Sheren tersenyum lebar. Sebaik
pintu kondonya ditutup, jemari Redza ditarik masuk ke dalam bilik. Redza pula,
bagai orang mengantuk disorongkan bantal hanya mengikut sahaja dengan wajah
meleret senyum.
“Nak mandi dulu?” Manja Sheren
bersuara. Butang kemeja yang tersarung di tubuh lelaki itu dibuka satu persatu.
Senang diperlakukan begitu dan
dengan senyum lebar di bibir, Redza menggeleng. “I tak suka buang masa.”
Bisiknya dan zip di belakang gaun singkat yang dipakai Sheren terus ditarik ke
bawah.
Mengerti dengan maksud kata-kata
dan perlakuan lelaki itu, senyum Sheren semakin melebar. Kemeja yang sudah
terbuka luas butangnya itu ditanggalkan dari batang tubuh lelaki itu dan
dicampakkan ke lantai.
Redza hanya membiarkan sahaja apa
yang dilakukan Sheren malah langsung tidak membantah. Sebaik jeans yang
dipakainya juga sudah terlondeh ke lantai, tangan Sheren terus diraih dan
dibawa ke katil. Baju gaun yang masih tersarung di tubuh Sheren terus direntap
dan gadis itu terus diperlakukan semahunya.
"I've to go." Redza
bingkas bangun. Tanpa mengendahkan keadaan dirinya ketika itu, langkah terus
diayun menuju ke bilik air. Usai membersihkan diri, dia keluar semula dan
seluar jean miliknya yang tersadai di atas lantai terus dicapai.
"You nak balik juga malam
ni?" Tegur Sheren sedang mata langsung tak berkalih memandang Redza yang
sedang mengemaskan butang seluar jeansnya. Melihat batang tubuh yang agak tegap
itu, bibir terus mengoyak senyum. Redza, lelaki itu bukan lelaki sembarangan.
Bukan hanya bijak menguruskan perniagaan tetapi bijak juga memuaskan permintaan
batinnya. Masih leka memerhati, tubuhnya yang hanya beralaskan comforter
ditegakkan dan disandarkan ke kepala katil.
Tidak menjawab, Redza mengangguk.
Baju kemejanya dicapai pula dan disarungkan ke tubuh.
"Esok tak kerja kenapa nak
rushing balik? Selalunya kalau hari cuti you akan teman I sampai pagi."
Sheren bersuara lagi melepaskan rasa tidak puas hati. Rambutnya yang agak tidak
terurus itu dikemaskan.
Melihat Redza yang langsung tidak
mengendahkan kata-katanya, dengusan kecil dilepaskan dan kotak rokok di meja
sisi dicapai.
"Yang.." panggilnya
dengan suara yang meleret manja. “Tak payahlah balik. Teman I.” rengeknya pula dan
masih cuba memujuk. Manalah tahu tiba-tiba Redza berubah fikiran.
"Tak boleh. Pagi-pagi I nak
gerak balik kampung. Kalau dari kondo you ni jammed nanti." malas-malas
Redza membalas. Baju kemejanya dikemaskan sebaik butang yang terakhir elok
dipasang.
Sheren betulkan duduk dan kening
dijungkit tinggi. "Balik kampung? You tak pernah beritahu pun you nak
balik kampung?" Rokok yang baru dihisap terus dilenyekkan ke dalam bekas
abu sedang mata semakin tajam memandang Redza di hadapan. Boleh pula Redza
terus pergi sebaik melampiaskan nafsunya? Tak guna punya jantan! Makinya dalam
hati.
Tidak mengendahkan rajuk Sheren,
langkah terus diatur menuju ke meja solek. Rambut yang agak kusut masai itu
dikemaskan.
"Yang.." suara rengekan
Sheren kedengaran lagi apabila Redza hanya diam membatu ditempatnya.
"I ada urusan dekat kampung.
Cousin I kahwin." acuh tidak acuh sahaja Redza membalas. Sikat di tangan
diletakkan semula ke atas meja solek dan langkah dibuka.
"I nak ikut." cepat
sahaja Sheren membalas. Tubuh ditegakkan.
Mendengar apa yang diucapkan
Sheren, langkah Redza terhenti dan tubuhnya dipalingkan. "Tak ada sebab
kenapa I perlu bawa you, Reen." tegasnya. Gila nak bawa Sheren bersamanya
esok sedangkan Jeslina juga ada bersama? Oh tidaklah dia hendak mencari pasal.
"Tak salahkan kalau I ikut
dan kenal dengan family you?" Sheren terus melompat turun dari katil.
Comforter yang menutupi tubuhnya dikemaskan dan Redza dihampiri.
"Untuk apa you nak kenal
dengan family I?" Sheren dipandang dengan dahi berkerut. Sheren lupa
hubungan mereka atas dasar apa? Bukannya kerana cinta tetapi nafsu semata-mata.
