Setelah mengharungi perjalanan hampir empat
jam, akhirnya mereka sampai juga ke tempat yang di tuju. Sebaik menghantar
Shaqir ke rumah ibu saudaranya, Redza rerus memandu keretanya ke rumah orang
tuanya. Masuk sahaja ke perkarangan rumah, kereta kereta terus diparkirkan. Enjin
dimatikan dan dia terus keluar. Jeslina ikut sama keluar. Elok kaki berdiri di
muka tangga, salam dilaung.
Senyap.
Salam dilaung lagi dan masih juga tiada
sesiapa yang menyahut. Dengan kerutan di dahi, rumah yang kelihatan sunyi itu
diperhati. Semuanya bertutup. Puas ditelek sekeliling tetapi sepi sahaja. Salamnya
juga langsung tiada yang sambut. Pelik, kemana pula kedua-dua orang tuanya
pergi? Bukankah sudah diberitahu dari seminggu yang lepas lagi yang mereka
akan balik hari itu?
"Sunyi aje rumah mak abang ni. Tak ada
orang ke?" Jeslina turut kerutkan dahi. Tak mungkin orang tua Redza tiada
sedangkan mereka tahu dia dan Redza akan balik ke kampung bersama.
Redza jungkit bahu. Salam dilaung lagi semakin
lantang dari tadi.
Masih senyap dan tiada jawapan.
"Pelik ni. Mana mak dengan abah dah
pergi?" keluhnya perlahan.
"Abang tak cuba call?" Redza
dipandang semula.
Redza lepaskan tawa kecil dan dahinya digaru.
"Iyalah, kenapa abang tak terfikir dari tadi?" Balasnya dan telefon
bimbit di dalam kereta terus diambil. Nombor telefon abahnya didail. Lama
menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut. Setelah berbual seketika, talian
dimatikan.
"Macam mana?" cepat sahaja Jeslina
bertanya. Apa tidaknya, risau juga dia dengan keadaan mereka sekarang.
"Mak dengan abah ke rumah Ateh dekat Raub
sebab adik abang tu bersalin pagi tadi. Bersalin anak pertama tu yang kalut
orang tua tu." Beritahunya. "Pergi pun tergesa-gesa sampai terlupa
nak call abang beritahu." Sambungnya bersama keluhan kecil.
"Habis tu sekarang macam mana? Tak kan
Jes nak duduk berdua aje dengan abang?" Jeslina kerutkan dahi. Berdebar
pula rasanya apabila memikirkan tentang hal itu.
Tawa Redza terus terhambur. Wajah tunang yang
sudah berubah kalut itu dipandang gelihati.
"Sayang, takkan abang nak ambil risiko
duduk berdua dengan sayang dalam satu rumah? Memanglah best sebab dapat kahwin
cepat kalau tiba-tiba kena tangkap tapi abang tak suka ambil kesempatan dengan
cara macam tu. Abang pinang sayang dengan baik jadi urusan pernikahan dan
perkahwinan juga biarlah dengan cara yang baik juga." balasnya lembut.
"Abang nak perkahwinan kita menjadi satu kenangan terindah dalam hidup
abang tapi bukan dengan cara macam tu. Dengan memalukan keluarga." Ucapnya
sambil lembut mata menala pandangan ke arah tunang di hadapannya.
Jeslina turut tersenyum. Lega rasanya
mendengar kata-kata Redza tadi. Dia tahu Redza bukan jenis lelaki yang
suka mengambil kesempatan. Selama mereka bersama, tidak pernah sekalipun Redza
melakukan sesuatu yang melebihi batasan. Memang betul sangat apa yang Aton
katakan, dia memang bertuah memiliki lelaki seperti Redza. Maklumlah, lelaki
yang baik bukan senang dicari jadi bila ada di hadapan mata tak mungkin dia
akan lepaskan.
"Habis tu sekarang macam mana? Jes nak
tidur mana?" Sibuk memuji tunang sendiri sampai terlupa di mana
mereka sekarang.
Redza terdiam sambil berkerut-kerut dahi
memikir.
"Ada hotel tak? Biar Jes tidur dekat
hotel ajelah." Jeslina memberi cadangan. Dia bukannya ada saudara mara di
situ jadi ke mana lagi yang dia boleh pergi?
"Ermmm...apa kata sayang tidur rumah
Shark untuk malam ni. Kalau sayang dekat sana abang tak risau sangat sebab ada
mak ngah dan adik perempuan Shark buat teman." tidak bersetuju dengan
cadangan Jeslina, Redza memberi cadangan lain. Di situ bukannya tiada hotel
tapi rasa tak betah pula membiarkan tunangnya itu bermalam agak berjauhan dari
kampung dan ditempat yang asing begitu.
"Shark?!" Bulat mata Jeslina
memandang Redza. Tubuh yang sedari tadi bersandar di pintu kereta terus
ditegakkan. Redza gila nak suruh dia bermalam di rumah Shaqir? Oh,
tidaklah!
