Dannok, Thailand
“Kau pasti ini tempatnya?” Rumah banglo
yang agak mewah dan terletak di kawasan yang agak tersorok dari kawasan pekan
Dannok itu direnung dengan mata tak berkelip. Rumah itu bukan rumah pelacuran
yang dia pernah pergi sebelumnya dan kedudukannya juga berada hampir di
sempadan keluar menuju ke Hadyai. Terpandangkan kelibat beberapa lelaki yang
berada di luar rumah banglo tersebut, otak semakin ligat bekerja sedang dada
sesak menyimpan amarah yang membuak-buak.
Benz mengangguk. “100% sure. Mengikut
maklumat yang aku dapat, inilah rumah Baron dan Lady Mae.” Balasnya bersungguh.
“Macam mana kalau informer kau tu beri
maklumat salah?” Benz dikerling. Tubuh yang sedari tadi mengereng ditegakkan
dan disandarkan ke kerusi kereta.
Seolah tidak berpuas hati dengan kata-kata
Shaqir tadi, laju Benz tolehkan kepala ke sebelah.
“Shark, selama ni informer
aku tak pernah silap beri information. Dan aku pasti, isteri dan adik kau ada
dekat dalam tu. Sekarang aku tunggu Pram untuk pastikan sebab aku tak dapat
hubungi dia sejak semalam.” Tegasnya.
Shaqir terdiam. Nafas dihela berat dan
rambutnya diraup. Pandangan dibuangkan ke arah rumah banglo yang dijaga rapi
itu semula sedang dalam kepala ligat memikirkan agenda seterusnya.
“So, macam mana?” Tangan yang masih
memegang stering kereta dilepaskan. Shaqir dipandang untuk menantikan jawapan
seterusnya.
“Kita redah.” Putusnya dan daun pintu
dikuak.
“Gila kau Shark? Kau nak mampos?” Keras
Benz bersuara walaupun dengan suara yang ditahan-tahan. “Kau tak nampak
barua-barua tu semua bersenjata?” sambungnya dan kepala digeleng. Shaqir memang
dah gila! Hendak main redah aje dalam keadaan bahaya begitu? Hurmm…walau lelaki
itu sahabat baiknya sekalipun tetapi dia tak sanggup untuk mencari nahas dan menempah
maut sia-sia.
“Habis tu takkan kita nak tengok aje? Bini
aku dengan adik aku ada dekat dalam tu, Benz!” Shaqir turut membalas keras.
Tangan ditalakan tajam ke arah rumah banglo dua tingkat tersebut dengan
perasaan yang berkecamuk. Sudah lima hari bukan baru beberapa jam yang lepas
isteri dan adiknya dilarikan. Selama lima hari itu bermacam perkara boleh
berlaku. Ya Allah, demi tuhan dia takut untuk memikirkannya.
“Aku tahu Shark tapi kalau kau nak redah
aje macam tu, belum sempat kau selamatkan bini dan adik kau, nyawa kau yang
melayang dulu. Kau faham tak? Boleh tak kau cuba bertenang.” Benz bersuara
semakin keras.
“Kau nak suruh aku bertenang dalam keadaan
macam ni?” pintu kereta ditutup semula. “Bini dengan adik aku dekat dalam sana
tu Benz! Aku sendiri tak tahu nasib dia orang macam mana! Entah hidup lagi
atau…”
“Shark!” pintas Benz agak keras. Bahu
sahabatnya itu dicengkam. “Dengar sini…aku tahu apa yang ada dalam kepala kau
tu tapi cuba berfikiran positif. Aku yakin mereka masih selamat dan tak
apa-apa. Redza tentu buat semua ni untuk perangkap kau dan tak mungkin dia akan
buat apa-apa pada mereka. Aku tahu kau sayangkan bini dan adik kau tapi
bertindak terburu-buru boleh mengancam nyawa. Bukan hanya nyawa kau tapi nyawa
mereka juga. Jadi, kita plan baik-baik. Kita juga perlukan bantuan orang lain.
Kalau setakat kau dengan aku, misi ni tak akan berjaya. Dengarlah cakap aku.”
Shaqir terdiam dan kepalanya diraup.
Bingung dengan keadaan itu, dashboard kereta ditumbuk melepaskan amarah dan
dengusan kuat dilepaskan. “Damn it!
Celaka kau, Redza!” berangnya.
“Tenang Shark dan jangan ikutkan hati.
Kita balik hotel dulu dan plan tindakan seterusnya. Aku akan cuba minta tolong
kawan-kawan aku cari backup dekat sini kalau kita masih tak dapat hubungi Pram.
Tapi walau macam manapun malam ni kita kena pergi cari Pram dulu.” Pujuk Benz
perlahan. Bahu Shaqir ditepuk-tepuk untuk ditenangkan.
“Aku dah tak boleh fikir sekarang Benz.
Apa yang ada dalam kepala aku, kita redah masuk dan selamatkan diaorang. Itu aje.”
Shaqir masih berkeras. Sudah jejak sampai ke situ Benz minta dia berundur? Tak
mungkin!
Benz menggeleng dan nafasnya dihela. Putus
asa hendak memujuk lagi, tubuhnya disandarkan ke tempat duduknya semula. Sambil
memikir dan dengan mata terkebil-kebil akhirnya dia akur. Telefon bimbit di dalam jaket kulitnya
dicapai. “Okey, kalau itu keputusan kau tapi biar aku cuba call Pram sekali
lagi.” Putusnya. Skrin telefon bimbit dibuka dan nombor Pram dicari. Baru sahaja nombor lelaki itu ingin didail,
dia terpandangkan dua orang lelaki bersenjata sedang berjalan menuju ke arah
kereta mereka.
“Kita blah Shark!” Dalam keadaan cemas
Benz berteriak. Telefon bimbinya dicampakkan dan tidak menunggu enjin kereta
terus dihidupkan.
Shaqir tersentak. Pandangan dibuangkan ke
sekeliling dengan perasaan cuak. Sebaik terpandangkan dua orang lelaki yang
sedang berjalan laju ke arah mereka sambil mengacukan senjata, dada terus
berdegup kencang.
“Woiii! Yut road! Tarnan chan yinggg! (Woiiii!
Berhenti! Matikan kereta kalau tidak kami tembak!)”
“Dia cakap apa tu Benz?” Shaqir berteriak
cemas.
“Pergi mampus dengan diaorang! Kita blah!”
Bentak Benz agak keras. “Duduk baik-baik Shark!” ucapnya agak lantang dan tidak
menunggu, gear dimasukkan dan pedal minyak ditekan kuat sebelum kereta dipecut
pergi dari situ.
“Yinggg! (Tembak!)”
“Pang!”
“Pang!”
Bunyi tembakan mula kedengaran.
“Benz hati-hati!” Shaqir terjerit kuat
apabila kereta yang dipandu Benz seolah hilang imbangan.
Tidak mengendahkan jeritan Shaqir, Benz
menekan pedal minyak semakin kuat.
“Pang!”
“Pang!”
Bunyi tembakan semakin bertalu-talu dan….
“Benz…arghhhh!”
Benz menoleh.
“Ya Allah…Sharkkk!”
No comments:
Post a Comment