Followers

Tuesday, 25 April 2017

Bab 1




          Redza tersenyum lebar. Jelas tergambar riak gembira dan teruja di wajahnya. Gelas di tangan diletakkan semula ke atas meja dan tubuh disandarkan ke kerusi bersama helaan nafas kelegaan.

       “Kau apahal? Dari tadi senyum aje aku tengok. Ada cerita best ke?” Shaqir jungkit kening dengan dahi yang berlapis-lapis. Tertanya-tanya dia melihat riak Redza sedari tadi. Sudah seperti  orang mabuk cinta sahaja gayanya.  

         “Aku rasa macam baru dapat Ferrari sebiji. Tapi rasanya dapat Ferrari pun tak segembira ini.” Nafas dihela. “Entah…tak tahu aku nak cakap macam mana tetapi jujurnya aku tak sabar dan teruja.” Senyum Redza semakin meleret. Memikirkan tentang apa yang bakal berlaku nanti, hatinya berbunga-bunga dan sangat bahagia.  

           Shaqir betulkan duduk. “Apa kes ni? Cuba beritahu aku.” Hati semakin tertanya-tanya.

         “Aku dan Jes.” Kata-kata Redza terhenti. Dengan riak yang masih seperti tadi, sahabatnya itu dipandang lagi.

           Hati Shaqir mula berdebar. Pandangan Redza dibalas kosong. “Kenapa dengan kau dan Jes?” tanyanya cuak.

            “Kau mesti terkejut.” Tawa kecil Redza terhambur lepas.

        “Ceritalah.” Ucap Shaqir semakin tidak sabar. Apa tidaknya, jika ianya ada kaitan dengan Jeslina pasti denyutan jantungnya akan berentak sedikit berbeza. Malah akan berlari lebih laju dari biasa.

            “Ermm…aku.. aku dah lamar Jes.” Akui Redza jujur.

          Shaqir terhenyak. Redza di pandang tidak berkelip. Serentak itu tubuh berasa lemah longlai seakan tidak bermaya.

         “Jes dah setuju dan yang paling menggembirakan aku, mama dan abah Jes pun dah beri keizinan kepada kami. Alhamdulilah.” Ucapnya ceria. “Dan kau tahu Shark, yang paling aku tak sangka, selama ini Jes pun cintakan aku. Patutlah dia marah sangat pasal aku dengan Sheren hari tu.” Sambungnya.

          Shaqir masih begitu. Terdiam kaku ditempat duduknya. Otak tiba-tiba tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Apa tidaknya, berita yang baru didengarinya itu seolah-olah sukar untuk diterima. Redza dan Jeslina akan berkahwin? Argghhhh….mana mungkin! Hati berkata-kata sendiri.

         “Shark.” Melihat Shaqir yang langsung tidak memberikan sebarang reaksi, nama sahabatnya itu di seru.

        “Shark!” panggil Redza lagi agak kuat dari tadi apabila panggilannya langsung tidak diendahkan.

         Tersentak, pandangan Redza dibalas dengan mata terkebil-kebil. “Ya..haa..ya..” balasnya teragak-agak.

            “Kau kenapa?” Dahi mula berkerut. Pelik melihat air muka Shaqir yang tiba-tiba berubah kelat.

              Shaqir berdeham. “Hurmm…tak ada apa-apa.” Kepalanya digeleng.  “So…ermm…bila…bila nak bertunang?” soalnya cuba beriak tenang sedang dalam hati bukan main berantakan lagi.  

            “Hurmm….Insya-Allah weekend ni mak dan abah aku akan datang sini jumpa keluarga Jes untuk merisik. Kalau semuanya okey, rasanya dua minggu lagi kami bertunang.” beritahu Redza semakin teruja. Sungguh dia gembira kerana akhirnya gadis yang selama ini dia suka bakal menjadi permaisuri hatinya.  

