Followers

Thursday 28 March 2013

Kupilih Untuk Setia ...Bab 2





Bab 2

TERPANDANGKAN Dania yang sedang berjalan menghampirinya, Tengku Syakila sudah tergelak
mengekek. Rasa mahu pecah perut melihat keadaan Dania yang begitu. Memang skema habis penampilannya ketika itu. Dengan jean longgar, baju lengan panjang dan siap bertudung di kepala, hampir sahaja dia tidak dapat mengenali musuh tradisinya itu. Kalau bukan kerana Zahirah, tentu dia ingat perempuan Arab manalah yang nampak bersopan sangat di hadapannya itu.

“Kau gelak apa hal?” tempelak Dania geram. Tengku Syakila dijeling sekilas. Kedua-dua tangannya sudah dipelukkan ke tubuh. Ini semua idea Zahirah kerana dia sendiri yang tidak mahu dikenali. Nak mampus kalau ada sesiapa nampak dia keluar masuk rumah banglo yang entah siapa-siapa punya tu. Kalau abah dan along tahu, lagilah haru nanti. Aniaya dia nanti. Macam sudah tidak ada benda lain
yang hendak dibuat sehinggakan terpaksa bekerja di rumah orang semasa cuti semester. Macam dah tak cukup sangat duit belanja yang abah bagi sampai kena jadi orang gaji.

Tengku Syakila masih galak memandang gadis di hadapannya itu dengan tawa yang masih bersisa. “Sesuai betul kau jadi orang gaji, Nia. Lebih-lebih lagi dengan pakaian yang macam ni. Tapi tak sangka pula aku, cantik juga ya kau pakai tudung.” Selamba Tengku Syakila mengutuk sambil hujung tudung Dania ditarik agak kasar. 

Dania mendengus. Sakit hati dengan perlakuan Tengku Syakila ketika itu, tangan gadis itu ditepis kasar.

Tengku Syakila tergelak lagi. Semakin galak dari tadi. “Opssst... Sorry,” ucapnya mengejek.

“Kau dengar sini, apa yang aku nak pakai, itu hak aku. Kau tak payah nak sibuk-sibuk. So, aku rasa baik kau bawa aku pergi sekarang sebelum aku naik angin.” Dania semakin panas hati. Buat sakit telinga sahaja mendengar mangkuk ayun sorang ni bercakap. Kalau suara sedap tak apalah juga, ini dah macam itik serati sahaja bunyinya.

Tengku Syakila tersenyum lagi dan terus melangkah. Dia pun sudah tak kuasa hendak bertekak dengan Dania lagi kerana kegembiraannya baru sahaja bermula. Nanti kau rasakan Dania, sampai kau nak buka mulut pun kau tak larat. Sekarang aku bagi kau cakap puas-puas, ejeknya dalam hati. Baru beberapa langkah menapak, dia berpaling semula. “Ikut aku,” arahnya keras.

Tidak membantah dan dengan wajah cemberut, Dania mengikut sahaja. Sebaik sampai di rumah banglo dua tingkat yang dimaksudkan oleh Tengku Syakila, Dania terus menggeleng. Mampuslah dia kena menguruskan rumah sebesar itu. Mahu patah tulang empat keratnya kalau terpaksa membersihkan rumah itu berseorangan. Perlahanlahan satu keluhan berat dilepaskan. Kak Aishah... Tolong Nia, Kak Aishah... Huk-huk! jeritnya dalam hati. Tiba-tiba timbul pula rasa menyesal melayan kerenah Tengku Syakila.

Kalaulah bukan kerana gambar itu, memang dia tak akan mengikut idea gila perempuan itu. Rasa hendak dihempuknya sahaja Tengku Syakila pada saat itu juga namun disabarkan saja hatinya. Zahirah pula sudah memandang kasihan teman di sebelahnya. Perasaan menyesal semakin kuat bersarang dalam hati. Laila pula sudah tersenyum lebar memandang Dania yang sedang buat
muka tak sudah di situ.

“Come Dania, let’s start the game.” Tengku Syakila bersuara teruja sambil tersengih memandang Dania. Tidak menunggu, dia terus melangkah menuju ke arah pintu pagar rumah banglo dua tingkat tersebut. Loceng ditekan. Tidak sampai beberapa minit, pintu pagar tersebut terus terbuka. Dia terus mengajak Dania, Laila dan Zahirah masuk bersamanya. Sebaik saja berdiri di pintu masuk banglo
tersebut, seorang lelaki sudah sedia menanti mereka.

