sahabatnya sedang terkapai-kapai di dalam air yang agak deras
itu, Elyna panik sambil melihat sekitarnya. Tiada pula orang lain waktu
kecemasan ini.
Dalam kalut, nama
Hannah dilaung berkali-kali sambil dia mencari-cari apa yang boleh untuk Hannah
berpaut nanti. Elyna kelihatan sangat cemas. Dia sendiri pun tidak berani
hendak turun apabila melihat keadaan air yang bagaikan berlumba-lumba tanpa
mengira benteng. Lagi pula dia memang tidak tahu berenang.
“Hannah! Kau bertahan
ya! Aku panggil orang.” Elyna pantas
berlari ke arah sekumpulan remaja yang baru dilihat.
Hannah yang sedang
tercungap-cungap di dalam air sudah semakin lemah dan tidak berdaya. Tangannya
yang sudah berpaut pada batu ketika itu,
terasa semakin kebas kerana airnya terlalu sejuk. Akibat tujahan air yang
semakin deras, pegangan tangannya terus terlepas.
Sekali lagi, dia
merasa tubuhnya ringan saja dibawa arus. Di saat dia hampir menyerah, tiba-tiba
dia terasa tubuhnya dipaut oleh seseorang. Hannah berserah. Kalau yang datang
itu malaikat maut sekalipun pun dia rela. Kalau hanya sampai di situ saja
hayatnya dia reda.
Dari jauh, Elyna
tercengang melihat Hannah di dukungan seorang lelaki. Lelaki itu merebahkan
Hannah dan kelihatan cuba menyedarkan Hannah. Tanpa mempedulikan kumpulan
remaja berbasikal itu, dia berlari mendapatkan sahabatnya.
“Hannah!” Elyna
menerpa ke arah Hannah yang bagaikan kehilangan separuh nyawa. Kepala Hannah
dipangkunya.
“Hannah, kau okey
tak ni?” Tubuh Hannah langsung digerak-gerakkan perlahan. Tidak peduli lagi
pada lelaki yang menolong tadi. Melihat sahabatnya yang masih kaku, Elyna
semakin cemas. Bukankah tadi, dia melihat lelaki itu melakukan pernafasan dari
mulut ke mulut? Dia juga lihat Hannah sudah separuh sedar tetapi kenapa
sekarang ini Hannah kaku pula?
“Hannah, kau
jangan buat aku takut.” Air mata Elyna sudah merembes. Sesekali pipi Hannah
ditepuk-tepuk perlahan. Beberapa ramai yang berada di situ memandang dengan
wajah cemas juga. Mahu menolong pun,
mereka tidak berapa tahu.
“Bawa dia ke
hospital atau klinik. Bernafas lagi ni.”
“Hannah... Jangan
la macam ni... Bangunlah.”
Pipi Hannah
ditepuk Elyna lagi tanpa mempedulikan saranan
pemuda yang menolong tadi.
Terasa sayup-sayup
namanya dipanggil, perlahan-lahan Hannah cuba membuka kelopak matanya. Melihat
ada orang lain di sekelilingnya, Hannah cuba untuk bangun.
“Hannah...
Alhamdulillah, kau sedar jugak.” Sahabatnya itu dibantu untuk duduk.
Hannah melepaskan
batuk beberapa kali sebaik selesa dengan kedudukannya. Terasa sesak dadanya
akibat tertelan air sungai yang banyak ketika bertarung nyawa tadi.
Perlahan-lahan dadanya ditepuk-tepuk.
“Kau okey ke?”
soal Elyna. Wajah sahabatnya yang pucat itu dipandang cemas.
Perlahan-lahan
Hannah menganggukkan kepalanya. Tangannya diangkat. Suaranya masih tidak mampu
untuk keluar walau sepatah pun. Apa yang berlaku tadi benar-benar di luar
jangkauan akal. Dia yang cekap berenang pun boleh kalut apabila berdepan dengan
keadaan seperti tadi sehingga hampir kehilangan nyawanya.
Orang yang
berkerumun di situ sedari tadi sudah mula beredar apabila melihat keadaan yang
semakin pulih. Hannah berpaling memandang Elyna semula.
“Jom balik, aku
sejuklah.” Perlahan dan dengan nada yang terketar-ketar Hannah bersuara.
Elyna mengangguk.
Tubuh sahabatnya yang sudah dibalut dengan tuala itu dibantu untuk bangun.
“Terima kasih,
encik dah selamatkan kawan saya.” Lembut Elyna bersuara sambil membuang pandang
ke arah lelaki yang menyelamatkan Hannah tadi. Elyna tahu, tuala itu pun
daripada lelaki tadi. Lelaki tadi hanya mengangguk dan tersenyum sahaja memandang keduanya.
“Jom Elyn,” ucap
Hannah tanpa memandang langsung ke arah lelaki tersebut. Tuala ditubuhnya
semakin dikemaskan balutannya. Kesejukan benar-benar menguasai dirinya. Elyna
hanya mampu mengangguk sahaja. Terbit rasa terkilan dengan perlakuan sahabatnya
itu.
Orang dah
selamatkan dia pun dia boleh buat bodoh
saja. Hannah... Hannah... Tak habis-habis dengan perangai kekwat dia tu, desis
Elyna di dalam hati. Dalam
membebel-bebel di dalam hati, tubuh sahabatnya itu dipapah juga untuk beredar
dari situ. Sempat juga dia tersenyum untuk lelaki tadi bersama wajah bersalah
dengan perangai Hannah.
