Followers

Wednesday, 10 May 2017

Bab 8






Setelah mengharungi perjalanan hampir empat jam, akhirnya mereka sampai juga ke tempat yang di tuju. Sebaik menghantar Shaqir ke rumah ibu saudaranya, Redza rerus memandu keretanya ke rumah orang tuanya. Masuk sahaja ke perkarangan rumah, kereta kereta terus diparkirkan. Enjin dimatikan dan dia terus keluar. Jeslina ikut sama keluar. Elok kaki berdiri di muka tangga, salam dilaung.
Senyap.
Salam dilaung lagi dan masih juga tiada sesiapa yang menyahut. Dengan kerutan di dahi, rumah yang kelihatan sunyi itu diperhati. Semuanya bertutup. Puas ditelek sekeliling tetapi sepi sahaja. Salamnya juga langsung tiada yang sambut. Pelik, kemana pula kedua-dua orang tuanya pergi? Bukankah sudah diberitahu dari seminggu yang lepas lagi yang mereka akan balik hari itu?
"Sunyi aje rumah mak abang ni. Tak ada orang ke?" Jeslina turut kerutkan dahi. Tak mungkin orang tua Redza tiada sedangkan mereka tahu dia dan Redza akan balik ke kampung bersama.
Redza jungkit bahu. Salam dilaung lagi semakin lantang dari tadi. 
Masih senyap dan tiada jawapan. 
"Pelik ni. Mana mak dengan abah dah pergi?" keluhnya perlahan.
"Abang tak cuba call?" Redza dipandang semula. 
Redza lepaskan tawa kecil dan dahinya digaru. "Iyalah, kenapa abang tak terfikir dari tadi?" Balasnya dan telefon bimbit di dalam kereta terus diambil. Nombor telefon abahnya didail. Lama menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut. Setelah berbual seketika, talian dimatikan. 
"Macam mana?" cepat sahaja Jeslina bertanya. Apa tidaknya, risau juga dia dengan keadaan mereka sekarang.
"Mak dengan abah ke rumah Ateh dekat Raub sebab adik abang tu bersalin pagi tadi. Bersalin anak pertama tu yang kalut orang tua tu." Beritahunya. "Pergi pun tergesa-gesa sampai terlupa nak call abang beritahu." Sambungnya bersama keluhan kecil.
"Habis tu sekarang macam mana? Tak kan Jes nak duduk berdua aje dengan abang?" Jeslina kerutkan dahi. Berdebar pula rasanya apabila memikirkan tentang hal itu. 
Tawa Redza terus terhambur. Wajah tunang yang sudah berubah kalut itu dipandang gelihati. 
"Sayang, takkan abang nak ambil risiko duduk berdua dengan sayang dalam satu rumah? Memanglah best sebab dapat kahwin cepat kalau tiba-tiba kena tangkap tapi abang tak suka ambil kesempatan dengan cara macam tu. Abang pinang sayang dengan baik jadi urusan pernikahan dan perkahwinan juga biarlah dengan cara yang baik juga." balasnya lembut. "Abang nak perkahwinan kita menjadi satu kenangan terindah dalam hidup abang tapi bukan dengan cara macam tu. Dengan memalukan keluarga."  Ucapnya sambil lembut mata menala pandangan ke arah tunang di hadapannya.
Jeslina turut tersenyum. Lega rasanya mendengar kata-kata Redza tadi. Dia tahu Redza bukan jenis lelaki yang suka mengambil kesempatan. Selama mereka bersama, tidak pernah sekalipun Redza melakukan sesuatu yang melebihi batasan. Memang betul sangat apa yang Aton katakan, dia memang bertuah memiliki lelaki seperti Redza. Maklumlah, lelaki yang baik bukan senang dicari jadi bila ada di hadapan mata tak mungkin dia akan lepaskan.
"Habis tu sekarang macam mana? Jes nak tidur mana?" Sibuk memuji tunang sendiri sampai terlupa di mana mereka sekarang.
Redza terdiam sambil berkerut-kerut dahi memikir. 
"Ada hotel tak? Biar Jes tidur dekat hotel ajelah." Jeslina memberi cadangan. Dia bukannya ada saudara mara di situ jadi ke mana lagi yang dia boleh pergi? 
"Ermmm...apa kata sayang tidur rumah Shark untuk malam ni. Kalau sayang dekat sana abang tak risau sangat sebab ada mak ngah dan adik perempuan Shark buat teman." tidak bersetuju dengan cadangan Jeslina, Redza memberi cadangan lain. Di situ bukannya tiada hotel tapi rasa tak betah pula membiarkan tunangnya itu bermalam agak berjauhan dari kampung dan ditempat yang asing begitu. 
"Shark?!" Bulat mata Jeslina memandang Redza. Tubuh yang sedari tadi bersandar di pintu kereta terus ditegakkan. Redza gila nak suruh dia bermalam di rumah Shaqir? Oh, tidaklah!
