Followers

Monday, 30 May 2016

Tanya Dia Tentang Cinta - Bab 1 - Pertemuan Semula




PUTERI Chempaka Emelyn mendengus perlahan. Jam Omega, hadiah hari jadi pemberian orang tuanya yang terlilit kemas di pergelangan tangan, dikerling sekali lagi. Dahinya diurut-urut perlahan. Sakit kepala dengan apa yang menimpa.

“Aduh, aku dah lambat sangat ni!” bisiknya perlahan. Keretanya yang sudah tersadai di tepi jalan dipandang dengan keluhan. “Masa aku nak cepat inilah, kau buat hal, Ben. Pilihlah masa lain kalau nak bocor pun,” bebel Puteri, memarahi kereta Polo Hitam miliknya itu.Telefon bimbitnya pula boleh  mati terus. Kalau tidak, boleh juga telefon sesiapa meminta tolong. Car charger boleh tertinggal di dalam kereta Adif. Malang datang berganda-ganda. Keluhnya. Argh! Macam mana ni! Jeritnya perlahan. Janji temu makan malam dengan mama dan papa pukul 8.30. Sekarang sudah pukul 8.15 malam dan dia masih di tepi jalan lagi. Nasib baik tayar keretanya bocor di tepi jalan besar, kalau tidak mesti haru. Sudahlah jenis manusia penakut tak ingat dunia. Dibuatnya Ben buat hal di tempat gelap, entah macam manalah agaknya.

“So, apa aku nak buat sekarang?” keluh Puteri lagi. Sedang dia sibuk memikir, tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti betul-betul di belakang keretanya. Puteri kaget dan akhirnya... Pheuw! Lega!


*****************************************************

“DOKTOR ZIYAD... Doktor Ziyad...”

Doktor Mohd Ziyad Uzair berhenti melangkah, kemudian berpaling ke belakang. Pandangannya dibuangkan ke arah suara yang melaung namanya tadi.

“Kenapa Kak Zue?” soal Ziyad sebaik pemilik suara itu sudah berdiri di hadapannya. Ketua jururawat yang sedang termengah-mengah itu dipandang tak berkelip. Kemudian, dia tersengih. Geli hati melihat keadaan wanita berumur awal 40-an itu tercungap-cungap begitu.

“Dok… tor... Dok… tor…” Termengah-mengah Kak Zue cuba bersuara. Mahu tak mengah, jauh dia berlari mengejar si gorgeous di hadapan matanya itu. Sudah macam cerita Hindustan aje gamaknya. Heroin mengejar hero. Cuma heroin yang mengejar ini, gemuk gedempol saiznya. Langsung terkeluar dari piawaian heroin-heroin pujaan. Ahaks! 

Dalam cuba beriak tenang, akhirnya terhambur juga gelak kecil di bibir Ziyad. Sudah tidak mampu rasanya dia  hendak menyimpan tawa dalam hati. “Relaks, Kak Zue. Tarik nafas, lepas... Tarik nafas,
lepas...” ucap Ziyad dengan tawa yang masih menghiasi bibir.

“Doktor ni kalau tak mengusik, memang tak sah,” balasnya dengan nafas yang sudah semakin reda.

“Kenapa ni Kak Zue? Ada emergency ke?” Ziyad tersengih lebar.

Kak Zue menggeleng. “Kak Zue nak confirmkan kehadiran doktor untuk majlis lusa malam. Doktor aje yang belum bagi keputusan lagi.”

Sekali lagi Ziyad tergelak. “Kak Zue, kan boleh call kalau nak tanya pasal majlis tu. Yang sampai beria-ia mengejar saya ni kenapa? Lagipun, esok pun boleh tanya,” telah Ziyad lembut.

Kak Zue tersengih. “Alah, tak apa, bukannya jauh sangat Kak Zue berlari pun. Macam mana, doktor datang tak?” soal Kak Zue lagi. Bersungguh.

Ziyad terdiam sebelum akhirnya dia mengangguk.

