Bab
10
Zahin direnung. Tajam. Cawan latte di
atas meja dicapai semula dan dihirup sehingga habis. Hati sudah mula membahang
geram.
“I nak balik.” Tekannya keras. Rasanya
sudah beberapa kali dia mengulang kata-kata yang sama tetapi riak Zahin tetap
begitu. Bersahaja malah langsung tidak mengendahkan kata-katanya.
Zahin tersenyum. Seakan tidak terkesan
dengan kata-kata Nur Jannah sedari tadi.
“You dengar tak I cakap I nak balik!”
Nur Jannah mengulang kata-katanya semula. Kalau mereka hanya berada
ditempat-tempat biasa sudah lama dia pergi sahaja dari situ tetapi dia berada
di Bukit Tinggi sekarang! Sejak tadi dia sudah mula menyesal kerana mengikut
Zahin petang tadi. Sangkanya mereka hanya akan minum di café-café biasa tetapi
dia dibawa ke situ tanpa kerelaannya. Tak
guna punya jantan! Jeritnya dalam hati.
Zahin palingkan wajah dan pelayan yang
duduk tidak jauh dari situ dipandang. Tangan terus diangkat dan digoyang-goyangkan.
“Bill please.” Ucapnya sebaik pelayan
tersebut menghampiri meja mereka. Pelayan itu akur dan pergi ke kaunter bayaran
sebelum kembali ke meja mereka semula.
“Bill sir.” Buku kecil di tangan
diletakkan ke atas meja.
Sebaik melihat jumlah bill yang tertera
di dalam resit yang diberikan, Zahin terus mengeluarkan note lima puluh ringgit
sebanyak tiga keping dan diletakkan ke dalam buku kecil di atas meja. “You can
take the balance.” Dia terus berdiri. Nur Jannah dihampiri dan tangan gadis itu
diraih.
“Lepaslah.” Jerit Nur Jannah perlahan.
Tangannya cuba ditarik tetapi semakin kuat pula tangannya dicengkam.
“Jom.” Ajak Zahin agak keras. Tangan Nur
Jannah ditarik.
Dalam keadaan rela terpaksa, Nur Jannah
terus bangun dan langkah lelaki itu
diekori.
“Zahin, kita nak ke mana ni?” Soal Nur
Jannah agak cuak apabila Zahin terus berjalan masuk hotel Colmar Tropicale di
pusat peranginan tersebut.
“Kita akan menginap di sini.” Selamba
Zahin bersuara.
“No!” jerit Nur Jannah sedikit keras dan
tangannya ditarik agak kasar. Kali ini dia benar-benar takut. Dengan siapa dia
harus meminta tolong kalau terjadi sesuatu sedangkan dia tidak kenal sesiapa
pun di situ.
“I don’t care you suka atau tidak. We’ll
stay here for tonight!” suara Zahin sudah mula berubah rentak. Tegas dan dalam.
Tangan Nur Jannah dicengkam semakin kuat.
“Sakitlah Zahin!”
Zahin palingkan wajah dan Nur Jannah
ditarik semakin rapat ke arahnya. “Kalau you tak nak sakit, behave!” bisiknya
dalam nada mengugut.
Nur Jannah terus terdiam. Sungguh dia takut
dan hati sudah mula berdetak semakin cemas memikirkan nasib dirinya. Ya Allah,
lindungilah aku. Doanya tidak henti-henti sedari tadi. Di saat itu juga wajah
abah dan mak datang silih berganti di kepalanya. Ketika itu juga timbul rasa
menyesal dengan sikapnya yang terlalu mengejar kemewahan tanpa memikirkan
risiko yang bakal diterima.
Melihat Nur Jannah yang sudah mula
mendengar kata, Zahin terus berjalan ke kaunter. Selesai urusan mendaftar masuk dan menerima
kunci, dia terus menarik tangan Nur Jannah untuk beredar.
“Zahin, I tak ada baju lain nak pakai.”
Nur Jannah memberi alasan. Suara sudah mula bergetar menahan rasa. Debaran di
dada semakin menggila. Otak pula ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri
dari situ.
“You tak perlukan baju lain sayang.
Sebab...aktiviti kita malam ni tak perlukan semua tu.” Zahin mula berbisik
nakal. Matanya dikenyitkan. Tubuh Nur Jannah semakin ditarik rapat ke arahnya
sebelum pinggang gadis itu dirangkul.
