Followers

Wednesday, 8 June 2016

Kerana Satu Janji - Bab 5









Bab 5








“HANNAH suka atau tidak, mama dan papa dah putuskan! Dua bulan lagi Hannah dan Azryl akan disatukan. Tunang, nikah dan sanding kita akan buat serentak lagipun masa dah suntuk. Minggu depan pergi butik dengan Azryl untuk ambil ukuran baju pengantin.” Keras benar amaran Datin Umairah buat puterinya itu.
Kata-kata mama di corong telefon semakin menyesakkan dada. Semuanya sudah diaturkan. Macam mana dia hendak mengelak lagi? Mengadu dengan ayah pun macam tak ada makna. Sakit rasa hatinya diperlakukan begitu oleh orang tua sendiri. Kerana perasaan geram yang sarat di dada, tanpa sedar telefon bimbitnya dimatikan dan dicampakkan ke pintu. Puas rasanya!
Melihat telefon bimbit yang sudah berderai jatuh ke lantai Hannah menggeleng. Kedua-dua tangannya diraupkan ke wajah. Nafasnya dihela dan dilepaskan perlahan untuk menenangkan diri sendiri. Dia mesti melakukan sesuatu. Walau apapun yang berlaku dia tak mungkin akan berkahwin dengan Azryl. Tiba-tiba wajah Auntie Auni terbayang di kepalanya. 
“Lari!” Yup! Mungkin melarikan diri jalan yang terbaik. Sepantas kilat telefon bimbitnya dicari. Teringatkan telefon bimbit yang sudah berderai di atas lantai Hannah mendengus keras. Dahinya ditepuk kuat.
Stupid!”  Marahnya pada diri sendiri. Tidak bertangguh dia terus bangun dari duduknya. Beg tangannya dicapai dan dia terus beredar keluar.
“Kenapa dengan bos kau tu?” soal Noni sebaik kelibat Hannah a.k.a Cik Singa hilang daripada pandangan. Tengok muka Hannah pun dia tahu Cik Singa sedang dalam mood yang tidak baik.
Yati menggeleng. Dia sendiri pun sudah kecut perut apabila mendengar bunyi bising dari dalam bilik bosnya tadi. Mesti ada yang tidak kenalah tu kalau sudah mengamuk begitu. Dan yang pastinya mesti ada barang yang menjadi mangsa korban amukannya itu. Sebelum ni pasu bunga atas meja pecah berderai dikerjakan gara-gara marahkan Datuk Mazlan. Kali ini entah apa lagi yang dibaling agaknya. Marah benar bunyinya.
“Aku tak fahamlah dengan Cik Hannah tu, apa lagilah yang kurang agaknya ya? Hidup mewah, pakai kereta besar, ada segala-galanya. Kiranya Datuk Mazlan dah cukup baiklah layan dia macam tu tapi masih tak puas hati lagi. Kalau aku lah, dah bersyukur sangat-sangat dapat hidup mewah dan sempurna macam tu,” bebel Syikin meluahkan pendapatnya pula.
“Betul cakap kau, Syikin. Orang kalau tak tahu erti bersyukur memang macam tu,” balas Noni mengiakan.
Yati mendengus keras. Panas hati apabila kelakuan bosnya itu dipertikaikan. Memanglah perangai Hannah kadang-kadang menjengkelkan, tapi Hannah masih seorang yang bertimbang rasa.
Yati masih ingat lagi, dua bulan lepas dia kekurangan duit untuk yuran persekolahan adiknya di kampung. Hannah telah menghulurkan bantuan kepadanya. Sebagai majikan juga sebagai seorang manusia biasa, Hannah masih berperikemanusiaan dan tidak sesekali mengabaikan kebajikan para pekerjanya. Yati maklum benar akan sikap bosnya itu, biarpun zahirnya kelihatan garang, namun dia masih seorang gadis yang baik hati.
 “Hei Noni, Syikin... Kita tak berada di tempat dia, mana kita tahu. Jangan ingat orang yang hidup mewah ni bahagia tahu!” bidas Yati pula mempertahankan Cik Singanya itu.