“Assalamualaikum, Abang Ariff,” sapa Tengku Syakila sopan dan dengan senyum manis terukir di bibir.

Melihat perlakuan sopan Tengku Syakila, Dania sudah tarik muka meluat. Menyampah pula dia mendengar suara manja perempuan itu. Pandai betullah kau berlakon, mangkuk, kutuknya dalam hati. Sungguh dia menyampah!

“Waalaikumussalam Sya, mari masuk,” balas Ku Ariff lembut dan terus berjalan masuk menuju ke arah sofa yang terletak di ruang tamu rumahnya. Dia terus duduk sambil mempelawa semua tetamunya untuk duduk sekali.

“Siapa yang nak kerja ni?” Tidak menunggu, dia terus bertanya sambil membuang pandang ke arah Dania, Zahirah dan Laila di hadapannya. Semuanya nampak muda-muda lagi. Boleh ke jadi pembantu rumah?

“Yang ni, abang... Nama dia... Da...”

“Irah... Nama saya Zahirah.” Belum sempat Tengku Syakila menghabiskan kata-katanya, Dania terus
menyampuk. Zahirah tercengang. Tengku Syakila dan Laila turut menoleh dan memandang ke arahnya. Pelik. Entah kenapa tiba-tiba nama Zahirah yang disebut.

“Ha... Haah... Irah...” Teragak-agak Tengku Syakila mengiakan. Hendak bertanya, bimbang andai abang sepupunya tahu perkara sebenar lalu diiakan sahaja. Lantak kaulah, Dania. Nama siapa pun yang kau nak guna tak penting. Apa yang penting, tetap kau juga yang bekerja di sini, desisnya dalam hati.

“Ini aku kenalkan sepupu aku, Tengku Ariff Khalis.

Kau kena panggil, Ku Ariff,” sambung Tengku Syakila lagi dengan gaya mengada-ada sambil jemarinya ditunjukkan ke arah abang sepupunya itu.

Dania mengangguk saja sambil memandang ke arah lelaki yang dimaksudkan. Wajah lelaki di hadapannya itu diperhati. Haip, Nia! Jaga mata, jangan nakal sangat. Tapi kacak juga sepupu si mangkuk ni, bisik hatinya. Ada macam mixed Cina sikit. Mesti anak kahwin campur ni, fikirnya pula. Tapi yang tak bestnya muka nampak sombong nak mampus. Samalah spesies dengan sepupunya juga. Mentang-mentanglah keturunan bangsawan, berlagak bukan main lagi. Ala...Bangsawanlah sangat, ada aku kesah? Aku tak hairan pun! kutuknya pula.

“Okey, saya memang memerlukan pembantu rumah sangat-sangat sekarang. Pembantu rumah saya baru saja berhenti. So, kalau boleh saya nak awak mula bekerja secepat yang mungkin. Saya akan bayar awak RM 1,500.00 sebulan. Kerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Kalau awak  setuju nanti saya akan beritahu apa kerja yang perlu awak lakukan. Tapi saya nak ingatkan, saya tak suka rumah saya berhabuk sikit pun. Saya allergic dengan habuk. So, hari-hari semua tempat hendaklah disapu dan dilap dengan bersih.” Panjang lebar Ku Ariff memberikan penerangan sambil tangannya ditunjukkan ke arah ruang di dalam rumahnya. Serius saja dia menuturkan kata-katanya itu.

Dania turut memandang sekeliling. Rumah besar gedabak. Banyak perabot mahal-mahal tapi gaji RM 1,500.00aje? Kedekut gila! RM 1,500.00 tu lebih sikit aje daripada  elaun bulanan yang abah dan along bagi. Tak payah susah-susah nak buat kerja rumah segala, bebelnya.

Mendengar kata-kata sepupunya itu, Tengku Syakila sudah tersenyum puas. Memang abang sepupunya itu sangat cerewet orangnya. Kalau tidak, mana mungkin sudah lima orang gajinya berhenti kerana tak sanggup melayan sikap cerewetnya itu. Sekarang kau rasalah, Dania. Baru padan muka kau, gelaknya dalam hati. Sungguh, dia sangat-sangat berpuas hati.

