Followers

Tuesday, 25 April 2017

Bab 2






                Asap rokok dihembus. Perlahan-lahan sambil kepala menerawang jauh mengingatkan majlis pertunangan Redza dan Jeslina yang baru berlangsung beberapa hari lepas. Cantik. Jeslina memang nampak sangat cantik pada hari tersebut. Dengan persalinan moden berwarna putih dan berselendang warna sedondon, dioles solekan nipis, wajahnya tampak berseri persis seorang puteri. Entah kenapa, walaupun kerjayanya dikelilingi model-model jelita tetapi mereka tetap juga tidak dapat menandingi kecantikan Jeslina di matanya.

            Hurm…nafas dihela. Berat kau Shark. Lupa, Jeslina tu tunang kawan baik kau? Marahnya kepada diri sendiri. Rokok di tangan dihisap lagi sebelum asapnya dihembus rakus. Mula terasa bosan, baki rokok yang masih seinci panjangnya dilenyek-lenyekkan ke dalam bekas abu dan tubuhnya disandarkan ke kerusi. Matanya dipejamkan seketika dan satu keluhan berat dilepaskan.

               “Lepaskan Shark…dia bakal menjadi milik orang lain. Milik kawan baik kau sendiri.” sekali lagi akal mengingatkan tetapi kenapa hati tetap degil untuk menerima kenyataan walaupun setelah puas diingatkan? Macam mana hendak melepaskan kalau perasaan yang ada tak mampu untuk dibuang jauh? Bukan baru sehari dua tetapi sejak berbelas tahun yang lalu perasaannya begitu. Perasaan yang sukar untuk dia sendiri fahami bagaimana ianya bermula.  

               “Forget it Shark! Ramai lagi gadis  lain dalam dunia ni. Yang gilakan kau pun ramai. Kau pilih aje mana yang kau suka.” Hati berbicara lagi cuba memujuk diri sendiri. Tetapi walau puas dipujuk tetap juga wajah dingin Jeslina yang muncul dalam ingatan.

                 “Jesss…” nama Jeslina diseru lagi untuk kesekian kalinya dan wajah diraup.

                “Hai Shark.”

                 Terdengar namanya disapa, Shaqir tersentak. Mata terus dibuka dan kepalanya ditegakkan.
“Benz.” Ucapnya sepatah dan datar sahaja nadanya.

            “Tak sihat ke?” tidak diundang Benz terus duduk. Jaket kulit yang tersarung ditubuhnya dibuka dan diletakkan di kepala kerusi.

              Shaqir menggeleng. Lelaki di hadapannya itu dipandang tak beriak dan duduknya dibetulkan. “Kalau okey kenapa muka tu lain macam aje aku tengok.” Soalnya. Kotak rokok di atas meja dicapai dan diletakkan dibalik bibir. Pemetik api diambil pula dan dipetik sebelum diacukan di hujung rokok.

                 “Hurm.. penatlah.” balas Shaqir acuh tak acuh.

            “Kau kerja kuat sangat. Rehat-rehatlah. Duit banyak mati nanti bukan boleh bawak masuk kubur pun.” Kutuk Benz sambil ketawa.

               Dengan mood yang agak merudum, Shaqir hanya tersengih sahaja dikutuk begitu. Selalunya pantang kata-kata begitu didengarinya pasti dia akan membidas semula.

              “Ha, kau nak jumpa aku apa hal?” Asap rokok dihembus perlahan-lahan. Shaqir yang masih beriak kaku itu terus dipandang.

               Shaqir terdiam. Bucu meja dipandang. Lama dia begitu sebelum kepala diangkat semula. “Aku nak minta tolong kau sesuatu.” Ucapnya dan pandangan Benz dibalas.

            Dengan kepala tergangguk-angguk, Benz betulkan duduk. “Okey, nak aku tolong apa?” soalnya dengan kening terjungkit. Melihat reaksi  Shaqir ketika itu dia tahu pasti ada sesuatu.