Noni mencemik. “Yalah… Nak menangkan bos dia aje,” ejek Noni dan terus beredar ke tempat duduknya semula. Syikin turut mengekor dan kembali ke tempatnya.
Yati menjeling Noni dan Syikin dengan ekor matanya.
“Mestilah, kalau bukan aku yang mempertahankan bos aku, nak harapkan kau ke? Walaupun dia tu garang giler, tapi dia tak sibuk jaga tepi kain korang semua. Tapi korang ni hah, walaupun syarikat bapak dia yang bayar gaji korang, tak habis-habis nak mengutuk dia. Entah-entah fasal warna seluar dalam dia pun korang sibukkan juga agaknya. Dasar kiah propa.”
Mendengar celoteh Yati yang tidak berlapik, Syikin terus diam tak terkata. Dalam hati bukan main bengang lagi dilemparkan kata-kata sebegitu. Bisa-berbisa dan tajam menikam!
“Bapak tiri je...” Noni mengomel dan Yati mengetap bibir. Malas betul dia melayan kerenah dua manusia yang suka mengutuk orang lain. Cakap orang tak pandai bersyukur bukan main lagi. Lupa agaknya, sendiri yang tidak tahu bersyukur dapat mencari makan di syarikat ini. Bukannya dia tidak tahu, Noni dapat bekerja di sini kerana abangnya kawan baik dengan    Encik Ishak, Manager HR di sini padahal Noni bukan ada pengalaman dan kelulusan di bidang yang dikehendaki oleh syarikat.

KELUAR dari pejabat, Hannah terus menuju ke rumah. Hannah memandang sekeliling biliknya. Sudah habis semua laci diselongkar sedari tadi, tapi barang yang dicari masih juga tidak ditemui. Tangannya dicekakkan ke pinggang. Mulut berdecup keras. Otaknya ligat berfikir. Rasanya pasport miliknya itu diletakkan di dalam laci meja soleknya sebaik pulang bercuti dari Eropah beberapa bulan lepas. Tapi kenapa bila dicari dah tak ada. Haishhh... rosak plan macam ni! Desisnya keras. Rambutnya diramas kasar. Bagai kucing hilang anak keadaannya.    
Hannah menjadi tidak tentu arah. Kalau nak buat semula memang tak sempat. Nak buat report lagi. Nak buat urusan itu ini. Dia cuma ada masa dua bulan saja daripada sekarang untuk melepaskan diri daripada semua perancangan gila tersebut.
“Cari apa?”
Teguran keras Datin Umairah menghentikan lamunan Hannah. Dia terus berpaling menghadap ke arah pintu. Soalan Datin Umairah tidak dijawab, hanya pandangannya saja dibuangkan ke arah wanita yang hampir separuh umur itu.
“Cari apa?” soal Datin Umairah lagi apabila melihat Hannah masih termangu melihatnya di situ.
Hannah menggeleng. “Tak ada apa-apa,” dalihnya dan terus berlalu menuju ke meja solek semula.
“Nak cari ni ke?”
Hannah berpaling memandang Datin Umairah semula. Terpandangkan buku merah di tangan mamanya, hampir pitam dia di situ.
Datin Umairah sinis sambil menunjukkan buku merah di tangannya. Buku tersebut digoyang-goyangkan sambil dia tersenyum kemenangan memandang reaksi anak gadisnya itu.
“Hannah cari ni kan?” Ulang Datin Umairah lagi dan sedikit kasar nadanya.
“Mama tak patut ceroboh privacy Hannah!” Bentak Hannah keras. Geram dengan apa  yang dilakukan oleh Datin Umairah itu.
“Mama tahu Hannah tentu akan buat sesuatu sebelum majlis tu berlangsung.”
“Mama memang kejam!” jerit Hannah lantang. Nafasnya dihela keras.
“Mama buat semua tu untuk kebaikan Hannah. Untuk masa depan Hannah,” balas Datin Umairah dengan suara yang turut naik senada.  Semakin hilang sabar dia dengan kelakuan anak gadisnya itu.