           Melihat air muka bahagia di wajah Redza, Shaqir hela nafas. Dahinya digosok-gosok untuk menenangkan gelora di hati sendiri. “Oh..” hanya sepatah kata itu yang terluah. Demi tuhan dia kecewa. Apa tidaknya,  bunga pujaan yang diidamkan selama ini bakal disambar orang.

             “Oh ya, masa hari bertunang aku tu kau jangan ke mana-mana pulak.” Redza mengingatkan. Shaqir bukannya boleh kira nanti ada sahaja rancangannya. Jenis manusia tak reti duduk diam. Kalau tak memancing, sibuk masuk hutan ikut kawan-kawan menembak. Belum lagi dengan kerja-kerja yang menuntut dia ke sana ke mari.

          “Eh! Apa kena mengena dengan aku pulak? Bukan aku yang nak bertunang.” Shaqir cuba pamer senyum walaupun payah. Gelas di atas meja dicapai dan air limau nipis sejuk  dihirup rakus untuk menenangkan diri sendiri.

             “Ikut mak dan abah aku jadi wakil pihak aku.”

       “Malaslah aku nak menyibuk. Lagipun tentu mak dan abah kau bawak rombongan dari kampong.” Shaqir menggeleng. Mendengar Redza dan Jeslina mahu bertunang pun hati sudah sakit inikan pula hendak berada dimajlis tersebut. Hurm…memang tidaklah dia menyeksa diri sendiri!

           “Tak. Mak, abah, kakak dan adik-adik aku aje yang ikut nanti. Aku tak nak menyusahkan orang kampong. Kesian dengan dia orang semua nak travel jauh-jauh. Lagipun majlis bertunang aje pun.  Nak bawak ramai-ramai tunggu kenduri besar aje nanti. Boleh terus sewa bas. Masa tu nanti lagi ramai yang ikut lagi seronok.” Beria Redza bercerita tentang perancangannya. Sambil tersengih-sengih menunjukkan rasa bahagianya.   

           “Hurm… tengoklah dulu macam mana.” Balas Shaqir acuh tak acuh. Melihat riak Redza ketika itu kekecewaan di hati semakin parah jadinya.

           “Kau jangan macam tu Shark. Nanti masa kau, aku tolonglah pulak.” Ucap Redza bersungguh.

            “Entah bilalah masa aku tu Dza.” Balasnya dengan tawa yang dibuat-buat.

            Sengih Redza menjadi semakin lebar. “Jangan nak kelentong akulah yang kau tak ada sesiapa sekarang. Aku tengok perempuan  keliling pinggang. Bergambar pun bukan main lagi. Siap peluk-peluk pinggang lagi.” Giatnya.

            “Itu semua kawanlah dan yang ada connection dengan kerja aku je.” Nafinya beria. Iyalah, kerja macam dia, memanglah dikelilingi oleh gadis cantik-cantik tetapi sayangnya sejak di tingkatan satu lagi, hati sudah terpaut dengan anak tuan inspektor yang boleh tahan cengihnya itu.

             “Tak kisahlah apa-apa pun, yang penting kau kena ada nanti. Aku bukannya ada ramai sangat kawan dekat KL ni. Dan kaulah satu-satunya kawan yang rapat dengan aku selama ni. Lagipun boleh juga kau jadi photographer aku.” Redza tetap memujuk.

            Shaqir terdiam. Sekali lagi nafasnya dihela. Ini yang susah bila Redza sudah beria-ia. Lagi pula hendak dia yang jadi tukang ambil gambar? Itu sengaja membakar jiwa namanya. Hendak memandang muka Jeslina pun mesti dia tak sanggup nanti. Malas hendak memanjangkan cerita tentang perihal tersebut, akhirnya kepala diangukkan. Entah dia mengangguk kerana bersetuju atau apa, dia sendiri pun tidak tahu.

          “Macam itulah kawan.” Bahu Shaqir ditepuk dan dia terus menyambung ceritanya tentang perancangan majlis pertunangan tersebut.

Shaqir hanya mendengar sahaja dengan perasaan yang sebal dan kecewa.  


