Bab 3
DANIA memandang sekeliling ruang di dalam rumah banglo dua tingkat itu dengan pandangan kosong. Berserabut kepalanya, tidak tahu mana satu kerja yang hendak dimulakan dahulu. Banyak sangat amanah yang ditinggalkan oleh Ku Ariff tadi namun tidak ada satu pun yang melekat di dalam kepalanya. Dahinya diketuk-ketuk perlahan. Nafasnya ditarik.
“Fokus Nia, fokus. Apa pasallah kau lembab sangat hari ni?!” bebelnya kepada diri sendiri. Matanya dipejamkan seketika sebelum dibuka semula. Nafasnya ditarik lagi untuk meredakan kebuntuan yang melanda jiwanya ketika itu.
“Okey, mula-mula basuh baju dulu. Lepas tu bersihkan bilik kemudian bersihkan ruang tamu kemudian dapur dan akhir sekali porch,” bisiknya perlahan kemudian dia tersenyum. “See, kau boleh buat, Nia. Kerja senang aje tu. Kau kan superwoman,” bisiknya lagi sambil tergelak kecil.“Okey, let’s start!” ucapnya perlahan.
Tanpa berlengah, dia terus naik ke tingkat atas dan menuju ke bilik utama iaitu bilik Ku Ariff. Sebaik pintu bilik lelaki itu dibuka, Dania sudah terpaku di muka pintu. Setiap genap ruang bilik itu diperhati. Luas dan kemas. Perabot yang digunakan juga tentu jenis yang mahal. Tengok sajalah ukiran pada kepala katilnya, cantik siot! bisiknya. Dia terus melangkah masuk sedang mata masih leka memerhati keadaan di dalam bilik tersebut. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Bilik dia pun tidak sekemas itu, desisnya perlahan.
“Ku Ariff... Ku Ariff... Dah reti mengemas sendiri yang sibuk nak ambil pembantu rumah lagi buat apa? Sengaja nak membazir. Aku tahulah kau banyak duit,” bebelnya sambil mata melilau mencari bakul baju yang disebutkan oleh Ku Ariff sebentar tadi. Sebaik bakul baju tersebut menerjah ruang matanya, kakinya diayun lagi. Bakul baju tersebut dicapai dan dia terus turun semula ke tingkat bawah. Nasib baik masa mula-mula dia datang ke rumah itu, Ku Ariff sudah menunjukkan kepadanya selok-belok rumah tersebut, jadi tak adalah dia kekok sangat. Dia terus berjalan menuju ke belakang.
Sebaik terlihatkan mesin basuh di sudut beranda belakang rumah itu, Dania terus berjalan menuju ke situ. Bakul baju tersebut diletakkan di atas lantai. Penutup mesin basuh dibuka kemudian pergerakannya terus terkaku. Jemarinya diketuk-ketuk perlahan di atas mesin basuh tersebut. Kemudian dia mengeluh berat. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Macam mana nak guna ni? soal hatinya. Butang-butang yang terdapat di atas mesin basuhtersebut diperhati. Start, Stop, Pause, Spin dan banyak lagi menu lain dibacanya tetapi masalahnya, macam mana nak guna benda alah ni? Kepalanya digaru lagi. Ya Allah, nak tanya siapa pula ni? Ku Ariff? soalnya sendiri. Laju kepalanya
digelengkan. Mampus aku kena bebel nanti. Aduh, tension sungguh! Nak tanya mama? Tapi nanti kalau mama tanya nak bagi alasan apa? Isy! Tak boleh. Setelah hampir sepuluh minit termangu di situ, terus nombor telefon Zahirah didail. Itulah pilihannya yang terakhir. Tentu Zahirah pandai kerja-kerja macam ni, fikirnya.
“Irah, aku ada masalah besar ni.” Laju Dania bersuara sebaik Zahirah menjawab panggilannya. Sebelah tangannya dicekakkan ke pinggang.
“Kenapa Nia?” soal Zahirah cemas apabila mendengar suara sahabatnya yang sudah kedengaran lain
macam sahaja ketika itu.
“Kau mesti tolong aku.”
“Yalah tapi tolong apa?”
“Aku tak tau macam mana nak guna mesin basuh ni. Tolong aku,” tutur Dania perlahan. Malu sebenarnya hendak bertanya. Apa tidaknya, nak guna mesin basuh pun tak reti. Entah apa-apalah kau ni, Dania. Berlagak macam bagus tapi mesin basuh pun tak reti guna, ejeknya kepada diri sendiri.
Pecah tawa Zahirah sebaik mendengar kata-kata sahabatnya itu. Dania… Dania… Soalan lawak apa yang ditanyakan agaknya. Mesin basuh pun tak tahu guna? Aduhlah!
“Kau gelak ni apa hal?” tingkah Dania geram. Kalau ada di depan mata, memang dah kena lekuk si Zahirah ni.
“Aku tahulah bunyinya macam bodoh sangat kan tapi nak buat macam mana, aku mana pernah basuh baju sendiri. Si mamat ni la, baju dia pun nak suruh aku basuh. Stres aku!” bebel Dania pula melepaskan perasaannya.
Dinding mesin basuh disepak perlahan.
“Ala Nia, susah-susah sangat kau hantar aje ke dobi, selesai satu kerja kau,” balas Zahirah memberikan cadangan.
Mendengar kata-kata Zahirah, Dania tersengih lebar.
Ting!
Hurm, betul juga. Beres satu kerja, bisiknya dalam hati.
“Haah la Irah, kenapa aku tak terfikir pasal tu ek? Fuh! Kau memanglah penyelamat aku. Terima kasih Irah untuk idea bernas kau tu. Inilah yang buat aku sayang kau sangat-sangat… Muah... Muah… Muah,” ucapnya teruja.
Zahirah tergelak kecil. Sengal betullah kau ni, Dania, kutuknya dalam hati.
“Aku bagi cadangan aje tapi nanti kau yang kena bayar tau.” Zahirah mengingatkan pula.
“Ala, sikit punya hal la tu. Berapa sen sangat.” Selamba Dania membalas.
“Yalah, jangan nanti kau bising duit kau habis sebab berbakti untuk Ku Ariff pula.”
“Tak apalah. Anggap ajelah aku buat amal jariah,” Gelak Dania pula. “Okeylah babe, aku nak sambung kerja,”sambungnya lagi.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah melepaskan keluhan. Panjang.
“Kenapa?” soal Dania hairan.
“Sorry Nia, sebab aku kau kena tanggung semuani,” luahnya kesal.
“Sudahlah Irah, kau tak payahlah nak buat mood sedih kat aku. Aku reda dengan apa yang berlaku kepada aku sekarang. Ini mesti sebab Tuhan nak tunjuk supaya aku jadi rajin sikit lepas ni. Jadi tak adalah aku asyik nak mengharap mama dan Kak Aishah aje. Sesungguhnya aku insaf!” tutur Dania lagi sambil menekankan perkataan insaf di hujung ayatnya.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah terus tergelak besar. “Nia... Nia, kau ni tak pernah nak serius.”
“Aku seriuslah babe, mana ada main-main.”
“Yalah-yalah.”
“Okeylah, aku nak sambung kerja.”
“Okey Nia, take care.”
“Don’t worry, tahulah aku.”
Sebaik talian dimatikan, Dania terus menuju ke bilik Ku Ariff semula dan terus menghala ke arah bilik air. Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Bilik air aku sendiri pun Kak Aishah yang cuci, ini aku sibuk-sibuk nak cuci bilik air orang pula. Nasib kaulah, Nia, bebelnya kepada diri sendiri tapi dalam kuat membebel, tangannya ligat pula mencapai berus untuk menyental bilik air tersebut.
Selesai membasuh bilik air, bilik Ku Ariff divacuum pula. Nak pasang vacuum pun satu hal. Terkial-kial. Hampir setengah jam baru vacuum tersebut berjaya dipasang. Puas digodek sana sini sebab tak reti nak sambungkan batang vacuum tersebut. Nasib baik boleh hidup lagi. Kalau tidak, harus kopak duit nak kena beli vacuum baru. Untung Ku Ariff dapat pembantu rumah macam dia. Barang rosak harus dia ganti tapi lepas itu dia yang sesak tak berduit. Haish!
Selesai kerja membersihkan tingkat atas, Dania terus melihat jam di tangan. Sudah pukul dua petang.
Patutlah lapar bukan main lagi tapi hendak keluar terasa malas. Keretanya pula diparkirkan jauh dari rumah ‘bos’nya itu. Badannya terasa bukan main penat lagi. Kalau boleh rasanya hendak sahaja dia membuta ketika itu. Dania terus menuju ke dapur mencari apa-apa yang boleh dimakan.