Hannah tergelak sinis. Air mata yang mula menitis pantas diseka. Sakit hatinya ketika itu tak terkata. “Untuk kebaikan Hannah atau untuk menambah kekayaan keluarga mama?” Sinis dia menyoal. Datin Umairah dijeling tajam.
“Keluarga mama keluarga Hannah juga. Azryl pilihan yang terbaik untuk Hannah. Mama yakin dia mampu beri kemewahan untuk Hannah,” jelas Datin Umairah bersungguh-sungguh meyakinkan Hannah bahawa keputusannya itu tepat demi kehidupan dan masa depan Hannah. 
“Kemewahan?” Hannah tergelak lagi. “Apakah pada mama kemewahan itu lebih penting daripada segalanya?” Hannah terus menyoal Datin Umairah yang semakin dikaburi dengan kemewahan sejak mengahwini Datuk Mazlan.
Datin Umairah mengangguk. “Ya, duit adalah segala-galanya. Kalau kita berduit orang sanggup sujud di kaki kita, Hannah,” balasnya angkuh, sekali gus menambahkan rasa kesal dan terkilan di hati Hannah terhadap mamanya itu.
“Hannah nak hidup susah macam masa kita hidup dengan ayah dulu? Hannah lupa apa yang kita lalui?” Datin Umairah cuba mengingatkan masa lalu mereka. Cukuplah dia melalui kesusahan ketika bersama bekas suaminya dulu dan dia tak mahu Hannah melalui kesusahan yang sama.
Hannah tersenyum sinis. Pandangannya dibuang ke balkoni biliknya. Entah kenapa, sebu dadanya mendengar kata-kata mamanya tadi. Angkuhnya mama dengan kemewahan yang dia ada. Bongkaknya mama dengan kehidupan pinjaman yang sementara, sehingga sanggup mencemuh ayahnya. Air matanya menitis lagi. Kali ini dia benar-benar tewas. Air mata yang cuba dipertahankan agar tidak sesekali luruh menitis terus tanpa mampu ditepis lagi.
Setelah lama terdiam untuk menenangkan hati, Hannah berpaling memandang Datin Umairah semula. “Hannah lebih rela memilih untuk hidup susah kalau itulah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kebahagiaan, ma.” Perlahan dan sebak kata-kata itu dituturkan.
“Jangan jadi bodoh, Hannah. Mama dah lalui kehidupan yang perit selama dengan ayah dulu. Mama tak nak anak mama melalui perkara yang sama!”
Dengan mata yang masih berkaca, Hannah merenung mamanya tajam. “Fine, kalau kemewahan adalah bahagia yang mama cari, mama teruskanlah kehidupan mama. Tapi Hannah inginkan kebahagiaan yang hakiki. Hannah tak nak terus-terusan menjadi boneka dalam rumah ni. Untuk pengetahuan mama, walau apa pun yang terjadi, Hannah tak akan berkahwin dengan Azryl. Itu keputusan Hannah. Muktamad!” Keras jawapan Hannah membantah keputusan yang telah dipersetujui Datin Umairah dan Datuk Mazlan dengan keluarga buaya darat itu.
“Hannah!” jerit Datin Umairah berang. “Jangan sesekali nak malukan mama dan papa!” bentaknya lagi semakin kasar.
Tidak menjawab kata-kata mamanya itu, Hannah terus mencapai beg tangan di atas katil lalu terus berjalan laju meninggalkan Datin Umairah dengan perasaan kecewa yang sarat di dalam hati.
“Hannah!” Datin Umairah menjerit lantang apabila anak gadisnya itu hampir melanggarnya.
“Jangan pergi! Kita belum selesai lagi!”
Hannah tidak mengendahkan jeritan mamanya, dia terus berlari menuruni anak tangga. Sebaik masuk ke dalam perut kereta BMW 5 series kelabu miliknya, dia terus memecut laju keretanya tanpa arah tujuan. Sedar-sedar waktu sudah menginjak ke pukul 8.00 malam. Entah sudah berapa lama dia memandu keretanya itu pun dia tidak tahu. Perlahan-lahan Hannah melepaskan keluhan. Stereng kereta dihentak-hentak dengan tangan bagi melepaskan segala perasaan yang berbuku di hatinya. Rimas dengan suasana ketika itu, butang CD ditekan kasar. Sayup-sayup terdengar lagu A Thousand Year memecah kesunyian setelah sedari tadi dirinya hanya ditemani deru angin penyaman udara sahaja. Nampaknya lagu tersebut masih belum mampu meredakan panas di dalam hatinya walaupun lagu itu adalah antara lagu kegemarannya.
