Bab 1
“Hurmmm…” nafas dihela panjang
dan tubuh direbahkan ke sofa.
Perlahan-lahan mata dipejamkan
seketika untuk melepaskan lelah. Gayanya macamlah buat kerja teruk sangat
padahal hanya menolong Ilham mengemas meja makan sahaja. Itu pun hanya menolong
mengangkat pinggan ke singki.
Sejak dia mengandung, Ilham langsung
tidak membenarkannya melakukan kerja yang berat-berat. Hampir semua kerja
rumah, Ilham yang lakukan. Kata Ilham, dia bimbang kandungannya terganggu. Di
kedai pun Ilham sudah pesan pada Kak Aina siap-siap.
“Jangan bagi Hannah kerja kuat
sangat kak. Jangan bagi dia angkat pasu yang berat-berat. Jangan biar dia
bergerak lasak sangat.”
Ya Allah, dia yang mengandung tetapi
Ilham yang melebih-lebih. Okay fine, anak dalam kandungan dia memang
anak Ilham tetapi suaminya itu over sangat kut! Bukan itu sahaja, sejak
dia mengandung, macam-macam pantang larangnya. Ingat emak mentuanya sahaja yang
banyak pantang larangnya rupa-rupanya Ilham pun lebih kurang juga. Pening
kadang-kadang dia hendak mengikut.
“Sayang,
jangan lilit tuala dekat leher kalau tak nak tali pusat anak terbelit. Nanti
nak bersalin susah.”
“Sayang,
nak buka plastik jangan tebuk macam tu. Buka ikatannya elok-elok. Nanti baby
keluar ikut tingkap.”
Sayang,
jangan buat itu… jangan buat ini…
Ya Allah!
Dia dah rasa macam kahwin dengan orang zaman dahulu kala. Semuanya tak boleh.
Semuanya tak kena. Masalahnya Ilham baru nak masuk 29 tahun tetapi kenapa
fikirannya macam… orang tua!
Haih!
Terimalah hakikat yang kau kahwin dengan orang kampung Hannah, desisnya.
Dia bukan menyesal
berkahwin dengan Ilham cuma rimas dengan sikap suaminya yang begitu tapi dia
ikutkan sahaja. Ilham, kalau membebel bukan macam dia. Tutur katanya lembut
sahaja dan penuh kata-kata nasihat. Itulah sebabnya dia jadi tidak betah untuk
tidak mengendahkan pesanan-pesanan suami. Bab itu Hannah memang seperti isteri
misali walaupun dalam diam dia memprotes tak puas hati.
“Penat?”
Terdengar
bisikan lembut di telinganya, Hannah buka mata semula dan menoleh ke sebelah.
Sebaik terpandangkan Ilham, senyuman dipamerkan. Manis dari kebiasaan. Muka
dicemikkan manja dan kepala dianggukkan.
Ilham turut
tersenyum. Tubuh isteri ditarik rapat ke arahnya. Tangannya dibawa ke bahu
isteri dan dipeluk erat. Selesa diperlakukan begitu, Hannah rapatkan kepalanya
ke dada Ilham dan tangan dilingkarkan kemas ke pinggang suami.
“Anak ayah
jangan nakal-nakal duduk dalam tu ya. Kesian umi,” perut Hannah diusap lembut.
Mendengar
kata-kata suami, Hannah terus angkat kepala dan tubuhnya ditegakkan.
“Abang
sebut apa tadi?” wajah Ilham direnung tajam.
Hish,
tiba-tiba terus hilang mood hendak bermanja.
Terjongket
kening Ilham melihat reaksi isteri yang sedang tajam merenungnya. Dia sebut apa
sehinggakan riak Hannah berubah seperti itu? Otak mula mengingati kembali
setiap patah perkataan yang dituturkan tadi. Blank!
“Abang
sebut apa?” soal Ilham hairan.
“Tadi tu…
ada abang sebut.” Hannah tidak puas hati.
Boleh pulak
Ilham buat muka blur macam tu? Memang
sengaja nak buat dia marah.
Bahu
dijongketkan Ilham. Sungguh dia tidak tahu apa yang disebutnya sehingga begitu
reaksi isterinya.
“Alaaa…abang
ada sebut tadilah,” rengekan Hannah berubah menjadi manja. Tangan Ilham digoyang.
“Okey,
okey…cuba sayang beritahu apa yang abang sebut tadi,” pujuk Ilham masih
berlembut.
