Followers

Tuesday 26 March 2013

Kupilih Untuk Setia ... Bab 1









Bab 1

IRINA memandang Ku Ariff sambil tergelak lepas. Kelakar mendengar luahan hati abangnya itu. Kasihan, sejak berpindah ke rumah sendiri asyik bertukar pembantu rumah sahaja. Rasanya, ini sudah masuk kali kelima Ku Ariff bertukar pembantu.

“Itulah, Rina kan dah beritahu abang, janganlah cerewet sangat. Tengok, masuk kali ni dah lima orang berhenti macam tu aje,” kutuk Irina selamba. Air kiwi di dalam jag dituangkan ke dalam cawan kemudian diletakkan di hadapan Ku Ariff.

Ku Ariff mencemik sambil mengerling Irina sekilas. Aiman yang berada di dalam pangkuannya dipeluk semakin erat. “Adik, dalam hal-hal kebersihan ni kita kenalah cerewet. Abang bayar untuk dia buat kerja, jadi tak salah rasanya kalau abang nak arah apa yang sepatutnya dan tak salah juga kalau abang tegur kalau ada yang tak kena,” balasnya membela diri.

Irina tersenyum pula. Kepalanya digelengkan perlahan. Bercakap dengan Tengku Ariff Khalis tentang kebersihan memang tak akan menang punya. Dia tahu abangnya itu memang agak cerewet tentang hal tersebut.

“Nantilah Rina tolong tanyakan Mimi kalau dia ada kenal sesiapa yang boleh bekerja sebagai pembantu rumah,” tuturnya mengalah. Malas hendak memanjangkan cerita lagi.

Ku Ariff hanya mengangguk. Air kiwi di atas meja dicapai dan dihirup perlahan.

“Assalamualaikum,” sapa Zairil yang baru muncul dari dalam rumah. Balik dari pejabat tadi, dia terus sahaja masuk ke dalam bilik untuk menunaikan solat asar sebelum turun menyertai perbualan isteri dan abang iparnya itu.

Irina berpaling kemudian tersenyum. Ku Ariff turut mendongak. Salam Zairil dibalas serentak.

“Minum, Ril,” pelawa Ku Ariff ramah.

Zairil mengangguk dan tersenyum. Dia terus duduk di sebelah isterinya. Air yang dihulurkan Irina dicapai dengan senyum yang masih terukir di bibir. “Terima kasih,” ucapnya lembut. 

Irina turut tersenyum. “Sama-sama kasih,” balasnya.

Ku Ariff tersenyum sahaja memerhati pasangan suami isteri di hadapannya itu. Melihat kemesraan mereka, hatinya juga turut merasai kebahagiaan yang sama. Alhamdulillah, semoga kebahagiaan itu akan sentiasa bersama mereka, doanya dalam hati.

Zairil menghirup air di tangannya sambil membuang pandang ke arah Ku Ariff di hadapan. “Ada
masalah apa pula kali ni? Orang gaji lari lagi?” soal Zairil berseloroh. Bukannya dia tidak tahu, abang iparnya itu kalau bertemu dengan isterinya pasti ada sahaja yang ingin diadukan. Dia faham sangat tentang itu lebih-lebih lagi  dengan hubungan mereka yang agak rapat sejak kecil lagi.
I
rina tergelak mendengar usikan suaminya itu. Zairil di sebelahnya dipandang dengan tawa menghiasi bibir. “Pandainya abang teka,” ucapnya.

Mendengar jawapan isterinya, Zairil turut tergelak. Ku Ariff mencebik sahaja digiat begitu.

“Kan aku dah kata, jangan cerewet sangat. Ambil orang gaji Indonesia ajelah, Riff. Tak takut dia lari, dah tentu tentu pasport dia pun kau yang simpan.” Zairil mengulang semula cadangannya. Entah untuk yang keberapa puluh kali.

“Gila kau Ril nak aku duduk sebumbung dengan orang gaji. Silap hari bulan daripada orang gaji terus naik taraf jadi isteri bergaji pula. Tak mahulah aku,” bidasnya pula. Zairil dijeling tajam.

Semakin galak Zairil tergelak apabila mendengar kata-kata lelaki di hadapannya itu.

“Susah-susah sangat, abang kahwin aje,” celah Irina pula.

“Ha, betul tu,” sampuk Zairil pula turut sama menyokong cadangan isterinya.