Sekali lagi Hannah melepaskan keluhan. Kepala yang berserabut semakin menyesakkan dirinya. Plan untuk lari dah gagal dan sekarang apa lagi plan yang dia ada? Rambutnya diramas kasar dengan sebelah tangannya. Kali ini dia benar-benar buntu. Rancangan asal hendak lari ke rumah Auntie Auni di Melbourne, tapi nampaknya nak jejakkan kaki ke KLIA pun tak lepas.
Terkenangkan pasport antarabangsanya yang dirampas oleh mamanya, sekali lagi keluhan berat dilepaskan. Tidak tahu ke mana arah yang perlu dituju, akhirnya keretanya dipandu menghala ke rumah Elyna. Sekurang-kurangnya, Elyna boleh menenangkan otaknya yang sedang sesak ketika itu. 
Sampai saja di kondominium Elyna, keretanya terus diparkir dan dia terus berjalan laju menuju ke kondominium milik sahabatnya itu. Loceng ditekan. Setelah beberapa minit menanti, pintu dibuka.
“Eh, kau...” tegur Elyna dengan agak terkejut sebaik pintu kondonya dibuka.
“Yalah aku...” balas Hannah malas dan terus melangkah masuk.  Dia terus berjalan menuju ke sofa tanpa menghiraukan Elyna yang sedang menutup pintu ketika itu. Tubuhnya direbahkan ke atas sofa, kemudian matanya dipejamkan rapat.
“Kenapa ni?” Kaki sahabatnya itu ditepuk sekilas.
Hannah mendengus. Tangannya diangkat lemah dan diletakkan di dahi.
Melihat apa yang dilakukan oleh sahabatnya itu, Elyna tergelak dengan spontan. Hannah terus membuka matanya dan sahabatnya itu direnung tajam.
“Kenapa kau gelak? Lawak sangat  ke tengok keadaan aku sekarang?” bentaknya keras bersama dengan wajah yang muram.
Elyna tersenyum kelat. Tangannya diangkat. “Sorry, bukan aku sengaja nak gelakkan keadaan kau... Tapi cara kau tu macam orang banyak hutang tahu tak! Mengeluh sana... Mengeluh sini... Dengan tangan kat dahi macam tu pulak. Wei! Janganlah macam ni... Chill lah,” selorohnya sambil tergelak kecil. Kaki Hannah ditepuk sekali lagi. 
Hannah terus bangun dari baringannya. Tubuhnya disandarkan pula. “Nak chill macam mana Elyn kalau plan aku semua dah ke laut!”
“Maksud kau?”
“Aku ingat nak lari ke Melbourne, ke rumah Auntie Auni, tapi mama aku tu awal-awal dah rampas pasport aku. Kadang-kadang aku rasa mama aku tu macam ahli sihir jahat yang dalam cerita Red Riding Hood tu. Apa yang aku fikir dan nak buat semua dia boleh baca,” bebel Hannah geram. Masakan dia tidak geram, segala tindak-tanduknya, tidak terlepas daripada mamanya itu. 
Semakin galak Elyna tergelak sebaik mendengar bebelan sahabatnya itu. Boleh pula nak disamakan Datin Umairah dengan ahli sihir. Ahli sihir jahat pulak tu.  Memang kejam punya anak. Kutuk Elyna di dalam hati.
“Elyn!” jerit Hannah lantang. Sahahatnya itu dijeling tajam dengan ekor matanya. Dia sedang serabut boleh pula Elyna tergelak-gelak macam orang putus wayar. Ingatkan dapatlah menenangkan fikiran di sini, tapi rupanya semakin menyakitkan hati.