Lelaki tadi hanya
memandang sahaja dengan wajah tak beriak. Terkilan? Kepalanya digelengkan.
Setiap perlakuan kena ikhlas, Ilham. Membantu orang yang berada dalam kesusahan
itu salah satu cabang iman. Bisikan halus dari hatinya mengingatkan diri
sendiri.
“Sombongnya...”
Ilham berpaling.
Gadis di sebelahnya itu dipandang dengan kening berkerut.
“Perempuan tadi tu
sombong bukan main lagi.” Gadis itu terus mengomel. Ilham tersenyum. “Biarlah,
keadaan dia tak okey lagi tu,” ucapnya lembut.
“Setakat nak
ucapkan terima kasih tak kan tak boleh kut! Bukannya berat pun!” bentak Suraya
sedikit keras.
Ilham menggelengkan
kepalanya perlahan. “Sudahlah, yang penting abang dah jalankan tanggungjawab
abang sesama manusia. Dia tak apa-apa pun, abang dah lega dah,” balasnya
perlahan.
Suraya mendengus
perlahan sambil tarik muka. Lelaki di sebelahnya itu terlalu baik sangat.
Diperlakukan begitu pun masih boleh tersenyum lagi.
“Jomlah, abang nak
salin baju dulu. Su kumpulkan budak-budak, sekejap lagi kita dah boleh balik.
Dah lewat petang ni,” sambung Ilham lagi.
Tidak menjawab,
Suraya hanya mengangguk kecil dan terus beredar dari situ.
“KAU macam mana?
Okey tak ni?” soal Elyna sebaik Hannah jaga daripada lenanya. Pandangannya
masih tancap menghala ke arah jalan raya di hadapan.
Hannah
menggosok-gosok matanya perlahan. “Kita di mana ni?” Tidak menjawab soalan
sahabatnya itu, Hannah bertanya pula. Matanya meliar memerhati sekeliling.
Bagaikan terasa ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Entah kenapa tiba-tiba
dia jadi tidak keruan. Kepalanya pula terasa bukan main berat lagi, hidung pula
sudah tersumbat dan susah hendak bernafas.
“Dah sampai
Gombak,” pendek Elyna membalas. BMW Hannah dipandu laju sebaik melepasi kawasan
tol tersebut.
Hannah
menggangguk. Duduknya dibetulkan. “Malam ni aku nak tumpang rumah kau,”
tuturnya perlahan.
Elyna berpaling
memandang sahabatnya itu sekilas sebelum membuang pandang ke hadapan semula.
“Kenapa? Gaduh dengan mama kau lagi? Atau gaduh dengan ayah kau?” Elyna terus
meneka kerana lazimnya begitulah yang terjadi kepada sahabatnya itu.
Hannah diam.
Kepalanya disandarkan semula ke kerusi. Malas hendak cakap banyak. Badan pula
terasa sakit-sakit akibat kejadian tadi.
“Hannah!” panggil
Elyna sedikit keras.
“Hurm...”
“Aku tanya kau
tadi... Kau gaduh dengan orang tua kau ke?”
Hannah berdeham
perlahan. “Dengan mama...” balasnya malas.
Elyna menggelengkan
kepalanya perlahan. “Sampai bilalah kau nak berperang dengan mama dan ayah
kau?” Elyna sedikit kesal.
Hannah terdiam.
“Ingat sikit
Hannah, tak ke syurga kita ni sebagai anak kalau menderhaka kepada ibu bapa.
Setitis air mata ibu jatuh, sepuluh kebajikan anak akan hilang, kau tahu tak.
Tak takut eh?” Tutur Elyna lagi mengingatkan sahabatnya itu.
“Cakap senanglah!”
bentak Hannah dengan suara yang sudah naik senada. Marah dinasihati sedangkan
Elyna bukan berada di tempatnya.
“Ini bukan setakat
cakap aje babe. Ustaz aku yang ajar ni tahu. Ada tertulis dalam
al-Quran. Lagipun kau bukannya tak pernah belajar agama,” bidas Elyna selamba.
Hannah tersenyum
sinis. Pandangannya dibuang keluar tingkap cermin kereta. Fikirannya menerawang
jauh. Kata-kata Elyna tadi dibiarkan sepi. Entahlah Elyn... Kau tak tahu. Hanya
aku yang tahu apa yang aku rasa. Tiada seorang pun yang dapat memahami diri
aku. Bisiknya di dalam hati.
Melihat sahabatnya
yang hanya membatu di sebelahnya, Elyna hanya mampu menggeleng sahaja. Bukan
dia tak tahu apa masalah Hannah dengan kedua-dua orang tuanya tapi baginya
kalau Hannah boleh bertolak ansur semuanya pasti tidak akan sesukar itu.
Hannah terlalu
keras hati dan teguh dengan setiap pendiriannya. Jika hitam katanya, maka
hitamlah segalanya. Tiada apa pun yang dapat mengubah pendiriannya, sebab itu
dia selalu bertelingkah dengan orang tuanya.
Mungkinkah
suatu masa nanti, ada seorang insan mampu mengubah Hannah? Dia hanya mampu
memberi nasihat, selebihnya terpulang kepada daya usaha sahabatnya itu sendiri.
No comments:
Post a Comment