Followers

Tuesday 22 November 2016

Aku Tetap Setia - Bab 1


Bab 1


Cadar yang baru ditukar, dikemaskan. Bantal yang diletakkan di atas lantai dicapai dan ditepuk-tepuk sebelum disusun di atas katil. Selesai, cadar kotor yang diletakkan di atas lantai dikutip pula dan dimasukkan ke dalam bakul kain sebelum tubuh dipalingkan memandang suaminya semula.

“Abang sure nak keluar dengan anak-anak aje? Tak nak Nia ikut?” Ku Ariff yang sedang bersiap ketika itu dipandang dengan kerutan di dahi. Sejak beberapa hari lepas lagi suaminya bukan main teruja lagi dengan perancangannya itu. Malam tadi pula siap bermesyuarat anak-beranak membincangkan program mereka sepanjang hari ini. Dia yang mendengar, bengang saja rasa.

Tidak membalas soalan isterinya, Ku Ariff mengangguk. Butang baju kemejanya dipasang.

“Dengan baby sekali?” Memikirkan si bongsu yang berusia sembilan tahun itu, dahi Dania semakin berkerut. Sudahlah anak gadis kecilnya itu agak lasak budaknya.

“Mestilah. Hari ni hari untuk abang dan anak-anak have fun sama-sama.” Ku Ariff masih beriak selamba. Rambutnya dikemaskan pula.

Dania mencemik. Bukan main lagi. Have fun sama-sama konon sampai sanggup tinggalkan dia di rumah keseorangan. Selama ini kalau hendak ke mana-mana dia tidak pernah dipinggirkan tetapi boleh pula kali ini dia ditinggalkan. Benci betul! marahnya dalam hati.

“Yalah, pergilah have fun. Nia okey aje tinggal dekat rumah sorang-sorang,” balasnya seakan berjauh hati. Bakul baju terus dicapai. Mana tahu bila buat merajuk akhirnya Ku Ariff akan mengalah dan mengajaknya untuk pergi sekali. Lagipun mana aci mereka semua berseronok tetapi dia ditinggalkan!

Melihat reaksi isteri, Ku Ariff tersenyum. Perlahan-lahan langkah diayun dan isterinya dihampiri. Sebaik tubuh kecil molek itu didekati, pinggang isterinya terus dirangkul dari belakang.

Terkejut diperlakukan begitu, Dania tersentak sehingga bakul kain terlepas dari tangan. Dari sisi, suaminya itu dijeling. “Terkejut Nia!” marahnya.

Ku Ariff buang senyum. Kepalanya dirapatkan ke kepala isteri dan rangkulannya semakin dikemaskan. “Abang jarang sangat dapat luangkan masa dengan anak-anak sejak akhir-akhir ni. Jadi abang nak gunakan hari ini untuk mendengar cerita-cerita mereka sepanjang beberapa minggu kebelakangan ni. Kalau sayang ada, tentu mereka lebih suka bercerita dengan sayang. Beri abang
peluang untuk tunjukkan kepada anak-anak yang abang sayang dan ambil berat tentang mereka juga. Boleh, kan?” pujuk Ku Ariff lembut. Kepala isterinya dikucup.

Mendengar bicara lembut suami, Dania hela nafas dan perlahan-lahan kepalanya diangguk. Dia kadang-kadang terlalu mengikut emosi dan merajuk tidak kena tempat. Tengoklah macam sekarang, cemburu tidak tentu pasal padahal suami keluar dengan anak-anak, bukan dengan 
orang lain!
“Okey,” ucapnya sepatah dengan suara yang sudah berubah lembut.

Ku Ariff tersenyum. Bukan susah sebenarnya untuk memujuk isterinya itu. Lagipun dia dan anak-anak sedang merancangkan sesuatu yang istimewa untuk isterinya, jadi mana boleh Dania ikut sekali. Rosak pelan mereka nanti.

“Hari ni abang beri sayang rehat tanpa memikirkan hal anak-anak. Biar abang saja yang uruskan mereka. Kalau sayang nak pergi spa, saloon atau butik, pergilah. Abang izinkan,” bisiknya lagi dan pelipis isterinya dikucup pula.