“Cakap memang senang adik, tapi nak cari yang sesuai bukan senang,” balas Ku Ariff pula. Bukan dia tidak pernah mencari tapi tidak ada seorang pun yang berkenan dalam hati. Mummy pun sudah puas mengenalkannya dengan anak-anak kenalannya tetapi ada sahaja yang tidak kena di matanya. Mungkin jodohnya belum sampai agaknya.

“Abang memilih sangat.” Selamba Irina mengutuk.

“Mana ada memilihlah adik, cuma abang belum jumpa yang berkenan di hati,” balas Ku Ariff membela diri.

“Nak aku kenalkan ke? Dekat ofis aku tu ada seorang peguam baru melapor diri. Cantik dan baik
orangnya. Bersopan santun pula tu,” usik Zairil pula sambil keningnya diangkat memandang Ku Ariff.

“Amboi abang, bukan main lagi memuji tu,” celah Irina geram sambil menjeling suami di sebelah. Boleh pula suaminya itu main puji-puji perempuan lain di hadapan isteri sendiri. Ini memang boleh mendatangkan kemarahan. Siap tersengih-sengih pula tu.

Zairil buang senyum. Kepalanya digaru perlahan kemudian jemari isterinya digenggam. “Ala sayang, untuk Abang Arifflah. Takkanlah abang nak cari yang lain, isteri abang ni dah cukup sempurna dah,” pujuk Zairil lembut. Bahu isterinya diraih dengan sebelah lagi tangannya lalu dipeluk kemas. Melihat wajah isterinya yang sudah berubah riak, timbul pula rasa bersalah dalam hatinya. Itulah, kata orang terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata inilah akibatnya. Tidak mungkin hatinya akan berubah. Cintanya  kepada Irina bukan sedikit tetapi dengan sepenuh hati. Lagipun jalannya untuk bersama Irina bukan mudah dan dia tak akan sekali-kali lupa tentang itu.

Ku Ariff sudah tergelak besar melihat kedua-duanya. Comel sahaja melihat adegan pujuk-memujuk antara suami isteri di hadapannya itu. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa terusik melihat keadaan itu. Perlahan-lahan nafasnya dihela. Jauh di sudut hatinya, kadang-kadang timbul juga rasa cemburu melihat kemesraan mereka berdua. Bukan cemburu kerana masih mempunyai perasaan terhadap adik
sepupu sendiri tetapi cemburu kerana dia teringin sekali menjadi seperti Irina dan Zairil. Hidup bahagia bersama orang yang betul-betul disayangi dan menyayangi dirinya.



“KAU ni apa hal minah? Saja nak cari pasal ke?” jerkah Dania kasar sambil melemparkan gambar yang baru diterimanya daripada Zahirah sebentar tadi ke atas meja.

Tengku Syakila yang sedang leka menikmati minuman petangnya tersentak dan terus mendongak. Dania dan Zahirah yang berdiri di hadapannya itu dijeling tajam. Meluat betul dia dengan tetamu yang tidak diundang itu. Gambar yang dicampakkan oleh Dania tadi diambil kemudian
dia tergelak kecil. “Kenapa dengan gambar ni? Tak cantik ke?” soalnya sinis. Laila di sebelahnya turut tersenyum melihat gambar tersebut.

“Cantik, memang cantik sangat. Tapi yang aku nak tahu, kenapa kau ambil gambar tu? Kau nak buat apa dengan gambar tu?” soal Dania lagi semakin keras. Tangannya dipelukkan ke tubuh. Memang dia bengang sangat dengan mangkuk dua ekor di hadapannya itu. Tengku Syakila memang suka betul mencari pasal dengannya. Dari mula kenal sehinggalah sekarang, memang tidak boleh langsung
bertemu muka. Entah apa yang perempuan itu tidak berpuas hati dengannya pun dia tidak tahu. Baru beberapa hari lepas dia diserang oleh Tengku Syakila gara-gara dia berbual dengan buah hati pengarang jantungnya. Si Benji, mamat poyo perasan kacak padahal muka lawa sikit aje daripada
Shuib kumpulan pelawak Sepahtu yang terkenal tu. Sudahlah tu, jongang pula. Kalau bukan sebab keluarga orang kaya, entah-entah muka macam tu tak ada siapa yang pandang. Dia lagilah tak ingin! Tak sior teman, bak kata orang Perak. Haha... Yang peliknya, setakat berbual biasa pun Tengku Syakila nak mengamuk macam orang hilang akal. Kalau sampai berlaga-laga pipi harus dia masuk wad kecemasan dikerjakan Tengku Syakila agaknya. Macam aku hadap sangat dengan boyfriend mata keranjang dia tu. Abah hantar aku ke sini untuk belajar, bukan untuk cari jantanlah! bebel Dania
dalam hati apabila teringatkan pergaduhannya denganTengku Syakila beberapa hari lepas.