              Sambil membetulkan tubuh, sampul surat kecil di dalam poket jaket denim di sebelahnya dicapai kemudian diletakkan ke atas meja sebelum disorong ke hadapan. Betul-betul di hadapan Benz.

            Dengan wajah yang berkerut seribu, sampul yang dihulurkan Shaqir diambil dan terus dibuka. Isi di dalamnya dikeluarkan kemudian kepala diangkat memandang sahabatnya itu semula. “Apa ni?” soalnya. Sekeping gambar di tangan digoyang-goyangkan tidak faham.

             “Aku nak kau cari dia.”

         Benz pegun. Gambar tersebut dipandang semula. “Siapa dia ni?” hampir bersambung keningnya melihat gambar tersebut. Siapa pulalah gadis  ini agaknya. Cantik tetapi sejak dia mengenali Shaqir tidak pernah pula dia melihat gadis  itu. 

               “Seseorang yang pernah aku kenal. Tolong aku cari dia.”

              “Bagi aku details nanti aku usyar dengan informer aku.” Gambar tersebut disimpan semula ke dalam sampul surat sebelum dimasukkan ke dalam poket jaket kulitnya.

              Shaqir akur dan dia mula bercerita. Semua maklumat yang dia ada dan tiada satu pun yang tertinggal.



Cincin emas yang tersarung kemas di jari manisnya dipandang dengan senyum lebar. Sesekali tangannya dipusingkan ke kiri dan ke kanan untuk melihat cincin tersebut dari pelbagai posisi. Melihat cincin emas bermata satu itu berkilau-kilau di sinari cahaya lampu, hati semakin berbunga-bunga dan bahagia. Mahu tidak bahagia kalau sedang menghitung hari bahagia? Lebih-lebih lagi apabila disatukan dengan jejaka yang selama ini menjadi idaman hati. Lelaki yang selalu ada melindungi di saat dia memerlukan.

             “Amboi cik Jes, macam nak bengkok cincin tu cik Jes tenung sejak tadi. Tak sabar ke?” Usik Aton sambil meleret senyum. Majikannya itu dihampiri dan jambangan bunga lily yang belum digubah itu diletakkan ke atas meja.

            Jeslina menoleh dengan senyum meleret. “Kata orang tak dapat tengok tuannya dapat tengok cincin pemberiannya pun cukuplah. Sekurang-kurangnya dapat juga menghilangkan rindu.” Pembantunya itu dikerling.

           “Cik Jes ni dah masuk dalam kategori berat dah ni. Nasib baik cincin bukan atap rumah atau bumbung kereta. Jadinya cik Jes, cepat-cepatlah menikah. Rasanya nak tunggu tiga bulan lagi macam lambat aje. Bimbang saya ada penyakit lain pulak yang datang nanti.” Giat Aton pula.

            “Kalau ikutkan saya, esok juga saya nak menikah.” Ucapnya dengan tawa kecil di bibir. Kalau mama dengar mesti mama kata dia gatal. Tetapi memang betul pun, tiga bulan lagi terasa lambat sangat. Rasanya sudah tidak sabar dia hendak hidup bersama orang yang dicintai.

          Aton menggeleng dan melepaskan tawa. “Nampaknya saya kena hubungi encik Redza lah macam ni. Biar dia betulkan sikit otak bos saya ni. Bimbang saya kalau bos saya asyik berangan takut semua kerja tak jadi nanti.” Bebelnya dengan tawa yang masih bersisa.

            Tawa Jeslina turut terhambur. Kuat sedikit dari tadi. Aton memang kuat mengusik.  Bicaranya juga selamba sahaja. Nasib baiklah Aton sudah dianggap seperti adik sendiri kalau tidak tentu mereka tidak boleh berbicara mesra seperti itu.

         “Sesekali berangan tak salah tau. Lagipun, bukan orang lain, dengan lelaki yang kita sayang juga.” Balas Jeslina membela diri.

