Followers

Wednesday, 8 June 2016

Kerana Satu Janji - Bab 4







Bab 4








SEBAIK sampai di hadapan premis Starbuck One Utama seperti yang dijanjikan dengan Hannah semalam, Azryl terus melangkah masuk sambil matanya melilau kawasan sekeliling mencari kelibat gadis itu. Sebaik batang tubuh  Hannah menerpa pandangan matanya, gadis itu terus dihampiri.
Hi dear,” sapa Azryl dengan senyum meleret menghiasi bibir. Wajah stone gadis di hadapannya itu langsung tidak diendahkan malah dia terus saja duduk walaupun tanpa dipelawa. 
“Tak order minum ke?” soalnya lagi dengan senyum yang masih terukir di bibir.
Hannah mendengus perlahan. Meluat sungguh melihat riak lelaki di hadapannya itu. Sambil menjeling tajam ke arah lelaki itu, dia terus bersuara.
 “Straight to the point Azryl. Apahal nak jumpa aku ni?” Keras suara Hannah. Peduli apa dia. Anak tan sri ke, apa ke, tak kisah pun.
 “Hannah... Hannah... You langsung tak berubah kan?” Azryl tergelak kecil. Kepalanya digelengkan perlahan.
“Ada sebab ke aku perlu berubah?”
Azryl tersengih. Dia depankan badannya supaya hampir sedikit dengan Hannah. “Tak... You don’t have to change, dear. I love you just the way you are.” Suara Azryl berbisik menggoda, cuba memancing hati gadis di hadapannya.
Hannah mencemik. Rasa loya tekaknya tiba-tiba. Apabila ulat bulu dah naik daun begitulah jadinya. Tapi kau silap orang Azryl! Kalau setakat kata-kata manis bergula kau tu, aku langsung tak hairan. Biarpun berpuluh lori gula kau tumpahkan depan aku sikitpun aku tak terkesan. Ejeknya di dalam hati.
Okay, say it... tak payah nak corner baring sana sini. Aku tak ada masa nak layan lelaki macam kau,” arah Hannah sedikit keras. Sebelum dia mabuk di situ baiklah dia selesaikan urusan mereka secepat mungkin.
Azryl tersenyum meleret. Hannah... Hannah... Makin kau marah-marah makin aku berkobar-kobar ingin memiliki kau. Don’t play hard to get dear, or you’ll regret it for the rest of your life. Desisnya di dalam hati. Dia bertekad benar untuk memiliki gadis itu biarpun gadis itu sukar dijinakkannya seperti gadis-gadis lain yang pernah tewas dengannya. Keegoan yang dimiliki Hannah membuatkannya lebih bersemangat untuk menakluki gadis itu.
About our marriage,” selamba Azryl bersuara.
Hannah tergelak sinis. “Our marriage?” soalnya sambil jarinya menunjukkan ke arah Azryl dan dirinya. Berangan! Jangan harap nak ada perkataan ‘our marriage’ lah Azryl. Bisik hatinya menyampah.
Azryl mengangguk. “Yup, our marriage.
“Bila aku setuju nak kahwin dengan kau? Kau mimpi ke?” Hannah semakin sinis.
“Kalau you tak setuju pun, perkahwinan kita tetap akan berjalan Cik Hannah. In fact, your parents dah setuju dah pun,” balas Azryl dengan riak kemenangan. Dia menyandar kembali dengan riak selamba.
Hannah tercengang. Bulat matanya memandang Azryl di hadapan. Biar betul apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. Nampaknya mama dan papa sekali lagi main kotor. Kalau diikutkan panas hatinya ketika itu, teruk Azryl makan makiannya, tetapi memandangkan mereka berada di tempat yang agak ramai orang ketika itu maka disabarkan saja hatinya.
Lain kali jangan sombong sangat Hannah sebab aku tahu macam mana hendak buat kau tersungkur di kaki aku. Kau belum kenal siapa lagi aku. Ini Azryl lah. Azryl sentiasa dapat apa yang dia mahu. Tersungging senyuman nakal di bibirnya melihatkan reaksi Hannah.
