Mekah – 24 April 2016
Kaki diayun perlahan dan dengan perasaan
berbaur. Dua minggu dia di situ untuk beribadah kepada yang Esa dan hari itu
dengan berat hati dia terpaksa pulang semula ke tanahair tercinta. Syukur
alhamdulilah perjalanannya dan ibadahnya dipermudahkan Allah. Kesihatannya yang
agak merudum ketika dia meninggalkan bumi Malaysia, terus pulih sebaik kaki
melangkah ke tanah suci itu. Alhamdulilah, sesungguhnya Dia sentiasa mendengar
doa hamba-Nya. Hati berbisik penuh kesyukuran.
Pandangan dibuangkan ke sekeliling ruang
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz itu dengan rasa sayu dan sebak
yang mencengkam. Allah, serasanya seperti tidak sanggup dia hendak meninggalkan
tanah suci yang damai dan menenangkan itu. Kenapalah cepat sangat masa berlalu?
Dia masih belum puas lagi sujud beribadah kepada-Nya.
“Kau okey tak ni?”
Terdengar suara Fazrin menegur, Aireen
berpaling dan senyum nipis dipamer. “Rasa macam tak nak balik.” Ucapnya
perlahan.
Fazrin turut tersenyum. “It’s normal. Sesiapa
pun yang datang ke sini akan mengungkapkan kata-kata yang sama bila nak balik. Kita
sama-sama doa minta pada Allah semoga tahun depan kita kita dijemput lagi ke
sini.” Balasnya dan kaki masih terus diayun.
“Insya-Allah. Amin.” Ucap Aireen bersungguh dan
wajah diraup. Ya, pasti dia akan datang ke tanah haram lagi. Tekadnya.
Langkah masih terus diatur untuk masuk ke
balai berlepas. Jemaah lain yang satu kumpulan dengan mereka sudah jauh ke
hadapan. Mereka terlewat sedikit kerana ada masalah ketika berada di kaunter
daftar penerbangan tadi. Nasib baik bukan masalah besar kalau tidak tentu dia
terpaksa bermalam satu malam lagi di situ.
“Jalan cepat sikit orang lain dah jauh
tinggalkan kita tu.” Fazrin mula melajukan langkahnya. Aireen menurut. Sedang
laju kaki diayun tiba-tiba dia terlanggar seseorang.
“Sorry..” ucapnya. Passport yang terlepas dari
pegangan cepat-cepat dicapai.
Lelaki yang dilanggarnya tadi hanya tersenyum
sahaja dan tanpa berkata apa-apa lelaki itu
terus beredar dengan terburu-buru.
“Kelam kabutnya mamat tu.” bebel Fazrin sambil mendengus.
“Dia dah lambat agaknya tu lagipun bukan salah
dia. Aku yang terlanggar dia tadi.” Aireen buang senyum.
“Kau terlanggar pun sebab dia yang kalut. Lagi
pun, orang dah minta maaf tu balaslah.” Muka dicemikkan.
“Dah tak payah nak membebel cik Faz. Kalau
tidak, kita yang kena tinggal nanti.” Aireen mencelah dan kembali ayun langkah.
Baru selangkah dia berjalan tiba-tiba kakinya terlanggar sesuatu. Kepala
ditundukkan dan kad pengenalan diri berwarna biru di hujung kasutnya dicapai. Tubuh
terus ditegakkan dan pandangan dibuangkan ke hadapan semula. Kelibat lelaki
tadi dicari tetapi dalam keadaan begitu ramai orang di situ, dia sendiri pun
sudah tidak pasti yang mana satu orangnya. Kad pengenalan diri tersebut
dipandang dan maklumat yang tertera digelang tersebut dibaca.
"Adam Firdaus Bin Haji Badarudin."
Hurmmm…orang Malaysia juga. Tak mengapalah,
sampai Malaysia nanti dia akan cuba menghubungi lelaki itu dan mengembalikan
semula kad pengenalan diri tersebut. Manalah tahu jika pemiliknya ingin
menyimpan kad tersebut untuk dijadikan kenang-kenangan. Bisik hati kecilnya.
Ralik.. Tk puas baca abis
ReplyDelete