Berderau darah Nur Jannah apabila
diperlakukan begitu. Tetapi kata-kata Zahin tadi lebih menakutkan. Ya Allah,
lindungilah aku dari lelaki berperangai syaitan ini. Doanya lagi tanpa henti.
Pandangannya dibuangkan ke sekeliling. Apa yang perlu dia buat sekarang?
Menjerit meminta tolong? Dalam masyarakat yang tidak pernah kisah tentang orang
lain sekarang, adakah manusia yang akan menolongnya? Allah... nama yang maha
agung itu diseru lagi. Berkali-kali.
“Zahin, please...I nak balik. I tak nak
stay dekat sini.” Nur Jannah sudah mula merayu. Mengharap semoga tiba-tiba Zahin
lembut hati.
“You jangan ingat I akan lepaskan you
dengan mudah Jannah. Kalau I tak dapat, I pun tak akan beri orang lain merasa.”
Bisik Zahin perlahan tetapi tajam
bunyinya.
“Zahin, I tak cintakan you lah.” Jerit
Nur Jannah hampir menangis. Zahin memang lelaki durjana.
“Untuk dapatkan tubuh you, I tak
perlukan cinta sayang.” Kata-kata Zahin semakin tidak beralas. Rangkulannya
dipinggang Nur Jannah dilepaskan dan jemari gadis itu digenggam pula. “Come, I
dah tak sabar nak merasa kehalusan kulit you yang putih ni.” Lengan Nur Jannah
yang tidak beralas itu diusap-usap.
Hampir putus nafas Nur Jannah apabila
diperlakukan begitu. Sungguh dia jijik!
“Please Zahin... this is wrong...I tak
nak.” Mata sudah mula berkaca. Abah....nama abah diseru berkali-kali di dalam
hati.
“Samada you nak atau tak, itu tak
penting. What important, I’ll enjoy the night. Lagipun I dah spent banyak untuk
you Jannah jadi I inginkan balasan.” Mata dikenyitkan dan langkah diayun
semakin laju menuju ke pintu lif.
“I akan pulangkan semua pemberian you.
Handphone, barang kemas dan duit. Semuanya I akan pulangkan.” Terketar-ketar
Nur Jannah membalas. Semakin menghampiri pintu lif, detak jantungnya menjadi
semakin laju.
Zahin lepaskan tawa. “I tak perlukan
semua tu sayang. I cuma perlukan diri you.” Bisiknya rapat ke telinga gadis
itu. Dan di saat itu juga satu kucupan singgah dipipi gebu gadis itu.
Air mata mula menitis. Geli! Jijik! Ya,
itulah yang dia rasa ketika itu. Tangannya yang dicengkam kemas oleh Zahin
sedaya mungkin cuba dilepaskan tetapi nampaknya Zahin bukan bodoh untuk
melepaskannya begitu sahaja. Semakin dia cuba melepaskan diri, semakin kuat
Zahin menggenggami jemarinya. Ya Allah, beginikah perjalanan hidupnya?
Maruahnya akan hancur di tangan lelaki yang bukan bergelar suami? Tubuhnya akan
diratah rakus oleh lelaki bernafsu binatang ini? Abah...tolong kakak abah!
Pandangan dibuangkan ke arah jam di
dinding kemudian kepalanya digelengkan. Waktu sudah menginjak hampir ke pukul
Sembilan malam tetapi batang hidung Nur Jannah masih belum kelihatan lagi.
Kerja sampai lewat malam? Tak mungkin kerana Nur Jannah biasanya akan
menghubunginya sekiranya terpaksa pulang lewat.
Telefon bimbit yang terletak elok di
atas meja dikerling. Tidak menunggu, laju sahaja telefon bimbitnya dicapai.
Nombor Nur Jannah didail. Senyap. Didail lagi. Masih juga senyap. Jantung terus
berdegup. Skrin telefon bimbit dipandang. Lama.
“Janganlah ada apa-apa berlaku pada kau
Nur.” Desis hatinya.
Jari meluncur di skrin telefon dan nama
Jenny dicari. Sebaik nama Jenny ditemui, nombor gadis cina itu terus didail.
“Jenny..” sebaik panggilannya bersambut
laju sahaja nama gadis itu diseru.
“Ya Ika, apahal?”
“Jannah ada dengan kau tak?” soalnya tak
bertangguh. Dari duduk dia terus berdiri semula.
“Tak adalah Ika. Pukul lima petang tadi
dia dah balik. Kenapa?” suara Jenny juga sudah mula berubah rentak.
“Dia belum balik lagilah Jen. Aku call
dia tak dapat.” Zulaika semakin bingung. Hati sudah mula rasa tidak tenteram.
