“Hati-hati bawa kereta Redza. Jes,
jaga diri baik-baik dekat tempat orang.” Pesan Puan Fauziah mengingatkan.
Bimbang juga dia membiarkan Redza dan anak gadisnya berdua-duaan begitu
walaupun mereka sudah bertunang. Lagipun ikatan tersebut bukannya ikatan yang
membolehkan mereka ke sana ke mari dengan sesuka hati begitu. Ketika bertunang
itulah segalanya perlu dijaga takut terlajak tingkah laku.
Redza tersenyum. “Baik mak cik.
Insya-Allah, saya akan jaga anak mak cik ni baik-baik.” Ucapnya berjanji sambil
mengerling tunangnya sekali lalu.
“Mama janganlah risau. Insya-Allah
tahulah Jes jaga diri.” Tangan puan Fauziah diraih dan dipeluk.
“Risaulah. Selagi kamu berdua tak
kahwin selagi itulah mama risau.” Luahnya bersama helaan nafas perlahan.
Jeslina dan Redza tersenyum.
“Kami akan jaga diri mak cik. Saya
pun tahu batas-batasnya.” Akur Redza lagi. Jeslina mengangguk mengiakan.
“Iyalah…iyalah. Dah pergi, nanti
lewat sampai kampung.” Akhirnya puan Fauziah mengalah. Orang muda walau apa
yang dikatakan, pasti ada sahaja jawapan mereka. Mereka bukannya tahu hati
orang tua sepertinya bagaimana.
Redza mengangguk. Luggage milik
Jeslina dicapai dan terus dimasukkan ke dalam bonet kereta sebelum bakal ibu
mertuanya itu dihampiri semula.
“Saya minta diri dulu mak cik.”
Ucapnya sopan.
Puan Fauziah mengangguk. “Iyalah.
Hati-hati.” Pesannya lagi.
“Jes pergi dulu ma.” Tangan puan Fauziah
diraih dan dikucup kemudian langkah terus diayun menuju ke kereta. Sebaik pintu
dibuka, tubuh terus diloloskan ke dalam kereta.
“Kita pergi ambil Shark dulu ya.
Shark pun nak balik kampung.” Tali pinggang keledar di tarik dan tunang di
sebelah dikerling. Dia tahu pasti banyak yang perlu dijawabnya sebaik nama Shaqir
disebut sebab itulah dia langsung tidak menyebut nama Shaqir tadi.
Tangan yang sedang memegang tali
pinggang keledar terus terkaku. “Shark?” soalnya dengan kerutan di dahi.
Redza mengangguk.
“Kenapa dia perlu ikut kita
sekali?” Shaqir memang suka menyibuk. Macam tak boleh nak balik kampungnya
sendiri. Sibuk nak mengekor orang! Bebelnya dalam hati.
“Kereta dia rosak Jes. Kebetulan
mak ngah Iman suruh dia balik juga minggu ni. Ada hal penting katanya.” Redza
cuba memujuk. Dia tahu Jeslina tidak suka dengan perancangan tersebut tetapi
sebagai seorang kawan tak mungkin dia membiarkan Shaqir kalau pertolongannya
diperlukan. Lagipun laluan mereka sehala. Balik ke kampung yang sama.
“Jes tak sukalah.” Guman Jeslina dengan
wajah cemberut.
Melihat riak tunang kesayangannya
itu, Redza tersenyum. Kereta terus dipandu pergi. Berlama-lama di situ, bimbang
bakal ibu mertuanya itu terfikir lain pula.
“Sayang, Shark minta tolong abang
dan abang tak mampu nak tolak. Kebetulan kita pun nak balik kampung jadi tak
salah kalau kita balik sekali.” Semakin lembut Redza berbicara. Walaupun
Jeslina bereaksi begitu tetapi dia tahu tunangnya itu bukannya gadis berhati batu dan susah hendak dipujuk.
Jeslina mendengus. Ingatkan kerjasama
ketika perkahwinan Darwina dan Iskandar minggu lepas adalah pertemuan terakhir
mereka tetapi lain pula yang berlaku.
“Lagipun, sayang kenalah berbaik
dengan Shark. Kata nak minta Shark yang jadi photographer masa wedding kita
nanti.” Redza jungkitkan kening. Senyum dibuka seluas mungkin.
Bunyi dengusan Jeslina kedengaran
semakin kuat. Kepala ditolehkan ke arah lain. Itu yang susahnya. Itulah siapa
suruh tengok album gambar perkahwinan Darwina dan Iskandar? Kan dah terjatuh
suka.
“Sayang please. Shark tengah tunggu
kita sekarang.” Pujuk Redza hampir putus asa.
“Sayang..” panggil Redza lagi
apabila tunangnya itu hanya diam membatu ditempatnya.
Tidak betah untuk mendengar pujukan
demi pujukan lembut itu akhirnya Jeslina mengalah. “Okey…okey..” Akurnya.
Redza buang senyum. “Thanks.” Ucapnya
dan kereta terus dipandu menuju ke rumah Shaqir yang terletak di Shah Alam.
Sebaik sampai sahaja di hadapan
rumah Shaqir, kereta terus diberhentikan. Telefon bimbit dicapai dan nombor
telefon Shaqir didail. Setelah berbual seketika, telefon bimbit diletakkan
semula.
“Ini rumah dia?” Jeslina tebarkan
pandangan ke arah rumah teres dua tingkat bahagian lot tepi itu dengan penuh
minat. Cantik. Berpagar batu tetapi tetap ada ruang kecil yang boleh nampak
décor di dalamnya. Waterfall buatan yang kelihatan dari celah-celah batu di
halaman rumahnya begitu menarik minatnya. Nampak tenang dan damai sahaja.
Redza mengangguk.