"Untuk malam ni aje sayang. Lagipun ada makcik dan adik Shark sekali bukan bermalam berdua aje dengan dia." pujuk Redza lembut. 
"Malulah!" Tangan dipelukkan ke tubuh. Sebenarnya bukan malu tetapi lebih kepada tidak selesa atau malas berdepan dengan lelaki itu. Berada di dalam satu kereta pun dah rasa semacam inikan pula hendak duduk serumah walau untuk semalaman.  "Biar Jes stay dekat hotel ajelah." tolaknya lagi. 
"Hotel jauh sikit dari kampung ni. Lagipun abang tak sampai hati nak biarkan sayang stay dekat hotel seorang." 
"Better hotel dari rumah Shark, abang." tegas Jeslina lagi. Dengusan kecil dilepaskan.
"Sayanggg...janganlah macam ni. Okey, kalau sayang malu, apa kata malam ni abang ikut tidur di rumah Shark. Macam mana?" 
Senyap. 
Melihat tunang yang sudah membisu ditempatnya, Redza tersenyum. "Orang kata diam tu tandanya setuju.  So, abang anggapkan sayang setuju ya dengan cadangan abang tadi?" Sengaja dia memerangkap Jeslina dengan kenyataan begitu. Biar tunangnya itu tidak mampu hendak menolak lagi.
Jeslina mendengus. Redza dijeling. 
"Janganlah buat muka macam tu. Abang lagi suka tengok muka manis tunang abang dari muka yang masam mencuka macam ni." giat Redza dengan senyuman. 
"Abang ni..." terusik dengan kata-kata Redza, Jeslina tersenyum malu. Ermm…pandai sahaja Redza mengambil hatinya.
"Dah boleh senyum tu kira okeylah tu kan? So, jom kita ke rumah mak ngah, Shark. Lagipun dah lewat ni abang belum solat zohor lagi. Sayang pun tahu kan tak baik melambat-lambatkan solat." Ajaknya.
Apabila soal ibadah dibangkitkan, Jeslina akhirnya terpaksa akur. Dalam keadaan separuh rela, pintu kereta dibuka dan tubuh terus diloloskan di dalam perut kereta.


“Jemput minum.” Pelawa mak ngah Iman, ramah.
“Maaflah mak ngah menyusahkan mak ngah hari ni. Kalau ikut tunang saya ni, dia nak bermalam di hotel aje tapi saya yang tak izinkan. Hotel sudahlah jauh dari sini, dia sorang-sorang pulak tu.” Balas Redza panjang lebar. Nasib baiklah hubungannya dengan mak ngah Iman sudah seperti keluarga sendiri jadi tidaklah malu hendak meminta pertolongan begitu.
“Allah, kamu Redza. Macam tak biasa pulak dengan mak ngah. Si Jes ni menumpang setakat semalam aje, tak adalah menyusahkan pun. Nak tumpang lama sikit pun tak apa, mak ngah lagi suka.” Pintas mak ngah bersungguh. Jeslina dan Redza dipandang silih berganti.
“Haish, mana boleh lama-lama mak ngah, lusa dah nak balik.” Balas Redza dengan tawa dihujung suaranya.
“Hurmm…kamu ni.  Sesekali balik cubalah lama sikit. Sudahlah susah nak balik kampung. Sama aje macam Shaqir ni. Puas dah mak ngah suruh balik, macam-macam alasannya.” Mak ngah Iman sudah mula membebel. Shaqir dijeling.
“Mak ngah…” laju Shaqir menyampuk. Sebelum mak ngah nya membebel lebih panjang lagi, lebih baiklah dia mencelah dulu. Kalau tidak, meleret-leret nanti bebelannya.
“Betullah apa yang mak ngah cakap tu. Kamu tu, dah dekat tiga bulan tak balik. Sibuk memanjang. Ini pun dah puas mak ngah call barulah nak balik.” Bedil mak ngah Iman lagi.
Shaqir tersengih. Dengan kerutan di dahi, rambutnya digaru.
Redza yang melihat sahabatnya dibebel, hanya tersengih sahaja. Dia bukan tak tahu, sibuk dan Shaqir memang tak dapat dipisahkan.
Puas membebelkan anak saudara sendiri, mak ngan Iman menoleh ke sebelah pula. Terpandangkan Jeslina yang hanya diam membisu ditempatnya, gadis itu ditegur. “Minum Jes. Kenapa ditengok aje air tu?” ramah dia bersuara.
Perlahan-lahan Jeslina anggukkan kepala.  “Terima kasih mak ngah. Terima kasih juga sudi tumpangkan Jes bermalam di sini.” ucapnya dengan senyuman. Mulanya dia rasa tidak selesa tetapi apabila melihat layanan baik mak ngah Iman sejak tadi, lega pula hatinya. Apa yang paling dia suka sejak menjejak masuk ke rumah kampung separuh batu itu adalah dapat melihat Shaqir dibebel begitu. Hurmm…padan muka. Memang puas hati dia! Ejeknya dalam hati.