Tubuh
isteri ditarik semula lalu dibawa ke dalam pelukan tapi Hannah terus
mengeraskan tubuhnya.
“Abang
sebut umi,” balasnya sambil menekankan perkataan ‘umi’ sedikit keras.
Ilham
memandang isteri dengan dahi berkerut. Salahkah apa yang dia sebutkan? Rasanya
tak salah pun apa yang disebutkannya tadi, fikir Ilham.
Lama dia
begitu sebelum akhirnya tawa kecil terlepas dari bibir. Barulah dia mengerti
apa yang sebenarnya.
Ya Allah,
Hannah... bisiknya dalam hati.
“Orang
serius tapi abang ketawa pulak,” rajuk Hannah lagi. Dia terus berpeluk tubuh
tanda protes.
Kalau sudah
membahasakan dirinya begitu, memang merajuklah tu, desis Ilham sambil menyimpan
senyuman.
“Sayanggg...”
panggil Ilham dengan suara yang meleret. Tubuh isteri ditarik rapat ke arahnya
semula walaupun Hannah masih tidak memberi respons.
“Ya Allah,
semakin lama semakin manja isteri abang ni.” Ilham mengusik. Puncak hidung
isterinya dicuit.
Hannah
langsung tidak berganjak. Masih dengan rajuk yang dibuat-buat.
“Sayang...”
bisik Ilham lembut. Pelipis isteri dikucup.
“Tiba-tiba nak merajuk ni kenapa? Tak elok tau
selalu merajuk nanti terikut-ikut pulak baby yang dalam perut tu. Kalau
sayang yang merajuk abang bolehlah selalu pujuk tapi kalau nanti anak kita
asyik merajuk je, sayang sanggup ke nak pujuk selalu? Memanglah abang boleh
pujuk tapi kalau dua-dua merajuk nanti macam mana? Tak kesian dengan abang?”
Ilham cuba
berdiplomasi dalam gurauan tapi apa yang diucapkannya itu memang tertulis dalam
buku yang dibacanya. Emosi anak dipengaruhi daripada ibu ketika dalam kandungan
lagi. Kerana itulah, sejak Hannah di awal kehamilan lagi si kecil selalu
dibisikkan dengan kalimah-kalimah suci Allah supaya kalam-kalam suci itu sebati
dengan dirinya.
Hannah
terdiam. Wajah yang masam mencuka tadi sudah mula berubah tenang. Kepalanya
ditundukkan memandang karpet di kaki.
“Okey,
sekarang cuba cakap dengan abang, apa sebenarnya ni? Abang tersalah cakap apa?”
lembut Ilham bertanya apabila reaksi Hannah sudah mula berubah. Rambut
isterinya diusap perlahan-lahan.
“Hannah tak
suka anak Hannah panggil Hannah, umi.”
Ilham buang
senyum. Sudah diagak itulah penyebabnya.
“Sayang,
abang bukan nak suruh anak kita panggil sayang umi tapi secara spontan abang
tersebut perkataan tu. Sebut umi kan lagi lembut bunyinya.”
“Tak nak!”
tegas Hannah tapi dengan suara yang terkawal.
Ilham
simpan tawa dalam hati.
“Okey,
sayang nak anak kita panggil sayang apa?”
“Mummy...”
balas Hannah selamba.
“Hurm…okey
juga panggilan tu tapi macam tak sesuai je. Cuba sayang fikir, nanti anak kita
panggil abang, ayah tapi panggil sayang, mummy. Tak pelik sangat ke tu?”
Ilham bertanya. Wajah isteri dipandang.
“Lagipun,
abang lebih suka kalau kita sekeluarga hidup dengan cara Melayu bukan
terikut-ikut cara orang barat. Biarlah kita kelihatan kolot asal jangan
membelakangkan budaya kita. Ini semua pun demi masa depan anak-anak juga,”
nasihat Ilham pula.
“Tapi…”
“Sayang,
abang ni orang kampung je. Abang tak nak nanti orang kata baru duduk bandar dah
mula lupa diri.” Belum sempat Hannah menghabiskan kata-katanya cepat sahaja
Ilham memintas.
Bukan dia
tidak suka tapi panggilan itu kedengaran terlalu moden dan tidak sesuai dengan
mereka. Hurm… bukan dengan mereka tapi dengan dia. Canggung pula rasanya kalau
anak-anak mereka memanggil Hannah, mummy nanti. Dari situ sahaja sudah
nampak betapa jauhnya jurang perbezaan mereka.