“Terkejut?” ejek Azryl sinis.
“Kalau mengikut perancangan our parents, dua bulan lagi kita akan diijab kabulkan and... I can’t wait for that moment,” sambung Azryl lagi dengan senyuman nakal menghiasi bibirnya. Serentak itu, keningnya diangkatkan.
Melihat riak lelaki itu, Hannah menjadi semakin jelik. “In your dreams Encik Azryl. Kalau urusan perkahwinan ini diteruskan juga, I’ll make sure you naik pelamin sorang-sorang!” bentak Hannah keras.
Well...well.... Well Cik Hannah, we’ll see... Kalau you sayangkan parents you mesti you tak buat benda bodoh macam tu. Kalau you tak ada walaupun di majlis pertunangan kita, two million of investment in Exclusive Textile Empire will be gone, just like that!” balas Azryl dengan nada mengugut. Gadis di hadapannya itu direnung tepat dan semakin tajam.
Do I look as if I care?” balas Hannah semakin keras dan terus bangun untuk beredar dari situ. Sikit pun dia tidak terkesan dengan ugutan lelaki itu.
Lagipun Exclusive Textile Empire tu pun bukan dia yang punya. Lantaklah, dia peduli apa! Jatuh bangun syarikat itu tiada kaitan dengannya. Dia tidak akan memusnahkan kehidupan dan masa depan hanya semata-mata untuk kepentingan empayar perniagaan bapa tirinya.
Melihat Hannah yang sudah berdiri, Azryl turut berdiri.
I mean it, Hannah. Think again. It’s your parents.” Sekali lagi Azryl memberi amaran berbaur ugutan kepada gadis itu.
Hannah mendengus keras dan memandang lelaki di hadapannya dengan tajam. Kalau dia ada magik, sudah lama buaya di hadapannya itu disumpah jadi pepijat, lepas tu boleh dipijak-pijak sampai penyek, lepas tu dibakar sampai jadi abu. Otaknya sudah semakin ligat menjana imaginasi kejam.
Listen Azryl, even sampai nafas aku yang terakhir sekalipun, aku tak akan pernah rela untuk jadi isteri kau. Apa yang kau cuba buat dulu, aku tak akan lupa!” Hannah langsung tidak mengendahkan ugutan Azryl, dia terus menghamburkan  amarahnya sebelum terus beredar dari situ.
Melihat keselambaan Hannah, Azryl pantas saja menendang kaki meja di hadapannya. Panas hatinya menjadi semakin membuak-buak. Manusia di sekelilingnya ketika itu langsung tidak dihiraukan. “Kau ingat aku akan diam Hannah? No way! Ini Azryl lah! Aku akan pastikan kau jatuh tersungkur di kaki aku nanti!” Bentak Azryl geram. Hannah tak dengar pun tak apa, penting hatinya puas dapat menghamburkan.
Peristiwa dia cuba menjerat Hannah beberapa bulan lalu tiba-tiba terlayar di ruang mata. Sekali lagi dengusan kasar dilepaskannya. Kalau aku dapat kau hari tu mesti dah lama kau sujud di kaki aku!

“HEI! Jalan tu boleh baik-baik sikit tak?” jerkah Hannah sambil mencapai beg tangannya yang terjatuh di atas lantai.
            Usai pertemuan dengan Azryl tadi dia terus memecut keretanya ke pejabat Elyna yang terletak di Mutiara Damansara untuk melepaskan perasaan yang terbuku di hati. Hanya itulah satu-satunya sahabat yang sudah dianggapnya bagai adik beradik sendiri dan sanggup mendengar bebelannya selama ini.
Sorry...”
Hannah mendongak dan memandang lelaki di hadapannya dengan satu pandangan tajam. Ucapan ‘maaf’ lelaki itu sedikit pun tak memberi kesan.
Sorry naik lori! Kau ingat handbag aku ni jenis yang jual kat pasar malam ke nak minta maaf macam tu? Kalau aku minta ganti rugi, kau pun tak mampu nak bayar tahu tak!”  marahnya kasar sambil mengibas-ngibas kotoran pada beg tangan jenama LV di tangan sebelum terus berlalu dari situ.