Mak ngah Iman menggeleng. “Perkara kecil aje Jes. Minum dulu. Lepas tu boleh masuk bilik Intan. Berehat-rehat dulu. Mesti penat jalan jauh.” Suruhnya. “Intan, lepas ni bawa kak Jes masuk bilik” Intan yang sedang duduk tidak jauh dari situ dipandang.
Intan hanya mengangguk sahaja. “Kalau kak Jes nak masuk bilik, jomlah.”ajaknya.
“Biarlah kak Jes minum dulu.” Celah mak ngah Iman bersama gelengan. Tetamu belum sempat menjamah air sibuk diajaknya ke bilik. 
Jeslina tersenyum. Pantas cawan di atas meja dicapai dan dihirup. Sebaik meletakkan semula cawan tersebut ke atas meja, dia terus berdiri.
“Shark, jom solat dekat surau. Lama dah tak jengah surau kampung.” Celah Redza sambil menala pandang ke arah Shaqir di sebelah.
Shaqir berdeham dan terdiam seketika. Kepala diangkat dan saat itu juga pandangannya dan Jeslina bersatu. Ketika mata bertaut, bibir terus menguntum senyum dengan semanis yang mungkin.
Tergamam melihat riak Shaqir ketika itu, cepat-cepat Jeslina palingkan wajah dan buka langkah.  Laju kaki diayun menghampiri Intan. Entah kenapa, pandangan dari sepasang mata galak lelaki itu membuatkan hatinya bergetar lagi.
Melihat Shaqir yang begitu ralit memandang Jeslina, Redza mendengus perlahan. “Shark!” Bahu sahabatnya itu ditepuk. Amboi, bukan main lagi merenung tunangnya. Panas pula hatinya melihat keadaan itu. Orang lain mungkin dia tidak kisah tetapi kalau Jeslina memang dia terlalu ambil kisah.
“Huh!” Terkejut diperlakukan begitu, cepat-cepat Shaqir berpaling.
“Tengok apa?”
Laju Shaqir gelengkan kepala.  “Tak ada apa.” Balasnya teragak-agak dan bingkas bangun. Bersama dehaman, Redza dipandang semula. “Ha, tadi kata nak pergi surau, jomlah.” Tegurnya apabila Redza masih duduk ditempatnya. Tidak menunggu lagi dia terus buka langkah. Sebenarnya kalut juga dia disergah begitu dengan Redza tadi. Kalau dia bukan sesiapa dengan Redza, entah-entah sudah lebam biji matanya dikerjakan. Shark…Shark…kalau nak tengok pun pandai-pandailah cover line. Tunang orang tu! Haish!
Dengan riak yang masih seperti tadi, Redza ikut bangun dan mengekor di sebelah Shaqir.
“Masuklah kak. Bilik Intan ni kecil aje. Maaflah kalau tak selesa.” Malu-malu Intan bersuara. Bilik rumah kampung yang hanya seluas sepuluh kali sepuluh kaki itu dipandang seolah itulah kali pertama dia masuk ke dalam bilik itu. Melihat cadar katil yang sedikit renyuk cepat sahaja langkah diatur menuju katil dan cadar dikemaskan.
“Tak apa, Intan. Kak Jes okey aje. Tak payah nak beria.” Melihat Intan yang segan-segan menunjukkan biliknya, Jeslina tersenyum. Bukannya dia tidak pernah tinggal di kampung, malah keadaan begitu sudah biasa baginya.
Intan tersengih walau dalam keadaan tersipu-sipu.
Beg pakaian yang dibawa diletakkan ke atas lantai dan Intan dihampiri. “Intan belajar lagi?” soalnya sebaik duduk di birai katil. Sengaja hendak beramah mesra.
“Belajar.” Sepatah soalannya dibalas.
“Tingkatan berapa?”
“Lima.”
“Tahun ni SPM lah ya?” Jeslina masih terus beramah mesra walau Intan seakan malu-malu hendak membalas setiap patah katanya.
Intan mengangguk.
Jeslina terdiam dan senyum. Dia pasti Intan tentu malu dengan kehadirannya di situ. Apa tidaknya, soalan-soalannya hanya sepatah sahaja dijawab.
“Hurmmm…kak Jes nak solat dulu. Dah nak masuk pukul tiga dah ni. Boleh Intan tunjukkan arah kiblat dan bilik air?” Jeslina terus berdiri dan menamatkan perbualan mereka.
Bersama anggukan, Intan turut berdiri. Arah kiblat ditunjukkan dan dia terus mengajak Jeslina keluar untuk menunjukkan bilik air yang terletak bersebelahan dapur.
Jeslina akur dan mengekor sahaja di sebelah gadis itu. Tak apa, malam nanti dia masih ada masa untuk berbual mesra. Bisiknya dalam hati.



Bab 7

“Hati-hati bawa kereta Redza. Jes, jaga diri baik-baik dekat tempat orang.” Pesan Puan Fauziah mengingatkan. Bimbang juga dia membiarkan Redza dan anak gadisnya berdua-duaan begitu walaupun mereka sudah bertunang. Lagipun ikatan tersebut bukannya ikatan yang membolehkan mereka ke sana ke mari dengan sesuka hati begitu. Ketika bertunang itulah segalanya perlu dijaga takut terlajak tingkah laku.
