"Andai mampu kuputarkan waktu...tak akan kulepaskan eratnya jemarimu...."
Bab 1
"Wait..."
Mendengar jeritan perempuan
yang masih tidak kelihatan lagi itu, Haiqarl terus saja menekan butang buka
pintu lif tersebut. Kepalanya dijengahkan keluar sedikit. Tidak jauh dari situ
kelihatan seorang perempuan sedang berjalan laju menghala ke arah lif tersebut.
"Thank you.." ucap
perempuan itu sambil tersenyum nipis memandang ke arahnya. Kemudian jemarinya ligat menekan butang ke tingkat 14.
"You are welcome.."
pendek Haiqarl membalas sambil matanya masih lagi leka memandang ke arah
perempuan tersebut. Cantik. Hanya sepatah perkataan itu saja yang keluar dari
hatinya. Rezeki di pagi hari dan rezeki mata sejak kembali ke Malaysia. Haiqarl
tersenyum di dalam hati. Kalau hari-hari dipertontonkan dengan permandangan
indah begini, harus dia menetap terus di Malaysia dan sumpah tak akan kembali
ke Paris lagi. Bisiknya nakal. Tiba-tiba Haiqarl tergelak kecil.
“Are you talking to me?” soal
perempuan itu tiba-tiba dan terus mematikan senyum di bibir Haiqarl.
Eh! Minah ni
dengar ke apa yang aku cakap tadi? Soalnya di dalam hati. Menggelabah sekejap dia dibuatnya.
Haiqarl berdehem perlahan. “No…” balasnya sepatah dan
dengan muka selamba seolah-olah tidak tahu apa-apa dan langsung tak bersalah.
Memang tak buat salah pun. Aku cuma tengok aje dah ada depan mata. Menghayati
kata orang tu. Bukan nampak apa-apa pun. Okaylah, adalah nampak betis gebu tu
tapi bukannya luak pun. Desis hatinya nakal.
“Oh…okay,” ucap perempuan itu
lagi dan terus berpaling menghadap pintu lif semula. Haiqarl terdiam lagi. Tubuhnya disandarkan ke
dinding lif semula. Perempuan itu dipandang lagi. Dasar mata jahat. Kutuknya
pada diri sendiri.
Memang di akui perempuan di
hadapannya itu cantik orangnya. Briefcase jenama Guess di tangan perempuan itu
dikerling sekilas. Kemudian pandangannya dihalakan ke arah penampilan perempuan
itu pula. Dari atas ke bawah tubuh perempuan itu diperhati dan amati lagi. Ketinggian
rasanya 5 kaki 6 inci. Berat rasanya dalam 55kg. Haiqarl tersenyum sambil
menggelengkan kepala namun matanya masih meliar memerhati. Okay, rasanya rambut
perempuan itu mesti panjang paras dada. Tak boleh nak ukur sebab kemas
didandan. Penampilannya pula sangat
elegan. Kasut tumit tinggi 3 inci menambahkan lagi ketinggian perempuan itu dan
hampir menyamai ketinggiannya. Dengan mengenakan kemeja berbelang pink putih,
kot berwarna coklat gelap dan skirt pendek paras lutut dengan warna yang sama,
kelihatannya wanita itu tentu bukan sembarangan jawatannya. Bisik Haiqarl di
dalam hati.
"Thanks again..." sekali
lagi perempuan itu bersuara sebaik saja pintu lif terbuka sekaligus mematikan
renungannya. Sambil memandang ke arahnya sekilas, perempuan itu terus saja keluar
dari situ.
Sebaik pintu lif tertutup
semula, Haiqarl terus menggelengkan kepalanya. Dahinya ditepuk perlahan. Berkali-kali.