“Dengan siapa?”

“Saya soranglah, Kak Zue. Saya ni kan belum ada isteri lagi,” balas Ziyad sambil tersenyum.

Alahai, manisnya senyum tuan doktor di hadapannya itu. Hesy! Nasib anak dah berderet, kalau tidak mahu juga dia masuk jarum. Tak menahan betul angan-angan!

“Isteri memang belum ada, doktor boleh bawak girlfriend,” usik Kak Zue dengan senyum lebar di bibir. Saja mengorek rahsia.

“Girlfriend pun saya tak ada, Kak Zue.”

Hati Kak Zue makin kembang. Ada chance! Ada chance!

“Ala... doktor memilih sangat.”

“Memilih apanya, Kak Zue. Jodoh saya belum lahir lagi agaknya, sebab tu masih belum berjumpa lagi,” seloroh Ziyad pula.

“Macam-macamlah doktor ni. So, confirm ya?”

Ziyad mengangguk. “Confirm, tapi saya sorang aje.”

Kak Zue mengangguk. “Okey, okey… nanti Kak Zue beritahu Doktor Ainul.”

“Ada apa-apa lagi tak? Kalau tak ada, saya nak pergi dulu.”

“Doktor ni mesti ada dating. Tengok bukan main smart lagi ni.”

Ziyad tergelak kecil sambil kepalanya digelengkan. “Dating apanya Kak Zue, saya ada dinner dengan famili saya. Ini pun tak sempat mandi lagi, entah kat mana yang Kak Zue nampak smartnya tu.”

Kak Zue turut tergelak. “Doktor walau dalam keadaan macam mana pun, tetap nampak smart,” puji Kak Zue bersungguh.

Ziyad tersengih. Sudah biasa sangat dipuji begitu sampai sudah tidak teruja. “Macam-macamlah Kak Zue. Okeylah, saya minta diri dulu,” ucap Ziyad sopan dan terus beredar sebaik wanita di hadapannya itu mengangguk.

****************************************************


ENCIK SYED Rahman mengerling isterinya, Syarifah Zainora, di sebelah, kemudian pandangannya dilabuhkan ke arah tetamu di hadapan. “Dah pukul 8.45 malam ni, rasanya baik kita mulakan dulu. Tunggu budak berdua tu, entah pukul berapa sampainya,”ucapnya perlahan.

Datuk Akbar mengangguk. Isteri di sebelahnya dikerling sekilas. “Elok jugaklah. Tunggu mereka, kita yang kelaparan nanti,” selorohnya pula.

Encik Syed Rahman tertawa kecil. Tangannya diangkatkan untuk memanggil pelayan. Sebaik pelayan tersebut menghampiri, mereka terus membuat pesanan.

“Zai, cuba awak call Puteri, tanya di mana dia sekarang. Entah-entah dia lupa,” arah Encik Syed Rahman perlahan. Isteri di sebelahnya dipandang tidak beriak. Dia bukan tidak kenal puterinya yang bernama Puteri Chempaka Emelyn itu, kalau dari mula sudah beralasan untuk datang, pasti ada saja helahnya untuk tidak ke situ. Sudah 24 tahun, tetapi nakalnya tetap tak berubah.

Puan Syarifah Zainora mengangguk. Nombor Puteri didail. Masuk ke peti simpanan suara. Didail sekali lagi. Tetap sama. “Voice mail,” pendek Puan Syarifah Zainora bersuara.

Encik Syed Rahman menggeleng. Memang Puteri sengaja. Sengaja memberontak untuk janji temu yang diaturkan. Puteri, Puteri...

“Assalamualaikum.”

Mendengar suara lembut menuturkan salam, kesemuanya berpaling. Salam tersebut dibalas serentak dengan senyum lebar terukir di bibir.

“Iyad, sampai pun kamu. Kenapa lambat?” soal Datin Fatimah sebaik jari-jemarinya disalami anak lelaki keduanya itu.

