Followers

Wednesday, 1 June 2016

Misi Curi Hati Dia - Bab 5

FATHIA mengerling jam di tangan. Masuk kali ini sudah beberapa kali jam di tangannya itu di jeling. Mesej dari Azri tengah hari tadi bermain-main di kepalanya.
           
Tia, saya berada di JB sekarang. Kerja-kerja saya akan selesai dalam pukul 4.00 petang. Saya berharap sangat awak akan call dan saya boleh jumpa awak.

Fathia mengeluh perlahan. Serba salah dia dibuatnya. Pening kepalanya dengan permintaan lelaki itu. Azri, kenapalah awak suka memaksa? Desisnya dalam hati.
“Tia, kau kenapa?” soal Suhaili hairan. ABC di hadapannya dikacau-kacau sebelum disuap ke mulut.
Fathia menggeleng sambil tangannya laju menyuap cendol pulut di hadapan.
“Kau jangan nak tipu aku. Baik kau cakap dengan aku apa halnya ni? Resah aje aku tengok. Ada problem dengan Khairul eh?” tebak Suhaili melulu. Kalau tadi lembut saja nada suaranya kali ini sudah berbunyi tegas pula.
“Bukanlah, bukan pasal Khairul,” jujur Fathia menjawab.
“Okey, kalau bukan sebab Khairul kenapa kau jadi macam ni?” soal Suhaili lagi seakan-akan memaksa.
“Azri,” sepatah Fathia menjawab.
Sudah tercengang Suhaili memandang sahabatnya itu. Azri? Azri mana pulak yang interframe dalam hidup Fathia sekarang? “Azri mana pulak ni?”
“Azri kawan Facebook tu lah,” acuh tak acuh Fathia menjawab.
“Oh si mamat sengal tu eh?”
Fathia mengangguk.
“Okay, tapi kenapa dengan dia?”
“Dia ada di JB sekarang dan dia nak jumpa aku,”
“Jumpalah, jadi apa masalahnya?” soal Suhaili hairan.
“Masalahnya Elly, aku tak nak jumpa dia,” keras Fathia menjawab.
“Apasal kau tak nak jumpa dia?”
“Tak ada pasal apa-apa. Aku memang tak nak jumpa dia,”
Suhaili menggeleng. Orang nak ajak jumpa aje bukan suruh buat apa pun.
“Aku rasa tak salah kalau kau jumpa dia. Kata kawan kan? Apa salahnya jumpa kawan. Ke kau ada hati kat dia sebab tu malu nak jumpa,” lancar saja Suhaili membidas.
Fathia memandang Suhaili tajam.
“Kau cakap apa ni? Aku dengan dia cuma kawan Facebook aje lah,” keras Fathia membalas. Geram pula dengan tuduhan Suhaili tadi.
“Kalau kawan Facebook tak boleh jumpalah. Macam tu?”
“Bukan macam tu Elly, tapi aku memang tak pernah terniat pun nak jumpa dia. Tak boleh ke kalau setakat kenal di Facebook aje?”
“Tia, aku rasa tak salahpun kalau kau jumpa dia. Setakat jumpa aje pun,” pujuk Suhaili pula.
Fathia terdiam. Mati kutu tiba-tiba. Nak jumpa atau tidak? Soalnya dalam hati.
“Kau temankan aku jumpa dia,” pinta Fathia berharap.
“Apasal nak libatkan aku pulak?” soal Suhaili sambil tekun menyuap ABC di hadapannya tanpa menghiraukan sahabat di sebelahnya itu.
“Malulah nak jumpa dia sorang-sorang. Lagipun ini baru pertama kali kita orang nak berjumpa,” pujuk Fathia lembut.
Suhaili tergelak. Malu rupa-rupanya. Patutlah beria-ia tak nak jumpa. Di Facebook bukan main berani lagi nak berdepan kecut perut. Itulah Tia, lain kali jangan berani sangat. Kutuknya dalam hati sambil tersenyum.
“Urusan kau, aku malas nak campur,” jawab Suhaili selamba.
“Elly please. Kalau kau tak nak teman, aku pun tak nak jumpa dia,”
“Tia, kalau aku ikut pun setakat jadi tunggul kayu kat situ buat apa?”
“Siapa suruh kau jadi tunggul kayu? Kau pun boleh kenal dia jugak kan,” bebel Fathia sambil menjeling pandang sahabatnya itu.
Suhaili mendengus. Lama dia terdiam untuk memikir.
“Okeylah.okeylah, aku teman. Pukul berapa nak jumpa? Jangan lama-lama sangat sebab malam ni aku dah janji dengan mak aku nak beli barang dapur,” akhirnya Suhaili mengalah. Acuh tak acuh saja di tuturkan kata-katanya itu.
Fathia tersengih. “Jumpa kejap ajelah. Nak jumpa lama-lama buat apa. Aku call dia sekarang tanya nak jumpa kat mana,”
Tidak menjawab, Suhaili hanya mengangguk sahaja.

