Followers

Friday 15 July 2016

Terlerainya Satu Janji - Bab 1






Bab 1

“Hurmmm…” nafas dihela panjang dan tubuh direbahkan ke sofa.
            Perlahan-lahan mata dipejamkan seketika untuk melepaskan lelah. Gayanya macamlah buat kerja teruk sangat padahal hanya menolong Ilham mengemas meja makan sahaja. Itu pun hanya menolong mengangkat pinggan ke singki.
            Sejak dia mengandung, Ilham langsung tidak membenarkannya melakukan kerja yang berat-berat. Hampir semua kerja rumah, Ilham yang lakukan. Kata Ilham, dia bimbang kandungannya terganggu. Di kedai pun Ilham sudah pesan pada Kak Aina siap-siap.
            “Jangan bagi Hannah kerja kuat sangat kak. Jangan bagi dia angkat pasu yang berat-berat. Jangan biar dia bergerak lasak sangat.”
            Ya Allah, dia yang mengandung tetapi Ilham yang melebih-lebih. Okay fine, anak dalam kandungan dia memang anak Ilham tetapi suaminya itu over sangat kut! Bukan itu sahaja, sejak dia mengandung, macam-macam pantang larangnya. Ingat emak mentuanya sahaja yang banyak pantang larangnya rupa-rupanya Ilham pun lebih kurang juga. Pening kadang-kadang dia hendak mengikut. 
“Sayang, jangan lilit tuala dekat leher kalau tak nak tali pusat anak terbelit. Nanti nak bersalin susah.”
“Sayang, nak buka plastik jangan tebuk macam tu. Buka ikatannya elok-elok. Nanti baby keluar ikut tingkap.”
Sayang, jangan buat itu… jangan buat ini…
Ya Allah! Dia dah rasa macam kahwin dengan orang zaman dahulu kala. Semuanya tak boleh. Semuanya tak kena. Masalahnya Ilham baru nak masuk 29 tahun tetapi kenapa fikirannya macam… orang tua!
Haih! Terimalah hakikat yang kau kahwin dengan orang kampung Hannah, desisnya.
Dia bukan menyesal berkahwin dengan Ilham cuma rimas dengan sikap suaminya yang begitu tapi dia ikutkan sahaja. Ilham, kalau membebel bukan macam dia. Tutur katanya lembut sahaja dan penuh kata-kata nasihat. Itulah sebabnya dia jadi tidak betah untuk tidak mengendahkan pesanan-pesanan suami. Bab itu Hannah memang seperti isteri misali walaupun dalam diam dia memprotes tak puas hati.
“Penat?”
Terdengar bisikan lembut di telinganya, Hannah buka mata semula dan menoleh ke sebelah. Sebaik terpandangkan Ilham, senyuman dipamerkan. Manis dari kebiasaan. Muka dicemikkan manja dan kepala dianggukkan.
Ilham turut tersenyum. Tubuh isteri ditarik rapat ke arahnya. Tangannya dibawa ke bahu isteri dan dipeluk erat. Selesa diperlakukan begitu, Hannah rapatkan kepalanya ke dada Ilham dan tangan dilingkarkan kemas ke pinggang suami.
“Anak ayah jangan nakal-nakal duduk dalam tu ya. Kesian umi,” perut Hannah diusap lembut.
Mendengar kata-kata suami, Hannah terus angkat kepala dan tubuhnya ditegakkan.
“Abang sebut apa tadi?” wajah Ilham direnung tajam. 
Hish, tiba-tiba terus hilang mood hendak bermanja.
Terjongket kening Ilham melihat reaksi isteri yang sedang tajam merenungnya. Dia sebut apa sehinggakan riak Hannah berubah seperti itu? Otak mula mengingati kembali setiap patah perkataan yang dituturkan tadi. Blank!
“Abang sebut apa?” soal Ilham hairan.
“Tadi tu… ada abang sebut.” Hannah tidak puas hati.
Boleh pulak Ilham buat muka blur macam tu? Memang sengaja nak buat dia marah.
Bahu dijongketkan Ilham. Sungguh dia tidak tahu apa yang disebutnya sehingga begitu reaksi isterinya.
“Alaaa…abang ada sebut tadilah,” rengekan Hannah berubah menjadi manja. Tangan Ilham digoyang.
“Okey, okey…cuba sayang beritahu apa yang abang sebut tadi,” pujuk Ilham masih berlembut.