Apa dah jadi dengan kau Haiqarl? Jumpa perempuan cantik macam tu, kau cuma
mampu pandang sahaja? Marahnya pada diri sendiri. Tak pernah selama ini dia
hanya berdiam diri apabila berdepan dengan perempuan secantik itu. Paling tidak
nombor telefon perempuan itu sudah pasti berada di genggaman sekarang tapi
entah kenapa dia hanya terdiam dan terpaku saja memandang perempuan tadi. Tiba-tiba
kau jadi baik sangat apasal? Marahnya pada diri sendiri.
"Kau apahal bro?"
soal Ikram sambil menepuk bahu sahabatnya itu. Pelik betul melihat keadaan
Haiqarl yang seperti hilang sesuatu saja ketika itu. Sejak menapak ke
pejabatnya setengah jam tadi, begitulah keadaan Haiqarl. Tidak senang duduk
saja gayanya. Penat ke hulur ke hilir akhirnya dia terus berbaring di atas sofa
dan tekun memerhati siling biliknya.
Haiqarl tersentak.
"Apahal?" soalnya hairan.
"Kau tu apahal? Lain
macam aje aku tengok."
"Aku?"
"Ha'ah...kau
apahal?"
"Aku okay je."
Ikram terus tergelak. Fail di
tangannya diletakkan ke atas meja.
"Okay apanya kalau macam
orang sasau aje aku tengok."
Haiqarl mendengus perlahan.
Kepalanya digelengkan. Nampak sangat ke dia macam orang yang menyesal sekarang?
Nampak sangat ke muka dia macam orang yang baru lepas hilang barang berharga? You
are so stupid Haiqarl! Kutuknya pada diri sendiri.
"Am...aku nak tanya kau
ni. Dekat tingkat 14 tu office apa?"
Sudah berkerut dahi Ikram
mendengar soalan sahabatnya yang seorang itu. Pelik.
"Kenapa?" soalnya
hairan.
"Saja nak tahu sebab
tadi aku tersalah tekan lif ke tingkat
14."
"Dah salah tekan tu
kenapa tak tengok jer office apa yang ada dekat situ."
"Kau ni. Pakai akallah
sikit. Tak kan aku nak bodoh-bodoh masuk pejabat tu dan tanya ni syarikat apa?
Akai ada ka.." bedil Haiqarl sedikit keras. Apa ke bodoh punya kawan.
Ikram sudah tergelak besar
mendengar kata-kata sahabatnya itu. Serius saja bunyinya.
"Syarikat pengangkutan.
Pemilik dia Tan Sri Syed Abu Bakar."
Haiqarl yang sedang berbaring
terus terbangun. "Company besar ke?"
"Boleh tahanlah sebab
setahu aku syarikat tu antara syarikat pengangkutan terbesar dalam Malaysia.
Apasal kau tanya?"
"Saja nak tau."
Malas hendak bertanya banyak,
Ikram hanya mengangguk saja.
"Qarl, kau ni dah
sebulan lebih balik dari Paris kan? So tak ada plan ke nak kerja dengan papa
kau?" soal Ikram sambil memanah pandang ke arah sahabat di hadapannya itu.
Setiap kali dia bertemu dengan Datuk Zikri, memang itulah yang sering mereka
bincangkan. Datuk Zikri betul-betul berharap Haiqarl dapat membantunya. Sudah
lima tahun Haiqarl berada di luar Negara dan bekerja di sana, dia ingatkan apabila
Haiqarl kembali ke Malaysia, Haiqarl akan membantu papanya tapi dah sebulan
balik Haiqarl masih tak buat apa-apa pun lagi.
Mendengar soalan Ikram,
Haiqarl terus mematikan diri. Dia bukan tak
nak bekerja dengan syarikat papanya tapi dia tak berminat langsung dalam
bidang hartanah. Dia lebih suka bidang pengiklanan dan itulah kerjaya yang
dilakukan sepanjang di Paris dulu. Bidang yang glamour dan dikelilingi dengan
perempuan-perempuan cantik. Siapa yang tak suka hidup yang begitu. Cakap saja hendak
perempuan yang bagaimana, hanya petik jari sudah pasti berada di dalam
genggaman.
"Nantilah aku fikir
dulu. Kau tahu kan aku tak minat nak uruskan syarikat tu," acuh tak acuh
saja Haiqarl membalas.
"Qarl, kesian sikit
dengan papa kau. Dia mengharap sangat dengan kau lagipun adik kau si Haizir tu
masih study lagi kan. Nak harapkan Hanina memang tak mungkinlah. Asyik sibuk
dengan bidang modelling dia tu aje," pujuk Ikram lagi.
Haiqarl terdiam seketika.
Memang ada betulnya apa yang diperkatakan oleh Ikram tapi memang dia tak
berminat nak buat macam mana. Bagi dia senang, tak suka jangan buat. Tak minat
terus tolak tepi. Sama macam perempuan, masa suka dia akan usung ke sana ke
mari, bila dah jemu sorry to say….hai..hai..bai..bai ajelah…
"Nantilah, biar aku
fikir dulu."
"Berapa lama lagi nak
fikir Qarl? Dah sebulan dah kau balik tapi aku tengok kau tak buat apa-apa pun
lagi,"
Haiqarl terus terdiam, malas
hendak membalas kata-kata sahabatnya itu. Otaknya masih lagi tak berhenti
berfikir tentang perempuan yang dia terserempak di dalam lif tadi sampai malas
nak fikir apa yang Ikram bebelkan sejak tadi. Tak tercerna langsung kata-kata
Ikram di dalam kepalanya.
"Qarl, papa harap sangat
Qarl boleh bantu papa. Kalau bukan anak-anak papa yang bantu papa uruskan syarikat
tu, papa nak harapkan siapa lagi?"
soal Datuk Zikri perlahan. Sudah puas dia memujuk tapi Haiqarl masih
juga dengan keras kepalanya. Sudah sebulan balik Malaysia tapi sibuk ke sana ke
mari mencari peluang kerja yang dia minat.
Haiqarl terdiam. Pandangannya
dihalakan ke arah karpet bulu-bulu belang zebra di hadapannya. Bosan!
"Betul cakap papa tu
Qarl. Nak harapkan adik kamu si Hanina tu? Hurm…memang tak boleh di haraplah. Nak
tunggu Haizir bantu papa, sekurang-kurangnya kena tunggu 3 tahun lagi. Qarl tak
kesian dengan papa ke?" pujuk Datin
Farida pula. Anak lelaki yang hampir mencecah umur 30 tahun itu dipandang tak
beriak.
"Biar Qarl fikir dulu
pa...ma..lagipun Qarl tak minatlah bidang hartanah ni,"
"Qarl, nak buat sesuatu
kerja tu tak semestinya dengan minat tapi buat dengan rasa tanggungjawab. Ini
tanggungjawab Qarl pada keluarga. Pada papa...pada mama..." pujuk Datuk
Zikri lagi.
Haiqarl terdiam lagi. Buntu
dia memikirkannya. Sejak dia pulang sebulan yang lepas, orang tuanya itu tidak
habis-habis mendesak supaya dia membantu perniagaan keluarga. Kalau diikutkan
hatinya memang dia tidak akan pulang langsung tapi disebabkan rasa
tanggungjawab dan kesian pada mamanya dia balik juga.
"Bagi Qarl masa pa. Biar
Qarl fikir dulu," perlahan Haiqarl bersuara.
Mendengar jawapan Haiqarl,
Datuk Zikri terus melepaskan keluhan berat. Kepalanya digelengkan perlahan.
"Papa terlalu mengharap Qarl, jadi tolong jangan hampakan
harapan papa," akhirnya Datuk Zikri bersuara setelah lama terdiam.
Haiqarl mengangguk. "Okay
pa, Qarl faham. Qarl akan fikirkan tentang hal ni."
Dear, i nak beli buku ni... macam mana i nak dapatkan...kat kedai takde stok
ReplyDelete