Bunga Lily plastik berwarna putih yang sedang digubah, dipandang dengan senyum lebar di bibir. Gembira? Ya, terlalu. Bahagia? Ya, sungguh dia bahagia. Siapa sangka segalanya berakhir begitu. Siapa sangka juga, dia dan Redza selama ini menyimpan satu perasaan yang sama.

             “Happy nampak.”

      Terkejut ditegur secara tiba-tiba, laju Jeslina palingkan kepalanya ke belakang. Sebaik terpandangkan Shaqir yang sedang tersenyum memandangnya, dia bingkas bangun. Wajah yang tadinya ceria spontan itu berubah serta merta. Arghhh…kenapalah setiap kali wajah lelaki itu menerpa pandangan matanya, hati terus diusik oleh rasa benci dan menyampah.    

             “Kau buat apa dekat butik aku? Nak tempah baju pengantin? Atau kau nak tempah khidmat aku untuk majlis perkahwinan kau?” sinis dia bertanya. Apa tidaknya, tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja Shaqir muncul di situ. Ingatkan selepas pertemuan tempoh hari, mereka tidak akan bertemu lagi tetapi lain pula jadinya.   

           “Pengantin perempuannya belum bersetuju lagi jadi macam mana aku nak tempah baju pengantin.” Selamba Shaqir membalas. “Dan cik Jeslina, kalau aku nak kahwin nanti sudah tentulah aku akan guna khidmat kau sebab aku tahu pengantin perempuan aku tentu citarasanya sama dengan kau.” Sambungnya lagi dengan senyum nipis di bibir sambil mata liar memandang di sekeliling butik. Cantik dan kemas tersusun.

           “Habis tu kalau kau jumpa aku, pengantin perempuan kau akan bersetuju ke? Atau kau nak suruh aku pergi meminang?” sindir Jeslina pula dan Shaqir dijeling. “Ermm…tapi sorry lah Encik Shaqir, kami tak ambil upah untuk urusan meminang. Kami cuma sediakan pakej untuk bakal pengantin yang akan  berkahwin sahaja.” Sinisnya lagi dan tangan  dipelukkan ke tubuh.

             “Dan untuk pengetahuan kau, citarasa aku tinggi. Kalau kau mampu dan tak kedekut dengan bakal isteri kau barulah kau datang jumpa aku ya. Kalau tidak, baik kau cari perancang perkahwinan yang lain aje.” Tambahnya lagi masih dengan riak seperti tadi.

            Shaqir tergelak. Langsung tidak terkesan dengan kata-kata gadis itu. Tidak mengendahkan renungan tajam Jeslina, gubahan bunga dan perhiasan yang diletakkan di pelamin hiasan dipandang pula. Hiasan yang cantik dan diserikan pula dengan warna yang menarik. Ungu dan putih.  Menyerlah dan nampak hidup.

             “Cantik butik kau. Kombinasi warna yang cantik dan dihiasi pula dengan pelbagai jenis bunga. Ermm….jadi tak salahlah kalau aku panggil kau, Bunga. Kan?” Usiknya dengan senyum lebar di bibir. Dia memanggil Jeslina dengan panggilan itupun disebabkan obsesi gadis itu dengan bunga. Apa tidaknya, pantang ternampak bunga dimana-mana pasti bunga-bunga tersebut akan dipetiknya tidak kiralah walau bunga taik ayam sekalipun.

              Jeslina tegakkan tubuh. Shaqir direnung semakin tajam. “Kau nak apa sebenarnya ni? Aku tak ada masa nak layan kalau kau datang sini sekadar nak merepek!” marahnya. Entah kenapa berdepan dengan Shaqir, darahnya cepat sahaja mendidih. Setiap kali teringatkan apa yang pernah Shaqir lakukan kepadanya dahulu, lagilah sakit hatinya. Ejekan ‘budak jahat’ dan ‘si jerung’ yang diberinya dahulu sehingga kini masih melekat di hati.  