"Untuk malam ni aje sayang. Lagipun ada
makcik dan adik Shark sekali bukan bermalam berdua aje dengan dia." pujuk
Redza lembut.
"Malulah!" Tangan dipelukkan ke
tubuh. Sebenarnya bukan malu tetapi lebih kepada tidak selesa atau malas
berdepan dengan lelaki itu. Berada di dalam satu kereta pun dah rasa semacam
inikan pula hendak duduk serumah walau untuk semalaman. "Biar Jes stay dekat hotel ajelah."
tolaknya lagi.
"Hotel jauh sikit dari kampung ni.
Lagipun abang tak sampai hati nak biarkan sayang stay dekat hotel
seorang."
"Better hotel dari rumah Shark,
abang." tegas Jeslina lagi. Dengusan kecil dilepaskan.
"Sayanggg...janganlah macam ni. Okey, kalau
sayang malu, apa kata malam ni abang ikut tidur di rumah Shark. Macam
mana?"
Senyap.
Melihat tunang yang sudah membisu ditempatnya,
Redza tersenyum. "Orang kata diam tu tandanya setuju. So, abang anggapkan sayang setuju ya dengan
cadangan abang tadi?" Sengaja dia memerangkap Jeslina dengan kenyataan
begitu. Biar tunangnya itu tidak mampu hendak menolak lagi.
Jeslina mendengus. Redza dijeling.
"Janganlah buat muka macam tu. Abang lagi
suka tengok muka manis tunang abang dari muka yang masam mencuka macam
ni." giat Redza dengan senyuman.
"Abang ni..." terusik dengan
kata-kata Redza, Jeslina tersenyum malu. Ermm…pandai sahaja Redza
mengambil hatinya.
"Dah boleh senyum tu kira okeylah tu kan?
So, jom kita ke rumah mak ngah, Shark. Lagipun dah lewat ni abang belum solat
zohor lagi. Sayang pun tahu kan tak baik melambat-lambatkan solat." Ajaknya.
Apabila soal ibadah dibangkitkan, Jeslina
akhirnya terpaksa akur. Dalam keadaan separuh rela, pintu kereta dibuka dan tubuh
terus diloloskan di dalam perut kereta.
“Jemput minum.”
Pelawa mak ngah Iman, ramah.
“Maaflah mak ngah menyusahkan mak
ngah hari ni. Kalau ikut tunang saya ni, dia nak bermalam di hotel aje tapi
saya yang tak izinkan. Hotel sudahlah jauh dari sini, dia sorang-sorang pulak
tu.” Balas Redza panjang lebar. Nasib baiklah hubungannya dengan mak ngah Iman
sudah seperti keluarga sendiri jadi tidaklah malu hendak meminta pertolongan
begitu.
“Allah, kamu Redza. Macam tak biasa
pulak dengan mak ngah. Si Jes ni menumpang setakat semalam aje, tak adalah
menyusahkan pun. Nak tumpang lama sikit pun tak apa, mak ngah lagi suka.”
Pintas mak ngah bersungguh. Jeslina dan Redza dipandang silih berganti.
“Haish, mana boleh lama-lama mak
ngah, lusa dah nak balik.” Balas Redza dengan tawa dihujung suaranya.
“Hurmm…kamu ni. Sesekali balik cubalah lama sikit. Sudahlah
susah nak balik kampung. Sama aje macam Shaqir ni. Puas dah mak ngah suruh
balik, macam-macam alasannya.” Mak ngah Iman sudah mula membebel. Shaqir
dijeling.
“Mak ngah…” laju Shaqir menyampuk.
Sebelum mak ngah nya membebel lebih panjang lagi, lebih baiklah dia mencelah
dulu. Kalau tidak, meleret-leret nanti bebelannya.
“Betullah apa yang mak ngah cakap
tu. Kamu tu, dah dekat tiga bulan tak balik. Sibuk memanjang. Ini pun dah puas
mak ngah call barulah nak balik.” Bedil mak ngah Iman lagi.
Shaqir tersengih. Dengan kerutan di
dahi, rambutnya digaru.
Redza yang melihat sahabatnya dibebel,
hanya tersengih sahaja. Dia bukan tak tahu, sibuk dan Shaqir memang tak dapat
dipisahkan.
Puas membebelkan anak saudara
sendiri, mak ngan Iman menoleh ke sebelah pula. Terpandangkan Jeslina yang
hanya diam membisu ditempatnya, gadis itu ditegur. “Minum Jes. Kenapa ditengok
aje air tu?” ramah dia bersuara.
Perlahan-lahan Jeslina anggukkan
kepala. “Terima kasih mak ngah. Terima
kasih juga sudi tumpangkan Jes bermalam di sini.” ucapnya dengan senyuman.
Mulanya dia rasa tidak selesa tetapi apabila melihat layanan baik mak ngah Iman
sejak tadi, lega pula hatinya. Apa yang paling dia suka sejak menjejak masuk ke
rumah kampung separuh batu itu adalah dapat melihat Shaqir dibebel begitu.