Redza tersenyum. “Baik mak cik. Insya-Allah, saya akan jaga anak mak cik ni baik-baik.” Ucapnya berjanji sambil mengerling tunangnya sekali lalu.
“Mama janganlah risau. Insya-Allah tahulah Jes jaga diri.” Tangan puan Fauziah diraih dan dipeluk.
“Risaulah. Selagi kamu berdua tak kahwin selagi itulah mama risau.” Luahnya bersama helaan nafas perlahan.
Jeslina dan Redza tersenyum.
“Kami akan jaga diri mak cik. Saya pun tahu batas-batasnya.” Akur Redza lagi. Jeslina mengangguk mengiakan.
“Iyalah…iyalah. Dah pergi, nanti lewat sampai kampung.” Akhirnya puan Fauziah mengalah. Orang muda walau apa yang dikatakan, pasti ada sahaja jawapan mereka. Mereka bukannya tahu hati orang tua sepertinya bagaimana.
Redza mengangguk. Luggage milik Jeslina dicapai dan terus dimasukkan ke dalam bonet kereta sebelum bakal ibu mertuanya itu dihampiri semula.
“Saya minta diri dulu mak cik.” Ucapnya sopan.
Puan Fauziah mengangguk. “Iyalah. Hati-hati.” Pesannya lagi.
“Jes pergi dulu ma.” Tangan puan Fauziah diraih dan dikucup kemudian langkah terus diayun menuju ke kereta. Sebaik pintu dibuka, tubuh terus diloloskan ke dalam kereta.
“Kita pergi ambil Shark dulu ya. Shark pun nak balik kampung.” Tali pinggang keledar di tarik dan tunang di sebelah dikerling. Dia tahu pasti banyak yang perlu dijawabnya sebaik nama Shaqir disebut sebab itulah dia langsung tidak menyebut nama Shaqir tadi.
Tangan yang sedang memegang tali pinggang keledar terus terkaku. “Shark?” soalnya dengan kerutan di dahi.
Redza mengangguk.
“Kenapa dia perlu ikut kita sekali?” Shaqir memang suka menyibuk. Macam tak boleh nak balik kampungnya sendiri. Sibuk nak mengekor orang! Bebelnya dalam hati.
“Kereta dia rosak Jes. Kebetulan mak ngah Iman suruh dia balik juga minggu ni. Ada hal penting katanya.” Redza cuba memujuk. Dia tahu Jeslina tidak suka dengan perancangan tersebut tetapi sebagai seorang kawan tak mungkin dia membiarkan Shaqir kalau pertolongannya diperlukan. Lagipun laluan mereka sehala.  Balik ke kampung yang sama.
“Jes tak sukalah.” Guman Jeslina dengan wajah cemberut.
Melihat riak tunang kesayangannya itu, Redza tersenyum. Kereta terus dipandu pergi. Berlama-lama di situ, bimbang bakal ibu mertuanya itu terfikir lain pula.
“Sayang, Shark minta tolong abang dan abang tak mampu nak tolak. Kebetulan kita pun nak balik kampung jadi tak salah kalau kita balik sekali.” Semakin lembut Redza berbicara. Walaupun Jeslina bereaksi begitu tetapi dia tahu tunangnya itu bukannya gadis  berhati batu dan susah hendak dipujuk.  
Jeslina mendengus. Ingatkan kerjasama ketika perkahwinan Darwina dan Iskandar minggu lepas adalah pertemuan terakhir mereka tetapi lain pula yang berlaku.
“Lagipun, sayang kenalah berbaik dengan Shark. Kata nak minta Shark yang jadi photographer masa wedding kita nanti.” Redza jungkitkan kening. Senyum dibuka seluas mungkin.
Bunyi dengusan Jeslina kedengaran semakin kuat. Kepala ditolehkan ke arah lain. Itu yang susahnya. Itulah siapa suruh tengok album gambar perkahwinan Darwina dan Iskandar? Kan dah terjatuh suka.
“Sayang please. Shark tengah tunggu kita sekarang.” Pujuk Redza hampir putus asa.
“Sayang..” panggil Redza lagi apabila tunangnya itu hanya diam membatu ditempatnya.
Tidak betah untuk mendengar pujukan demi pujukan lembut itu akhirnya Jeslina mengalah. “Okey…okey..” Akurnya. 
Redza buang senyum. “Thanks.” Ucapnya dan kereta terus dipandu menuju ke rumah Shaqir yang terletak di Shah Alam.
Sebaik sampai sahaja di hadapan rumah Shaqir, kereta terus diberhentikan. Telefon bimbit dicapai dan nombor telefon Shaqir didail. Setelah berbual seketika, telefon bimbit diletakkan semula.