Panas hati bertemu Azryl tadi belum reda, sekarang sudah berdepan dengan situasi yang begitu pula. Grrrr… Kenapalah semua orang asyik nak menyusahkan aku aje! jeritnya di dalam hati. Pintu lif ditekan kasar dan dia terus masuk sebaik pintu lif  tersebut terkuak.
Ilham menggelengkan kepalanya sambil beristighfar perlahan. Manusia macam itu pun ada. Allah dah bagi paras rupa yang cantik tapi diburukkan pula dengan budi bahasa. Sayang betul! Bisiknya.
“Kenapa, Ham?” soal Shahir yang muncul tiba-tiba. Bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan. Pelik dia melihat Ilham yang berdiri kaku dan tidak berkutik langsung di situ.
Ilham berpaling kemudian menggeleng.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa muka tu ketat sangat?”
“Tak ada apa-apalah,” balas Ilham malas dan terus berlalu meninggalkan Shahir yang masih termangu di situ. 
“Eh Ham, tunggulah aku!” Shahir menjerit apabila Ilham sudah jauh meninggalkannya. Langkah sahabatnya itu pantas dikejar. “Kau ni, kut ya pun janganlah jalan laju sangat,” bebel Shahir sebaik mengiringi Ilham semula.
Ilham tersengih. “Yang kau terhegeh-hegeh tu kenapa?”
Shahir mencemik dan terus membatukan diri.
“Kita terus balik eh. Urusan aku dengan peguam tu pun dah settle lagipun dah dekat pukul empat petang ni. Nanti lewat pulak kita sampai rumah,” ucap Ilham mengingatkan waktu perjalanan mereka.
“Uits kau ni, sesekali naik KL kita ronda-rondalah dulu,” ajak Shahir beria. Kalau dia tahu setakat datang KL cuma untuk ke pejabat peguam saja, baik dia duduk di rumah. Badan pun tak penat.
“Kau nak pergi mana?” Ilham acuh tak acuh. Pemacu alarm kereta ditekan kemudian pintu kereta dibuka sebelum dia meloloskan tubuhnya ke dalam perut kereta.
“Kita pergi KLCC jom,” ajak Shahir lagi sebaik pintu kereta ditutup.
Ilham mendengus perlahan. Naik bosan mendengar tentang KLCC. Bukannya ada apa-apa yang menarik pun. Setakat jalan-jalan mengelilingi pusat membeli belah itu buat penat kaki saja. Malas hendak mematikan mood sahabatnya itu, keretanya terus dipandu menuju ke tempat yang disebut Shahir tadi. Kawan punya fasal, layankan sajalah. Lagipun, Shahir sudah menemaninya ke pejabat peguam, jadi tidak salah jika dia membawa sahabatnya itu berjalan sekali-sekala.

“KAU kenapa?” soal Elyna hairan. Mahu tak hairan, sampai-sampai sahaja sudah tarik muncung sedepa macam itu. Hannah yang sedang bersandar di atas sofa dipandang dengan ekor matanya.  Entah siapa pulalah yang telah merosakkan mood sahabatnya itu.
Hannah mendengus keras. Kepalanya direbahkan di kepala sofa. Matanya dipejamkan. Sedikit demi sedikit persis Azryl cuba dilenyapkan dari kotak ingatannya. Nafas dihelanya panjang untuk meredakan gelora di hati. 
Melihat keadaan Hannah ketika itu, Elyna terus bangun dari duduknya dan berjalan menghampiri sahabatnya itu.
Babe, what’s up?” soalnya perlahan, tanda prihatin.
Hannah membuka matanya dan memandang Elyna tak beriak. Kepalanya ditegakkan.
Tell me. Maybe it’ll make you feel better,” pujuk Elyna lagi.
“Mama dan papa aku,” ucap Hannah perlahan. Nafasnya dihela lagi.
“Okey, kenapa dengan dia orang?”
“Azryl,” jawab Hannah sepatah. Kendur nadanya saat teringat kembali ugutan lelaki itu.