“Ada emergency tadi, umi.” Sopan Ziyad membalas. Pandangannya dibuang ke arah tetamu di hadapan. Lelaki separuh umur itu disalami dan senyuman dihulurkan kepada wanita di sebelah lelaki itu.

Datin Fatimah mengangguk. “Mari duduk.”

Ziyad menurut dan terus duduk di sebelah papanya.

“Lama tak jumpa, dah besar panjang anak kau, Bar,” tegur Encik Syed Rahman sambil tersenyum lebar. Wajah anak muda di hadapannya itu di amati. Memang kacak, maklumlah keturunan berdarah kacukan. Mahu tak kacak. 

“Aku dah bercucu, Man. Abang Ziyad, Irfan, dah ada tiga orang anak. Adik perempuan Ziyad pun dah ada dua orang anak. Ziyad ni aje yang tak tahu bila nak berumah tangga. Umur dah nak masuk 35 tahun, tapi masih macam gitulah jugak,” bebel Datuk Akbar sambil mengerling anak bujang di sebelah.

Ziyad tunjuk sengih. Kepalanya ditundukkan memandang meja. Malu pula apabila tentang dirinya
diperkatakan. Dengan orang yang tidak dikenali pula tu.

Encik Syed Rahman lepaskan tawa. “Aku pun dah bercucu, Bar. Sekarang yang tinggal cuma anak perempuan yang satu tu.”

“Ha, mana dia? Tak jadi datang?” soal Datuk Akbar apabila anak perempuan sahabatnya itu disebut-sebut, tetapi sehingga sekarang batang hidungnya langsung tidak kelihatan.

Encik Syed Rahman terdiam. Isteri di sebelah dipandang sekilas.

“Anak perempuan aku tu memang macam ginilah. Ada saja urusan dia,” bebel Encik Syed Rahman, menceritakan tentang anak gadis kesayangannya itu.

Datuk Akbar tergelak lepas. “Biasalah, orang muda.” Perbualan mereka terhenti apabila pelayan menghantar makanan.

“Jemput makan,” pelawa Encik Syed Rahman sopan.

“Sila Ziyad, Fatimah,” ucapnya lagi.

Ziyad dan Datin Fatimah mengangguk. Baru saja Encik Syed Rahman mahu menyuap makanan ke mulutnya, terdengar suara seseorang memberi salam. Semua yang berada di situ mendongak.

“Puteri, datang pun,” tegur Puan Syarifah Zainora sebaik terpandangkan anak gadisnya itu.

“Sorry, ma, Ben buat hal. Tayar pancit,” balas Puteri perlahan sambil jari-jemari kedua-dua orang tuanya itu disalami.

“Mari papa kenalkan, Uncle Akbar dan Aunty Fatimah,” celah Encik Syed Rahman, memperkenalkan sahabatnya itu.

Puteri berpaling dan jemari kedua-duanya disalami pula.

“Itu anak Uncle Akbar dan Aunty Fatimah, Ziyad.” Puteri mendongak kembali. Kepalanya dipalingkan ke arah lelaki yang disebutkan oleh papanya tadi. Sebaik pandangannya dan Ziyad bersatu, dia terus terkedu. Senyumnya juga turut mati. Di saat itu juga terasa darah merah naik menyerbu ke muka. Ziyad?

Ziyad yang sememangnya sudah terpaku melihat gadis itu sedari tadi, hanya mampu memandang sahaja. Dia sendiri terkejut dengan apa yang dilihatnya ketika itu. Pertemuan ini memang sesuatu yang tidak pernah dia duga. Memang dia tidak menyangka mereka akan bertemu semula dan di dalam situasi yang begitu. Argh! Kenapa pertemuan seperti ini perlu terjadi?

Demi Tuhan, Puteri Chempaka Emelyn, memang satu nama yang dia tidak akan lupa sampai mati!