“Okey, tapi Nia nak berehat dekat rumah ajelah. Malas nak ke mana-mana. Tapi Nia nak pesan ni, abang tengok dia orang betul-betul. Aidil tu selalu leka kalau tengok apa-apa. Baby pula lasaknya mengalahkan budak lelaki,” pesannya mengingatkan. Bimbang juga dia kalau suaminya tidak terlayan nanti. Airiel pula selalu leka dengan gadgetnya. Bukannya boleh diharap untuk melihat kedua-dua orang adiknya itu.

Mendengar kata-kata isteri, Ku Ariff melepaskan keluhan kecil. “Tengok, sayang lebih faham mereka daripada abang. Kadang-kadang abang cemburu dengan sayang. Anak-anak pun lebih sayangkan mama dia daripada abang.” Ku Ariff pula berjauh hati.

Dania tergelak. Tubuhnya dipusingkan untuk menghadap suami. Tangannya diangkat dan kedua-dua belah  pipi suami dipegang.

“Siapa kata anak-anak cuma sayang Nia? Mereka pun sayangkan abang. Dan Nia tahu anak-anak faham dengan kesibukan papa mereka. Lagipun abang berusaha keras untuk mereka juga, kan?” pujuknya. Pipi suaminya diusap manja.

Termakan pujukan isteri, perlahan-lahan nafasnya dihela. Sebelah tangannya diangkat dan rambut Dania dibelai. “Selesai projek yang sedang abang uruskan ni, kita pergi bercuti, ya. Dah lama kita tak bercuti bersama-sama,” ucapnya berjanji.

Dania mengangguk. “Okey,” balasnya sepatah. “Dah, anak-anak mesti tengah tunggu abang tu. Go and have fun,” ucapnya lagi dan kakinya dijinjit sebelum dahi dan pipi
suami dikucup.

Diperlakukan begitu, bibir Ku Ariff terus merekah dengan senyuman. “Sorry, abang tinggalkan sayang hari ni,” bisiknya sambil merapatkan dahi mereka.

“It's okay, abang. Nia tak kesah. But make sure abang balik sebelum maghrib. Nia akan masak something special for dinner dan kita makan sama-sama nanti,”pesannya.

“Kata nak rehat?” Ku Ariff kerutkan dahi.

“Untuk suami dan anak-anak, Nia tak kesah penat,” ucapnya dan dada suami diusap-usap.

Sekali lagi Ku Ariff hela nafas. Serentak itu tubuh isterinya dibawa ke dalam pelukan.
“Abang sayangkan Nia dan abang bangga memiliki Nia sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak abang. Thank you sayang untuk semua yang sayang korbankan buat kami. Dan abang sentiasa mendoakan syurga buat sayang di akhirat  nanti,” bisiknya tulus.

“Nia pun sayangkan abang dan anak-anak. Abang dan merekalah syurga Nia di dunia ini. Thanks abang for everythings.” Pelukan suami turut dibalas erat dan kepalanya direbahkan ke dada suami.

Ku Ariff semakin mengemaskan lagi pelukannya dan kepala isterinya dikucup. Bukan sekali tetapi berkali-kali untuk menzahirkan rasa kasihnya. Ya, kasih sayangnya kepada Dania bukan sedikit tetapi sudah tidak terluah oleh kata-kata. Malah perpisahan sementara mereka dulu telah menguatkan lagi kasih sayang antara mereka. Tiada rahsia, tiada curiga, hanya kepercayaan dan kasih sayang sahaja yang menjadi kunci kebahagiaan mereka selama ini.

Tok-tok!

Sedang leka melayan perasaan, tiba-tiba terdengar pintu bilik mereka diketuk. Dania dan Ku Ariff tersentak dan laju kepala ditolehkan ke pintu.

“Mama!”

Terdengar jeritan anak gadis kecilnya itu, Dania lepaskan tawa.

