Bab 7
ENCIK Rashidi memandang anak gadisnya itu dengan ekor mata. Akhbar di tangannya
dipegang kejap. Tengok riak mencuka anak gadisnya itu dia tahu pasti ada yang
tak kena dan ianya tentu berkaitan
dengan perancangan yang diatur oleh bekas isterinya.
“Datang sini
setakat nak tunjuk muka cencurut tu aje ke?” Encik Rashidi sengaja memancing mood
anak gadisnya itu. Akhbar di tangannya diletakkan di atas meja. Duduknya
dibetulkan.
Hannah mendengus
perlahan. Ayahnya dikerling sekilas. Muka lawa-lawa disamakan dengan cencurut.
Tak class langsung! Marahnya dalam hati.
“Kalau ada apa-apa
yang Hannah tak puas hati beritahulah. Jangan buat muka macam tu. Buruk tahu
tak,” giat Encik Rashidi lagi dengan tawa kecil di bibir.
Hannah mencemik.
Kalau beritahu ayah bukannya ayah boleh buat apa pun! Bebelnya lagi.
“Ini ada kaitan
dengan perancangan mama tu ke?” Malas hendak menunggu Hannah bercerita, Encik
Rashidi terus bertanya.
Hannah terus
berpaling memandang Encik Rashidi. Duduknya ditegakkan. “Ayah dah tahu kenapa
ayah tak bantah?” soalnya sedikit keras. Laju saja peluru berpandunya
dilancarkan.
Encik Rashidi
melepaskan keluhan berat. Pandangannya dibuangkan jauh ke depan. Lama dia
terdiam sebelum dia berpaling memandang Hannah semula.
“Bukan ayah tak
nak halang, tapi mama Hannah bersungguh-sungguh dengan rancangan tersebut. Apa
lagi yang ayah nak cakap kalau mama sendiri yang buat persiapan tanpa
pengetahuan ayah?” luah Encik Rashidi kesal.
“Ayah memang
selalu macam tu. Biarkan aje mama buat semua keputusan. Langsung tak tahu nak
membantah. Hannah ni anak ayah jugak tahu tak?” bentak Hannah sedikit lantang.
Geram saja mendengar kata-kata Encik Rashidi tadi. Pasrah aje gayanya.
“Hannah, bukan
ayah tak pernah nak ambil tahu semua tentang Hannah tapi ayah malas nak
panjang-panjangkan cerita. Hannah tentu faham kan mama Hannah macam mana?
Selagi apa yang dia nak dia tak dapat selagi itu dia akan cari jalan supaya dia
berjaya.” Kendur saja suara Encik Rashidi menjelaskan situasi sebenar supaya
anak gadisnya itu tidak terus tersalah anggap terhadapnya.
Mendengar
kata-kata Encik Rashidi, Hannah mendengus. “Sebab ayah tak cukup tegaslah mama
jadi macam tu. Ayah kena fikir, perkahwinan bukan perkara kecil. Hannah tak nak
mensia-siakan hidup dan masa depan Hannah dengan lelaki macam Azryl,” ulasnya
panjang lebar mengharapkan perhatian daripada ayahnya pula agar berusaha untuk menangguhkan
rancangan mamanya itu.
“Ayah tahu dan
ayah faham tapi semuanya dah diatur,
Hannah. Mungkin ini jodoh yang diaturkan oleh Allah untuk Hannah. Cuba
reda dengan qada’ dan qadar Allah,” pujuk Encik Rashidi lembut.
“Reda... Terima
qada’ dan qadar. Senanglah ayah cakap sebab yang menanggungnya nanti Hannah.
Ini bukan lagi takdir, ayah... tapi menempah maut namanya sebab perancangan ni
diaturkan mama. Bukan kehendak Hannah pun. Ayah tahu tak Azryl tu lelaki yang
macam mana? Ayah tahu tak lelaki yang macam tu tak layak langsung untuk jadi
suami orang. Bukan setakat suami orang, kekasih orang pun tak layak!” Bidas
Hannah keras. Bercerita tentang Azryl membuatkan hatinya semakin panas.