Tubuh isteri ditarik semula lalu dibawa ke dalam pelukan tapi Hannah terus mengeraskan tubuhnya.
“Abang sebut umi,” balasnya sambil menekankan perkataan ‘umi’ sedikit keras.
Ilham memandang isteri dengan dahi berkerut. Salahkah apa yang dia sebutkan? Rasanya tak salah pun apa yang disebutkannya tadi, fikir Ilham.
Lama dia begitu sebelum akhirnya tawa kecil terlepas dari bibir. Barulah dia mengerti apa yang sebenarnya.
Ya Allah, Hannah... bisiknya dalam hati.
“Orang serius tapi abang ketawa pulak,” rajuk Hannah lagi. Dia terus berpeluk tubuh tanda protes.
Kalau sudah membahasakan dirinya begitu, memang merajuklah tu, desis Ilham sambil menyimpan senyuman.
“Sayanggg...” panggil Ilham dengan suara yang meleret. Tubuh isteri ditarik rapat ke arahnya semula walaupun Hannah masih tidak memberi respons.
“Ya Allah, semakin lama semakin manja isteri abang ni.” Ilham mengusik. Puncak hidung isterinya dicuit.
Hannah langsung tidak berganjak. Masih dengan rajuk yang dibuat-buat.
“Sayang...” bisik Ilham lembut. Pelipis isteri dikucup.
 “Tiba-tiba nak merajuk ni kenapa? Tak elok tau selalu merajuk nanti terikut-ikut pulak baby yang dalam perut tu. Kalau sayang yang merajuk abang bolehlah selalu pujuk tapi kalau nanti anak kita asyik merajuk je, sayang sanggup ke nak pujuk selalu? Memanglah abang boleh pujuk tapi kalau dua-dua merajuk nanti macam mana? Tak kesian dengan abang?”
Ilham cuba berdiplomasi dalam gurauan tapi apa yang diucapkannya itu memang tertulis dalam buku yang dibacanya. Emosi anak dipengaruhi daripada ibu ketika dalam kandungan lagi. Kerana itulah, sejak Hannah di awal kehamilan lagi si kecil selalu dibisikkan dengan kalimah-kalimah suci Allah supaya kalam-kalam suci itu sebati dengan dirinya.
Hannah terdiam. Wajah yang masam mencuka tadi sudah mula berubah tenang. Kepalanya ditundukkan memandang karpet di kaki.
“Okey, sekarang cuba cakap dengan abang, apa sebenarnya ni? Abang tersalah cakap apa?” lembut Ilham bertanya apabila reaksi Hannah sudah mula berubah. Rambut isterinya diusap perlahan-lahan.
“Hannah tak suka anak Hannah panggil Hannah, umi.” 
Ilham buang senyum. Sudah diagak itulah penyebabnya.
“Sayang, abang bukan nak suruh anak kita panggil sayang umi tapi secara spontan abang tersebut perkataan tu. Sebut umi kan lagi lembut bunyinya.”
“Tak nak!” tegas Hannah tapi dengan suara yang terkawal.
Ilham simpan tawa dalam hati.
“Okey, sayang nak anak kita panggil sayang apa?”
Mummy...” balas Hannah selamba.
“Hurm…okey juga panggilan tu tapi macam tak sesuai je. Cuba sayang fikir, nanti anak kita panggil abang, ayah tapi panggil sayang, mummy. Tak pelik sangat ke tu?” Ilham bertanya. Wajah isteri dipandang.
“Lagipun, abang lebih suka kalau kita sekeluarga hidup dengan cara Melayu bukan terikut-ikut cara orang barat. Biarlah kita kelihatan kolot asal jangan membelakangkan budaya kita. Ini semua pun demi masa depan anak-anak juga,” nasihat Ilham pula.
“Tapi…”
“Sayang, abang ni orang kampung je. Abang tak nak nanti orang kata baru duduk bandar dah mula lupa diri.” Belum sempat Hannah menghabiskan kata-katanya cepat sahaja Ilham memintas.
Bukan dia tidak suka tapi panggilan itu kedengaran terlalu moden dan tidak sesuai dengan mereka. Hurm… bukan dengan mereka tapi dengan dia. Canggung pula rasanya kalau anak-anak mereka memanggil Hannah, mummy nanti. Dari situ sahaja sudah nampak betapa jauhnya jurang perbezaan mereka.