“Jurugambar pun boleh ada rumah cantik
macam ni?” Jeslina mencemik seakan mengejek.
“Dia jurugambar dan designer
professional Jes. Bukan jurugambar cikai-cikai tu.” Terang redza dengan tawa
kecil di bibir. Boleh pula Jeslina berfikiran begitu. Kalaulah Jeslina tahu
bagaimana jerihnya Shaqir untuk memiliki semua itu pasti tunangnya itu akan
kagum dengan lelaki itu. Itulah, mungkin kesusahan menjadikan sahabatnya itu
seorang yang begitu gigih mengejar apa yang diimpikan.
Jeslina masih begitu. Masih dengan
riak meluat di wajahnya.
“Ha, itu pun dia.” Terpandangkan
kelibat Shaqir dari cermin sisi, Redza menyambung bicaranya.
Jeslina turut tolehkan kepala ke
belakang sedikit. “Jes duduk belakanglah.” Belum sempat Redza membalas dia
terus keluar dan duduk ditempat duduk belakang.
“Sorry lambat sikit.” Sapa Shaqir sebaik masuk ke dalam perut
kereta.
“Mesti baru bangunlah ni.” Redza
gelengkan kepala. Shaqir bukannya dia tidak tahu, suka sangat tidur lewat pagi.
Shaqir tersengih dan tali pinggang
ditarik.
“Aku baru sampai dari Milan awal
pagi tadi. Itu yang lambat bangun.” Shaqir menjelaskan.
“Milan? Kau buat apa dekat sana?
Photoshoot?” Redza kerutkan dahi. Maknanya Shaqir menghubungi semalam dari
Milan lah?
“Ada pertandingan rekaan fesyen
dekat sana dan aku kena cover event tu untuk satu majalah international.” balasnya
dan pandangan dibuangkan ke belakang seketika. “Hai Jes.” Sapanya dengan senyum
lebar di bibir.
Tidak menjawab sapaan lelaki itu, Jeslina
hanya mengangguk sahaja sebelum pandangan dibuangkan keluar.
Melihat reaksi gadis itu, senyum
Shaqir menjadi semakin lebar dan duduknya dibetulkan.
“Lama ke kau dekat sana? Aku tak
tahu pun.” Redza menyambung bicaranya
dan kereta terus dipandu keluar dari situ.
“Seminggu jugaklah aku dekat sana.
Aku pergi pun dah last minute punya arrangement. Maybe photographer sebelum tu
tarik diri sebab itulah editor magazine tu contact aku.” panjang lebar Shaqir
bercerita.
“Okeylah tu boleh tengok Negara
orang.” Redza membalas dan stering keretanya dipusingkan ke kiri untuk keluar
dari kawasan perumahan sahabatnya itu.
“Aku suka job luar sebab income pun
lebat walaupun penat dan terkejar-kejar.” Sambung Shaqir lagi sambil ketawa.
Sesekali pandangannya akan dilirikkan ke belakang memerhati Jeslina yang masih
leka merenung ke luar.
“Kahwinlah Shark. Kau tu sepatutnya
dah kahwin dah. Simpan duit banyak-banyak buat apa?” giat Redza ikut sama ketawa.
“Memang nak kahwin pun tapi perempuan
tu tak nak dekat aku.” ucapnya dengan
tawa yang masih bersisa. Kepalanya ditolehkan ke belakang semula.
Mendengar kata-kata Shaqir, spontan
itu Jeslina palingkan wajah memandang lelaki itu. Dan di saat itu jugalah
pandangan mereka bersatu. Tidak selesa dengan renungan dari sepasang mata redup
yang galak itu, cepat-cepat kepalanya dipalingkan ke sebelah semula dengan
debaran yang tiba-tiba mengocak dada. Ya Allah, kenapa hatinya tiba-tiba
berentak luar biasa sedangkan pandangan itu sudah biasa dilihatnya. Dan spontan
itu, tangan diangkat dan dadanya diusap perlahan untuk meredakan degupan yang
sedang berkocak hebat.
“Pelik. Siapa yang tak nak dengan
kau? Lelaki punya pakej macam kau ada yang tolak? Ada rupa dan berduit. Ermm…
memang butalah perempuan tu.” Selamba
Redza mengutuk.
Tawa Shaqir terhambur lagi. Semakin
kuat dari tadi dan kepalanya digeleng.
“Aku jahat agaknya sebab itulah
orang tu tak suka.” Jeslina dikerling lagi.
“Kau tu nakal bukan jahat. Itulah
lain kali cuba serius sikit. Kalau kau asyik main-main perempuan pun takut nak ada komitmen dengan kau.” Redza cuba menasihati.
“Sudahlah cakap pasal hal ni. Ada
jodoh dan sampai masa nanti aku kahwinlah.” Balasnya.
“Shark, jodoh pun kena cari tau bukannya
akan datang bergolek-golek.” Sambung Redza lagi bersama tawa kecil.
“Dza, berhenti mana-mana kita makan
dulu. Kebulur dah aku ni. Rindu rasanya nak makan nasi lemak dan minum teh
tarik.” Malas hendak memanjangkan isu tersebut, cepat sahaja Shaqir mengubah
perbualan mereka.
Redza mengangguk. “Sayang, kita
berhenti makan dulu ya.” Jeslina dipandang melalui cermin pandang belakang
sekilas sebelum pandangan dibuangkan ke hadapan semula.
“Okey.” Sepatah Jeslina membalas.
Entah kenapa bicaranya seakan terkunci lebih-lebih lagi selepas mendengar
perbualan Redza dan Shaqir tadi. Entahlah samada dia hanya perasan atau apa,
tapi dia yakin perempuan yang
diperkatakan oleh Shaqir tadi adalah dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment