Followers

Thursday 18 April 2013

Kupilih Untuk Setia...Bab 4




Bab 4


MEMO PAD yang terlekat kemas di dinding peti ais ditarik kasar. Mukanya dicemikkan. Mata
ditalakan tajam ke permukaan memo pad tersebut dan dibaca dengan muka meluat.

Zahirah,
Tolong pastikan sampah dibuang sebelum awak balik. Jangan simpan apa-apa sampah dalam rumah. Saya tak suka ada bau tak tentu pasal dalam rumah saya ni.
p/s : cermin sliding door bilik saya tu tolong lap bersih sikit.

Ku Ariff

“Menyampah! Pasal sampah secoet itu pun nak bising. Bukannya ada makanan lagi pun, cuma kotak piza ajelah! Atau dia nak marah sebab aku cuma tinggalkan kotak aje untuk dia tengok?” bebel Dania perlahan. Pagi-pagi dia sudah naik angin. Pasal cermin sliding door itu lagi dia nak marah. Ku Ariff nak cermin tu berkilat macam mana lagi? Bukan dah cukup bersih ke cermin tu dia lap semalam?
Memang cerewet punya manusia. Sampai lenguh-lenguh tangan aku ni bersihkan rumah kau, lagi nak komen macam- macam.
Aku mogok tak buat kerja baru kau tahu! bebelnya lagi. Malas hendak melayan sakit hati, memo pad tersebut digumpal-gumpal dan dicampakkan ke dalam tong sampah. Dia terus berjalan menuju ke bilik belakang. Beg sandang dan beg telekungnya diletakkan di atas katil sebelum dia keluar untuk memulakan tugas. Sebaik tiba di ruang tamu, Dania memandang sekeliling. Hurm… Semuanya
nampak masih bersih lagi. Bisiknya perlahan. Tiba-tiba fikiran nakal menerpa di kepalanya. Oleh sebab semalam dia sudah bertungkus-lumus, jadi hari ini dia akan buat ala kadar saja. Bukannya Ku Ariff tahu pun. Jadi masa yang terluang tu akan dia gunakan untuk menghadap TV saja. Dania terus
tersenyum. Dia terlupalah tu di dalam rumah Ku Ariff ada CCTV. Aduh... Memang nak kena Dania ni.

Melihat jam di dinding yang hampir menginjak ke pukul lima petang, Dania terus bersiap-siap untuk balik. Buku nota kecil dikeluarkan dari dalam beg sandangnya dan dituliskan sesuatu sebelum ditampal di dinding peti sejuk. Ha, ambil! Jangan ikut sedap mulut kau aje nak membebel-bebel, bisiknya dalam hati.

Ku Ariff,
Sorry sebab tinggalkan kotak pizza aje semalam. Tapi kalau Ku Ariff teringin nak makan boleh call nombor ni yer...9552525...confirm sampai depan rumah. BTW, pizza tu memang sedap. Sehingga menjilat kaki. J
p/s : cermin tu masih nampak tak berapa bersih mesti sebab kualiti cermin tu tak bagus sebab tu dah kena sental pun masih tak bersih. So apa kata Ku Ariff tukar aje cermin tu dengan cermin baru bukan setakat berkilat tapi mesti bersinar-sinar.
Zahirah

Puas hati, dia terus beredar bersama senyum tersungging di bibir. Amek!




KU ARIFF terus melangkah menuruni anak tangga menuju ke dapur. Sampai sahaja di rumahnya tadi, dia terus naik ke atas. Selepas mandi dan solat, dia hanya memerap di dalam bilik. Leka membaca kertas kerja yang disediakan Imad, tiba-tiba dia terasa haus pula. Puas dicari botol air mineral yang disimpan di dalam biliknya tetapi semuanya sudah tiada. Malam tadi baru sahaja diletakkan tiga botol di atas meja soleknya. Hurm, confirm sudah dibuang oleh pembantu rumahnya.

“Bersih tak kena tempat pula budak ni, tak pasal-pasal menyusahkan aku kena turun ke bawah,” bebelnya geram. Langkah diayun dan peti sejuk dihampiri. Baru saja tangannya ingin membuka pintu peti sejuk tersebut, matanya terpandangkan memo pad yang terlekat kemas di dinding peti sejuk. Laju sahaja tangannya mencapai memo pad tersebut dan memo pad tersebut dibaca. Dengusan keras dilepaskan. Cakap berdepan kuat menjawab, bagi nota bertulis pun dijawab juga? Memanglah menyakitkan hati. Sudahlah kerjanya dibayar gaji, lagi nak cakap banyak! marahnya pula dalam hati.

“Manalah si Syakila jumpa budak ni agaknya. Ini baru dua hari bekerja, makin lama nanti aku tak tahulah macam mana. Entah-entah kena sakit jantung aku dibuatnya,” bebel Ku Ariff melepaskan geram. Memo pad tersebut digenggam kemas sebelum dicampakkan ke dalam tong sampah. Panas hati tiba-tiba.




KELUAR dari bilik air, Ku Ariff terus berjalan menghampiri almarinya. Baju di dalam almari tersebut dibelek-belek. Sudah dua tiga kali baju-baju di dalam almari itu diselak tetapi ada beberapa helai kemeja yang dipakainya beberapa hari lepas tiada di situ.

Mana pula perginya kemeja-kemeja itu semua? soalnya dalam hati. Diselak lagi. Tiada juga. Rasanya sejak beberapa hari lepas dia tidak menghantar baju ke dobi malah baju-baju yang dihantar sebelum ini semua sudah diambil. Jadi, mana perginya kemeja-kemejanya itu? soal hatinya lagi dan kepalanya digaru. Zahirah tak basuh baju? soal Ku Ariff lagi tetapi tak mungkin kerana baju-baju kotornya semua sudah tiada di dalam bakul. Dia terus keluar dan berlari-lari anak menuruni anak tangga menuju ke tingkat bawah. Mesin basuh dihampiri. Bakul kain yang diletakkan di sebelah mesin basuh dijengah. Kosong. Ya Allah, ke mana pula perginya baju-baju kotornya semua? Rambutnya diraup dan kepalanya digaru. Sudah dibuang juga? soalnya dalam hati. Aduh! Memang haru betullah si Zahirah ni, bebel hatinya sedikit keras.

DENGAN terkocoh-kocoh, langkahnya diayun laju menuju ke rumah majikannya itu. Pagi-pagi lagi dia sudah berlari macam dikejar dek anjing gila. Selalunya nak berjoging pun susah, hari ini dengan rela hati dia berlari macam sedang masuk pertandingan lumba lari 1000m. Sudah bertahun dia tidak
berlari seperti itu. Sampai naik semput dibuatnya. Sudahlah keretanya diparkirkan agak jauh. Selalunya dia bersenam hanya ketika mengajar tae kwan do di kelab tae kwan do milik Hazrin. Huh! Bersenamlah sangat, Nia. Cuma angkat tangan dan kaki sikit-sikit itu bukan dikira bersenamlah, sengal!

Kakinya diayun semakin laju. Entah macam manalah dia boleh terlewat bangun lagi pagi itu. Pukul 7.30 pagi baru dia tersedar. Selalunya mama akan kejutkan untuk subuh tapi pagi itu tak terdengar pula suara mama terjerit-jerit mengejutkannya di balik pintu. Jam locengnya pula langsung tidak berbunyi. Yalah jam loceng tu tak berbunyi Nia, entah-entah tengah sedap membuta kau tutup jam
loceng tu!

Jam di tangannya dilirik sekilas sambil termengah-mengah menarik nafas. Sudah pukul 8.45 pagi. Aduh, nasib baiklah Ku Ariff awal-awal pagi sudah pergi kerja. Kalau tidak, siaplah kau kena bebel, Dania. Sampai sahaja di pintu pagar rumah banglo dua tingkat itu, tote bagnya dibuka dan 
kunci rumah dicari.

“Manalah pula kunci ni? Time orang nak cepat ginilah cari barang semua tak jumpa,” bebelnya pula. Setelah puas digodek-godek tote bagnya itu akhirnya barulah dia terjumpa kunci yang dicari. Terus alarm gate ditekan dan dia berlari masuk. Sebaik melepasi pintu gate, Dania sudah terkaku. Terasa bagai hendak gugur jantungnya apabila terpandangkan Ku Ariff yang sudah menantinya di gazebo. Lemah lututnya apabila melihat muka Ku Ariff yang seperti singa lapar di situ. Apa pasallah mamat ni masih ada dekat rumah lagi? bebelnya dalam hati. Perlahan-lahan nafasnya dihela. Dengan langkah perlahan dan debaran dalam hati, Ku Ariff yang sedang merenungnya itu dihampiri.

“Sorry Ku Ariff, saya lewat sikit.” Perlahan Dania bersuara. Dada sudah berdegup bukan main kencang lagi. Takut. Cuak. Semua rasa itu ada. Yang pastinya, harus pagi itu dia kena bebel lagi!

“Lewat sikit ke?” Sinis Ku Ariff menyoal. Bengang gara-gara menunggu Dania, dia yang terlewat masuk ke pejabat. Nasib baik syarikat itu daddy dia yang punya. Kalau tidak, kena buang kerja sia-sia sahaja hanya disebabkan oleh pembantu rumah yang seorang ini.

“45 minit. Saya tak tahulah sikit ke banyak sebab saya kerja 8 jam sehari. Kalau dikira tambah, tolak, darab dan bahagi masih sikit lagi tu,” balas Dania teragak-agak. Ya Allah, boleh pula kau menjawab, Nia. Memang kau nak kena sungguh ni!

Ku Ariff mendengus geram. Dia terus berdiri. “Awak ni kan, kalau saya cakap ada aje jawapan awak.
Sekarang ni awak kerja dengan saya atau saya yang kerja dengan awak ni?” marahnya pula. Serius sahaja mukanya memanah pandang gadis yang sudah terkulat-kulat di hadapannya itu.

Dania tundukkan kepala dan mula buat muka bosan. Sudah seperti dimarahi cikgu disiplin pula rasanya.

“Maaf Ku Ariff, saya tahu saya kerja dengan Ku Ariff tapi saya betul-betul ada hal tadi. Hal yang tidak dapat dielakkan. Personal matters,” dalihnya. Kepalanya diangkat semula.

Ku Ariff menggelengkan kepalanya perlahan. Nafasnya dihela. Tangannya dicekakkan ke pinggang.
“Zahirah, saya nak ingatkan awak. Kalau awak nak kerja, tolonglah serius sikit. Jangan nak buat sesuka hati awak aje. Hormat sikit saya ni sebagai majikan awak. Apa yang saya tegur tu tak payahlah awak nak menjawab balik. Lagi satu, untuk pengetahuan awak saya tak suka makan
piza, makanan segera atau yang seangkatan dengannya.” Panjang lebar Ku Ariff membebel melepaskan geramnya pada nota cinta yang ditinggalkan semalam.

“Ha, lagi satu. Cermin rumah saya ni diimport, bukan cermin yang dijual di kedai-kedai hardware biasa!” sambung Ku Ariff lagi.

“Baik Ku Ariff, saya minta maaf,” balas Dania perlahan. Kepalanya ditundukkan memandang rumput
semula. Serius, dia rasa seperti hendak menangis ketika itu. Abah, mama, along dan angah tak pernah pun meninggikan suara begitu kepadanya, ini orang luar yang entah siapa-siapa suka-suka hati hendak memarahinya. Uwaaa!

“Okey, saya nak tanya awak ni. Baju-baju kotor saya mana?!” Keras Ku Ariff menyoal. Gadis yang sedang tertunduk memandang rumput itu direnung semakin tajam.

Laju Dania angkatkan kepala dan memandang Ku Ariff semula. Aduhai Nia, macam mana kau boleh lupa nak ambil baju-baju Ku Ariff di dobi? Masaklah kau nak menjawab dengan Ku Ariff hari ni.

“Zahirah, saya tanya awak ni, mana baju-baju kotor saya tu?” Melihat pembantunya yang hanya terdiam membisu sambil terkebil-kebil memandangnya, Ku Ariff sudah cuak semacam. Sudah kena jualkah baju-bajunya semua? Maklumlah, baju-bajunya bukan daripada jenama biasa. Kalau dijual bundle pun masih laku berpuluh-puluh ringgit lagi.

“Saya hantar dobi.” Dengan teragak-agak, Dania menjawab. Perlahan saja suaranya.

Sudah bulat mata Ku Ariff memandang ke arah gadis itu. “Apa?!” soalnya keras.

“Saya hantar dobi tapi saya lupa nak ambil.” Jujur Dania menjawab dan dengan riak yang sudah berubah keruh. Kalau sekali lagi Ku Ariff meninggikan suara, tentu dia akan menangis di situ. Ya Allah... Kenapa hati cepat sangat  tersentuh ni?

“Awak hantar dobi? Habis tu, siapa yang nak bayar?” soal Ku Ariff pula sambil menggeleng. Pening
kepalanya dengan pembantu rumah yang seorang ini.

“Saya,” jawab Dania sepatah. Perlahan sahaja nada suaranya. Suara yang ditahan-tahan supaya tidak menangis.

“Kalau awak bayar dobi untuk cuci baju-baju saya, awak kerja untuk apa? Bayar dobi saja pun sudah
menggunakan hampir separuh gaji awak. Awak tau tak?” sambung Ku Ariff lagi. Suaranya sudah mula mengendur sedikit apabila melihat air muka pembantunya yang sudah berubah riak itu. Kasihan pula dia melihatnya.

Mendengar kata-kata Ku Ariff, Dania terdiam lagi. Wajahnya masih lagi ditundukkan memandang rumput di hadapan. Air mata yang sudah bergenang di tubir mata pantas disapu dengan jari. Buat malu sahaja kalau dia menangis di situ.

“Kenapa awak tak basuh saja baju-baju tu sendiri?” soal Ku Ariff lagi apabila melihat Dania masih terdiam kaku di hadapannya. Wajah Dania direnung lama. Cantik dan ayu. Yup, pembantu rumahnya itu memang agak cantik orangnya tetapi yang tak tahannya kuat sangat melawan.

Dania mengangkat kepalanya dan memandang Ku Ariff semula. Hendak mengaku yang dia tidak tahu menggunakan mesin basuh, malu pula rasanya. 

“Zahirah, saya tanya awak ni, kan?” soal Ku Ariff mula bernada lembut. Bimbang juga kalau gadis itu menangis di hadapannya kalau asyik dimarahi. Melihat mata Dania yang sudah memerah itu dia tahu Dania sedang menahan tangis.

“Saya tak tahu nak guna mesin basuh tu.” Perlahan Dania menjawab.

Mendengar jawapan gadis itu, Ku Ariff terus tersenyum. Nak tergelak pun ada. Ya Allah, masih ada lagi orang yang tidak tahu hendak menggunakan mesin basuh rupa-rupanya.

Melihat Ku Ariff yang sudah tersenyum di hadapannya, Dania terus tarik muka.

“Boleh tak Ku Ariff jangan buat muka macam tu? Saya tak reti guna sebab dekat rumah saya tak guna mesin basuh macam tu,” tutur Dania sedikit keras.

Senyum Ku Ariff terus mati. Menyesal pula dia membuat reaksi seperti tadi. Mesti pembantu rumahnya itu terasa. Setahunya, orang yang hidupnya agak susah selalu menggunakan mesin basuh separa auto sahaja. Kalau tidak pun, basuh baju guna tangan.

“Dah tak tahu nak guna, kenapa tak telefon dan bertanya?” soal Ku Ariff lagi.

“Ku Ariff kan dah pesan kalau tak ada perkara penting tak payah telefon. Sebab tu saya tak bertanya.” Ku Ariff tersenyum lagi. Pandai betul pembantunya itu memutarbelitkan kata-katanya. Dan ya, memang silapnya dan dia akur tentang itu.

“Mari saya ajarkan macam mana nak guna mesin basuh, jadi lepas ni tak payah awak hantar baju saya ke dobi lagi. Saya bagi gaji awak bukan untuk awak bayar kepada tauke kedai dobi tapi untuk awak gunakan buat diri awak dan keluarga awak,” ucapnya dan terus berjalan masuk ke dalam rumah.

Dania mengekor sahaja sedang dalam hati membebel-bebel geramkan lelaki itu. Apa tidaknya, nyaris-nyaris dia menangis tadi!

7 comments:

  1. hehehe.....tak tau nak komen ape, tpi bestttt....

    ReplyDelete
  2. sampai tak tahu nak komen dah sue... hehehehe

    ReplyDelete
  3. Awat la syok sangat ni...xtahan nk bc lg...best sesangat2

    Shida halim

    ReplyDelete
  4. Best sgt..bila de sambungan ye or cite ni dh d novel kn?

    ReplyDelete
    Replies
    1. buat masa ni kisah ni dihentikan dulu...saya sedang menyiapkan kisah lain... Insya-Allah kalau ada rezeki akan disambung lagi.. tq yer sudi singgah blog saya.. :)

      Delete
  5. ameera plzz sambung cite ni..teruja tau..falling in love..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...