“So, macam mana?” Ku Ariff bersuara lagi apabila gadis di hadapannya itu hanya terdiam tak bersuara. “Okey, saya tahu rumah saya ni besar, kalau gaji tu tak cukup, awak boleh beritahu berapa yang awak nak. Kalau saya rasa wajar, saya tak kesah untuk bayar. Saya faham, tentu awak memerlukan duit sebab tu awak kena bekerja,” sambungnya lagi dan mula berlembut dari tadi. Bimbang pula sekiranya gadis itu menolak. Haru nanti!

Banyaklah aku bekerja sebab nak cari duit. Kalau bukan kerana sepupu kau yang dah tak betul tu, tak adalah aku duduk tercongok dekat rumah kau sekarang ni. Menyeksakan diri sendiri. Banyak lagi kerja lain yang aku boleh buat! jerit Dania dalam hati. Sedang leka berbicara dengan diri sendiri, tiba-tiba bahunya ditepuk. Dania tersentak dan terus menoleh. Terpandangkan Tengku Syakila yang sedang tajam merenungnya, dia berpaling memandang Ku Ariff semula.

“Hurm... Okey. Saya setuju.” Lancar saja Dania menjawab walau hakikat sebenarnya dia memang tak rela. Mendengar jawapan gadis itu, Ku Ariff menghela nafas lega. Selesai satu masalah yang membelenggu fikirannya sejak beberapa minggu kebelakangan itu. “Kalau awak dah setuju, jadi bila awak boleh mula?” soalnya tak bertangguh.

Dania terdiam seketika. Tengku Syakila dikerling sekilas sebelum dia berpaling memandang bakal majikan di hadapannya semula.

“Hurm... Minggu depan,” jawab Dania pendek.

Ku Ariff mengangguk perlahan. “Okey, kalau macam tu hari pertama nanti datang awal sikit sebab saya nak serahkan kunci rumah dan terangkan kerja-kerja yang sepatutnya awak buat.”

“Eh... Kejap... Kejap. Saya nak tanya sesuatu.” Laju Dania bersuara apabila dia teringatkan sesuatu.

“Okey, tanyalah.”

“Erm... Saya... Saya kena memasak ke?” soal Dania teragak-agak. Itu soalan yang sangat penting kerana melibatkan hidup dan mati. Kalau kena masak memang mampus aku. Masak air pun aku tak pernah, inikan pula hendak memasak makanan. Mahu meletup dapur rumah banglo Ku Ariff kalau itu termasuk dalam senarai tugas hariannya.

Ku Ariff terus tergelak mendengar soalan gadis di hadapannya itu. Ingatkan apalah soalan yang ingin
ditanyakan. Beria-ia sekali. “Tak perlu, saya tak makan di rumah. Kebanyakan masa saya berada di luar jadi awak tak perlu risau tentang hal itu.”

Lega mendengar jawapan lelaki itu, Dania hela nafas. Walaupun dia buat semua ini demi seorang kawan, namun kalau sampai menyeksa diri memang dia tak sanggup. “Ada satu perkara lagi saya nak tanya.”

Ku Ariff mengangguk lagi dan memandang gadis itu dengan kening yang berkerut. “Tanyalah,” balasnya sepatah.

“Sepanjang saya di rumah ni, hurm… Maksud saya, dari pukul lapan pagi hingga lima petang tu, saya seorang saja, kan?”

“Ermmm... Maksud saya, Ku Ariff tak ada di rumah, kan?” soal Dania lagi. Tak boleh berada berdua-duaan. Bahaya. Bukan muhrim tu, bisiknya sambil menggeleng. Kalau kena tangkap basah, apa dia hendak jawab dengan abah? Itu okey lagi, kena paksa kahwin dengan Ku Ariff, tak ke haru jadinya.

Tawa Ku Ariff pecah lagi. Mengerti dengan maksud kata-kata gadis itu. “Jangan risau, seawal tujuh pagi saya dah keluar. Jadi masa awak sampai saya memang dah ke pejabat dan saya akan balik selewat 10 malam. So, awak tak perlu takut,” ucapnya tenang.

Sekali lagi Dania menarik nafas lega. Jadi sepanjang lapan jam itu, rumah banglo ini aku punyalah, kan. So, aku punya sukalah nak buat apa, kan? Heaven!

“So, ada apa-apa lagi yang awak nak tanya?” Ku Ariff bertanya lagi. Gadis di hadapannya itu dipandang semula.

