Langkah diayun.
Perlahan-lahan. Sesekali mata melirik ke arah gadis Cina yang sedang berjalan
beriringan
dengannya ketika itu. Seluar jean yang agak lusuh dan koyak rabak di bahagian
lutut dan peha gadis itu dipandang pula. Pelik betul. Seluar begitu yang
dipakainya. Tak boleh agaknya pakai yang elok sikit. Bila ditanya, fesyen katanya.
Itulah jawapan yang diterima sambil tersengihsengih sahabatnya menunjukkan gigi
putihnya yang tersusun rata itu. Muka lawa tapi sayang betul otak senget! Ejeknya
sambil simpan tawa.
“Lama ke kau dekat
sini?” soalnya sambil terus mengayun langkah. Wajah gadis yang bernama Hazel
itu dipandang pula. Orangnya comel dan cantik. Walaupun sudah berumur 24 tahun
kelihatannya masih seperti anak gadis yang berumur belasan tahun. Mungkin sebab
tubuhnya yang kecil molek begitu jadi tidak nampak berusia. Kulitnya putih
kemerah-merahan. Anak Cinalah katakan. Tetapi yang paling dia suka dengan anak
Cina seorang ini adalah matanya. Berwarna hazel sama seperti namanya.
Cantik bersinar-sinar. Kalau dia lelaki tentu sudah lama dia tergoda setiap kali
merenung sepasang mata yang cantik itu.
“Tak tahu lagi.
Tengoklah mood aku macam mana. Lagipun aku rindulah dengan kau. Sejak
habis belajar senyap aje. Langsung tak nak datang KL cari aku,” bebel mulut comel
yang berulas nipis itu bersama cemikan. Siti dijeling menunjukkan rasa tidak
puas hatinya.
Hazel, walaupun
anak Cina asli tetapi cakap Melayunya sangat lancar dan fasih. Jarang juga
sebenarnya dia mendengar minah Cina seorang ini bertutur dalam bahasa
ibundanya. Memang jenis Cina murtad agaknya ataupun memang tak tahu berbahasa
Cina. Ahaks!
“Bukan tak nak
pergi sanalah tapi tak ada urusan. Lagipun kosnya tinggi. Sayang duit. Nak
minta mak aku haruslah kena bebel dulu. Cari kerja dah berbulan tapi panggil interview
satu pun tak ada lagi. Kena mandi bunga agaknya baru dapat kerja. Haih!”
balas Siti dengan keluhan panjang. Sudah dekat setahun rasanya jadi penganggur terhormat
dan sudah naik jenuh telinga mendengar mulut ibunya membebel di rumah. Itu yang
kadang-kadang rasa hendak lari aje tapi tak tahu pula hendak ke mana. Kalau setakat
sampai kampung hujung sana tu baik tak payah. Buang karan aje. Nak pergi
jauh-jauh takut nanti orang jumpa dah mati kebuluran. Tidak ke aniaya jadinya?
Kesian pula dengan Mak
Cik Hanim a.k.a emaknya nanti meraung anak mati kebulur.
Hazel tersenyum.
“Relakslah. Nanti adalah tu. Sekarang ni memang susah nak cari kerja,” pujuknya.
Cap di kepalanya dibetulkan sedang mulut masih terus mengunyah gula-gula
getah yang sudah hilang rasa manisnya.
“Kau dah dapat
kerja ke?” Gadis Cina di sebelahnya dipandang lagi.
Kepala digeleng
bersama senyuman.
“Tapi aku tengok
kau relaks aje. Orang tua kau tak bising ke?” Siti kerut dahi. Itu satu lagi
yang dia tidak pernah tahu tentang gadis itu. Walaupun persahabatan mereka dikira
akrab, Hazel tidak pernah bercerita tentang keluarganya. Apa yang dia tahu, ibu
sahabatnya itu telah lama meninggal. Itu sahaja.
