“ELLY, temankan aku pergi KL Jumaat ni,”
Suhaili mendongak dan memandang Fathia dengan dahi berkerut seribu.
“Buat apa? Nak jumpa Azri?” soal Suhaili selamba.
Fathia menjeling Suhaili tajam. Sudah tak ada benda lain ke nak fikir. Semenjak pertemuan mereka tempoh hari mulut sahabatnya itu tidak berhenti bertanya tentang Azri.
“Elly, hari Sabtu tu birthday Emil lah. So, aku nak pergi KL nak celebrate birthday dia. Ada faham?” walaupun perlahan tapi keras Fathia bersuara.
“Oh ya ke? Sorry lah, aku ingatkan tadi kau nak jumpa mamat sengal tu,” balas Suhaili sambil tersengih.
“Itulah lain kali jangan main serkap jarang aje. Tanya dulu betul-betul. Ini main terjah aje sesuka hati,” bebel Fathia lagi. Geram dengan sikap Suhaili yang kadang-kadang suka cakap lepas dan bertindak melulu.
Suhaili tersengih lagi. Ha.kan. Tak pasal-pasal kena sembur. Marahnya pada diri sendiri.
“Boleh jugaklah. Aku pun dah lama tak jumpa Emil. Rindu juga dengan si handsome kecil tu. Dah terlanjur ke sana boleh jumpa Zati sekali,” tutur Suhaili lagi sambil mengacau air milo di hadapannya.
“Kita bertolak hari Jumaat eh. Balik kerja terus gerak,” cadang Fathia lagi.
“Okey, no hal. tapi kita nak stay kat mana?” soal Suhaili pula.
“Aku dah booked bilik di Quality Hotel. Kau stay lah dengan aku,”
“Kenapa tak stay rumah abang kau aje?”
“Abang aku sekeluarga ke Sabah,”
“Oh, okay,” belas Suhaili pendek. Pisang goreng di hadapan diambil kemudian dicicahkan sambal kicap sebelum disuapkan ke mulut. Seketika kemudian, Suhaili mendongak dan memandang sahabatnya itu semula.
“Tia, kau nak celebrate birthday Emil dengan Khairul ke? Kalau dia ada aku tak nak interframe,”
Fathia menggeleng.
“Aku dah beritahu Khairul, aku nak celebrate berdua dengan Emil aje. Kalau dia ikut nanti sakit kepala aku. Mesti dia tak habis-habis nak tanya pasal hal tu,” bebel Fathia panjang lebar. Nama saja dia minta Khairul beri masa untuknya berfikir tapi sebenarnya dia langsung tak pernah fikir pun tentang hal tersebut.
“Kau dah fikirkan belum permintaan dia tu?” soal Suhaili perlahan. Sebenarnya malas hendak masuk campur urusan sahabatnya itu tapi kadang-kadang kesian dengan nasib yang menimpa Fathia sebelum ini. Si Khairul itu pula, dulu sesedap hati membuang sekarang dia pula yang terhegeh-hegeh. Memang muka tak tahu malu betul. Jenis muka tembok! Kutuk Suhaili dalam hati.
“Malas aku nak fikir. Bagi aku cadangan dia tu cadangan gila,” balas Fathia acuh tak acuh.
“Tapi Tia, kalau itu saja caranya yang ada untuk kau bersama Emil kenapa tak pertimbangkan?” soal Suhaili seakan-akan memujuk.
Fathia berpaling memandang Suhaili tajam. “Elly, aku tak nak gadaikan maruah aku demi kepentingan dia. Dia ingat aku ni apa? Bola ke yang boleh dia tendang ke sana ke mari? Buang bila tak suka dan kutip bila dia nak guna. Macam tu?”
Suhaili mengeluh perlahan. Betul juga kata-kata Fathia itu. Kalau Fathia mengikut cadangan Khairul maknanya Fathia terpaksa memikul satu tanggungjawab baru. Kalau dia pun dia tak rela.
“Susah-susah kau kahwin aje dengan orang lain Tia. Mesti Khairul akan berhenti memburu kau,” cadang Suhaili tiba-tiba.
Fathia memandang Suhaili sekilas.