Tengku Syakila masih tergelak-gelak di situ. Pertanyaan Dania tadi dibiarkan sepi begitu saja. Dia terus berpaling dan berbual-bual dengan Laila semula tanpa menghiraukan Dania yang macam singa lapar memandangnya.

Melihat riak selamba perempuan itu, Dania semakin hilang sabar. Kalau diikutkan hatinya memang
merah pipi Tengku Syakila dikerjakan. Ha, dah tak payah pakai pemerah pipi lagi. “Eh, minah. Aku tanya kau baik-baik ni, kau nak buat apa dengan gambar tu?” soal Dania lagi semakin keras.

Tengku Syakila mendengus dan terus bangun dari duduknya. Geram kerana ketenangannya diganggu.
“Aku nak suruh mak dia tengok apa yang anak dia buat dekat sini. Susah payah mak hantar belajar, dia pula main jantan dekat sini.” Lancang Tengku Syakila bersuara sambil menjeling tajam ke arah Zahirah di sebelah Dania.

Terus berubah air muka Dania apabila mendengar jawapan Tengku Syakila tadi. Melampau sungguh mulut perempuan di hadapannya itu. Kalau diikutkan hatinya, mahu kena siku aje anak orang kaya seekor ni. Zahirah di sebelahnya hanya terdiam membisu dengan mata yang sudah mula bergenang air jernih. Zahirah pula memang jenis hati halus. Pantang kena sikit dah nak nangis. Haih! Lemah betul dia tengok.

“Oh, orang lain dengan jantan kau bukan main sibuk lagi, yang kau dengan jantan tu apa kes?!” tengking Dania pula melepaskan amarah dalam hati.

“Hei babe, aku kalau tak belajar dekat sini, mak bapak aku mampu nak hantar aku belajar dekat mana-mana pun. Kalau aku nak belajar di luar negara, esok pun aku boleh pergi tapi kawan kau ni dahlah belajar pun sebab pak sedara yang tanggung, ada hati nak berlagak macam mak mampu bayar yuran studi.” Sinis Tengku Syakila membalas. Zahirah dijeling tajam.

“Kau ni memang mulut kurang ajar tau. Ha, inilah akibatnya kalau makan tak baca bismillah, sebab itulah mulut tu tak reti nak cakap elok-elok,” bidas Dania lagi. Erkkk… Tapi, apa kena-mengena makan tak baca bismillah dengan mulut tak ada insurans Tengku Syakila tu? soal Dania dalam hati. Hurm... Apa-apalah, Dania. Minah tu bukannya faham pun. Cantik aje boleh harap tapi bebal punya budak. Otak singkat sama macam singkatnya skirt yang dipakainya juga.

“Okey, sekarang kau berterus terang ajelah dengan aku. Setahu aku, Zahirah tak pernah buat salah dengan kau. So, aku tak rasa kau perlu bersusah payah buat semua ni untuk kenakan dia. Straight to the point. Aku nak dengar.” Malas hendak bertekak dengan perempuan busuk hati itu, Dania terus bertanya. Dia sangat pasti apa yang dilakukan oleh Tengku Syakila pasti ada kaitan dengannya.

Mendengar kata-kata Dania, Tengku Syakila terus berjalan menghampiri gadis itu. Bahu Dania diusap-usap perlahan.

Menyampah dengan perlakuan gadis itu, jemari Tengku Syakila ditepis kasar. Kuman!

“Kau ni memang bijak, Nia. Memang, aku buat  semua ni sebab nak kenakan kau. Aku tahu kau ni baik hati dan tak akan biar kawan kau susah, kan? Lagipun aku tahu mak Zahirah sekarang tak sihat jadi mesti kau takut jadi apa-apa kepada mak dia kalau aku hantar gambar ni, kan?” ugut Tengku Syakila dengan gaya mengada-ada sambil tersenyumsenyum memandang Dania.

Dania mendengus. Tangannya dipelukkan ke tubuh. “So? Kau nak apa sebenarnya sekarang?” soalnya lagi sambil merenung Tengku Syakila tajam.

“Kalau kau tak nak aku hantar gambar ni kepada mak dia, kau kena ikut cakap aku.” Pantas Tengku 
Syakila menjawab sambil menunjukkan jarinya ke arah Zahirah yang masih kaku di sebelah Dania.