Hurm… Satu apa pun tak ada. Mulalah rasa macam hendak menangis sahaja. Ku Ariff pun satu, peti ais besar gedabak tetapi satu makanan pun tak ada. Kedekut taik hidung masin betul! bebelnya dalam hati. Tiba-tiba dia teringatkan masakan mama. Kalau di rumah waktu-waktu begini, dia sudah melingkar macam ular sawa kekenyangan tapi sekarang dia keseorangan dan kebuluran. Uwaaa, sadis betul nasib kau,Nia! Perut yang sudah mula mengeluarkan bermacam-macam bunyi itu diusap. Jaz ada, dangdut ada, rock kapak pun ada. Tidak berlengah, Dania terus mengambil telefon bimbitnya. Nombor telefon pizza delivery terus didail. Piza pun pizalah Nia, asalkan kau tak mati kebulur dekat rumah Ku Ariff. Kalau tiba-tiba Ku Ariff balik jumpa kau dah terbaring kaku di rumah dia, tak ke aniaya dia nanti. Tak pasal-pasal jadi suspek menculik dan membunuh kau pula. Kesian Ku Ariff jadi mangsa keadaan, bisiknya sendiri sambil tergelak kecil. Usai membuat pesanan, dia terus duduk santai di ruang tamu sementara menunggu pesanannya dihantar.
“Saya rehat dulu ya Ku Ariff, dah kenyang nanti saya sambung balik,” bisiknya. Dania membetulkan tudung di kepalanya. Sudah naik herot tudung itu dikerjakannya. Apa tidaknya, dari mula sampai ke petang, tudung itu langsung tidak dibuka. Cabuttudung pun semasa hendak solat zuhur tadi tetapi itupun di dalam bilik belakang. Di luar dari kawasan bilik tersebut dia terpaksa menjaga perlakuannya. Bahaya kerana rumah Ku Ariff dilengkapi CCTV. Tak boleh... Tak boleh, nanti kantoi!
Jam yang terlekat kemas di dinding dikerling sekilas kemudian dia tersenyum. Lagi lima minit akan
menghampiri ke pukul lima petang. Yeay... Masa untuk balik! jeritnya perlahan. Akhirnya berjaya juga dia menghabiskan masa sehari di situ. Kerja-kerja yang Ku Ariff pesan semuanya sudah dibereskan cuma baju Ku Ariff sahaja yang masih belum dibasuh. Balik nanti dia sudah berkira-kira
untuk singgah ke kedai dobi dan menghantar baju-baju tersebut. Dia lebih rela membayar kos dobi daripada dimarahi kalau baju-baju tersebut rosak.
Sambil merehatkan tubuhnya di atas sofa, tangannya dipicit-picit perlahan. Sungguh, dia memang
sudah tidak larat sangat. Hampir habis tenaganya hari itu kerana membersihkan rumah banglo dua tingkat tersebut. Selepas ini, mati hidup semula pun dia tak akan buat macam ini lagi. Selepas saja tiga bulan ini berakhir, dia memang tak akan tengok muka Tengku Syakila lagi. Cukuplah apa yang
telah berlaku selama ini. Semakin dilayan semakin melampau-lampau perangainya. Kalau kau dah menyampah sangat tengok muka aku, biar aku saja yang nyah dari hidup kau, mangkuk! tekad Dania dalam hati.
“ALONG, adik mana?” soal Hajah Zainon sambil membuang pandang ke arah anak lelakinya yang sedang santai di atas sofa. Hairan apabila kelibat Dania langsung tidak kelihatan. Biasanya kalau selepas waktu maghrib, anak perempuannya itu mesti turun duduk menonton televisyen sebelum makan malam. Ini batang hidungnya langsung tidak kelihatan. Balik tadi pun anak gadisnya itu langsung tidak bercakap banyak. Balik sahaja terus naik ke bilik.
“Entahlah ma, along pun sejak balik tadi tak nampak pun kelibat adik. Kereta dia ada kat luar tu. Tidur kut,” balas Danial sambil mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
“Tidur maghrib-maghrib ni? Nia... Nia, entah dah sembahyang entah belum tu,” bebel Hajah Zainon lagi dan terus mendaki anak tangga menuju ke bilik anak perempuannya itu.
“Apa hal mama kamu membebel-bebel aje tu?” tegur Haji Rahim pula. Sampai sahaja di rumah sekembalinya dari surau tadi, sudah terdengar bebelan isterinya. Daun pintu ditutup semula.
