Followers

Tuesday, 25 April 2017

Prolog 1




     “Awak nak ke mana Yan?” Melihat isteri yang sedang tergesa-gesa mengemas pakaiannya, cepat sahaja dia menyoal dan tangan terus dibawa ke mulut untuk menahan batuk dari terlepas. Sebaik batuknya sedikit reda, dadanya diusap pula untuk meredakan sakit di situ.

      “Bukan urusan kaulah!” balas si isteri agak keras.

    “Bukan urusan saya? Saya ni suami awak Yan!” walaupun kata-katanya berbaur marah tetapi disebabkan keadaannya, suara itu seakan tidak terkeluar dari bibir. Seolah tersekat dikerongkong.  Isteri yang sedang sibuk mengemaskan kain baju ke dalam beg pakaiannya ketika itu dipandang dengan riak bingung. Apa tidaknya, hairan dia apabila isteri yang begitu baik selama ini tiba-tiba berubah laku begitu.

      “Suami apanya kalau hidup tak habis-habis menyusahkan aku! Aku dah penatlah jaga kau selama ni.  Mana nak cari duit untuk kau dan anak-anak makan, terpaksa pulak jaga kau yang sakit tak baik-baik! Kau ingat aku ni apa? Khadam kau?” kata-kata dilempar semakin kesat sedang mata tajam merenung suami yang ibarat bangkai tidak bernyawa itu dengan riak benci.

       Mendengar jawapan isteri, tubuh yang agak longlai dan tidak bermaya itu terus terduduk di atas katil usang yang hanya menunggu masa sahaja untuk rebah. Kepala ditundukkan memandang lantai. Kesal dan  kecewa dengan perlakuan isteri yang dilihatnya semakin hilang pertimbangan diri.

       “Saya bukan mintak jadi macam ni Yan. Kalau boleh saya pun tak nak menyusahkan awak. Saya tahu tanggungjawab saya sebagai suami tapi buat masa ini saya tak mampu.” Luahnya agak sayu. Dada yang terasa semakin sempit itu diusap.

      “Hei, boleh tak jangan sebut tentang tanggungjawab? Aku dah muak dengar perkataan itu dari mulut kau. Bukan baru dua, tiga bulan tapi dah hampir setahun kita macam ni. Dari aku terus hidup melarat dengan kau sampai ke tua, baik aku cari kehidupan lain di luar. Aku dah sanggup lagi hidup macam ni!” Bentaknya semakin kasar. Suami dijeling pula.

       “Awak sanggup tinggalkan anak-anak macam tu aje Yan?” suara dilempar semakin sayu dan nada bergetar. Pedih rasa hati mendengar kata-kata isteri sedari tadi. Allah, aku tak minta untuk jadi begini tetapi aku tetap reda. Kerana aku tahu, setiap sesuatu yang Engkau berikan itu pasti ada sebabnya. Rintihnya. Mengenangkan sakit kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun setengah yang lepas, lagilah berat rasa beban di jiwa.

      “Anak-anak? Itu bukan anak-anak aku. Pandai-pandailah kau jaga. Lagipun budak-budak tu bukannya kecik lagi. Dah besar-besar.”

      “Besar? Mereka tu baru sembilan dan dua belas tahun Yan. Masih memerlukan kita lagi untuk membesar.”

        “Argghhh…sudahlah! Aku malas nak ambil tahu pasal budak-budak tu lagi. Biarlah diaorang nak jadi apa pun aku tak peduli. Nak hidup atau nak mati, bukan urusan aku!” Bentaknya semakin keras. Tangan pula masih ligat mencapai kain baju untuk dimasukkan ke dalam beg baju.

         “Astagfirullahalazim, apa yang merasuk fikiran awak ni Yan sampai macam tu sekali kata-kata awak. Awak tak ingat tuhan Yan? Tak ingat dosa dan pahala?” Sungguh dia terpempan. Sudah tak tertanggung rasa hati mendengar setiap butir bicara isterinya sedari tadi. Kenapa tiba-tiba isterinya berubah laku begitu? Allah…dada diusap lagi. Berkali-kali.

        Malas hendak mengendahkan kata-kata suami, beg baju terus dizip dan dia  mula berdiri. Beg dicapai.

          “Kau dengar sini, mulai hari ni aku akan keluar dari rumah yang macam neraka ni dan jalani hidup aku sendiri. Aku nak kau ceraikan aku sebab aku dah jumpa orang yang lebih baik dan  mampu beri kemewahan kepada aku bukan hidup merempat macam ni. Dengan dia, aku  boleh duduk dalam rumah besar, ada duit banyak. Tak macam rumah ni, reban ayam pun lagi cantik dari ni!” Ucapnya bersahaja dan sinis. Langsung tidak mengendahkan perasaan suami yang sudah hancur luluh dengan kata-katanya sejak tadi.

         Dengan perasaan kecewa, kepala ditundukkan memandang lantai semula. Mata yang sudah mula berkaca pantas diseka. Allah, mudahnya isterinya itu melemparkan kata-kata begitu. Dimana sumpah setia yang pernah diucapkan dulu? Yang sanggup bersusah senang dengannya? Allah, kenapa hatinya terasa bagai disiat-siat dengan tiap patah bicara isterinya tadi? Perit dan  begitu pedih menghiris.

         “Hei! Kau dengar tak? Aku nak kau ceraikan aku. Talak tiga pun tak apa. Lagi aku suka!” wajah ditarik Benci. Serasanya untuk berada dipondok buruk itu untuk seminit lagipun dia tak rela. Sungguh dia sudah benci dan jijik!