Elyna membetulkan duduknya. Kakinya disilangkan. Tangannya dipelukkan ke tubuh. Lagaknya persis seorang pakar psikiatri sedang merawat pesakit sahaja ketika itu. Sahabatnya itu dipandang dengan dahi berkerut. Sarat dengan tanda tanya. Pening dia dibuatnya. Tadi Hannah menyebut nama mama dan papanya, tapi tiba-tiba nama Azryl pula disebut.
Okay, tell me slowly. Yang buat kau naik angin ni, mama dan papa kau atau Azryl?”
“Dua-dua,” ucapnya ringkas.
“Hesy! Aku tak faham. Boleh tak kau cerita betul-betul?” Elyna pula yang dihambat kekeliruan dengan keadaan sebenar Hannah ketika itu.
Hannah mendengus. Kedua-dua tangannya dipelukkan ke tubuh. Bibirnya dimuncungkan pula.
“Kau jangan buat muka macam tu boleh tak? Sekarang, meh habaq mai kat aku apa yang berlaku,” usik Elyna cuba mengembalikan mood sahabatnya itu.
“Okey macam ni.” Hannah terus memulakan bicaranya.
Elyna mengangguk seolah-olah tak sabar-sabar hendak mendengar perkara sebenar. Matanya tancap memandang sahabat di hadapannya itu.
“Mama dan papa tiri aku tu dah uruskan hal perkahwinan aku dengan Azryl tanpa persetujuan aku. Kalau kau jadi aku, kau bengang tak?” soal Hannah geram sambil menekankan perkataan ‘tiri’ itu sedikit kuat nadanya.
Elyna tercengang dan hampir-hampir tertelan air liurnya. Terkejut mendengar keadaan sebenar yang disampaikan oleh sahabatnya itu.
“Kau biar betul! Takkanlah dengan Azryl kut?”
See... Kau pun terkejut kan? Entah apa yang dia  orang nampak pada Azryl agaknya sampai beria-ia nak sangat Azryl jadi menantu, aku pun tak fahamlah. Itu bukan menantu tapi hantu!” bidas Hannah. Marah dan geramnya semakin membuak-buak.
“Ayah kau dah tahu fasal ni?” tanya Elyna perlahan. Dia tidak mahu Hannah terus berperang dengan emosinya tentang Azryl pada ketika itu.
Hannah menggeleng. “Mama aku tak mungkin akan beritahu ayah aku. Selama ni semua tentang aku, dia yang putuskan. Kau ingat ayah aku boleh bantah?”
“Tapi kalau kau nak nikah bukan ayah kau ke yang akan jadi walinya?” balas Elyna mengingatkan hukum dan rukun nikah yang mengikut syarak itu.
“Aku tahu tu, tapi mama mesti akan mendesak sampai ayah tak mampu nak menolak. Ayah aku tu pun kadang-kadang lembik jugak. Selama ni, kalau mama aku cakap apapun dia turutkan aje,” kutuk Hannah selamba.
Dia arif benar perangai mamanya itu. Mama sanggup bertikam lidah dengan ayah semata-mata untuk memuaskan hati sendiri. Mama akan lakukan apa saja sehingga ayah mati kutu dan tak mampu untuk bersuara. Mama bagaikan ‘queen control’ dan tak pernah berubah pun!
“Ish kau ni! Tak baik cakap ayah kau macam tu,” ucap Elyna dengan nada sedikit keras. Baginya, baik buruk pun lelaki yang dimaksudkan Hannah itu, dia tetap ayah Hannah. Dan Hannah perlu meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap lelaki itu.
It’s the reality, Elyn. From the very beginning, it’s always been like this. Mama’s words are the rule,” keluh Hannah mengenangkan sikap dan keegoan mamanya.
Elyna terdiam. Sudah bingung dia hendak bersoal jawab lagi kerana jawapannya tetap sama. Semuanya dah diputuskan dan Hannah tidak boleh membantah. As usual, if it’s A for Datin Umairah, it’s A for everyone. What she says binds everything.
So, kau macam mana?”
Hannah mencemik. Macam mana apa lagi. Kena cari jalanlah untuk melepaskan diri daripada arrangement gila tersebut.