“Duduk, Puteri,” pelawa Datin Fatimah lembut. Jemari Puteri diraih dan ditarik duduk di sebelahnya.
Puteri hanya menurut sahaja walaupun ada rasa kurang selesa dalam hatinya. Sedari tadi dia cuba untuk beriak selamba, tetapi tetap kelihatan kaku. Dalam hati memang terasa berdebar gila. Tetapi, rasa takut melebihi segalanya. Ya Allah, kalau dia ada kuasa magis, sudah lama dia pejam mata dan terus hilang dari situ, tetapi malangnya dia cuma manusia biasa!

“Cantik anak perempuan awak Zai,” puji Datin Fatimah sambil jemari Puteri diusap-usap perlahan. Baru pertama kali berjumpa, dia sudah berkenan.

Puan Syarifah Zainora tersenyum lebar. Bangga. Puteri pula hanya mampu melemparkan senyuman hambar. Pandangan tajam dari sepasang mata yang masih lagi merenungnya itu benar-benar membuatkannya tidak senang duduk. Ya Allah, kenapalah mereka dipertemukan semula? Jeritnya dalam hati.

“Tayar Ben pancit, Puteri datang naik apa?” soal Encik Syed Rahman tiba-tiba.

Puteri mendongak dan berdeham.

“Hairi. Kebetulan Hairi lalu dekat situ tadi.” Teragak-agak Puteri membalas.

Tiba-tiba Puteri Chempaka Emelyn menjadi gadis pemalu sedangkan selalunya dialah perempuan yang kuat melawan.

“Siapa Ben?” Datuk Akbar yang hairan mendengar perbualan anak-beranak itu tiba-tiba mencelah.

Encik Syed Rahman dan Puan Syarifah Zainora tergelak. Puteri dipandang.

“Ben tu kereta kesayangan dialah,” balas Encik Syed Rahman dengan gelak yang masih bersisa.

Datuk Akbar turut tersenyum sambil kepalanya digelengkan perlahan. Macam-macam. Bisiknya dalam hati, tetapi cute pulak bunyinya. Sama cute saja dengan tuan punya kereta. Pandangannya dialihkan ke arah anak lelaki di sebelah. Terfikirkan sesuatu, senyumannya menjadi semakin lebar.




“PA, TOLONG hantar Chem ke rumah Hairi ya. Chem nak ambil Ben.” Perlahan Puteri bersuara sambil memandang Encik Syed Rahman yang sedang berdiri di sebelah Datuk Akhbar.

Encik Syed Rahman mengangguk, tetapi belum sempat dia bersuara, Datuk Akbar sudah mencelah. Ziyad dipandang.

“Iyad, tolong hantarkan Puteri,” suruh Datuk Akbar. Puteri tercengang. Datuk Akbar dipandang dengan kening terjongket. Kemudian, Ziyad dikerling.

Mendengar arahan papanya itu, Ziyad berdeham.

“Tak apalah Bar, biar aku hantar Puteri. Tak payah menyusahkan Ziyad,” tolak Encik Syed Rahman sopan. Faham, mesti anak lelaki sahabatnya itu kurang senang untuk berbuat demikian kerana mereka pun baru saja kenal.

“Betul tu uncle. Biar papa aje hantar Chem. Tak payah susah-susah.” Laju sahaja Puteri menolak, mengiakan kata-kata papanya itu.

Hesy! Tak sanggup dia duduk berdua dalam satu kereta dengan Ziyad. Seram!

“Tak apa, Man, Puteri. Biar Ziyad hantar. Iyad, tolong hantar Puteri,” suruh Datuk Akbar lagi. Kali ini suaranya lebih berbaur arahan.

Tidak mampu menolak, akhirnya Ziyad mengangguk walau dalam hati tidak rela. Hendak menolak, apa alasan yang perlu diberikan? Menceritakan perkara sebenar? Tidak. Walau teruk hatinya disakiti, tetapi untuk merosakkan hubungan dua keluarga, dia jadi tidak tega.

“Jomlah,” ucap Ziyad sepatah. Tidak memandang gadis di hadapannya itu, langkahnya dibuka.