“Ini rumah dia?” Jeslina tebarkan pandangan ke arah rumah teres dua tingkat bahagian lot tepi itu dengan penuh minat. Cantik. Berpagar batu tetapi tetap ada ruang kecil yang boleh nampak décor di dalamnya. Waterfall buatan yang kelihatan dari celah-celah batu di halaman rumahnya begitu menarik minatnya. Nampak tenang dan damai sahaja.
Redza mengangguk.
“Jurugambar pun boleh ada rumah cantik macam ni?” Jeslina mencemik seakan mengejek.
“Dia jurugambar dan designer professional Jes. Bukan jurugambar cikai-cikai tu.” Terang redza dengan tawa kecil di bibir. Boleh pula Jeslina berfikiran begitu. Kalaulah Jeslina tahu bagaimana jerihnya Shaqir untuk memiliki semua itu pasti tunangnya itu akan kagum dengan lelaki itu. Itulah, mungkin kesusahan menjadikan sahabatnya itu seorang yang begitu gigih mengejar apa yang diimpikan.
Jeslina masih begitu. Masih dengan riak meluat di wajahnya.
“Ha, itu pun dia.” Terpandangkan kelibat Shaqir dari cermin sisi, Redza menyambung bicaranya.
Jeslina turut tolehkan kepala ke belakang sedikit. “Jes duduk belakanglah.” Belum sempat Redza membalas dia terus keluar dan duduk ditempat duduk belakang.
 “Sorry lambat sikit.”  Sapa Shaqir sebaik masuk ke dalam perut kereta.
“Mesti baru bangunlah ni.” Redza gelengkan kepala. Shaqir bukannya dia tidak tahu, suka sangat tidur lewat pagi.
Shaqir tersengih dan tali pinggang ditarik.
“Aku baru sampai dari Milan awal pagi tadi. Itu yang lambat bangun.” Shaqir menjelaskan.
“Milan? Kau buat apa dekat sana? Photoshoot?” Redza kerutkan dahi. Maknanya Shaqir menghubungi semalam dari Milan lah?
“Ada pertandingan rekaan fesyen dekat sana dan aku kena cover event tu untuk satu majalah international.” balasnya dan pandangan dibuangkan ke belakang seketika. “Hai Jes.” Sapanya dengan senyum lebar di bibir.
Tidak menjawab sapaan lelaki itu, Jeslina hanya mengangguk sahaja sebelum pandangan dibuangkan keluar.
Melihat reaksi gadis itu, senyum Shaqir menjadi semakin lebar dan duduknya dibetulkan.
“Lama ke kau dekat sana? Aku tak tahu pun.”  Redza menyambung bicaranya dan kereta terus dipandu keluar dari situ.
“Seminggu jugaklah aku dekat sana. Aku pergi pun dah last minute punya arrangement. Maybe photographer sebelum tu tarik diri sebab itulah editor magazine tu contact aku.” panjang lebar Shaqir bercerita.
“Okeylah tu boleh tengok Negara orang.” Redza membalas dan stering keretanya dipusingkan ke kiri untuk keluar dari kawasan perumahan sahabatnya itu.
“Aku suka job luar sebab income pun lebat walaupun penat dan terkejar-kejar.” Sambung Shaqir lagi sambil ketawa. Sesekali pandangannya akan dilirikkan ke belakang memerhati Jeslina yang masih leka merenung ke luar.
“Kahwinlah Shark. Kau tu sepatutnya dah kahwin dah. Simpan duit banyak-banyak buat apa?” giat Redza ikut sama ketawa.
“Memang nak kahwin pun tapi perempuan  tu tak nak dekat aku.” ucapnya dengan tawa yang masih bersisa. Kepalanya ditolehkan ke belakang semula.  
Mendengar kata-kata Shaqir, spontan itu Jeslina palingkan wajah memandang lelaki itu. Dan di saat itu jugalah pandangan mereka bersatu. Tidak selesa dengan renungan dari sepasang mata redup yang galak itu, cepat-cepat kepalanya dipalingkan ke sebelah semula dengan debaran yang tiba-tiba mengocak dada. Ya Allah, kenapa hatinya tiba-tiba berentak luar biasa sedangkan pandangan itu sudah biasa dilihatnya. Dan spontan itu, tangan diangkat dan dadanya diusap perlahan untuk meredakan degupan yang sedang berkocak hebat.
“Pelik. Siapa yang tak nak dengan kau? Lelaki punya pakej macam kau ada yang tolak? Ada rupa dan berduit. Ermm… memang butalah perempuan  tu.” Selamba Redza mengutuk.  
Tawa Shaqir terhambur lagi. Semakin kuat dari tadi dan kepalanya digeleng.
“Aku jahat agaknya sebab itulah orang tu tak suka.” Jeslina dikerling lagi.
“Kau tu nakal bukan jahat. Itulah lain kali cuba serius sikit. Kalau kau asyik main-main perempuan  pun takut nak ada komitmen dengan kau.”  Redza cuba menasihati.
“Sudahlah cakap pasal hal ni. Ada jodoh dan sampai masa nanti aku kahwinlah.” Balasnya.