“Aku nak lari!” ucapnya tegas.
“Gila kau!” Hampir separuh menjerit Elyna membalas apabila terdengar rancangan sahabatnya itu. 
Hannah menegakkan tubuhnya. Elyna di hadapan dipandang dengan wajah mencuka.
“Sekarang kau beritahu aku, mama dan papa yang gila atau aku? Kalau mama fikirkan masa depan aku, dia tak akan suruh aku kahwin dengan Azryl setan tu!” ucapnya lantang dan agak beremosi.
“Hannah, bawa mengucap. Aku tahu kau tengah marah sekarang, tapi cuba bertenang. Buat keputusan dalam keadaan marah biasanya bukan keputusan yang bijak,” pujuk Elyna lembut. Sahabatnya itu dihampiri lalu bahu sahabatnya dipeluk. Elyna cuba mengembalikan kekuatan dan semangat kepada sahabatnya itu.
“Selama ni aku ikut aje cakap dia orang, Elyn. Walaupun aku tak suka, tapi kali ni aku tak akan diamkan. Ini tentang masa depan aku. Lagipun aku tak pernah terfikir tentang perkahwinan sejak Alvin tinggalkan aku,” luah Hannah dengan suara yang sudah mengendur.
“Aku pun tak yakin Azryl layak untuk jadi seorang suami,” ucapnya lagi.
“Aku tahu Azryl tu bukan lelaki yang baik. Nakal dan kaki perempuan. Tapi, mana tahu dia akan berubah sebab dia betul-betul cintakan kau. Sedangkan pantai boleh berubah, lagikan hati manusia. Siapa tahu kan? Lagipun selama ni aku tengok dia bukan main bersungguh lagi cuba memikat kau,” balas Elyna yang juga sedia maklum tentang perangai buaya darat Azryl. 
Hannah tergelak sinis. “Lelaki macam tu nak berubah? Aku berani kerat jarilah dia buat semua tu hanya untuk kepuasan dia aje.” Sinis Hannah membalas sambil menguntum senyum kelat.
“Maksud kau?”
“Lelaki Elyn, belum dapat memang dikejar-kejar. Kalau dah dapat, main campak sesuka hati,” balasnya berbaur kesal terkenangkan tingkah laku Azryl.
“Jangan terlalu prejudis, Hannah. Sesekali kena juga berfikiran positif,” balas Elyna tidak jemu memujuk.
“Dengan Azryl, otak aku ni memang tak boleh mengalir alur positif. Yang negatif memang berlambak-lambak.” tingkah Hannah keras. Kalau hatinya dah benci, walau Azryl sujud di kakinya pun belum tentu dia akan menerima lelaki itu.
Elyna tergelak. Bahu Hannah ditepuk perlahan. “Kau ni macam-macamlah.” Dia terus bangun dari duduknya dan berjalan menuju ke meja tulisnya.
“Aku serius, Elyn. Apa yang dia buat pada aku sebelum ini dah cukup untuk aku menilai siapa dia,” ucapnya perlahan dan cuba kembali tenang.
Elyna mengangguk. Faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh sahabatnya itu.
“Kau dah makan belum ni?” soal Elyna sambil menjeling Hannah sekilas. Sengaja dia mengubah topik perbualan kerana tidak mahu memanjangkan lagi kisah tersebut. Apa yang dia tahu, emosi sahabatnya yang sedang huru hara itu perlu ditenangkan sekarang.
“Tak ada mood dan tak ada selera,” balas Hannah malas-malas. Macam mana nak ada selera kalau bertemu dengan lelaki macam Azryl?
“Aku dah agak dah mesti kau skip makan lagi. Dah lewat dah ni babe. Sakit nanti kau juga yang susah. Dah, jangan nak mengada. Jom kita pergi makan, aku belanja.” Tidak mengendahkan kata-kata sahabatnya tadi Elyna terus mencapai beg tangannya dan berjalan menghala ke pintu.
“Eh, jomlah!” ajaknya lagi apabila Hannah masih terdiam kaku di atas sofa.