Hannah terus kehilangan kata.
“Kata nak hidup bersederhana,” Ilham mengingatkan. Keningnya dijongketkan.
Hannah masih begitu tetapi kata-kata Ilham sebentar tadi menyedarkannya. Ya, itulah yang pernah diucapkan kepada Elyna dulu. Dia memilih Ilham kerana sikapnya. Bersederhana dalam setiap apa yang dilakukan dan sangat penyayang orangnya.
Ya Allah, kenapalah aku mengada-ada sangat? Panggil apa pun tetap sama juga. Ibu, umi, emak, mummy, tetap juga dia seorang ibu, marah Hannah kepada diri sendiri.
Sorry…” Kepala terus direbahkan ke dada suaminya semula dan pinggang Ilham dipeluk erat.
Senyum Ilham semakin lebar bila diperlakukan begitu. Itulah Hannah, isteri kesayangannya. Sikapnya memang sukar diduga tapi sentiasa menyenangkannya. Rajuknya tidak lama tapi untuk memujuknya perlu berlembut dan penuh diplomasi.
“Sayang tak salah pun. Abang cuma menegur apa yang patut dan alhamdulillah, isteri abang jenis yang senang menerima teguran. Terima kasih sayang.” balasnya dan rambut isteri diusap.
“Hannah yang mengada-ada. Ikut sangat kata hati.”
Ilham lepaskan tawa kecil.
“Abang suka je kalau isteri abang mengada-ada sebab mengada-ada sayang ni kadang-kadang menggoda dan selalu buat abang tak tahan,” giatnya dan pelukannya semakin dikemaskan.
“Suami Hannah ni semakin lama semakin gatal tapi cikgu, saya pun suka cikgu macam tu,” seloroh Hannah pula lantas pipi suami dikucup. 
Tawa Ilham terhambur lepas. Kepalanya digelengkan dan tubuh isteri dipeluk erat.
“Abang, Hannah tak boleh bernafas,” Hannah sudah tercungap-cungap. Pelukan erat daripada Ilham benar-benar melemaskannya. Sudahlah mereka baru sahaja lepas makan malam.
“Ya Allah, sorry sayang. Abang tak sengaja.” Geram sangat sehingga tidak sedar dia telah menyakiti tubuh isteri. Dengan riak cemas, tubuh isteri diusap-usap.
“Sayang okey tak ni?” kalutnya pula dan tubuh isteri dipandang dari atas ke bawah.
“Abang...”
“Kalau tak okey kita pergi klinik,” suara Ilham semakin cemas.
“Abang!” suara Hannah sudah mula meninggi. Kepalanya digelengkan. Tangan Ilham dipegang.
Seperti orang yang baru tersedar, Ilham tersentak.
“Hannah okeylah. Tadi tu sebab abang peluk kuat sangat bukan sebab abang dah sakitkan Hannah.”
Pipi suami diusap. Dia tahu apa sahaja tentangnya akan membuatkan Ilham jadi begitu. Dia tahu kasih sayang Ilham untuknya sepenuh dan setulus hati.
“Terima kasih abang untuk segala-galanya. Kasih sayang, cinta dan perhatian yang tak pernah kurang. Hannah sayangkan abang,” bisiknya dan sekali lagi pipi suami dikucup.
Luruh rasa hati Ilham sebaik mendengar kata-kata luhur dari seorang isteri. Ya Allah… sayunya hati dia.
“Hannah tahu, abang akan jadi ayah yang terbaik untuk anak kita,” ucapnya yakin dan tangan Ilham dicapai kemudian dibawa ke perutnya. Hannah tersenyum.
“Dan anak kita bertuah ada ayah macam abang.” sambungnya lagi dan senyumannya diukir semakin lebar.
Ilham turut tersenyum. Nafasnya dihela. Jemari isteri yang sedang menggenggam jemarinya dibawa ke bibir kemudian dikucup.
“Abang sayang isteri abang juga. Kasih sayang itu penuh di sini,” tangan isteri dibawa ke dada dan dibiarkan di situ.
“Dan akan selamanya begitu. Insya-Allah, dengan izin dari-Nya.”
Hannah tersenyum.
“Insya-Allah abang. Itu yang Hannah doakan setiap masa.”


1 comment:

  1. Da baca novel ni...ade kesinambungan ke untuk novel ni? Kisah Albert ngan Elyna cam menarik..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...