“Baby... Baby... Selalu kacau kalau papa dengan mama nak bermanja,” bebel Ku Ariff bersama gelengan.

“Mesti dia dah bosan sangat tunggu abang tak keluar-keluar.” Dania membalas dengan tawa yang masih bersisa. Pelukan suaminya dileraikan. “Jom, kita breakfast dulu sebelum abang keluar,” ajaknya. Baju kemeja suami dikemaskan.

Ku Ariff mengangguk. Pipi Dania dikucup sekilas kemudian tangan isteri diraih dan dipimpin untuk keluar. Sebaik pintu dibuka, Ku Amna sudah menanti di hadapan pintu dengan wajah cemberut.

“Lama baby tunggu papa!” marahnya dengan mulut memuncung sambil tangan dipelukkan ke tubuh.

Ku Ariff tergelak. Isteri yang juga sedang ketawa di sebelahnya dikerling.

“Sorry sayang, papa tengah bersiap tadi,” pujuknya. Jemari isteri dilepaskan dan Ku Amna terus didukung.

“Baby dah siap lama.” Ku Amna masih terus membebel dengan wajah yang masam mencuka. Tangan yang masih memeluk tubuh semakin dikemaskan.

Melihat wajah cemberut si kecil kesayangannya itu, tawa Ku Ariff terhambur lagi. Kepalanya digeleng. “Okey, okey... Papa minta maaf. Jom, kita breakfast dulu lepas tu kita pergi jalan-jalan.” Pipi si kecil itu terus dikucup. Comel, raut wajahnya saling tak tumpah seperti Dania. Tetapi mata coklat jernihnya itu mewarisi mata arwah nendanya. Ku Amna, walaupun sudah berusia sembilan
tahun tetapi tubuhnya kecil molek sahaja. Samalah seperti mamanya. Lihat sahajalah Dania, walaupun sudah menginjak empat puluh dua tahun tetapi tetap kelihatan seperti baru di awal 30-an dek tubuh kecil moleknya. Sebab itulah kalau mereka berjalan berdua, memang dia tidak akan lepas jemari isterinya. Takut kalau-kalau ada mata-mata nakal yang melirik ke arah isterinya. Hurmmm... Hendak mengurat isterinya? Langkahlah mayat dia dulu!

Ku Amna terus tersenyum dan leher papanya dirangkul. Kemudian pipi papanya dikucup. “Sayang papa,” ucapnya manja.

Diperlakukan begitu senyum Ku Ariff terukir semakin lebar.  “Sayang dia juga...” Pipi Ku Amna digomol sehingga si kecil itu mengekek ketawa.

Melihat kemesraan suami dan si kecilnya, Dania tersenyum. Sengaja hendak mengusik, pipi Ku Amna dicubit perlahan.  “Mengada-ada,” ejeknya bersama cemikan.

“Mamaaa!” Terjerit Ku Amna diperlakukan begitu dan wajahnya kembali mencuka. Pipinya diusap. Merajuk, tubuh papanya terus dipeluk seeratnya dan kepalanya disembunyikan di bahu papanya.

Terhibur dengan perlakuan isteri dan anak, Ku Ariff tergelak sahaja. Bagaimanalah hidupnya tidak ceria kalau beginilah situasi dalam rumah tangganya? Melayan keletah anak-anak yang bermacam ragam dan juga manja isteri yang semakin menjadi-jadi saban hari, sungguh dia bahagia. Ya, demi  Tuhan dia bahagia malah terlalu bahagia. Alhamdulillah... Syukur dia di atas nikmat yang telah Allah kurniakan buat mereka sekeluarga.  

4 comments:

  1. Assalam Ameera Ameer tqvm utk ATS dpt gak sikit info before dpt novel ne nnti blh bw jejalan ke Korea hihihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam...

      Ku yong aka Ku Rose, nanti kita jumpa di korea ya. Flight saya 27hb.. ;)

      Delete
  2. Cadar yg baru d tukar baru tu ade makna hihihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha...hanya mereka2 yg baca KPUS je yang tahu rahsianya... :D

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...