Malas hendak membantah, Hannah terus bangun dari duduknya dan mengekori langkah sahabatnya itu. Tak mungkin juga dia tinggal seorang diri di pejabat sahabatnya ini yang banyak dokumen sulit.
Selang 15 minit, mereka sudah berada di sebuah restoran.
“Nak makan apa?” Elyna bertanya sambil matanya melirik menu di tangan.
“Kan aku dah kata aku tak ada selera!” Menu di atas meja dibiarkan saja tanpa diusik.
Elyna mendongak. Wajah sahabat yang mencuka itu dipandang tak beriak. Kadang-kadang dia kasihan dengan sahabatnya itu. Apa yang kurang dalam hidup seorang Hannah Ayuni? Hannah memang seorang perempuan yang cantik, tapi sayangnya dia kurang kasih sayang. Hannah memang seorang yang baik, tapi sayang hanya segelintir sahaja yang dapat melihat dan menilai kebaikannya. Hannah memang seorang perempuan yang halus hatinya, tapi sayang ditutupi dengan jiwa yang sering memberontak. 
“Makanlah, aku nak belanja ni. Kau kan suka makan kat sini,” pujuk Elyna lembut. Bukan dia tidak tahu, restoran The Ship tersebut memang restoran kegemaran sahabatnya itu dan sebab itulah dia membawa sahabatnya itu ke situ. Biar terbuka sikit selera Hannah apabila masuk ke tempat kesukaannya. 
“Macamlah aku tak mampu nak bayar sendiri,” bebel Hannah sambil mencemik.
Elyna tergelak. “Ya, aku tahu kau anak orang kaya. Kau banyak duit tapi aku tetap nak belanja,” balasnya pula.
Hannah mendengus. “Macam kau anak orang miskin. Stereotype betul ayat kau tu. Tapi kau kena ingat, apa yang aku ada sekarang bukan milik aku, Elyn. BMW yang aku bawak ke hulu ke hilir tu, jawatan yang aku sandang tu bila-bila masa aje boleh kena tarik, tahu tak? Silap haribulan aku kena keluar dari rumah banglo tu sehelai sepinggang je sebab semuanya bukan hak aku,” bidasnya sedikit keras mengingatkan sahabatnya itu.Tapi memang betul pun apa yang diperkatakannya itu. Semua yang dia ada bukan miliknya, tapi pemberian Datuk Mazlan a.k.a bapa tirinya itu.
Elyna tergelak kecil mendengarkan bebelan Hannah yang semakin melalut. “Dah, tak payah nak fikir sampai ke situ, jom kita makan dulu. Kau tak ada baju, baju aku banyak. Kau tak ada duit nak makan, aku boleh belanja hari-hari. Kau tak ada rumah nak duduk, meh duduk dengan aku sampai tua,” seloroh Elyna sambil tangannya diangkat dan dilambaikan ke arah pelayan yang berada tidak jauh dari situ.
Hannah tersengih. Pandai pula Elyna buat lawak di saat hatinya sedang berantakan. Malas hendak berbalah, Hannah turut memesan makanan sebaik pelayan menghampiri meja mereka. Makanan tiba, seleranya ada juga. Sekelip mata dia lupa masalah diri.
“Oh ya, lupa aku nak beritahu kau...” Sedang leka menyuap makanan ke mulut tiba-tiba Elyna bersuara.
Hannah mendongak. “Apa dia?”
“Ingat lagi tak kat lelaki yang selamatkan kau masa di Janda Baik hari tu?” soal Elyna bersungguh. Pisau dan garpu di tangannya terus diletakkan ke dalam pinggan semula.
Hannah terdiam. Otaknya ligat memikir. Memang dia tak ingat langsung.  Bukan dia tengok sangat pun muka lelaki tu. Dia hampir kehilangan nyawa pada ketika itu, masakan dia boleh mengingati wajah lelaki yang telah menyelamatkannya.
“Tak ingatlah tu...” Elyna menduga.
Perlahan-lahan Hannah menggelengkan kepalanya. “Kenapa?” Dia acuh tak acuh.