“Bising juga. Papa
aku pun asyik membebel tapi aku malas nak ambil pusing. Aku belum sedia lagi
nak kerja,” jawab Hazel selamba. Gula-gula getah di dalam mulut terus diludah
keluar kemudian mulutnya dikesat.
“Kau datang sini
dia tahu tak?”
Hazel tersengih
kemudian kepala digeleng. Malas hendak mendengar Siti bertanya lebih banyak
lagi, langkah mula diayun agak laju.
Siti turut
menggeleng dan langkah sahabatnya itu diekori. Entah-entah minah ni lari
dari rumah sebab bergaduh dengan papa dia, fikirnya. Tapi lantaklah, dia malas hendak
menyibuk. Urusan keluarga mereka biar mereka yang selesaikan sendiri. Eh! Tapi
kalau tiba-tiba papa Hazel report polis kata anak
dia hilang, macam mana? Haru juga tu! Tak pasal-pasal dia pun terlibat sama. Ermmm…
Tak apa, Siti... Pelan-pelan kau korek rahsia, tekadnya.
Sedang leka
berjalan sambil menikmati suasana kampung petang itu, tiba-tiba langkah Hazel
terhenti. Siti turut berhenti melangkah. Kepala terus ditoleh ke sebelah.
“Kenapa?” soalnya
hairan.
Senyap.
“Wehhh... Kenapa?”
tanyanya lagi. Melihat air muka Hazel yang kaku, bulu romanya tiba-tiba
meremang. Janganlah Hazel menyebut yang bukan-bukan ketika waktuwaktu hendak ke
senja ni. Sudahlah mereka berada di kawasan yang agak terpencil.
Masih senyap.
“Hazel!” Bahu
Hazel disinggung.
“Kau dengar tak
suara tu?” Dengan riak yang masih seperti tadi, Hazel bersuara. Pandangan terus
dibuang ke sekeliling sedang telinga masih lagi tancap mendengar suara yang
dimaksudkan. Lembut, mendayu dan beralun bunyinya.
Dada Siti terus berderau.
“Kau dengar apa?” Laju dia bertanya. Haih, Hazel ni. Itulah, orang tua
pesan dah nak maghrib jangan keluar tapi degil. Kena sorok hantu kopek nanti
baru tahu. Eh!
“Kau tak dengar
ke?” Siti dipandang semula.
“Ya Allah, kau ni.
Kau dengar apa?” bebel Siti geram dengan riak yang semakin cemas. Dada pula
berdegup semakin kencang.
“Tu... Suara orang
tengah baca apa entah. Mantera kut!”
Mantera? Haish!
Siti terus mendiamkan diri dan cuba untuk bertenang sambil memasang telinga
mendengar suara yang dimaksudkan Hazel tadi. Lama dia begitu sebelum kepalanya
digeleng. Haih! Buat saspens betul anak Cina sorang ni. Ketuk baru tahu!
“Itu suara orang
mengajilah!” marahnya. Mati-mati dia ingat Hazel terdengar bisikan yang
bukan-bukan atau suara makluk halus. Sudahlah waktu hampir menginjak ke senja
sekarang.
“Mengaji?” Hazel
kerutkan dahi. Suara itu diamati lagi.
Siti mengangguk.
“Ustaz tengah mengaji sebab nak masuk maghrib dah ni,” terangnya.
“Ustaz?”
Sekali lagi Siti
mengangguk. “Ustaz baru dekat kampung ni. Sejak dia datang memang tiap-tiap
petang dia mengaji sebelum masuk waktu solat maghrib,” cerita Siti lagi.
“Sedap suara dia.
Macam relaks aje dengar.” Hazel bersuara lagi. “Dekat mana dia mengaji?” Masih
tidak puas hati, dia bertanya.
“Surau. Dekat aje
dari sini sebab tu bunyinya kuat.”
Kepala diangguk
dan langkah diatur semula. Telinga terus dipasang mendengar alunan suara yang
gemeresik merdu
itu. Walaupun tidak difahami apa yang didengarinya itu, entah kenapa hati yang
kusut terasa damai. Jiwa yang memberontak terasa tenang.