“Kau ni tak habis-habis suruh aku kahwin. Kau dah benci sangat eh selalu kena temankan aku? Atau kau dah muak nak dengar cerita-cerita aku?” soal Fathia seolah-olah berjauh hati.
Suhaili menarik nafas perlahan. Tak sangka pula Fathia terasa dengan kata-katanya tadi. “Bukan macam itulah Tia. Aku cuma beri cadangan untuk kau keluar dari masalah sekarang,”
“Bijak sangat cadangan kau tu kan. Keluar dari satu masalah masuk ke dalam masalah lain. Hurm. tak naklah aku,”
Suhaili tergelak lepas. Betul juga tu. Dapat jenis suami yang okey tak apalah juga tapi kalau jenis lelaki yang tak semenggah tidak ke terseksa jiwa dan raga. Bisik Suhaili dalam hati.
“Oh ya, dah terlanjur kau ke KL ni, kau tak jumpa Azri ke?” soal Suhaili tiba-tiba.
Fathia mendengus keras. Azri lagi. Bosan betul!
“Kau ni tak habis-habis sibukkan Azri kenapa ek? Kau suka dia eh?” tebak Fathia geram. Macam tak ada soalan lain nak ditanya. Dengusnya dalam hati.
Suhaili tersengih. “Bukanlah macam tu. Kata kawan kan, so apa salahnya dah kebetulan kau turun kau jumpalah dia sekali. Kalau dia tahu kau turun tapi tak jumpa dia kecil hati dia nanti,” tutur Suhaili panjang lebar.
“Ialah kau tu. Kalau kau terminat dekat dia, aku boleh tolong rekomenkan. Aku tahu Azri tu handsome mesti cair kau tengok kan?” giat Fathia sengaja mengusik sahabatnya itu.
“Handsome Khairul lagi. ops.” balas Suhaili selamba kemudian segera ditutup mulutnya dengan kedua-dua tangannya.
“Elly!” jerit Fathia geram.
Suhaili terus mengangkat tangannya tanda mengaku salah.
“Sorry, Tia,” ucapnya pendek. Macam mana pulaklah boleh terlepas cakap. Bebel Suhaili dalam hati memarahi diri sendiri. Sudah mencerlung mata Fathia memandang sahabatnya itu. Suhaili memang nak kena. Sengaja aje!
“ENCIK AZRI,” panggil Jessy lantang.
Azri yang baru sahaja melangkah masuk ke ruang pejabat itu terus berpaling. Langkahnya dihentikan. Wajah Jessy dipandang tak beriak.
“Yes, Jess. What’s up?” soalnya mendatar. Lengan kemejanya dikemaskan.
“Encik Azri dari mana ni? Serabut aje nampak,” soal Jessy hairan. Matanya tajam memandang Azri yang sedang mengemaskan lengan kemeja dan tali lehernya ketika itu.
“I dari surau. Baru lepas solat Asar,”
Jessy tersenyum. “Memang calon suami solehlah Encik Azri ni,” puji Jessy ikhlas.
Azri tergelak. “Jangan puji I lebih-lebih Jess, you tak kenal I lagi,” beria-ia Azri mengingatkan. Lagipun dia memang tak suka dipuji-puji begitu kerana dia sedar akan kekurangan diri.
Dia bukannya baik sangat pun. Walaupun sembahyang lima waktu dia tak pernah tinggal tapi dia nakal sebenarnya. Cuma kenakalannya tidak pernah melebihi batasan. Selama ini perkara-perkara yang dilarang memang dijaga. Setakat sentuh-sentuh dan cuit-cuit perempuan tu adalah tapi bukan dengan semua perempuan dia nakal begitu.
“Encik Azri tak usahlah nak merendah diri okay. Semua staf kat sini tahu you tu cuma nakal aje,” telah Jessy pula.
Azri tersengih pula. “Sudahlah tu memuji I, Jess. Okay, apa hal sebenarnya you panggil I ni?” soal Azri cuba mematikan perbualan mereka.
“Oh ya, tadi Datuk cari you nak bincang tentang proposal projek di Tioman,”
Azri mengangguk perlahan. “Datuk ada lagi tak?” soalnya lagi.
Jessy menggeleng.