“Hannah... Tak
baik cakap macam tu. Kata-kata Hannah tu seolah-olah hendak menidakkan takdir
tuhan. Dah lupa dosa dan pahala?”
Hannah terdiam
mendengar nada suara ayahnya yang keras.
Mati kata-kata apabila ditegur begitu. Bibirnya diketap menunjukkan protes
dengan kata-kata ayahnya itu.
“Ayah bukan nak
menangkan apa yang mama Hannah buat. Tapi setiap ibu tentu mahukan yang terbaik
untuk anaknya. Sama macam mama Hannah juga. Jangan nilai Azryl daripada apa
yang Hannah dengar saja. Kenali dia, mana tahu ada sesuatu tentang dia yang
Hannah tak tahu. Mungkin lepas jadi suami, dia akan berubah,” pujuk Encik
Rashidi lembut.
Hannah menggeleng.
“Ayah sama aje
dengan mama. Tak pernah nak dengar apa yang Hannah nak. Walau apapun yang
terjadi, Hannah tetap tak akan ikut arahan mama. Untuk kali ini, biar Hannah
tentukan hidup Hannah sendiri!”
Tidak menunggu dia
terus bangun dari duduknya dan berlalu meninggalkan Encik Rashidi termangu di
situ. Hati yang sakit menjadi semakin sebal. Ingatkan bertemu ayahnya akan
mengurangkan kebuntuan yang ditanggung tetapi rupa-rupanya tak merubah apa-apa
pun. Semakin sakit hatinya lagi ada. Argh... Sesak!
“Hannah!” Suara
Encik Rashidi lantang. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan apabila anak
gadisnya itu berlalu pergi tanpa mengendahkan panggilannya. Hannah...
Hannah.... bisiknya perlahan.
“Kenapa dengan
anak awak?” Puan Dahlia yang tiba-tiba muncul dari dalam rumah terus bertanya.
Sedari tadi dia hanya memerhati sahaja perbualan kedua-dua beranak itu.
Encik Rashidi
berpaling. “Kenapa dengan Hannah?” soalnya memulangkan semula pertanyaan
isterinya tadi.
“Saya tanya sebab
saya pelik kenapa anak awak tu tiba-tiba pergi macam tu aje. Apa lagi yang tak
kena?” Puan Dahlia terus duduk di sebelah suaminya itu.
“Dia ada hal
agaknya tu.” Encik Rashidi malas hendak
memanjangkan cerita.
“Hai, baru aje
sampai dah tergesa-gesa pergi? Tengok muka dia tadi macam stress aje,”
cungkil Puan Dahlia lagi masih tidak berputus asa. Kalau tidak ada apa-apa yang
berlaku masakan tegang sangat perbualan mereka tadi. Walaupun butir-butir
bicara keduanya kurang jelas, tapi dia pasti ada sesuatu yang dibincangkan
sehingga anak tirinya terus pergi begitu sahaja.
Encik Rashidi
membetulkan duduknya dan memandang isterinya tajam. “Apa yang awak nak cakap ni
Lia?” Dahi sudah berkerut dan suara juga yang sudah naik senada.
“Mana ada apa-apa
cuma saya pelik dengan kelakuan anak dara awak tu. Muka nampak tertekan semacam
aje lepas tu asyik tarik muka. Dengan saya pun haram dia nak senyum.” Puan
Dahlia membalas dengan cebikan.
“Awak ni kan kalau
dengan Hannah tu ada aje yang tak kena. Ada aje yang silap,” bebel Encik
Rashidi sedikit keras.
“Apa abang ni,
saya tanya elok-elok yang abang nak marah ni kenapa? Kalau fasal anak dara awak
yang sorang tu tak boleh langsung saya nak usik. Abang tengok ajelah perangai
dia. Tak beradab langsung. Salam saya tadi tu pun macam nak tak nak aje.” Geram
dengan kata-kata suaminya tadi, Puan Dahlia turut membidas keras.
“Kalau bukan sebab
awak, tak adanya dia nak jadi macam tu. Kalau awak layan dia elok-elok dari
dulu, dia pun akan layan awak dengan lebih baik lagi.”