"You lebih tahu dan faham
kenapa I perlu kenal dengan family you. Lagipun, sampai bila kita nak
bergelumang dengan dosa? Dah dekat tiga tahun Yang kita macam ni." suara
pujukan Sheren semakin meleret manja. Lengan Redza dipaut dan kepalanya
direbahkan ke bahu lelaki itu.
Rimas diperlakukan begitu,
tangannya ditarik dan tubuh Sheren ditolak sedikit sebelum dia menjarakkan diri
agak jauh sedikit. "Reen, apa yang kita buat selama ni atas dasar suka
sama suka. I tak pernah paksa you dan you sendiri yang rela. Jadi you harus
tahu dimana kedudukan you. And for your information, I tak berminat untuk ada apa-apa hubungan yang
lebih dari ini dengan you." tegasnya.
Sheren tergamam seakan tidak
percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi. Sampai hati Redza memandangnya
serendah itu setelah apa yang mereka lakukan selama ini?
"How dare you!"
bisiknya perlahan.
Redza berpaling semula. "I'm
not the only one Reen dan you lebih tahu tentang itu." sinis Redza
bersuara dengan senyum seakan mengejek.
“What?” Terkedu Sheren dengan
tuduhan Redza tadi. Ya, Redza bukan yang pertama tetapi sejak mereka bersama,
dia tidak pernah lagi berlaku curang dengan lelaki lain!
Redza masih tersenyum. "I’ve
to go and thanks for tonight." Ucapnya langsung tidak mengendahkan amarah
gadis itu. Cuba berlembut, rambut Sheren diusap perlahan dan satu kucupan
dilayangkan di dahi gadis itu. Sebaik
kucupannya dilepaskan, langkah terus diayun.
"Redza!" jerit Sheren
melepaskan geram. Langkah lelaki itu dipandang dengan mata mencerlung dan
perasaan membara. Redza ingat kucupan itu sudah cukup untuk menenangkan
perasaannya sekarang? Redza ingat dengan kucupan itu sudah cukup membuat dia
lupa dengan apa yang diucapkan tadi? Tidak!
"See you on Monday Reen.
Have a good rest and good night." selamba Redza lagi. Tangan diangkat dan
dia terus berlalu pergi.
Sebaik kelibat Redza hilang dari
pandangan, Sheren mendengus dan giginya diketap kuat. "Damn you
Redza!" Bentaknya agak keras. Sakit hati diperlakukan begitu, habis barang-barang
di atas meja soleknya ditolakkan sehingga jatuh bertaburan dan berderai di atas
lantai.
“Arghhhhhhh!” jeritnya seperti
orang yang sudah hilang akal.
Penggera Nissan
Subaru hitam miliknya ditekan. Pintu dibuka dan tubuh terus diloloskan ke dalam
perut kereta. Sebaik pintu ditutup semula enjin kereta dihidupkan. Baru sahaja
gear ingin digerakkan, tiba-tiba dia teringatkan seseorang dan bibir terus
melebar dengan senyum. Telefon bimbit yang diletakkan di dalam dashboard kereta
setiap kali dia bersama Sheren diambil dan dibuka. Jari dileretkan di atas
skrin telefon dan nombor Jeslina di dail. Tidak lama dia menunggu apabila panggilannya
terus bersambut.
"Assalamualaikum."
Terdengar lembut suara bakal
isteri menyapa telinganya, bibir Redza semakin melebar dengan senyuman. Salam
Jeslina dibalas mesra.
"Abang ganggu sayang
ke?" Lembut Redza menyoal. Tubuhnya disandarkan rapat ke kerusi dan
kepalanya turut direbahkan ke kepala kerusi supaya lebih selesa.
"Tak. Jes belum tidur pun
lagi. Abang dekat mana?" polos sahaja Jeslina bertanya.
Redza melepaskan keluhan kecil.
"Abang baru nak balik sayang." luahnya perlahan.
"Baru nak balik dari
office?"
"Yup. Dan abang baru aje
masuk kereta." sekali lagi keluhan kecil dilepaskan. Sengaja hendak
mengundang rasa simpati tunangnya itu.
"Dah lewat malam baru
balik?"
Mendengar suara Jeslina yang
sudah mula berubah rentak itu, Redza buang sengih. Mengenali tunangnya itu dia
faham benar bagaimana reaksi Jeslina sekarang.
"Kenalah kerja keras sayang.
Tak lama lagi abang kena jaga anak orang. Lagipun abang tak nak isteri abang
hidup susah dengan abang nanti." balasnya perlahan.
"Abang, kerja tu kerjalah
juga tapi kesihatan pun kena jaga. Nanti kalau abang sakit siapa yang susah?