Hannah
terus kehilangan kata.
“Kata nak
hidup bersederhana,” Ilham mengingatkan. Keningnya dijongketkan.
Hannah
masih begitu tetapi kata-kata Ilham sebentar tadi menyedarkannya. Ya, itulah yang
pernah diucapkan kepada Elyna dulu. Dia memilih Ilham kerana sikapnya.
Bersederhana dalam setiap apa yang dilakukan dan sangat penyayang orangnya.
Ya Allah,
kenapalah aku mengada-ada sangat? Panggil apa pun tetap sama juga. Ibu, umi,
emak, mummy, tetap juga dia seorang ibu, marah Hannah kepada diri
sendiri.
“Sorry…”
Kepala terus direbahkan ke dada suaminya semula dan pinggang Ilham dipeluk
erat.
Senyum
Ilham semakin lebar bila diperlakukan begitu. Itulah Hannah, isteri
kesayangannya. Sikapnya memang sukar diduga tapi sentiasa menyenangkannya.
Rajuknya tidak lama tapi untuk memujuknya perlu berlembut dan penuh diplomasi.
“Sayang tak
salah pun. Abang cuma menegur apa yang patut dan alhamdulillah, isteri abang
jenis yang senang menerima teguran. Terima kasih sayang.” balasnya dan rambut
isteri diusap.
“Hannah
yang mengada-ada. Ikut sangat kata hati.”
Ilham
lepaskan tawa kecil.
“Abang suka
je kalau isteri abang mengada-ada sebab mengada-ada sayang ni kadang-kadang
menggoda dan selalu buat abang tak tahan,” giatnya dan pelukannya semakin
dikemaskan.
“Suami
Hannah ni semakin lama semakin gatal tapi cikgu, saya pun suka cikgu macam tu,”
seloroh Hannah pula lantas pipi suami dikucup.
Tawa Ilham
terhambur lepas. Kepalanya digelengkan dan tubuh isteri dipeluk erat.
“Abang,
Hannah tak boleh bernafas,” Hannah sudah tercungap-cungap. Pelukan erat
daripada Ilham benar-benar melemaskannya. Sudahlah mereka baru sahaja lepas
makan malam.
“Ya Allah, sorry
sayang. Abang tak sengaja.” Geram sangat sehingga tidak sedar dia telah
menyakiti tubuh isteri. Dengan riak cemas, tubuh isteri diusap-usap.
“Sayang
okey tak ni?” kalutnya pula dan tubuh isteri dipandang dari atas ke bawah.
“Abang...”
“Kalau tak
okey kita pergi klinik,” suara Ilham semakin cemas.
“Abang!”
suara Hannah sudah mula meninggi. Kepalanya digelengkan. Tangan Ilham dipegang.
Seperti
orang yang baru tersedar, Ilham tersentak.
“Hannah
okeylah. Tadi tu sebab abang peluk kuat sangat bukan sebab abang dah sakitkan
Hannah.”
Pipi suami
diusap. Dia tahu apa sahaja tentangnya akan membuatkan Ilham jadi begitu. Dia
tahu kasih sayang Ilham untuknya sepenuh dan setulus hati.
“Terima
kasih abang untuk segala-galanya. Kasih sayang, cinta dan perhatian yang tak
pernah kurang. Hannah sayangkan abang,” bisiknya dan sekali lagi pipi suami
dikucup.
Luruh rasa
hati Ilham sebaik mendengar kata-kata luhur dari seorang isteri. Ya Allah…
sayunya hati dia.
“Hannah
tahu, abang akan jadi ayah yang terbaik untuk anak kita,” ucapnya yakin dan
tangan Ilham dicapai kemudian dibawa ke perutnya. Hannah tersenyum.
“Dan anak
kita bertuah ada ayah macam abang.” sambungnya lagi dan senyumannya diukir
semakin lebar.
Ilham turut
tersenyum. Nafasnya dihela. Jemari isteri yang sedang menggenggam jemarinya
dibawa ke bibir kemudian dikucup.
“Abang
sayang isteri abang juga. Kasih sayang itu penuh di sini,” tangan isteri dibawa
ke dada dan dibiarkan di situ.
“Dan akan
selamanya begitu. Insya-Allah, dengan izin dari-Nya.”
Hannah
tersenyum.
“Insya-Allah
abang. Itu yang Hannah doakan setiap masa.”