“Dia datang office aku tadi,” balas Elyna berbasa-basi tentang tujuannya menceritakan perihal lelaki yang telah menyelamatkan Hannah.
“Oh, ya?” Hannah turut meletakkan sudu dan garpu di tangannya dan memandang Elyna penuh minat. “Ada kes apa?”
“Sebelum tu aku nak beritahu, dia tu cikgu rupanya. Cikgu sekolah menengah di Temerloh. Masa mula-mula jumpa, dia pun terkejut. Aku lagilah terkejut,” balas Elyna dengan tawa kecil di bibir mengenang kembali pertemuan dengan Ilham sebentar tadi.
Hannah mencemik. Hurm... Cikgu! Bisiknya di dalam hati.
“Kenapa? Rendah sangat ke orang yang kerja jadi cikgu ni?”  Elyna kurang senang dengan riak sahabatnya itu.
Hannah tergelak kecil. Tubuhnya disandarkan ke kerusi dan tangannya dipelukkan ke tubuh. “Bila masa pulak aku cakap kerja cikgu tu rendah? Ada?” soalnya membalas kata-kata sahabatnya itu. Memandai saja Elyna membuat andaian.
“Yang kau mencemik tu kenapa?” Elyna tidak puas hati.
“Aksi spontan. Entah aku pun tak tahu kenapa aku buat macam tu. Okey, stop fasal tu. Kenapa dia jumpa kau?” Hannah cuba menamatkan perbalahan kecil tadi.
“Kes pecah amanah,” balasnya perlahan.
“Jadi cikgu pun pecah amanah juga? Curi duit koperasi ke? Atau tak jujur berurusan dengan supplier? Nak ‘makan’ sendiri.” Gelak kecil Hannah menghiasi bibir. What a joke of the day!
“Ish kau ni, tak baik tahu. Bukan dialah tapi adik dia,” jelas Elyna tegas sekali gus tidak mahu sahabatnya itu berburuk sangka terhadap orang lain.
Sekali lagi Hannah mencemik. “Kes besar ke?”
Quite... Adik dia dituduh gelapkan duit syarikat,” jelas Elyna lagi sambil memusing-musing straw dan menyedut minuman yang berada di hadapannya. Hampir kering tekaknya kerana berborak tanpa henti sampai terlupa akan makanan dan minuman mereka. 
Hurm... Interesting,” balas Hannah dengan sebelah kening terangkat. “Banyak ke yang dia songlap?” Hannah terus menyoal dengan penuh minat.
This is private and confidential lah...” keluh Elyna yang hampir terlupa akan etika seorang peguam. Sebagai seorang peguam yang berkaliber, dia tidak seharusnya mendedahkan setiap kes yang dikendalikannya kepada orang lain.
Hannah mendengus. “Dah tahu P&C yang kau mulakan buat apa?” marahnya pula.
Elyna tergelak. “Aku bukan nak cerita fasal kes tu lah... tapi aku nak beritahu fasal lelaki tu. Okey, apa yang boleh aku katakan adik dia ni dianiaya,” sambungnya lagi dengan gelak yang masih bersisa di hujung suaranya.
Hannah terdiam seketika.
“Kau ke yang handle kes tu?
Elyna mengangguk. “Arwah ayah lelaki tu kawan papa aku. Satu kampung. So, papa minta aku yang uruskan kes ni,” jelasnya lagi.
Hannah menjongketkan kening dan menguntum senyuman manis untuk menyuntik semangat buat sahabatnya itu. “Wish you all the best. Aku tahu kau mampu.” Itu saja yang terluah dari bibir Hannah. Nak tanya lebih-lebih dia bukannya tahu tentang hal undang-undang, jadi biarkan saja pada yang pakar. Nak menyibuk pun dia tak ada mood.
Lantaklah orang nak kena penjara atau apa pun. Kalau sampai ke tali gantung pun bukannya dia boleh buat apa-apa. Bukan urusan dia pun. Dia malas nak ambil kisah. Buat tak tahu sudah! Urusan dirinya yang lebih penting dan perlu diambil serius sekarang. Bukan ke tali gantung lagi, tapi ibarat bunuh diri terus!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...