“Shark, jodoh pun kena cari tau bukannya akan datang bergolek-golek.” Sambung Redza lagi bersama tawa kecil.  
“Dza, berhenti mana-mana kita makan dulu. Kebulur dah aku ni. Rindu rasanya nak makan nasi lemak dan minum teh tarik.” Malas hendak memanjangkan isu tersebut, cepat sahaja Shaqir mengubah perbualan mereka.
Redza mengangguk. “Sayang, kita berhenti makan dulu ya.” Jeslina dipandang melalui cermin pandang belakang sekilas sebelum pandangan dibuangkan ke hadapan semula.
“Okey.” Sepatah Jeslina membalas. Entah kenapa bicaranya seakan terkunci lebih-lebih lagi selepas mendengar perbualan Redza dan Shaqir tadi. Entahlah samada dia hanya perasan atau apa, tapi dia yakin perempuan  yang diperkatakan oleh Shaqir tadi adalah dirinya sendiri.










Monday, 8 May 2017

Bab 6 - Skandal




Sheren tersenyum lebar. Sebaik pintu kondonya ditutup, jemari Redza ditarik masuk ke dalam bilik. Redza pula, bagai orang mengantuk disorongkan bantal hanya mengikut sahaja dengan wajah meleret senyum.
“Nak mandi dulu?” Manja Sheren bersuara. Butang kemeja yang tersarung di tubuh lelaki itu dibuka satu persatu.
Senang diperlakukan begitu dan dengan senyum lebar di bibir, Redza menggeleng. “I tak suka buang masa.” Bisiknya dan zip di belakang gaun singkat yang dipakai Sheren terus ditarik ke bawah.
Mengerti dengan maksud kata-kata dan perlakuan lelaki itu, senyum Sheren semakin melebar. Kemeja yang sudah terbuka luas butangnya itu ditanggalkan dari batang tubuh lelaki itu dan dicampakkan ke lantai.
Redza hanya membiarkan sahaja apa yang dilakukan Sheren malah langsung tidak membantah. Sebaik jeans yang dipakainya juga sudah terlondeh ke lantai, tangan Sheren terus diraih dan dibawa ke katil. Baju gaun yang masih tersarung di tubuh Sheren terus direntap dan gadis itu terus diperlakukan semahunya.
"I've to go." Redza bingkas bangun. Tanpa mengendahkan keadaan dirinya ketika itu, langkah terus diayun menuju ke bilik air. Usai membersihkan diri, dia keluar semula dan seluar jean miliknya yang tersadai di atas lantai terus dicapai. 
"You nak balik juga malam ni?" Tegur Sheren sedang mata langsung tak berkalih memandang Redza yang sedang mengemaskan butang seluar jeansnya. Melihat batang tubuh yang agak tegap itu, bibir terus mengoyak senyum. Redza, lelaki itu bukan lelaki sembarangan. Bukan hanya bijak menguruskan perniagaan tetapi bijak juga memuaskan permintaan batinnya. Masih leka memerhati, tubuhnya yang hanya beralaskan comforter ditegakkan dan disandarkan ke kepala katil.
Tidak menjawab, Redza mengangguk. Baju kemejanya dicapai pula dan disarungkan ke tubuh.
"Esok tak kerja kenapa nak rushing balik? Selalunya kalau hari cuti you akan teman I sampai pagi." Sheren bersuara lagi melepaskan rasa tidak puas hati. Rambutnya yang agak tidak terurus itu dikemaskan.
Melihat Redza yang langsung tidak mengendahkan kata-katanya, dengusan kecil dilepaskan dan kotak rokok di meja sisi dicapai.
"Yang.." panggilnya dengan suara yang meleret manja. “Tak payahlah balik. Teman I.” rengeknya pula dan masih cuba memujuk. Manalah tahu tiba-tiba Redza berubah fikiran.
"Tak boleh. Pagi-pagi I nak gerak balik kampung. Kalau dari kondo you ni jammed nanti." malas-malas Redza membalas. Baju kemejanya dikemaskan sebaik butang yang terakhir elok dipasang.
Sheren betulkan duduk dan kening dijungkit tinggi. "Balik kampung? You tak pernah beritahu pun you nak balik kampung?" Rokok yang baru dihisap terus dilenyekkan ke dalam bekas abu sedang mata semakin tajam memandang Redza di hadapan. Boleh pula Redza terus pergi sebaik melampiaskan nafsunya? Tak guna punya jantan! Makinya dalam hati.
Tidak mengendahkan rajuk Sheren, langkah terus diatur menuju ke meja solek. Rambut yang agak kusut masai itu dikemaskan.
"Yang.." suara rengekan Sheren kedengaran lagi apabila Redza hanya diam membatu ditempatnya.
"I ada urusan dekat kampung. Cousin I kahwin." acuh tidak acuh sahaja Redza membalas. Sikat di tangan diletakkan semula ke atas meja solek dan langkah dibuka.