Abang juga kan? Mak, ayah abang dah lah jauh." Jeslina terus membebel.
Redza lepaskan tawa kecil.
"Tak apa, tunang abang kan ada." bisiknya seakan menggoda.
"Tapi Jes bukannya boleh
jaga abang. Setakat tengok dan tanya khabar through phone bolehlah."
"Tak apa, itu pun dah cukup
bermakna bagi abang sebab abang tahu ada orang yang ambil berat dan sayangkan
abang."
"Mestilah. Jes kan sayangkan
abang."
Redza hela nafas dan senyuman di
bibir terukir lagi. Mulalah berbunga hatinya mendengar ucapan dari tunang
kesayangannya itu.
"Abang tak sabar.."
ucapnya separa berbisik.
"Tak sabar?"
"Haah. Tak sabar nak hidup
dengan Jes. Tak sabar untuk melalui hari-hari abang dengan Jes dan hidup
bahagia dengan gadis yang paling abang
sayang." Luahnya.
"Abanggg...tak lama aje
lagi. Tak sampai dua bulan pun. Sabar ya." pujuk Jeslina lembut.
"Sayang, apa kata kita
cepatkan urusan pernikahan kita? Majlis persandingan, kita ikut tarikh yang dah
ditetapkan." tiba-tiba Redza memberi cadangan. Berbicara begitu dengan
Jeslina membuat hatinya semakin mendesak untuk hidup bersama gadis itu. Sudah
lama dia menanti dan dia seakan tidak sabar untuk menunggu walau tinggal hanya
beberapa minggu sahaja lagi.
"Abanggg...mama dengan abah
mesti tak setuju."
"Biar abang bincang dengan
orang tua Jes." Ucap Redza bersungguh.
"Abah mesti tak izinkan.
Abang bukan tak tahu abah macam mana."
“Kita nak bina masjid sayang.
Hendak menghalalkan ikatan.” Pujuk Redza lagi.
“Jes tahu abang tapi minggu ni
atau dua bulan lagi tak ada bezanya.
Sabar ya.”
"Hurmmmm..." keluhan
panjang dilepaskan. "Menanti itu sesuatu yang menyeksakan." luah
Redza kecewa.
Jeslina lepaskan tawa sedang hati
berbunga bahagia. Dia tahu cinta Redza kepadanya sepenuh hati malah cintanya
kepada Redza juga tidak berbelah bahagi.
"Abang, esok kan kita nak
jumpa dan balik kampung sama-sama?" pujuknya semakin lembut.
"Memanglah kita jumpa tapi
abang cuma mampu tengok aje walaupun Jes ada di depan mata abang. Dekat dengan
abang."
Jeslina terdiam. Mendengar sayu
suara Redza ketika itu, nafasnya turut dihela tetapi apa mampunya?
"Tapi tak apa, cinta yang
berlandaskan syariat itu bukankah lebih manis?" sambung Redza lagi.
"Walaupun hati abang meronta ingin menyentuh jari jemari halus Jes tapi
ikatan yang kita ada bukan jalan untuk menghalalkan cara. Abang tak akan
mencemarkan ikatan kita hanya kerana keinginan abang disebabkan oleh bisikan
syaitan. Abang akan menanti dengan sabar sehingga kita sah disatukan."
Ucapnya bersungguh.
"Thanks abang. Jes rasa
bertuah sangat Allah temukan Jes dengan lelaki macam abang. Tak jemu melindungi
Jes, sudi terima Jes dan mampu bimbing Jes dunia akhirat." luah Jeslina,
terharu mendengar kata-kata yang diucapkan Redza tadi. Mengenali lelaki itu,
dia tahu Redza seorang yang sangat menitik beratkan akan hal-hal yang berkaitan
dengan agama. Solatnya dijaga malah bicaranya juga lebih banyak menjurus kepada
hal-hal akhirat selain kata-kata nasihat setiap kali mereka berjumpa. Dan
kerana itulah dia terpikat dengan lelaki itu sejak dulu lagi.
"Abang pun bukannya baik
sangat sayang tapi abang cuba untuk jadi yang terbaik buat Jes dan Insya-Allah,
untuk anak-anak kita nanti." Ucap Redza masih bermanis bicara.
"Thank you..."
"Dah, sayang tidurlah. Abang
nak balik, nak mandi dan rehat. Badan rasa penat sangat ni. Esok dalam pukul
sepuluh pagi abang ambil sayang. Kita breakfast sama-sama okey?"
"Okey. Abang take care ya.
Sampai rumah nanti mesej Jes."
"Okey. Good night sayang."
bisiknya dengan sepenuh hati.
"Good Night abang.
Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam..."
balas Redza lembut. Sebaik panggilan di matikan, telefon bimbitnya dipandang
dengan senyum meleret yang penuh makna.
No comments:
Post a Comment