AZRI memandang iPhone 5 di tangan. Nombor yang tertera di skrin telefonnya direnung lama. Siapa? soalnya perlahan. Namun akhirnya panggilan tersebut dijawab juga.
“Waalaikumussalam,” balasnya perlahan menjawab salam yang dihulurkan. “Siapa ni?” soalnya kembali.
“Tia,”
Mendengar nama itu, sudah melebar senyuman yang terukir dibibirnya. See, tak sia-sia dia merayu. Akhirnya pemilik nama Tia_the freak itu menghubunginya juga. Yes! Akhirnya, jerit Azri dalam hati. “Tak sangka akhirnya awak telefon saya jugak,”
“Saya pun tak sangka akan telefon awak,”
Azri tersenyum. “Awak free tak? Saya harap boleh jumpa awak sebelum saya balik ni,”
“Buat masa ni saya free jadi nak jumpa awak di mana? Biar saya pergi cari awak,”
Azri tediam sebelum akhirnya dia bersuara semula. “Saya tunggu awak di restoran Old Town White Cofee City Square. Boleh tak?”
“Okey, jumpa awak dalam setengah jam lagi,”
“Okey Tia, thanks,”
“Okey Azri,”
Azri merenung iPhone 5 di tangan sambil tersenyum. Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan pemilik nama Tia_the freak itu. Entah macam manalah orangnya, dari suaranya tadi rasanya Tia itu masih muda lagi. Bisik Azri mengagak. Berdebar pula dia rasa. Eh Azri! Tiba-tiba jadi mengada!
“Apasal? Apa yang ada dalam telefon tu sampai tak berkelip kau tengok. Mari bagi aku tengok sekali,” giat Shidi sambil tersenyum.
Azri tersengih. “Mana ada apa-apalah,” balas Azri sambil menekan-nekan telefon bimbitnya untuk menyimpan nombor telefon Tia. Sudah ada nombor telefon senanglah dia nak jual minyak bila-bila masa saja yang dia suka.
“Pukul berapa nak balik ni?” soal Shidi tiba-tiba.
“Kita balik lewat sikit boleh tak? Aku nak jumpa kawan sekejap,”
“Kawan ke awek?” giat Shidi sambil tergelak kecil.
“Ha, yang ni memang betul-betul kawan,”
“Aku kalau dengan kau ni memang susah nak percaya. Semua kau cakap kawan tapi melayan macam kekasih awal dan akhir,” kutuk Shidi tanpa berselindung.
Azri tergelak besar. Sedikit pun tak terkesan dengan kata-kata sahabatnya itu. Bab melayan perempuan memang dia terror. Dia akui itu. Maklumlah Romeo in the making. Bisiknya dalam hati sambil tersenyum.
“Eh jomlah, aku janji dengan dia nak jumpa dekat City Square,” ajak Azri dan terus bangun dari duduknya. Kunci kereta yang diletakkan di atas meja di capai.
Malas hendak bertanya banyak, Shidi turut bangun dan hanya mengekor sahaja.