Hurmm…padan muka. Memang puas hati dia! Ejeknya dalam hati.
Mak ngah Iman menggeleng. “Perkara
kecil aje Jes. Minum dulu. Lepas tu boleh masuk bilik Intan. Berehat-rehat
dulu. Mesti penat jalan jauh.” Suruhnya. “Intan, lepas ni bawa kak Jes masuk
bilik” Intan yang sedang duduk tidak jauh dari situ dipandang.
Intan hanya mengangguk sahaja. “Kalau
kak Jes nak masuk bilik, jomlah.”ajaknya.
“Biarlah kak Jes minum dulu.” Celah
mak ngah Iman bersama gelengan. Tetamu belum sempat menjamah air sibuk
diajaknya ke bilik.
Jeslina tersenyum. Pantas cawan di
atas meja dicapai dan dihirup. Sebaik meletakkan semula cawan tersebut ke atas
meja, dia terus berdiri.
“Shark, jom solat dekat surau. Lama
dah tak jengah surau kampung.” Celah Redza sambil menala pandang ke arah Shaqir
di sebelah.
Shaqir berdeham dan terdiam
seketika. Kepala diangkat dan saat itu juga pandangannya dan Jeslina bersatu. Ketika
mata bertaut, bibir terus menguntum senyum dengan semanis yang mungkin.
Tergamam melihat riak Shaqir ketika
itu, cepat-cepat Jeslina palingkan wajah dan buka langkah. Laju kaki diayun menghampiri Intan. Entah
kenapa, pandangan dari sepasang mata galak lelaki itu membuatkan hatinya
bergetar lagi.
Melihat Shaqir yang begitu ralit
memandang Jeslina, Redza mendengus perlahan. “Shark!” Bahu sahabatnya itu
ditepuk. Amboi, bukan main lagi merenung tunangnya. Panas pula hatinya melihat
keadaan itu. Orang lain mungkin dia tidak kisah tetapi kalau Jeslina memang dia
terlalu ambil kisah.
“Huh!” Terkejut diperlakukan
begitu, cepat-cepat Shaqir berpaling.
“Tengok apa?”
Laju Shaqir gelengkan kepala. “Tak ada apa.” Balasnya teragak-agak dan bingkas
bangun. Bersama dehaman, Redza dipandang semula. “Ha, tadi kata nak pergi
surau, jomlah.” Tegurnya apabila Redza masih duduk ditempatnya. Tidak menunggu lagi
dia terus buka langkah. Sebenarnya kalut juga dia disergah begitu dengan Redza
tadi. Kalau dia bukan sesiapa dengan Redza, entah-entah sudah lebam biji
matanya dikerjakan. Shark…Shark…kalau nak tengok pun pandai-pandailah cover
line. Tunang orang tu! Haish!
Dengan riak yang masih seperti
tadi, Redza ikut bangun dan mengekor di sebelah Shaqir.
“Masuklah kak. Bilik Intan ni kecil
aje. Maaflah kalau tak selesa.” Malu-malu Intan bersuara. Bilik rumah kampung
yang hanya seluas sepuluh kali sepuluh kaki itu dipandang seolah itulah kali
pertama dia masuk ke dalam bilik itu. Melihat cadar katil yang sedikit renyuk
cepat sahaja langkah diatur menuju katil dan cadar dikemaskan.
“Tak apa, Intan. Kak Jes okey aje.
Tak payah nak beria.” Melihat Intan yang segan-segan menunjukkan biliknya,
Jeslina tersenyum. Bukannya dia tidak pernah tinggal di kampung, malah keadaan
begitu sudah biasa baginya.
Intan tersengih walau dalam keadaan
tersipu-sipu.
Beg pakaian yang dibawa diletakkan
ke atas lantai dan Intan dihampiri. “Intan belajar lagi?” soalnya sebaik duduk
di birai katil. Sengaja hendak beramah mesra.
“Belajar.” Sepatah soalannya dibalas.
“Tingkatan berapa?”
“Lima.”
“Tahun ni SPM lah ya?” Jeslina
masih terus beramah mesra walau Intan seakan malu-malu hendak membalas setiap
patah katanya.
Intan mengangguk.
Jeslina terdiam dan senyum. Dia
pasti Intan tentu malu dengan kehadirannya di situ. Apa tidaknya,
soalan-soalannya hanya sepatah sahaja dijawab.
“Hurmmm…kak Jes nak solat dulu. Dah
nak masuk pukul tiga dah ni. Boleh Intan tunjukkan arah kiblat dan bilik air?”
Jeslina terus berdiri dan menamatkan perbualan mereka.
Bersama anggukan, Intan turut
berdiri. Arah kiblat ditunjukkan dan dia terus mengajak Jeslina keluar untuk
menunjukkan bilik air yang terletak bersebelahan dapur.
Jeslina akur dan mengekor sahaja di
sebelah gadis itu. Tak apa, malam nanti dia masih ada masa untuk berbual mesra.
Bisiknya dalam hati.