“Adik bah, dari tadi tak keluar bilik,” balas Danial perlahan. Pandangannya dijatuhkan ke arah Haji Rahim yang sedang membetulkan duduk di sebelahnya sebelum mengalihkan pandangan ke arah skrin televisyen semula.
“Kenapa dengan adik? Merajuk dengan siapa pula tu sampai tak keluar bilik?” Haji Rahim bertanya lagi dengan dahi berkerut seribu. Dia faham sangat perangai anak perempuannya yang satu itu. Sudahlah manja, kuat merajuk pula tu. Nampak saja macam keras tapi hati kecil saja sebenarnya.
“Entahlah, along pun tak tahu.” Danial menggeleng tidak tahu.
“Haaa, kamu dah sembahyang, along?” soal Haji Rahim pula sambil memandang anak lelaki sulungnya itu. Selalunya dia dan Danial akan sama-sama bersembahyang di surau berdekatan rumahnya itu tetapi disebabkan Danial balik lewat, dia seorang sahaja yang pergi maghrib itu.
Danial mengangguk. “Baru sudah, bah,” jawabnya lembut.
Mendengar jawapan anaknya itu, Haji Rahim mengangguk sahaja. Baginya, hal-hal yang berkaitan dengan agama memang tidak boleh diambil mudah. Sembahyang lima waktu wajib dijaga. Itulah yang selalu dipesankan kepada ketiga-tiga anaknya. Dia tidak mahu anak-anaknya leka dan lalai dengan dunia sampai terlupa mengejar akhirat.
“Haaa, kenapa dengan anak dara awak tu?” Sebaik terlihat kelibat isterinya menuruni anak tangga, Haji Rahim terus bertanya. Songkok di atas kepalanya dibuka dan diletakkan di atas meja.
“Penat sangat. Kan dia sekarang ni tengah buat kerja amal di rumah anak-anak yatim dengan Zahirah,” balas Hajah Zainon perlahan. Suaminya itu dihampiri.
Haji Rahim tersenyum saja mendengar jawapan isterinya. Kepalanya digelengkan perlahan. “Kenapa tak ajak Nia turun, boleh makan sekali.”
“Saya suruh dia sembahyang dulu,” sambung Hajah Zainon lagi dan terus berjalan menuju ke dapur untuk membantu Aishah menyediakan makan malam. Haji Rahim mengangguk saja mendengar jawapan isterinya.
“Along, tolong picitkan tangan Nia ni. Lenguhlah,” tutur Dania yang muncul dengan muka sedih meminta simpati. Dia terus duduk rapat di sebelah Danial sambil kepalanya disandarkan ke bahu alongnya. Serentak itu, kedua-dua tangannya dihulurkan.
Danial mendengus perlahan. “Itulah, along dah kata, kalau tak biasa buat kerja-kerja macam tu tak payah susah-susahkan diri. Haaa, tengok! Dah macam apa dah ni. Ini baru sehari, kalau tiga bulan along tak tahulah macam mana. Harus muka tu dah macam nyonya jual sayur kat pasar borong Selayang tu nanti.” Panjang lebar Danial membebel tetapi tangannya ligat pula memicit-micit tangan
adik kesayangannya itu.
“Degil tak nak dengar cakap orang. Bila dah penat, menyusahkan orang,” sambungnya lagi.
Dania mencemik. “Along ni, dah tolong tu janganlah nak membebel. Nampak sangat tak ikhlas. Nia
penat tau,” balasnya pula sambil tarik muka.
“Yalah-yalah...” balas Danial pendek. Sudah malas hendak membebel lagi. Dia tahu Dania memang kuat menjawab. Apabila ditegur bukannya tahu hendak mengalah pun. Walaupun mulutnya membebel, kesian pula apabila melihat keadaan Dania yang seperti orang baru lepas kena denda bersihkan kawasan sekolah itu. Haji Rahim dan Hajah Zainon hanya tersenyum melihat tingkah laku kedua-dua anaknya itu.
KU ARIFF memandang sekeliling rumahnya. Sejak mula kakinya melangkah masuk ke dalam rumahnya, habis satu rumah itu diperiksa. Dari tingkat bawah sampailah ke tingkat atas dan dari luar sampailah ke dalam. “Nasib baik, walau banyak cakap tapi kerja bagus,” bisiknya perlahan. Tetapi sebaik sahaja dia melangkah ke dapur, dia terus menggelengkan kepalanya. Fail!
erkkk...fail? mesti dapur bersepah ni ye...hihihi, dania lupe nak kemas la tu....abis la....
ReplyDelete