Puan Dahlia
mencemik. “Yalah, semuanya salah saya. Salah saya abang nampak, salah anak dara
abang tu abang tutupkan mata,” Puan Dahlia berjauh hati dengan kata-kata
suaminya tadi.
Encik Rashidi
mendengus keras. “Cakap dengan awak memang sampai esok pun tak habis. Awak aje
yang nak menang. Ha, awak sibuk-sibukkan hal si Hannah tu, anak dara awak dah
balik ke? Dah lewat petang sangat ni. Saya tengok sejak kebelakangan ni selalu
sangat dia balik lewat.” Sinis Encik Rashidi bersuara.
“Anak dara saya tu
bukan anak abang jugak ke?”
“Yalah saya tahu
anak saya juga, tapi bukan awak yang melebih-lebihkan dia?”
“Hurmm... Mulalah
tu nak cari salah Chika pulak. Pantang saya tegur Hannah mesti abang akan cari
salah Chika.”
Encik Rashidi menarik nafas berat. Susah nak
bercakap kalau isterinya itu sudah mula beremosi begitu. “Sudahlah, saya malas
nak panjang-panjangkan hal ni. Saya tanya awak elok-elok ni, Chika mana? Dah
pukul lima petang pun tak balik lagi. Kalau ya pun tuisyen takkan dari pagi sampai
ke petang?” Nada Encik Rashidi sedikit lembut. Malas hendak bertegang urat
lagi. Nanti mereka pula yang bergaduh suami isteri.
“SPM dah nak
dekat. Tinggal beberapa bulan saja lagi. Sekarang ni dia tengah sibuk ulangkaji
dengan kawan-kawan,” jelas Puan Dahlia membela anak gadisnya daripada terus
menjadi syak suaminya itu.
“Saya bukan tak
percaya dia pergi tuisyen atau study group, tapi awak kena pantau sikit
ke mana dia pergi. Ingat Lia, Chika tu perempuan. Jangan biar dia ligat sangat
ke sana sini,” pesan Encik Rashidi mengingatkan isterinya.
“Tahulah saya
bang, cubalah percaya sikit pada anak. Kalau Hannah abang boleh beri
kepercayaan 100 peratus, kenapa dengan Chika tak boleh?”
Encik Rashidi
menggeleng. “Tak habis-habis awak nak samakan Chika dengan Hannah. Sudahlah
malas saya nak layan awak. Saya nak keluar dulu,” bidasnya keras dan terus
bingkas bangun.
“Abang ni nak ke
mana pulak?”
“Menebas. Saya dah
janji dengan Harun nak pergi menebas petang ni,” ucap Encik Rashidi selamba
sambil tayang sengih.
Puan Dahlia terus
tarik muka. Tak ada kerja lain, asal petang saja pergi main golf! Bebelnya dalam hati.
TITIS-TITIS hujan
yang turun membasahi cermin hadapan keretanya dipandang tanpa perasaan. Sedari
tadi itulah yang dilakukannya. Duduk termanggu di dalam kereta dan termenung
memikirkan nasib diri. Sejak dikhabarkan tentang rancangan perkahwinannya
dengan Azryl, hidupnya memang huru hara. Mana mungkin dia mencintai lelaki lain
lebih-lebih lagi Azryl si buaya darat, sepertimana dia mencintai Alvin.
“Alvin...”
Tiba-tiba nama itu terucap di bibir. Kenangan ketika di Manchester terus
terlayang satu persatu. Bumi Manchester menjadi saksi segala-galanya. Bertemu,
berkenalan, berkawan dan bercinta. Indahnya saat itu tetapi sayangnya sesuatu
yang indah itu tak pernah kekal lama. Perlahan-lahan Hannah melepaskan keluhan.
Lagu Celine Dion,
My Heart Will Go On yang sayup-sayup kedengaran semakin menyesakkan dadanya.
Kolam mata yang sedari tadi hanya bergenang air jernih terus pecah tanpa
dipinta. Semakin ditahan semakin laju air matanya berderai.
Enough Hannah... stop crying. Just let it
go. Bisiknya cuba memujuk diri sendiri.