“Kau cakap aje apa yang aku perlu buat. Selagi tak menyalahi undang-undang dan tak merosakkan nama baik keluarga aku, aku akan ikut cakap kau. Kalau kau nak suruh aku bunuh orang, aku rasa baik aku bunuh kau dulu!” balas Dania selamba. Dia sudah tak kira, demi Zahirah dia akan lakukan apa saja. Dia tak akan biarkan Zahirah yang menanggung susah disebabkan perang dingin antara dia
dengan Tengku Syakila.

Tengku Syakila terdiam. Lama, sambil berjalan mundar-mandir di hadapan seterunya itu. Teringatkan sesuatu, tiba-tiba jemarinya dipetik dan dia tersenyum lebar. Dania dipandang.

Melihat air muka Tengku Syakila yang sudah berubah seperti ibu mentua Kassim Selamat itu, cuak pula Dania rasa.

“So?” soalnya teragak-agak.

“Aku ada kerja yang best untuk kau.”

“Kerja?!” soal Dania dengan suara yang sedikit meninggi.

Tengku Syakila mengangguk. “Kau kena jadi orang gaji sepupu aku,” jawabnya selamba. Rambut ikalnya itu diraupkan ke belakang sambil keningnya diangkatkan memandang Dania.

Dania tercengang. “What?!” Bukan main kuat lagi dia menjerit sambil memandang tajam ke arah Tengku Syakila. Gila ke apa nak suruh aku jadi orang gaji? Zahirah juga sudah tercengang mendengar kata-kata Tengku Syakila tadi.

“Kalau kau tak setuju, jangan salahkan aku kalau gambar ni sampai ke tangan mak Zahirah esok,” ugut Tengku Syakila lagi apabila Dania sudah diam membisu di hadapannya. Sebenarnya dia memang sengaja hendak mengenakan Dania. Biar padan muka gadis itu. Biar dia rasakan didera oleh abang sepupunya yang banyak songeh dan cerewet. Dia sudah dapat membayangkan muka Dania apabila disuruh mencuci tandas di rumah banglo tersebut. Tiba-tiba Tengku Syakila tersengih apabila mengingatkan tentang hal tersebut. 

“Aku tak tahulah apa masalah kau dengan aku sampai kau buat aku macam ni!” bentak Dania keras. Kenapa Tengku Syakila perlu melakukan itu semua untuk mengenakannya? Sungguh dia tak mengerti!

“Masalah aku dengan kau?” soal Tengku Syakila sinis. Jarinya ditalakan tajam ke arah Dania. “Tak ada masalah apa-apa, cuma aku tak suka kau!” sambungnya agak keras.

Dania mendengus. “Macam aku suka dengan kau!” bidasnya pula dengan wajah dicemikkan.

Geram dengan kata-kata Dania tadi, Tengku Syakila turut mendengus namun disabarkan sahaja hatinya. Dengannafas dihela keras, Dania dihampiri semakin rapat.

“So, macam mana, Dania?” bisiknya manja dan rapat di telinga gadis itu. Sengaja hendak menambahkan panas dalam hati seterunya itu. Dia tahu Dania tengah bengang dengannya. Melihat air muka Dania sahaja dia sudah tahu tapi dia suka. Padan muka kau! ejeknya dalam hati.

Tercabar, akhirnya Dania mengangguk. “Okey, tapi aku nak time frame. Takkan kau nak aku jadi orang gaji kat rumah sepupu kau tu seumur hidup kut? Tak ingin aku!” bidas Dania selamba. Ala, setakat jadi orang gaji tak akan matinya. Dia lebih takut kalau mak Zahirah yang mati apabila melihat gambar Zahirah berpelukan dengan lelaki gara-gara didajal oleh Tengku Syakila. Kalau sampai jadi
begitu, memang dia akan menyesal seumur hidup.

“Tak lama, tiga bulan aje.” Tiga jarinya diangkat dan ditunjukkan tepat ke wajah Dania. “Maknanya untuk sepanjang cuti semester ini sahaja.” Semakin selamba Tengku Syakila menjawab. Mendengarkan jawapan Dania,bukan main melonjak gembira lagi hatinya. Akhirnya perangkap mengenakan Dania menjadi juga setelah bermacam-macam cara yang dia buat untuk menyakitkan
hati seterunya itu tidak pernah berhasil. Dia pun tidak tahu kenapa dia benci sangat dengan Dania. Tapi yang pasti kerana Dania selalu menjadi favourite pelajar-pelajar di kolej disebabkan sikapnya yang sentiasa merendah diri dan mesra dengan sesiapa sahaja. Bukan itu sahaja, Dania juga menjadi
buruan pelajar-pelajar lelaki di kolej mereka kerana raut wajahnya yang comel. Walaupun dia lebih cantik, dia tidaklah seglamor Dania. Maklumlah, dia terpaksa menjaga statusnya yang berasal dari keturunan bangsawan.