“Chem pergi dulu Pa, Ma, uncle, aunty.” Melihat Ziyad yang sudah maju ke hadapan, Puteri terus meminta diri untuk beredar. Kedua-dua orang tuanya dan orang tua Ziyad disalami. Langkah Ziyad diekori, tetapi jauh di belakang. Sengaja tidak mahu berjalan berdampingan dengan lelaki itu kerana takut mengatasi segalanya. Perasaannya ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Melihat riak beku Ziyad, dia tahu lelaki itu terpaksa. Memikirkan mereka hanya berdua-duaan saja di dalam kereta nanti, lagilah panasaran jiwanya. Ya Allah, matilah dia! Entah apa yang akan berlaku nanti agaknya.
Bisiknya cemas.

Penggera kereta ditekan dan tanpa menghiraukan Puteri, Ziyad terus masuk ke dalam perut kereta Honda Accord putih miliknya. Enjin kereta dihidupkan.

Dengan teragak-agak, Puteri turut masuk. Hendak tunggu Ziyad pelawa, memang takkanlah. Maka terpaksalah dia buat muka tidak tahu malu. Pintu ditutup dan tali pinggang keledar di pasang. Faham dengan sikap yang dipamerkan Ziyad, dia terus mematikan diri sahaja. Malas hendak berlagak peramah kerana bimbang dijerkah sia-sia.

Masih dengan riak seperti tadi, kereta dipandu keluar dari kawasan tersebut dan pandangannya ditumpukan ke hadapan sahaja tanpa menoleh gadis di sebelah. Dia sendiri tidak tahu reaksi bagaimana yang perlu dia pamerkan.

“Nak saya hantar ke mana?” soal Ziyad tiba-tiba. Acuh tak acuh sahaja nada suaranya.

Puteri berpaling dan memandang Ziyad sekilas. “Mutiara Damansara.” Kalau Ziyad malas hendak bercakap, dia pun malas hendak membalas panjang lebar. Apa yang penting, situasi sekarang perlu segera berakhir.

Tidak bertanya lagi, Ziyad terus memandu keretanya ke tempat yang ingin dituju. Keadaan kembali sunyi. Hanya bunyi angin air-cond dan deruan enjin saja yang kedengaran di dalam ruang yang cuma ada mereka. Puteri semakin rimas. Rasa membahang tubuhnya dengan situasi itu walaupun penghawa dingin sudah cukup sejuk ketika itu. Diamnya Ziyad bukan petanda yang bagus. Puteri mengeluh dalam hati. What do you expect Chem after what you havedone! Nak Ziyad tersengih-sengih pandang  kau dan bersuara manja macam dulu? Kepalanya digelengkan. Jangan kau harap! marahnya kepada diri sendiri. Nafasnya dihela dan pandangannya dibuangkan keluar tingkap.

Masuk saja ke kawasan perumahan Mutiara Damansara, barulah suara Ziyad kedengaran semula. Itu pun untuk bertanyakan alamat rumah yang hendak dituju. Sebaik sampai di hadapan pintu pagar rumah yang dinyatakan oleh Puteri tadi, Ziyad terus memberhentikan keretanya. Tidak menoleh Puteri di sebelah, Ziyad hanya mematikan diri sahaja di tempatnya. Faham akan riak lelaki itu, Puteri terus membuka tali pinggang keledarnya. Pintu dibuka. Sebaik sebelah kakinya memijak jalan, dia berpaling memandang Ziyad semula. 

“Thanks,” ucap Puteri perlahan. Hanya itu yang terluah sebelum dia terus keluar dan pintu ditutup semula.

Tidak menunggu, Ziyad terus saja memecut keretanya meninggalkan Puteri di hadapan rumah teres dua tingkattersebut dengan perasaan yang sebal. Hati yang sakit masih belum terubat. Luka yang tercalar masih mengalir darahnya. Selagi dia bernyawa, apa yang dilakukan Puteri Chempaka
Emelyn tidak mungkin akan dia lupakan. Tidak sekali-kali!
Titik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...