          “Yan!”

           Wajah isteri direnung dengan mata yang berkaca. Allah!  

         Dengan riak sinis seperti tadi, tubuh dipalingkan menghadap suami. “Kalau kau nak jadi lelaki dayus, silakan. Samada kau ceraikan aku ataupun tidak, aku tetap akan ikut lelaki tu. Hidup senang dan mewah lebih penting daripada aku dari menunggu lafaz dari mulut kau tu.” Tidak menunggu lagi kaki terus diayun.

        “Yan!”

      Hayunannya terhenti. Dalam keadaan yang sedang membelakangkan suami, dia terus membatukan diri.

        “Baik, kalau awak nak sangat saya lepaskan awak, saya akan lepaskan. Lagipun saya tak nak bersubahat dengan dosa yang awak lakukan.” Kata-katanya terhenti. Nafas dihela berat. Ya Allah, aku tahu Kau benci akan perkara ini tetapi kalau hanya ini jalannya, aku tiada pilihan Ya Allah.

    “Dengar sini Nor Azian Baharom..” kepala didongakkan semula. Isteri yang masih membelakangkannya itu dipandang. “Aku ceraikan kau dengan talak tiga!” tenang kata-kata itu diucapkan walau hati sudah banjir dengan air mata. Allah…

         Gembira dengan apa yang didengarnya, tawa dihambur sepuas hati. “Terima kasih dan selamat tinggal.” Tidak menunggu lagi dia terus tergesa-gesa keluar.

           “Makkkkk!”

            Terdengar jeritan seseorang memanggilnya, langkahnya terhenti lagi. 

           “Mak, takkan mak nak tinggalkan kakak dengan adik? Mak tak sayang kakak dengan adik lagi ke?” suara esakan anak gadisnya sudah mula kedengaran. Sedari tadi anak gadis berusia dua belas tahun itu hanya mendengar sahaja perbalahan kedua-dua orang tuanya tetapi sebaik kelibat ibunya kelihatan, dia terus meluru  ke arah wanita itu.  

            Dengusan kuat dilepaskan dan dengan riak menyampah anak gadis nya itu dipandang. “Kakak dengan adik duduk dengan ayah. Mak dah boleh duduk sini lagi. Ayah dah ceraikan mak.” Ucapnya selamba dan tanpa perasaan.

       “Kakak sayang mak…janganlah tinggalkan kakak.” Ucap si kakak dengan tangisan yang semakin menjadi-jadi. Tubuh ibunya yang sedang kaku berdiri diruang tamu rumah terus dipeluk seeratnya.  

            “Kakak boleh tak jangan macam ni! Mak dah lambatlah.” Marahnya. Tangan anak gadis  yang sedang terikat kemas ditubuhnya pantas dipegang untuk dileraikan. Rimas!

     “Tak nak. Kakak tak nak lepaskan mak. Kakak sayang mak.” Raungnya pula sambil mengemaskan lagi pelukannya.

            Geram, tubuh anak gadisnya itu terus ditolak dengan agak kasar sehingga gadis kecil itu terus jatuh terjelepok di atas lantai.

        “Anak dengan bapak sama aje menyusahkan!” ucapnya berang. Anak gadis  yang sudah terduduk itu dijeling tajam dan dengan riak benci.

         “Kakak..” Adik yang hanya memerhati sedari tadi terus berlari menghampiri kakaknya yang sedang teresak-esak menangis. Tubuh kakaknya dipeluk dan dia juga ikut menangis sama.

         “Dengar sini, mulai hari ni aku bukan mak kamu lagi dan aku tak ada anak macam kamu berdua. Faham?” sehabis kata-kata itu dilemparkan, kaki terus diayun laju untuk pergi dari situ.

         “Makkkkkkkkkkkk!” kakak dan adik terus menjerit dan mula meraung.  Masing-masing bingkas bangun dan laju berlari ke muka pintu. “Makkkkkkkk…kakak sayang mak...jangan tinggalkan kakak..” jerit si kakak bersama esakan.

            “Makkkkk, jangan tinggalkan adik. Adik sayang makkkkkk!” raung si adik pula.
Ayah yang sedang berdiri di muka pintu bilik, hanya mampu menahan tangis dari terhambur  melihat apa yang sedang berlaku.

          Tidak mengendahkan jeritan anak-anak, dia terus pergi dari situ dengan dibawa oleh seorang lelaki yang belum sampai sebulan dikenalinya.

         “Makkkkkk….adik nak ikut…”  adik terjerit kuat dan terus berlari menuruni mata tangga. Tetapi belum sempat dia mengejar, kereta yang dinaiki ibunya itu sudah dipandu pergi dari situ.   

           “Makkkkkk… kakak sayangkan mak. Jangan tinggalkan kakak dengan adik, mak..” rintih si kakak sambil memaut daun pintu sekuatnya. Kereta yang sudah jauh pergi membawa ibu mereka dipandang bersama tangisan yang panjang.

        “Kakak…adik..” panggil si ayah sebak.  “Jangan menangis lagi. Ayah ada…ayah ada…” Pujuknya bersama linangan air mata. Ya, hanya kata-kata itu sahaja yang mampu dia ucapkan sedangkan dia sendiri tidak tahu untuk berapa lama sahaja lagi dia mampu menjaga mereka. Ya Allah, bagaimanalah nanti nasib anak-anak aku.  Allah…bantulah aku…bisiknya bersama tangisan yang semakin tidak dapat ditahan. Tubuh anak-anaknya yang masih teresak-esak menangis itu terus dipeluk.

              “Jangan nangis, ayah ada…” 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...