SAMPAI sahaja di hadapan restoran Old Town White Coffee City Square tersebut, debaran di dada Fathia semakin berdetak cemas. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa berdebar semacam sahaja. Perlahan-lahan nafasnya ditarik dan dihela. Relaks Tia.relaks. bisiknya pada diri sendiri. Aduhlah! jumpa Azri aje pun Tia bukan jumpa bakal suami pun. Pujuknya pada diri sendiri.
“Mana dia?” soal Suhaili tiba-tiba sambil menjeling Fathia di sebelahnya.
“Kejap aku telefon dia,” Fathia terus mengeluarkan telefon bimbit di dalam tas tangannya. Nombor telefon Azri di dail. Setelah beberapa deringan berbunyi, panggilannya berjawab. “Saya dah sampai, awak kat mana?”
“Saya ada di dalam. Awak masuk sekarang, yang angkat tangan itulah saya,”
“Okay,” balas Fathia sepatah dan telefon bimbitnya terus dimatikan. Kalau ada dua tiga orang yang angkat tangan macam mana Azri? Soalnya pada diri sendiri.
Malas hendak berfikir lagi, Fathia terus melangkah dan pintu restoran tersebut dikuak. Matanya melilau memandang sekeliling. Terpandangkan seorang lelaki sedang melambai ke arahnya, Fathia terus menarik tangan Suhaili kejap.
“Itu dia,” bisik Fathia perlahan dan rapat ke telinga Suhaili.
Suhaili terjengah-jengah mencari lelaki yang dimaksudkan oleh Fathia tadi. Sebaik terpandangkan lelaki tersebut, Suhaili terus tersenyum nipis. Hurm not bad. Handsome jugak. Pujinya dalam hati. Mereka terus berjalan menuju ke arah Azri
“Assalamualaikum,” sapa Fathia sopan.
“Waalaikumussalam,” balas Azri perlahan dan terus bangun dari duduknya.
“Saya Azri. Ini kawan saya, Shidi,” sambungnya lagi memperkenalkan diri.
Fathia mengangguk dan tersenyum.
“Saya Tia dan ini kawan saya Elly,” balas Fathia pula.
Azri tersenyum.
“Duduklah,” pelawanya sopan sambil matanya masih lagi tancap memandang pemilik nama Tia_the freak itu. Cantik orangnya, manis bertudung dan kecil molek sahaja. Penampilannya juga agak up-to-date jugalah bagi perempuan bertudung sepertinya. Bisik Azri dalam hati menganalisa perempuan di hadapannya itu.
Fathia terus duduk. Melihat renungan tajam lelaki itu, dia sudah tidak tentu arah di situ. Namun sebaik mungkin dia berlagak tenang seolah-olah tidak terkesan dengan renungan lelaki itu.
“Minum?” soal Azri sebaik pelayan menghampiri meja mereka.
Fathia mengangguk. Menu yang dihulurkan disambut dan dibelek.
“Oldtown enriched chocolate,” jawab Fathia lembut.
“Awak pulak?” soal Azri lagi sambil membuang pandang ke arah Suhaili di sebelah Fathia.
“Fresh lemon juice,”
“Makan?” soal Azri lagi seolah-olah dialah pelayan di situ.
Fathia dan Suhaili terus menggeleng.
“Roti pun tak nak ke?”
“No thanks Azri,” lembut Fathia menolak.
“Okey itu saja,” sambung Azri lagi lalu menyerahkan menu kepada pelayan di sebelahnya kembali. Pelayan itu beredar dari situ.
“Terima kasih Tia sudi jumpa saya,” tutur Azri sambil memandang Fathia semula.
“Kebetulan saya free petang ni,”
“Nampaknya saya bertuah hari ni dapat jumpa awak,”
Fathia tergelak kecil.
“Tak sangka awak ni di Facebook dan di luar sama saja. Awak cuba jual minyak ke Azri?” usik Fathia nakal.
Azri terus tergelak.
Shidi di sebelahnya turut tergelak. Ha, kena kau sebijik. Ejek Shidi dalam hati.
“Tia, awak pun sama jugak suka mencantas saya,” kutuk Azri pula.
Mereka sama-sama tergelak.
“Di, kalau kau nak tahu Tia ni dari puak pembangkang. Semua status-status aku mesti kena kutuk dengan dia,”
Fathia tergelak lagi.
“Sampai hati awak kata saya dari puak pembangkang. Saya cuma memberi pendapat saya sajalah Azri. Selama ni awak terasa ke dengan komen-komen saya?” soal Fathia serba salah.
Azri menggeleng kemudian tersenyum.
“Taklah Tia, kadang-kadang komen awak tu ada yang menyedarkan saya jugak,” jujur Azri membalas. Memang betul pun, kadang-kadang memang dia terkesan dengan komen-komen yang diberikan oleh perempuan di hadapannya itu.
Fathia tersenyum.
“Saya minta maaf ya Azri kalau awak ada terasa. Kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita tulis itu akan menyakiti hati orang lain,” tutur Fathia ikhlas tetapi memang betul pun, mata tinta itukan lebih tajam dari mata pedang.
“Saya pun minta maaf Tia kalau saya ada terkasar bahasa dengan awak dalam setiap komen saya. Saya pun kadang-kadang suka juga membelasah orang melalui komen-komen saya,”
“Hello! Raya lambat lagilah. Nak bermaaf-maafan sila tunggu raya,” sampuk Suhaili tiba-tiba. Apa kes sibuk nak minta maaf segala.
Sudah tergelak besar Shidi mendengar kata-kata Suhaili tadi. Fathia dan Azri pula sudah tersengih-sengih di giat begitu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...