Dania tersengih kemudian menggeleng.

“Okey, kalau macam tu, minggu depan tolong datang awal sikit,” pesan Ku Ariff lagi mengingatkan. 
Tidak menjawab, Dania mengangguk sahaja.



“KAU pasti ke Nia apa yang kau buat ni?” soal Zahirah perlahan. Rasa simpati pula apabila Dania terpaksa bersusah payah kerananya. Dia tahu, ia tentu bukan sesuatu yang mudah. Tengok muka Ku Ariff tadi pun dia tahu Ku Ariff bukannya jenis majikan yang boleh bertolak ansur. Mesti jenis yang cerewet gila. Dania direnung lagi kemudian dia mengeluh perlahan.

Dania mengangguk.

“Kau tak rasa susah ke? Kalau tak boleh, lupakan aje semuanya ni, Nia,” nasihat Zahirah pula.

“Dah tu, kau nak ke gambar kau tu sampai ke tangan mak kau?” soal Dania selamba sambil menghirup air fresh orange di hadapannya. Nampak sahaja riaknya macam tenang seolah-olah tiada apa-apa tetapi hatinya sudah berputar macam roller-coaster. Apabila mengingatkan ‘bos’ baharunya itu, lagilah bergelora jiwa raganya. Bukannya sebab apa, tapi sebal betul memikirkan sikap Ku Ariff yang nampak bukan main garang lagi itu.

Zahirah terus diam tak terkata. Dia cuma mampu berdoa semoga urusan Dania dipermudahkan dan semoga tiadalah perkara buruk yang berlaku sepanjang tiga bulan Dania bekerja di situ. Dia bukannya bimbangkan Dania sangat tetapi dia lebih bimbangkan Ku Ariff sebenarnya. Dania bukannya jenis yang penyabar dan hanya berdiam diri kalau sering dibuli. Silap hari bulan, patah pula tulang Ku Ariff dikarate oleh sahabatnya itu. Kalau sampai masuk hospital, tak ke haru jadinya nanti. Silap hari bulan, mahu masuk surat khabar Metro; seorang kerabat raja diserang pembantu rumah. Maklumlah, Dania bukan calang-calang  orangnya, jurulatih tae kwan do tu walaupun sekadar membantu Hazrin sesekali, tapi lilitan di pinggangnya bukan sembarangan. Tali pinggang hitam, beb!


“ADIK, cuti semester ni nak pergi mana? Abah ada beritahu along yang abah dan mama nak ke Dubai melawat angah dan pak usu dekat sana.” Danial yang baru muncul dari dapur terus bertanya. Sambil menatang muk di tangan, dia terus duduk di sisi Dania.

Dania yang sedang leka berbaring sambil membaca novel Above and Beyond tulisan Sandra Brown terus duduk tercegat memandang along di sisinya. Abah dan mama nak ke Dubai? Syoknya! Dania tersengih tetapi tidak lama kemudian senyumnya terus mati. Bukankah sepanjang cuti semesternya dia akan hidup terseksa sebagai orang gaji di rumah Ku Ariff? Sudah rasa macam nak melompat-lompat sahaja tadi tetapi apabila teringatkan perjanjian dengan Tengku Syakila, terus terbantut niatnya itu. Janji dengan Tengku Syakila mesti ditunaikan. Kalau tidak, entah apalah yang akan jadi.

“Kenapa?” Danial memandang Dania dengan dahi berkerut. Air di tangannya dihirup perlahan.

Dengan wajah cemberut, Dania menggelengkan kepalanya perlahan. “Nia dah janji dengan kawan nak buat kerja amal sikit,” balasnya perlahan. Sorrylah along, Nia terpaksa berbohong. Bohong sunat. Tak pasal-pasal jadi orang gaji di rumah Ku Ariff dikatakan kerja amal pula. Haih... Dania... Dania... Banyaklah kau punya kerja amal. Ingat kau tu baik hati dan rajin sangat nak buat kerja amal?
Mama suruh kemas bilik sendiri pun malas bukan main, kutuknya kepada diri sendiri.

Sudah bulat mata Danial memandang adiknya itu. “Biar betul adik ni?” soalnya meminta kepastian. Laju sahaja tangannya diangkat dan dahi Dania disentuh. Kot-kot demam, tiba-tiba saja jadi budak baik.