Di saat itu juga wajah pak cik Ahmad terbayang-bayang diingatan. Dia masih
ingat lagi pesanan pak cik Ahmad semasa dia dan Jannah ingin bekerja di Kuala
Lumpur.
“Di Kuala Lumpur nanti kamu tiada
siapa-siapa. Saudara mara pun tak ada jadi jagalah diri kamu sesama sendiri.
Ambil berat antara satu sama lain. Bila salah seorang susah, yang seorang lagi
kena bantu. Dan Ika, pak cik minta kamu tolong tengok-tengokkan anak pak cik
ni.”
“Ika..” suara Jenny sudah mula cemas.
Mendengar suara Jenny ketika itu,
berderau darahnya. Dia pasti mesti ada sesuatu yang berlaku.
“Kenapa Jen. Kau jangan takutkan aku.”
Suara Zulaika juga sudah mula terketar-ketar.
“Zahin..” sepatah lagi Jenny membalas.
“Siapa Zahin tu?” Zulaika seakan sudah
tidak sabar mendengar bicara gadis cina itu. Sebiji-sebiji disebutnya.
“Lelaki tu ada cari Jannah di office
petang tadi. Dia ugut Jannah.”
Sekali lagi darah Zulaika terasa menyerbu
naik ke kepala.
“Ya Allah, Nur.” Desahnya. “Dah tu apa
jadi?” soalnya semakin cemas.
“Aku tak tahu Ika tapi aku rasa Jannah
pergi jumpa lelaki tu.”
“Apasal kau suka cari pasal Nur?” bebel
Zulaika agak keras.
“Dah tu apa kita nak buat ni Ika?”
Zulaika hela nafas. Dia sendiri pun bingung
tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Nak report polis ke Ika?”Jenny memberi
cadangan.
“Belum 24 jam lagilah Jen.”
“Habis tu?”
Suasana terus sepi. Zulaika diam. Jenny
juga turut diam.
“Okey macam ni. Kita tunggu dulu sampai
pukul 12 malam. Kalau masih belum ada khabar berita kita buat report polis.”
Cadang Zulaika setelah lama mendiamkan diri.
“Kalau kau dah kata macam tu okeylah.
Tapi apa-apa hal kau call aku. Kalau perlu nanti aku pergi rumah kau.” Jenny
bersetuju.
“Alright.”
Talian terus dimatikan. Jam di dinding
dikerling lagi. Sekilas kemudian pandangan dibuangkan ke pintu. Mengharap agar
tiba-tiba Nur Jannah muncul di situ. Walau lama matanya tertancap di muka pintu
yang tertutup itu namun wajah Nur Jannah masih juga tidak kelihatan.
Perlahan-lahan nafasnya dihela. Rambut yang tidak diikat itu diraup kasar.
“Nur...dekat mana kau sekarang?” luahnya
resah.
“Allah...” pak cik Ahmad tersentak. Dia
bingkas bangun. Wajahnya diraup dan bibir beristigfar panjang. Berkali-kali.
“Kenapa bang?” Mak cik Latipah turut
bangun. Wajah suami yang kelihatan agak kusut itu dipandang dengan kerutan di
dahi.
“Kakak...” ucap pak cik Ahmad sepatah.
“Kenapa dengan kakak?”
“Entahlah Pah. Abang mimpikan kakak.
Rasa macam terdengar-dengar suara dia panggil abang.” pak cik Ahmad terus
bangun. Dada yang terasa berdebar-debar itu diusap.
“Mimpi aje tu bang. Tak ada apa-apalah.”
Pujuk mak cik Latipah lembut.
Dengan riak yang masih seperti tadi, pak
cik Ahmad mengangguk. Jam di dinding yang kelihatan agak usang dikerling. Waktu
ketika itu hampir menginjak ke pukul sebelas malam. Tentu anak gadisnya sedang
tidur ketika itu. Fikirnya.
“Abang nak Pah telefon kakak?” mak cik
Latipah turut bangun. Suaminya dihampiri.
Pak cik Ahmad menggeleng. “Tak payahlah
ganggu kakak. Dia mesti dah tidur.” Langkah terus diatur untuk keluar.
“Abang nak kemana tu?”
“Nak ke dapur Pah, abang rasa haus
pula.” Dadanya diusap lagi. Suara Nur Jannah seakan-akan terdengar-dengar lagi.
Ya Allah, lindungikah anak aku walau dimana dia berada. Doanya dalam hati.