“Dengar suara
ustaz tu macam orangnya handsome aje. Dia handsome tak?”
Tiba-tiba soalan itu terkeluar dari bibirnya. Siti dipandang semula.
Siti mengangguk. “Handsome,”
balasnya sepatah. Memang ramai yang memuji ustaz baru di kampungnya itu kacak
orangnya. Tapi dia masih belum terserempak atau terjumpa lagi dengan yang
empunya diri. Beri jawapan kepada Hazel pun dari cakap-cakap orang sahaja. Kut
jongang, gemuk atau hodoh, bukan salah dia. Salahkan orang yang memandai bawak
mulut tu!
“Dah kahwin?”
Siti tersengih.
Boleh pula soalan itu yang ditanya. Gatal betul anak Cina sorang ni. Gelaknya
dalam hati. “Single and available. Mak aku cakaplah sebab mak aku selalu
berangan nak ada menantu ustaz. Macamlah anak dia spesies-spesies ustazah
pilihan. Ahaks.” Siti lepaskan tawa.
“Serius?” Hazel
bersuara teruja. Bulat matanya memandang Siti di sebelah.
Siti mengangguk
lagi dengan tawa yang masih bersisa. Amboi... Bukan main beria-ia lagi riak
Hazel.
Hazel terdiam.
Terfikirkan sesuatu, senyum tersungging lebar. “Nak tengoklah ustaz tu macam
mana orangnya. Jom skodeng!” ajaknya dengan riak bersahaja. Kening
dijongket nakal.
Mendengar ajakan
Hazel, Siti tercengang. Biar betul minah ni?!
“Jomlah...” ajak
Hazel lagi. Semakin beria-ia daripada tadi.
“Ehhh... Tak
payahlah. Nanti orang datang surau mana kita nak letak muka? Lagipun kejap lagi
mesti ramai orang dekat surau tu. Isy, malulah!” Laju Siti gelengkan kepala. Hurm...
Tidaklah dia buat perkara-perkara macam tu. Terhendap-hendap dekat tangga surau
semata-mata nak tengok setakat mana kacaknya ustaz yang tengah mengaji. Uishhh!
Menjerit Mak Cik Hanim dekat rumah tu nanti kalau tahu.
“Alaaa Siti. Kita
tengoklah dari jauh. Aku teringinlah nak tengok ustaz tu. Suara dia tu...
entah… aku rasa macam… Ermmm… Best kut! Yang pasti, aku rasa relaks
aje bila dengar,” pujuk Hazel bersungguh. Tangan Siti dipaut dan
digoyang-goyangkan.
“Aduh, kau ni. Lain kali ajelah. Dah petang
ni... Nanti mak aku membebel kita balik lambat.” Siti mula beralasan. Tak
mahulah dia.
“Pleaseee...”
rengek Hazel masih belum berputus asa.
“Tak bolehlah.
Nanti kita balik lambat mak aku bising,” bantahnya lagi. “Ha, lagipun aku belum
masak nasi lagi ni.” Boleh pula dia terfikir alasan begitu. Tapi memang sungguh
pun dia belum masak nasi lagi.
Hazel terdiam.
Dengan wajah cemberut dan tidak rela, kepalanya diangguk. “Yalah... Yalah…”
ucapnya kecewa.
“Janganlah risau.
Banyak peluang lagi nak jumpa ustaz tu. Kau lama lagi dekat sini, kan?” Siti
terus memujuk. Bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan.
“Ermmm…
Okey.” Perlahan Hazel membalas dengan mulut memuncung. Kecewa tidak tercapai
apa yang dihajati. Tidak terus menunggu di situ, langkah diatur kembali dengan
agak kasar menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
Melihat reaksi
sahabatnya itu, Siti tarik nafas lega. Hurmm… Nasib baik mendengar kata
juga minah ni walaupun tetap memberontak marah. Pheuwww!
No comments:
Post a Comment