            “Iyalah Cik Jes, orang tengah asyik bercinta memang macam tu.” Malas hendak melayan lagi, itu sahaja yang dijawabnya sedang bibir masih lebar menayang sengih. Suka sebenarnya dia melihat majikannya begitu. Ceria sahaja riak wajahnya. Orang tengah bahagia, tentulah nampak berseri air mukanya. Lebih-lebih lagi bagi gadis  yang sedia cantik seperti majikannya itu.

            Jeslina pamer senyum menunjukkan gigi putihnya yang tersusun rapi. “Ini saja ke bunga-bunga lily yang kita ada?” Dia terus bertanya. Sengaja malas hendak memanjangkan cerita tentang Redza lagi.

             Aton mengangguk. “Itu aje yang kita ada cik Jes. Supplier belum hantar baki yang tak cukup tu.”

            Jeslina mendengus. Bukan pertama kali pembekal mereka lambat tetapi sudah berkali-kali. Ini yang buat dia pening. Apa tidaknya, bunga-bunga tersebut dia perlukan untuk majlis perkahwinan yang akan di adakan pada hujung minggu tersebut.

           “Dah call?” tanyanya.

          Sekali lagi Aton mengangguk. “Dah lebih lima kali saya call cik Jes. Ms. Lee kata dia akan hantar esok pagi.” Terangnya bersungguh.

             Tangan diangkat dan diletakkan ke dahi. Esok dia ada temujanji untuk melihat baju pengantin Darwina yang baru siap diubahsuai. Perubahan di saat-saat akhir atas permintaan Darwina sendiri. Nasib baiklah Darwina itu sahabat baiknya ketika di Universiti dahulu kalau tidak tentu dia tidak kuasa hendak melayan. Lebih-lebih lagi perubahan di saat-saat akhir.

            “Ms Lee tak boleh hantar hari ni ke? Esok saya ada hal dekat luarlah. Masa dah suntuk ni.” Nafas di hela lagi.

             “Saya cuba call dan tanya semula ya cik Jes.”

             “Bunga tulip untuk wedding cik Darwina dan encik Is tu macam mana?”

            “Yang tu minggu depan baru Ms Lee akan confirm semula.”

      “Awak….” Belum sempat Jeslina menghabiskan kata-katanya, terdengar suara seseorang memberi salam di belakang mereka. Jeslina berpaling dan Aton mendongak. Sebaik terpandangkan tetamu yang tidak diundang itu, wajah yang kelat tadi terus berubah ceria. Aton yang berada di situ turut tersenyum. 

         “Assalamualaikum.” Sekali lagi Redza menghulurkan salam apabila salamnya tadi tidak bersambut. 

            “Waalaikumsalam.” Balas Jeslina perlahan. Aton turut membalas salam tersebut dengan suara perlahan. 

              “Busy?” tanyanya. Pandangan Jeslina dibalas dengan senyuman. 

              “Nasib baik encik Redza datang.” Sampuk Aton tiba-tiba. 

             Redza tolehkan kepala memandang Aton yang sedang berdiri di sebelah Jeslina. Keningnya dijungkitkan. “Kenapa?”

           “Aton..” Nama Aton dipanggil seolah memberi isyarat supaya gadis itu tutp mulut. Bimbang juga dia kalau Aton terlepas cakap. Nanti dia juga yang malu. Aton bukannya kira, mulut macam murai kecohnya. 

              Dijeling begitu Aton terus kunci mulut. Tersilap cakap, bimbang luak pula gajinya nanti.

       “Cakaplah, kenapa diam?” Mata Redza yang sedang memandang Aton sudah beralih memandang Jeslina pula. Sengaja hendak melihat reaksi tunangnya. Dia tahu Aton kunci mulut sebab telah diberi arahan secara senyap oleh majikannya.