"I nak ikut." cepat sahaja Sheren membalas. Tubuh ditegakkan.
Mendengar apa yang diucapkan Sheren, langkah Redza terhenti dan tubuhnya dipalingkan. "Tak ada sebab kenapa I perlu bawa you, Reen." tegasnya. Gila nak bawa Sheren bersamanya esok sedangkan Jeslina juga ada bersama? Oh tidaklah dia hendak mencari pasal.
"Tak salahkan kalau I ikut dan kenal dengan family you?" Sheren terus melompat turun dari katil. Comforter yang menutupi tubuhnya dikemaskan dan Redza dihampiri.
"Untuk apa you nak kenal dengan family I?" Sheren dipandang dengan dahi berkerut. Sheren lupa hubungan mereka atas dasar apa? Bukannya kerana cinta tetapi nafsu semata-mata.
"You lebih tahu dan faham kenapa I perlu kenal dengan family you. Lagipun, sampai bila kita nak bergelumang dengan dosa? Dah dekat tiga tahun Yang kita macam ni." suara pujukan Sheren semakin meleret manja. Lengan Redza dipaut dan kepalanya direbahkan ke bahu lelaki itu.
Rimas diperlakukan begitu, tangannya ditarik dan tubuh Sheren ditolak sedikit sebelum dia menjarakkan diri agak jauh sedikit. "Reen, apa yang kita buat selama ni atas dasar suka sama suka. I tak pernah paksa you dan you sendiri yang rela. Jadi you harus tahu dimana kedudukan you. And for your information,  I tak berminat untuk ada apa-apa hubungan yang lebih dari ini dengan you." tegasnya.
Sheren tergamam seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi. Sampai hati Redza memandangnya serendah itu setelah apa yang mereka lakukan selama ini?
"How dare you!" bisiknya perlahan.
Redza berpaling semula. "I'm not the only one Reen dan you lebih tahu tentang itu." sinis Redza bersuara dengan senyum seakan mengejek.
“What?” Terkedu Sheren dengan tuduhan Redza tadi. Ya, Redza bukan yang pertama tetapi sejak mereka bersama, dia tidak pernah lagi berlaku curang dengan lelaki lain!
Redza masih tersenyum. "I’ve to go and thanks for tonight." Ucapnya langsung tidak mengendahkan amarah gadis itu. Cuba berlembut, rambut Sheren diusap perlahan dan satu kucupan dilayangkan di dahi gadis  itu. Sebaik kucupannya dilepaskan, langkah terus diayun.
"Redza!" jerit Sheren melepaskan geram. Langkah lelaki itu dipandang dengan mata mencerlung dan perasaan membara. Redza ingat kucupan itu sudah cukup untuk menenangkan perasaannya sekarang? Redza ingat dengan kucupan itu sudah cukup membuat dia lupa dengan apa yang diucapkan tadi? Tidak!
"See you on Monday Reen. Have a good rest and good night." selamba Redza lagi. Tangan diangkat dan dia terus berlalu pergi.
Sebaik kelibat Redza hilang dari pandangan, Sheren mendengus dan giginya diketap kuat. "Damn you Redza!" Bentaknya agak keras. Sakit hati diperlakukan begitu, habis barang-barang di atas meja soleknya ditolakkan sehingga jatuh bertaburan dan berderai di atas lantai.
“Arghhhhhhh!” jeritnya seperti orang yang sudah hilang akal.


Penggera Nissan Subaru hitam miliknya ditekan. Pintu dibuka dan tubuh terus diloloskan ke dalam perut kereta. Sebaik pintu ditutup semula enjin kereta dihidupkan. Baru sahaja gear ingin digerakkan, tiba-tiba dia teringatkan seseorang dan bibir terus melebar dengan senyum. Telefon bimbit yang diletakkan di dalam dashboard kereta setiap kali dia bersama Sheren diambil dan dibuka. Jari dileretkan di atas skrin telefon dan nombor Jeslina di dail. Tidak lama dia menunggu apabila panggilannya terus bersambut.
"Assalamualaikum."
Terdengar lembut suara bakal isteri menyapa telinganya, bibir Redza semakin melebar dengan senyuman. Salam Jeslina dibalas mesra.
"Abang ganggu sayang ke?" Lembut Redza menyoal. Tubuhnya disandarkan rapat ke kerusi dan kepalanya turut direbahkan ke kepala kerusi supaya lebih selesa.
"Tak. Jes belum tidur pun lagi. Abang dekat mana?" polos sahaja Jeslina bertanya.
Redza melepaskan keluhan kecil. "Abang baru nak balik sayang." luahnya perlahan.
"Baru nak balik dari office?"
"Yup. Dan abang baru aje masuk kereta." sekali lagi keluhan kecil dilepaskan. Sengaja hendak mengundang rasa simpati tunangnya itu.
"Dah lewat malam baru balik?"
Mendengar suara Jeslina yang sudah mula berubah rentak itu, Redza buang sengih. Mengenali tunangnya itu dia faham benar bagaimana reaksi Jeslina sekarang.
