Followers

Wednesday, 1 June 2016

Tanya Dia Tentang Cinta - Bab 7 - Ditebuk Tupai





ENCIK Syed Rahman dan Puan Syarifah Zainora memandang Puteri bongsunya itu tidak beriak. Sejak tadi mereka bertanya, tetapi begitulah keadaan Puteri. Diam membisu tanpa sepatah kata pun di tempat duduknya.

“Macam mana sayang?” soal Puan Syarifah Zainora lembut. Dia bukan hendak memaksa, tapi ini untuk kebaikan Puteri. Lelaki yang dipilih bukan calang-calang orangnya. Berkerjaya, baik budi bahasa, daripada keluarga yang baik-baik, malah agak mementingkan agama. Apa lagi yang dicari daripada seorang lelaki yang bergelar menantu selain daripada ciri-ciri itu.

“Puteri, papa dah bagi Puteri masa hampir dua minggu. Sekarang keluarga Uncle Akbar menanti keputusan kita. Kalau Puteri setuju, dua bulan lagi Puteri dan Ziyad akan disatukan,” ujar Encik Syed Rahman. Puteri bongsunya itu dipandang dengan penuh kasih.

Laju Puteri mendongak. “Dua bulan lagi? Kenapa cepat sangat?” soalnya terkejut. Memang dia sudah bersetuju sejak pertemuannya dengan Ziyad beberapa hari lepas, tetapi apabila mendengar keputusan kedua-dua orang tuanya itu, dia mula berfikir kembali. Tak mungkin secepat itu dia bakal menamatkan zaman bujangnya. Aiseh, dia baru masuk 24 tahun. Tidakkah terlalu awal untuk dia bergelar isteri?

“Sayang, buat apa nak tangguhkan kalau benda baik ni. Cepat Puteri berumah tangga, senang hati mama dan papa,” pujuk Puan Syarifah Zainora dengan nada suara yang masih seperti tadi.

Puteri mendengus perlahan. “Mama dan papa memang nak Chem cepat-cepat keluar dari rumah ni ke?” soalnya. Rasa berjauh hati pula dengan kata-kata mama tadi.

“Astaghfirullahal'azim, ke situ pulak dia. Maksud mama tu, kami akan rasa lega sebab ada orang yang boleh diharapkan untuk jaga Puteri kalau kami tak ada nanti,” celah Encik Syed Rahman pula, menerangkan maksud kata-kata isterinya. Isterinya dipandang. Laju Puan Syarifah Zainora anggukkan kepala mengiakan kata-kata suaminya. Dia juga tidak menyangka itu pula yang difikirkan oleh anak gadisnya itu.

“Kenapa mama dan papa cakap macam tu? Chem tak sukalah.” 

Encik Syed Rahman tersenyum. Nafasnya dihela. Dia terus bangun. Anak gadisnya itu dihampiri. Bahu Puteri dipaut sebaik sahaja dia duduk di sisi puterinya itu.

“Puteri, yang hidup tu lawannya pasti mati, kan? Mama dan papa pun bila sampai masanya nanti akan pergi jugak. Mama dan papa bukannya muda lagi,” pujuknya lembut.

“Betul tu sayang, sebab itulah mama dan papa nak sangat Puteri kahwin dengan Ziyad. Pada mama dialah lelaki yang paling sesuai untuk anak mama.” Puan Syarifah Zainora pula menyambung pujukan suaminya.

Puteri terdiam lagi. Pertemuan dengan Ziyad beberapa hari lepas terbayang-bayang dalam ingatan. Dia pasti Ziyad memang membencinya. Layanan lelaki itu saja sudah membuktikan itu semua, tapi dia pula mempunyai rasa berbeza. Patutkah dia meneruskan niatnya? Cuba memiliki hati Ziyad semula? Depan Adif bukan main berkobar-kobar lagi bercakap, tetapi apabila berdepan dengan mama dan papa, terus tak berani hendak menjawab.

“Kalau mama dan papa rasa Ziyad mampu menjaga dan melindungi Chem, Chem setuju dengan cadangan ni.” Setelah lama terdiam, akhirnya Puteri bersuara. Pandangan papa di sebelahnya dibalas. “Chem setuju kahwin dengan Ziyad,” ucapnya lagi. Kali ini dengan nada suara yang lebih yakin dari
tadi.

Encik Syed Rahman dan Puan Syarifah Zainora berpandangan sesama sendiri dengan senyum lebar di bibir. “Alhamdulillah, anak papa buat keputusan yang bijak. Papa yakin Ziyad mampu membahagiakan puteri kesayangan papa ni,” tutur Encik Syed Rahman bersama helaan nafas kelegaan. Bahu Puteri semakin dipeluk erat.