           Tawa Shaqir kedengaran lagi. Tubuhnya dipusingkan untuk berdiri menghadap tuan punya butik. Dengan tawa yang masih bersisa, tubuh tinggi lampai itu dipandang dari atas ke bawah. Garang tetapi cantik! Wajah masam mencuka tetapi tetap memikat!

            “Hurmm…aku datang sini sebab aku nak lamar tuan punya butik ni.” Selamba Shaqir bersuara. Kening dijungkit dan kedua-duanya tangannya dimasukkan ke dalam poket jeans yang dipakainya dengan riak bersahaja.

            Jeslina tercengang. Lelaki di hadapannya itu dipandang tidak berkelip. Shaqir sedang bermimpi atau sedang mabuk sekarang?

               “Aku nak ajak kau kahwin.” Ucapnya lagi dan masih beriak seperti tadi.

             “Kau ni waras ke tidak? Datang tak diundang, tiba-tiba nak ajak aku kahwin. Mabuk ke?” Soal Jeslina sambil jengilkan mata. Malas hendak melayan kata-kata Shaqir lagi, dia terus berpaling memandang ke arah gubahan bunganya semula.

             “Aku serius. Kau pun kenal aku, Jes. Aku tak pernah main-main dengan apa yang aku cakap.” Shaqir masih begitu. Masih tegas dengan pendirian dan kata-katanya tadi.

                Jeslina tolehkan kepala memandang Shaqir semula. “Kenapa aku?” soalnya kemudian kepala digeleng. “No, soalannya sepatutnya begini. Kenapa tiba-tiba kau ajak aku kahwin? Lagipun kau pun tahu selama ni aku  tak pernah sukakan kau.” Dia bersuara lagi menyambung bicaranya tadi.

              Shaqir jungkit bahu. “Aku tak tahu tapi sejak aku jumpa kau, aku memang nak kahwin dengan kau.”

          Jeslina mendengus. “Kau ni gila!” marahnya agak keras. Hanya orang gila sahaja yang berperangai tidak waras begitu. Tidak ada angin tidak ada ribut tiba-tiba buat lawak antarabangsa begitu dibutiknya. Shaqir ingat dia apa? Budak kecil yang boleh diumpan dengan gula-gula? Arghhhh!

          “Tak kisahlah kau nak kata aku gila atau apa pun tapi kalau kau setuju aku  akan suruh mak ngah aku datang sini jumpa mama dan abah kau untuk berbincang tentang pertunangan kita.”

           Bingung dengan apa yang Shaqir perkatakan, Jeslina kerutkan dahi. Shaqir cakap apa sebenarnya sekarang? Pertunangan mereka? Ya Allah, apa yang lelaki ini merepekkan di waktu-waktu begini?

            “So, macam mana Jes? Kalau kau okey, mak ngah aku akan datang bila-bila masa sahaja untuk jumpa parents kau.”

             Jeslina hela nafas. Tangannya diangkat. “Wait Shark, aku rasa kau dah melebih-lebih sekarang. Bila masa aku setuju dengan apa yang kau cakapkan tadi? Dan yang aku tak faham, kau datang sini secara tiba-tiba dan terus bercakap tentang pertunangan kita?  Hello, aku rasa kau ni mabuk agaknya Shark!” Keras Jeslina bersuara.

               “Tak, aku masih waras lagi Jes.”

                Kepala digeleng dan keluhan kecil dilepaskan.

           “Dengar sini Shark, antara kita tak mungkin akan ada apa-apa ikatan sebab aku akan berkahwin dengan Redza. Faham?” Tegasnya.

          “Kau pasti ke kau dan Redza akan berkahwin?” Jeslina direnung dengan senyuman seakan mengejek.

              “Yes, dan kami dah buat keputusan untuk berkahwin tiga bulan lagi. Dan untuk pengetahuan kau, dalam masa terdekat ni  kami akan bertunang. Get me?” Shaqir dijeling.

               Melihat riak Jeslina yang bersungguh-sungguh, Shaqir tergelak. Walaupun dia tahu tentang perihal sebenarnya tetapi entah kenapa dia tetap mahu mengusik. Dan yang peliknya, selepas bertemu dengan Redza tadi, keretanya terus dipandu ke butik gadis itu dan berbicara gila seperti itu. Benarlah seperti apa yang Jeslina katakan, dia memang sudah gila agaknya!