Dania menolak tangan alongnya sambil mulutnya dimuncungkan. Wajah Danial dikerling sekilas.
“Betullah, along. Nia dah janji dengan Irah nak buat kerja amal dekat rumah anak yatim.” Beria-ia Dania membalas sambil terangguk-angguk kepalanya. Sekali lagi along kena kelentong. Tak apalah along, raya nanti Nia minta maaf. Kalau umur kau masih panjang nak sampai hari raya, Nia. Kalau tiba-tiba Allah tarik nyawa kau macam mana? Terfikirkan itu, takut pula dia rasa. Ya Allah Ya Tuhanku, Kau panjangkanlah umur aku sehingga raya nanti. Amin, doanya dalam hati.

“Peliknya, selalu pantang ada cuti semester mesti nak ajak abah dan mama jalan-jalan tapi kali ni tiba-tiba aje nak buat kerja amal.” Danial semakin pelik. Sekali lagi dahi adiknya itu dipegang untuk memastikan adiknya itu betul-betul sihat.

Dania mendengus. Kepalanya dijauhkan sedikit. “Apa along ni? Nia sihatlah. Betullah, along. Lagipun tak salah kan kalau Nia nak buat baik sikit? Tambah saham akhirat kata orang. Sudahlah amal tak seberapa,” balasnya lagi. Bersungguh.

Mendengar jawapan adiknya itu, tawa Danial meletus. Kepalanya digelengkan. “Ikut suka adiklah. Dahlah, along ada janji dengan kawan nak keluar minum ni. Nak ikut tak?” Dia terus bangun.

Dania menggeleng. “Malaslah. Kalau jumpa kawan along tu tak ada cerita lain. Asyik-asyik cerita pasal kerja aje. Nia pula yang tercongok dekat situ macam orang bodoh. Boringlah!”

Tawa Danial meletus lagi. Kepala Dania diusap perlahan. “Itulah, tadi mama dengan abah ajak pergi dinner rumah Uncle Zul tak mahu, kan dah kena tinggal sorang-sorang kat rumah. Jomlah ikut along,” pujuk Danial lagi, tidak sampai hati pula hendak meninggalkan Dania keseorangan di rumah. Kebetulan Kak Aishah pula bercuti minggu itu.

“Nia tak naklah. Nia nak sambung baca buku ni. Along pergi ajelah,” tolak Dania lagi. Bukannya dia tak tahu, along kalau keluar mesti jumpa Abang Joe dengan Abang Khir. Asyik-asyik jumpa orang yang sama. Bosan! desisnya dalam hati.

“Betul tak nak ikut ni?” soal Danial lagi.

“Tak naklah, along.”

“Abang Joe dengan Abang Khir dah rindu dengan adik. Selalu tanya along kenapa tak bawa adik sekali. Jomlah,” pujuk Danial lagi, masih tidak berputus asa. Tangan Dania ditarik perlahan.

“Along kirim salam peluk cium aje kat dia orang. Nia malas nak keluar,” balas Dania acuh tak acuh. Tangannya ditarik dan dia terus berbaring semula untuk menyambung bacaannya yang terbantut tadi. Memang dia malas hendak keluar pun. Mood yang ada sudah terbabas masuk gaung. Sebelum dia buat muka tak sudah di hadapan Abang Khir dan Abang Joe, lebih baik dia duduk di rumah sahaja.

“Okeylah. Kalau macam tu, along pergi dulu.” Lembut Danial bersuara. Malas hendak memujuk lagi, dia terus berlalu dari situ tetapi sempat lagi dahi Dania dicium sebelum pergi. “Hati-hati duduk rumah sorang-sorang. Apa-apa hal call along,” pesannya pula sebaik sampai di muka pintu.

“Ya, along,” jerit Dania perlahan.

Tawa Danial kedengaran lagi. Pintu dikuak dan dia terus keluar. Sebaik sahaja alongnya pergi, Dania duduk semula. Buku di tangannya ditepukkan ke atas bantal berkali-kali untuk melepaskan geram. Sakit hati kerana tidak dapat mengikut abah dan mama ke Dubai. Ini semua Tengku Syakila punya pasal. Eee... Memanglah si mangkuk ayun tu, aku langgar kau dengan steamroll baru kau tahu! bebel
hatinya geram sambil kakinya dihentak-hentak ke atas lantai.

1 comment:

  1. wow...Dania terror teakwando tu, abis la Ku Ariff nnt...hihihi..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...