            “Hurmm.. tak ada apa-apalah. Encik Redza berbuallah dengan cik Jes ya, saya banyak kerja lagi nak buat ni.” Teragak-agak Aton membalas dan dengan riak serba salah. Tidak menunggu dia terus angkat kaki dan pergi dari situ. 

           “Ada rahsiakan apa-apa dari abang ke?” Redza menduga sedang mata  redup memanah pandang tunang kesayangan di hadapan. 

             Jeslina berdeham. Kepalanya digelengkan. Tangan laju mencapai bunga lily di atas meja untuk mengelak dari disoal bertubi-tubi. 

            Redza tersenyum. “Abang rasa memang ada yang tak kena ni. Selalunya kalau Jes kalut macam ni mesti ada sesuatu.” Usiknya masih belum mahu mengalah. 

             “Tak ada apa-apa. Betul.” Balas Jeslina dengan suara yang bergetar. Sebenarnya dia terkejut juga melihat Redza di situ. Nasib baik Redza tidak mendengar perbualannya dengan Aton tadi kalau tidak memang malu besar dia. Peliknya, kenapa setiap kali dia teringat atau merindukan lelaki itu, pasti Redza akan muncul di hadapannya? 

             Senyum Redza menjadi semakin lebar. “Abang tahu, Jes rindukan abang kan?” bisiknya rapat di sisi tunang. Sebaik wajah tunang yang sudah berubah rona itu menerpa pandangannya semula, mata dikenyitkan. 

            Malu mendengar bisikan lembut itu, Jeslina terus palingkan wajah. Argghhh! Redza memang pandai menduga atau lebih tepat lagi pandai membaca riaknya. 

         “Sayangggg….” panggil Redza dengan suara meleret sedang mata masih tidak berkalih merenung tunang kesayangannya itu.

            Degupan di dada Jeslina berdegup lagi. Arghhh…kenapalah panggilan itu sangat menggetarkan jiwa.

               “Dah tak nak pandang abang ke?” Redza terus berbisik.

           Laju Jeslina palingkan wajah. Sebaik matanya dan mata Redza bertaut, dia berdeham. “Hurm…abang datang sini buat apa?” Lancar sahaja bibirnya mengalihkan perbualan mereka. Demi tuhan, dia malu sekarang.

             “Rindukan orang tu tapi nampaknya orang tu tak rindukan kita pun.” Redza terus menjauhkan dirinya sedikit. Sengaja buat merajuk dan sengaja hendak melihat bagaimana dia akan dipujuk. 

                Tersentak mendengar kata-kata Redza, Jeslina hela nafas. Kalaulah Redza tahu apa yang ada di dalam hatinya saat itu tentu Redza tidak akan mengucapkan kata-kata seperti itu. 

                “Mana abang tahu Jes tak rindukan abang?”

               Redza jungkit bahu. “Entah, perasaan abang yang rasa macam tu.” Balasnya seakan berjauh hati. 

              Jeslina palingkan wajah ke arah lain. Bibir digigit resah. Hendak mengaku? Dia malu. Kalau dibiarkan kata-kata Redza tadi bimbang tunangnya itu akan terus merajuk begitu. Kepala dipalingkan memandang Redza semula. 

           “Abang tahu tak, setiap masa Jes teringatkan abang. Rindukan abang. Kalau abang tak percaya, abang tanya Aton.” Akuinya jujur. Tiba-tiba Aton pula dibabitkan. Tadi takut sangat Aton pecahkan tembelang sekarang dia pula yang pecah lubang. 

            Redza simpan tawa. Hanya bibir yang mula mengoyak senyum manis. Jeslina dirapati semula. “Abang tahu sebab itulah abang datang.” Bisiknya dengan suara yang menggoda. 

            Bulat mata Jeslina membalas pandangan tunangnya itu. Redza tahu? Kalau Redza sudah tahu untuk apa dia diduga lagi? Arghhhh! Sungguh memalukan. Dan riak Redza tadi… sungguh membuatnya penasaran!

