Villa Cinta, Ara Damansara...
“Dah cepat, nanti lambat. Pak Cik Amin dah tunggu tu.” Ku Airiel, Ku Aidil dan Ku Amna yang masih menghadap makanan masing-masing dipandang kemudian kepala ditolehkan memandang suami yang sedang leka membaca akhbar di sebelahnya.
“Abang nak air lagi?” Lembut Dania bertanya. Piring cawan yang sudah licin airnya ditolakkan ke tengah sedikit.
Ku Ariff menoleh. Akhbar dijatuhkan sedikit kemudian kepala digeleng. “Cukup dah. Thank you,”
balasnya sambil tersenyum. Akhbar di tangan dilipat dan diletakkan ke atas meja. Pandangan terus dibuangkan ke arah anak-anak yang sedang tergesa-gesa bangun dari tempat duduk masing-masing. Begitulah rutinnya saban hari dan demi Tuhan, ia sangat membahagiakan. Dapat melihat anakanak
membesar di hadapan mata, sangat besar rahmatnya.
“Kami pergi dulu, pa.” Ku Airiel bersuara sebaik papanya dihampiri. Tangan dihulurkan dan tangan papanya dikucup. Ku Aidil dan Ku Amna mengekor dan melakukan perkara yang sama. Ku Ariff mengangguk sahaja. Dahi Ku Aidil dan Ku Amna dikucup. Ku Airiel sejak berumur lima belas tahun
sudah tidak mahu dipeluk dan dicium lagi. Mungkin kerana usianya yang sudah menginjak dewasa, dia malu diperlakukan begitu. Sebagai lelaki dia faham dan sangat mengerti akan perubahan tersebut.
“Ma...” Tangan mamanya disalami pula dan pipi mamanya dikucup.
“Hati-hati dan jangan nakal-nakal,” pesan Dania mengingatkan.
Ku Airiel tersenyum kemudian kepalanya dianggukkan.
Sebaik Ku Aidil menyalaminya, dahi anak lelaki keduanya yang berusia 11 tahun itu terus dikucup. “Jangan nakal-nakal dekat sekolah.” Ku Aidil turut dititipkan dengan pesanan yang sama. Ku Aidil tersengih sahaja seperti kebiasaannya. Pandangan dibuangkan ke arah anak perempuan bongsunya pula. Melihat wajah cemberut anak gadis kecilnya itu, senyuman di bibir semakin melebar.
“Anak mama yang sorang ni kenapa buat muka macam tu?” Tubuh Ku Amna ditarik rapat ke arahnya dan rambut anak gadis kecilnya yang berusia sembilan tahun itu diusap.
“Mengantuk...” Perlahan Ku Amna bersuara dengan mata yang seakan sukar hendak dibuka. Tubuhnya terus direbahkan rapat ke arah mamanya.
Dania tergelak dan suami yang juga sedang tergelak dipandang. “Baby pergi sekolah dulu, ya. Balik nanti boleh tidur,” pujuk Dania lembut. Rambut Ku Amna yang ditocang dua itu diusap perlahan-lahan. Tubuh Ku Amna ditolakkan ke hadapan sedikit kemudian dahinya dikucup. “Sayang dia,” ucapnya dan pipi Ku Amna dikucup pula.
Sambil menggosok mata dan dengan riak yang masih seperti tadi, Ku Amna mengangguk.
“Baby cepat, nanti abang lambat!” laung Ku Airiel dari luar.
“Dah, jom. Abang Airiel dengan Abang Aidil dah tunggu tu.” Dania terus berdiri. Tangan Ku Amna terus diraih dan dipimpin menuju ke luar.
Ku Ariff yang hanya memerhati sedari tadi, ikut bangun dan turut mengekor di belakang isterinya. Walaupun kakinya sudah sembilan puluh peratus pulih tetapi langkahnya masih tidak boleh selaju dahulu dan tidak boleh terlalu lasak. Baginya itupun sudah cukup memadai daripada terpaksa bertongkat seperti dulu.
“Baby masuk kereta, ya.” Ku Amna terus dipimpin sehingga si kecil itu masuk ke dalam perut kereta. Daun pintu kereta terus ditutup. Melihat monyok sahaja raut muka si kecil itu, Dania menggeleng dan tersenyum. Nasib baik beg sekolahnya sudah dibawa Ku Airiel dan diletakkan ke dalam kereta siap-siap. Kalau tidak, tentu beg sekolahnya pun ditinggalkan apabila moodnya begitu. Baby... Baby... bisiknya bersama gelengan.
“Bye ma, pa.” Ceria Ku Aidil bersuara dari dalam kereta. Tangannya dilambaikan dengan senyum lebar di bibir.
Ku Airiel yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut melambai. Ku Amna pula hanya mematikan diri sambil bersandar lesu di tempat duduknya. Dania pamer senyum dan tangannya turut
dilambaikan. Ku Ariff yang berada di sebelah isterinya turut melambai sama. Sebaik Estima putih, kereta kegunaan keluarga mereka itu hilang dari pandangan, bahu isterinya terus dirangkul dan tubuh isterinya ditarik rapat ke arahnya.
“Tak sangka begitu cepat masa berlalu. Anak-anak pun dah semakin membesar,” luah Ku Ariff bersama helaan nafas perlahan. Syukur. Ya, dia amat bersyukur atas segalagalanya. Apa tidaknya, dia telah melalui liku-liku hidup yang bermacam-macam warna dan perisa sebelum akhirnya dia ketemu bahagia bersama isteri tercinta. Alhamdulillah... Semuanya itu kerana Allah masih sayang. Terima kasih Allah untuk nikmat-Mu yang tidak terhingga ini, bisiknya dalam hati.
Dania tersenyum. Kepalanya terus direbahkan ke dada suami. “Bila anak dah membesar itu tandanya kita pun dah semakin tua, abang,” bisiknya dengan tawa kecil di bibir.
Ku Ariff turut tertawa dan mengangguk mengiakan. Dahi isteri dikucup mesra. Betullah seperti apa
yang isterinya perkatakan, dia sendiri pun sudah berusia lima puluh lapan tahun sekarang. Bila-bila masa sahaja boleh dijemput oleh-Nya menuju negara abadi. Ermmm... Entah sempat atau tidak dia melihat Ku Aidil dan Ku Amnamembesar di hadapan mata. Dan entah sempat atau tidak dia melihat Ku Airiel berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Allah, hanya Dia Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Sehingga mana kehidupannya dan bila tiba ajalnya. Semua itu rahsia-Nya dan sebagai hamba, dia perlulah reda walau
apapun yang telah dituliskan untuknya..
No comments:
Post a Comment