Namun, walau puas dia mencuba, air mata itu tetap juga tumpah dengan
rakusnya. Akhirnya Hannah akur. Kepedihan itu terlalu hebat untuk dilupakan.
Kesakitan itu terlalu perit sehingga tidak mampu diubati. Kepala terus
direbahkan di stereng keretanya lalu teresak-esak dia di situ. Andai mampu
diputarkan waktu... Andai takdir bisa diubah...
Setelah hampir
sejam bermain dengan perasaan, Hannah terus memandu keretanya menuju ke
kondominium Elyna. Kali ini dia tekad. Apa yang dirancangnya harus diteruskan!
Walau siapapun calonnya dia sudah tidak peduli. Kalau dia terpaksa bersikap
pentingkan diri, dia akan lakukan.
“Kau ni kenapa?
Sampai sembab mata tu aku tengok. Kau menangis eh?” Muk milo panas terus
dihulurkan kepada sahabatnya itu. Milo itu untuk dirinya tetapi melihat Hannah
yang ‘serabut gila’, baik dia tenangkan sahabatnya itu. Sejak Hannah masuk tadi
dia hendak bertanya, tetapi dibiarkan sahaja sehingga Hannah sendiri yang buka
mulut. Tapi Hannah hanya mematikan diri sahaja sedari tadi. Tidak sabar
menunggu akhirnya dia bertanya juga.
“Aku nak kahwin.
Tolong carikan aku calon yang sesuai. Aku tak kisah dia kaya atau orang biasa,
yang penting aku tetap nak kahwin dalam masa terdekat ni. Aku akan bayar berapa
yang dia nak asalkan aku tak perlu kahwin dengan Azryl,” ucap Hannah
bersungguh.
Elyna tercengang.
Puas dia cuba mencerna kata-kata Hannah tadi. Tapi macam tak percaya pula
dengan apa yang didengari. Dia ingatkan perbualan mereka tempoh hari mati di
situ sahaja rupa-rupanya Hannah ambil serius perkara tersebut. Menyesal pula
rasanya membenarkan idea itu terpacul dari bibirnya kerana Hannah benar-benar
menerimanya.
“Aku serius, Elyn.
Aku rasa itu saja satu-satu cara untuk aku melepaskan diri,” luahnya lagi.
Elyna menarik
nafas berat. Bingung dia jadinya. Siapa calon yang sesuai. Persoalannya, ada ke
calon yang sanggup berkahwin untuk tempoh tertentu dan yang paling penting, ada
ke calon yang baik sesuai dijadikan suami sahabatnya itu?
Tempoh tertentu?
Gila ke apa Hannah ni? Berdosa tu. Tapi Hannah ni, kalau katanya A, A jugalah
yang dibuatnya.
“Hannah... Aku
rasa baik kau bertenang dulu. Fikir baik-baik apa yang kau nak buat tu. Aku tahu
kau sedang serabut sekarang sebab tu kau tak boleh berfikir dengan waras. Cuba
kau relaks, tarik nafas dalam-dalam, lepas tu baru kita cari jalan keluar,”
pujuk Elyna lembut.
Bahu sahabatnya
itu diraih perlahan lalu dipeluknya dengan harapan agar Hannah menjadi lebih
tenang dan tidak tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan tentang masa depannya.
“No, Elyn!
Aku dah fikir masak-masak. Beberapa hari ni puas aku fikir tentang ni dan aku
dah buat keputusan. Muktamad. Sekarang aku perlukan seorang calon untuk jadi
suami sementara aku,” ucapnya panjang lebar. Kelihatan Hannah semakin terdesak
untuk melarikan diri daripada perancangan Datin Umairah dan Datuk Mazlan.
Dia harus segera
mencari suami sementara agar dapat meloloskan dirinya daripada menjadi isteri
Azryl.
Elyna terus
terdiam. Rasa macam nak ditampar-tampar mulutnya sendiri. Inilah seperti kata
orang, kerana mulut badan binasa. Kerana kelancangan mulutnyalah Hannah nekad
dengan idea gila tersebut.
No comments:
Post a Comment