Puteri melepaskan keluhan dalam hati. Kepalanya ditundukkan memandang lantai bersama rasa yang tak terluah. Insya-Allah pa, kalau usaha Chem berjaya. Kalau tidak, entah sampai ke mana agaknya hubungan kami nanti.



HAFIZ MEMANDANG Ziyad tajam. Sukar untuk dipercayai berita yang baru didengarinya tadi. Kenapa selepas empat tahun, nama Puteri Chempaka Emelyn meniti lagi di bibir sahabatnya itu? Ziyad tidak serik lagikah dipermainkan dulu? Tidak pernahkah Ziyad rasa tertipu dengan apa yang gadis itu lakukan?

“Kau janganlah pandang aku macam tu. Aku tahu apa yang kau fikirkan,” ucap Ziyad apabila direnung tak berkelip  oleh temannya itu.

“Kalau tahu, kenapa kau nampak cool aje. Macam tak ada apa-apa aje. Kau jangan jadi bodoh Yad, jangan nak ikut aje apa yang orang tua kau suruh. Yang nak hidup dengan dia tu kau, bukan mak atau bapak kau,” bidas Hafiz melepaskan geram yang bersarang dalam hatinya. Mana mungkin dia membiarkan Ziyad kecewa lagi. Cukuplah apa yang Ziyad lalui dulu. Tak sanggup dia hendak melihat keadaan Ziyad begitu lagi.

“Perempuan tu munafik kau tahu tak! Depan cakap lain, belakang pulak cakap lain!” marah Hafiz lagi. Tak mungkin Ziyad dengan mudah melupakan apa yang telah berlaku sedangkan dalam hatinya masih lagi membara kerana marahkan Puteri Chempaka Emelyn!

Ziyad mengangguk. “Aku faham Fiz, tapi mama dengan papa aku berkeras. Mereka tetap nak satukan kami. Aku dah tak mampu nak menolak,” luahnya bersama keluhan. Sesak nafasnya dengan keputusan yang dibuat mama malam tadi. Yang paling menyakitkan hati apabila keputusan itu dibuat
selepas Puteri bersetuju dengan perancangan keluarga mereka.

Hafiz menarik nafas berat. “Dah tu, kau mengikut ajelah? Sanggup nak kahwin dengan perempuan macam tu?” soal Hafiz keras. Sahabat di hadapannya itu dipandang tajam.

“Aku dah tak ada pilihan Fiz. Orang tua aku mendesak. Perempuan tu pulak dah setuju dengan perancangan keluarga kami.”

Semakin membuntang mata Hafiz mendengar kata-kata sahabatnya itu. “Kau biar betul, Yad. Dia pun setuju dengan perkahwinan ni. Entah-entah dia ada niat lain kut.” 

Ziyad menggeleng. Nafasnya dihela. Rambut pendek potongan jque itu diraup kasar. “Entahlah, aku tak boleh nak fikir. Aku tak tahulah kenapa dia terima.”

“Entah-entah kes dah kena tebuk tupai. Kau pulak jadi pak sanggup.” Selamba Hafiz bersuara.

Membuntang mata Ziyad memandang Hafiz di hadapan. “Tak mungkin kut?” ucapnya cuba menafikan.

“Apa yang tak mungkin bagi perempuan macam tu? Kau fikirlah sendiri dulu dia macam mana...”

Ziyad terus terdiam. Ingatannya kembali pada pertemuan antara dia dan Puteri Chempaka Emelyn dulu. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Tak mustahil, bisiknya dalam hati.

“Kau fikir baik-baik. Semua ni untuk masa depan kau. Aku tak nak kau menyesal nanti. Hormat orang tua tu wajib, tapi dalam hal macam ni kau ada hak menolak. Lainlah kalau kau ada hati dengan dia lagi,” balas Hafiz sambil tersengih sinis.

“Jangan nak mengarutlah Fiz. Aku dah lama buang nama dia jauh-jauh dari hati aku ni.” Bersungguh Ziyad menegaskan.

Hafiz tergelak. “Yalah kau. Aku bukan tak tahu budak perempuan tu cantik. Kena goda sikit, confirm cair,” kutuk Hafiz lagi. Selamba saja.

Ziyad terus terdiam. Mahu tak tergoda. Berdepan dengan Puteri beberapa hari lepas pun rasa tak berhenti jantungnya berdegup. Mata pula seolah-olah tak mampu untuk memandang ke arah lain selain menatap wajah ayu itu. Mulalah kata-kata Hafiz terngiang-ngiang di telinganya.

“Entah-entah kes dah kena tebuk tupai.”Ziyad mengeluh perlahan. Kalau betul begitu, macam
mana? soalnya kepada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...