Tawa Elyna terus mati. Sekali lagi tangannya diangkat. “Sorrylah babe... Seriously, lawak betul kata-kata kau tadi. Yang kau samakan mak kau dengan ahli sihir jahat, kenapa? Tak baik tahu tak.” Elyna tersenyum simpul sambil menggelengkan kepalanya perlahan. Dia tidak dapat menahan rasa lucu dengan telatah sahabatnya itu.
Hannah mencemik. “Dah memang betul pun,” bidas Hannah mengiakan kata-katanya.
So, sekarang plan tak menjadi kau nak buat apa? Reda ajelah ek dengan apa yang bakal berlaku nanti?” Elyna kembali menyoal Hannah dengan nada yang serius berbanding tadi.
Hannah menggeleng. Matanya dipejamkan semula. Kepalanya dipicit-picit perlahan. Sampai nak kena migraine dia memikirkan keputusan yang sudah dibuat oleh Datin Umairah dan Datuk Mazlan untuknya sejak tengah hari tadi, tetapi tetap tiada jawapan. Semuanya serba tidak kena.
Elyna terus bangun dari duduknya. “Kau nak air tak?” soalnya pula.
“Nescafe tarik kaw satu!” jawabnya dengan gaya seperti pelanggan di kedai mamak, sekali gus membuatkannya tergelak sendiri dengan tingkahnya itu.
 “Permintaan! Macamlah kau kat kedai mamak. Aku cepuk kang.” Elyna mencemik dan terus membebel.
 “Bukan selalu boleh dera kau,” ucapnya selamba.
Tidak mengendahkan sahabatnya itu, Elyna terus berlenggang menuju ke dapur. Setelah beberapa minit berlalu, dia keluar semula sambil menatang dua muk di tangan.
“Nah! Nescafe tarik kaw kau. Malam ni kalau kau tak boleh tidur, kau jangan kacau aku,” bebel Elyna sambil menghulurkan muk ke arah Hannah. Hulurannya bersambut. Elyna terus duduk di sebelah sahabatnya itu. Air di tangannya dihirup perlahan.
“Aku rasa jalan terbaik kalau kau tak nak kahwin dengan Azryl, kau kahwin aje dengan orang lain,” cadang Elyna tiba-tiba. Matanya ditalakan ke arah televisyen di hadapannya.
Hannah tercengang. Sahabat di sebelahnya itu direnung tajam.
“Kau ni... Aku nak lari daripada masalah, tapi kau suruh aku cari masalah lain pulak,” bidas Hannah sedikit keras. Itu nak menyelesaikan masalah atau nak mencari nahas? Soalnya sendirian di dalam hati.
“Kahwin kontrak. Macam cerita-cerita  drama tv yang popular sekarang,” cadangnya lagi seraya mengambil muk lalu dihirupnya perlahan baki air milo tadi. Terlupa yang dilihat drama-drama dari luar negara. Bukan ada hukum hakam yang melarang.
Hannah menggeleng. “Hei, Cik Peguam! Berdirilah di bumi yang nyata. Itu drama bukannya realiti,” bidas Hannah geram. Rasa nak diketuk kepala sahabatnya itu. Boleh pula nak disamakan kehidupannya dengan drama dalam tv. Senget betul!
Elyna berpaling. “Drama dihasilkan daripada realiti kehidupan apa...” balasnya membela diri.
“Kau ni mesti banyak tengok tv sampai terpengaruh macam tu sekali. Lagipun Cik Elyna, kalaupun aku nak buat macam tu, aku nak kahwin dengan siapa?” soalnya dengan dahi berkerut. Makin bertambah sakit dibuatnya mendengarkan cadangan gila daripada sahabatnya itu.
Elyna tersengih. Kepalanya digaru perlahan dan bahunya diangkat.
“Hurm... Cakap aje pandai!” kutuk Hannah geram. Rasa nak tunjal dahi sahabatnya.
Elyna mendengus. “Aku bagi idea ajelah,” jawabnya terkulat-kulat sendirian.
Hannah mencemik. Namun, kata-kata Elyna ligat berputar di kepalanya. Kahwin kontrak. Cliché punya jalan penyelesaian. Huh!




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...