              Melihat reaksi Jeslina, senyum Redza terukir semakin lebar. "Dan abang pun rindukan Jes.." 
Mendengar kata-kata rindu dari lelaki yang dicintainya itu, senyum Jeslina turut terukir lebar. Hati juga semakin berbunga indah.

           “Ermmm…abang datang sini selain nak jumpa tunang kesayangan abang ni, abang ada hajat lain.” Teringatkan tujuan sebenarnya ke situ, Redza meneruskan bicara. Semakin diusik tunangnya itu, bimbang tercium pula pipi yang sudah merona merah itu. Jeslina, auranya terlalu memikat sehingga dia terpaksa menahan diri dari terlebih  batasan.

           Senyum Jeslina terus mati. Redza dipandang dengan mata terkebil-kebil. Lama dia begitu sebelum dia bersuara semula. “Hajat? Hajat apa?” soalnya setelah lama terdiam. Redza juga langsung tidak meneruskan bicaranya seolah-olah memang sengaja menunggu dia yang bertanya.

              “Ermm… tanya pun. Abang ingat Jes tak nak tanya.” Redza tergelak kecil.

             Jeslina mendengus. Tangan dipelukkan ke tubuh dan Redza dijeling menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Sejak mereka bertunang, Redza memang suka sangat mengusiknya dengan bermacam-macam helah. Sikapnya juga sudah tidak seperti Redza yang dikenali sebelum ini. Romantiknya pula semakin menjadi-jadi walau tunangnya itu sangat menjaga pergaulan dalam hubungan mereka.

         “Okay…okay sorry.” Melihat wajah mencuka tunangnya itu, Redza angkat tangan tanda mengalah.  “Sebenarnya abang nak ajak Jes balik kampung abang awal bulan depan.” Beritahunya.

            “Balik kampung?” soal Jeslina dengan kening terjungkit tinggi. Hairan, tiba-tiba sahaja Redza mengajaknya balik ke kampung.

            Redza mengangguk. “Sepupu abang yang tinggal di Kuantan kahwin. Namanya Farah. Abang rasa Jes kenal dengan dia. Jomlah ikut, boleh kenal-kenal saudara mara abang dekat sana. Lagipun mak pun selalu suruh abang ajak bakal menantunya datang rumah.” Ajaknya bersungguh.

          “Errmm…nantilah Jes tanya mama dengan abah dulu boleh ke tak. Abang pun tahu kan orang tua Jes macam mana.”   

           Redza buang senyum. “Abang faham sangat tapi abang dah tanya abah Jes, sekarang cuma nak tahu jawapan Jes aje.”

          Jeslina bulatkan mata.  “Abang dah tanya abah?” Amboi abah. Bukan main baik lagi dengan bakal menantu. Setahunya abahnya itu agak tipikal tentang perkara-perkara begitu. Tak manis katanya. Di awal pertunangan juga dia dan Redza sudah dinasihatkan agar tidak selalu bertemu.
Sekali lagi Redza mengangguk. “Abah dah izinkan.”

           Jeslina mencebik. “Hurm…dah tanya abah baru nak tanya kita.” Bebelnya.

          “Kenalah tanya orang tua dulu, sayang. Orang tua dah izinkan baru boleh tanya yang punya badan.” Senyum Redza kembali melebar. Suka melihat riak Jeslina begitu. “Macam mana? Boleh ikut tak?” soalnya lagi.

             Jeslina terdiam dan otak ligat memikir.  

             “So?” Redza jungkit kening. Tidak sabar menanti jawapan dari tunangnya itu.

          “Erm…rasanya Jes tak ada program awal bulan depan. Kalau abah dah izinkan, Jes ikut.” Balasnya dengan senyuman. Sesekali mengikut tunang sendiri ke kampung halaman, apa salahnya. Dia sendiripun sudah rindu dengan suasana kampung yang pernah dilalui di sana dahulu.

              Mendengar jawapan dari Jeslina, bibir Redza merekah lagi dengan senyuman.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...