“Datuk baru keluar tapi dia ada tinggalkan dokumen ni untuk you,” balas Jessy sambil menghulurkan fail kertas di tangannya kepada lelaki di hadapannya itu. Huluran Jessy disambut.
“One more thing Encik Azri, Datuk suruh you pergi Tioman hujung minggu ni untuk tengok keadaan tapak. Datuk dah beritahu Encik Latifi yang you akan ikut dia,” sambung Jessy lagi.
“This weekend?” soal Azri dengan dahi berkerut.
Jessy mengangguk. “Yup, this weekend,”
Azri terus melepaskan keluhan berat. Sebelah tangannya dicekakkan ke pinggang manakala sebelah lagi diraupkan ke kepala. Mana boleh dia ke mana-mana hujung minggu ni, bukankah Tia sepatutnya datang ke Kuala Lumpur.
“Why, Encik Azri, any problems?” soal Jessy hairan.
“I ada hal weekend ni Jess. Family matters and it’s quite important,” balas Azri bersungguh.
Jessy terus terdiam. Kasihan pula melihat resah di wajah lelaki di hadapannya itu.
“I think better you discuss with Encik Latifi. Maybe he can postpone the trip,” cadang Jessy tiba-tiba.
Azri memandang Jessy lama dan akhirnya dia mengangguk. “Okay nanti I bincang dengan dia. Anyway, thanks, Jess,”
Jessy mengangguk dan tersenyum.
“Just a small matter, Encik Azri” balas Jessy perlahan dan terus berlalu dari situ.
Azri terus melangkah menuju ke biliknya. Sebaik duduk ditempatnya, fail yang dihulurkan oleh Jessy tadi dibuka. Helaian demi helaian kertas di dalam fail itu dibelek. Sesekali terdengar dia mengeluh perlahan. Tak boleh jadi ni, satu apa pun tak masuk dalam kepala. Tidak bertangguh, Azri terus bangun dari duduknya dan melangkah keluar menuju ke bilik pengurus projek yang berada tidak jauh dari biliknya.
“Hai Zie,” sapa Azri ramah.
Azie mendongak dan tersenyum. “Hai Encik Azri. Ada apa?” soal Azie sopan.
“Encik Latifi ada?” soal Azri lagi sambil jarinya ditunjukkan ke arah bilik Pengurus Projek syarikat Jurutera Perunding itu.
Azie mengangguk. “Ada, Encik Azri masuk sajalah, Encik Latifi tak ada tetamu sekarang,”
Azri mengangguk dan terus melangkah menuju ke bilik tersebut. Pintu diketuk dan dibuka.
“Busy ke?” soal Azri sebaik pintu dikuak.
“Bolehlah tahan. Eh masuklah,”
Azri tersenyum dan terus masuk.
“Apa hal?” soal Latifi perlahan.
“Tentang site visit ke Tioman weekend ni,” balas Azri tak bertangguh dan terus duduk di hadapan lelaki itu.
Latifi mengangguk. “Kenapa?”
“Postpone tarikh lain boleh tak?” soal Azri mengharap. Wajah Latifi dipandang tak berkelip sedang dalam hati dia berdoa semoga permintaannya dipertimbangkan.
Latifi terdiam. Kalendar di atas mejanya dibelek. “Kau ada hal ke hari tu?” soal Latifi perlahan.
Azri mengangguk. “Ada hal keluarga. Pentinglah,”
Latifi mengangguk pula. Kalendar di atas mejanya terus diambil dan dibelek-belek lagi. “Kalau kita pergi hari Rabu macam mana?”
Azri terdiam seketika cuba mengingatkan temu janjinya yang lain.
“Aku rasa tak ada masalah. Appointment dengan Mr. Ken tu aku boleh tangguh hari lain,” balas Azri setelah lama terdiam.
Sekali lagi Latifi mengangguk. “Kalau macam tu kita pergi hari Rabu lah. Nanti aku suruh Zie buat arrangement lain,” sambung Latifi lagi.
“Thanks, Tif,”
“Tak ada hal lah Ri. Kau selesaikan hal kau tu dulu,”
Azri tersenyum kemudian mengangguk. Nafasnya ditarik lega.
No comments:
Post a Comment