               Jeslina terdiam. Shaqir yang sedang beria ketawa itu dipandang dengan kerutan di dahi.

            “Aku bergurau saja Jes. Sengaja nak mengusik kau. Seronok juga ya dapat mengusik bunga pujaan hati aku masa zaman remaja dulu. Nampaknya kau tak pernah berubah dan…aku suka.” Ucapnya dengan tawa yang masih bersisa.

               Sakit hati dengan apa yang diperkatakan Shaqir, Jeslina mendengus. Geram, laju sahaja pasu bunga plastik kecil di sebelahnya dicapai dan dibalingkan ke arah lelaki itu. Arghhhhh! Bencinya dia!

                Tawa Shaqir semakin menjadi-jadi. Pasu bunga yang berjaya dicapai tadi diletakkan semula ke atas meja. Habuk gabus dari pasu yang melekat dibajunya disapu dengan tangan  dan Jeslina dihampiri semakin rapat.

         “Tapi kan, siapa tahu kalau betul aku yang akan jadi pengantin lelaki kau nanti. Bak kata ustaz Kazim Elias, kalau dah jodoh tak ke mana. Betul tak Cik Jeslina?” bisiknya rapat di telinga gadis itu.  
            Jeslina palingkan wajah ke arah lain dan bibirnya diketap keras.

             “Keep on dreaming!” bedilnya.  

           “Kuasa tuhan tak siapa yang tahu Jes. Orang yang dah berkahwin pun boleh bercerai, inikan pula baru bertunang. Eh! Pembetulan.” Jarinya digoyang-goyangkan. “Belum bertunang pun lagi.” Kenyitnya nakal.

              “Aku rasa lebih baik kau pergi dari sini Shark. Sebelum aku makin menyampah tengok muka kau, baik kau pergi!” Suara Jeslina sudah mula meninggi. Sakit telinganya mendengar bicara Shaqir sedari tadi. Bukan hanya sekarang tetapi sejak dulu lagi tiada satu pun kata-kata dan perbuatan lelaki itu yang menyenangkan hatinya.

            “Tak baik terlalu membenci Jes. Nanti orang yang kau benci inilah yang akan kau sayang separuh mati dan akan kau tangisi bila dia dah tak ada lagi.” Shaqir mengingatkan.

             “Shark!” jerit Jeslina agak lantang. Lelaki itu dijeling semakin tajam. Ya tuhan, sabarkanlah hatinya!

              Shaqir tersenyum. “Jangan asyik nak marah aje Jes, tak baik untuk hati kau. Sebenarnya aku datang sini saja nak tengok kau. Nak lepaskan rindu.” Ucapnya. Walau pun kata-katanya itu seakan satu gurauan tetapi hakikatnya, ianya kenyataan.

               Jeslina mendengus keras. Malas hendak mendengar repekan Shaqir yang semakin menjadi-jadi, dia terus buka langkah untuk naik ke tingkat atas butiknya. Bimbang semakin dilayan, semakin sakit hatinya nanti.

           “Terpulanglah pada kau nak percaya atau tidak Jes, tapi aku serius.” Ucap Shaqir lagi dengan suara yang agak kuat. Langkah Jeslina diekori dengan renungan matanya.

        “Get lost Shark!” jerit Jeslina agak lantang dan terus berlari memanjat anak tangga meninggalkan Shaqir termanggu sendirian di situ. Haih, pada waktu-waktu begitulah semua pekerja butiknya tiada. Kalau tidak tentu Shaqir tidak berani mengucapkan kata-kata seperti itu.  

             Shaqir tersenyum dan menggeleng. Lama dia begitu sebelum kaki diayun untuk pergi dari situ. Jeslina…dingin, beku dan kaku. Tetapi entah kenapa, tetap juga gadis itu yang dia paling suka.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...