"Kenalah kerja keras sayang. Tak lama lagi abang kena jaga anak orang. Lagipun abang tak nak isteri abang hidup susah dengan abang nanti." balasnya perlahan.
"Abang, kerja tu kerjalah juga tapi kesihatan pun kena jaga. Nanti kalau abang sakit siapa yang susah? Abang juga kan? Mak, ayah abang dah lah jauh." Jeslina terus membebel.
Redza lepaskan tawa kecil. "Tak apa, tunang abang kan ada." bisiknya seakan menggoda.
"Tapi Jes bukannya boleh jaga abang. Setakat tengok dan tanya khabar through phone bolehlah."
"Tak apa, itu pun dah cukup bermakna bagi abang sebab abang tahu ada orang yang ambil berat dan sayangkan abang."
"Mestilah. Jes kan sayangkan abang."
Redza hela nafas dan senyuman di bibir terukir lagi. Mulalah berbunga hatinya mendengar ucapan dari tunang kesayangannya itu.
"Abang tak sabar.." ucapnya separa berbisik.
"Tak sabar?"
"Haah. Tak sabar nak hidup dengan Jes. Tak sabar untuk melalui hari-hari abang dengan Jes dan hidup bahagia dengan gadis  yang paling abang sayang." Luahnya.
"Abanggg...tak lama aje lagi. Tak sampai dua bulan pun. Sabar ya." pujuk Jeslina lembut.
"Sayang, apa kata kita cepatkan urusan pernikahan kita? Majlis persandingan, kita ikut tarikh yang dah ditetapkan." tiba-tiba Redza memberi cadangan. Berbicara begitu dengan Jeslina membuat hatinya semakin mendesak untuk hidup bersama gadis itu. Sudah lama dia menanti dan dia seakan tidak sabar untuk menunggu walau tinggal hanya beberapa minggu sahaja lagi.
"Abanggg...mama dengan abah mesti tak setuju."
"Biar abang bincang dengan orang tua Jes." Ucap Redza bersungguh.
"Abah mesti tak izinkan. Abang bukan tak tahu abah macam mana."
“Kita nak bina masjid sayang. Hendak menghalalkan ikatan.” Pujuk Redza lagi.
“Jes tahu abang tapi minggu ni atau dua bulan lagi tak  ada bezanya. Sabar ya.”
"Hurmmmm..." keluhan panjang dilepaskan. "Menanti itu sesuatu yang menyeksakan." luah Redza kecewa.
Jeslina lepaskan tawa sedang hati berbunga bahagia. Dia tahu cinta Redza kepadanya sepenuh hati malah cintanya kepada Redza juga tidak berbelah bahagi.
"Abang, esok kan kita nak jumpa dan balik kampung sama-sama?" pujuknya semakin lembut.
"Memanglah kita jumpa tapi abang cuma mampu tengok aje walaupun Jes ada di depan mata abang. Dekat dengan abang."
Jeslina terdiam. Mendengar sayu suara Redza ketika itu, nafasnya turut dihela tetapi apa mampunya?
"Tapi tak apa, cinta yang berlandaskan syariat itu bukankah lebih manis?" sambung Redza lagi. "Walaupun hati abang meronta ingin menyentuh jari jemari halus Jes tapi ikatan yang kita ada bukan jalan untuk menghalalkan cara. Abang tak akan mencemarkan ikatan kita hanya kerana keinginan abang disebabkan oleh bisikan syaitan. Abang akan menanti dengan sabar sehingga kita sah disatukan." Ucapnya bersungguh.
"Thanks abang. Jes rasa bertuah sangat Allah temukan Jes dengan lelaki macam abang. Tak jemu melindungi Jes, sudi terima Jes dan mampu bimbing Jes dunia akhirat." luah Jeslina, terharu mendengar kata-kata yang diucapkan Redza tadi. Mengenali lelaki itu, dia tahu Redza seorang yang sangat menitik beratkan akan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Solatnya dijaga malah bicaranya juga lebih banyak menjurus kepada hal-hal akhirat selain kata-kata nasihat setiap kali mereka berjumpa. Dan kerana itulah dia terpikat dengan lelaki itu sejak dulu lagi.
"Abang pun bukannya baik sangat sayang tapi abang cuba untuk jadi yang terbaik buat Jes dan Insya-Allah, untuk anak-anak kita nanti." Ucap Redza masih bermanis bicara.
"Thank you..."
"Dah, sayang tidurlah. Abang nak balik, nak mandi dan rehat. Badan rasa penat sangat ni. Esok dalam pukul sepuluh pagi abang ambil sayang. Kita breakfast sama-sama okey?"
"Okey. Abang take care ya. Sampai rumah nanti mesej Jes."
"Okey. Good night sayang." bisiknya dengan sepenuh hati.
"Good Night abang. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam..." balas Redza lembut. Sebaik panggilan di matikan, telefon bimbitnya dipandang dengan senyum meleret yang penuh makna.











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...