“Okey, deal! Lepas habis tempoh tu, aku nak semua  gambar-gambar Zahirah yang kau ambil tu dimusnahkan. Kalau kau tak tepati janji kau, tahulah aku nak buat macam mana dan jangan salahkan aku kalau jadi apa-apa kepada kau nanti. Aku maksudkan apa yang aku cakap ni, jadi kau jangan
main-main dengan aku!” Keras Dania bersuara. Jemarinya dikepal dan ditepuk-tepuk dengan sebelah lagi tangannya. Orang seperti Tengku Syakila memang patut diajar. Anak
orang berpengaruh atau tidak, dia peduli apa. 

Tengku Syakila tersengih. Sinis sahaja riaknya. “Aku akan pegang janji aku. Lepas tempoh tiga bulan kita akan berjumpa lagi dan aku akan serahkan semua gambar-gambar tu kepada kau,” balasnya berjanji.

“Okey, sekarang kau beritahu aku, macam mana aku nak kerja dengan sepupu kau tu sedangkan aku tak kenal pun siapa dia?” soal Dania lagi dengan muka meluat melihat dua orang perempuan di hadapannya itu. Seorang si mangkuk, Tengku Syakila. Dan seorang lagi, kaki angguk dan kaki ampu Tengku Syakila, si Laila. Dua-dua bongok! Ha, ambil kau!

“Esok kita jumpa dekat sini. Aku akan bawa kau jumpa dia. Tapi aku nak ingatkan kau Nia, Zahirah tak boleh terlibat langsung dalam permainan ni. Kalau dia tolong kau, aku akan anggap perjanjian kita terbatal dan bila-bila masa gambar ni akan sampai ke tangan mak dia,” balas Tengku Syakila keras. Gambar di tangannya diayun-ayunkan di hadapan Dania.

“Okey, aku setuju,” akur Dania.

“Deal.” Tengku Syakila bersuara lagi sebelum berlalu meninggalkan Dania dan Zahirah termangu-mangu di situ.

“Sorry Nia, ini semua salah aku. Kalau aku tak ikut cakap Harry, tentu tak akan jadi macam ni. Aku tak terfikir pun Tengku Syakila dah plan semua ni,” luah Zahirah serba salah. Gara-gara dia, Dania dapat susah. Teringatkan apa yang berlaku, marahnya kepada Harry semakin menjadi-jadi. Tidak sangka pula lelaki yang bernama Harry itu sudah dibeli oleh Tengku Syakila. Nak pitam konon, rupa-rupanya semua itu lakonan. Tak pasal-pasal gambar dia memapah Harry menjadi bahan ugutan Tengku Syakila, marah Zahirah dalam hati.

“Bukan salah kau Irah tapi mangkuk tu yang busuk hati. Memang jenis pendengki!” balas Dania pula. Geram sungguh rasanya. Di dalam kepalanya sudah sarat memikirkan janji yang dibuat dengan Tengku Syakila tadi. Aku nak jadi orang gaji? Sedangkan selama 22 tahun aku hidup semua benda mama dengan Kak Aisyah yang buat, sekarang aku kena buat semua tu untuk orang lain? Masaklah aku lepas ini. Memang padan muka kau Nia,
bisiknya dalam hati.

7 comments:

  1. wow....terubat rindu pada Tengku Irina Sandra dan Zairil Idham...hehehe, tak sabar nak bace kisah pengembaraan Dania sbg org gaji Ku Ariff...

    ReplyDelete
    Replies
    1. yg tengku irina sandara dan zairil, novel yg mana ye? boleh share tak?

      Delete
    2. izinkanku miliki hatimu

      Delete
  2. hehehee...tak sabar eh Sue...cuba bayangkan minah selamba bila berdepan dengan Ku Ariff yang cool tu akan jadi macam mana... mesti kesian Ku Ariff kan...

    ReplyDelete
  3. Owh... X sabar nya nak baca dania punya real adventure as a maid... Hopefully soon la ya Ameera...

    ReplyDelete
  4. kak Roziah, In sha Allah, soon... :)

    ReplyDelete
  5. Dear Ameera,

    best! mantap, I dah beli dan baca 2X... tahniah sis..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...